“Apa semuanya tadi, Harris?” Serang ‘Aisy tatkala hanya
mereka berdua saja yang berada di anjung rumah. Suasana malam yang dingin
langsung tidak dapat menyejukkan hatinya yang panas dengan lakonan dan pembohongan
Harris sewaktu di meja makan. Bertambah bengkak hatinya apabila Harris hanya membiarkan
sepi pertanyaannya. Lelaki itu santai berpeluk tubuh sambil melemparkan
senyuman segaris.
“Apa maksud sayang ni? Abang tak faham.” Akhirnya Harris
membalas pertanyaan ‘Aisy dengan soalan.
“Tak perlu berlagak naif depan saya, Harris. Kenapa awak
sanggup tipu mak dan ayah saya? Apa yang awak nak buktikan sebenarnya?” Dengus
‘Aisy. Keras intonasi suaranya bertubi-tubi melontarkan pertanyaan.
“Bila masa abang tipu mak dan ayah?” Harris mengangkatkan
kedua belah keningnya. Makin sakit hati ‘Aisy melihat ketenangan yang
ditunjukkan Harris.
“Habis tu masa makan malam tadi tu apa? Datang menjenguk
saya ke London tiap-tiap bulan kononnya. Awak sengaja kan nak tunjuk baik depan
mak dan ayah saya. Kononnya awaklah suami mithali yang begitu baik hati mengizinkan
saya ke London. Itu tak termasuk lagi lakonan hebat awak masa kat airport tadi.” Bentak ‘Aisy menghitung satu persatu lakonan Harris yang
menjengkelkannya. Segala ketidakpuasan hati yang disimpan dihambur keluar.
“Habis tu, sayang nak mak dan ayah tahu yang sayang tak
pernah pun minta izin abang untuk ke London? Sayang nak mak dan ayah tahu yang
sayang ke sana sebab membawa rajuk di hati? Begitu?”
Harris membalas kata-kata ‘Aisy. Senyuman nipis masih
tersungging di bibirnya. Perlahan-lahan dia menghampiri tubuh ‘Aisy yang
berdiri kaku di depannya.
“Itu kebenarannya bukan? Kenapa? Awak takut mak dan ayah tahu
apa yang awak dah buat pada saya? Bimbang pekung di dada awak itu akan
terbuka?” Sinis pertanyaan ‘Aisy menggambarkan api kemarahan yang sudah tidak
mampu dibendung.
Senyuman di wajah Harris padam. Ketenangan yang cuba
dipamerkan sedikit terusik. Dia menyabung pandang dengan anak mata ‘Aisy.
“Abang tak pernah takut dengan kebenaran. Abang bukan jenis manusia
yang pandai lempar batu tapi sembunyi tangan.” Gumam Harris dalam kesabaran
yang tersisa. Dia terdiam seketika sebelum senyumannya bertukar sinis.
“Tapi yang menghairankan abang, kenapa sayang sendiri yang
tak berterus terang dengan mak dan ayah? Kenapa perlu mengelak setiap kali mak
bertanya tentang kita? Sampai sekarang, banyak perkara tentang kita yang sayang
sembunyikan dari pengetahuan mak dan ayah kan?”
‘Aisy terkedu dengan soalan Harris yang bertalu-talu
menyerangnya. Sedar yang dirinya sudah mula kehilangan kata. Terperangkap dalam
situasi yang dimulakannya sendiri. Dia mengalihkan pandangannya ke arah lain.
Sungguh dia tidak tergamak hendak mencalarkan maruah
suaminya sendiri dengan menjaja kisah mereka kepada orang luar. Biarpun luka
yang ditinggalkan Harris cukup dalam. Tiada guna dihebohkan masalah antara dia
dan Harris hanya sekadar untuk berkongsi rasa. Simpati dan ratapan pilu tidak
akan mengurangkan derita dan sengsara yang sarat ditanggung hatinya.
“Kenapa diam?” Gesa Harris masih menanti jawapan.
“Tak perlu nak putar belitkan keadaan. Persoalan yang kita
bincang sekarang ni adalah tentang awak. Bukan saya!” Tekan ‘Aisy sedikit
gelisah. Akalnya kematian idea untuk membalas.
Harris ketawa tipis. “Jangan mengelak, sayang. Kenapa tak
nak jawab soalan abang? Atau sayang nak abang tolong jawabkan.”
Tubuh ‘Aisy makin didekati. Lembut pandangannya memanah ke
dalam anak mata ‘Aisy. Melihat ‘Aisy yang sedang dihambat keresahan membuatkan
Harris semakin yakin dengan perasaan isterinya.
‘Aisy makin tidak
keruan. Ada getar yang bertunas di hatinya tatkala tubuh Harris hanya berada
seinci saja daripadanya. Sehingga dia dapat merasakan kehangatan tubuh itu.
“Sia-sia saya bercakap dengan orang macam awak ni.” Tingkah
‘Aisy mahu menamatkan perbualan. Tidak betah untuk dia terus berlama. Bimbang
dia yang akan kalah. Semakin tidak yakin dengan hatinya sendiri.
‘Aisy mula mengayun langkah apabila lengannya dipaut Harris
tiba-tiba. Dia tersembam ke dada bidang lelaki itu. Bagaikan seperti ada aliran
elektrik yang sedang mengalir saat lingkaran tangan Harris membawa tubuhnya
erat ke dalam dakapan.
“Sebenarnya sayang takut
mak dan ayah membenci abang kalau mereka tahu perkara sebenar kan? Abang tahu
sayang buat semua tu sebab sayang masih cintakan abang. Dalam hati sayang,
masih ada rindu buat abang. Sayang cuma takut nak mengakui perasaan sayang pada
abang. Sayang bimbang takut terluka lagi kan?” Bisik Harris romantis di cuping
telinga ‘Aisy.
‘Aisy terkaku dalam pelukan Harris. Belaian lembut tangan
Harris di belakang tubuhnya membuai perasaan. Matanya dipejamkan rapat
menghayati keindahan sentuhan itu. Mindanya bagaikan dihipnosis. Lalu, tanpa
sedar dia turut membalas pelukan itu. Benarkah segala tebakan Harris? Masih
cintakah dia pada Harris? Masih berbaki kah rindunya buat lelaki itu?
“Sayang…berilah abang peluang untuk membetulkan kesilapan.
Izinkanlah abang untuk rawat luka di hati sayang. Kita bina hidup baru, ya
sayang?” Rayu Harris. Dia meleraikan pelukan. Redup renungannya menembusi
sepasang anak mata ‘Aisy membuatkan wanita itu terpaku.
“Sungguh abang perlukan sayang. Hidup abang tak sempurna
tanpa cinta sayang, kerana sayang adalah bidadari terindah dalam hidup abang.”
Ungkap Harris sepenuh perasaan.
Elusan lembut tangan Harris di pipinya membuai perasaan.
‘Aisy turut mengusap tangan Harris yang sedang bermain di pipinya. Dia
tenggelam dalam larutan mimpi yang indah.
Namun bayangan mimpi indah berkecai tatkala matanya
tertancap pada kesan parut lama di pergelangan tangan. Serta-merta rasa marah,
benci dan dendam bertamu menguasai diri. Marah dengan dirinya sendiri kerana
serapuh itu hatinya hampir tertewas dengan godaan Harris. Dia benci dengan
kenangan silam yang teramat sukar untuk dipadamkan dari kotak ingatan. Dan
kerana Harrislah dia menjadi pendendam. Dengan kasar tangan Harris ditepis kuat.
“Jangan terlalu mudah membuat kesimpulan, Harris. Perasaan
saya pada awak dah lama mati. Diam saya bukan bererti cinta. Sepi saya bukan bermaksud
rindu.” Keras suara ‘Aisy. Dadanya berombak deras, jelas menggambarkan rasa
marah, benci dan dendam yang bercampur menjadi satu.
“Saya mungkin perempuan yang hina dan jijik di mata awak,
tapi saya taklah begitu keji untuk mengadu domba kisah rumah tangga saya pada
orang lain, walaupun orang itu adalah mak dan ayah saya sendiri. Saya bukan
takut tapi saya perlu jaga aib rumah tangga saya. Penakut yang sebenarnya
adalah awak, Harris. Awak pengecut. Takut nak mengakui kesilapan sendiri.
Hipokrit!” Tuduh ‘Aisy pedas. Tanpa sedar dia telah melaharkan kata-kata yang
cukup tajam. Cukup untuk mencabar kesabaran Harris.
“Baik.” Riak wajah lelaki
itu berubah tegang.
“Kalau macam tu, sekarang juga abang akan berterus terang pada
mak dan ayah. Abang tak pernah berniat nak sembunyikan kesilapan abang. Abang
tahu abang salah dan abang berhak dihukum. Andai kebencian mak dan ayah boleh buat
sayang maafkan abang, abang rela.” Putus Harris sambil menarik tangan ‘Aisy
membuatkan wanita itu terdorong ke depan.
“Awak nak buat apa ini? Nak bawak saya ke mana?” ‘Aisy cuba
merentap pegangan Harris namun gagal. Sungguh dia terkejut dengan tindakan
drastik Harris. Dalam terpaksa dia menuruti langkah Harris.
“Jumpa mak dan ayah. Kita berterus terang malam ini juga!”
Ajak Harris serius.
‘Aisy terkedu. Dia mengetap bibir menyedari keterlanjurannya
mencabar keegoan Harris. Semuanya didorong rasa marah dan dendam yang tidak
pernah hilang. Namun dia langsung tidak menyangka Harris akan sebegitu nekad.
Dalam hati dia mengutuk kebodohannya sendiri yang sering gagal mengawal emosi
ketika bersama dengan Harris.
“Besok sajalah, Harris. Dah lewat malam ini. Mesti mak dan
ayah dah tidur.” ‘Aisy memberi alasan. Suaranya mula mengendur.
“No! Kita
selesaikan malam ni juga.” Putus Harris masih bertegas. Biarlah malam itu
menjadi penentu segala-galanya. Dia sudah tidak peduli apa yang akan terjadi.
Harris mengetuk pintu bilik tidur Haji Hilmi dan Hajah
Maryam.
Sekali-sekala ‘Aisy mencuri pandang pada raut wajah Harris
yang tegang. Tanpa sedar dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia resah dan
gelisah.
“Ada apa Harris, ‘Aisy?” Hajah Maryam menyoal sebaik pintu
bilik dibuka. Dipandangnya wajah menantu dan anak perempuannya silih berganti.
“Saya minta maaf ganggu mak tengah-tengah malam ini.” Sopan
Harris memulakan bicara.
“Tak apa. Mak pun belum tidur lagi. Kenapa, Harris?” Hajah
Maryam tersenyum kecil walaupun hatinya sedikit pelik melihatkan reaksi anak
dan menantunya itu.
“Saya nak ..”
“Sebenarnya, mak. ’Aisy nak minta tolong mak masakkan gulai
ayam kampung besok. Dah lama ‘Aisy tak makan. Rasa teringin sangat, mak.” Potong
‘Aisy cepat-cepat. Mujurlah otaknya pantas mencipta alasan. Pandangan tajam
Harris tidak diendahkan. Hatinya tidak tega membiarkan Harris membuka rahsia rumah
tangga mereka berdua. Andai satu rahsia yang terbongkar, pasti akan turut merungkaikan
rantaian rahsia lain. Dia tidak mahu keadaan yang sudah keruh menjadi lebih
rumit.
“Mak ingatkan apalah tadi. Sampaikan tak sempat nak tunggu besok.
Kamu mengidam ke ‘Aisy?” Senyum simpul yang terukir di bibir Hajah Maryam
membuatkan wajah ‘Aisy sedikit berubah merah.
“Tak..tak adalah, mak. ‘Aisy teringin sebab dah lama tak
makan. Kat sana mana nak dapat ayam kampung ni. Kalau dapat cicah dengan sambal
belacan pauh lagi sedap kan, mak.” ‘Aisy tertawa kecil di hujung katanya.
Sememangnya dia bukanlah seorang pelakon yang baik. Namun, saat itu dia
benar-benar berharap Hajah Maryam tidak perasan dengan helahnya.
“Yalah, nanti mak masakkan. Pagi besok mak suruh ayah kamu
sembelih ayam. Kamu pula Harris, nak mak masakkan apa untuk besok?” Pertanyaan
Hajah Maryam membuatkan Harris terpaksa melemparkan sengih.
“Saya tak kisah. Sebenarnya saya nak…”
“Sebenarnya mak, abang Harris ni malu nak beritahu mak. Dia nak
minta mak buatkan jala emas. Selera besar betul abang Harris ini kan.” ‘Aisy
menyampuk kata-kata Harris.
Hajah Maryam tergelak kecil. Macam-macam hal mereka berdua
ini.
“Yalah, besok mak buatkan. Dah lewat ini, kenapa tak masuk
tidur lagi?” Hajah Maryam mengerling jam di dinding. Jarum jam sudah
menghampiri tengah malam. Pelik juga dia dengan telatah anak menantunya itu.
Tengah-tengah malam sibuk buat permintaan fasal makanan.
“Kami masuk tidur dulu ye mak. Selamat malam.
Assalamualaikum.” Ucap ‘Aisy tergesa-gesa. Dipimpinnya tangan Harris menuju ke
bilik beradu mereka apabila menyedari lelaki itu masih teragak-agak.
“Dah, lepaskan tangan saya.” Tegur ‘Aisy sebaik mereka
berdua berada di dalam bilik.
“Aik, siapa yang pegang siapa tadi?”
Riak pelik Harris membuatkan ‘Aisy tersipu saat menyedari
jari-jemarinya yang sedang memaut kemas tangan Harris. Pantas tautan itu
direnggangkan. Sengaja dia tidak mengendahkan pandangan tajam Harris.
Sebaliknya, kakinya diatur ke bilik air. Belum sempat tombol pintu biliknya
dipulas, Harris terlebih dulu menghalang.
“Kenapa tak benarkan abang berterus terang tadi?” Soal
Harris tidak berpuas hati. Wajahnya tegang. Dia tidak mengerti apa sebenarnya
yang diinginkan ‘Aisy. Kadang-kadang dia merasakan ‘Aisy seperti sengaja ingin
menduga kesabarannya. Sengaja isterinya itu menuturkan kata-kata untuk
membangkitkan kemarahannya. Sengaja hendak mencari pasal dengannya.
“Dahlah, Harris. Saya penat sangat. Saya nak tidur.” Ujar
‘Aisy ingin mengelak.
“No. Sayang jawab
dulu soalan abang. Kenapa sayang tak benarkan abang berterus terang dengan mak
tadi? Sedangkan sayang juga yang beria-ia mencabar abang kan?” Desak Harris
mengulangi pertanyaannya.
‘Aisy menghela nafas panjang. Dia mendengus kasar.
“Untuk apa, Harris? Semuanya dah berlaku. Buat masa
sekarang, sama ada mak dan ayah tahu ataupun tak, keadaan tetap takkan berubah.
Masalah antara kita, lebih baik kekal antara kita berdua sahaja. Kita
selesaikan dengan cara baik. Bila semuanya dah selesai, saya pasti mak dan ayah
akan mengerti.” Bela ‘Aisy mempertahankan tindakannya sebentar tadi.
“Apa maksud sayang?”
“Awak tahu apa yang saya mahukan dari awak kan? Lebih baik
kita berpisah dengan cara baik, Harris.” Balas ‘Aisy membuatkan Harris mengeluh
berat.
“Kenapa setiap kali kita bercakap, akhirnya isu perpisahan
juga yang sayang bangkitkan. Perkara yang paling abang tak suka dengar juga
yang sayang suarakan. Sayang sengaja nak hukum abang kan? Sengaja nak buat
abang marah dan benci pada sayang kan? Kenapa nak sukarkan lagi keadaan?” Keras
nada suara Harris. Dadanya berombak menahan kesabaran yang dirasakan semakin
menipis.
“Sebab saya tak boleh lupa apa yang awak dah buat pada saya.
Setiap kali bersama awak, hati saya ni sakit. Sakit sangat. Awak mengingatkan
saya pada saat saya kehilangan satu-satunya harta yang saya ada. Anugerah yang
awak tak pernah hargai kehadirannya!”
Mata ‘Aisy mula digenangi mutiara jernih. Akhirnya dia tewas
lagi dengan air matanya sendiri. Pantas langkahnya dihayun ke bilik air. Tidak
mahu Harris menyaksikan ketewasannya.
‘Aisy terjelepok di atas lantai bilik air. Segala kesedihan
dihamburkan. Pancuran air dibuka untuk mengelakkan tangisannya mengejutkan
tidur ahli keluarga yang lain. Panggilan Harris yang sayup tenggelam timbul
tidak meninggalkan kesan di hatinya. Hatinya sudah beku. Ingatannya menerawang
ke malam itu. Malam yang telah meragut segala harapannya. Malam yang
menyaksikan dia telah kehilangan harga diri sebagai seorang wanita, isteri dan
ibu!
Bab 7
“Abang dah balik? Kenapa lewat? Banyak sangat kerja kat
pejabat ya? ‘Aisy masak special untuk
abang hari ini tau.” Nada suara ‘Aisy begitu ceria menyambut Harris. Lelah
memasak dan penat menunggu kepulangan Harris bagaikan terubat tatkala melihat
wajah tampan suaminya. Lagipun, dia sudah tidak sabar hendak berkongsi berita
gembira dengan Harris.
Harris tidak membalas sapaan ‘Aisy. Dia hanya berdiri kaku
sambil melemparkan pandangan yang cukup tajam pada ‘Aisy. Keceriaan yang
terlakar di wajah isterinya langsung tidak dapat menenangkan rasa marah yang
sedang membuak-buak di dalam jiwa.
“‘Emm.. abang mesti penat kan? Apa kata abang naik atas,
mandi dan solat dulu. Sementara itu, boleh ‘Aisy panaskan lauk-lauk ni.” ‘Aisy
menyambung kata. Lengan Harris dipaut mesra. Langsung tidak menyedari
ketegangan di wajah Harris.
Harris meleraikan tangan ‘Aisy yang melingkar di lengannya.
Tanpa suara dia meniti tangga menuju ke bilik tidurnya.
‘Aisy memerhatikan susuk tubuh Harris sehingga hilang dari
pandangannya. Kemudian dia ke ruang dapur. Senyuman bahagia terukir di wajahnya.
Perutnya yang kempis digosok perlahan sambil menunggu masakan dipanaskan di
dalam microwave. Di dalam rahimnya
kini, sedang tumbuh subur benih cinta dia dan Harris. Kehadiran zuriat yang
hampir setahun dinanti. Mengharapkan berita itu akan mengembalikan sinar
bahagia di dalam rumah tangga nya. Kehadiran zuriat yang diharap bakal mengikat
kasih di antara dia dan Harris. Apatah lagi, sejak akhir-akhir ini dia perasan
kedinginan dalam layanan Harris terhadapnya. Entah di mana silapnya dia sendiri
tidak pasti.
‘Aisy memperkemaskan hiasan di atas meja makan sambil
berlagu kecil. Kemudian, gambar imbasan ultrasound
hasil pemeriksaan di klinik siang tadi diletakkan di atas pinggan kosong yang
disediakan untuk Harris. Sengaja ingin mencipta kejutan. Tidak sabar untuk
melihat reaksi suaminya. Gambar yang masih belum jelas bentuk janin itu
dipandang dengan penuh rasa kasih.
Senyuman ‘Aisy semakin melebar tatkala kelibat Harris
melangkah menuruni tangga. Pandangannya jatuh pada bagasi yang sedang dibimbit
lelaki itu.
“Abang nak outstation ke?”
Soal ‘Aisy. Senyumnya kendur. Sedikit terkilan kerana Harris langsung tidak
memberitahunya. Nampaknya malam ini dia bakal sendirian lagi dalam rumah besar
itu.
Harris tidak menjawab pertanyaan ‘Aisy. Dia kekal berdiri
kaku di sisi meja makan sambil melemparkan sebuah renungan yang sarat dengan kebencian
dan dendam. Lama dia membiarkan hanya kesepian yang mengisi ruang di antara
mereka sehingga ‘Aisy mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Abang ada sesuatu nak tanya ‘Aisy.” Dingin intonasi suara
Harris. Kedua-dua belah rahang milik lelaki itu bergerak-gerak. Tiada langsung
kemesraan di wajah itu.
“Kalau ya pun, marilah kita makan dulu. Mesti abang dah lapar
kan? Sambil makan nanti abang bolehlah tanya ‘Aisy. Lagipun ‘Aisy ada juga
perkara nak beritahu abang.”
‘Aisy memujuk lembut. Senyuman tetap diukirkan buat Harris
walaupun hatinya mula beriak tidak tenang. Dia cuba meneutralkan emosi Harris
yang tidak berapa baik. Entah apa yang merasuk Harris, sejak akhir-akhir ini
suaminya itu sering pulang ke rumah dengan wajah yang kelat.
“Jom lah, kita makan dulu ya.” ‘Aisy terus mengajak apabila
Harris masih tidak berganjak. Dia melangkah menghampiri Harris. Lengan lelaki itu
dipaut mesra namun ditepis kuat. Senyuman ‘Aisy mati.
“Aku tak ingin makan masakan perempuan sundal macam kau ni!”
Kasar sekali bahasa yang keluar dari mulut Harris membuatkan ‘Aisy terpempan.
Sudah hilang panggilan abang di bibir lelaki itu.
“Abang!...” ‘Aisy terkedu. Hatinya benar terpanah dengan
gelaran yang diungkapkan Harris padanya. Sampai hati Harris. Air mata mula bergenang
lebat di tubir mata.
“Tak usah kau nak berpura-pura depan aku, perempuan. Simpan
saja air mata palsu kau tu. Dasar perempuan sial!”
Air mata ‘Aisy jatuh berguguran lebat membasahi pipi saat
Harris menghamburkan sumpah seranah.
“Tergamak abang cakap macam tu pada ‘Aisy.” Sebak ‘Aisy
dalam esakan. Cukup berkecil hati dengan kata cacian Harris. Apa salahnya
sehingga selayaknya dia dihina dengan panggilan sebegitu.
“Memang itu sepatutnya panggilan untuk perempuan curang
seperti kau ni.” Harris menengking kuat. Bagasi yang dipegangnya dihempaskan ke
lantai. Meluahkan kemarahan yang tersimpan membeku sedari tadi.
“Curang? Apa..apa maksud abang?” Soal ‘Aisy tergagap-gagapl.
Tersentak hatinya dengan tuduhan Harris. Dia mula menikus melihatkan wajah
Harris yang sedang kemerahan menahan baran. Harris kerap kali bertindak di luar
kawalan andai lelaki itu dirasuk marah.
“Kau tak perlu berlakon polos depan aku. Lakonan kau
semuanya dah basi. Sekarang, aku nak kau jawab soalan aku. Siapa lelaki yang
menyundal dengan kau ni?”
Beberapa keping gambar dilemparkan tepat ke muka ‘Aisy dan
jatuh berselerakan di atas lantai.
‘Aisy jatuh terjelepok tatkala anak matanya menangkap dua
tubuh manusia yang sedang beraksi panas dalam gambar pegun hitam putih yang
diambil dari rakaman video CCTV. Jelas wajah wanita itu mirip sepertinya. Namun
susuk tubuh lelaki yang sedang membelakangi kamera itu tidak dapat dikenal
pasti. Yang jelas di belakang bahu kanan lelaki itu terdapat ukiran tatu
berbentuk labah-labah.
“Ya Allah, ini fitnah abang. Ini bukan ‘Aisy..”
Terketar-ketar tangannya memegang beberapa keping gambar itu.
Berat sekali tuduhan yang dilemparkan Harris. Demi Tuhan, memang bukan dirinya dalam
gambar itu walaupun raut wajah perempuan itu mempunyai iras sepertinya. Tidak
pernah terlintas biarpun sekali untuk dia mencurangi suami sendiri.
“Bukti dah ada depan mata pun kau masih nak menipu aku? Nak
aku tunjukkan video dia baru kau nak mengaku? Cakap, siapa lelaki dalam gambar
ini?” Jerkah Harris.
‘Aisy terperanjat sehingga kedua-dua belah bahunya
terangkat. Terasa menggigil seluruh tubuh menahan gentar. Degup jantungnya usah
dikata. Kencang memalu dada.
“Sumpah, abang. ‘Aisy tak buat semua ini. Percayalah cakap
‘Aisy. Mungkin kebetulan wajah kami berdua sama. Abang kan tahu dalam dunia ini
ada tujuh orang yang mempunyai rupa yang seiras. Atau mungkin juga ini semua superimpose.”
Terketar-ketar ‘Aisy membela diri. Dia bangun lalu
menghampiri Harris, cuba meraih kepercayaan lelaki itu meskipun peluangnya
dirasakan tipis. Mengharapkan Harris dapat berfikir dengan lebih rasional.
“Kau ingat aku ini bodoh? Aku dah siasat video dan gambar
ini. Semuanya memang original.”
Harris menunjal kuat kepala ‘Aisy sehingga mendorong tubuh
itu sedikit ke belakang. Hampir seminggu Harris berurusan dengan temannya, Aidil
yang kebetulan merupakan pakar pengimejan video. Remuk redam hatinya tatkala Aidil
mengesahkan video yang diterimanya tidak mengandungi sebarang unsur pertindihan
imej.
“Perempuan dalam gambar itu bukan ‘Aisy, abang. ‘Aisy tak
pernah menduakan abang. Demi ALLAH, ‘Aisy setia pada abang. Ini semua fitnah.
Fitnah, abang!”
Raungan ‘Aisy semakin hiba. Di kala hatinya berbunga dengan
berita kehamilannya, dia terduga pula dengan fitnah kecurangannya. Dia bukanlah
seorang perempuan yang sanggup menyerahkan kehormatan dirinya untuk lelaki lain
yang langsung tidak berhak. Hidupnya masih bertunjangkan iman dan takwa.
“Pergi jahanam dengan kesetiaan kau. Lebih baik kau mengaku
saja. Tak guna kau berdolak-dalih. Sekarang kau beritahu aku siapa lelaki dalam
gambar tu?” Desak Harris sambil menggoncangkan tubuh ‘Aisy kasar. Penafian ‘Aisy
langsung tidak terkesan di hatinya. Kesabarannya semakin menipis lalu lengan ‘Aisy
dicengkam kuat. Hatinya cukup panas tatkala menyaksikan aksi mesra isteri
sendiri dengan lelaki lain.
“’Aisy tak tahu abang. Tolonglah lepaskan ‘Aisy. Sakit
abang..” Cengkaman kuat Harris di lengannya membuatkan ‘Aisy mengaduh.
“Dalam keadaan macam ini pun kau masih nak membela jantan
keparat tu? Sayang benar kau pada dia, emmm?” Tuduh Harris, semakin hilang
pertimbangan. Cemburunya membuak-buak pada lelaki yang tidak dikenali dalam
gambar itu. Dia perlu tahu siapa lelaki itu. Ingin diajar secukupnya jantan
keparat itu. Dendam nya menggunung tinggi.
“Betul, ‘Aisy tak tahu. Macam mana ‘Aisy nak tahu sedangkan
bukan ‘Aisy yang bersama lelaki itu. Percayalah abang…” ‘Aisy berkeras menidakkan.
Dia menggelengkan kepalanya laju.
Pang! Harris tidak dapat mengawal baran sehingga tanpa sedar
penampar sulungnya singgah di pipi mulus ‘Aisy. Marahnya memuncak dengan setiap
penafian yang tidak henti dilafazkan oleh bibir pucat ‘Aisy.
“ALLAH..” Tamparan yang kuat itu membuatkan ‘Aisy jatuh
terjelepok di tepi meja. Cecair pekat mengalir di celah bibirnya.
Esakan ‘Aisy semakin kuat dan mendayu-dayu. Kesakitan akibat
tamparan Harris tidaklah sehebat pedih yang merenggut tangkai hatinya. Selama
ini Harris tidak pernah menyakiti nya, jauh sekali menghamburkan kata-kata
penghinaan terhadapnya. Memang Harris seorang yang baran tetapi baran lelaki
itu selama ini belum sampai mencederakan nya. Tetapi kini tergamak Harris
menyakiti dirinya. Saat itu, hatinya luruh berkeping-keping.
“Sekarang kau masih tak nak mengaku lagi? Tak nak beritahu
aku siapa lelaki keparat tu? Hah!” Jerit Harris seperti kerasukan. Dia melurut
rambutnya kasar.
Gelengan dan kedegilan ‘Aisy untuk mengaku menambahkan bara
di dadanya. Marah yang menguasai diri membuatkan dia hilang kawalan. Merasuk
hati dan akal fikiran. Tanpa sedar kakinya menghadiahkan sepakan ke perut ‘Aisy.
Benarlah kata orang, emosi yang dikuasai marah dan cemburu mampu membuatkan
manusia hilang kewarasan akal dan pertimbangan.
“Abang, jangan buat ‘Aisy macam ini. Demi ALLAH, ‘Aisy tak
kenal siapa lelaki itu.” Rintih ‘Aisy mengharapkan sedikit simpati daripada
Harris.
“Hei, perempuan sundal. Kau jangan harap aku akan termakan
dengan kata-kata penafian kau itu. Dasar perempuan tak tahu malu!”
Rayuan ‘Aisy langsung tidak berjaya menitipkan sedikit
kepercayaan di hati Harris. Tubuh ‘Aisy terus disakiti tanpa sedikit pun rasa
simpati. Dia benar-benar hanyut dengan bisikan halus di telinga yang menghasut
untuk menjatuhkan hukuman ke tubuh ‘Aisy.
“Tolonglah jangan buat ‘Aisy macam ini. Kalau abang tak
kasihankan ‘Aisy, tolonglah kasihankan anak kita dalam perut ‘Aisy ini. Jangan
sakiti dia, abang.”
‘Aisy mengerang kesakitan. Tendangan padu kudrat seorang
lelaki begitu menyenakkan perutnya. Dia meringkuk tubuhnya untuk menghalang
tendangan Harris tepat mengenai perutnya. Bimbang dengan keselamatan
kandungannya.
“Anak? Kau mengandung?”
Harris terpegun memandang ‘Aisy dengan riak tidak percaya.
“Ya, abang. ‘Aisy mengandung dua bulan. Kita bakal jadi papa
dan mama.” Beritahu ‘Aisy mengangguk perlahan dalam linangan air mata. Dia
tidak kisah andai hanya dirinya yang disakiti tetapi dia tidak sanggup jika
kandungannya turut terancam.
“Dua bulan? Ini mesti hasil kerja kau menyundal dengan
lelaki jahanam tu kan?” Tebak Harris penuh curiga.
“Demi Allah, ini anak abang. Anak hasil kasih sayang kita
berdua.” Tutur ‘Aisy lirih. Tuduhan Harris benar-benar menikam hatinya. Sungguh
pedih dan berbisa.
“Kau ingat aku akan percaya? Anak haram ini bukan anak aku!”
Tengking Harris bagaikan menyentap jantung ‘Aisy.
“Abang! Jangan hina anak kita. Kehadiran dia adalah hasil
hubungan yang suci, hubungan yang halal!” Lantang ‘Aisy bersuara mempertahankan
zuriat yang sedang bercambah dalam rahimnya. Dia masih boleh bersabar saat
dirinya difitnah dan dihina tetapi dia tidak sanggup menadah telinga dengan
penghinaan terhadap zuriat yang dikandunginya.
“Ooo… sekarang kau nak aku jadi pak sanggup untuk anak haram
kau ini? Walaupun dalam mimpi, kau jangan harap aku akan terima anak ini. Aku
jijik dengan kau dan keturunan kau!” Herdik Harris kasar sambil memandang ‘Aisy
dengan penuh kebencian.
“Abang…” Raungan ‘Aisy memenuhi segenap ruang rumah. Sakit
hatinya seperti dihunus belati tajam.
“Kau berhambus dari
rumah aku. Pergilah cari jantan jahanam tu untuk jadi bapa anak haram kau ni!”
Tiba-tiba Harris menarik tangan ‘Aisy menuju ke muka pintu rumah agam miliknya.
Sempat dia mencapai bagasi yang terisi dengan pakaian milik ‘Aisy.
“Abang! Jangan layan ‘Aisy macam ni.” Rayu ‘Aisy dalam
linangan air mata yang tidak berkesudahan.
Daun pintu dibuka. Tubuh ‘Aisy ditolak kasar bersama bagasi.
Tolakan kuat itu membuatkan tubuh ‘Aisy jatuh tersungkur di atas lantai konkrit
berjubin di koridor luar rumah.
“Kau memang perempuan
kotor. Kau buat nenek aku jatuh sayang pada kau sehingga nenek menjodohkan kita.
Bila aku dah mula terima kau dalam hidup aku, ini yang kau hadiahkan pada aku?”
Tempelak Harris langsung tidak mempedulikan rayuan ‘Aisy.
“’Aisy tak buat semua itu, abang. Percayalah cakap ‘Aisy..” ‘Aisy
meratap pilu.
“Dah kira baik aku suruh kau keluar dari rumah aku. Kalau
ikutkan hati, aku bunuh kau dan anak haram kau ini. Berhambus!”
“Abang.. ini anak abang…” Raung ‘Aisy hiba.
Penghinaan bertubi-tubi yang diterima ‘Aisy hanya mampu
dibalas dengan tangisan. Tiada guna lagi dia menuturkan kata-kata penafian.
Pasti tidak akan berbekas di hati suaminya.
“Esok aku akan selesaikan semuanya dengan peguam. Kau tunggu
saja surat cerai daripada peguam aku.” Beritahu Harris dengan bengis seraya
menghempaskan pintu kuat.
Pintu yang tertutup rapat itu dipandang dengan mata yang
berkaca. Hanya kerana termakan dengan fitnah, Harris tega membuangnya. Malam
itu dia telah kehilangan haknya sebagai seorang isteri. Dihalau keluar oleh
suaminya sendiri dengan cara yang paling hina.
Perlahan-lahan ‘Aisy bangkit berdiri. Tubuhnya yang hanya
berbalut kain kaftan nipis sedikit menggigil apabila disapa angin semilir yang
dingin. Dibawa langkahnya keluar dari perkarangan banglo. Menyusur jalan dalam
kegelapan malam ke suatu destinasi yang dia sendiri tidak pasti. Dia hanya
sebatang kara di bumi Kuala Lumpur. Ke mana dia harus membawa diri?
Tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu laju mendekatinya yang
sedang berdiri di bahu jalan. Suluhan lampu tinggi menyilaukan pandangan.
bab 8
“Sayang…”
‘Aisy tersentak dengan sapaan Harris sebaik kakinya
melangkah keluar dari bilik air. Tidak menyangka lelaki itu masih setia
menunggunya di depan bilik air. Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia
bertapa di situ. Malas dia hendak menghadap muka Harris. Namun, bimbang pula
jika tindakannya itu bakal mengundang rasa pelik ahli keluarganya yang lain.
Maklumlah, bilik air itu berada di luar bilik tidur dan dikongsi ramai.
Tanpa menghiraukan Harris, ‘Aisy berlalu ke bilik tidur.
Badannya benar-benar penat. Hati dan perasaannya benar-benar jerih. Mata yang
membengkak seakan tidak mampu dicelikkan lagi. Dia sudah tidak berminat untuk
bertikam lidah dengan Harris.
“Kenapa ambil comforter
tu?” Soal Harris apabila ‘Aisy mencapai sebiji bantal dan menghamparkan comforter di atas lantai. Sedari tadi
dia hanya memerhatikan gerak-geri ‘Aisy. Hati lelakinya runtun melihat keadaan
‘Aisy yang tidak bermaya.
“Saya nak tidur.” Ringkas balasan ‘Aisy dengan suara yang
sedikit serak.
“Kenapa nak tidur dekat bawah? Katil kan ada.” Bicara Harris
lembut.
“Awak tidurlah atas katil. Saya dah biasa susah. Tidur atas
lantai pun tak apa.” Ujar ‘Aisy sinis. Dia menepuk-nepuk bantal kekabu sebelum
membaringkan kepalanya di situ. Badannya diiringkan membelakangi Harris, cuba
mencari keselesaan dan menghilangkan lenguh di badan.
“Degil isteri abang ni.”
Serentak itu Harris mengambil bantal dan turut berbaring di
sebelah ‘Aisy membuatkan wanita itu tidak jadi memejamkan mata.
“Awak buat apa baring kat sini?” Getus ‘Aisy. Serta-merta
dia bingkas bangun dan duduk tercongok.
“Tidurlah.” Harris menjawab sepatah. Riak wajahnya selamba.
“Tempat awak kat sana, bukan kat atas lantai ini. Nanti
habis lenguh tubuh awak, saya juga yang dipersalahkan.” Tukas ‘Aisy sambil
menudingkan jari telunjuknya ke arah katil.
“Abang akan tidur di mana isteri abang tidur. Kalau lenguh,
kita lenguh sama-sama.”
‘Aisy mendengus geram dengan kedegilan Harris. Lantas, dia
bangun dan menuju ke arah katil. Tubuhnya dihempaskan di atas tilam empuk.
Selesa!
Harris turut bangkit dan baring di sebelahnya di atas katil.
‘Aisy memalingkan tubuhnya membelakangi Harris. Dia tahu dia tidak akan menang
dengan kedegilan Harris. Lagipun badannya sudah tidak larat untuk berkalih
tempat tidur lagi. Diletakkan bantal panjang sebagai benteng di antara dia dan
Harris. Bimbang jika Harris cuba mengambil kesempatan seperti petang tadi.
“Jangan risau, abang akan berpegang pada janji abang.” Bisik
Harris lembut memberikan jaminan. Begitu dekat di telinga ‘Aisy. Dia seakan
mengerti gelodak perasaan yang sedang bermain di fikiran isterinya.
“Tidurlah, Harris. Saya penat sangat ni.” Lemah suara ‘Aisy
sudah tidak mampu menahan rasa mengantuknya.
“Selamat malam, sayang.”
Cup! Ciuman Harris yang hinggap di pipi ‘Aisy membuatkan
wanita itu membuka mata semula. Geram dengan kesempatan yang diambil Harris.
“Awak…”
‘Aisy tidak jadi menghamburkan amarah saat melihat Harris
sudah memejamkan mata. Dengkuran halus menunjukkan yang Harris sudah terlena.
Cepat betul dia ini tidur? ‘Aisy mengomel di dalam hatinya. Matanya yang kian
memberat turut membawa dirinya ke alam separa sedar.
***
Azan subuh yang berkumandang mengejutkan ‘Aisy dari lena.
Jika diikutkan rasa mengantuk, ingin terus disambung tidurnya yang dirasakan
baru sekejap itu. Namun, tuntutannya sebagai hamba kepada sang Pencipta perlu
ditunaikan. Tatkala ‘Aisy bangun dari perbaringannya, matanya bertembung dengan
susuk tubuh Harris yang hanya bertuala. Rambut basah Harris menandakan lelaki
itu baru selesai mandi.
“Sayang dah bangun? Pergilah mandi dulu. Abang tunggu sayang,
kita solat jemaah sama-sama.”
Sapaan Harris mengejutkan ‘Aisy yang sedang terleka merenung
suaminya. Pantas dia menghalakan pandangan ke arah lain.
“Tak salah kalau sayang nak tenung abang lama-lama. Abang
kan hak sayang.” Usik Harris.
Rona wajah ‘Aisy berubah warna. Ditambah dengan gelagat
Harris yang begitu selamba berpakaian di hadapannya membuatkan dia semakin
tersipu.
“Saya mandi dulu.”
Tidak betah untuk terus berlama di situ, ‘Aisy pantas
mencapai tuala dan baju bersih. Dia berlalu ke bilik air. Namun begitu,
telinganya masih sempat menangkap tawa nipis Harris. Pasti lelaki itu sedang
mentertawakannya.
Usai mandi dan berwuduk, Harris sedang menunggunya di tikar
sejadah. Tanpa berlengah telekung sembahyang disarungkan ke tubuh. Pagi itu
buat pertama kali ‘Aisy bersolat dengan berimamkan suaminya sendiri. Sebuah impian
yang pernah disuarakannya di awal usia perkahwinan mereka. Sebuah angan-angan
yang dulu hanya dipandang sepi oleh Harris. Tetapi di saat semuanya sudah
terlambat, kenapa lelaki ini mula berubah?
Selesai menunaikan solat, Harris memimpin bacaan wirid. Saat
Harris menadahkan kedua belah tangannya untuk memanjatkan doa, ada satu
perasaan halus mula merantai hati ‘Aisy. Sebuah perasaan indah dan bahagia.
Namun, cepat-cepat dia mengusir perasaan yang bertamu itu. Penghayatan dipusatkan
pada doa yang dibaca Harris.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Indahkan lah rumah tangga
kami dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci. Suburkan lah kami dengan keturunan
yang membesarkan asma-Mu. Penuhi kami dengan amal soleh yang Engkau redai.
Jadikan kami teladan yang baik bagi manusia.” Mendayu suara Harris melafazkan
bait-bait ayat yang penuh pengharapan. Menjentik rasa sayu di hati ‘Aisy.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Damaikan lah pertengkaran di
antara kami, tautkan hati kami dan tunjukkan kepada kami jalan-jalan yang
benar. Engkau limpahkan lah kami dengan kesabaran yang tiada terbatas.
Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya. Jauhkan kami dari kejelikan yang
tampak dan tersembunyi.” Harris berjeda seketika menahan sebak. Satu persatu
kesilapan yang pernah dilakukannya terlakar di ruang mata.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Berkatilah pendengaran kami,
lindungi lah penglihatan kami, peliharalah lidah kami, kuatkan lah hati kami
dan Engkau ampuni lah kami. Sesungguhnya, Engkau maha pengampun lagi maha
penyayang. Amin..”
Tatkala mengaminkan bait-bait doa itu, ‘Aisy merasa damai
yang cukup luar biasa menjengah di jiwanya. Huluran salam Harris disambut biarpun
dia sedikit teragak-agak dan kekok. Perlahan-lahan tangan kanan Harris dicium. Dapat
dirasakan tangan kiri Harris mengusap lembut kepalanya dan sebuah kucupan
hangat singgah di ubun-ubun nya.
‘Aisy memanggung kepala. Pandangan matanya bersabung dengan
anak mata hitam Harris. Saat bibir Harris jatuh di dahinya, dia memejamkan mata
membiarkan. Mengundang getaran yang cukup indah di jiwa. Sudah lama dia tidak
merasai perasaan indah begini. Rasa bahagia di kala hati sarat dengan cinta dan
rindu yang menggebu. Dan kini rasa itu hadir lagi.
Tetapi sayang. Hadirnya sudah terlewat. Di kala dia sudah
tidak mampu melakukan apa-apa. Hanya mampu memendamkan rasa itu diam-diam di
dasar hatinya. Yang masih tersisa hanyalah kenangan manis saat bahagia yang
pernah dikecapi bersama Harris biarpun hanya seketika cuma.
“Sayang, abang nak cakap sesuatu dengan sayang, boleh?” Serak
suara Harris memulakan bicara.
‘Aisy membuka mata.
Redup renungan Harris yang menjamah setiap inci wajahnya bagaikan memukau
dirinya. Dia mengangguk perlahan.
Harris menghela nafas yang panjang. Dia berjeda seketika menyusun
patah perkataan yang sesuai untuk dituturkan. “Semalam abang terlalu mendesak
sayang. Abang minta maaf.”
Harris mencapai tangan ‘Aisy dan dibawa kemas ke dalam
genggamannya. Bebola matanya yang berkaca menari-nari di atas wajah ‘Aisy. Kesal
kerana terlalu terburu-buru mengikut perasaannya sendiri. Tindakan yang hampir
membunuh peluangnya untuk meraih kembali kasih si isteri.
“Abang minta maaf dengan apa yang dah berlaku selama ini.
Jujur dari lubuk hati abang yang paling dalam abang sangat menyesal. Sangat
sesal dengan setiap kekhilafan abang. Empat tahun abang hidup dengan rasa
bersalah. And everyday this guilt keeps
hurting me more and more.” Ucap Harris lirih. Tangan ‘Aisy dibawa ke
dadanya. Mengharapkan ‘Aisy dapat mendengar kesakitan yang sarat ditanggung selama
ini dalam setiap degupan jantungnya.
‘Aisy terkesima. Pandangannya dijatuhkan ke bawah. Bibirnya
langsung tidak mampu mengungkapkan sebarang kata. Sungguh hatinya tersentuh.
Bersaksikan tikar sejadah ini, dia tidak mampu lagi menidakkan keikhlasan hati
Harris. Saat ini, hati dan akalnya bertindak seiring dalam menilai kejujuran
Harris.
Harris semakin dihimpit rasa bersalah dengan kebisuan ‘Aisy.
Dagu ‘Aisy disentuh dan diangkatkan sedikit ke atas. Matanya tepat memanah ke
dalam anak mata coklat ‘Aisy.
“Abang tahu penyesalan abang tak mungkin dapat mengembalikan
anak kita. Seribu kata maaf yang terucap tak akan dapat membetulkan kesilapan
yang telah abang lakukan. Abang sedar sikap abang selama ini buat sayang hidup
menderita. Sehingga meninggalkan luka yang cukup dalam di hati isteri abang ini.”
Bicara Harris terhenti. Dia menelan liurnya pahit sebelum kembali menyambung
kata.
“Tapi abang mohon pada sayang. Tolong benarkan abang merawat
luka itu. Beri abang peluang untuk tebus kesilapan abang. Abang akan bahagiakan
sayang sehingga nafas abang terhenti.”
Janji Harris dengan penuh harapan. Dia bertekad untuk
memadamkan kelukaan dan kedukaan yang pernah terlakar dalam coretan sejarah
hidup ‘Aisy. Dia perlukan kesudian ‘Aisy untuk membuktikan tekadnya itu.
“Saya..saya..”
‘Aisy kematian kata. Dia mengalihkan pandangannya ke arah
lain. Tidak sanggup untuk terus menatap mata bening milik Harris. Separuh
hatinya meronta untuk memberi peluang kepada Harris tetapi separuh hatinya lagi
menolak. Ada sesuatu yang menyekat.
Sesuatu yang dia langsung tiada daya untuk menghalang.
“Saya tak mampu, Harris.” Gumam ‘Aisy. Kepalanya digelengkan
perlahan. Maafkan saya, Harris. Bisik hatinya pedih.
Harris mengeluh berat. Ada rasa perit yang terpahat di hati
saat menerima penolakan ‘Aisy.
“Sayang, tiada ruang langsung ke di hati sayang untuk
maafkan abang? Abang tak kisah kalau sayang perlukan lebih masa. Ambillah
selama mana pun masa yang sayang perlukan. Abang sanggup tunggu sampai saat itu
tiba.” Kesungguhan Harris membuatkan hati ‘Aisy semakin terusik.
“Tak perlu, Harris. Tak ada gunanya awak buang masa menunggu
saya. Semuanya dah terlambat.” Bantah ‘Aisy pilu.
Sengaja dia menarik kasar tangannya yang berada dalam
genggaman Harris. Mengharapkan tindakannya itu mampu menguatkan hatinya yang
semakin rapuh. Dia perlu bertahan dan harus kuat kerana kata-kata yang bakal
dilafazkan bibirnya bakal mengundang luka di hatinya sendiri.
“Terimalah hakikat yang kita tak berjodoh untuk bersama.
Perpi...” Bicara ‘Aisy terhenti tatkala jari telunjuk Harris melekap di
bibirnya.
“Tak, sayang. Tak mungkin.” Harris menggeleng laju memangkas
kata-kata ‘Aisy. Tidak rela perkataan keramat itu sekali lagi meniti di bibir
‘Aisy.
“Abang tahu…mungkin sekarang ni hati sayang masih sukar nak
terima abang kembali. Abang takkan paksa sayang untuk itu. Cuma satu yang abang
pinta. Tolong jangan sebut tentang perpisahan. Hati abang ini sakit setiap kali
mendengar perkataan itu. Bagai disiat-siat dada ini. Janji dengan abang, ya
sayang.” Rayu Harris. Dia kembali menggenggam tangan ‘Aisy lalu dibawa ke
bibirnya. Setitik air mata lelakinya jatuh membasahi belakang tangan ‘Aisy.
‘Aisy terkedu. Sekali lagi dia hilang bicara. Titisan
mutiara jernih yang mengalir di pipi Harris menjadikan hatinya berbelah bahagi.
Di antara kehendak hati dan tuntutan keadaan membuatkan jiwanya semakin tidak
keruan. Tanpa sedar, dia membiarkan pandangan matanya berbicara dalam linangan
air mata.
“Janji dengan abang ya, sayang.” Ujar Harris penuh
mengharap. Berkali-kali tangan ‘Aisy yang berada di dalam genggamannya dikucup
lembut.
‘Aisy memejamkan matanya. Kesungguhan Harris benar-benar
melemaskannya. Benar-benar meletaknya dalam keadaan serba salah. Hakikatnya,
dia tidak sanggup memberi Harris harapan. Harapan untuk menggarap impian yang
bakal kecundang kesudahannya.
Seteguh mana pun keikhlasan kasih sayang Harris padanya,
tidak mampu menjadikan dia seorang isteri yang sempurna. Dia sudah lama hilang kesempurnaan
itu. Pasti andai dia kembali bersama Harris, terlalu banyak liku yang akan
ditempuh. Terlalu banyak hati yang bakal disakiti. ‘Aisy menghela nafasnya
berat.
“Mungkin suatu hari nanti hati saya yang retak ini akan
bercantum semula. Mungkin suatu masa nanti jiwa saya yang remuk ini akan sembuh
kembali. Tapi, buat masa ini, permintaan awak tu terlalu tinggi untuk saya
tunaikan, Harris.” Tukas ‘Aisy pasrah. Hakikatnya, dia tidak mungkin akan
kembali untuk hidup bersama Harris. Buat apa diteruskan andai hanya kecewa dan
sengsara yang tinggal kesudahannya.
“Tapi kalau dalam tempoh itu awak bertemu dengan seorang
perempuan yang berjaya mengisi kekosongan hati awak, saya akan mengundur diri
dengan rela hati.” Sambung ‘Aisy. Kepiluan yang terasa perlu ditelan biarpun
payah.
“Takkan ada perempuan lain dalam hidup abang melainkan sayang.
Hanya sayang isteri abang dunia dan akhirat.” Tingkah Harris serius dan yakin.
“Dengan izin Allah, Harris. Semuanya di bawah ketentuan-Nya.”
Balas ‘Aisy.
“Ya, sayang. Dengan izin-Nya, tapi kita dituntut untuk
berusaha kan? Kita sama-sama usaha ya, sayang..” Tulus pengharapan yang
diungkapkan Harris
‘Aisy terkedu. Kesungguhan Harris sering kali membuatnya kehilangan
kata. Dalam diam sebuah keluhan berat dilepaskan.
bab 9
‘Aisy membaringkan tubuhnya di atas sofa panjang yang
terletak di sudut ruang tamu rumah sewanya. Melepaskan lelah setelah hampir
separuh hari dia mengerah keringat mengemas barang-barang yang telah dibawa
pulang dari London melalui kapal laut. Hari minggu beginilah satu-satunya
peluang yang dia ada untuk menyelesaikan kerja rumah yang sering kali
tertangguh dek kesibukan kerja.
Sudah hampir sebulan ‘Aisy kembali bertugas di Universiti
Kebangsaan Malaysia. Sejak itu, dia kembali mula merasai kesibukan tugas
sebagai seorang pensyarah. Beban tugas mengajar dan membimbing pelajar sering
kali membuatkan dia tidak menang tangan.
“Assalamualaikum…” Suara perempuan lembut menyapa gegendang telinga
‘Aisy. Seketika kemudian, pintu gril dibuka dari luar. Terpacul seorang gadis
manis bertudung labuh sedang melemparkan senyuman mesra ke arahnya.
“Waalaikumussalam. Baru habis kelas ke, Feeza?” Soal ‘Aisy berbasa-basi
sambil turut mengukirkan senyuman nipis.
Hafeeza Maisara merupakan teman serumahnya yang baru.
Sebelum dia masuk menyewa di situ, rumah itu didiami Hafeeza dan Sakeena.
Kebetulan, rumah teres dua tingkat itu masih mempunyai dua bilik kosong, jadi
Sakeena menawarkannya untuk tinggal bersama.
“Ha’ah. Hari ini marathon tiga jam kuliah.” Hafeeza
melabuhkan duduk di atas sofa.
“Awak tak keluar jalan-jalan ke hujung-hujung minggu ni?”
Soal Hafeeza lembut menyambung bicara. Biarpun kelihatan sedikit penat, namun
bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Tenang sekali. Sesuai dengan jawatannya sebagai
pensyarah agama di Fakulti Pengajian Islam.
“Tak. Saya duk mengemas barang-barang yang baru sampai dari
UK tu.” Beritahu ‘Aisy.
“Minta maaf ye, saya tak sempat nak tolong ‘Aisy kemas
barang.” Ucap Hafeeza serba salah.
“Tak ada apalah. Saya faham awak ada kerja.” Balas ‘Aisy
sambil menggelengkan kepalanya tanda tidak kisah. Pagi tadi, Hafeeza ada memberitahunya
yang dia mengadakan kelas ganti untuk para pelajarnya. Begitulah tugas sebagai
seorang pensyarah, kadang-kadang hari minggu terpaksa dikorbankan demi untuk menghabiskan
sukatan pelajaran. Tambahan pula, musim peperiksaan akhir sudah hampir tiba.
“Lagipun, tak adalah banyak sangat yang nak kena kemas. Saya
cuma keluarkan barang yang nak digunakan dulu. Yang lain, saya biarkan saja dalam
kotak, letak dalam stor.” Sambung ‘Aisy tidak mahu Hafeeza terus dihambat rasa
bersalah.
Dalam diam ‘Aisy mengagumi keperibadian Hafeeza yang cukup tinggi
dengan budi bahasa. Seandainya dia memiliki abang, ingin sekali dia menyunting
gadis itu menjadi kakak iparnya. Emaknya di kampung pasti bangga dapat
bermenantukan gadis yang tinggi ilmu agama ini.
“Sakeena mana?” Hafeeza bertanya sebaik menyedari kelibat
temannya tiada di rumah. Jika tidak pasti riuh rumah itu dengan mulut murai
Sakeena.
“Hari-hari minggu ni mana lagi kalau tak keluar dating dengan tunang dia.” Beritahu
‘Aisy. Dalam diam dia tumpang gembira melihat kebahagiaan yang sedang dikecapi
Sakeena.
“Emm..mesti banyak persiapan yang nak dibuat tu. Tak lama
lagi merasalah kita makan nasi minyak Sakeena tu ye.” Ujar Hafeeza dengan bibir
yang tidak lekang dengan senyuman. Hai.. gadis ini murah betul dengan senyuman.
“Turn Feeza bila
pula?” Giat ‘Aisy lebih berniat untuk mengusik.
“Saya ini manalah ada calon, ‘Aisy” Tutur Hafeeza merendah
diri.
“Gadis cantik macam Feeza ni takkan tak ada calon. Tak
percayalah saya.”
“Betul.” Balas Hafeeza cuba meyakinkan.
“Atau Feeza ini memilih sangat kot. Entah-entah berderet
ustaz-ustaz kat luar sana yang tengah makan hati berulam jantung tak?” Usikan
‘Aisy mengundang tawa kecil Hafeeza.
“Belum sampai jodoh lagi agaknya.” Getus gadis itu tersipu
malu.
“’Aisy pula macam mana? Hari ini tak keluar dengan buah hati
ke?” Serkap Hafeeza membalas usikan ‘Aisy.
“Buah hati?”
Entah kenapa wajah Harris terbayang di ruang matanya. Sudah
hampir sebulan dia tidak berhubung dengan lelaki itu. Sebaik mereka kembali ke
Kuala Lumpur, sengaja dia mengelak daripada menghubungi Harris. Pesanan Harris
untuk mendapatkan nombor telefon bimbitnya sebaik dia mendaftarkan talian
telefon tidak diendahkan. Biarpun kadang-kadang ada rasa rindu yang menggebu di
hati. Ya…dia sedar sejak kejadian di Subuh hari itu, hatinya kembali menyulam
rindu buat lelaki itu.
“Assalamualaikum..” Lamunan pendek ‘Aisy terpangkas sebaik
satu suara garau memberi salam di luar rumah. Suara itu memang cukup
dikenalinya.
Hafeeza menjawab salam dan menjengah untuk melihat tetamu
yang datang.
“Ya, cari siapa?” Soal Hafeeza. Kelibat lelaki tampan yang
berpakaian kemas di hadapannya dipandang sekilas.
“Maaf mengganggu. Saya Umayr Harris, suami ‘Aisy. Isteri
saya ada?” Tanpa berlengah Harris memperkenalkan diri dan berterus-terang
tentang tujuan kedatangannya.
Hafeeza sedikit tersentak. Tidak menyangka wanita yang telah
hampir sebulan menjadi teman serumahnya itu sudah mendirikan rumah tangga.
Pelik apabila ‘Aisy tidak pernah menceritakan status dirinya yang sebenar.
Sakeena juga tidak pernah membuka mulut memaklumkan padanya. Tetapi silapnya
juga kerana dia sendiri tidak pernah bertanya.
“Oh..aa..ada..ada.. Sekejap ye.” Tersekat-sekat Hafeeza
menjawab pertanyaan Harris. Mujurlah dia cepat tersedar dari terus dihambat
rasa terkejut. Sopan dia meminta Harris untuk menunggu. Lelaki itu hanya
mengangguk sambil tersenyum nipis.
“Aisy, suami awak datang. Err..nak saya ajak dia masuk ke?”
Tanya Hafeeza teragak-agak apabila dia melihat wajah ‘Aisy telah berubah riak.
“Err…tak payah. Sekejap lagi saya keluar jumpa dia.” Laju
‘Aisy menggelengkan kepalanya.
“Thanks, Feeza.” Ucap ‘Aisy berbahasa sebelum mengorak langkah ke
tingkat atas untuk mendapatkan kain tudung. Timbul tanda tanya di benaknya
bagaimana Harris tahu tempat tinggalnya.
Hafeeza hanya menganggukkan perlahan sebelum menghilangkan
diri ke dalam bilik tidurnya. Sengaja memberikan privasi kepada ‘Aisy dan
Harris.
***
“Macam mana awak tahu saya tinggal kat sini?” Serang ‘Aisy sebaik dia menghampiri tubuh Harris yang
sedang membelakangkannya. Baru sahaja fikirannya terlintas tentang lelaki itu.
Terus Harris muncul di rumah sewanya.
Harris memalingkan tubuh menentangi ‘Aisy. Dia tidak terus
menjawab. Sebaliknya hanya anak matanya sahaja yang merenung tajam ke arah
‘Aisy. Lama mereka dalam keadaan begitu sehingga membuatkan ‘Aisy merengus
geram.
“Ada hal apa awak datang ke sini?” ‘Aisy bertanya lagi
dengan mengeraskan sedikit suaranya setelah soalan pertamanya hanya berlalu
sepi tanpa jawapan.
Harris mengeluh lemah.
“Abang ada hal nak bincang dengan sayang. Tapi bukan dekat
sini. Kita keluar.” Cadang Harris perlahan.
“Kita bincang kat sini saja. Saya malas nak keluar
petang-petang macam ni.” Tolak ‘Aisy dengan alasan mudah. Dia tidak mahu wujud
sebarang ruang yang bisa mencambahkan kemesraan antaranya dan Harris.
“No! Abang nak sayang
ikut abang.” Tekan Harris sedikit keras namun masih mengawal volum suaranya.
“Awak tak boleh paksa saya, Harris.” Balas ‘Aisy turut
bertegas. Bengang dengan sikap Harris yang agak mendesak. Entah mana pergi janji
yang telah dilafazkan lelaki itu tempoh hari. Beria-ia nak berikan dia masa
kononnya.
“I’m your husband,
sayang. Perintah seorang suami selagi tak melanggar hukum agama wajib ditaati
isteri kan? Takkan sayang nak kutip dosa free..”
Sela Harris sarkastik.
‘Aisy terkedu. Sedar
yang dia tidak akan menang dengan Harris.
“Errr..saya penatlah, Harris.” Bantah ‘Aisy lemah.
“Jangan sampai abang dukung sayang ke kereta. Sayang nak semua
jiran-jiran dekat sini tengok free show,
emm?” Ugut Harris apabila melihat ‘Aisy seolah-olah bermain tarik tali
dengannya.
‘Aisy menelan liur. Melihat raut wajah Harris yang serius,
dia pasti Harris bakal memaknakan kata-katanya andai dia terus berdegil. Bijak
Harris memerangkapnya. Nampaknya dia tiada pilihan lain.
“Kejap saya bersiap.” Keluh ‘Aisy beralah dalam paksa. Wajah
yang kelat dipamerkan tanda protes terang-terangan.
“Tak payah.” Tegah Harris pendek mematikan langkah ‘Aisy
yang mahu bergerak ke dalam rumah.
“Habis tu takkan saya nak keluar dengan t-shirt lengan
pendek dan seluar slack ni je? Awak nak tanggung dosa saya ke?” Gumam ‘Aisy
sinis.
“Okay, you have three
minutes.” Gesa Harris sambil mengangkat tegak tiga batang jarinya.
Sikap diktator Harris membuatkan ‘Aisy mengeluh. “Tapi…”
“Three minutes atau
’Aisy nak abang dukung?” Pangkas Harris seraya bergerak ke arah ‘Aisy. Pinggang
isterinya dipeluk.
“Yalah, yalah..” ‘Aisy mendengus geram. Sekali lagi dia
terpaksa akur dengan arahan Harris. Dia menapak masuk ke dalam rumah.
“Tiga minit? Dia ingat aku ini skuad tentera ke apa? Bagi
arahan dah serupa ketua batalion negara.” Mulutnya mengomel sambil mendaki anak
tangga satu persatu menuju ke kamar tidur.
‘Aisy bersiap seringkas mungkin. Apa yang penting, auratnya
ditutup selengkapnya seperti yang disyariatkan. Sebelum keluar, dia sempat menitipkan
pesan pada Hafeeza. Bimbang jika kehilangannya mengundang kerisauan teman-teman
serumah.
“Dah lima minit, sayang. You
are late.” Ujar Harris seraya menunjuk ke arah jam di pergelangan
tangannya.
‘Aisy mengerling tajam ke arah Harris. Geram dengan teguran
lelaki itu. Sudahlah rasa geramnya terhadap arahan-paksa-rela Harris masih
belum hilang. Sengaja dia lambat-lambat mengunci pintu dan gril rumah. Dengan
langkah malas, dia menuju ke arah kereta Audi S8 milik Harris.
“Cepat masuk.” Gesa Harris separuh sabar. Pintu kereta pada
bahagian penumpang dibuka luas.
‘Aisy melangkah masuk ke dalam kereta dengan perasaan yang
dongkol. Dengan kasar, dia melilitkan tali pinggang keselamatan ke tubuhnya. Kalaulah
dapat diukur kesabarannya, mungkin sudah senipis kulit bawang.
Cup!
‘Aisy tergamam apabila tidak semena-mena Harris
menghadiahkan ciuman di pipi kirinya. Bulat matanya memandang Harris. Tanpa
sedar tangannya melekap pada bahagian pipi yang baru disentuh bibir sensual
Harris.
“Itu sebagai denda sebab sayang lambat dua minit tadi.”
Beritahu Harris selamba sebelum menutup pintu kereta.
‘Aisy merengus geram. Dia tahu Harris sengaja mengambil
kesempatan ke atas dirinya. Inilah yang dikatakan mengambil kesempatan dalam
kesempitan.
Suasana sepi menemani perjalanan mereka. Masing-masing
memilih untuk tidak bersuara dan tenggelam dalam fikiran masing-masing. Radio
yang tidak terpasang makin membuatkan keadaan sunyi.
‘Aisy melabuhkan pandangannya ke luar tingkap kereta sambil
melayan perasaan yang sedang terbuku. Geram dengan kuasa veto yang digunakan
Harris. Dia tidak suka dipaksa melakukan sesuatu di luar kehendaknya. Namun
kerana masih tersisa rasa hormat terhadap ikatan yang masih mengikatnya dan
Harris, dia terpaksa menurut. Apatah lagi dengan ugutan gila suaminya itu
membuatkan dia langsung tidak mempunyai pilihan.
Harris hanya membatu sambil menekan pedal minyak kereta. Matanya
tunak memerhati jalan raya. Rasa sebal sarat bersarang di hati. Dia terkilan
dengan tindakan ‘Aisy yang tiada langsung inisiatif untuk menghubunginya.
Sebulan dia tidak tentu arah menunggu panggilan telefon daripada ‘Aisy. Setiap
kali nombor asing yang muncul di skrin telefon bimbitnya, hatinya berbunga
mengharapkan panggilan itu adalah daripada isterinya. Namun setiap kali itulah,
dia hampa. Dia ibarat seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Akhirnya, dia
bertekad untuk menjejaki ‘Aisy di tempat kerja namun apa yang disajikan
menjentik rasa cemburu di hati. Bertambah sakit hatinya apabila terpandangkan
‘Aisy yang sedang berbual mesra dengan seorang lelaki petang semalam.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Pertanyaan ‘Aisy memecah
kesunyian tatkala Harris membelokkan keretanya masuk ke kawasan perumahan mewah
di Lake Villas Bangi.
“Rumah kita.” Jawapan Harris membuatkan ‘Aisy memandangnya
dengan mata yang membulat.
“Rru..rumah?” Suaranya bernada resah.
“Yup, rumah baru kita.”
“Nak buat apa pergi rumah awak?”
Saat pertanyaan itu keluar dari bibir merah ‘Aisy, kereta
yang dipandu Harris memasuki perkarangan rumah banglo mewah dua setengah
tingkat. Kereta diparkir di bawah garaj yang dibina secara berasingan pada
bahagian kanan rumah. Enjin keretanya dimatikan.
“Kita dah sampai. Jom masuk.”
Harris mengajak selamba tanpa mempedulikan pertanyaan ‘Aisy.
Dia mengerling sekilas ke arah isterinya yang masih kaku tanpa sebarang tanda
untuk keluar dari kereta.
“Saya tak nak.” Tolak ‘Aisy. Sungguh dia tidak sanggup
berdua-duaan di dalam rumah itu bersama Harris. Pelbagai kemungkinan boleh
terjadi apatah lagi dirinya sememangnya halal buat Harris. Biarpun Harris
pernah melafazkan janji tidak mahu memaksanya tetapi bolehkah dia mempercayai
janji seorang lelaki?
“Jangan degil. We need
privacy and this is the best place to talk.” Pujuk Harris berdiplomasi.
“No! Kita bincang
dalam kereta saja.” ‘Aisy berkeras.
Harris mengeluh berat. Dia melurut rambutnya ke belakang.
Kedegilan ‘Aisy mencabar kesabarannya.
“Baik. Abang tak kisah kalau terpaksa dukung sayang.”
‘Aisy mencebikkan bibir. Kali ini dia tidak peduli dengan
ugutan Harris. Dia tidak akan mengalah lagi. Paksaan demi paksaan oleh Harris
membuat hatinya bertambah jengkel.
“Bincang di sini atau hantar saya balik.” Tegas ‘Aisy
memberikan Harris dua pilihan.
“Sayang jangan menyesal.”
Sabar Harris semakin menipis. Dia keluar dari perut kereta
dan bergerak ke bahagian tempat duduk penumpang. Pintu kereta dibuka dengan kasar.
Tubuhnya dirapatkan mendekati ‘Aisy untuk membuka tali pinggang keledar yang
dipakai ‘Aisy.
Pantas tangan ‘Aisy memegang kuat dan mengemaskan tali pinggang
keledar yang melilit tubuhnya untuk menghalang tindakan Harris.
Tindakan melawan ‘Aisy membuatkan Harris semakin hilang
sabar. Kedua-dua belah tangannya menyentuh pipi gebu ‘Aisy dan tidak
semena-mena dia memagut kemas bibir isterinya.
‘Aisy membulatkan mata dan spontan tangannya menolak dada
Harris. Serentak itu Harris berjaya meloloskan ‘Aisy daripada lilitan tali
pinggang keledar. Tubuh ‘Aisy dicempung dengan mudah.
“Harris! Lepaskan saya! Lepaskan!” Rontaan ‘Aisy langsung
tidak berjaya menghalang tindakan Harris. Apalah sangat kudrat seorang wanita
lemah sepertinya.
Harris hanya
membiarkan tumbukan yang bertubi-tubi singgah di dada bidangnya. Langkah diatur
mendaki satu-persatu anak tangga untuk menuju ke kamar tidurnya. Dengan mudah
dia menghempaskan tubuh ‘Aisy ke atas tilam empuk.
“Susah sangat ke sayang nak dengar cakap abang walaupun
sekali?” Soal Harris keras. Tubuh ‘Aisy dihempas ke atas tilam. Matanya
mencerlung tajam isterinya. Dadanya turun naik menahan marah.
‘Aisy membetulkan duduk. Dengan berani dia membalas
pandangan Harris. “Apa yang awak nak sebenarnya?”
Harris tidak menjawab pertanyaan ‘Aisy. Sebaliknya dia
membawa tubuhnya menghadap tingkap yang terbuka luas. Nafasnya ditarik dalam
dan dihela perlahan. Dia perlu menenangkan diri. Bimbang dia akan hilang
kawalan andai rasa amarah dibiarkan terus menguasai diri.
“Kenapa awak bawa saya ke sini? Apa tujuan awak sebenarnya?”
‘Aisy mengeraskan suara mengulangi pertanyaannya. Biarpun ada getar di hujung
kata-katanya. Dalam berani masih terselit rasa takut.
Harris memusingkan tubuhnya. Dia bersandar pada tingkap
sambil memeluk tubuh. Tiada kata yang terlafaz bagi menjawab pertanyaan ‘Aisy.
Hanya dibalas dengan renungan tajam yang meratah setiap inci wajah ‘Aisy.
Terselit senyuman sinis di wajahnya.
‘Aisy menelan liur
kelat. Entah kenapa hatinya tidak senang dengan renungan itu. Renungan yang
mengandungi seribu maksud yang sukar ditaksir.
“Kalau abang kata abang nak…” Tutur Harris sengaja
membiarkan ayatnya tergantung. Tubuh ‘Aisy dihampiri. Dia melirik senyuman
menggoda. Ingin melihat sejauh mana keberanian ‘Aisy.
“Awak jangan harap boleh apa-apakan saya!” Terketar-ketar
‘Aisy memberikan amaran. Dia mengengsotkan tubuhnya menjauhi Harris. Tangannya
disilangkan ke dada sebagai perlindungan.
“Abang cuma nak hak abang…” Harris semakin merapati
isterinya.
“Hak? Aw..awak dah janji, Harris.” Tergagap-gagap ‘Aisy mengingatkan
janji yang telah dibuat lelaki itu. Tubuhnya digerakkan ke belakang sehingga punggungnya
benar-benar berada di hujung katil. Selangkah dia bergerak, pasti dia akan
terjatuh dari katil yang boleh tahan tingginya itu.
“Tapi sayang tak boleh nafikan hak abang..” Harris semakin
galak menghampiri ‘Aisy yang sudah terperangkap.
“Tolong, Harris. Saya tak bersedia..” Rayu ‘Aisy.
Keberaniannya hilang sama sekali. Ketakutan mengundang takungan air di matanya.
“Bersedia atau tak, abang nak hak abang. Hak abang sebagai
suami untuk tahu siapa lelaki tua yang berbual mesra dengan ‘Aisy petang
semalam?”
Pertanyaan Harris membuatkan ‘Aisy tergamam. Bulat matanya
memandang Harris tidak berkelip. Terbit rasa malu kerana otaknya sudah tersasar
jauh memikirkan perkara yang bukan-bukan. Tapi siapa lelaki tua yang
dimaksudkan Harris? ‘Aisy cuba memproses ingatannya.
“Profesor Abang Daing?” Terpacul nama salah seorang profesor
di jabatannya. Seingatnya usai habis waktu kerja petang semalam dia hanya
berbual kosong dengan Profesor Abang Daing sementara menunggu Hafeeza datang
menjemputnya. Dia selesa berbual dengan lelaki separuh abad yang penuh dengan wawasan
itu, mengingatkan dia kepada ayahnya sendiri.
“Bukan main mesra. Siap berabang lagi. Dengan suami sendiri
tak nak pula panggil abang.” Tingkah Harris semakin dihambat cemburu.
“Ya ALLAH, Harris. Apa yang awak merepek ni? Dah memang
namanya Abang Daing Abang Solehuddin, saya nak panggil macam mana lagi?”
‘Aisy mengeluh kasar sambil mempamerkan wajah yang mencuka.
Berkerut dahinya dengan tuduhan Harris yang tidak masuk akal itu.
“Profesor Abang Daing tu ketua jabatan saya. Takkanlah saya
tak boleh berbual dengan rakan kerja saya. Awak nak saya jadi macam katak bawah
tempurung ke?” Tempelak ‘Aisy. Pening dia dengan sikap cemburu buta Harris.
Memang tidak pernah berubah.
“No, you are too beautiful
to be a frog.” Suara Harris sudah berubah intonasi. . Roma wajahnya berubah
jernih. Dia tersengih kelat menyembunyikan rasa bersalah. Ternyata cemburunya langsung
tidak berasas.
‘Aisy menjeling Harris tajam. Bagaimana Harris boleh nampak
dia sedang berbual dengan Profesor Abang Daing? Adakah pergerakannya diintip
suaminya sendiri? Hatinya tertanya-tanya penuh prasangka.
“Awak ekori saya, Harris?” ‘Aisy menebak.
“Yes, I had to. I needed
to know where you live.” Jujur Harris mengaku.
“Sebulan sayang menyepi tanpa khabar berita. Nak harapkan sayang
yang call abang, jangan haraplah.
Susah sangat ke nak register line
telefon kat Malaysia ni? Atau sayang memang sengaja nak larikan diri daripada
abang?” Kini giliran Harris pula menempelak ‘Aisy.
‘Aisy kematian kata. Telahan Harris memang ada kebenarannya.
Dia memang sengaja tidak mahu memaklumkan nombor telefon bimbitnya kerana ingin
menjarakkan hubungannya dengan Harris.
“Mana ada. Saya cuma sibuk.” Dalih ‘Aisy. Dia memalingkan
wajahnya ke arah lain. Tidak berani menentang mata Harris.
“Sibuk? Tapi berborak kosong dengan bos kesayangan tak sibuk
pula.” Perli Harris.
‘Aisy mula merasa rimas dengan kata-kata Harris yang jelas bernada
cemburu.
“Awak nak bincang apa dengan saya sebenarnya? Kalau tak ada apa-apa
yang penting, saya nak balik.” Beritahu ‘Aisy bangkit dari duduk. Dia malas
hendak melayan jika hanya hal remeh begini yang hendak ditanya oleh Harris. Timbul
rasa sesal kerana mengikut Harris tadi.
“Perkara ini penting bagi abang. Tell me. Kenapa tak contact abang?”
Desak Harris menagih jawapan.
“Tak penting.” ‘Aisy menjawab acuh tidak acuh.
Harris terkilan dengan jawapan mudah ‘Aisy. Semakin kuat dia
berusaha untuk mendapatkan kembali ‘Aisy, semakin jauh dirasakan ‘Aisy cuba
mengelakkan diri.
“But it meant
everything to me, sayang!”
Tiba-tiba Harris meninggikan suara. Cukup untuk mengejutkan
‘Aisy. Emosi lelaki ini memang sukar diduga.
“Abang perlukan bantuan sayang untuk sama-sama pulihkan
hubungan kita.” Keluh Harris. Dia meraup kasar wajahnya yang keruh. Bagaimana
dapat dia menjernihkan kepincangan andai hanya pihaknya sahaja yang berusaha.
Sedangkan ‘Aisy semakin dingin dengannya.
‘Aisy bungkam. Mustahil untuk dia kembali semula pada
Harris. Biarpun dendam yang tersimpul di hatinya makin terlerai. Dia bukanlah
manusia berhati batu sehingga begitu keras untuk tidak memafkan kekhilafan
Harris. Hati seorang isteri bagaikan kerak nasi. Rayuan penyesalan seorang
suami ibarat seperti air yang mampu melembutkan hati yang membeku.
Namun biarlah kemaafannya hanya terlafaz di dasar hati.
Tiada kudrat untuknya menzahirkan rasa cinta dan rindu yang masih tersisa
kerana tidak mungkin dia dan Harris kembali bersatu. Apalah makna bersama andai
dirinya tidak mampu menghadirkan bahagia dalam hidup lelaki itu. Tiada guna
rasa rindu dan cinta, seandainya rasa itu hanya membuatkan insan lain
menderita.
“Saya nak balik.” Hanya ayat itu yang terpacul di mulut
‘Aisy.
Harris mendengus kecewa.
“Baiklah. Abang akan hantar sayang balik tapi bukan hari ini.”
Putus Harris.
“Apa ni, Harris? Tadi awak ajak saya keluar kononnya nak
berbincang. Sekarang dah lain pula jadinya.” Getus ‘Aisy dengan wajah yang kelat.
“Malam ini sayang tidur sini. Abang dah sediakan semua
kelengkapan sayang dalam almari tu. Dan abang tak nak dengar apa-apa pun alasan.
T.I.T.I.K!” Bicara Harris tegas.
‘Aisy mengeluh lemah. Dia seakan hilang kekuatan untuk
menentang keputusan Harris. Hasilnya pasti sia-sia jika dia melawan. Nampaknya
lelaki itu terlebih dahulu merancang sesuatu.
Bab 10
Sebuah keluhan lemah meniti di bibir ‘Aisy. Berada di dalam banglo
besar itu cukup membuatnya merasa terasing. Tatarias mewah yang menghiasi
segenap ruang langsung tidak berjaya mengundang ketenangan di jiwa. Rasa sebal
masih kuat bersarang di hati kerana terpaksa akur dengan desakan Harris.
Tekadnya untuk menghindarkan diri daripada Harris ternyata sia-sia. Semakin dia
cuba lari, semakin laju lelaki itu mengejarnya.
‘Aisy melilau pandang ke segenap ruang tamu yang
berkonsepkan moden kontemporari. Pandangannya kemudian jatuh pada seraut wajah cerah
milik Harris yang berada di hadapannya. Lelaki itu sedang tekun mengadap skrin
komputer riba. Mungkin sedang menyudahkan kerja pejabatnya kerana sejam tadi
dia terdengar Harris menerima panggilan penting daripada kakitangan Indah
Puncak. Komitmen tinggi Harris terhadap kerja memang tidak pernah berubah.
Disebabkan itulah Indah Puncak semakin maju sejak Harris mengambil alih
syarikat tersebut.
Keasyikan Harris memberi peluang kepada ‘Aisy untuk
curi-curi merenung suaminya dalam diam. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk menghayati
ketampanan wajah Harris. Lelaki itu memang punya karisma yang mampu membuatkan
ramai gadis terpikat padanya. Ketampanannya dan kredibilitinya dalam dunia
perniagaan membuatkan ramai orang mengaguminya. Kisah kejayaannya yang sering
terpampang di dada majalah membuatkan namanya meniti di bibir ramai.
‘Aisy turut mengagumi Harris kerana usaha gigihnya dalam
dunia perniagaan. Kekayaan yang dimiliki keluarganya bukan penghalang untuk
Harris memajukan diri atas usahanya sendiri. Dia cukup menghormati pendirian
lelaki itu. Malah sikap hormat Harris terhadap orang tua menempatkan Harris di
suatu sudut yang cukup istimewa di hatinya. Sering kali dia menyaksikan layanan
mesra Harris terhadap nenek kesayangan Harris, Hajah Mariah. Hatinya percaya
Harris juga lelaki yang kaya dengan kasih sayang yang tulus.
Disebabkan itu tiada langsung rasa ragu tatkala dia menerima
lamaran Hajah Mariah menyuntingnya sebagai isteri Harris. Kekecewaan yang
pernah dirasainya menyebabkan dia memilih untuk mengharungi hidup bersama
Harris. Biarpun dia tidak pernah mengimpikan lelaki itu sebagai suaminya. Malah
dia juga tidak pernah menjadi pilihan Harris. Kehadirannya hanyalah sebagai
pilihan kedua dan semata-mata demi untuk menyelamatkan maruah dua buah
keluarga.
Demi menyelamatkan maruah keluarganya, dia memekakkan
telinga dengan kata-kata teman sekeliling. Ada yang menuduhnya perempuan
materialistik. Tidak kurang juga yang menggelarnya perampas. Malah tentangan
daripada mertuanya, Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora juga sanggup ditempuhi
dengan sabar. Semakin ditentang, semakin kuat tekadnya untuk mempertahankan
bahtera rumah tangga walaupun nyata hanya dia seorang sahaja yang berjuang.
Sangkanya dia mampu mengecap bahagia bersama Harris. Duganya
cinta yang tiada bisa bertunas usai terucap lafaz sakinah. Ternyata dia silap
percaturan. Semakin lama kebahagiaan itu makin menjauh untuk digapai. Biarpun
seteguh mana dia cuba bertahan. Biarpun Hajah Mariah tidak pernah jemu
menitipkan sokongan dan menjadi nadi kekuatan buat dirinya. Namun andai tiada
tersurat untuk dia memiliki bahagia bersama Harris, dia harus reda dan akur
dengan takdir itu.
‘Aisy menghela nafasnya panjang. Terdetik rasa rindu di hati
terhadap Hajah Mariah, wanita tua yang penuh dengan kelembutan dan tidak pernah
lokek dengan kasih sayang.
Empat tahun dia terputus hubungan dengan Hajah Mariah. Bukannya
dia tidak pernah merisik khabar wanita itu sewaktu berada di England. Pernah
beberapa kali dia cuba menelefon ke kediaman keluarga Harris. Rindu di hati
menggamit keinginan untuk mendengar suara Hajah Mariah yang sudah dianggap
seperti neneknya sendiri. Namun entah di mana silapnya, setiap kali dia
menelefon pasti yang menyambut panggilannya adalah Harris, insan yang ingin
dihindarinya. Bukan sekali dua dia terpaksa berhadapan dengan keadaan seperti
itu. Sudahnya, dia tidak lagi berani menghubungi Hajah Mariah. Dari kejauhan
dia hanya mampu memendam rasa rindu itu sendiri.
Ting Tong! Gema bunyi loceng yang nyaring mengejutkan ‘Aisy
dari lamunannya yang panjang. Hampir sahaja dia menjerit tatkala menyedari
tangan Harris menjalar di atas bahunya. Entah bila Harris telah berkalih tempat
duduk di sebelahnya.
“Harris! Jangan buat saya terperanjat boleh tak?” Marah ‘Aisy
sambil merenggangkan pautan tangan Harris di bahunya. Harris tertawa kecil.
“Rupanya isteri abang ini suka mengelamun ya. Padanlah tak
berkelip tenung abang dari tadi. Apa yang sayang angankan tentang abang?” Bisik
Harris nakal sambil tersenyum simpul.
“Perasan!” Gumam ‘Aisy. Dia mengetap bibir sambil menahan
rasa bahang yang menerpa ke wajahnya. Malu kerana dia begitu ralit tenggelam
dalam kenangan.
“Sayang berangan bercinta dengan abang ya?” Usik Harris
semakin galak menggiat ‘Aisy.
“Tak kuasa saya nak berangan fasal awak.” Balas ‘Aisy
menepis usikan Harris. Senyum simpul Harris membuatkan dia makin tidak keruan.
“Awak tak nak tengok ke siapa yang datang tu?” Soal ‘Aisy sebaik
loceng berbunyi buat kali kedua.
“Pandai sayang mengelat ya. Tak apa, this time you are saved by the bell.” Tutur Harris sambil mencuit
mesra hidung mancung ‘Aisy. Dia bangkit mengatur langkah ke arah pintu utama.
‘Aisy menyandarkan tubuhnya ke belakang sofa. Dia mengeluh
lega. Entah macam mana dia boleh terleka tadi. Tekaknya terasa haus. Tidak
berminat untuk mengetahui siapa tetamu yang datang, ‘Aisy bingkas bangun menuju
ke ruang dapur.
“Sayang, tengok siapa yang datang ni!”
Laungan ceria Harris menghentikan langkah ‘Aisy. Dia
memalingkan wajahnya tercari-cari kelibat yang dimaksudkan Harris. Saat
terpandangkan seraut wajah tua yang sudah berkedut seribu, matanya berkaca
bening.
“Nenek!”
‘Aisy segera menerpa dan memeluk tubuh tua Hajah Mariah.
Kedua belah pipi Hajah Mariah dikucup bertalu-talu. Terlerai segala rindu yang
bersarang di jiwa.
“’Aisy. Sayang cucu nenek. Nenek rindu sangat pada kamu.”
Ucap Hajah Mariah terketar-ketar sambil membalas pelukan ‘Aisy. Air mata Hajah
Mariah gugur menangisi kerinduan yang sarat ditanggung.
“’Aisy pun rindukan nenek. Rindu sangat-sangat.”
Mutiara jernih turut membasahi pipi ‘Aisy. Wajah Hajah
Mariah ditatap dengan penuh rasa kasih. Empat tahun batas waktu yang memisahkan
banyak merubah fizikal Hajah Mariah. Wanita itu kelihatan sudah tidak sekuat dahulu.
Garis kedutan juga makin bertambah. Tetapi cahaya ketenangan di wajah itu tetap
sama. Tetap memberikan rasa damai setiap kali dia memandangnya.
“Papa apa khabar?” Tanya ‘Aisy sambil menyalami Tan Sri
Hakim.
“Alhamdulillah..sihat.” Balas Tan Sri Hakim sambil tersenyum
mesra. Kepala ‘Aisy yang bertudung diusap lembut.
“Mama sihat?” Sapa ‘Aisy seraya tunduk mencium tangan Puan
Sri Nora pula. Rasa hormat pada kedua mertuanya masih ada biarpun mereka tidak
pernah mempedulikan kehadirannya sebagai menantu dalam keluarga mereka.
“Hmm..sihat.” Jawab Puan Sri Nora pendek sambil melemparkan segaris
senyuman nipis.
Tidak pasti senyuman itu tanda kemesraan atau sinis semata. Ikhlas
kah atau hanya sekadar berpura-pura di hadapan Hajah Mariah? Kenangan lalu
membuatkan ‘Aisy menanam prasangka. Namun cepat-cepat dia beristighfar
menyedari kedangkalan hatinya.
“Sampai hati kamu tak datang jenguk nenek. Dahlah ke London
senyap-senyap. Bila dah balik ke sini pun kamu menyepikan diri. Kamu dah lupa
pada nenek ya?” Luah Hajah Mariah sayu. Meskipun hati tuanya sedikit terkilan
dengan tindakan ‘Aisy, namun dia tidak pernah meletakkan kesalahan di pundak
cucu menantunya itu.
“’Aisy minta maaf, nek. Bukan niat ‘Aisy tak nak datang
melawat nenek cuma keadaan waktu ini tak mengizinkan. ‘Aisy tak pernah lupakan
nenek, tapi…”
‘Aisy kematian kata. Buntu untuk mencipta alasan. Biarpun
hatinya begitu kepingin untuk menjenguk Hajah Mariah sebaik dia menjejakkan
kaki di Malaysia, namun kerana hendak mengelakkan diri daripada Harris dia
hanya mampu memendamkan saja hasratnya itu.
“Nenek tahu, kamu marah dengan Harris kan? Sampai bawak
rajuk jauh ke London. Nenek minta maaf sebab Harris gagal membahagiakan kamu.”
Pohon Hajah Mariah sebak membuatkan ‘Aisy semakin kehilangan bicara.
Memang benar dia merajuk dan berdendam. Rajuk yang
membawanya jauh daripada kasih sayang Hajah Mariah yang tidak pernah jemu
melayannya seperti cucu kandung sendiri. Dendam yang memaksanya hanya mampu
merindui belaian wanita tua itu dari jauh. Rajuk dan dendam yang menuntut
pengorbanan setiap insan yang dia sayang. Kejam kah dia kerana terlalu menurut
rasa hati?
“Tak adalah, nenek. Tak ada kaitan dengan abang Harris pun.
‘Aisy ke sana kan sebab nak sambung belajar.”
‘Aisy menyangkal kata-kata Hajah Mariah sambil menggelengkan
kepalanya perlahan. Dia menggenggam tangan Hajah Mariah cuba meyakinkan wanita
itu. Walaupun nyata alasan itu kedengaran begitu ampuh. Biarlah dia saja yang
menelan segala lara seandainya penafiannya itu mampu membuatkan Hajah Mariah
tersenyum. Tidak sanggup menambahkan kegusaran di hati Hajah Mariah yang semakin
dimamah keuzuran itu.
“Jangan tipu nenek, ‘Aisy. Harris dah ceritakan semuanya
pada nenek. Cucu nenek itu memang tak sedar diuntung. Nenek malu dengan kamu,
‘Aisy. Nenek malu dengan apa yang Harris dah buat pada kamu.” Tingkah Hajah
Mariah penuh kesal dalam tangisan. Matanya yang berkaca sempat menangkap kesan
parut sepanjang lima inci di pergelangan tangan ‘Aisy. Hatinya semakin hiba.
“Parut ini disebabkan kemalangan tu kan?” Hajah Mariah
menyoal dalam sebak. Dia mengusap parut itu perlahan. Itu baru sahaja parut
yang terlihat di tangan. Bagaimana dengan parut luka yang tersembunyi di hati
‘Aisy? Pasti tidak tergambar kepedihan yang terpaksa dilalui ‘Aisy saat
dikhabarkan tentang kehilangan zuriat yang sedang dikandunginya. Tidak
terbayang kesakitan yang terpaksa ditanggung wanita muda itu.
‘Aisy menelan liur pahit. Dia mengangguk. Serba salah.
“Nenek tak faham dengan kamu, Harris. Bukankah nenek selalu
pesan pada kamu. Kawal rasa marah tu. Jangan bertindak ikut perasaan. Berpuluh
anak syarikat kamu mampu urus dengan baik. Tapi isteri kamu hanya seorang,
Harris. Itu pun kamu tak mampu nak jaga dengan baik. Tengoklah apa yang kamu
dah buat pada ‘Aisy ni.” Marah Hajah Mariah.
Harris hanya mampu menundukkan wajah. Dia tahu semua yang
terjadi berpunca dari kesilapannya sendiri. Kesal. Hanya itu perkataan yang
mampu menggambarkan apa yang dia rasa selama ini.
“Bukan salah abang Harris, nek. ‘Aisy pasti abang Harris pun
tak nak kemalangan tu berlaku. Dah ditakdirkan ‘Aisy berada di situ pada tempat
dan waktu yang salah.”
‘Aisy mengukirkan senyuman kelat. Dia sendiri tidak
menyangka mampu melafazkan kata-kata itu. Kesakitan yang dirasai setiap kali
mengingati kemalangan yang telah meragut seluruh
kebahagiaannya bagaikan tiada.
Reda kah dia kini? Dia masih tercari-cari jawapan yang pasti.
Harris mengangkat mukanya memandang tepat ke arah ‘Aisy.
Matanya berkaca. Terharu dengan kata-kata yang dituturkan ‘Aisy. Separuh beban
kekesalan yang sarat tergalas di bahunya bagaikan hilang.
“Dahlah tu mak. Mak dah buat ‘Aisy dan Harris serba salah
tu. Lagipun ‘Aisy dah balik kan. Mak pun tahu betapa Harris menyesal dengan
tindakannya dulu. Tak elok kita terus kenang perkara yang dah jadi.” Sela Tan
Sri Hakim yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati.
“Betul cakap papa tu, nek. Kita lupakan cerita sedih ni ya.
Lagipun buruk tau orang tua menangis.” Pujuk ‘Aisy sambil mengesat air mata
yang tumpah di pipi tua itu. Sempat dia mengusik Hajah Mariah membuatkan wanita
tua itu tersenyum pahit.
“Pandai kamu pujuk nenek, ya.” Tutur Hajah Mariah kembali
tenang.
‘Aisy melemparkan senyum. Biarlah semuanya kemas disimpan
sebagai sejarah. Dia sendiri sudah penat menangis. Jauh di lubuk hatinya yang
paling dalam, dia juga sedang berusaha mengikis segala kenangan pahit yang
pernah menjengah hidupnya.
“Kenapa kita semua tercegat kat sini ya? Jom, kita duduk
dulu. Mari, papa, mama.” Pelawa ‘Aisy sopan dengan nada suara yang diceriakan. Ingin
membuang jauh kesedihan yang dirasakan menyelubungi segenap suasana.
‘Aisy memimpin tangan Hajah Mariah ke ruang tamu. Tan Sri
Hakim dan Puan Sri Nora hanya menurut dari belakang. Cuma Harris yang masih
berdiri kaku dengan pandangan matanya yang masih tidak berkelip merenung wajah
‘Aisy.
“Mari, Harris.” Tan Sri Hakim menepuk-nepuk bahu anak lelaki
tunggalnya. Dia mengerti keresahan yang sedang dirasakan Harris. Lambat-lambat
Harris mengatur langkah.
“’Aisy nak pergi mana?” Hajah Mariah menyoal sebaik dia
melabuhkan duduk di atas sofa.
“Err, ‘Aisy nak ke dapur sekejap. Buat air.” Beritahu ‘Aisy
tidak jadi meneruskan langkahnya.
“Nantilah buat air tu. Nenek tak puas lagi nak tengok kamu
ni. Berbual-bual dengan kamu.” Halang Hajah Mariah.
“Mari duduk sebelah nenek ni.” Pinta Hajah Mariah sambil
menepuk lembut sofa kosong di sebelahnya.
‘Aisy tersenyum lalu melabuhkan duduk di sisi Hajah Mariah.
Tidak sampai hati untuknya menghampakan permintaan wanita tua itu.
“Nenek sayang sangat-sangat pada ‘Aisy. Rindu
sangat-sangat.” Ungkap Hajah Mariah memaknakan perasaannya. Dahi ‘Aisy dikucup
lembut.
“Syukur Allah masih berikan nenek kesempatan untuk bertemu
dengan kamu, ‘Aisy. Kalau ditakdirkan nenek tutup mata lepas ini, nenek dah tak
ralat.” Nada suara Hajah Mariah berubah lirih. Dia menggenggam erat tangan
‘Aisy. Genggaman yang terkandung bersama rasa simpati dan sesal. Simpati dengan
keperitan yang terpaksa ditempuhi oleh wanita muda ini dan sesal kerana
keperitan itu berpunca daripada perbuatan darah dagingnya sendiri.
“Kenapa nenek cakap macam tu? Ajal dan maut ini tak mengenal
usia. Entah-entah ‘Aisy yang dijemput dulu mengadap Dia.” Sangkal ‘Aisy
membalas genggaman Hajah Mariah.
“Insya-Allah, nenek sentiasa doakan ‘Aisy dipanjangkan umur
dan semoga cucu nenek ini sentiasa berada dalam rahmat-Nya.” Ucap Hajah Mariah
penuh harapan. Itulah doa yang tidak jemu dipanjatkan setiap kali usai solat.
Untuk melihat kebahagiaan ‘Aisy bersama Harris.
“’Kenapa cakap fasal mati ni? Abang tak suka sayang cakap
macam tu.” Tiba-tiba Harris bersuara dengan wajah yang sedikit tegang. Jelas
dia tidak selesa dengan perbualan antara isteri dan neneknya itu.
“Mati itu kan pasti. Kita semua datang daripada Pencipta
kita. Dan apabila sampai masanya, kita akan kembali kepada Dia juga. Apa yang
kita ada, nikmat yang kita rasa semuanya adalah pinjaman dari-Nya. Hidup kita ini
adalah sebuah perjalanan yang pasti akan ada tarikh perhentiannya.” Luah ‘Aisy.
Bicara soal kematian pasti mengundang keinsafan di jiwanya. Dia
pernah melalui saat getir bertarung nyawa akibat dilanggar lari. Waktu itu
bukan sahaja satu nyawa di rahimnya yang diambil, malah nyawanya sendiri hampir
melayang akibat pendarahan dalaman yang serius. Mujurlah dia masih diberikan
kesempatan untuk menyedut nafas di bumi Tuhan ini.
“Betul cakap ‘Aisy tu, Harris. Mengingati mati itu kan
dituntut dalam Islam. Mudah-mudahan kita tak terus leka dengan keindahan dunia
saja. Sesetengah manusia ni sanggup membelakangi hukum agama untuk memuaskan
kehendak nafsu. Halal dan haram langsung dah tak dipedulikan.” Sahut Hajah
Mariah kedengaran sedikit sinis. Entah kenapa butir kata itu bagaikan tersirat
seribu makna di sebaliknya.
‘Aisy perasan perubahan pada wajah Tan Sri Hakim dan Puan
Sri Nora. Sempat dia menangkap jelingan tajam Puan Sri Nora dan wajah suram Tan
Sri Hakim. Seolah-olah seperti ada sesuatu yang disembunyikan.
“Err, ‘Aisy ke dapur sekejap ye. Nak buat air.” ‘Aisy
meminta diri. Dia melangkah ke dapur.
‘Aisy menjerang air di dalam cerek. Biarpun agak kekok
dengan setiap susun atur barang di dapur itu, terpaksalah dia menyesuaikan diri
kerana status seorang isteri yang dipegangnya. Sekurang-kurangnya untuk menjaga
maruah rumah tangga dia dan Harris di hadapan tetamu yang datang. Biarpun
ikatan yang ada bagaikan retak menanti belah.
“Lain kali jangan cakap macam tu lagi. Abang tak suka dengar.”
Suara Harris yang datang dari arah belakang benar-benar
menyentak ‘Aisy. Dadanya diurut perlahan untuk meredakan rentak jantung yang
berdegup kencang.
“Awak ni suka sangat buat saya terperanjat. Boleh mati
terkejut saya kalau macam ni.” Tingkah ‘Aisy sambil memusingkan badannya untuk
berhadapan dengan Harris. Dia langsung tidak perasan kelibat Harris yang mengekorinya
ke dapur.
“Sekali lagi sayang ungkit fasal mati, tahulah macam mana
abang nak diamkan mulut sayang tu.” Harris mengugut. Suaranya bernada tegas.
“Kenapa pula nak lari dari kenyataan? Mati adalah suatu
hakikat, Harris.” Tingkah ‘Aisy tidak menghiraukan tegahan Harris. Sengaja
mencabar Harris yang semakin mampir padanya.
“Hidup dan mati semuanya sudah tersurat di Loh Mahfuz.
Kenapa perlu takut nak cakap soal mati…” Kelancaran tutur kata yang keluar dari
mulut ‘Aisy segera dipangkas Harris. Dia tergamam apabila bibir Harris
menyentuh bibirnya.
“Don’t say I didn’t
warn you.” Sela Harris sebaik dia mengangkat wajahnya sedikit menjauh. Tangan lelaki itu mengelus lembut pipi ‘Aisy.
‘Aisy terkaku. Entah kenapa dia bagaikan tidak mampu untuk
menolak tindakan berani Harris. Sentuhan sensual itu menjalarkan rasa hangat di
segenap wajahnya. Sentuhan yang mengundang debar yang cukup hebat di dada.
“Abang belum bersedia,
sayang. Belum bersedia untuk kehilangan sayang dalam hidup abang. Terlalu
banyak kesilapan abang pada sayang yang belum abang tebus. Tak terhitung dosa
abang terhadap sayang yang belum terampun.” Nada suara Harris berlagu sayu.
Terkesan riak gundah pada seraut wajah yang selama ini sentiasa mempamerkan
riak tenang.
“Abang sedar tentang hakikat kematian. Abang tahu abang tak
punya kuasa nak mengubah takdir. Biarpun sekuat mana abang halang atau tepis.
Tapi abang takkan jemu berdoa dan berusaha. Berdoa semoga sebelum tiba saat itu
abang masih memiliki ruang dan waktu untuk terus bersama sayang. Diberi
kesempatan untuk membahagiakan isteri abang ini. Diberi peluang untuk
bersama-sama dengan sayang mencari Jannah ALLAH.” Harris menyambung
kata-katanya. Tunak bebola matanya merenung tajam ke dalam mata ‘Aisy.
Kata-kata romantis dan renungan lembut Harris membuat ‘Aisy
semakin tidak keruan. Dia memalingkan tubuhnya kembali membelakangi Harris.
Tidak sanggup untuk terus beradu pandang dengan lelaki itu. Tipulah andai
hatinya tidak terusik dengan bait-bait ayat yang meniti di bibir Harris.
Bohonglah kalau dia tidak ingin sama mengecap bahagia dalam rumah tangga.
Impian yang pasti dipunyai oleh setiap isteri. Tetapi memilih untuk mencari
bahagia bersama Harris bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.
Cerek air yang berbunyi nyaring segera dimatikan apinya.
‘Aisy berdeham beberapa kali mengharapkan sedikit ketenteraman buat hatinya
yang sedang kacau-bilau menahan gelodak rasa.
“Err..Saya nak bancuh air. Ada milo tak kat dapur ni?” Soal
‘Aisy kalut mengalih topik. Dia tidak boleh membenarkan Harris berterusan
mencurahkan isi hati. Bimbang hatinya tidak kuat untuk terus menepis. Perisai
yang dibina untuk melindungi hatinya bukanlah sekuat mana.
Kekalutan ‘Aisy membuatkan Harris menyimpul senyum. Tubuh
isterinya didekati. Langsung tidak dihiraukan pertanyaan ‘Aisy.
“Sayang tahu tak sayang comel bila kalut macam ni? You really make me crazy, sayang. ”
Bisik Harris perlahan.
Oh Tuhan! Dapat dirasakan tubuh Harris begitu rapat
dengannya sehingga desah nafas lelaki itu jelas menyapa cuping telinganya.
Debaran di dada ‘Aisy semakin kencang. Telapak tangannya ditekapkan ke dada.
Bimbang Harris dapat mendengar degupan itu. Sungguh hatinya semakin tidak
keruan.
“Err..awak letak kat
mana container milo?” ‘Aisy mengulangi
pertanyaan dalam suara yang bergetar. Dia melilau pandangan ke arah deretan container yang tersusun kemas di
depannya. Matanya tercari-cari bekas berisi serbuk milo. Namun dia gagal
memusatkan perhatiannya. Segala tindakannya bagaikan tidak kena. Seram sejuk jari-jemarinya
apabila tangan kasar Harris mula memaut pinggangnya dari belakang.
“Hmm..ubah topik lagi.” Getus Harris sambil melepaskan tawa
nipis. Namun pelukannya semakin dieratkan apabila dirasakan tiada penolakan
daripada ‘Aisy.
“Harris, saya nak buat air ni.” Beritahu ‘Aisy lemah. Saat
itu dia bagaikan sedang kalah dengan godaan Harris.
“Buatlah. Abang tak halang pun kan?” Usik Harris membuatkan perasaan
‘Aisy semakin galau.
“Tapi, mana milo nya? Awak kan tahu nenek tak minum air lain
kecuali milo.” Tekan ‘Aisy.
“Abang tak sangka pula yang isteri abang ini rabun dekat
rupanya. Container yang kat depan
sayang ni bukan milo ke?” Harris mendorong tubuhnya sedikit ke depan untuk
mencapai container yang betul-betul
terletak di hadapan ‘Aisy. Keadaan itu membuatkan kedudukan mereka semakin
rapat. Langsung mengunci pergerakan ‘Aisy.
‘Aisy mengetap bibir menahan malu. Wajahnya semakin pijar.
Macam mana dia boleh tidak nampak container
yang berada di hadapannya?
“Boleh tak awak lepaskan tangan awak. Saya nak buat air ni.”
‘Aisy mengeraskan suaranya sambil cuba meleraikan rangkulan kemas Harris. Namun
semakin kejap pula pelukan Harris. Dia cuba berlagak biasa biarpun rasa malu di
wajahnya sudah tebal berinci-inci.
“Awak!” ‘Aisy merengus geram. Namun Harris tetap begitu.
“One minute, sayang.
Give me just one minute to feel this moment. To feel your warm body next to mine.
I really miss you, sayang.” Desis Harris romantis.
‘Aisy terkesima. Tanpa sedar dia turut tenggelam dalam
kehangatan sentuhan Harris. Sentuhan yang seakan mengalirkan arus elektrik
terus ke jantung. Ada rasa indah yang menjalar di seluruh urat nadinya.
“Thanks.” Suara
lembut Harris membuatkan ‘Aisy kembali tersedar. Perlahan-lahan Harris
melepaskan rangkulan tangannya yang erat melingkar di pinggang ‘Aisy.
Beberapa saat ‘Aisy masih berada dalam keadaan kaku sebelum
tangannya mula bergerak mencapai container
yang berisi serbuk milo. Dengan tangan yang terketar-ketar, dia membancuh air.
Tidak sedikit pun dia mampu mengangkat wajahnya. Debaran di dada masih berdetak
kuat membuatkan segala pergerakannya canggung. Tenanglah wahai hati. Dia menarik nafas dalam.
Buat seketika hanya kesepian yang mengisi ruang kekosongan
di antara mereka. Masing-masing melayan perasaan. Mungkin masih terkesan dengan
sentuhan hangat tadi.
Harris menuju ke arah kabinet dapur di sebelah kanan dan
mengeluarkan satu set cawan Vantage. Tangkas dia mengambil dan menyusun cawan
tersebut di atas dulang.
Dalam diam, gerak-geri Harris menarik perhatian ‘Aisy. Terdetik
rasa kagum di hatinya. Jika dulu, jangan harap Harris akan menjengah ke dapur
untuk sama-sama membantunya. Harris hanya akan duduk menunggu di hadapan meja
makan sambil menyiapkan kerja pejabat. Mengharapkan semuanya disiapkan dan
dihidangkan untuknya.
‘Aisy menggelengkan kepalanya perlahan. Dia cuba mengusir
rasa indah yang mula mengusik tangkai hatinya. Tidak mahu hatinya tertawan
dengan kebaikan yang dipamerkan Harris.
“Biar abang bawa air ni ke depan. Sayang tolong potongkan
kek buah dalam peti ais ya.” Pinta Harris sekali lagi membuatkan ‘Aisy terpaku.
Kelembutan pada suara itu cukup membuatkan hatinya terkesan. Mana perginya
Harris yang dulu lebih suka mengarahnya dengan suara yang kasar.
Teko yang berisi penuh dengan air milo diletakkan di atas
dulang oleh Harris.
“Boleh ya, sayang?” Sekali lagi soalan diajukan apabila ‘Aisy
hanya bungkam tanpa memberikan sebarang tindak balas. Harris menguntum senyum.
“Err..oo..okay.” Tergagap-gagap ‘Aisy membalas.
“Terima kasih, sayang.” Ucap Harris sambil mencuit hidung
‘Aisy. Harris mula bergerak ke ruang tamu namun hanya beberapa langkah apabila
dia tiba-tiba memusingkan badannya kembali.
“By the way, abang
cemburu sangat tengok ‘Aisy cium nenek tadi. I hope one day I could have those sweet kisses too. Dengan kerelaan
sayang. Tak perlu lagi abang curi-curi cium sayang macam tadi.” Tutur Harris nakal sambil mengenyitkan
matanya. Dia kemudiannya berlalu ke ruang tamu bersama dengan minuman sambil
meledakkan tawa.
Sekali lagi wajah ‘Aisy menjadi panas.
“‘Aisy, kenapa dengan kau ni? Wake up..” Marah ‘Aisy pada dirinya sendiri apabila kelibat Harris
hilang dari pandangan. Jika dia berterusan begini, hatinya pasti akan lebih
teruk terluka kelak.
Setelah menenangkan dirinya, ‘Aisy kembali ke ruang tamu
bersama sepinggan kek buah. Diperhatikan minuman yang dibawa oleh Harris masih
berada di dalam dulang. Dengan sopan ‘Aisy menghulurkan cawan kepada setiap
tetamu dan juga Harris.
“Thanks, sayang.”
Sebuah senyuman menawan dihadiahkan Harris kepadanya. Sengaja ‘Aisy tidak
menghiraukan ucapan itu. Segan juga dia apabila Harris terang-terangan
memanggilnya sayang di depan keluarga mertuanya.
Harris menarik tangan ‘Aisy untuk duduk di sisinya. ‘Aisy
tiada pilihan dan akhirnya dia melabuhkan punggung di atas set sofa dua tempat
duduk itu, di sebelah suaminya.
“Jemputlah makan kek ni, nenek. Kek kegemaran nenek ni kan?
Tapi nenek tak boleh makan banyak sangat tau. Nanti tak fasal-fasal gula dalam
darah nenek naik. Kesihatan kena jaga juga.” Pelawa ‘Aisy sambil menitipkan
pesanan. Hajah Mariah hanya ketawa senang. Sudah lama dia tidak mendengar
bebelan daripada bibir mungil itu.
“Ingat lagi ‘Aisy pada kek kesukaan nenek ni ya.” Ujar Hajah
Mariah berbesar hati. ‘Aisy memang pandai mengambil hatinya sejak dari dulu. Kesabaran
dan kelembutan yang ada pada ‘Aisy memikat hati tuanya untuk menyunting gadis
itu sebagai isteri kepada Harris, satu-satunya cucu lelaki tunggal yang dia
ada.
“Papa, mama. Jemput minum ya.” Pelawa ‘Aisy lagi sekali
kepada kedua-dua ibu bapa mertuanya yang lebih banyak mendiamkan diri. Tan Sri
Hakim dan Puan Sri Nora hanya mengangguk. ‘Aisy perasan riak kegelisahan pada
wajah kedua mertuanya seperti ada menyimpan sesuatu.
“’Aisy ke yang buat kek ini?” Hajah Mariah bertanya sambil
mengambil dan merasa sepotong kek yang dihidangkan.
“Tak adalah, nenek. Abang Harris belikan.” Sangkalnya tanpa
berselindung.
“Harris beli dekat Tesco, nenek. ‘Aisy ni mana ada masa nak
masak. Sibuk memanjang dengan kerja. Sampaikan Harris pun dia tak peduli.” Adu
Harris membuatkan ‘Aisy menjelingnya tajam. Faham benar dengan ayat perli yang
dituturkan Harris itu.
“Betul ke ni, Harris? Setahu nenek, selama ini kamu tu yang
sibuk. Entah-entah kamu tu yang selalu tinggalkan ‘Aisy tak? Bukannya nenek tak
tahu perangai gila kerja kamu tu. Kerja tu isteri kamu nombor satu kan.” Sindir
Hajah Mariah membuatkan wajah Harris sedikit berubah. ‘Aisy menyembunyikan
senyum dengan kata-kata Hajah Mariah yang terangan mempertahankannya.
“Itu Harris yang dulu. Sekarang tak mungkin Harris akan
tinggalkan ‘Aisy lagi, nek. Apa yang telah berlaku cukup menyedarkan Harris.
Betapa berharga nya kehadiran ‘Aisy dalam hidup Harris. I really need her, nenek. For the rest of my life.” Bicara Harris sepenuh
perasaan sambil matanya tunak memandang ke arah ‘Aisy. Tindakan berani Harris
berterus terang di hadapan keluarganya membuatkan senyuman ‘Aisy mati. Dia
menundukkan wajah.
“Baguslah kalau Harris fikir macam tu. Jangan persiakan
hidup ‘Aisy lagi. Apa yang berlaku jadikan pengajaran. Usaha sungguh-sungguh
untuk perbaiki balik apa yang silap selama ini. Nenek tahu Harris seorang ketua
yang berkaliber di pejabat. Dan Harris juga adalah pemimpin dalam rumah tangga
Harris sendiri. Tetapi tugas memimpin isteri tidak sama dengan cara kita
memimpin pekerja. Tempat seorang isteri adalah di sisi suami. Yang perlu
dihargai dan disayangi kerana dia adalah pemilik tulang rusuk suami.”
Harris menganggukkan kepalanya mendengar setiap kata nasihat
yang diberikan Hajah Mariah. Dia telah banyak melakukan kesilapan dan dia
sendirilah yang perlu memperbetulkan segala-galanya.
“Insya-Allah, nenek. Harris tak akan berputus asa.” Azam
Harris sambil menggenggam erat jari-jemari ‘Aisy.
“Seorang suami kena banyak bersabar. Kena bijak mengawal
baran tu. Lelaki diberi sembilan akal. Gunakan sembilan akal itu untuk menepis
rasa marah. Jangan kalah dengan satu nafsu.” Tambah Hajah Mariah.
Sikap baran Harris yang sukar dikawal itulah yang
merunsingkannya. Disebabkan itu jugalah hatinya yakin untuk menjodohkan Harris
dan ‘Aisy. Sangkanya kelembutan dan kesabaran yang dimiliki ‘Aisy mampu
meneutralkan baran Harris. Tetapi sebaliknya yang berlaku. ‘Aisy akhirnya
menjadi mangsa baran Harris.
“Harris sedang berusaha, nek.” Beritahu Harris. Biarpun
bukan mudah untuk dia terus mengikis sepenuhnya sikap baran yang sudah sebati dalam
dirinya, namun dia tidak pernah jemu untuk berubah menjadi lebih baik.
Hajah Mariah mengangguk perlahan. Dalam hati dia mengucapkan
syukur melihat Harris yang sudah banyak berubah. Siapa sangka kuasa cinta bisa
mencairkan hati cucunya yang kering selama ini.
“Kalau macam tu, untuk langkah pertama ni, apa kata kalau
kamu berdua pergi bercuti bersama.” Cadangan Hajah Mariah membuatkan ‘Aisy
mengangkat wajahnya.
“Taa..tapi..” ‘Aisy ingin membantah cadangan itu tetapi
entah kenapa kata-katanya bagaikan tersekat di kerongkong. Melihat wajah Hajah
Mariah yang teruja menjadikannya tidak sampai hati.
“Bagus juga cadangan nenek tu. Sayang, kita pergi bercuti
ya. Lagipun, kita belum pernah lagi berbulan madu kan? Sayang beritahu saja nak
pergi mana. Abang akan usahakan.” Harris menyambut baik cadangan yang diusulkan
Hajah Mariah.
“Err.. mana-mana saja, saya tak kisah. Saya ikut saja.”
‘Aisy hanya mampu menghadiahkan senyuman kelat.
“Okay, kalau macam tu abang rasa abang tahu ke mana nak bawa
‘Aisy.” Beritahu Harris dalam nada yang cukup ceria. Tidak sabar dia hendak
menghabiskan masa berdua bersama dengan ‘Aisy.
“Thanks, sayang.” Bisik
Harris tidak segan silu menunjukkan kemesraannya.
“Seronok nenek tengok kamu berdua. Kalau macam ni, tak lama
lagi dapatlah nenek menimang cicit pula ya. Jangan tunggu lama-lama. Kamu
berdua pun bukannya muda lagi.” Bicara Hajah Mariah gembira. Sinar mata Hajah
Mariah jelas memancarkan pengharapan.
Berubah riak wajah ‘Aisy. Spontan tangan kirinya mengusap
perut kempisnya yang dulu pernah dihuni oleh satu nyawa. Masih kah ada
kesempatan buatnya untuk merasai pengalaman indah itu? Hatinya mengeluh berat.
“Insya-Allah, nenek.” Balas Harris sambil menggenggam erat
tangan ‘Aisy. Seakan faham dengan kegelisahan yang dirasai oleh isterinya. Jauh
di sudut hatinya, dia benar-benar mengharapkan ‘Aisy menerimanya sebagai suami
seperti dulu. Suami yang sentiasa dibelai dengan kehangatan cinta seorang
isteri setia bernama Rahadatul ‘Aisy.
Untuk baca sambungan boleh dapatkan Novel ini di kedai buku berdekatan atau, beli secara online di website kami Idea Kreatif Publication.
https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/tak-hanya-lucu-6-jenis-anjing-ini.html
ReplyDeletehttps://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/adam-fabumi-meninggal-dunia-selebritas.html
https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/badan-membesar-karena-hamil-kylie.html
https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/remaja-15-tahun-melahirkan-di-toilet_23.html
Tunggu Apa Lagi Guyss..
Let's Join With Us At Dominovip.com ^^
Untuk info lebih jelas silahkan hubungi CS kami :
- BBM : D8809B07 / 2B8EC0D2
- Skype : Vip_Domino
- WHATSAPP : +62813-2938-6562
- LINE : DOMINO1945.COM
- No Hp : +855-8173-4523