BAB 5
Perbualan
Dinie terhenti saat Irfan mula melangkah, mahu segera masuk ke balai pelepasan
untuk percutian bersama rakan-rakan sekerjanya.
“Ingat
tau!” ulang Dinie, tak tahu untuk kali yang ke berapa dia berpesan pada Irfan.
Macam-macam yang dikirim.
“Iyalah
sayang busuk, balik nanti Angah bawa seketul koala bear. Oh! Adik nak kangaroo,
kan? Angah bawa balik hidup-hidup!” Irfan tak habis berseloroh. Melayan karenah
manja si adik.
“Eloklah,
Dinie nak yang paling besar tau! Yang bulat-bulat! Gemuk!” Dinie melayan, tak dibiar
angahnya senang mahu berlepas.
“Boleh. Ni,
nak pesan ni. Balik nanti elok-elok. Terus balik rumah, jangan melencong ke
lain!” Jari telunjuk dia acu, sudah bersedia mahu meninggalkan si adik.
“Okey,
angah pun hati-hati. Jangan nak cuba-cuba buka pintu kapal terbang bila dekat
atas tu nanti!” Selorohnya tak mengagak, menjengilkan mata si angah yang tak
terima dengan gurauannya itu.
“Agak-agak
la kalau nak pesan tu. Okeylah, angah pergi dulu! Dinie tu, drive nanti elok-elok! Tak payahlah hantar angah ke atas, Dinie
terus balik eh?” pesan Irfan sebelum dia berlalu. Meninggalkan si adik dengan
senyum gembira. Gembira kerana mahu bercuti.
Lambaian
terakhir Irfan dibalas dengan keluh halus Dinie. Menyaksi sahaja pemergian si
abang. Dalam hati melonjak teringin, cuma belum mampu untuk terbang sejauh itu.
Matanya masih
menyaksi Irfan hingga kelibat angahnya itu hilang dari pandangan. Malas mahu
memulakan perjalanan pulang semula ke Melaka. Kalau ikutkan hatinya, mahu dia
turut sama menyertai Irfan, tapi bila memikirkan banyak yang perlu dibayar
memandangkan dia baru mula berkerja, dia menangguhkan dahulu hasratnya itu.
Tunggulah
tahun depan, siapa tahu ada orang nak sponsor dia pergi honeymoon. Senyumnya
mengiringi angannya tadi. Badan dikalihkan, mahu segera ke tempat letak kereta
lapangan terbang, kerana tak mahu lewat sampai ke rumah. Risau kerana perlu
memandu sendirian.
Baru
setapak dia berjalan, mata dijamu dengan aksi romantik merpati sejoli. Si
isterinya sedang asyik berpegangan tangan. Berjanji setia dengan jaket kulit
dan but tersarung ranggi di kaki.
Habis
berpegangan tangan, pipi si suami yang membelakanginya itu diusap. Pasti si
isteri mahu berjalan jauh, tak pun nak outstation dan tak sanggup nak berpisah
lama-lama dengan si suami. Sweet sangat kut! Puji dia dalam hati. Berfikir
alangkah bahagianya jika dia berada di tempat wanita itu.
Beruntung.
Puji dia lagi. Pasangan bahagia tadi tidak lagi diperhati dan dengan langkah
longlai dia mula berjalan untuk turun ke tempat parkir kereta. Dan untuk ke
tempat tersebut, dia harus melalui pasangan bahagia itu.
Hati kian
debar, tak tahu apa puncanya yang menjadikan dia begitu. Mata jadi sayu saat
teringatkan kisah pertemuannya bersama Dhani. Dan dalam masa yang sama mata
menyaksi si suami kepada wanita yang mahu berlepas tadi. Si suami yang sedang melambai si isteri yang sudah menarik beg mahu
berlepas.
Tak ada
bicara, tapi Dinie tiba-tiba jadi beku. Kaki cuba diseret, tapi seakan tidak
berganjak dari situ.
Dia terus
manjadi saksi kesedihan lelaki yang ditinggalkan itu. Dan bila lelaki itu memalingkan
wajahnya, Dinie terus kaku. Lelaki itu....
lelaki yang sama ditemuinya beberapa hari lepas.
Ya! Lelaki
itu ialah Encik Dhani, bekas majikan ayahnya. Atau lebih tepat lagi, lelaki
yang pernah berjanji setia dengannya. Lelaki yang pernah mengajar dia tetang
erti cinta dan rindu.
Dinie
kehilangan kata, bibir getarnya separuh terbuka. Dia tergamam, tak tahu apa
yang patut dilakukan sekarang.
Pergi
Dinie! Pergi! Jangan biarkan hati terus terhiris. Akal memaksanya untuk
berjalan. Tapi dia tak mampu untuk membuka langkah. Sudahnya dia terus kaku berdiri
menyaksi Dhani yang baru memulakan langkahnya.
Sekali
lagi Dinie, kau dah ditipu! Jerit hati kecilnya, kecewa dengan sikap Dhani yang
seolah masih memberi dia harapan.
Untuk apa Dhani
masih mengingatkan dia soal hati, kalau lelaki itu sendiri dah serah hatinya
pada wanita lain.
MELIHAT Juliana
telah hilang dari pandangan, Dhani buka langkah gontai mahu meninggalkan
kawasan yang sesak dengan keriuhan manusia itu.
Tapi,
langkahnya mati saat matanya melihat sekujur tubuh yang sedang berdiri tak jauh
dari tangga eskalator. Ringkas bert’shirt lengan panjang, berjeans hitam dan
bertudung menyaksikan langkahnya saat itu.
Sekali
lagi? Indah sungguh takdir yang tercipta untuk dia. Pertemuan demi pertemuan membuatkan
Dhani bertambah yakin, masih ada ruang untuk dia memulihkan apa yang dulunya
tercalar.
Dia angkat
tangan dan melambai ke arah Dinie yang kaku berdiri namun tiada reaksi yang
ditunjukkan.
Takkan
marah sebab dia tak layan gadis itu waktu di kawasan sekolah kut? Tapi dia
berbuat begitu atas arahan gadis itu juga. Dan sekarang ni bukan di kawasan
sekolah, bermakna dia bolehlah usik-usik gadis itu, kan? Senyum nakalnya
mengiringi langkahnya untuk mendekati si gadis.
“Dinie?
Dinie buat apa dekat sini?” tegur Dhani yang sentiasa teruja dengan pertemuan mereka.
Tapi tidak
pula bagi Dinie. Bicara teruja lelaki itu cuma dianggap sebagai angin lalu.
Dibiar tak dibalas.
“Hantar
kawan?” tanya Dhani lagi. Belum habis terujanya, mengajak Dinie untuk sama
berbicara.
“Saya tak
sangka boleh jumpa Dinie sekali lagi. Hebat betul kebetulan kita, kan? Dalam
masa seminggu, dah banyak kali kita berjumpa, apa tandanya tu,” lanjut Dhani
lagi dengan senyum menawannya, cuba untuk sekali lagi menawan hati gadis itu.
Dinie,
masih sama. Sudah serupa patung cendana yang disumpah supaya tak boleh
bergerak. Membiar manusia yang lalu-lalang dan dia masih tercegat di satu
tempat. Pandangan tak lepas dari merenung lelaki yang belum surut senyumnya.
Senyumannya.
Manis wajahnya. Tenang bicaranya. Sama. Kenapa masih sama seperti empat tahun
dulu. Dinie terus menelek. Tak segan untuk terus meneliti wajah yang sudah
dimiliki di hadapannya itu.
“Dinie nak
pergi travel juga?” Dhani ringankan bibir. Belum jemu untuk terus bertanya. Dan
lambat-lambat gadis di hadapannya itu membuka mulut.
“Hantar
bakal suami outstation.” Dia tak mahu kalah. Dan kalau lelaki itu sudah
beristeri, kenapa tidak dia ada bakal suami!
“Oh?”
Kendur perlahan-lahan perasaan teruja Dhani. Kalau tadi dia kelihatan begitu
teruja, kini kegembiaraannya itu bagai direnggut dengan jawapan balas gadis di
hadapannya itu.
Jadi
betullah, surat undangan tu untuk majlis perkahwinan dia. Fikir Dhani, kuat dan
yakin ada majlis yang bakal meraikan gadis itu. Hanya mampu mengagak, kerana
hati tak tergamak untuk membaca isi kandungan kad undangan yang diberi Encik
Khir yang tiba-tiba muncul tempohari.
“Tahniah.”
Ada ucapan serba tak ikhlas muncul dari bibir Dhani. Masih sesak dadanya mahu
menelan kenyataan yang gadis dambaannya itu bakal dimiliki.
Apa
mungkin penantiannya selama empat tahun itu satu yang sia-sia? Dia tertanya
sendiri. Masih sama, saling berbalas renungan.
“Insya-Allah
saya akan datang waktu majlis Dinie tu nanti.” Dalam terpaksa Dhani tetap
berjanji. Semua demi menyembunyi rasa kecewa dalam hati.
Langkah
Dhani atur, tak mampu untuk terus menyaksi seraut wajah itu. Membiar hati
berteka-teki, tanpa dirungkai apa sebenarnya yang sudah berlaku.
No comments:
Post a Comment