“K
|
AU
ni apa hal? Muncung aje dari tadi.” Dian pandang Fira yang sedang memandu.
Fira tak beri respons. Matanya pandang tegak ke hadapan.
“Nur Syafira, aku tanya kau ni.
Jawablah.”
“Aku rasa macam nak pindah aje.”
Tanpa menjawab pertanyaan Dian, tiba-tiba Fira berkata begitu.
“Pindah? Maksud kau pindah rumah?”
Besar mata Dian. Biar betul kawan aku ni.
“Yalah.”
“Kau nak pindah ke mana?
“Papa aku memang ada rumah lagi
satu kat Shah Alam. Rumah tu kosong, tak ada orang duduk. Aku ingat aku nak
pindah sana kut.”
“Kau nak tinggal dengan siapa kat
sana?”
“Tinggal sorang aje la.”
“Berani kau tinggal sorang?”
“Berani.”
“Beranilah sangat! Macamlah baru
sehari aku kenal kau.” Dian mengejek.
“Suka hati kau la nak kata apa
pun.”
“Mama dan papa kau benarkan ke?”
“Entah.”
“Kenapa kau nak pindah, Fira?”
“Hei, Banyak soal la kau ni.”
“Alah... jawab ajelah, kenapa kau
nak pindah?”
“Bosanlah duduk kat rumah.”
“Bosan?” Dian ketawa mengekek.
Jawapan yang sangat tak masuk akal.
“Kalau aku yang cakap bosan...
logik la jugak. Umi aku walaupun dah tak kerja tapi sibuk dengan macam-macam
aktiviti. Abi aku biasalah, kat klinik. Abang Affan sah-sah la tinggal dekat
rumah dia sendiri. Pembantu rumah memang tak ada. Selalunya aku aje
sorang-sorang kat rumah. Macam kau lain, nenek kau ada, bibik pun ada... ada
Danish pulak lagi. Nak bosan apanya?”
Malas nak jawab, Fira jongket bahu.
“Dulu setiap kali aku ajak keluar,
kau cakap kau lebih suka duduk kat rumah. Bila kita keluar pulak, kau tak
sabar-sabar nak balik. Kau kata, rumahku syurgaku. Sekarang tiba-tiba pulak nak
pindah. Konon bosan tinggal kat rumah. Ni mesti ada apa-apa yang tak kena,
kan?”
“Mana ada apa-apa? Tak ada apalah.”
“Macamlah aku nak percaya.”
“Terpulang,” balas Fira.
“Nenek kau suka membebel, kan?
Sebab tu la kau nak pindah, betul tak?” Dian meneka. Entah betul, entah tidak.
Bukan dia selalu jumpa pun nenek Fira tu.
“Tak adalah.”
“Kalau bukan nenek kau, mesti kau selalu kena marah dengan mama atau papa
kau.”
“Mana ada? Memandai aje cakap macam
tu.”
“Haa... aku tau.”
“Kau tak payah nak teka sangatlah
Dian, oii. Aku tak ada masalah pun kat
rumah, kecuali bosan.”
“Kau ingat aku nak percaya? Aku tau
kau bukan bosan, tapi kau tu sebenarnya cemburu dengan adik kau. Sebab cemburu
kau sanggup nak pindah rumah. Betul tak? Tapi kan Fira... kau ingat mama dan
papa kau nak benarkan ke? Aku berani potong jari, dia orang takkan bagi punya,”
ucap Dian seraya pandang Fira.
Walaupun sahabatnya itu tidak mahu
berterus terang, dia dapat rasa Fira cemburukan adiknya yang seorang itu.
Maklumlah hampir 20 tahun sebagai anak tunggal, dilimpahi dengan segala
kemewahan serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dah tentulah kehadiran
Danish buat Fira rasa tercabar.
“Eii, bercakap ikut sedap mulut
aje. Siapa cakap aku cemburu dengan budak kenit tu?”
“Hah, tengok! cemburu punya pasal,
nama Danish pun kau tak nak sebut. Kesian adik kau dapat kakak macam ni.”
Bibir Fira dah jadi panjang. Sakit
pula hatinya dengan ucapan Dian tu. Memang betul pun dia cemburukan Danish,
tapi perlu ke sebut? Saja nak tengok dia marah.
“Kau serius ke nak pindah rumah?”
Melihat rupa Fira yang semacam, Dian buka cerita tentang berpindah rumah
semula. Bukan apa, tak naklah Fira jadi lebih marah. Nanti Danish punya hal,
mereka pula bermasam muka.
“Serius la. Ingat aku main-main
ke?” Sebenarnya tak serius pun. Tak ada maknanya orang penakut macam dia nak
berpindah rumah dan tinggal seorang diri. Sengaja dia cakap macam tu sebab nak
puaskan hati sendiri.
Lagipun dia sayang banglo dua
tingkat, tempat dia tinggal sekarang. Yalah sejak kecil lagi dia tinggal di
situ. Sebab itulah dia tidak bersetuju apabila mama dan papa menyuarakan hasrat
hati untuk berpindah baru-baru ini. Mungkin mereka kecewa. Tapi dia ada alasan
sendiri. Dia memang tak ada hati nak berpindah ke sana. Tempat jatuh lagi kan
dikenang, ini kan pula tempat dia membesar. Tapi mama dan papa memang ibu bapa
yang memahami. Mereka sanggup melupakan hasrat hati mereka semata-mata kerana
dia, anak yang degil ini.
“Lagi satu... apa pendapat kau
kalau aku cari kerja?”
“Kau nak cari kerja?” Dian ketawa
terkekeh-kekeh.
“Kenapa gelak?”
“Macam tak percaya aje orang malas
macam kau nak kerja.”
“Mulut kau ni, kan?”
“Dah memang betul kau tu pemalas.”
“Kalau betul, kau nak cakap apa?”
“Kalau betul, alhamdulillah. Kau
boleh kerja kat syarikat abang aku.” Cepat Dian menjawab.
“Tak naklah.”
“Aku tau la syarikat abang aku tu
kecik. Tapi untuk cari pengalaman, apa salahnya.”
“Bukan sebab itu la.”
“Dah tu, kenapa pulak?”
Mengada-ngada betul la Dian ni.
Macamlah tak faham-faham. Lagi nak tanya.
“Nanti aku cakap dengan abang.”
“Cakap apa?”
“Cakap kau nak cari kerja la.”
“Tak jadilah. Duduk macam ni lagi
bagus, kan?”
“Dah agak dah. Dasar pemalas.”
“Kau sendiri kenapa tak kerja dengan abang
kau?”
“Tak suka la kerja dengan abang
sendiri.”
“Ya la tu. Cakaplah yang kau tu pun
pemalas.” Sengaja Fira bergurau begitu, padahal dia tahu, Dian adalah seorang
yang rajin dan boleh diharap. Sebenarnya beberapa bulan selepas tamat pengajian
di UTHM, Dian pernah bekerja di sebuah
syarikat IT. Tapi hanya dua bulan pertama gajinya dibayar. Selepas itu langsung
tiada sehinggalah Dian mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
“Eh, mana ada? Yang malas kau
sorang aje tau.”
“Yalah, yang bagus semua kau. Yang
tak elok semua akulah.”
“Tau tak apa.” Dian gelak mengekek.
“ASSALAMUALAIKUM
Fira. Dah lama sampai?”
Fira yang ralit dengan majalah di
tangan, angkat muka. Aunty Laila berjalan masuk ke dalam rumah.
Mungkin dari pasar raya, memandangkan kedua-dua belah tangannya penuh dengan
beg plastik yang berisi barang.
“Waalaikumussalam. Eh! Aunty, Fira baru aje sampai.”
Barang di tangan, Aunty Laila letak atas lantai. Dia
sendiri duduk sebelah Fira atas sofa.
“Aunty dari mana ni, shopping
ke?” Fira bertanya ramah seraya menyalami dan mencium tangan Aunty Laila.
“A’ah... shopping sikit-sikit. Kebetulan Abang Affan kamu ada balik, aunty ajaklah dia temankan aunty pergi cari barang dapur. Banyak
barang dah habis.”
Abang Affan kamu? Lain macam aje
bunyinya Aunty Laila ni? Tapi ucapan
itu tak penting pun untuk diambil peduli. Yang penting, Affan tu sendiri. Mana
nak menyorok ni? Dian, siap kau. Sampai hati kau tak cakap pun Abang Affan ada
balik. Kalaulah dia tahu Affan ada kat rumah, jangan harap dia nak singgah
tadi.
Beberapa ketika selepas itu Affan
masuk. Lelaki itu menghulurkan senyumannya yang manis tu buat Fira.
Fira melarikan pandangannya ke arah
lain. Entah kenapa, setiap kali Affan senyum, dia rasa seperti lelaki itu
sedang mengejek dan menyindirnya. Senyuman tu palsu, bukan senyuman ikhlas. Dia
fikirkan Affan akan berlalu ke dalam tapi tak. Sebaliknya lelaki itu mengambil
tempat atas sofa berhadapan Fira dan uminya.
Hisy! Apahal mamat ni duduk kat
sini pulak? Banyak lagi tempat lain kut. Fira merungut dalam hati.
“Fira duduk dulu ya? Aunty nak ke dapur.”
“Fira dah nak balik, aunty.” Cepat-cepat Fira jawab. Bila Aunty Laila dah masuk ke dalam, bermakna dia akan berdua-duaan dengan
Affan. Jangan harap!
“Kata baru sampai. Takkan dah nak
balik?” soal Aunty Laila dengan rasa hairan.
“Err... memanglah baru sampai, tapi
Fira cuma hantar Dian aje. Tak ada niat pun nak lama-lama kat sini.”
“Bukan selalunya Fira suka lepak
kat sini ke?” soal Aunty Laila lagi.
“Memang pun tapi hari ni tak
bolehlah aunty. Fira kena balik
sekarang. Ada kerja nak kena buat kat rumah.” Fira buat alasan. Langsung tak
pandang Affan. Tumpuannya hanya kepada Aunty
Laila.
“Ooo okey...”
“Balik dulu ya, aunty?”
“Tak tunggu Dian dulu?”
“Tak kut, aunty. Nanti Fira call
Dian.”
“Yalah...” balas Aunty Laila sambil membiarkan tangannya dipegang dan dicium gadis itu.
“Sampaikan salam aunty kat mama, ya?”
“Insya-Allah.” Fira tak tunggu
lagi. Segera langkahnya disusun ke pintu rumah. Tak pandang Affan pun walaupun
dari ekor matanya, dia perasan Affan sedang pandang dan senyum kepada dia. Tak
apalah. Tak perlu kut nak pandang dan balas senyuman mamat tu.
Aunty
Laila sendiri membawa beg-beg plastik
ke ruang dapur.
“Mana Fira?” tanya Dian yang baru
keluar dari biliknya. Dia berlalu ke muka pintu. Kemudian menjenguk ke luar
rumah. Toyota Rush milik Fira sudah tiada di tempat tadi. Sedarlah dia, Fira
sudah pun pergi.
“Abang, adik tanya ni... mana
Fira?”
“Entah, dah balik kut.”Affan
membalas.
“Kenapa dia balik?”
“Laa... mana la abang tau?”
“Abang cakap apa kat dia?”
“Tak cakap apa-apa pun.”
“Mesti abang ada cakap apa-apa.
Kalau tak... tak adanya dia balik tergesa-gesa macam tu.”
“Suka hati aje tuduh orang.”
“Fira tak pernah macam tu tau. Bila
ada abang aje, dia jadi menggelabah tak tentu pasal. Mesti ada apa-apa ni.”
“Suka hati adik la nak cakap apa
pun. Malas la abang nak layan.”
Tak sempat Dian nak sambung
membebel, telefon Affan berbunyi.
Telefon dari dalam poket, Affan
keluarkan. Lalu jari telunjuknya dibawa menyentuh skrin.
Muka Dian masam mencuka. Tak puas
hati dengan Affan. Dia dapat rasa Abang Affan yang menyebabkan Fira balik tanpa
sempat menunggunya. Entah apa agaknya yang Abang Affan cakap kat Fira tadi.
Bukan boleh percaya sangat abang ni. Tapi kalaulah betul Abang Affan tak cakap
apa-apa, mesti ada apa-apa yang berlaku antara kawan baik dan abangnya tu.
Sesuatu yang hanya menjadi rahsia mereka berdua.
Sebetulnya dah lama dia menyimpan
rasa musykil ini. Kenapa ya, Fira sentiasa mengelak dari jumpa Abang Affan?
Kalau kebetulan bertemu atau terserempak, Fira akan jadi macam cacing
kepanasan.
“Assalamualaikum, Nadia. Aku kat
rumah, baru aje balik.” Affan hulurkan salam.
“Apa dia? Kau nak ajak aku keluar?”
Dian mencebik. Kak Nadia rupanya.
Tak ada kerja lain agaknya perempuan tu. Asyik nak berkepit dengan Abang Affan
aje. Menyampah! Ini semua opah punya pasal. Suka sangat nak padankan cucu-cucu.
Kalau boleh semua cucu nak kena kahwin dengan sepupu sendiri. Termasuklah Abang
Affan dan dia sendiri.
Kalau Abang Affan cuba dipasangkan
dengan Nadia, anak Mak Ngah Shima, dia pula dengan Firdaus, anak Pak Long Zaki.
Tapi jangan harap dia nak ikut. Memanglah Firdaus bersetuju tapi kalau dia
sendiri tak nak, benda tu takkan jadi pun. Si Firdaus pun satu, macamlah tak
reti nak mencari sendiri. Yang nak ikut sangat rancangan mengarut opah tu
kenapa?
“Sorry la... aku baru aje balik dengan umi. Takkan nak keluar lagi
kut.”
Dian senyum. Kan bagus Abang Affan
jawab macam tu? Selalu tu Abang Affan main ikut saja telunjuk perempuan itu.
Memanglah Kak Nadia tu sepupu dia juga tapi kalau dah perangai mengada-ngada,
siapa suka?
“Kalau kau nak pergi, kau pergi
ajelah. Ajaklah siapa-siapa temankan. Kan aku dah cakap aku baru balik, penat
pun belum hilang tau?” Lantas Affan putuskan percakapan.
“Baru la nampak macam lelaki,”
sindir Dian.
“Weh! Memang abang lelaki, apa?”
Besar mata Affan. Sakit pula hatinya dengan ucapan Dian tu.
“Memanglah lelaki tetapi lelaki
lembik.” Dian mencebik. Kemudian berlari ke dalam. Sempat lagi menjelir kepada
abangnya.
“Berani
adik cakap macam tu. Nak kena ni!” Affan berteriak kuat.
No comments:
Post a Comment