Bosan.
Satu patah kata yang cukup menggambarkan apa yang aku rasa saat ini. Bosan bila
aku hanya mampu terperuk di dalam bilik sekangkang kera ini tanpa melakukan apa-apa
aktiviti. Bosan bila menanti panggilan dari Syarikat Gemilang Holdings yang entah
bila akan kunjung tiba. Bosan bila terpaksa mengikat perut di kala baki wang tunai
yang ada di tangan hanya tinggal beberapa sen saja lagi.
“Krrooookeeukkk…”
Aku
menekan perutku kuat. Boleh sawan angin kalau aku berterusan melayan lagu zapin
mak inang versi rock yang sedang berirama di dalam perut.
“Krrooookeeeukkkkkkrooottttt..”
Makin
rancak pula muzik dalam perutku ini. Aku capai tin biskut yang diletakkan di sisi
tilam. Tin itu aku angkat sedikit lalu aku goncang perlahan. Senyap dan kosong.
“Sabarlah
perut. Anggap jelah kita berpuasa hari ni.” Tin biskut itu aku letakkan semula dengan
rasa hampa. Perutku yang sedikit kembung ku usap perlahan. Mahunya tak kembung.
Beberapa gelen air masak telah aku telan semata-mata untuk menahan rasa lapar.
Aku
menyandarkan tubuh ke dinding konkrit. Kepalaku dongak sedikit memandang kipas yang
sedang ligat berpusing di syiling.
Saat
perut lapar begini mulalah terbayang-bayang di ruang mata masakan hasil air tangan
mak aku di kampung. Nasi putih panas, ikan patin masak tempoyak, ulam-ulaman dicicah
bersama sambal belacan. Bagaikan terbau-bau aroma masakan selera kampung yang mampu
buat aku tambah dua tiga pinggan nasi. Kecur air liur.
Tak
boleh jadi. Makin lama aku berkurung dalam bilik ini tanpa sebarang aktiviti, makin
meliar pula fikiranku duk terbayangkan makanan yang lazat-lazat. Lantas aku bangun
dan berdiri di hadapan cermin.
Cermin
plastik berbentuk empat segi yang aku beli di kedai runcit Ah Seng dengan harga
seringgit sembilan puluh sen itu aku pandang. Aku belek kulit di mukaku yang semalam
masih lagi licin tapi hari ini satu bonggol jerawat batu telah berjaya mencemar
duli di situ. Elok dia parking
di tengah-tengah dahi pula tu.
Tiba-tiba
telefon bimbit Nokia 1202 milikku menjerit nyaring. Pantas tanganku menggagau telefon
yang terletak di atas meja jepun. Nama mak yang tertera di skrin telefon membuatkan
bibirku tersenyum lebar.
“Assa…”
“Budak
bertuah! Semalam mak telefon kamu banyak kali kenapa tak angkat? Kalau kamu ada
hal sekalipun, lepas selesai hal kamu tu tak reti nak telefon mak balik? Kamu tahu
tak mak kat sini bukan main risau duk ingatkan kamu. Kalau…”
Aku
menjauhkan sedikit telefon dari telinga. Itu dia. Tak sempat aku nak beri salam,
suara bidan Lijah macam bertih jagung membingitkan telingaku.
“Assalamualaikum,
mak. Tak jawab dosa, kalau jawab sayang,” giat aku. Pinjam sekejap label garis a.k.a.
tagline Maria
Elena, vlogger terkenal tu.
Terdiam
sekejap mak di hujung talian. Hanya kedengaran nafasnya turun naik, mungkin penat
mengejar nafas akibat bercakap tak berhenti tadi.
“Waalaikumsalam.”
Mak menjawab salam.
Aku
gariskan senyum. Aku tahu mak memang sayangkan aku.
“Kalau
mak sayangkan orang mak janganlah marah-marah. Tak coollah
bidan Lijah kalau marah-marah macam ni. Nanti hilang seri awet muda mak tu.” Aku
semakin giat mengusik. Perangkap sudah mengena.
“Errr..mak
bukannya marah tapi nasihat,” balas mak dengan intonasi suara yang mengendur.
Aku
tersengih dengan kata-kata mak.
“Kamu
kat mana ni, ‘Ain?” Mak kembali menyoal aku.
“Tak
ke mana pun mak. Orang ada je kat bilik dalam rumah sewa ni.” Aku menjawab tenang.
Tubuhku
rebahkan di atas tilam. Bantal golek aku capai dan aku peluk kemas. Dah gaya macam
bergayut dengan pakwe pula aku ni. Banyaklah kau punya pakwe, ‘Ain.
“Kenapa
mak call kamu
tak dapat semalam?” soal mak lagi bernada curiga. Edisi siasat saluran bidan Lijah
sudah bermula.
“Masa
mak call semalam
orang tengah mandi. Sedar-sedar je tengok ada miss
called dari mak. Mak tahulah anak mak ni kalau mandi
macam mana.” Aku memberikan alasan.
Sungguh
memang aku ada di dalam bilik air ketika mak telefon. Biasalah kalau aku bersiram,
lima minit mana cukup. Paling-paling tidak pun lima belas minit aku perlukan untuk
menyental dan menggonyoh segala kerak dan daki di badan.
“Habis
tu kenapa tak return call?”
Amboi
mak. Sejak bila bidan Lijah ni pandai sebut perkataan Inggeris ni. Semakin maju
nampaknya. Aku tergelak kecil.
“Yang
kamu gelak kenapa? Kelakar ke soalan mak tu?” Tawa aku terus padam dengan ketegasan
suara mak. Serius sungguh mak kali ini. Aku garu dagu yang tiba-tiba terasa gatal.
"Tak
adalah. Orang pelik sejak bila mak pandai cakap omputih ni?"
"Kenapa?
Kamu ingat bidan kampung macam mak ni tak reti nak skipping?
C'mon..ini bidan Lijah. See the leg lah."
Aku
membulatkan mata sambil ketawa kuat. Terasa digeletek-geletek pundi kencing aku
mendengar mak bertutur. Dah gaya macam rapper
tersesat masuk kampung.
“Bukan skipping
lah mak.. spelling.
Skipping tu
kalu mak nak exercise,”
ujarku membetulkan kata-kata mak dengan yakin.
“Eh..mak
tahulah spelling tu
maksud dia mengeja. Kamu jangan pandai-pandai nak sesatkan mak pula,” pertikai mak.
Aku
tepuk dahi. Alamak! Macam mana boleh tersalah ni. Sepatutnya speaking.
Benda senang macam tu pun kau boleh lupa, ‘Ain.
“Errr…orang
sebenarnya saja je nak test English mak.
Hebat ye mak sekarang ni. Mak belajar dengan siapa ni?” dalih aku mengubah topik.
Cair tahi telingaku kalau mak tahu aku tak reti nak bezakan antara spelling
dengan speaking.
“Mr.
Henry yang handsome
tulah, siapa lagi.”
“Mr.
Hairi mana pula ni?” Aku mengerutkan dahi.
“Bukan
Hairi…Henn..rrrryy. Kamu ni nama je belajar sampai ke universiti. Tapi lidah tu
keras macam tu jugak lah,” sindir mak
membuatkan aku tengadah. Kantoi lagi!
“Samalah
tu. Orang Melayu panggil Henry tu Hairi. Samalah macam Ibrahim. Orang putih panggil
Abraham. Kalau Iskandar jadi Alexander. Sebutan je lain tapi maksudnya sama,” bahas
aku tidak mahu kalah.
“Ye
ke? Mak tak tahu pula. Mr. Henry tak habis ajar lagi ni,” gumam mak perlahan.
“Siapa
Mr. Henry tu, mak?” Aku mengulang soalan yang sama.
“Alah..Mr.
Henry Middleton,” beritahu mak.
Orang
putih sesat mana pula yang mak aku sangkut ni.
“Mak
kalau nak carikan ayah baru untuk orang pun, carilah orang Malaysia. Jauh benar
mak cari sampai merentas benua.” Aku membantah.
Aku
tahu sejak ayah pergi menghadap Ilahi sepuluh tahun yang lalu, mak hidup kesunyian
tanpa kehadiran seorang suami. Sungguh aku takkan menghalang andai mak bertemu pengganti
ayah. Tapi takkanlah dengan lelaki mat salleh. Entah potong entah kan tidak. Eiii..selisih!
“Astagfirullahalazim.”
Mak beristighfar panjang.
“Apa
yang kamu merepek ni, ’Ain? Kamu ingat mak ni hadap sangat nak kahwin lagi?” Nyaring
suara mak menyoal aku di hujung talian. Kalau boleh diukur tahap kenyaringan, mahunya
cecah 140 desibel.
“Habis
tu Mr. Henry tu siapa?” soalku lagi. Aku menggaru kepala.
“Mr.
Henry Middleton, cikgu dalam Oh My English tu.”
“Oh
My English?”
“Yalah,
rancangan kat Astro yang ajar macam mana nak cakap bahasa Inggeris dengan betul
tu. Takkan kamu tak tahu? Patutlah bahasa Inggeris kamu ke laut,” perli mak.
“Err..kat
rumah orang ni mana ada Astro. Yang mak ni sejak bila pula tengok rancangan Astro
ni? Rumah kita dah pasang Astro ke?” tanyaku pelik.
“Mak
tengok dekat rumah Makcik Leha. Dah tiga bulan Makcik Leha kamu tu pasang Astro.
Si Gayah yang bayar tiap-tiap bulan,” cerita mak.
“Ooo…”
Aku mengangguk. Dalam hati terasa juga bila aku sendiri tak mampu nak senangkan
mak lagi. Kesian mak terpaksa menumpang rumah jiran semata-mata nak tengok siaran
Astro. Bilalah aku dapat senangkan mak sedangkan nak beri makan mulut sendiri pun
tak lepas lagi.
“Kamu
tak jawab lagi soalan mak tadi. Kenapa kamu tak telefon mak balik semalam?” Pertanyaan
mak memangkas lamunan pendekku.
“Bukan
orang tak nak call mak
balik tapi…” Aku menarik nafas dalam. Tak terkeluar suara dari anak tekak ini untuk
tuturkan ayat seterusnya. Tidak tergamak aku nak beritahu mak yang telefon aku tak
ada kredit dan aku tak cukup duit nak beli top
up.
“Kamu
tak ada duit ke, ‘Ain?” Mak menebak dengan tepat. Nada suara mak berubah risau.
Aku
terkedu. Mak memang tak pernah gagal membaca apa yang ada dalam kotak fikiranku
biarpun hanya dengan mendengar lenggok suaraku saja.
“Kamu
belum dapat kerja lagi ke, ‘Ain?” Soalan mak membuatkan aku jadi serba salah.
Kalau
aku jawab pertanyaan mak, aku takut mak suruh aku balik duduk di kampung. Bukannya
aku tak suka tinggal di kampung. Tapi kalau di bandar raya Kuala Lumpur ni pun aku
sukar nak dapat kerja, apatah lagi di kampungku itu. Aku nak kerja apa kat sana?
Lagipun
aku tak nak menyusahkan mak yang memang dah sedia susah. Cukuplah aku dah bebankan
dia selama ini mengerah kudratnya sebagai bidan kampung semata-mata untuk menyekolahkanku.
“Mak
jangan risaulah. Tak lama lagi orang dapatlah kerja.” Aku berikan jawapan yang sedikit
melencong.
“Mak
tahu tak, hari tu orang ada pergi temu duga kerja. Kali ini orang yakin orang akan
dapat kerja tu,” tambahku. Sengaja aku menceriakan sedikit suara agar mak tak merasa
risau.
Tiba-tiba
mak mengeluh. “Maafkan mak. Sebab maklah kamu terpaksa hidup susah macam ni. Kalau
kamu duduk dengan keluarga…”
“Mak,
orang tak sukalah mak ungkit fasal tu lagi. Orang sayang mak. Orang bahagia hidup
dengan mak,” pangkahku laju.
Aku
tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran mak. Sungguh aku tak pernah menyesal
dengan takdir hidupku ini. Dan aku bersyukur dengan pilihan yang aku buat. Sekali
aku melangkah, takkan aku berpaling lagi.
“Orang
yang sepatutnya minta maaf dengan mak sebab orang masih tak mampu nak senangkan
mak,” sambungku syahdu. Mulalah aku nak buat drama swasta tak berskrip ni.
“Mak
tak kisah, ‘Ain. Kamu sudi hidup dengan mak pun dah cukup buat mak senang.” Nada
suara mak semakin sayu.
“Mak
tak pernah rasa susah bila mak ada kasih sayang seorang anak macam kamu,” tutur
mak mula teresak kecil. Kalau dibiarkan sekejap lagi mesti berderu-deru hujan air
mata yang akan turun membasahi pipi mak.
“Mak…”
panggilku.
“Orang
nak tanya satu soalan boleh?” tanyaku. Sengaja mengalih topik.
“Apa
dia?” Suara mak menahan sebak. Sensitif sungguh emosi bidan Lijah ni.
“Betul
ke mak senang dengan orang?”
“Betullah.
Kamu kan anak mak dunia akhirat,” balas mak tulus ikhlas.
“Kalau
macam tu, boleh tak mak pinjamkan orang duit seratus ringgit?” Pertanyaanku membuatkan
mak terdiam lama.
“Bertuah
punya budak. Dia kenakan kita balik rupanya!” jerit mak kuat. Suara mak kembali
nyaring. Ini barulah bidan Lijah yang sebenar.
Aku
tersengih sambil mengesat juring mataku yang sedikit basah. Mujur mak tak dapat
nampak.
“Boleh
tak, mak? Orang tengah kering sangat-sangat ni. Hujung bulan nanti bila orang dapat
gaji orang bayar balik.” Aku melembutkan suara.
“Yalah,
besok pagi mak masukkan dalam akaun kamu,” putus mak.
“Terima
kasih, mak,” ucapku perlahan.
Mak
memang tak pernah menghampakan aku biarpun sesusah mana keadaan mak waktu itu. Terasa
mataku kembali berkaca. Makin lama makin kabur. Haih..emosi sayu bidan Lijah dah
berjangkit kat aku nampaknya.
“Err..mak.
Orang sakit perut tiba-tiba ni. Nak ke tandas. Orang letak telefon dulu. Assalamualaikum.”
Cepat-cepat aku memutuskan talian sebelum mak dapat mengesan aku yang sedang menangis.
Sakit perut hanyalah sekadar alasan.
Aku
capai sebiji bantal dan menekup ke muka. Segala tangis aku hamburkan di situ semahu-mahunya.
Kenapa empangan di mataku ni semakin lebat menakungkan air?
Telefon
bimbitku sekali lagi berdering kuat. Bantal yang menekup di muka kuangkat. Skrin
telefon aku pandang lama. Tertera perkataan private
number.
Mulanya
aku malas nak angkat panggilan yang tak dikenali ini tapi bila memikirkan yang mungkin
itu panggilan dari Gemilang Holdings, aku mengubah fikiran.
Aku
bangkit. Wajah yang basah dengan air mata kusapu dengan telapak tangan. Nafas ditarik
dalam sebelum butang hijau di telefon aku tekan.
“Assalamualaikum.”
Suara seorang lelaki memberi salam di hujung talian.
“Waalaikummussalam,”
jawabku dengan suara yang serak.
“Boleh
saya bercakap dengan Cik Qurratul ‘Ain?” Lelaki itu menyoal formal.
“Ya,
saya.”
“Betul
ke ini Cik Qurratul ‘Ain?”
“Ya,
betul. Saya Qurratul ‘Ain,” tekanku.
“Kenapa
suara sengau? Awak menangis ke?” Lelaki itu menyoal lagi.
Aku
terkedu. Telefon di tangan kutenung sekilas sebelum aku tekapkan kembali ke telinga.
“Siapa
ni?” Senyap tiada respons.
“Hello…siapa
ni?” ulang aku lagi sekali. Hidung yang tersumbat aku picit perlahan. Senyap lagi.
Nak kata talian terputus, aku dengar macam bunyi orang bernafas di hujung talian.
“Kalau
tak nak cakap, saya letak,” ugutku.
“Uzair,”
balasnya sepatah.
“Uzair?”
“Yes.
Uzair
from Gemilang Holdings.”
“Oh..awak..”
Patutlah suara dia macam pernah aku dengar sebelum ini. Encik sarkastik rupanya.
“Err..awak
okey tak ni?” Dia menyoal lagi.
“Okey
je.”
“Suara
awak tu kenapa lain?” tanya Uzair macam tak puas hati dengan jawapan aku.
Aku
mengetap bibir. Sejak bila pula Uzair ini dilantik untuk jaga tepi kainku ini?
“Selesema.
Kenapa awak call saya
ni?” Suaraku naik satu oktaf. Menyampaikan rasa kurang senang di hati.
Uzair
berdeham. “Sebenarnya saya buat panggilan bagi pihak Gemilang Holdings. Sukacita
dimaklumkan Cik Qurratul ‘Ain telah berjaya dalam temu duga dan diterima bekerja
di syarikat kami. Tahniah,” beritahu Uzair formal.
Aku
bingkas berdiri. Bibir dah ukir senyum lebar. Berita yang aku terima benar-benar
membuatkanku teruja. Terasa ingin melompat sampai ke bintang.
“Sungguh?”
soalku separuh percaya. Bagaikan mimpi. Setelah hampir enam bulan aku ke hulu ke
hilir mencari kerja, akhirnya rezekiku ada di Gemilang Holdings.
“Tak
ada masa saya nak buat panggilan hangit pada awak,” sinis Uzair menjawab pertanyaanku.
Senyumku
kendur. Rasa terujaku sedikit merudum. Dia ni sengaja nak patahkan anginku. Kalau
jawab elok-elok tak boleh ke? Ini tak, ada saja jawapan sarkastik yang keluar dari
mulut itu.
“Manalah
tahu awak ni Faizal Ismail yang menyamar jadi Uzair yang sarkastik tu.” Opps! Terlepas
cakap sudah. Aku menepuk-nepuk mulut. Macam mana boleh tersasul ni?
Lama
Uzair diam tidak bersuara. Mesti dia tengah bengang dengan mulutku ni. Biarlah.
Dia juga yang mula dulu.
“Besok
datang ke pejabat untuk ambil surat tawaran dan lapor diri di Jabatan Sumber Manusia
sebelum pukul 8 pagi. Sila pastikan awak tepati masa dan lewat walau seminit boleh
menyebabkan tawaran terbatal dengan serta-merta.” Akhirnya dia bersuara tegas.
Melebih-lebih
pula arahan dia ini. Aku rasa macam dia sengaja menokok tambah fakta terutamanya
bab lewat tu.
“Arahan
daripada bos besar. Bukan saya sengaja reka,” sambung Uzair bagaikan dapat menebak
kata hatiku.
Aku
terkedu.
“And
one more thing, big boss pesan sila berpakaian
kemas. Pastikan diapers
awak cukup tebal untuk tampung apa-apa yang sepatutnya ditampung. Yang ni saya yang
pesan. Assalamualaikum.”
Klik!
Belum sempat aku membalas, Uzair telah meletakkan telefon.
Aku
mendengus geram sambil memandang telefon. Dia ni memang menyakitkan hatiku betul!
No comments:
Post a Comment