PETANG yang sayu, terbawa-bawa sayu yang dicetuskan Adawiyah pagi
tadi. Mangkuk rantang kiriman emaknya pagi tadi dikeluarkan isinya, dihangatkan
lauk pauk yang dibawa dari kampung.
|
Sambil menghangat lauk fikiran Ainan kembali
melayang, memikirkan cara bagaimana untuk mengelak daripada Adawiyah terus
berkata-kata perkara yang sama.
Dia ke sini untuk berkerja, bukan untuk berkahwin.
Kahwin dengan suami orang pulak tu! Ada ke isteri yang terlalu mulia hatinya. Sanggup
korbankan hati dan perasaan sendiri semata-mata mahu melihat suaminya gembira
dengan perempuan lain?
Atau mulut sahaja kata rela. Hati? Dia faham apa
yang Kak Adawiyah rasa. Tapi tegakah nanti, dia sakiti perasaan wanita itu? Dan
mahu ke Abang Nazim terima dia sebagai isteri?
“Ah, serabut!”
"Masak?" Satu perkataan yang sudah
cukup buat Ainan tersentak. Masakan tidak, baru memikirkan tentang lelaki itu,
dan sekarang sudah muncul di situ. Muncul dengan senyuman yang bisa membuatkan
jantungnya luruh.
"Abang Nazim."
"Sedap bau."
"Lauk siang tadi. Tengah hari tadi tak
sempat makankan. Saya panaskan, takut basi. Sayang pulak, penat mak masak,” terang
Ainan dan buat-buat sibuk mengacau.
“Kalau abang nak makan, saya boleh tolong
hidang," pelawanya cuba sebaik mungkin untuk berbakti kepada majikannya
itu.
"Eh! tak perlu. Kalau dah panas, tinggal
aje. Nanti kalau rasa nak makan, pandailah abang ambil sendiri. Ainan datang
sini untuk jaga kakak, kan? Bukan nak jaga semua orang dalam rumah ni." Nazim
terpaksa berkata begitu. Tidak mahu Ainan terasa terbeban.
"Tapi saya bekerja dengan abang, tak salah
kalau saya tolong hidang. Saya hidang, lepas ni abang dengan kakak boleh makan
sama. Saya ada bawa serunding daging yang Kak Wiya minta tu. Abang panggil kakak,
kita makan sama-sama?"
Tak mampu menolak. Memandang jernih mata si
gadis, sebelum Nazim mengangguk dan berlalu mencari Adawiyah. Tak sampai hati
mahu buat gadis yang belum dua puluh empat jam di rumahnya itu berkecil hati.
Sepuluh minit berselang, hanya ada kelibat Nazim
yang berjalan santai mendekati meja makan. Sudah menukar pakaian, kali ini
berseluar jeans hitam dan ber-t Polo. Lagaknya seperti orang bujang. Kemas dan
kelihatan cukup pakej untuk seorang gadis terpikat dengan keterampilannya itu.
Nak ke mana handsome-handsome
macam ni? Nak keluar ke? Tapi kalau keluar, nak ke mana? Hati Ainan mula
menyibuk.
"Mana kakak?"
"Kita makan berdua sajalah. Dia tak lalu
lagi katanya. Lagipun Ainan dah suap dia makan bubur pagi tadi, kan? Sekarang
baru pukul tiga, rasanya dia masih kenyang. Kakak tu tak boleh makan banyak.
Senak perut katanya. Abang pun nak keluar. Nak cari barang dapur. Tapi sebelum
tu abang nak rasa gulai yang Ainan bawa tu."
Tersenyum Nazim memandang Ainan, terus memerhati
gadis itu yang sibuk dengan kerja pertamanya.
"Oh, okey. Sikit lagi nak siap
hidang."
"Jom. Duduk dengan abang, makan sekali,”
plawa Nazim ramah. Sudah menganggap Ainan serupa keluarga sendiri.
"Boleh?"
"Ainan, berapa kali nak cakap. Anggap abang
macam keluarga sendiri, buang semua rasa malu." Senyum Nazim hulur, memberi
rasa selesa pada gadis itu.
"Tapi.." Ada sesuatu yang membelenggu
fikiran Ainan waktu itu.
"Masih fikirkan kata-kata kakak?" soal
Nazim dan Ainan terangguk.
"Abang rasa apa yang perlu saya buat?"
Ainan meminta nasihat, tak mahu buat keputusan sendiri.
"Ainan ada hati dan ada perasaan kan?”
Nazim pandang anak mata Ainan yang baru duduk di kerusi di hadapannya.
“Kalau Ainan di tempat dia, tergamak ke Ainan
nak paksa suami Ainan nikah dengan perempuan lain?”
Tergeleng Ainan untuk beberapa kali menjawab
soalan tersebut.
“Kakak tu bingung, dia keliru dengan apa yang
ada dalam hatinya. Dia tak cuba lawan apa yang ada dalam hati dia. Sebaliknya
dia turutkan semua kata hati dia tu.” Nazim cuba untuk menjelaskan. Dia sendiri
tidak setuju dengan cadangan gila isterinya itu.
“Dan sekarang, dia nak paksa abang nikah dengan
orang lain. Dia anggap abang ni sunyi, perlukan seseorang untuk isi hidup
abang, tapi sebenarnya tak. Abang rela macam ni, dari sakitkan hati wanita yang
paling abang sayang," tegas Nazim, tak mudah untuknya menerima bulat-bulat
semua cadangan mengarut Adawiyah.
"Lainlah kalau Ainan sudi terima abang."
Tiba-tiba dia bersuara lagi. Tapi kali ini dalam keadaan berseloroh. Tidak mahu
sampai Ainan terkesan dengan kata-katanya sebelum ini.
"Apa?" Hampir terkeluar jantung Ainan.
Kalau tadi Kak Adawiyah yang minta, hatinya menentang keras tetapi sekarang
bila Abang Nazim berkata begitu, kenapa dia rasa macam nak pulak. Haih! Dia pun
dah hampir gila dek masalah suami isteri ini.
"Tak ada apalah. Abang gurau aje. Jangan
ambil serius. Ainan duduklah. Teman abang makan. Nampak sedap daging salai ni.
Kalau Ainan nak tahu, dah lama tak makan masakan rumah macam ni. Selalunya
abang beli, nak masak kalau setakat bubur tu, abang tahulah."
Ainan telan liur. Hampir dia termakan dek
kata-kata Nazim tadi.
“Beberapa bulan kebelakangan ni keadaan kakak semakin
lemah. Kalau sebelum ni bolehlah lagi masuk dapur, masak untuk abang. Tapi tak
apalah, abang faham. Walaupun adakalanya dia berkeras juga nak masak. Sebab tu
dalam rumah ni tak ada barang masakan. Sebab abang tak nak dia ke dapur dan
gagahkan diri masak untuk abang yang sihat.”
Eloknya peribadi lelaki ni. Beruntung Kak Adawiyah.
Mana nak jumpa suami sebaik dia ni. Selalu yang Ainan nampak, bila isteri
terlantar sakit, suami dah sibuk cari isteri baru.
“Abang makan?”
"Makanlah. Dah ada ni makan aje. Lain kali Ainan
masak lagi."
Berselera Nazim memulakan suapan sambil matanya menjeling
memerhati Ainan yang nampak masih malu-malu.
“Makan aje, dengan abang ni jangan nak malu.
Abang tak makan orang, abang makan nasi aje.” Cuba membawa suasana santai,
namun masih canggung gaya bahasanya. Belum biasa mungkin.
“Tak adalah. Saya tak malu pun. Kalau malu saya dah
tolak awal-awal kerja ni.”
"Baguslah kalau begitu.”
Diam seketika. Nazim terus dengan suapannya.
“Ainan cakap apa dengan kakak tadi?” Soal Nazim
memecah kesunyian.
“Abang tengok dia boleh dengar semua kata Ainan.
Habis semangkuk bubur tu. Kalau abang yang diajak berbincang tadi, sudahnya
mesti kami bertekak. Kakak sekarang bukan macam kakak yang abang kenal
dulu. Kalau sehari tak buat abang marah, memang tak sah."
Tak tahu kenapa ringan bibirnya mengadu dengan
Ainan. Mungkin sudah tiada pilihan, memandangkan hanya gadis itu yang tahu
kedudukan dia dan Adawiyah kini.
"Kerenah orang sakit, biasalah abang. Saya
akan cuba selami hati dia. Elak dari dia terus berkata tentang kita. Saya pun
takkan terima cadangan dia. Cuma.."
"Cuma apa?" soal Nazim, meletakkan
semula nasi yang mahu disuap ke mulut.
"Cuma saya cakap, saya akan fikirkan
cadangan kakak tu. Tapi abang jangan salah anggap. Saya cuma nak alihkan
perhatian kakak. Kalau tak cakap macam tu, kakak akan terus desak saya."
Ainan sedikit gelabah, takut lelaki di depannya ini salah faham.
"Tak apa, abang faham. Tapi kalau Ainan nak
terus fikir pun tak apa. Abang tak kesah." Hujung mata Nazim menjeling. Entah
kenapa dia suka bila Ainan gelabah begitu.
"Jangan abang.."
"Jangan? Ainan dah ada yang punya ke?"
"Belum."
"Habis?"
"Hati saya tak tergamak nak lukakan hati kakak.
Abang maafkan saya kalau saya nak cakap sikit." Lambat-lambat sahaja ayat
terakhirnya tadi.
"Cakap apa?"
"Jangan cuba tackle saya, please?"
luah Ainan mengundang gelak Nazim. Serasa sudah lama dia tak gelak begitu.
Ainan ketap bibir. Kenapalah nak cabul sangat mulutnya.
Boleh pula kata macam tu pada suami orang ni. Nasib baiklah lelaki di depannya ini tak ulas balik apa yang
dia cakap tadi. Kalau tak, mahu sekarang juga dia balik kampung.
Diam
dan Abang Nazim masih meneruskan santapan. Lain macam gaya lelaki ini hari ni.
Kalau sebelum ni dekat hospital serabut dengan jambang yang tak bercukur, baju
kemeja yang dibiar lepas. Hari ni, bukan main lagi gayanya. Berjeans dan t-
shirt berkolar hijau muda, nampak sangat kacak di mata Ainan.
Haih!
Yang hati ni pun dah pandai nak tafsir itu ini. Suami orang, Ainan. Ingat sikit.
Entahlah,
tak tahu kenapa, Ainan rasa macam ada satu daya tarikan yang menarik mata untuk
terus mencuri pandang ke wajah lelaki itu.
Agak-agaknya
berapa usianya ya? Nampak macam muda lagi. Dan Kak Wiya pula, rasa..
"Hrmm."
Pemerhatian
Ainan terganggu dek deheman Nazim. Terus tertunduk wajahnya memandang pinggan
yang cuma ada nasi dan kuah lemak yang tak berapa banjir.
"Tak
makan?" Hairan Nazim bila sejak tadi gadis itu diam dan langsung tak
menjamah makanan. Dan bukan dia tak perasan dengan pandangan curi-curi gadis
itu.
"Ha?"
"Abang
tanya kenapa Ainan tak makan?" ulangnya dengan mulut masih mengunyah
daging salai yang agak susah untuk dihancurkan.
"Atau
tak lalu makan? Duduk depan abang, terus hilang selera makan?" Nazim meneka.
Ainan
tak tahu nak jawab apa.
"Tak
jawab tu, bermakna betullah ya?"
"Tak
adalah. Sebenarnya saya memang tak makan banyak. Pagi tadi sebelum ke sini saya
dah makan. Dan biasa petang-petang macam ni saya cuma makan biskut." Macam
bodoh saja alasan yang Ainan beri.
"Oh..Kalau
macam tu, Ainan simpanlah semua lauk ni. Abang dah sudah. Tapi sebelum tu abang
nak cakap sikit."
"Apa?"
Ainan dongak kepala.
"Lauk
ni betul-betul sedap. Lain kali boleh rasa lagikan?" Nazim mengharap ada
yang sudi menjamunya dengan masakan seperti ini lagi.
Ainan
hanya tersenyum.
Diam?
Tak sudilah kut. Fikir Nazim.
"Kalau
Ainan rasa keberatan lupakanlah apa yang abang cakap tadi." Terzahir apa
yang ada dalam hati.
"Abang!"
panggil Ainan sebaik Nazim bangkit dan mahu berlalu pergi.
"Insya-Allah,
saya masak." Terbit senyum di bibir Ainan dan Nazim turut sama menghulur
senyum.
NAZIM ke pasaraya membeli
barang dapur. Sepeninggalan lelaki itu, Ainan mula mengemas. Kain lap dilalukan
pada kabinet perhiasan yang elok terletak di ruang tengah rumah.
Berhabuk!
Terbersin beberapa kali. Dicuci bersih setiap sudut. Mahu ruang itu kembali
berseri dengan perhiasan yang nampaknya bukan murah harganya. Di sisinya ada
sebuah lagi almari kaca yang dalamnya tersimpan pelbagai pinggan perhiasan yang
bercorak indah dan tentu sekali mahal harganya.
Mungkin
Kak Adawiyah punya koleksi. Tahu sangat kalau dah simpan dalam gerobok cantik
macam ni, tentu pinggan mahal. Samalah macam mak di kampung. Kalau dengan
anak-anak, pinggan plastik aje yang diizinkan guna.
Tersenyum
sendiri Ainan bila mengingatkan emaknya di kampung. Tanpa sedar dia sedang
diperhatikan oleh sepasang mata.
"Assalamualaikum..."
"Eh?"
"Eh?"
balas Nazim. Gelihati melihat Ainan begitu.
"Bukan
tadi abang tak ada ke?" Ainan pelik.
"Tadi
memang tak ada, sekarang ni dah ada." Nazim bersuara selamba.
“Mengemas?”soalnya
lagi.
“Ha,
berhabuk sangat rumah ni,” terang Ainan dengan tangan masih memegang kain lap.
"Ainan
buatlah apa yang patut. Anggap rumah ni macam rumah Ainan sendiri.”
Tergamam.
Tak tahu apa yang pelik, tapi yang pasti keadaannya waktu itu serupa orang
dipukau. Dengan tak disengajakan dirinya terus tegak dan tak mahu gerak-gerak.
Terus sahaja memerhati wajah Nazim.
Terpaku
dengan kata-kata lelaki itu mungkin. Buat macam rumah sendiri? Mana mungkin dia
mampu nak berumah sebegini. Besar, cantik. Cukuplah tinggalan rumah yang arwah
ayah tinggalkan di kampung tu. Dapat duduk di rumah itu pun dah cukup bersyukur.
“Ainan?”
“Hah?”
“Abang
dah letak barang dapur yang abang beli kat dapur. Nanti Ainan tolong kemas ya?”
“Oh!
Okey.”
Nazim
terus bergerak ke bilik dengan senyuman di bibir. Entah kenapa dia terhibur
melihat telatah Ainan yang sekejap menggelabah dan sekejap mengelamun itu.
Masuk
ke bilik, kelihatan si isteri sedang duduk bersandar di kepala katil.
“Sayang
nak mandi tak?” soal Nazim perihatin.
Adawiyah
mengeleng. Dia sebenarnya baru lagi duduk di situ. Tadi dari jauh dia memehati
si suami dan Ainan.
Rasanya
sudah terlalu lama dia tidak melihat permandangan itu. Permandangan yang mampu
mekarkan semula hatinya yang gundah tak sudah.
Alhamdulillah,
di hari pertama Ainan di sini, si suami sudah mula tersenyum.
Diperhati
ulas bibir suaminya yang mula mekar. Terlebih mekar sebenarnya. Sambil menukar
pakaian, dan bibir tak lepas dari tersenyum.
Mungkin
ini yang dinamakan takdir. Dia sudah atur, begini takdir hidupnya. Terpaksa
berkongsi kasih, terpaksa merelakan orang yang dia sayang lepas ke tangan orang
lain.
Ya,
mungkin bibir merelakan. Hati juga mampu selindungkan sakitnya. Tapi mampukah
nanti mata ini menyaksikan kemesraan mereka berdua? Fikirnya lagi, terlanjur
bibir mencadang dan rasanya apa yang dirancang akan diteruskan.
Usai
mandi dan menukar pakaian, kelihatan suaminya bergegas keluar bilik dengan
senyuman yang masih manis seperti tadi. Langsung tidak menoleh ke arahnya yang
berpura-pura tidur.
Mungkin
nak lebih dekat dengan Ainan. Itu fikir Adawiyah.
‘Jangan
begini Adawiyah. Kau yang mahu dan kau juga yang rela, takkan nak tarik balik
semua tu hanya kerana ada rasa cemburu?’ Kata hatinya, cuba memujuk diri sendiri.
Betul.
Apalah sangat hati orang yang nak mati seperti dia ni. Bila mati nanti,
hilanglah semua rasa sakit. Kali ini dia mesti nekad, mahu suaminya bersama Ainan.
Sebab dia nampak kebahagiaan lelaki itu bersama Ainan. Dalam rela, setitik dua
air matanya mengalir.
SIAP makan malam yang dipinta Nazim, Ainan bergerak ke depan,
cadangnya mahu mencari Adawiyah, mahu menguruskan keperluan wanita itu sebelum
masuk waktu maghrib.
Tapi takkan nak ceroboh bilik diorang kut?
Karang tak pasal-pasal dia buka pintu bilik ni, dan diorang tengah buat
apa-apa, tak ke naya nanti.
“Kenapa tak masuk?” teguran Nazim mengejutkan
Ainan.
“Err, saya ingat abang ada dalam.”
“Kalau abang ada dalam pun Ainan masuk aje.
Bukan kami buat apa-apa pun.” Selamba saja jawapan Nazim sambil membuka tombol
pintu, mahu Ainan masuk ke dalam.
“Masuklah,” ajaknya. Tak peduli Ainan yang
terkulat-kulat malu.
“Saya masuk dulu.” Cepat-cepat Ainan berjalan,
tak mahu fikir apa maksud ‘kami tak buat apa-apa’ yang diucap lelaki itu tadi.
Dan kepala ni pun, tak perlulah nak detail
sangat, buat-buat tak faham sudahlah.
“Memandangkan Ainan dah ada ni, abang terangkan
sekalilah apa yang perlu Ainan buat. Biasa petang macam ni, abang akan tolong
mandikan kakak. Tukar....” Terhenti bicara Nazim. Takkan itu pun Ainan nak kena
buat kut?
“Tukar.” Dalam tak nak sebut, mulut tetap
terluah.
“Kakak dah tak sedar bila masanya dia nak
keluar. Ainan fahamkan?” Memandang Ainan, dan lambat-lambat gadis itu
mengangguk.
“Okey. Dan Ainan pun kenalah tukarkan lampin
dewasa dia.” Sebak suara Nazim. Beban yang digalas seorang diri selama ini
nampaknya sudah beralih ke tangan Ainan. Mengharap Ainan betul-betul ikhlas
mahu membantu meringankan kerjanya.
“Okey.” Lambat-lambat Ainan menyahut.
“Tapi kalau rasa tak okey. Nak tunggu abang
balik kerja baru tukar pun, rasanya boleh.”
“Okey, insya-Allah saya boleh buat.” Yakin tak
yakin sahaja Ainan memberi kesanggupan. Dah nama pun jaga orang sakit, kenalah
bersedia buat semua benda.
“Jangan risau, Ainan perlu uruskan kakak, masa
abang tak ada saja. Kalau abang ada, Ainan boleh buat kerja lain. Satu lagi,
masak atau cuci baju, cuma cuci baju kakak saja. Makan pun sama. Masak untuk Ainan
dan kakak saja. Abang makan dekat luar. Dan kain baju pun sama, nanti abang
cuci sendiri.”
Satu persatu bidang kerja yang sepatutnya gadis
itu lakukan diterangkan. Kalau boleh tidak mahu sampai Ainan rasa terbeban.
Sebab dia tahu, bukan ringan tugas yang perlu gadis itu galas.
“Faham?” Tinggi sedikit suaranya, bila Ainan
masih terdiam. Hanya memerhati tubuh Adawiyah yang masih terlantar.
“Faham.”
“Bagus. Selebihnya pandai-pandailah Ainan nak
buat apa. Asal kakak terurus, dia dah tidur. Ainan boleh buat kerja Ainan. Kak
Adawiyah ni senang jaga. Bagi apa yang dia nak, kalau dia tak minta, tak payah
bagi apa-apa. Jadual pemberian ubat, nanti abang bagi Ainan.”
“Baik.”
“Tak perlulah formal sangat, kata nak anggap
abang macam keluarga sendiri.” Kembali ramah Nazim bersuara. Seakan berusaha
mahu mendekati gadis yang masih kelihatan kaku bila ada dia dan Adawiyah.
“Wiya... Wiya...bangun sayang.” Wanita yang
sejak tadi mencuri dengar itu mula membuka mata. Wajah Ainan yang terlebih dulu
dilihat, sebelum sekuntum senyuman yang tak berapa mekar dihadiahkan.
“Dik.” Panggilan barunya sejak dia bertemu Ainan.
Manja dan kedengaran lembut suaranya.
“Bangun pun. Ainan ada masak lemak kuning ayam,
Wiya nak makan atau solat dulu.” Suara Nazim lembut. Bukan hanya jiwa Adawiyah
rasa terbuai, malah Ainan yang berdiri juga sudah tidak senang dirinya.
“Nanti-nantilah. Abang keluarlah. Tinggal Ainan
dengan Wiya.”
“Halau abang?” Nazim memeluk tubuh dengan bibir
diherotkan.
“Sampainya hati.”
“Wiya ada hal nak bincangkan dengan Ainan. Abang
solat dekat luar sajalah.” Adawiyah Menarik tangan Ainan. Ada sesuatu yang mahu
diperkatakan dengan gadis itu.
“Okey, bagi peluang untuk korang bersidang.
Abang keluar dulu?” Dihadiahkan isterinya itu senyuman, sebelum jemarinya
mengusap pipi cengkung Adawiyah yang seakan hilang serinya.
Nazim mengatur langkah keluar. Hatinya tertanya
juga apa yang penting mahu dibincangkan sehingga si isteri menghalau dia
keluar.
Lama juga dia menunggu, sampai habis waktu
maghrib Ainan tak juga keluar-keluar. Sampai perutnya dah berbunyi minta
makanan.
“Nak makan? Kalau nak, saya boleh sediakan.”
Suara Ainan akhirnya menyapa telinga.
“Makan tu boleh tunggu. Tapi satu perkara yang
abang nak tahu.”
“Apa dia?”
“Lama-lama dekat dalam tu buat apa?” soal Nazim
seperti dapat mengagak.
“Tak ada apa pun. Sembang-sembang aje. Yang penting
bukan mengumpat Abang.” Ainan mula menyenduk lauk untuk dihidangkan pada Nazim.
“Oh. Ingatkan kakak ada cakap pasal siang tadi.”
“Soal kita?”
“Hrmm..”
“Memang itupun, tapi kali ini saya dapat elak.”
Aina senyum.
“Iya?” Cepat sahaja Nazim memusingkan badan,
tanpa disengajakan, pandangannya memanah Ainan yang kebetulan ralit
memerhatikan dirinya.
Haih!
“Ainan cakap apa? Macam mana boleh lepaskan diri
ni?” Kendur kembali suara Nazim.
“Saya cakap segalanya saya serah pada abang.
Jadi, saya lepaslah.” Ainan gelak tapi wajah Abang Nazim kelihatan terus
berubah. Marah ke dia?
“Abang Nazim marah saya ke?” Mulut bercakap,
tapi pandangan tertunduk.
“Tak adalah. Memang patut pun kalau Ainan kata
macam tu. Buat apa nak fikirkan masalah kami. Dan abang pun kalau boleh tak nak
sampai Ainan terbeban dengan apa yang menimpa kami. Biar abang sendiri yang
tanggung semua ni. Terima kasih, sebab dah bagi jawapan yang betul.”
Cepat sahaja Nazim berlalu, dan Ainan yang tidak
faham apa-apa terus tegak di situ.
Peninglah dengan orang-orang dalam rumah ni.
Macam-macam hal.