Matahari tegak memancarkan sinar. Cuaca yang baik petang itu
dengan suhu hampir mencecah 27 darjah Celsius memudahkan tugas juruterbang
penerbangan MH257 dari Heathrow, London mendaratkan pesawat di landasan
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
‘Aisy membetulkan duduk untuk menghilangkan lenguh yang
mencengkam seluruh urat sendi. Perjalanan jauh yang ditempuh hampir 13 jam itu
benar-benar memenatkan. Tali keledar keselamatan yang melilit di pinggang
ditanggalkan sebaik isyarat memasang tali pinggang keledar dimatikan.
‘Aisy menjengah ke luar tingkap pesawat, membuang pandangan.
Akhirnya dia kembali menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Tanah tumpah darah yang
telah lama ditinggalkan. Kembali kerana perjalanannya dalam menimba sekelumit
ilmu di bumi asing telah pun selesai.
“Selamat pulang ke tanah air, Rahadatul ‘Aisy Hilmi.”
Bisiknya perlahan pada diri sendiri. Sebuah keluhan berat meniti di bibir comel
itu. Cukup menggambarkan hatinya yang sedang berperang hebat dengan pelbagai
rasa.
Kelibat penumpang yang mula bergerak keluar dari perut
pesawat dihantar dengan pandangan kosong. ‘Aisy masih pegun di kerusi. Berat
terasa kakinya untuk turut mengorak langkah. Andai dia punya pilihan saat ini,
dia lebih rela untuk terus berada di bumi England. Biarpun ada rindu yang
bertamu di hati pada keluarga tercinta. Biarpun bukan mudah untuk mengharung
hidup di negara orang seorang diri. Namun, dia lebih rela menempuh kesusahan
itu daripada terpaksa merasai kesakitan tatkala mengingati segala kenangan
pahit yang pernah ditinggalkan di sini. Bukan mudah untuk dia melupakan memori
saat maruahnya dicarik-carik oleh seorang lelaki bergelar suami.
Perbezaan jarak sejauh 6,557 batu seolah-olah membebaskan
dirinya daripada buruan kenangan silam yang memeritkan. Membenarkannya untuk
meraih sedikit rasa bahagia dengan kehidupan baru yang dijalani di bumi asing.
Sekurang-kurangnya, kesibukan dengan kerja-kerja penyelidikan berjaya
membuatkan dirinya tidak lagi dihambat bayangan duka semalam biarpun mungkin
hanya untuk seketika cuma.
Dan kini, dia harus kembali setelah empat tahun dia melakar
pengalaman di tempat orang. Dek terikat dengan janji, dia pulang ke tanah air
untuk melaksanakan amanah mendidik anak bangsa, setelah segulung ijazah Doktor
Falsafah berjaya diperolehi. Walaupun kepulangannya mungkin akan membuka ruang
pada sebuah pertemuan. Pertemuan yang bisa melukakan kembali parut di hatinya
sendiri. Namun, pilihan apakah yang dia ada?
Sehingga masa itu tiba dia perlu memperkemaskan hati. Menguatkan
emosi. Tidak akan diizinkan dirinya kalah di hadapan lelaki itu berulang kali.
Andai ada pertemuan lagi, biarlah saat itu dia sudah cukup kuat untuk bertahan
menentang lelaki yang sangat berpengaruh itu. Demi sebuah hak yang perlu
dituntut. Demi sebuah perhitungan yang ditinggalkan tanpa penyudah.
“Come on,
Rahadatul ‘Aisy Hilmi”
Sekali lagi dia menyeru namanya sendiri. Menitipkan semangat
dalam diri seraya cuba mengusir kebimbangan yang menjengah sanubari.
Keadaan perut pesawat yang sudah mula lengang memaksanya
untuk bangun. Bagasi kecil yang disimpan di ruang atas dicapai. Dia menarik
nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan. Kepalanya didongakkan sedikit. Langkah
kakinya diatur satu persatu menuju ke terminal ketibaan.
“Assalamualaikum...”
‘Aisy memalingkan wajahnya sebaik satu suara halus
menyapanya. Imej gadis manis berbaju kurung moden terbias di pandangan mata. Pantas
sebuah senyuman lebar terukir di bibir.
“Waalaikumussalam.” Salam dijawab perlahan. Tubuh kecil Sakeena
dipeluk kemas, meleraikan rindu yang dipendam sekian lama.
Sakeena, teman yang paling rapat dengan ‘Aisy. Hubungan
persahabatan yang telah terjalin sejak sedekad yang lalu meletakkan Sakeena
sebagai teman yang paling dipercayai ‘Aisy. Setiap inci sejarah hidup ‘Aisy
dipegang kemas Sakeena. Terlalu banyak perkara yang mereka kongsi bersama
sehingga tiada rahsia yang wujud antara mereka berdua.
“Kau dah banyak berubah sekarang, ‘Aisy.” Tutur Sakeena
sebaik pelukan dileraikan. Matanya tekun memerhati susuk tubuh ‘Aisy atas
bawah. Pertambahan usia membuatkan wajah ‘Aisy tampak lebih matang dan
berkarisma. Namun, entah kenapa dia dapat rasakan ada sesuatu yang kosong pada
wajah itu. Meskipun senyuman lebar tidak lekang menghiasi bibir ‘Aisy.
“Mana ada berubahnya. Aku masih sama je macam dulu. Cuma
lemak-lemak mungkin dah agak kurang menempel kat tubuh aku ni.”
‘Aisy tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun
cantik. Suaranya sengaja diceriakan agar keresahan yang sedang bersarang di
jiwa dapat disembunyikan.
“Itulah yang buat aku hairan. Kau ni sebenarnya pergi
belajar ke atau kau pergi sedut lemak kat sana?” Gurauan nakal Sakeena meledakkan
tawa ‘Aisy.
“Tak ada maknanya aku nak buat kerja haram tu. Kat sana
hari-hari aku ulang-alik ke universiti berjalan kaki. Makan pula tak menentu.
Kadang-kadang tu balik dari universiti, badan dah penat lupa nak makan. Bantai
tidur lagi syok. Sebab itulah agaknya berat aku susut.” Bersungguh-sungguh
‘Aisy menjelaskan. Kedudukan rumah sewanya dan universiti yang tidak jauh
membuatkan dia lebih selesa memilih untuk berjalan kaki daripada menggunakan
kenderaan awam. Orang kata banyak berjalan luas pandangan!
Sakeena semakin galak merenung temannya itu. Entah kenapa
simpatinya tumpah setiap kali dia menatap wajah tenang itu.
“Betul ke ni? Bukan kurus sebab makan hati ke?” Soal Sakeena
sengaja menduga perasaan ‘Aisy.
“Makan hati? Kau kan tahu aku tak makan organ-organ dalaman
ni. Tak bagus untuk otak.” Balas ‘Aisy pura-pura tidak faham. Bukan sekarang
masanya untuk dia berbicara tentang soal hati dan perasaan meskipun tiada
rahsia antara dia dan Sakeena.
“Sakeena Salihin, you
look gorgeous my dear.” Puji ‘Aisy mengalih topik perbualan. Kedua-dua
belah bahu Sakeena diusap lembut. Seri yang jelas terpancar di raut wajah
Sakeena cukup memberitahu yang temannya itu sedang meniti saat-saat bahagia
bergelar tunangan orang.
“Puji aku ini ada makna ke? Macam nak mengelat je.” Tingkah
Sakeena. Tidak terkesan langsung dengan pujian ‘Aisy. Dia yakin ‘Aisy sedang
menyembunyikan perasaannya.
“Aku ikhlas lah. Bukan senang aku nak puji orang ni. Sekali
aku puji memang aku benar-benar maksudkan kata-kata aku tu.” Bahu Sakeena
dipaut mesra. Memang dia benar-benar ikhlas memaknakan kata pujian itu.
“Apa kata kita singgah food
court. Selesa sikit nak borak-borak. Lagipun flight aku ke Kuala Terengganu pukul 2.00 petang nanti, banyak masa
lagi ni.” Cadang ‘Aisy mula menyorong troli. Namun langkahnya terhenti apabila
menyedari Sakeena masih tidak berganjak. Masih merenungnya tajam. Dia tahu
Sakeena sedang cuba membaca isi hatinya.
“Jomlah, perut aku pun dah lapar ni. Kau tahulah makanan
dalam flight tu macam mana. Aku dah
rindu sangat nak makan nasi lemak, roti canai dan laksa Penang ni. Pekena teh
tarik kaw kaw pun best juga ni.” Lengan Sakeena ditarik perlahan.
“Kau ini dah berapa
bulan tak makan ni? Selera mengalahkan anak jin.” Bulat mata Sakeena memandang
wajah selamba ‘Aisy yang sedang tersengih nakal.
“Aku ini dah bertahun tau tak merasa masakan Malaysia. Makan
tahun tau bukan bulan. Kalau masak kat sana pun, rasa dia tak sama dengan makan
di negara sendiri. Selalu ada je bahan yang kurang. Jomlah, perut aku dah
berdondang sayang ni.” Beria-ia ‘Aisy mengajak Sakeena sambil menepuk-nepuk
perutnya.
“Yalah..yalah..” Sakeena mengeluh lemah. Akhirnya dia
mengalah. Mereka beriringan menuju ke medan selera yang berada di aras dua.
‘Aisy mengerling jam di pergelangan tangan kirinya. Masih
berbaki tiga jam lagi sebelum penerbangan domestik ke kampung halamannya. Emak
dan ayah pasti sedang menunggu kepulangannya. Begitu juga Rizal dan Sumayyah,
dua orang adik kesayangannya.
Tersungging senyuman nipis di bibir ‘Aisy tatkala fikirannya
mengingati setiap wajah ahli keluarga yang dikasihinya. Masih terngiang-ngiang
suara ceria Haji Hilmi dan Hajah Maryam ketika dia memaklumkan kepulangannya ke
tanah air. Sudah pasti dia juga tidak sabar untuk menatap wajah kedua orang
tuanya. Empat tahun dia menyulam rindu. Bukannya dalam tempoh tersebut dia
langsung tidak mempunyai peluang untuk pulang ke Malaysia. Namun, dia tiada
kekuatan. Dia memerlukan masa dan ruang untuk merawat luka di hatinya.
BAB 1
Apa yang dibimbangkan akhirnya terjadi. Belum pun sampai
beberapa jam’Aisy menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, pandangan matanya disajikan
dengan seraut wajah yang paling ingin dihindarinya. Retina matanya masih belum
buta dan otaknya masih cekap memproses isyarat yang dihantar oleh mata.
Umayr Harris! Nama itu kembali bergema. Empat tahun dia
mengumpul kekuatan untuk melenyapkan nama itu, namun kini dia tewas lagi.
“Harris…” Tanpa sedar bibir ‘Aisy menyebut nama itu.
Mujurlah panggilan itu cukup perlahan untuk didengari lelaki itu.
Sebaik ‘Aisy melangkah keluar dari rest room, pandangannya terpaku pada susuk tubuh tegap milik
Harris. Dia tergamam seketika. Bebola matanya menari-nari menyaksikan lelaki
yang sedang leka berbual dengan seorang wanita cantik di sisinya.
‘Aisy segera berpaling membelakangkan tubuhnya tatkala
dirasakan Harris mula mengangkat wajah dan mengalihkan pandangan ke arahnya. Pantas
cermin mata hitam dicapai dan disangkutkan di celah telinga sebagai perisai
untuk menyembunyikan wajah. Dia membetulkan langkah mengayun laju menuju ke
satu arah yang dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia tahu dia perlu melarikan
diri. Harris tidak boleh tahu kepulangannya ke sini. Sekurang-kurangnya tidak
buat masa ini kerana dia masih belum bersedia untuk bertemu empat mata dengan
lelaki itu.
‘Aisy menghelakan nafas lega sebaik terpandangkan kelibat
Sakeena yang sedang menunggunya di meja makan. Bayangan Harris hilang entah ke
mana. Dia yakin Harris tidak menyedari kehadirannya. Mujur dia cepat bertindak
tadi. Tidak pasti bagaimana harus dihadapinya andai Harris perasan dengan
kehadirannya tadi. Melihat susuk tubuh lelaki itu dalam jarak sejauh lima meter
pun sudah cukup mengundang rasa gentar di jiwa.
Dengan perasaan gugup yang masih tebal bersarang, ‘Aisy
menarik kerusi dan duduk di hadapan Sakeena yang sedang menikmati nasi goreng.
“Kau ni kenapa, ‘Aisy? Macam terserempak hantu je.” Kedua-dua
belah kening Sakeena hampir bertaut saat terpandangkan wajah pucat ‘Aisy.
‘Aisy hanya menyepikan diri, langsung tidak menunjukkan
sebarang tindak balas terhadap soalannya.
“Hei, kau ini kenapa?” Sakeena meninggikan sedikit suaranya
sambil menggoncang lembut tangan ‘Aisy yang sedang tertunduk kaku.
‘Aisy mengangkat kepalanya sedikit. Dua ulas bibirnya menahan
ketar untuk memulakan bicara.
“Err.. Umayr Harris.. aku.. aku nampak dia.” Buat kali kedua
nama itu meniti di bibirnya.
“Harris? Macam mana dia boleh ada kat sini?” Soal Sakeena separuh
percaya.
‘Aisy menggelengkan kepala. Dia tiada jawapan untuk persoalan
sama yang turut berlegar di benak
fikirannya. Mustahil Harris datang untuk menyambut kepulangannya. Lelaki itu
cukup hebat membenci dirinya. Dan dia sendiri tidak mengharapkan kehadiran
Harris.
“Dia..dia tahu ke flight
aku hari ini?”
‘Aisy memandang Sakeena dengan riak wajah yang keliru. Tidak
mungkin Sakeena yang menyampaikan berita kepulangannya kepada Harris. Sakeena sendiri
seolah-olah turut melancarkan perang dingin terhadap Harris setelah apa yang
dilakukan lelaki itu terhadap dirinya.
Sakeena menjongketkan bahu tanda tidak tahu. “Siapa lagi tahu
kau balik ke sini?”
“Tak ada siapa. Cuma kau dan family aku je yang tahu aku pulang ke Malaysia hari ini.” Beritahu
‘Aisy dengan kedua belah keningnya berkerut. Masakan Haji Hilmi atau Hajah
Maryam yang memberitahu Harris tentang kepulangannya. Awal-awal lagi dia sudah
menitipkan pesanan untuk merahsiakan kepulangannya terutama daripada
pengetahuan Harris. ‘Aisy melepaskan keluhan yang panjang. Gagal mendapatkan
jawapan yang pasti.
“Ini kan tempat awam. Mungkin dia pun baru balik dari mana-mana.”
Putus ‘Aisy sendiri membuat kesimpulan. Dia cuba berfikir dengan lebih
rasional. Sebagai ahli lembaga pengarah Indah Puncak Corporation, salah sebuah
syarikat konglomerat Malaysia yang terbesar, pasti Harris di antara orang yang
sentiasa perlu mengembara atas urusan kerja. Lapangan terbang ini sudah
diibaratkan seperti rumah keduanya mungkin.
“Boleh jadi juga.” Sakeena menganggukkan kepala mengiakan.
“Habis tu dia nampak kau tak?” Wajah teman yang sedikit
terusik itu dipandang. Kesian ‘Aisy. Pasti wanita ini sedang berperang hebat
dengan perasaannya sendiri.
“Aku rasa tak. Lagipun waktu tu dia tengah bercakap dengan
seseorang.”
‘Aisy menelan liur pahit. Dia pasti Harris tidak menyedari
kehadirannya. Apatah lagi ketika itu Harris sedang asyik memberikan tumpuan terhadap
wanita cantik di sisinya. Mungkin teman istimewa lelaki itu. Nampak begitu
mesra sekali. Pasangan yang sangat sepadan. Hatinya mengakui.
“Mujurlah. Kau okay, ‘Aisy?” Diperhatikan wajah ‘Aisy yang
seakan hilang dalam dunianya sendiri.
“’Aisy, kau okay tak ni?” Sakeena mengulang pertanyaannya.
“Aku..aku okay. Kau jangan risau.” Ujar ‘Aisy
tersekat-sekat. Senyuman nipis diukirkan demi untuk meyakinkan Sakeena. Pada
masa yang sama dia cuba meyakinkan diri sendiri juga. Aku okay. Mesti okay..
Getus hatinya.
“Betul ni? Are you
sure?” Tanya Sakeena berulang kali.
Entah kenapa hati Sakeena berat untuk mempercayai kata-kata
‘Aisy. Biarpun beribu kali bibir ‘Aisy mengungkapkan yang dirinya tidak apa-apa,
tetapi ‘Aisy bukanlah seorang pelakon yang hebat dalam menyembunyikan keperitan
yang sedang dirasainya. Ternyata tempoh empat tahun masih tidak mampu membuang beban
derita yang terpaksa ditanggung selama ini.
“Betul aku tak apa-apa. Jomlah kita makan. Perut aku dah
lapar ni.” Nada suara ‘Aisy berubah ceria. Dia menguntumkan senyuman nipis
sebelum mengalihkan pandangan pada makanan yang sedang terhidang di atas meja.
Sudu dicapai dan laksa disuap ke dalam mulut. Walaupun seleranya bagaikan mati
namun suapan diteruskan jua.
‘Aisy langsung tidak menghiraukan renungan pelik Sakeena.
Dia tahu, di depan temannya itu dia tidak mampu untuk berselindung namun dia
tidak mahu bayangan Harris terus membelenggu ruang ingatannya.
“Kot iyapun dah lapar benar, tanggalkanlah dulu cermin hitam
kau tu. Laksa tu bercahaya sangat ke sampai silau mata kau?”
Sakeena ketawa kecil. Faham dengan kehendak temannya yang enggan
memanjangkan perbualan berkaitan Harris. Dia tidak mahu memaksa dan membuatkan
‘Aisy semakin terbeban.
“Nak buat macam mana. Aku kalau nampak laksa Penang ni,
memang tak pandang kiri kanan dah.” Balas ‘Aisy sambil turut ketawa kecil menyembunyikan
kesilapan diri. Cermin mata hitam yang menutupi anak matanya yang berwarna
coklat ditanggalkan dan diletakkan di tepi.
Suasana dibiarkan sepi. Hanya kedengaran bunyi sudu dan
garpu yang berlaga dengan pinggang kaca. Sengaja Sakeena memberikan waktu untuk
‘Aisy menenangkan dirinya.
***
‘Aisy membalas lambaian Sakeena sebelum melangkah masuk ke
balai berlepas. Kakinya bergerak pantas ke kaunter pemeriksaan imigresen. Agak
leka berbual dengan Sakeena sehinggakan tidak sedar waktu untuk menaiki pesawat
semakin hampir. Mujurlah pengumuman yang berkumandang menyedarkan dirinya
daripada terlewat.
Perpisahan selama empat tahun membangkitkan pelbagai cerita
dan gosip yang ingin dikongsi. Apatah lagi Sakeena memang seorang penglipur
lara yang hebat. Tidak kering gusi dia mendengar bicara sahabatnya itu.
Sekurang-kurangnya kehadiran Sakeena menemaninya petang itu berjaya membuang
bayangan Harris daripada terus menghantui benaknya.
Langkahnya dibesarkan apabila melihat hampir semua penumpang
telah bergerak memasuki perut pesawat.
“Selamat petang, puan.” Ucap pramugara menyambut
kedatangannya dengan senyuman manis.
“Selamat petang.” ‘Aisy turut membalas senyuman itu sambil
menundukkan kepalanya sedikit.
Setelah selesai urusan pemeriksaan tiket ‘Aisy melangkah ke
arah tempat duduknya berpandukan arah yang ditunjukkan pramugara tadi. Dia
melepaskan lelah sebaik melabuhkan duduk di kerusi penumpang. Tali pinggang
keselamatan dipakai. Perkara pertama yang akan dilakukan setiap kali dia
menaiki penerbangan tanpa perlu menunggu arahan daripada atendan penerbangan.
Matanya melilau sekeliling. Masih banyak kerusi yang kosong
tidak terisi menandakan tidak ramai penumpang dalam penerbangan petang itu.
Begitu juga kerusi di sebelahnya. Sekurang-kurangnya keadaan itu memberikan
sedikit kebebasan untuknya bergerak. Maklum sajalah, berapa sangatlah keluasan
tempat duduk dalam kelas ekonomi itu.
‘Aisy menyandarkan badannya mencari keselesaan. Dia menarik
nafas dalam. Kedua-dua belah tangan yang sudah dibasahi peluh digenggam erat.
Kelopak matanya dipejamkan rapat sambil mulut terkumat-kamit membaca doa
menaiki kenderaan. Menghilangkan rasa cuak yang mula bertandang. Rasa fobia
yang terpaksa ditempuhinya setiap kali menaiki kapal terbang.
‘Aisy membuka mata apabila menyedari kerusi di sebelahnya
telah diduduki penumpang. Sebaik dia menoleh kepalanya ke sebelah kanan,
pandangannya sekali lagi disapa wajah Harris. Kenapa wajah putih lelaki itu
juga yang menjelma ke mana-mana saja dia pergi?
Pandangannya dikalihkan ke depan. Dia menepuk kedua belah
pipinya dengan telapak tangan. Seolah-olah ingin menyedarkan dirinya ke alam
nyata. Dan bila dia berpaling ke kanan sekali lagi, bayangan itu tidak juga hilang.
Parah!
“Apa khabar, ‘Aisy?” Lelaki itu menyapa tenang. Tidak pula
menoleh ke arah ‘Aisy.
Gegendang telinga ‘Aisy jelas menangkap suara garau itu.
Tidak berubah langsung. Barulah dia sedar, bukan pandangan matanya yang menipu.
Bukan juga fikirannya yang berhalusinasi. Semuanya adalah realiti. Harris
benar-benar berada di depannya kini!
“Aa..awak buat apa kat sini?”
Sapaan Harris tidak dijawab sebaliknya dibalas dengan
pertanyaan spontan. Matanya memandang Harris tidak berkelip.
Meletus tawa kecil daripada mulut Harris. Wajahnya beriak
tenang.
“Abang rasa semua orang dalam flight ni ada sebab yang sama kenapa mereka berada di sini.” Bisik
Harris perlahan. Senyuman sinis jelas tersungging di tubir bibirnya seolah-olah
memerli ‘Aisy.
‘Aisy mengetap bibir. Dia melarikan pandangannya ke luar
jendela pesawat. Pasti lelaki itu sedang mentertawakan kebodohannya. Arghhh…kenapa
secepat ini dia harus dipertemukan dengan lelaki ini? Itu pun di dalam pesawat
berkelas ekonomi. Bukankah lelaki berpengaruh seperti Harris sepatunya duduk di
kelas perniagaan? Jika tadi dia masih berpeluang meloloskan diri daripada Harris
tetapi kini mana mungkin dia mampu untuk melarikan diri keluar dari perut
pesawat. Apatah lagi kapal terbang sudah mula bergerak perlahan ke landasan
pelepasan.
‘Aisy menjeling sekilas ke arah Harris yang sedang
memberikan perhatian terhadap pramugari yang sedang tangkas melakukan
demonstrasi keselamatan. Dasar lelaki memang pantang jika dihidangkan dengan
makhluk Tuhan yang cantik dan seksi di depan mata. Apatah lagi perempuan yang
berdahi licin. ‘Aisy menggumam jengkel di dalam hati.
Harris tiba-tiba menoleh ke arahnya. Sepantas itu juga ‘Aisy
mengalihkan pandangan ke arah lain.
“So, where have you
been for the last four years?”
Pertanyaan Harris lama dibiarkan sepi. Langsung dia tidak
mengendahkan pandangan Harris yang sedang merenung setiap inci wajahnya dari
sisi.
“Nowhere…” ‘Aisy
menjawab malas seolah-olah ingin menutup pertanyaan lanjut daripada lelaki itu.
“Tak baik seorang isteri menipu suaminya sendiri. Berdosa..”
Bulat mata ‘Aisy memandang Harris. Berdesing telinganya tatkala
mendengar perkataan ‘isteri’ yang keluar dari mulut lelaki itu. Begitu mudah
melafazkan kata seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku di antara mereka
berdua sebelum ini. Semudah itu Harris melupakan apa yang telah terjadi.
“Minta maaf Encik Umayr Harris Tan Sri Hakim. Saya bukan
lagi isteri sesiapa.” Sengaja ‘Aisy menekankan perkataan ‘bukan’ walaupun sebenarnya
dia sendiri tidak yakin dengan kata-katanya sendiri. Ego menyebabkan dia
menuturkan kenyataan yang dia sendiri tidak pasti.
Tetapi bukankah Harris sendiri yang telah membuang jauh
dirinya sebagai seorang isteri. Di saat dia sepatutnya dilindungi seorang
suami, dirinya dicampak keluar dari mahligai mewah milik lelaki itu. Di kala
sepatutnya dia dibelai dengan kasih sayang seorang suami, Harris hanya
menghadiahkan tubuhnya dengan sepak terajang dan cacian. Dia bagaikan seorang wanita
yang langsung tiada maruah apabila selayaknya dilayan seperti seekor kucing
kurap. Mengenangkan itu semua, hatinya pedih dan sakit.
“Dan untuk pengetahuan Puan Rahadatul ‘Aisy Hilmi, talak berada
di tangan suami. Seingat akal abang yang masih waras ini, abang tak pernah ceraikan
‘Aisy.” Tegas dan padat bicara Harris. Namun riak wajah itu masih tenang. Bijak
mengawal emosinya.
‘Aisy menelan liur pahit. Empat tahun lalu, Harris dengan
angkuh telah memintanya untuk menunggu surat cerai melalui peguam yang dilantik
Harris. Memang surat yang dimaksudkan tidak pernah sampai ke tangannya. Apatah
lagi ketika itu dia terlalu sibuk dengan segala urusan persiapan berkaitan
pengajiannya ke luar negara. Langsung dia tidak pernah ambil peduli untuk
bertanyakan perihal Harris termasuklah urusan penceraiannya. Pada waktu itu, apa
yang ada dalam fikirannya hanyalah dia ingin segera terbang ke bumi England.
Ingin ditinggalkan dan dikuburkan segala memori pahit bersama lelaki itu.
“Apa yang awak
mengarut ni?” Soal ‘Aisy sedikit gugup.
Harris hanya ketawa sinis. Dia tahu keyakinan ‘Aisy mula
goyah.
“Abang tak mengarut, sayang. ‘Aisy masih isteri abang yang
sah. Masih hak abang. Dan abang nak ‘Aisy kembali ke rumah kita. Hidup bersama
abang. Cukuplah empat tahun abang izinkan ‘Aisy pergi jauh daripada abang.”
Pujukan Harris seakan-akan menjerut leher ‘Aisy. Permainan
apakah yang sedang diatur Harris ini? Masih tidak puas lagikah lelaki ini
menyeksanya dulu?
“Awak dah lupa ingatan agaknya.” ‘Aisy menjeling tajam ke
arah Harris. Dia menghentikan kata-katanya untuk melihat reaksi Harris. Namun
wajah Harris masih kelihatan tenang tanpa sebarang reaksi, menambahkan rasa
sakit di hati.
“Tapi saya takkan lupa apa yang awak dah putuskan empat
tahun lepas. Ingatan saya ini masih segar saat awak menghalau saya keluar dari
hidup awak. Awak jelik dengan diri saya yang kotor ini. Malah memandang
keturunan saya pun awak jijik.” Sambung ‘Aisy menghamburkan satu persatu bicara
keramat yang pernah dilafazkan Harris suatu waktu dulu. Kata-kata pedih itu kembali
terngiang-ngiang di cuping telinganya bagaikan pita rakaman. Air mata yang mula
bertakung di tubir mata ditahan. Dia tidak boleh menangis!
Riak wajah tenang Harris sedikit berubah. Terkesan juga
hatinya dengan bicara yang meniti di bibir ‘Aisy. Sedar dirinya telah banyak
melakukan kekhilafan. Khilaf kerana dulu dia tidak pernah menghargai kehadiran
‘Aisy sebagai seorang isteri. Dia menarik nafas panjang sebelum menyusun kata.
“Maafkan abang, sayang. I
was wrong about you. Abang tahu abang silap. Tapi berilah abang peluang
untuk tebus semua kesalahan abang. Please,
come back into my life.”
‘Aisy mencebik. Rayuan Harris langsung tidak berbekas di
hatinya. Sebaliknya hanya menambahkan rasa bengkak di hati. Apatah lagi dengan
ungkapan sayang yang kerap meniti di bibir lelaki itu, membuatkan telinganya
seperti bernanah.
“Tak mungkin!” Putus ‘Aisy sambil menggelengkan kepalanya
berulang kali. Tidak semudah itu untuk dia memaafkan dan melupakan apa yang
telah dilakukan Harris. Lelaki itu telah merampas satu-satunya anugerah
terindah yang pernah hadir dalam hidupnya. Tidak cukup dengan itu, dirinya kini
hilang kesempurnaan sebagai seorang wanita.ll
“Saya tak cukup baik nak maafkan awak, Harris. Kembali hidup
dengan awak, that’s the last thing I will
do. Takkan jadi kenyataan. Not even
in your dream. And don’t you dare call me sayang!” Suara ‘Aisy sedikit
meninggi. Nafasnya turun naik menahan rasa sebal yang terbuku di hati. Puas dia
dapat menghamburkan kata-kata sinis itu.
Biar Harris sedar yang dia bukan lagi seorang wanita yang
lemah. Tidak sekali-kali dia akan menyerah dan tunduk mengalah dengan pujuk
rayu lelaki itu. Kembali hidup bersama Harris seolah-olah merelakan dirinya
terpenjara di dalam sangkar emas yang berduri. Indah mungkin hanya pada pandangan
mata orang luar yang melihat tetapi sengsara dan derita yang ditanggung hanya
dia yang merasainya. Cukuplah sekali dia pernah terseksa dan terluka kerana
Harris.
Harris terdiam menelan setiap bait bicara yang dilontarkan
‘Aisy. Jelas kelihatan kedua-dua belah rahang lelaki itu bergerak-gerak menahan
rasa.
“Well, we’ll see about
that.” Ringkas tutur Harris seakan memberi amaran. Lelaki itu menghadiahkan
senyuman sinis.
‘Aisy mendengus geram. Dia mengalihkan pandangannya ke luar
tingkap pesawat. Tiada guna dia terus membalas kata-kata Harris untuk
memanjangkan pertikaman lidah di antara mereka. Yang penting dia perlu
bertindak untuk menghentikan permainan Harris. Hanya satu perkataan yang ligat
bermain di kotak fikirannya. Penceraian! Ya, dia tidak boleh tunggu lama. Dia
akan berjuang untuk mendapatkan haknya. Haknya untuk bebas daripada cengkaman
Harris.
Pengumuman kapten juruterbang yang meminta anak pesawat bersiap
sedia untuk berlepas bagai menyelamatkan keadaan. Lampu di dalam kapal terbang
dipadamkan tanda bersedia untuk melakukan penerbangan.
‘Aisy membetulkan duduknya. Enjin kuat pesawat yang menderum
membuatkan jantungnya berdegup pantas. Perbualan tegang dengan Harris sebentar
tadi langsung tidak mampu mengatasi rasa fobianya. Aerophobia, perasaan takut
ketika menaiki penerbangan. Tiba-tiba dia merasakan tangan sejuknya
digenggam kemas.
“Let me ease your fear,
sayang.” Harris berbisik lembut di telinga ‘Aisy sambil mengemaskan genggaman. Cukup
rapat sehingga ‘Aisy dapat merasakan desah nafas lelaki itu.
“I don’t need your
help.” Gumam ‘Aisy menahan suara.
Tangan Harris yang melingkar kemas di celah jari-jemarinya cuba
dilepaskan. Namun usahanya sia-sia. Mana mungkin kudrat wanitanya mampu melawan
tenaga seorang lelaki angkuh seperti Harris. Sudahnya dia terpaksa membiarkan
tangannya berada dalam genggaman lelaki itu. Beralah tak bermakna kalah.
Dalam diam Harris tersenyum menang. Ibu jarinya mengusap perlahan
belakang tangan ‘Aisy. Dia pasti akan dapat menawan kembali hati ‘Aisy. Sekeras
mana hati isterinya, pasti akan dilembutkan. Sepetah mana kata yang meniti di
bibir comel itu, pasti akan didiamkan. Dia sudah bersedia memulakan misinya.
Sudah lama dia menunggu saat ini. Senyumnya semakin lebar tatkala mengingati
segala perancangan yang telah disusun rapi. Harris yakin dia akan berjaya dan
‘Aisy tidak akan pergi jauh dari hidupnya lagi!
BAB 2
Suasana gamat di rumah kampung milik Haji Hilmi menyambut
kepulangan ‘Aisy. Semua ahli keluarga yang berkumpul kecoh berkongsi cerita
menjadikan suasana cukup meriah dan ceria. Namun, kehadiran Harris membantut
keterujaan ‘Aisy. Keinginannya untuk bermesra dengan setiap ahli keluarganya
menjadi tawar dan hambar. Dia rimas dengan ekor mata Harris yang sering memerhatikan
setiap gerak-gerinya.
‘Aisy meminta diri masuk ke dalam kamar tidur dengan alasan
untuk berehat. Sekurang-kurangnya dia berjaya meloloskan diri daripada pantauan
mata helang Harris buat seketika. Tambahan pula perjalanan jauh yang ditempuh
memang meletihkan tubuhnya.
Kemunculan Harris membangkitkan banyak persoalan dalam
benaknya. Malah perubahan Harris yang tampak sangat ketara turut mengundang
tanda tanya di hati ‘Aisy. Kemesraan lelaki itu dengan setiap ahli keluarganya
membuat dia merasa meluat. Berbeza sekali dengan Harris yang dikenalinya lima
tahun yang lalu. Seorang lelaki yang cukup dingin dan beku seperti bongkah ais
di kutub selatan.
‘Aisy melepaskan keluhan berat. Tubuhnya dihempaskan di atas
katil kayu yang sedikit usang. Tangannya diletakkan di atas kepala. Tunak matanya
memerhatikan pergerakan kipas syiling yang berputar laju. Kenangan di Lapangan
Terbang Sultan Mahmud menjengah di ruang ingatan.
“Awak tunggu apa lagi kat sini?”
‘Aisy menjeling Harris yang masih tidak berganjak sedangkan
bagasi sederhana besar milik lelaki itu sudah selamat berada di atas troli. Pelik
apabila Harris yang selama ini cukup menghargai masa begitu santai di sisinya.
“Abang tunggu isteri abang.” Jawab Harris lembut. Senyuman
manis dihadiahkan kepada ‘Aisy yang jelas kurang selesa dengan kehadirannya.
“Who’s your wife?”
Soal ‘Aisy menyindir. Dia berpura-pura melilau pandangan seolah-olah mencari
kelibat seseorang. Sedangkan dia cukup maklum siapa yang dimaksudkan Harris. Kebencian
dan dendam yang sarat telah menjadikan dia seorang yang cukup sinis.
“Sudah gaharu cendana pula. Sudah tahu lagi mahu tanya, hmmm?
Setakat ini rasanya sayang seorang je isteri abang.” Harris mencuit dagu
runcing milik ‘Aisy. Mencipta kemesraan yang telah lama ditinggalkan pergi.
Pantas ‘Aisy melarikan wajah. Jawapan Harris benar-benar
menjengkelkannya. Sungguh dia geram setiap kali perkataan isteri meniti di
bibir lelaki itu. Baginya, gelaran itu sudah lama dilucutkan Harris biarpun
tidak secara hitam putih.
“Jangan terlalu yakin, Harris. Sampai masanya awak tahulah
langit tu tinggi ke rendah.” Gumam ‘Aisy perlahan penuh tersirat. Dalam diam
akalnya mula merencana sesuatu. Ikatan yang bagaikan retak menanti belah itu
harus ditamatkan.
“Dan abang akan pastikan itu semua takkan berlaku. Don’t even dare think about it.” Balas
Harris bagaikan dapat membaca apa yang sedang difikirkan ‘Aisy.
‘Aisy mengetap bibir. Ketegangan jelas terlakar di wajahnya.
Pandangannya dialihkan ke arah turutan bagasi yang sedang bergerak di atas conveyor belt. Tercari-cari bagasi
miliknya. Cepatlah. Dia sudah tidak sabar untuk segera beredar dari situ.
“I don’t need your
help.” Tolak ‘Aisy kasar sebaik Harris mahu membantu memindahkan bagasi
besar miliknya ke atas troli.
“Salah ke abang tolong isteri sendiri? Inikan sebahagian
tanggungjawab abang.” Harris tidak mengendahkan penolakan ‘Aisy. Dengan mudah
bagasi itu diangkatkan ke atas troli.
‘Aisy merengus geram. Dia menarik nafas dalam agar oksigen
sampai ke otaknya. Membina tembok kesabaran yang masih tersisa.
“Simpan saja kebaikan awak tu, Harris. Saya masih punya
kudrat. Tulang empat kerat saya ni masih kuat lagi. Selama ini pun saya masih
boleh berdiri sendiri biarpun tanpa bantuan seorang suami!” Perli ‘Aisy sedikit
sebak.
Dia menahan perasaannya. Mudah benar hatinya diruntun pilu
setiap kali mengenangkan kepayahan dan kesulitan yang terpaksa dihadapinya
bersendirian. Namun, kuasa ALLAH itu memang besar sifatnya. Walau sehebat mana
dia disisih suami sendiri, dia bangkit dan terus bangkit dengan bantuan insan lain.
Jasa Fahmi dan Farah tidak mungkin dilupakan. Merekalah suami isteri yang
sentiasa menyokongnya semasa di perantauan.
“Abang tahu sayang kuat. Dan boleh hidup tanpa abang. Tapi,
abang tak kuat nak harung hidup sendirian tanpa sayang.” Harris merenung ke
dalam anak mata ‘Aisy. Benar-benar menyampaikan maksud hatinya.
‘Aisy ketawa sinis. Entah kenapa kata-kata Harris itu
menjentik rasa lucu di hatinya. Langsung tidak terkesan dengan luahan Harris.
Malah, hatinya semakin sebu dengan sandiwara yang sedang dimainkan Harris.
“Hentikanlah lakonan awak ni, Harris.” ‘Aisy senyum sinis.
Anak matanya mencerlung tajam ke arah Harris sebelum menyambung kata..
“Pergilah, Harris. Tak perlu bersusah payah kerana saya.
Sia-sia saja bazirkan masa awak yang berharga itu semata-mata untuk insan hina
macam saya ni. Lebih baik awak siapkan urusan awak yang jauh lebih penting tu.”
Desis ‘Aisy separuh menyindir.
“Sayanglah urusan abang yang paling penting. Percayalah,
abang ikhlas dengan apa yang abang buat ni.” Ujar Harris tenang. Dia masih
boleh tersenyum biarpun kata-kata tajam yang dilontarkan ‘Aisy menggores
perasaannya. Namun, untuk membunuh kebencian ‘Aisy, dia perlu sabar menelan
setiap bicara pedas yang diluahkan wanita itu.
‘Aisy mencebik. “Tak perlu bermulut manis, Harris. Saya tahu
awak pasti tak akan datang ke sini jika tak ada urusan penting kan.”
Yakin ‘Aisy dengan andaiannya sendiri. Harris mana betah
untuk menjejakkan kaki ke kawasan kampung yang cukup berlawanan dengan fitrah
jiwa lelaki itu yang amat menyanjung arus kemodenan.
“Yeah, betullah tu. Memang abang ada urusan kat sini. ‘Aisy
pun kenal abang macam mana kan. I don’t
like wasting my time for nothing.” Tingkah Harris bernada sedikit angkuh.
‘Aisy membuat muka. Memang benar telahannya.
“But believe me,
sayang. Kali ni abang ke sini memang hanya untuk sayang. Demi rindu dan
cinta abang terhadap sayang. Bermula dari sekarang, sayang adalah keutamaan
dalam hidup abang.” Intonasi suara Harris berubah lembut. Tanpa menghiraukan manusia
di sekeliling, dia mengelus pipi putih ‘Aisy.
‘Aisy terkedu. Entah kenapa hatinya sedikit terusik dengan
bisikan kata-kata itu. Alangkah indahnya andai Harris tidak pernah menyakiti
hatinya sebelum ini. Pasti dialah wanita yang paling bahagia saat itu. Namun,
dia sedar Harris tidak pernah jujur dengan perasaannya. Keikhlasan Harris
menerimanya sebagai isteri tidak pernah wujud. Mengenangkan itu hatinya semakin
sakit. Rasa sakit yang tidak mungkin terpadam sampai bila-bila.
“Stop it, Harris.
Sejak bila perempuan yang pernah awak layan macam kain buruk ini menjadi
kepentingan utama seorang lelaki terhormat macam awak? Hakikatnya, awak tak pernah perlukan saya dan saya
masih boleh hidup tanpa awak.”
‘Aisy mengawal suaranya sambil menepis tangan Harris. Bimbang
juga jika ketegangan di antara mereka disedari orang sekeliling. Mujurlah tidak
ramai manusia yang berada di situ kala itu.
“Abang akui abang pernah tersilap menilai kejujuran dan
keikhlasan sayang. Dan sekarang, abang sedar dengan kesilapan abang. Abang dah
tahu kebenarannya.” Bicara Harris berubah lirih menggambarkan kekesalannya.
“Kebenaran?” ‘Aisy meledakkan tawa sinisnya.
“Semua tu dah tak penting, Harris. Dah tak ada maknanya.
Sebab semua tu tak mungkin akan mengembalikan apa yang saya dah hilang.” Suara
‘Aisy berubah sayu. Matanya berkaca. Setitis air matanya tumpah jua. Arghh..
dia tidak sepatutnya menitiskan air mata di hadapan lelaki itu.
“Maafkan abang, sayang.” Ucap Harris kesal. Hatinya
tersentuh melihatkan air mata yang mengalir di pipi ‘Aisy.
‘Aisy menyeka rakus air mata di pipinya. Kata-kata maaf yang
diungkapkan Harris bagaikan minyak yang menyimbah bara kemarahan di hatinya.
“Mudah kan? Awak campak saya sesuka hati awak. Awak percaya
dengan fitnah orang. Dan sekarang, setelah saya hilang segala-galanya, awak
harapkan saya untuk memaafkan awak? Tak semudah itu, Harris.” Nafas ‘Aisy turun
naik. Muak telinganya mendengar permohonan maaf yang tidak putus diungkapkan
Harris.
“Memang dulu abang pernah khilaf, sayang. Tapi, berilah
peluang pada abang untuk betulkan apa yang silap selama ini. Kita bina hidup
baru ya, sayang.”
Mohon Harris tidak berputus asa. Walau sukar untuk dia
meraih kemaafan ‘Aisy, namun dia tidak akan berhenti mencuba. Cukuplah sekali
dia telah mensia-siakan peluang untuk meraih bahagia dengan wanita itu.
“Sudahlah, Harris. Hentikan kepura-puraan dan permainan awak
ni.” ‘Aisy memeluk tubuhnya sambil meliarkan pandangannya ke arah deretan
bagasi. Sukar hatinya untuk mempercayai kejujuran Harris setelah apa yang
terjadi.
“Sayang, please trust
me. Abang tak berpura-pura dengan kata-kata abang.” Harris membalikkan
tubuh ‘Aisy menghadapnya. Redup matanya memanah ke dalam anak mata ‘Aisy.
Menyampaikan rasa hati melalui sinar mata.
‘Aisy menentang pandangan Harris. Ingin dibuktikan yang dia
tidak akan kalah dengan panahan lelaki itu. Dia mahu Harris tahu yang dia tidak
akan goyah dengan pujuk rayu Harris lagi. Tetapi… sinar mata itu. Kenapa dia
hanya nampak kelembutan dalam sinar mata Harris? Ke mana hilangnya keegoan dan
keangkuhan yang sering menguasai lelaki tampan ini? Perasaan ‘Aisy bercampur
baur.
“Just go, Harris. I
don’t need you in my life!” Gumam ‘Aisy seraya menepis tangan Harris yang
kaku di bahunya. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Tidak mahu terbuai dan terus
tertipu dengan sandiwara Harris. Luka di hatinya tidak pernah kering. Masih
berdarah dan parah!
‘Aisy merapati conveyor
belt, bersiap sedia untuk mencapai
bagasi berwarna coklat yang sedang melintasi di depannya. Belum pun sempat
tangannya menyentuh bagasi tersebut, Harris sekali lagi pantas mengangkatnya
dan diletakkan di atas troli.
‘Aisy merengus kasar. Sangkanya kata-katanya tadi cukup
untuk membuatkan Harris beredar meninggalkannya. Namun lelaki itu terus tegap
berdiri di sisinya tidak ubah seperti pengawal peribadi.
“Ada lagi?”
Pertanyaan Harris hanya dijawab dengan gelengan setelah tiga
biji bagasi berjaya diangkat ke atas troli. Tanpa pamitan dan jauh sekali
ucapan terima kasih, ‘Aisy menolak troli laju meninggalkan Harris agak
terkebelakang. Namun tidak sukar lelaki tinggi lampai itu menyaingi langkahnya.
“Buat apa awak ikut saya lagi? Dah tak ada kerja lain ke?”
Soal ‘Aisy kasar. Dia menghentikan langkah membuatkan Harris terlajak ke depan.
“Sayang, kita menuju pintu yang sama. Rasanya, pintu
ketibaan kat airport ni satu tu je
kan?” Ujar Harris tenang.
‘Aisy mencebik, menyembunyikan rasa malu. Itulah…siapa suruh
perasan terlebih sangat. Dia memarahi dirinya sendiri.
“Lagipun, bagasi abang ada kat atas troli ni. Jadi, terpaksalah
abang ikut ke mana sayang nak bawa bagasi abang tu.” Tambah Harris sambil
mengenyitkan matanya.
‘Aisy mengerling timbunan bagasi di atas troli. Terselit
bagasi biru gelap kepunyaan Harris di celah bagasi miliknya. Dek terlalu melayan
rasa sebal di hati, langsung dia tidak menyedari tindakan Harris meletakkan
bagasi milik lelaki itu di atas troli yang sedang disorongnya.
“Come, biar abang
tolak.” Sambung Harris dan kini troli telah bertukar tangan.
‘Aisy ingin menghalang namun hasratnya dibatalkan sebaik
melihat lambaian kedua orang tuanya. Langkah kaki dilajukan ke arah Haji Hilmi
dan Hajah Maryam yang setia menanti di luar balai ketibaan.
“Mak…” Tangan Hajah Maryam dikucup lembut. Tubuh tua itu
dipeluk erat. Rindu yang disimpan selama empat tahun kini terlerai.
“Sayang anak mak. ‘Aisy sihat? Kenapa kurus sangat ni? Susah
ke nak makan kat sana?” Pertanyaan
bertalu-talu Hajah Maryam mengundang tawa kecil ‘Aisy.
“’Aisy sihat, mak. Makan semua cukup. ‘Aisy macam dulu juga
cuma agaknya ‘Aisy ni makin tinggi kot. Sebab itu nampak kurus sikit.” Gurau
‘Aisy sambil memeluk bahu Hajah Maryam mesra.
“Pandailah kamu nak kelentong mak ye.” Pipi ‘Aisy dicubit
lembut.
“Kenapa ‘Aisy tengok makin banyak kedut kat muka mak ni? Mak
tak pakai Safi Rania ke?” Usik ‘Aisy lagi sedikit nakal.
“Bertuah punya budak. Memanglah mak makin tua. Kalau kulit
ini licin nanti orang kampung cakap mak pakai susuk pula.” Kata-kata berbaur
gurauan itu mengundang tawa kedua beranak itu. Serasa sudah terlalu lama mereka
tidak berpeluang bergurau begitu.
“Dua beranak ni kalau dah bertemu, dah tak ingat orang lain
dah.” Teguran Haji Hilmi menggamit ‘Aisy menghampiri lelaki berkopiah itu.
“Ayah sihat?” ‘Aisy menyalami tangan Haji Hilmi. Lelaki
berusia awal 60-an itu mengusap lembut kepalanya yang dilitupi tudung.
“Ayah macam ni lah, ‘Aisy. Dah nama pun orang tua.
Kadang-kadang diberikan Allah kesihatan. Kadang-kadang Dia uji dengan sakit.”
Lembut bicara Haji Hilmi.
‘Aisy memandang wajah tua ayahnya dengan penuh kasih. Jelas
tampak keuzuran di wajah itu. Kemudian dia beralih kepada dua orang adiknya
yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati, Rizal dan Sumayyah.
“Rizal apa khabar? Dah berjanggut rupanya adik kakak ni.”
Wajah tampan milik Rizal ditenung. Huluran tangan bersambut
dan tangan ‘Aisy dikucup sopan. Kemudian pandangannya beralih pada seorang
wanita yang sedang mesra mengukirkan senyum kepadanya.
“Alhamdulillah sihat, kak. Biasalah dah jadi bapa orang.
Kenalkan ini isteri Rizal, Suraya.” Suraya tunduk sopan menyalami nya.
“Kak ‘Aisy minta maaf tak dapat tengok live korang berdua kahwin.” Ujar ‘Aisy sedikit kesal. Hanya gambar
perkahwinan Rizal dan Suraya yang menjadi pengganti. Itu pun hanya dapat
ditonton di alam maya.
“Tak apa, kak ‘Aisy. Kami faham.” Balas Suraya lembut.
“Ini mesti Mia Sara kan? Comelnya anak sedara umi ‘Aisy.” Pipi
tembam anak perempuan Rizal dicubit lembut. Lalu sebuah kucupan hangat
dihadiahkan buat anak saudara tunggalnya.
“Kak ‘Aisy..” Sapa Sumayyah manja.
‘Aisy berpaling memandang
Sumayyah. Tangannya didepakan pada adik bongsunya. Sumayyah menangis
teresak-esak di dalam pelukan ‘Aisy. Rindu benar dia pada kakak sulungnya itu.
“Dah besar panjang macam ni masih menangis macam budak kecil
lagi?” ‘Aisy mengusap manja kepala Sumayyah. Turut menahan tangis. Dia memang
pantang melihat orang menangis. Mudah sekali air matanya hendak mengalir sama.
“Maya rindu sangat pada akak.”
“Kak ‘Aisy pun sama. Rindu sangat dekat adik akak yang manja
ni.” Pelukan dileraikan. Ralit ‘Aisy memerhatikan Sumayyah. Siapa sangka
kanak-kanak comot yang sangat manja dengannya suatu ketika dulu, kini membesar menjadi
seorang gadis ayu. Tubuh Sumayyah tinggi lampai mewarisi baka daripada Haji
Hilmi dan bentuk muka yang banyak mewarisi kejelitaan Hajah Maryam.
“Tinggi betul adik akak sekarang ni. Dah rasa macam berdiri
sebelah galah pula.”
“Sampai hati samakan Maya dengan galah.” Sumayyah menjeling
manja dengan usikan ‘Aisy.
‘Aisy tersenyum senang. Dah besar panjang, manja masih tidak
hilang lagi.
“Harris, apa khabar nak?” Sapaan Haji Hilmi mematikan
senyuman di wajah ‘Aisy. Dia mengerling sekilas ke arah Harris yang sejak tadi
hanya diam memerhati.
“Baik alhamdulillah.” Sopan Harris menyalami Haji Hilmi dan
Hajah Maryam.
“‘Aisy tak beritahu pula yang Harris ikut balik sekali.”
Hajah Maryam bersuara ramah. Dia tersenyum simpul sambil memandang ‘Aisy penuh
makna. Minggu lepas beria-ia ‘Aisy berpesan jangan sekali-kali memaklumkan
kepulangannya pada Harris. Tapi, sebaliknya pula yang berlaku di depan matanya
hari ini. Mungkin ini petanda baik yang ‘Aisy mula boleh menerima Harris
kembali. Kalau betul, dialah orang pertama yang akan merasa lega.
Dia dan Haji Hilmi sebenarnya tidak tahu punca ‘Aisy merajuk
membawa diri jauh daripada Harris. Menyebut nama Harris pun anaknya enggan
apatah lagi mendengar cerita tentang menantunya. Ada sahaja idea ‘Aisy memotong
ceritanya setiap kali dia cuba memancing untuk bertanya apa yang terjadi.
Berbakul-bakul nasihat diberikan namun ‘Aisy lebih suka mengambil sikap berdiam
diri.
“Sebenarnya…”
“Sebenarnya ‘Aisy pun tak tahu saya akan ikut dia balik.
Sengaja saya nak surprisekan dia.
Lagipun tak puas lagi saya jumpa dia kat KL. Cukuplah empat tahun dia
tinggalkan saya seorang diri kat Malaysia ni. Tak sanggup dah saya nak
berenggang lama-lama dengan dia lagi lepas ini.” Pantas Harris memotong kata
‘Aisy. Tangan kiri isterinya dipegang kemas.
‘Aisy menjegilkan mata, tanda protes dalam diam. Tip top lakonan
dan dialog yang dipentaskan Harris.
“Elok sangatlah kalau begitu. Jomlah kita balik ke rumah
dulu. Mak kamu ini dah sediakan macam-macam makanan kat rumah tu. Tak
henti-henti memasak dari pagi tadi.” Ajak Haji Hilmi senang.
“Nasi dagang ada tak, mak? Rindu betul Harris nak makan nasi
dagang hasil tangan Hajah Maryam ni.” Tangan kiri Harris memaut mesra bahu
Hajah Maryam. Manakala, tangan kanan lelaki itu masih kemas melilit di celah
jari-jemari ‘Aisy.
‘Aisy mendengus geram. Berlebih-lebih pula lakonan lelaki
ini.
“Ada. Patutlah hati mak ini teringin sangat nak masak nasi
dagang. Rupanya, menantu mak nak datang.” Mesra sekali Hajah Maryam melayani
Harris. ‘Aisy buntu melihat situasi itu. Entah sejak bila hubungan ibunya
dengan Harris menjadi serapat ini.
“Baru dua minggu lepas mak kamu masakkan nasi dagang untuk
kamu, Harris. Takkan dah rindu kot.” Usikan Haji Hilmi semakin menambahkan
kekeliruan di hati ‘Aisy. Adakah Harris selalu pulang ke Terengganu sepanjang
ketiadaannya? Tidak pula ibunya bercerita selama ini setiap kali dia menelefon
bertanya khabar. Silapnya juga kerana sering mengubah topik sebaik ibunya
membuka mukadimah tentang Harris.
“Apa semua ini, Harris?” Soal ‘Aisy tertahan-tahan. Harris
mengangkat kening buat-buat tidak mengerti pada pertanyaan isterinya.
“Lepaslah.” Pegangan Harris cuba dilepaskan. Sebaliknya,
lelaki itu semakin memperkemaskan pegangan. ‘Aisy rimas. Terlalu banyak
persoalan yang bermain di benaknya kini. Sudah pasti Harris tidak akan mudah
memberikannya jawapan. Nampaknya lelaki itu sudah awal-awal melaksanakan
strateginya.
BAB 3
“Jauhnya isteri abang ini mengelamun…”
Desah nafas yang menyapa cuping telinga ‘Aisy membawanya ke
alam nyata. ‘Aisy berpaling ke kanan. Bulat matanya memandang wajah Harris yang
hanya beberapa inci saja dari wajahnya. Entah sejak bila lelaki itu masuk ke
dalam bilik tidurnya.
Terkejut dengan situasi itu, ‘Aisy bingkas bangun dari perbaringan.
Namun belum sempat dia berjaya menjarakkan diri, pinggangnya dirangkul kemas oleh
tangan sasa milik Harris. Tubuhnya kembali dibaringkan dan kini Harris selesa
berbaring bertongkatkan siku di sebelahnya.
“Awak ini kenapa? Dah buang tabiat?” Suara ‘Aisy sedikit meninggi.
Namun cuba dikawal agar tidak didengar ahli keluarga yang lain. Kesabaran yang
dipertahankan sejak dalam penerbangan tadi dirasakan semakin menipis. Harris
semakin melampau dan berani.
“Get your hands off
me!”
Sekuat tenaga ‘Aisy menepis kasar tangan kanan Harris yang
kemas melingkari pinggangnya. Namun dengan mudah Harris mematahkan serangannya.
Kemas jari-jemari ‘Aisy berada di dalam genggamannya. Keadaan itu membuatkan
pergerakan ‘Aisy terkunci, lalu memberi peluang kepada Harris untuk merapatkan
tubuhnya.
“Salah ke abang nak bermanja dengan isteri sendiri?” Serak
suara Harris menggambarkan perasaan yang sedang menggelodak di jiwa.
“Tepilah! Awak tak ada hak buat saya macam ini!” Tolak
‘Aisy. Matanya mencerlung tajam ke arah Harris. Sungguh dia geram dengan
tindakan Harris.
“Of course abang
ada hak, sayang. I’m your husband.”
Tenang bicara Harris. Jelingan tajam ‘Aisy langsung tidak berbekas di hatinya.
Malah semakin mengocak hebat debaran di dadanya. Keinginannya tambah membuak.
“Awak bukan suami saya lagi…” Suara ‘Aisy mengendur. Dia
tahu kata-kata penafiannya itu hanyalah sia-sia biarpun berulang kali dia
mengungkapkannya.
Penafian ‘Aisy hanya mengundang senyuman sinis di wajah
Harris. ‘Aisy adalah isterinya dan sebagai suami dia punya hak ke atas ‘Aisy.
“Sayang pun tahu hakikat yang sebenar kan?” Tanpa
mengendahkan penolakan ‘Aisy, Harris mendekatkan wajahnya. Jari-jemarinya
mengusap lembut pipi gebu milik ‘Aisy. Setiap inci wajah isterinya diperhatikan
dengan penuh kasih. Pandangannya terhenti pada seulas bibir merah ‘Aisy. Gelora
di jiwanya semakin membara. Lantas dirapatkan bibirnya mendekati bibir basah
‘Aisy.
Ciuman Harris hanya sipi mengenai rambut ‘Aisy apabila
wanita itu bertindak melarikan wajah. Keadaan itu membuatkan Harris bertambah
tidak keruan. Haruman rambut ‘Aisy semakin menyemarakkan keinginannya untuk mengisi
kesepian seorang suami yang telah lama
kosong. Rindu dendam yang terpendam sudah tidak mampu disimpan.
“Lepaskan saya, Harris! Awak tak boleh paksa saya macam ni.”
Gumam ‘Aisy sambil menolak tubuh Harris sekuat hatinya. Jantungnya berdegup
kencang menahan debar. Keberaniannya sedikit pudar tatkala Harris memeluknya
erat. Seram sejuk tubuhnya berada dalam dakapan lelaki itu sehingga membuatkan
nafasnya mula tersekat.
“I miss you so much,
sayang.” Semakin galak Harris menggoda dengan kata-kata romantis. Dia
semakin terbuai asyik dalam kerinduan dan keinginannya yang menggebu.
Anak rambut ‘Aisy yang berjuraian di dahi diseka perlahan.
Jari-jemari Harris kembali meniti di setiap inci wajah ‘Aisy dan kemudian turun
ke pangkal leher.
“Jangan buat saya macam ni, Harris.” Pohon ‘Aisy dalam suara
yang sedikit bergetar. Ketakutan mula menguasai diri. Sedaya upaya dia menepis
tangan Harris yang semakin galak merayap di segenap tubuhnya.
“I love you so much,
sayang. Please be mine.” Bisik Harris lembut. Desah nafasnya beralun tidak
sekata. Detak jantungnya sudah kehilangan rentak. Menggambarkan gelora di jiwa
yang semakin gagal membendung rasa.
‘Aisy menelan liur pahit. Perlakuan Harris benar-benar
mengundang gigil ke segenap urat nadinya. Mampukah dia memenuhi keinginan
Harris setelah apa yang telah dilakukan lelaki itu padanya? Pantas dia
menggelengkan kepalanya berulang kali.
“Saya tak boleh…Saya..saya tak boleh. Jangan layan saya
macam ni, Harris.” Ujar ‘Aisy separuh merayu. Dia berusaha meraih simpati Harris,
mengharapkan pengertian lelaki itu. Namun ternyata cubaannya gagal.
Harris semakin hilang dalam kerinduannya yang tidak bertepi.
Dia mengelus lembut rambut ikal milik ‘Aisy dan dibawa ke hidungnya. Sungguh
mengasyikkan!
“Tolong jangan paksa saya, Harris.”
‘Aisy terperangkap. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Tidak
mungkin dia bisa menjerit kerana jeritannya pasti hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Abang tak memaksa sayang. Abang cuma menuntut hak abang
sebagai suami. Abang ada hak kan?” Harris menyoal sambil membenamkan wajahnya
ke leher jinjang ‘Aisy. Semakin galak bibir itu bermain di situ.
‘Aisy mengetap bibir. Kata-kata Harris mengundang bara di
jiwa. Semakin hangat mencengkam dada. Mudah sungguh Harris berbicara soal hak.
Menuntut hak hanya semata-mata untuk melunaskan keinginannya. Hanya demi untuk
memuaskan nafsu lelaki yang satu itu!
“Hak apa lagi yang tinggal apabila awak sendiri sanggup
membuang saya dalam hidup awak? Hak apa lagi yang awak ada saat awak menghina
zuriat awak sendiri semahunya?” ‘Aisy menolak kasar tubuh Harris. Berombak
dadanya menahan amarah. Tajam anak matanya memanah sepasang mata helang milik
Harris sebelum menyambung kata.
“Awak dah lama hilang hak itu,
Harris! Sebesar kuman pun awak tak ada hak ke atas saya.” Herdik ‘Aisy dengan
pandangan mata yang berapi. Kerana dendam dan benci yang tertulis kemas dalam
catatan sejarah hidupnya, dia tega menafikan kewajipannya sebagai seorang
isteri. Meletakkan dirinya dalam keadaan yang cukup berdosa.
Harris mendengus kasar. Penolakan
demi penolakan membuatkan egonya tercabar. Maruah lelakinya dirasakan bagai
diinjak tatkala ‘Aisy berterusan menolaknya dengan hamburan kata sindiran yang
cukup pedas. Memang silap besar apabila ‘Aisy mempersoalkan tentang haknya
sebagai suami.
“Jangan pandai buat hukum sendiri, ‘Aisy. Hak abang kekal
ada dan akan tetap ada sampai bila-bila. Biarpun sejuta kali bibir ‘Aisy
menafikan.” Harris mengeraskan suara.
“Don’t be so sure,
Harris.” Bangkang ‘Aisy tidak mahu mengalah.
“I am damn sure, sayang.
And tonight I’m going to prove it!” Tekad Harris bertegas. Dek hanyut dalam
rindu yang menggebu dan ego yang tercabar membuatkan Harris semakin rakus.
Semakin jauh tersasar dari landasan pertimbangan. Dia hilang kawalan diri.
Seluruh wajah ‘Aisy menjadi sasaran cumbuan Harris.
Mengundang getar di tubuh ‘Aisy dek ketakutan yang mula sarat bersarang di jiwa.
Matanya mula basah dengan takungan air mata. Bayang kenangan empat tahun lalu
kembali terlakar di ruang mata. Dia memejamkan mata ingin menghalau kenangan
itu daripada terus bertamu. Namun, kenangan itu semakin rapat menghimpit ruang
ingatannya.
“Jangan buat saya macam ni. Saya merayu, Harris.” Air mata mula
menitis di pipi ‘Aisy. Menyedari dia sudah mencabar kesabaran Harris.
Rayuan ‘Aisy tidak dipedulikan Harris. Bagaikan mencurahkan
air di atas daun keladi. Langsung tidak meninggalkan kesan. Kasih sayangnya
yang menggunung membuatkan dia bertekad untuk membuktikan ‘Aisy masih hak
miliknya yang sah. Sehingga tanpa sedar dia semakin menyakiti hati yang
sepatutnya diubati. Dia lupa kasih sayang hadir dengan kerelaan dan bukannya
paksaan.
‘Aisy semakin hebat meronta tatkala tingkah Harris semakin
berada di luar batas kawalan. Dia benci dengan sejarah pahit yang pernah
dilakarkan Harris dalam hidupnya. Dan dia tidak tega membiarkan rasa benci dan
dendam itu terus mekar bercambah dek palitan kenangan hitam yang lain pula.
Cukuplah sekali dia perlu melalui saat kesakitan itu. Tidak sanggup dia
mengulanginya lagi.
Dalam cumbuan Harris yang semakin menggila, ‘Aisy tidak
berputus asa mencari peluang untuk melepaskan diri dari pelukan suaminya.
Sedaya upaya dia meronta mengerahkan seluruh kudratnya.
Pang! Harris terkaku. Entah dari mana ‘Aisy memperoleh kekuatan
melepaskan tamparan ke pipi Harris. Dada bidang Harris ditumbuk dan ditolak
kuat. Tubuh Harris yang kaku membuatkan pelukan terlerai dan dia berjaya
meloloskan diri.
“Cukuplah sekali awak pijak maruah saya, Harris. Cukuplah
awak hina saya selama ini. Jangan layan saya seperti barang. Hati dan tubuh saya
bukan punching bag. Hanya berguna
saat awak perlukan untuk lepaskan geram dan nafsu awak. Tapi bila dah tak
diperlukan awak campak ke dalam tong sampah.” Terketar-ketar ‘Aisy menuturkan
kata di dalam tangis. Hatinya cukup tergores dengan layanan Harris. Benarlah
dirinya tidak pernah ada harga di mata lelaki itu. Itulah hakikat pahit yang
terpaksa ditelannya. Kenyataan yang membuatkan hatinya semakin parah terluka.
“Maa..maafkan abang…”
Harris meraup mukanya kasar. Tuhan, apa yang telah aku
lakukan? Bagaikan baru terjaga dari mimpi, pandangannya jatuh pada susuk tubuh ‘Aisy
yang sedang memeluk lutut di hujung katil. Terenjut-enjut bahu ‘Aisy menahan
tangis. Hiba sekali tangisan itu di pendengarannya.
“Awak adalah lelaki yang hanya tahu bercakap tentang hak
seorang suami. Tapi bagaimana dengan hak saya? Hak seorang isteri yang teraniaya?
Hak seorang isteri yang tak pernah selayaknya dihargai di mata seorang suami?”
Hambur ‘Aisy penuh sebak. Air matanya makin laju turun membasahi pipi.
“Sayang, maafkan abang. Please
stop crying.”
Harris menghampiri ‘Aisy dan melutut seperti seorang pesalah
di sisi katil. Bahu isterinya diusap lembut. Hatinya pedih mendengar tangisan
‘Aisy yang mendayu-dayu.
“Don’t you dare touch
me!”
Sentuhan Harris ditepis kasar. Tajam panahan anak mata ‘Aisy
merenung tepat ke arah Harris. Dasar lelaki hipokrit. Cukup bijak bermain
sandiwara untuk meraih simpati. Benarlah telahannya. Perubahan sikap dan pujuk
rayu Harris hanyalah permainan lelaki itu semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsunya.
“Please, sayang. I am
so sorry. I didn’t mean to hurt you. Abang tak sengaja, sayang.” Seribu
penyesalan jelas terpancar di raut wajah Harris. Dia dihimpit rasa bersalah yang
teramat sangat lantaran gagal mengawal keinginan diri.
Air mata semakin laju jatuh membasahi pipi ‘Aisy. Sedu yang
berlagu bagaikan tidak bertepi. Dia tenggelam dalam kekecewaan dan kekesalan
yang sangat dalam. Rasa pedih dan perit silih berganti mengisi ruang hati. Dia
harus segera tamatkan jerat perasaan yang semakin menghiris jiwa.
“Let me go, Harris. Kita
berpisah.” Pinta ‘Aisy dengan suara yang bergetar. Mungkin inilah masa yang
sesuai untuk dia menuntut sebuah penceraian. Tuntutan yang bakal menggoncangkan
tiang Arash. Namun dia terpaksa kerana kesabarannya dirasakan sudah tidak dapat
dibendung oleh perasaan yang berterusan memakan dirinya sendiri. Dia mahu
Harris segera menamatkan permainan yang dimulakan lelaki itu sendiri.
“Berpisah? No way, sayang!” Tolak Harris tegas.
Permintaan ‘Aisy benar-benar menyentap jantungnya.
“Saya hanya tuntut hak saya yang awak dah janjikan empat tahun dulu. Saya tak pernah
lupa. Sampai sekarang saya masih tunggu surat cerai daripada awak, Harris.” Talar
‘Aisy nekad menyampaikan keinginan. Tetapi entah kenapa ada rasa sakit yang
bertamu di hati dengan permintaannya sendiri. Kosong dan sepi.
Harris terkedu dengan perpisahan yang diminta ‘Aisy.
Menuntut sebuah janji yang tanpa sedar pernah dilafazkannya suatu waktu dulu
dek rasa amarah yang tidak terbendung.
“Tidak, sayang. Abang takkan lepaskan sayang. Never!” Harris menekankan suaranya,
menggambarkan ketegasan hatinya. Dia pernah melakukan kesilapan dengan membuang
‘Aisy dalam hidupnya. Dan dia tidak mahu mengulangi kekhilafan nya yang dulu.
“Awak dah janji nak ceraikan saya. Buat apa awak simpan
perempuan kotor macam saya ni, Harris?” Desak ‘Aisy memulangkan paku buah
keras. Satu persatu kata penghinaan yang pernah dihamburkan Harris diluahkan.
Tidak satu pun dia lupa. Kekal tersimpan dalam ingatannya sampai bila-bila.
“Sudah! Abang tak
nak bincang lagi pasal ni. Jangan sekali-kali ungkit tentang perpisahan. Abang
tak suka!” Cantas Harris memberikan amaran keras. Kedua-dua rahangnya diketap
kuat.
“Kenapa awak buat saya macam ni, Harris? Kenapa awak tak nak
lepaskan saya? Kenapa awak masih nak simpan perempuan macam saya ni lagi? Tak
puas lagi ke awak nak seksa saya?” ‘Aisy menyoal sinis dalam sendu yang tidak
berpenghujung. Sakit hatinya.
Harris menarik nafasnya dalam. Dia bangkit dari keadaan
melutut dan melabuhkan duduk di sisi ‘Aisy di atas katil. Tangan ‘Aisy dibawa
ke dalam genggamannya.
“Because I love you so
much, sayang. You are everything to me.” Harris jujur mengakui perasaannya.
Rasa indah yang hanya disedarinya setelah ‘Aisy berlalu pergi dari hidupnya.
“Pergi jahanam dengan cinta palsu dan kasih sayang awak yang
penuh pura tu. Hentikan lah sandiwara mengarut awak ini.” Cemuh ‘Aisy kasar
lantas menepis pegangan tangan Harris. Dia tidak akan termakan lagi dengan
kata-kata Harris.
“Demi Allah, sayang. Abang ikhlas dengan perasaan abang.
Abang sungguh cintakan sayang.” Ungkap Harris lirih. Tidak tahu harus bagaimana
lagi untuk meraih kembali kepercayaan isterinya. Setiap kesungguhan kata yang
dilafazkan hanya dipandang sepi oleh ‘Aisy.
“Cukuplah, Harris. Terimalah hakikat yang kita memang tak
ada masa depan bersama. Berpisah adalah jalan terbaik untuk kita bawa haluan
masing-masing.” Suara ‘Aisy sedikit mengendur. Degil dan nekad biarpun hatinya
sakit dengan kata-katanya sendiri.
Harris mendengus geram. Dia menggelengkan kepalanya menolak
permintaan ‘Aisy. Sesak jiwanya dipalu rasa yang tidak keruan. Tidak akan
sekali-kali dia menunaikan permintaan ‘Aisy.
“Dengar sini, sayang. Walau apa pun yang berlaku, hatta
dunia ini kiamat sekalipun, abang tak akan ceraikan sayang!” Suara Harris
meninggi. Dia merenung tajam ke dalam anak mata ‘Aisy. Kedegilan ‘Aisy
benar-benar mencabar kesabarannya.
“Tapi saya tetap akan tuntut cerai daripada awak, Harris.
Kita ada mahkamah. Biar mahkamah yang menentukan pengadilannya!” Tingkah ‘Aisy
dengan berani. Langsung tidak mempedulikan pandangan cerlung suaminya.
Kata-kata itu semakin menyemarakkan api kemarahan Harris.
Berombak dadanya menahan rasa geram. Kedua-dua tangannya dikepal kuat sehingga
bergetar. Jangan berani cabar kesabarannya.
“Don’t you dare,
‘Aisy!” Gumam Harris memberikan amaran. Tanpa sedar tangan kasarnya
mencengkam kuat bahu ‘Aisy. Memaknakan keengganan hatinya. Tidak! Dia tidak
akan benarkan semua itu berlaku.
‘Aisy membalas renungan Harris. Wajah merah lelaki itu
ditatap dengan penuh berani. Namun, kekuatan tangan Harris yang mencengkam
bahunya membuatkan dia tidak mampu menahan sakit.
“Lepaskan saya, Harris!” ‘Aisy mengetap bibir. Dia menepis
tangan Harris.
“No!” Tolak Harris
semakin gagal mengawal rasa marah. Cengkaman tangannya semakin dikuatkan.
“Harris, lepaskan saya. Saakkitt…” ‘Aisy masih berusaha
menepis kedua-dua belah tangan Harris yang melekat kemas di bahunya namun
kudratnya terlalu nipis untuk melawan tenaga lelaki itu.
“Harris, lepaskan tangan awak. You are hurting me!” Tekan ‘Aisy. Nada suaranya naik satu oktaf.
Harris melepaskan pegangan tatkala menyedari ‘Aisy sedang
mengongoi menahan kesakitan. Dia mengundur sedikit menjauhi ‘Aisy lalu
menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Pasti bahu isterinya yang beralas baju
itu berbirat dengan kesan merah.
“Astagfirullah…” Harris menghela nafas panjang sambil
beristighfar. Dia cuba meniupkan ketenangan dalam diri.
“Maafkan abang.” Lontaran suara Harris kembali kendur.
“Sayang boleh
minta apa saja daripada abang. Apa saja abang sanggup tunaikan. Tapi satu yang
abang pinta. Tolonglah jangan minta abang lepaskan sayang.”
Harris melurut rambutnya yang jatuh ke dahi. Memang dia yang
bertanggungjawab dengan setiap penderitaan dan keperitan yang dilalui ‘Aisy.
Untuk itu, dia mahu menebus kekhilafan nya dulu. Tetapi bukan dengan perpisahan.
Bukan dengan memutuskan sebuah ikatan pernikahan yang terlalu suci.
“You have everything,
Harris. Wang ringgit, kuasa, kedudukan, rupa. Apa lagi yang tak cukup? Apa
lagi yang awak nak daripada saya, Harris? Saya dah tak ada apa untuk berikan
pada awak.” Keluh ‘Aisy semakin berat.
“Cinta. Abang perlukan cinta sayang. Kekayaan, kuasa semua
itu tak bermakna andai hidup abang ini kosong tanpa sayang. Abang perlukan sayang untuk menemani hidup abang. Berilah abang
peluang kedua. Just once. Abang akan
buktikan kesucian cinta abang terhadap sayang. Abang akan jaga dan lindungi sayang
dengan kasih yang tak berbelah bagi.” Rayu Harris bersungguh-sungguh.
Kegelisahan jelas terpeta di wajah Harris. Sungguh dia benar-benar
ingin menakluki kembali hati ‘Aisy. Ingin memiliki kembali kasih sayang dan
meraih cinta isterinya yang pernah disia-siakan.
“Wujud ke perasaan cinta dalam hati lelaki ego seperti awak
ni, Harris?” Cebik ‘Aisy tersenyum mengejek. Separuh hatinya ingin percaya
namun ingatan pada kenangan lalu yang menyakitkan terlalu kuat membuatkan
hatinya kembali membeku.
“Empat tahun cukup mengajar abang tentang erti cinta. Membuatkan
abang sedar betapa sakitnya menanggung rindu. Betapa sengsara hati ini apabila
abang hanya mampu melihat dari jauh isteri yang abang cintai. Abang nak tebus
balik semua yang kita pernah hilang, sayang. Maafkan abang atas segala dosa
abang pada sayang.” Ungkap Harris sayu. Demi Tuhan tidak tergambar penderitaan
yang terpaksa dilaluinya. Saban waktu dia menanggung rasa kesal di atas
perbuatannya yang lalu.
“Tak semudah itu saya dapat lupakan apa yang dah berlaku, Harris.
Pintu hati saya dah tertutup buat awak. Saya mohon pada awak. Tolong lepaskan
saya. Saya dah tak sanggup nak jadi isteri yang berdosa kerana saya tahu saya tak
mungkin kembali dalam hidup awak.”
Mata ‘Aisy kembali berkaca. Nusyuzkah dia jika dia memilih
untuk meninggalkan suami yang telah banyak melukakan hatinya? Nusyuz kah dia
jika dia ingin lari dari beban derita yang sarat ditanggung hatinya?
Harris menggelengkan kepalanya laju.
“Kita bina hidup baru, sayang. Abang sedar, dulu abang tak
pernah layan sayang dengan baik. Banyak peluang yang abang persiakan kerana
keegoan dan kebodohan abang sendiri. Tapi abang mohon, untuk kali ini. Berilah
peluang pada abang untuk menjadi seorang suami yang terbaik. Seorang suami yang
akan meminjamkan senyum ketika sayang bersedih, yang akan memujuk apabila sayang
merajuk, yang akan berkongsi rasa bahagia apabila sayang gembira. Abang nak
hidup bahagia dengan sayang.” Kedua-dua belah tangan ‘Aisy digapai dan
digenggam erat.
“Bahagia saya bukan dengan awak, Harris. Cukuplah sekali
hati saya awak sakiti. Apa yang berlaku dah cukup untuk saya nilai harga cinta
awak.”
Ditambak tembok kebenciannya setinggi mungkin. Diyakinkan
hatinya yang pujuk rayu Harris hanya penuh dengan kepura-puraan. Janji manis
lelaki itu hanya dusta semata. Dia tidak akan terpedaya dengan tipu muslihat
Harris.
“Demi Allah, I love
you so much, sayang. I really do!” Luah Harris buat kali kedua bersungguh-sungguh
mempertahankan isi hatinya. Dia menggoncang lembut bahu ‘Aisy.
“Cinta? Cinta awak hanya untuk dapatkan tubuh saya ini kan?
Kasih awak hanya untuk menyakiti hati saya kan? Kalau awak jujur dan ikhlas
dengan perasaan awak, tadi tu apa?”
‘Aisy menepis kasar tangan Harris yang mendarat di bahunya.
Sebak rasa hati mengenangkan perlakuan Harris yang hilang kawalan diri sebentar
tadi. Sesak nafasnya menahan tangis yang kembali melebat.
“I know I lost
control, but…”
Harris kematian kata. Dalam diam dia memarahi diri sendiri dengan
tindakan buru-burunya. Kerinduan dan rasa kasih yang tidak tertahan terhadap
‘Aisy membuatkan dia hilang pertimbangan. Dan kini dia terpaksa membayar di
atas keterlanjurannya tadi.
“Sebenarnya awak tak pernah menyayangi saya, Harris. Awak
cuma mahukan tubuh saya kan? Saya benci awak, Haris. Saya benci!” Herdik ‘Aisy.
Berombak dadanya menahan rasa marah dan kecewa. Jauh di dasar hati, ada
kepedihan yang terselit. Mampukah hatinya membenci Harris seperti apa yang
telah ditasdikkan oleh lidahnya sendiri?
“Begitu sekali sayang menilai cinta abang. Kasih abang pada sayang
tak serendah itu, sayang. Cinta abang pada sayang bukan untuk diperdagangkan.
Ikatan pernikahan kita terlalu suci, sayang. Abang benar-benar sayangkan rumah
tangga kita. Walaupun seribu kali sayang ungkapkan kata benci, abang tak akan
mengalah mengejar cinta sayang. I really
mean it, sayang.” Bicara Harris sayu. Dia menarik nafas dalam mengumpul
kekuatan. Tidak sekali-kali dia akan mengaku kalah biarpun berkali-kali hatinya
tergores dengan penolakan ‘Aisy.
“Look into my eyes,
sayang. Tolong lihat dan nilai dengan pintu hati. Mata abang tak mungkin
dapat menipu. Abang sungguh-sungguh cintakan sayang. Cinta, kasih dan sayang
abang hanyalah milik Rahadatul ‘Aisy Hilmi, satu-satunya isteri abang dunia dan
akhirat.” Sambung Harris meluahkan rasa, mengharapkan kata-katanya mampu
menautkan kembali simpulan kasih yang telah lama terlerai.
‘Aisy terkedu. Bebola matanya menari-nari di atas wajah
Harris. Mencari kebohongan yang sedang disembunyikan Harris di sebalik
kata-kata yang diungkapkannya. Tetapi kenapa dia hanya nampak sinar kejujuran
di situ? Arghh..lelaki ini memang bijak bersandiwara. Akalnya yakin Harris
hanya bersandiwara, tapi kata hati berbisik sebaliknya. Tiba-tiba kepalanya
berdenyut hebat. Dia keliru!
“Abang janji, abang takkan sentuh ‘Aisy selagi ‘Aisy sendiri
tak relakan. Tadi, memang abang
tersilap langkah, abang bertindak di luar
kawalan. But it won’t happen again, you
can mark my words.” Janji Harris hanya dipandang sepi oleh ‘Aisy. Dalam
diam dia cuba mencari titik rasional di sebalik luahan suaminya.
Harris menjarakkan diri ke jendela membawa kekecewaan
tatkala melihat kesepian ‘Aisy. Fikirannya tenggelam dalam remang-remang senja.
Kesuraman malam yang mula membiaskan diri bagaikan sedang menggambarkan gelodak
perasaannya yang kelam.
Harris melepaskan keluhan berat. Entah kenapa dia mula
merasakan kesukaran untuk mendapatkan kembali kepercayaan ‘Aisy. Hatinya
semakin dipagut bimbang mengenangkan penerimaan ‘Aisy. Sering kali wajah itu
mempamerkan riak penuh curiga tatkala lafaz maaf meniti di bibirnya.
Ternyata ‘Aisy yang pernah dikenalinya empat tahun yang lalu
telah banyak berubah. ‘Aisy yang ada di hadapannya kini penuh dengan
kedinginan. Sarat dengan api dendam yang bersarang dalam jiwa. Dan Harris tahu
tindakannya yang terlalu menurut kehendak hati sebentar tadi membuatkan ‘Aisy semakin jauh daripadanya.
Semakin membunuh peluangnya.
Azan Maghrib yang dilaungkan bilal dari surau Ibn Haytham
mencantas lamunan Harris. Dia meraup rambutnya dan beristighfar perlahan. Jauh
benar dia melayan fikiran membiarkan keadaan menjadi sunyi sepi. Esak tangis
‘Aisy juga sudah tidak kedengaran lagi.
Senyuman terukir di pinggir bibir Harris sebaik terpandangkan
‘Aisy yang tertidur kepenatan dalam keadaan merekot. Hilang seketika ketegangan
yang melanda di jiwa saat melihatkan wajah polos itu. Tidurnya begitu lena, mungkin
kesan gangguan ritma harian atau jet lag akibat
pertukaran zon waktu.
Harris menghampiri wajah polos itu. Perlahan-lahan dia mengangkat
tubuh ‘Aisy dan membetulkan pembaringan isterinya agar lebih selesa. Dengan
berhati-hati dia memanjat katil dan turut berbaring di sisi ‘Aisy, bimbang jika
pergerakannya akan mengganggu lena ‘Aisy.
Peluang itu diambil Harris untuk merenung wajah ‘Aisy tanpa
jemu. Anak-anak rambut ‘Aisy yang menutupi mata di selak. Jelas kelihatan sisa air
mata yang berkumpul di tubir mata yang sedang terpejam rapat. Kasih sayangnya
pada wanita itu semakin menebal. Tidak pernah berkurang. Dahi ‘Aisy dikucup
dengan penuh rasa cinta. Maafkan abang, sayang. Rintih Harris di dalam hati.
Setelah beberapa minit berteleku di sisi ‘Aisy, Harris
bangun mencapai tuala. Dia perlu membersihkan diri untuk menunaikan kewajipan kepada
Yang Maha Esa. Nyenyak sekali tidur ‘Aisy menjadikannya serba salah untuk mengejutkan
lena isterinya. Dia berkira-kira untuk mengejutkan ‘Aisy usai dia menunaikan
solat nanti. Lagipun dia tidak perlu bimbang andai ‘Aisy terlepas waktu Maghrib
kerana seorang musafir diberikan kelebihan untuk menjamakkan solat Maghrib dan
Isyak di dalam waktu Isyak.
BAB 4
‘Aisy menggenyeh matanya yang masih mengantuk. Cahaya lampu
yang menerangi di segenap ruang menyilaukan pandangannya. Suasana sekeliling
dirasakan sedikit asing. Dia cuba memusatkan fikirannya yang agak keliru. Setelah
beberapa saat, barulah otaknya dapat memproses dengan betul. Dia bukan lagi
berada di apartmen sewaannya di pinggir kota London. Susun atur perabot dalam
bilik itu menunjukkan yang dia kini berada di kampung halamannya.
‘Aisy bangkit. Namun, pergerakannya terhenti apabila
denyutan di kepalanya hebat menyerang. Dia mengetap bibir menahan sakit. Tubuhnya
disandarkan di kepala katil untuk mendapatkan sokongan.
Harris yang lengkap berbaju Melayu biru turquoise menggamit
pandangannya yang berbalam. Lunak sekali bacaan ayat suci al-Quran yang sedang dilagukan
lelaki itu. Mengundang rasa damai di jiwa. Terlalu banyak kejutan yang
diberikan Harris biarpun belum sampai sehari dia dipertemukan kembali dengan
lelaki itu.
Perubahan yang ditunjukkan Harris membuatkan dia bagaikan
tidak mengenali suami yang berada di depannya kini. Atau adakah ini juga
sebahagian daripada lakonan yang sedang dipentaskan Harris? Jika benar, untuk
apa sebenarnya lakonan ini semua?
“Sayang dah bangun?”
Sapaan Harris membuatkan ‘Aisy menjeling sekilas ke arahnya.
Sengaja dia membiarkan sepi pertanyaan Harris. Hatinya masih sakit dengan peristiwa
yang berlaku lewat petang tadi. Menambah rasa sebu di sanubari.
Harris menamatkan bacaannya dan meletakkan al-Quran di atas
meja di tepi katil. Sejadah dilipat dan dia bingkas bangun menuju ke arah almari
pakaian. Pantas tangannya mencapai tuala bersih yang berlipat kemas dan
meletakkannya di sebelah ‘Aisy. Lagak lelaki itu seperti sudah biasa dengan
setiap susun atur yang ada di dalam bilik tidur itu.
‘Aisy mengerutkan dahi kehairanan. Semakin ligat otaknya
berfikir semakin kuat denyutan di kepalanya. Matanya dikecilkan menahan rasa
yang mencucuk-cucuk.
“Sayang kenapa? Tak sihat ke?” Soal Harris apabila
dilihatnya ‘Aisy sedang memicit kepala. Jelas suaranya bernada risau. Dia
melabuhkan duduk di sisi ‘Aisy. Lalu dahi isterinya disentuh lembut.
“Saya tak apa-apa.”
Tangan Harris ditepis perlahan. ‘Aisy bingkas bangun. Tidak
mahu kelihatan lemah di hadapan Harris. Namun pening di kepalanya menyebabkan
pandangannya semakin kabur, lalu dia gagal mengimbangi diri. Lantas, dia
memegang bucu katil untuk menghalang dirinya daripada jatuh.
“Okay apa kalau nak bangun pun tak larat ni?” Gumam Harris.
Dia turut bangun. Tanpa menghiraukan bantahan ‘Aisy, dia memaut bahu isterinya.
Mendudukkan ‘Aisy kembali di birai katil.
“Sayang sakit kepala?
Abang picit kan?” Wajah pucat ‘Aisy ditatap dengan rasa bimbang. Tangan Harris memicit-micit
belakang tengkuk ‘Aisy, cuba untuk melegakan denyutan di kepala isterinya.
“Tak payah nak concern
lebih-lebih. Saya belum nak mati lagi.” Sinis ‘Aisy sambil menolak kasar tangan
Harris. Dia ingin bangun namun pandangannya yang berpusing-pusing menyebabkan
dia hilang daya keseimbangan.
Mujurlah Harris bergerak tangkas dengan bertindak memegang lengan
‘Aisy untuk menampung tubuh isterinya daripada jatuh.
“Tak guna kalau dalam keadaan macam ni pun sayang masih nak
tunjukkan keras kepala sayang tu. Kita pergi klinik, ya sayang?” Harris mengawal
oktaf suaranya. Kesabarannya sedikit tercalar dengan kedegilan ‘Aisy.
“Tak perlu.” ‘Aisy menggelengkan kepalanya sebelum
menyambung kata.
“Tolong ambilkan ubat dalam handbag saya kat atas meja.” Kesakitan yang semakin menggila
membuatkan dia terpaksa juga meminta pertolongan Harris. Dia terduduk lemah di
birai katil.
Tanpa lengah, Harris segera menyelongkar tas tangan hitam
milik isterinya. Satu-satunya botol ubat yang berada dalam tas tangan itu dicapai.
Dia membaca deskripsi pada label botol tersebut. Imitrex. Ini ubat migrain.
Gumam Harris di dalam hati.
“Tunggu, abang ambilkan air.” Pesan Harris sebaik botol ubat
bertukar tangan. Seminit kemudian, dia muncul dengan segelas air. Dihulurkan
gelas tersebut kepada ‘Aisy. Tunak matanya memerhati setiap inci pergerakan
isterinya daripada membuka botol ubat sehinggalah dua biji pil selamat ditelan.
‘Aisy menyandarkan tubuhnya di birai katil. Matanya
dipejamkan. Denyutan di kepalanya semakin berkurangan, kesan tindak balas daripada
ubat yang dimakan.
“Sejak bila sayang ada migrain ni?” Soal Harris mengambil
berat sambil melabuhkan duduk di sisi ‘Aisy.
“Tak penting untuk awak tahu.” Jawab ‘Aisy dingin. Dia rimas
dengan perhatian yang diberikan Harris. Dengan renungan lelaki itu yang tidak
jemu-jemu memandang wajahnya membuatkan dia gelisah sendiri.
“Sayang kan isteri abang. Mestilah abang kena ambil tahu
kan?” Balas Harris lembut sambil mengukirkan senyuman nipis di bibir.
“Buat apa? Kita dah nak berpisah pun tak lama lagi kan. Ambil
tahu hal sendiri sudah.” Bentak ‘Aisy kasar. Dia memang sengaja mengungkapkan
ayat yang mampu membangkitkan kemarahan Harris.
Senyum di wajah Harris mati. Degupan jantungnya berdetak
hebat setiap kali ungkapan perpisahan meniti di bibir ‘Aisy. Kedegilan ‘Aisy
benar-benar mencabar kesabarannya.
“Abang tak suka sayang cakap macam tu. Abang harap ini kali
terakhir sayang bangkitkan pasal ini. Dan keputusan abang tetap sama. Abang tak
bersetuju dan takkan pernah bersetuju dengan permintaan sayang itu!” Keluh
Harris dengan intonasi suara tegas.
“Untuk apa kita teruskan ikatan yang tak pernah
membahagiakan ini?” Soal ‘Aisy lirih.
Harris menelan liur pahit. Sepahit setiap patah kata yang
dihamburkan keluar dari mulut ‘Aisy yang terpaksa ditelannya. Kata yang
diungkap dek kebencian yang telah dipendam sekian lama. Kebencian yang akhirnya
bertukar menjadi dendam.
“Abang akan bahagiakan sayang. Sayang akan bahagia. Dan kita
mesti bahagia kerana sayang adalah jodoh abang. Sayang cuma perlu berikan abang
peluang untuk buktikan.” Tajam renungan mata Harris bersatu dengan anak mata
‘Aisy. Memaknakan keyakinan dalam kata-katanya.
Kesungguhan Harris sedikit mengusik tangkai hati ‘Aisy. Cepat-cepat
‘Aisy mengalihkan pandangannya ke arah lain. Bimbang andai panahan sepasang
mata hitam pekat itu bisa mencairkan tembok kebencian yang telah dibinanya.
“Abang janji, abang
akan buat sayang bahagia sehingga sayang lupakan segala penderitaan yang pernah
sayang harungi kerana abang.” Janji Harris.
‘Aisy terkedu. Separuh hatinya ingin percaya. Kenapa dengan dirinya
ini? Adakah rasa sayang masih tersisa buat Harris? Tidak mungkin! Lelaki ini
hanya pandai berjanji kosong. Suara hatinya mengingatkan.
“Tolong keluar, Harris. Saya nak bersendirian. I need to rest.” Pinta ‘Aisy sambil
memejamkan matanya rapat.
Saat itu, dia sudah tidak sanggup untuk mendengar pujuk rayu
Harris. Ingin diusir rasa serba salah yang mula membelenggu dirinya. Dia takut
hatinya akan tewas. Sedangkan keperitan yang pernah dihadiahkan Harris masih
kuat terasa. Namun, kenapa dia masih tidak mampu membenci Harris secara total?
Kenapa harus hatinya berbolak-balik?
“Okay. Sayang berehatlah. Nanti, jangan lupa mandi. Segarkan
sikit badan tu. Sayang boleh solat kan? Waktu Isyak pun dah nak masuk ni.
Jangan lupa jamak sekali dengan solat Maghrib.” Pesan Harris satu persatu sambil
meletakkan tuala yang telah diambilnya tadi di sebelah ‘Aisy. Biarlah dia
beralah menuruti permintaan ‘Aisy walaupun di dalam hatinya bimbang untuk
meninggalkan wanita itu berseorangan. Sedar yang dia tidak boleh terlalu memaksa.
“Boleh tak awak berhenti panggil saya sayang. Makin sakit
kepala saya ini dengar perkataan tu.” Pinta ‘Aisy dalam sindiran. Sengaja dia
mengeraskan hatinya biarpun keprihatinan Harris sedikit sebanyak membuatkan
hatinya goyang.
“Nope! Abang tak
boleh tunaikan.” Jawapan Harris membuatkan ‘Aisy mendengus.
“Ingat pesan abang tadi?” Tanya Harris inginkan kepastian
sebelum berlalu. Dia menyembunyikan senyum memandang wajah kelat ‘Aisy.
‘Aisy hanya menganggukkan kepala perlahan. Tidak kuasa untuk
bertekak. Matanya dipejamkan. Derap tapak kaki Harris semakin menghilang.
Kemudian, dia mendengar bunyi pintu ditutup. Setelah setengah jam, sakit di
kepala sudah hampir hilang sepenuhnya. Cepat-cepat ‘Aisy mencapai tuala dan
berlalu ke bilik air.
***
Selesai membersihkan diri, ‘Aisy kembali ke dalam biliknya.
Badannya terasa segar. Dia menguak pintu bilik dengan perasaan gugup. Mulutnya
melepaskan keluhan lega apabila kelibat Harris tidak lagi kelihatan di situ.
Beg pakaiannya dibuka dan dia mengeluarkan sehelai baju tidur kaftan. Dia
menyalin dan menggantikan blaus dan seluar yang membaluti tubuhnya. Silapnya
tadi kerana dalam kalut-kalut dia terlupa untuk membawa baju bersih untuk
disalin di dalam bilik air.
‘Aisy membentangkan sejadah dan menyarung telekung sembahyang.
Bersedia untuk menunaikan solat jamak takhir. Keindahan hikmah dalam Islam yang
diberikan kepada setiap musafir. Masih berbaki perjalanannya sebagai musafir
kerana destinasi sebenar dia akan bermastautin adalah di Kuala Lumpur. Apatah
lagi tempoh masa dia berada di kampung halamannya kurang daripada tiga hari.
Ketukan perlahan di pintu mengejutkan ‘Aisy yang sedang
berteleku di atas tikar sejadah. Dia mengalihkan pandangannya ke arah pintu
yang sedang terkuak dari luar.
“Sayang, mak ajak makan malam.”
Harris menjengukkan kepalanya di sebalik pintu. Lelaki itu
segak tersenyum manis ke arahnya.
‘Aisy mengalihkan pandangan. Hanya mempamerkan wajah tanpa
reaksi. Malah bibir mungil itu langsung tidak memberikan sebarang respons
terhadap ajakan Harris. Lambat-lambat dia mencabut telekung dan melipatkan
sejadah.
“Kepala sayang macam mana? Dah baik?”
Harris melangkah ke arah ‘Aisy yang sedang menyidai telekung
sembahyang dan sejadah di rak ampaian. Wajah ‘Aisy yang sedikit segar ditatap
dengan penuh kasih. Sungguh, sepenuh hati dia mencintai wanita di depannya itu.
‘Aisy menjawab pertanyaan Harris dengan anggukan perlahan.
Sengaja dia kaku dan beku begitu. Menyampaikan rasa meluatnya dengan kehadiran
lelaki itu.
“Jom, sayang. Semua orang dah tunggu sayang tu. Tak sabar
nak makan malam dengan sayang. Abang pun dah lama tak makan bersama sayang…” Ajak
Harris tidak mengendahkan reaksi dingin ‘Aisy. Lembut dia menyentuh jari jemari
‘Aisy untuk memimpinnya ke ruang makan.
“Nak ke awak makan malam dengan perempuan sundal macam saya
ni?” Sekali lagi dia menjadi sarkastik. Mengulang kembali ayat yang pernah
dilafazkan Harris padanya suatu masa dulu.
“Sayang, janganlah cakap macam tu…” Riak wajah Harris
berubah. Matanya berkaca.
“Saya tahu jalan sendiri. Tak perlu pimpin.” Keras suara
‘Aisy. Pantas ‘dia merentap pegangan itu. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan
kepada Harris sebelum mengorak langkah meninggalkan lelaki itu.
Harris menyeka setitis air mata yang mengalir di tubir mata.
Dia hanya mampu memandang tubuh kecil ‘Aisy yang sedang menuju ke meja makan. Dalam
keluhan dia melangkah membuntuti isterinya.
“Sedapnya. ‘Aisy minta maaf tak sempat nak tolong mak di
dapur tadi. Penat sangat.” ‘Aisy menceriakan suaranya memecah keheningan
suasana di meja makan. Dia menarik salah satu kerusi di meja makan dan
melabuhkan duduk.
Harris menarik kerusi dan duduk di sebelah ‘Aisy.
“Mak tahu kamu penat. Lagipun Suraya dan Maya ada bantu mak
kat dapur. Hari ini mak masak semua lauk kegemaran ‘Aisy. Mak tahu ‘Aisy dah
lama tak makan lauk-lauk ini kan?” Riang suara Hajah Maryam.
‘Aisy mengukirkan senyum. Anak matanya menjamah pelbagai
juadah yang terhidang di atas meja.
“Banyaknya lauk mak masak. Kalau macam ni boleh gemuk
‘Aisy.” Komen ‘Aisy. Kecur liurnya dengan aroma kuah singgang ikan tongkol,
kangkung goreng, budu, ikan tenggiri masak lemak, kerabu pucuk paku, kacang
botol, pegaga dan ulam raja. Hampir penuh meja yang boleh memuatkan lapan
kerusi itu.
“Baguslah, biar berisi sedikit badan tu. Baru cantik.”
Sampuk Harris tenang.
‘Aisy menjegilkan matanya mendengarkan ayat yang keluar dari
mulut Harris.
“Betul kata Harris tu. Dah susut benar tubuh ‘Aisy mak
tengok. ‘Aisy kena makan banyak sikit.” Sahut Hajah Maryam.
Harris hanya tersenyum simpul apabila kata-katanya mendapat
sokongan ibu mertuanya itu.
“Kalau berisi macam karung beras tu mana nak datang
cantiknya lagi, mak.”
Kata-kata perli yang dituturkan ‘Aisy memadamkan senyuman di
bibir Harris. Tidak menyangka ‘Aisy masih mengingati ejekan yang pernah
dihamburkan nya pada ‘Aisy suatu waktu dulu.
“Kamu ni ‘Aisy, macam-macam. Tak kisah lah gemuk ke kurus
ke...yang penting tubuh badan tu sihat. Tapi, kalau nak menyeksa diri
semata-mata untuk cantik, mak memang tak setuju.” Omel Hajah Maryam sambil
menyendukkan nasi ke dalam pinggan Haji Hilmi.
Bagi Hajah Maryam, bentuk tubuh ‘Aisy dahulu bukanlah
dikategorikan sebagai gemuk. Anaknya memiliki badan yang sedang elok. Tidak
kurus dan tidaklah terlalu berisi. Tetapi, ‘Aisy yang ada di hadapannya kini
terlalu jauh berbeza bentuk fizikalnya. Tubuh yang kurus melidi dengan wajah
yang cengkung membuatkan hati tuanya sedikit runsing. Terlalu berat sangat kah
penderitaan yang sedang ditanggung anak perempuannya itu?
“Yam, hulurkan mangkuk nasi tu. ’Aisy, sendukkan nasi untuk
Harris.” Arahan Haji Hilmi mencantas lamunan pendek Hajah Maryam. Dia
menghulurkan mangkuk yang berisi nasi kepada ‘Aisy.
Dengan wajah yang kelat, ‘Aisy meletakkan dua senduk nasi ke
dalam pinggan kosong di hadapan Harris. Nampak sangat dia melayan Harris dalam keadaan
terpaksa dan tidak ikhlas.
“Terima kasih, sayang. Tapi kalau bibir itu senyum sikit kan
lebih manis.” Desis Harris membuatkan ‘Aisy sedikit terkaku. Didekatkan sedikit
bibirnya ke telinga kiri ‘Aisy.
‘Aisy berdeham perlahan. Dia menjeling tajam sambil menyendukkan
sesenduk nasi ke dalam pinggannya.
“Kenapa sikit sangat nasi tu, sayang?” Tegur Harris..
“Tengok muka awak buat selera saya mati.” Gumam ‘Aisy
berbisik. Namun kata-kata itu masih mampu didengari Harris.
“Tambah sikit lagi ya, sayang.” Sengaja Harris tidak
mempedulikan kata-kata ‘Aisy. Tangannya mencapai mangkuk yang berisi nasi dan
menambah satu senduk nasi lagi ke dalam pinggan ‘Aisy.
‘Aisy ingin membantah. Namun dia hanya mampu membiarkan
apabila menyedari semua pasang mata yang sedang memandang ke arah mereka sambil
tersenyum-senyum.
Haji Hilmi membacakan doa setelah semua ahli keluarganya
berada di meja makan, mensyukuri dengan nikmat rezeki yang diberikan untuknya
sekeluarga pada hari itu.
“Harris, jemput makan, nak. Jangan malu-malu.” Pelawa Hajah
Maryam dengan mesra.
“Kalau malu depan rezeki alamatnya kelaparan lah saya malam
ini. Air tangan mak, mana boleh saya tolak.” Lembut pujian Harris membuatkan
Hajah Maryam tersenyum lebar.
‘Aisy mencebik di dalam hati. Entah sejak bila lelaki ini
berselera dengan lauk masakan kampung.
“Abang tahu, these are
your favorites kan? Makanlah…” Bisik Harris seakan mengerti pandangan ‘Aisy
tatkala dia mencedok kuah singgang bersama dengan sepotong ikan tongkol dan
kangkung goreng ke dalam pinggan isterinya. Kemudian Harris meletakkan lauk
yang sama ke dalam pinggannya. Budu turut digaul bersama nasi.
‘Aisy masih merenung Harris sekilas sebelum memulakan
suapan. Sejak bila Umayr Harris Tan Sri Hakim makan budu? Dulu, bukankah dia
orang pertama yang akan menutup hidung jelik dengan aroma budu, sos bilis yang
menjadi makanan wajib rakyat pantai timur itu. Tetapi kini, Harris cukup
berselera sekali meratah setiap lauk yang dulu tidak mungkin akan dijamah oleh
tekaknya.
“Senang hati mak tengok kamu berdua macam ni. Bertuah ‘Aisy
dapat suami yang penyayang macam Harris.” Bicara Hajah Maryam dengan senyuman
lebar di bibir. Sedari tadi dia memerhatikan layanan Harris terhadap anak
perempuannya. Hilang kerisauan yang bersarang di lubuk hatinya selama ini.
Suapan ‘Aisy terhenti. Tersedak dia mendengar ayat yang
dikeluarkan Hajah Maryam. Dia menepuk dadanya menahan rasa perit.
Harris menghulurkan segelas air kepada ‘Aisy. Belakang
isterinya digosok perlahan.
“Sayang okay?” Harris menyoal. Wajah ‘Aisy yang sedikit
kemerahan dipandang prihatin.
“Oo..okay..” ‘Aisy berdeham menahan rasa perit. Habis
separuh gelas air masak diteguknya.
“Saya hanya ada ‘Aisy, mak. Lagipun saya dah janji dengan
nenek, nak jaga dan hargai ‘Aisy sebaik mungkin sehingga hujung nyawa saya.” Ujar
Harris sambil melirik matanya ke arah ‘Aisy.
‘Aisy membuat muka. Sebal hatinya mendengar kata-kata manis
suaminya itu. Nasi yang ditelan dirasakan pahit. Mati terus seleranya.
Mak tak pernah tahu, sebenarnya Harris tak pernah menyayangi
dan menghargai ‘Aisy. Mak tak pernah tengok, layanannya yang sebenar terhadap
diri ‘Aisy. Mak tak pernah sedar, sebenarnya dia sedang hebat mementaskan watak
sebagai suami mithali untuk mengaburi mata semua orang. Ungkapan itu tersekat
di kerongkongnya. Tiada kekuatan untuk menuturkan kata-kata yang bakal membuka
lembaran sejarah hitam di antara dia dan Harris yang selama ini berjaya
disimpan kemas daripada pengetahuan Haji Hilmi dan Hajah Maryam.
“Eloklah kalau kamu fikir macam tu, Harris.” Sampuk Haji
Hilmi sambil turut menguntumkan senyum. Dia bersyukur melihat hubungan anak dan
menantunya kembali rapat. Walaupun dia mengambil sikap berkecuali dan tidak
mencampuri urusan rumah tangga anak perempuan dan menantunya itu, namun rajuk
yang berpanjangan ‘Aisy selama ini amat menggusarkan hatinya.
“Wah, romantiknya abang Harris ni. Maya pun nanti nak cari
suami macam abang Harris lah. Dahlah handsome,
kaya, penyayang, bertanggungjawab pula tu..” Becok mulut Sumayyah berbicara
meluahkan rasa teruja. Sejak dari lapangan terbang lagi, dia asyik memerhatikan
gelagat kakak dan abang iparnya yang pada pandangannya seperti merpati dua
sejoli.
“Amboi, sekolah tak habis lagi dah pandai nak menggatal.”
Rizal meluku kepala adiknya.
Suraya yang sibuk menyuapkan nasi ke mulut Mia Sara hanya
tersenyum geli hati. Rizal dan Sumayyah memang pantang kalau duduk semeja. Ada
sahaja perkara yang ingin digaduhkan. Marah-marah sayang lah katakan.
“Maya bukan menggatal lah abang Riz. Maya cuma memasang
impian.” Sumayyah menjawab sambil mencebikkan bibir. Tidak puas hati dengan
tindakan Rizal yang sesuka hati meluku kepalanya.
“Muka macam lipan ada hati nak berangan. Ayah, budak ni
kalau dapat banyak cangkul dalam SPM nanti kita kahwinkan saja.” Usikan Rizal
membuatkan Sumayyah merasa tidak puas hati.
“Abang Riz ni jahat tau!” Tangan Sumayyah sudah singgah di
pinggang abangnya.
“Auch… macam spesies ketam. Nak menyepit aje kerjanya.
Malanglah suami kau nanti Maya.” Rizal menggosok pinggangnya yang terasa pedih
kesan cubitan adiknya.
“Mak, ayah..tengok abang ni..” Adu Sumayyah manja untuk
mendapatkan sokongan. Rizal sudah ketawa mengekek melihat wajah adiknya yang
mencuka.
“Kamu berdua ni kalau tak bercakar tak sah.” Akhirnya Haji
Hilmi bersuara mendamaikan keadaan. Hatinya berbunga bahagia kerana semua
anak-anaknya dapat berkumpul dalam suasana yang cukup meriah.
‘Aisy juga terhibur dengan telatah kedua-dua adiknya. Sudah
lama dia tidak merasai suasana ceria begitu. Alangkah indahnya perasaan apabila
dapat kembali ke pangkuan keluarga tercinta.
“Bila kamu berdua nak balik ke KL?” Hajah Maryam bertanya sambil
matanya memandang ‘Aisy dan Harris silih berganti.
“Hari Sabtu ini. Saya ingat nak bawa ‘Aisy balik jumpa mama,
papa dan nenek dulu. Dia orang dah rindu sangat dengan ‘Aisy terutamanya nenek.
Lagipun hari Isnin ‘Aisy dah kena lapor kerja. Betul kan, sayang?” Jawab
Harris. Wajah ‘Aisy dipandang untuk mendapatkan kepastian.
“Huh?” ‘Aisy terkesima. Terperanjat dengan perancangan
Harris.
“Flight kita ke KL
Sabtu ini, pukul 10.00 pagi kan?” Ulang Harris sekali lagi. Lambat-lambat ‘Aisy
menganggukkan kepala mengiakan. Macam mana Harris tahu tentang jadual
perjalanannya? Hatinya sudah tidak keruan. Dijeling wajah Harris yang masih beriak
selamba.
“Kenapa kamu tak bawa ‘Aisy melawat Tan Sri dan Puan Sri
dulu sebelum balik ke sini? Kamu pun satu ‘Aisy, kenapa tak jenguk mertua kamu
dulu? Kesian dia orang.”
Pertanyaan Hajah Maryam membuatkan ‘Aisy hilang punca. Sudikah
Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora bertemu dengannya? Sedangkan selama ini mereka
tidak pernah menerima kehadirannya dalam keluarga mereka.
“Sebenarnya, papa dan mama ada kat US sekarang ini.” Balas
Harris menyelamatkan ‘Aisy yang sedang terpinga-pinga.
“Oh begitu. Kamu ini bercuti lama-lama tak apa ke, Harris?”
Soal Hajah Maryam sekadar ingin tahu. Selama ini, menantunya itu memang jarang
dapat bercuti panjang. Selalunya, jikalau Harris balik menjenguk mereka, paling
lama dia hanya dapat bermalam sehari dua sahaja. Itu pun setiap masa telefonnya
asyik berdering. Maklumlah, tugas sebagai ahli perniagaan yang mempunyai banyak
anak syarikat memang menuntut pengorbanan masa dan perhatian sepanjang masa.
“Hish…awak ni, Yam. Dia kan bos besar. Ikut suka dialah nak
cuti berapa lama pun. Tak ada siapa yang nak marah.” Sokong Haji Hilmi
mengundang senyum di wajah Harris.
“Tak ada masalah, mak. Lagipun dah lama saya tak bercuti
panjang. Buat masa ini kerja tak penting bagi saya. Apa yang paling utama saya
nak habiskan masa yang berkualiti bersama ‘Aisy. Bukannya sekejap dia tinggalkan
saya seorang diri di Malaysia.” Ujar Harris sambil melirik manja ke arah ‘Aisy.
Wang dan harta boleh dicari tapi jika dia kehilangan ‘Aisy lagi pasti hidupnya
nanar.
“Mak pun tak faham kenapa ‘Aisy ni beria sangat nak sambung
belajar kat UK. Padahal universiti dalam negara pun banyak. Sanggup tinggalkan
suami lama-lama.” Tiba-tiba Hajah Maryam membangkitkan persoalan yang selama
ini sering dielak ‘Aisy.
“Mak kan tahu, sejak dulu memang cita-cita ‘Aisy untuk
belajar di UK. Semasa degree dan master ‘Aisy tak ada peluang. Jadi, bila
kerajaan dah nak taja, takkanlah ‘Aisy nak menolak tuah.” Tingkah ‘Aisy membela
diri. Jawapan yang sama diberikan setiap kali soalan yang sama dibangkitkan.
“Mak tahu kamu memang bercita-cita tinggi. Tapi, yang
menjadi mangsa cita-cita kamu tu suami kamu ni. Makan pakai dia tak terjaga.
Sepatutnya tempat seorang isteri di sisi suami.” Kata-kata Hajah Maryam
menggambarkan yang dia tidak pernah bersetuju dengan tindakan anaknya
menyambung pengajian di London.
Mak dah mula dah. ‘Aisy gelisah. Kata-kata inilah yang
sering diluahkan emaknya setiap kali mereka berhubung di talian telefon. Dia
memang tiada kudrat untuk membalas. Membalas kata-kata Hajah Maryam ibarat seperti
berhujah dengan seorang peguam. Mudah-mudah alasan dan jawapannya akan
dipatah-patahkan ibunya.
“Sebenarnya, saya izinkan ‘Aisy sambung belajar. Lagipun,
zaman sekarang, Kuala Lumpur dengan London bukannya jauh sangat. Masa ‘Aisy kat
sana, tiap-tiap bulan saya jenguk dia.” Bela Harris tenang.
Bulat anak mata ‘Aisy memandang suaminya. Harris datang
menjenguk nya di London sebulan sekali? Kalaulah hendak mempertahankan dirinya
sekalipun, tidak perlulah mereka cerita begitu. Apa yang ingin dibuktikan oleh
Harris? Hendak beritahu kepada semua yang dialah seorang suami yang
bertanggungjawab?
“Kamu ni, Yam. Anak kita kan dah balik. Dah habis pun
belajar. Yang awak duduk ungkit perkara lepas tu buat apa?” Tegur Haji Hilmi
seakan mengerti gelodak yang bermain di jiwa anak perempuannya itu.
Harris meneruskan suapan nasi yang sudah hampir dihabiskan.
Dia perasan mata ‘Aisy asyik tajam memandangnya.
“Abang tahulah muka
abang ni handsome. Tapi perut tu
takkan kenyang kalau asyik tenung wajah
abang je.” Perli Harris. Dibisikkan kata-kata itu perlahan di telinga ‘Aisy sambil
tersenyum mengusik. Geram dengan kata-kata itu, spontan kaki Harris dipijak
‘Aisy.
“Hebat awak ye. Agak-agak dah boleh ganti Aaron Aziz ke?” Tanya
‘Aisy mengejek dalam nada rendah.
Harris memandang wajah kelat ‘Aisy. Sedaya upaya dia
mengukir senyuman. Walaupun dia tidak tahu bagaimanakah rupa senyumnya kala itu
kerana pada waktu yang sama wajahnya berkerut menahan sakit. Api tidak boleh
disiram dengan minyak gas.
“Lebih daripada itu lagi abang boleh buat, sayang.” Kata-kata
itu membuatkan ‘Aisy terkesima. Apa maksud Harris?
BERSAMBUNG
How sweet...he is in love..more than before but wounded he made is so deep
ReplyDelete