“JADI
ke tidak ni?” soal Zakuan waktu kami atur langkah sama laju dengan kura-kura.
Perlahan amat. Hampir lima belas minit juga kami begitu.
“Jangan macam-macam pulak. Dah
janji…”
Susahnya nak bagi jawapan. Aku pun
tengah cari alasan macam mana nak mengelak dari menghadiri majlis sambutan
sempena kepulangan Abang Joey. Tak sambut nanti apa pulak kata Puan Hendon.
Beriya nak buat majlis bagai. Pening kepala betul. Kalau aku sambut nanti,
terpaksalah mengadap muka lelaki bajet bagus tu. Lagi menyakitkan hati.
“Awak, orang tanya ni, nak ikut ke
tidak?” soal Zakuan dengan suara sedikit kuat. Kali ini seakan mendesak.
Seperti tidak sabar saja menantikan jawapan daripadaku.
Aduhai…
macam mana ni.
Suria
KLCC kami tawaf lagi. Berjalan tanpa tujuan. Baru saja lepas acara minum-minum dan
sekarang acara cuci mata pula. Seminggu atau dua minggu sekali, mesti jumpa
Zakuan. Sebenarnya aku nak cakap aku rindukan dia, tapi takut kena gelak. Mahu sebulan
Zakuan gelakkan aku kalau aku cakap macam tu. Teman satu Universiti yang
sekarang bertugas di salah sebuah firma guaman itu sebenanya bukanlah kacak
sangat yang menjadi syarat untuk aku rindukan dia selalu. Tapi ada sesuatu yang
menarik perhatian aku tentang jejaka berkulit hitam manis dan rambut
tegak-tegak itu.
Aku
rasa selamat bila berada disamping jejaka kelahiran Sungai Petani ini. Anak
seorang pemilik bendang yang luas, dan sesungguhnya dia tidak pernah
menunjukkan sikap nakal dan kurang menyenangkan sepanjang kami berkawan.
Satu lagi, dia jarang tinggal solat.
Mungkin sebab itu aku suka dia. Ciri-ciri suami mithali.
“Ada masalah sikit ni…” Aku garu
kening. Kemudian wajah lelaki rambut tegak-tegak itu aku pandang. Mata kami
bertentangan. Serius aku tak tahan. Seperti terpanah dengan panahan asmara yang
benar-benar buat jantung aku tidak duduk diam. Terpaksalah aku kalih pandang
tempat lain.
“Apa masalahnya?” Dia berdiri di
hadapanku. Paksa aku hentikan langkah kura-kura tadi.
“Hari yang kita nak balik kampung
awak tu ada majlis sambutan sempena kepulangan
Abang Joey.” Kembali melihat wajahnya dan selepas itu dadanya yang
bidang. Ada apa pada dada bidang itu sehingga dada aku sendiri tidak tenang?
“Biarlah dia buat majlis. Apa kena
mengena dengan awak? Bukan awak yang nak jadi tukang masak? Jadi apa
masalahnya?” Zakuan pegang dadanya seperti tahu-tahu saja mata aku tak lepas
pandang kawasan situ.
“Abang Joey mintak saya hadir majlis
tu. Dia cakap dia rindukan saya. Rindu gila!” Ayat pertama tu memang betul,
tapi ayat kedua dan ketiga tu aku sendiri menokok tambah. Saja nak lihat reaksi
Zakuan.
“Jadi awak pun rindu jugaklah kat
dia?” Nada suara Zakuan macam cemburu saja. Sukanya. Makin galaklah aku sakat
dia nanti.
“Yup, rindu gila!” Rasa nak muntah
sebut perkataan rindu tu. Rindu Abang Joey? Silap banyaklah. Tak hingin aku
rindukan dia. Dengar nama dia saja aku dah rasa semacam. Tak tahu kenapa aku
meluat betul dengar nama tu.
“Yalah, sebab Abang Joey tu handsome, tinggi lampai, putih melepak,
anak orang kaya. Pelukis terkenal pulak tu. Mestilah ramai yang tergila-gilakan
dia, termasuklah awakkan?.” Nada merajuk pula.
“Tau takpe…”Aku tutup mulut sambil
tahan gelak.
“Tahu dah…” Nada merajuk tu
kedengarannya semakin kasihan.
“Tapi yang peliknya saya lebih suka
anak pesawah yang tak handsome. Kulit
hitam legam tapi senyuman dia manis sangat. Suka sangat dengan kawan tu.
Entahlah, tak tau nak cakap kenapa suka yang tak handsome tu.”
“Tak best langsung cara awak pujuk orang tu. Dah biasa sangat dengar.” Zakuan
jeling, tapi hujung-hujung aku nampak dia senyum. Aduhai, manisnya senyuman.
“Habis nak pujuk lagu mana lagi?”Aku
tiru cara ayah Zakuan bercakap.
“Ikut balik kampung.”
Inilah masalahnya, ditelan mati
bapak diluah mati emak.
“Malam tadi mak ada telefon. Memang
dia mintak orang bawa awak sekali. Mak dah buatkan ikan pekasam untuk awak.
Sengaja mak tak benarkan kacau ikan kat
tali air, sebab mak tahu awak suka tangkap ikan. Tapi sebenarnya orang tahu mak
rindukan awak.” Zakuan mulakan kempen menghasut.
“Awak sedang goda saya ke ni?”
soalku.
“Orang tak goda, orang bagitau aje.
Mak macam dah rindu sangat kat awak.
Macam awak pulak anak dia.”
Mak dia saja ke yang rindu. Habis
anak mak dia ni tak reti rindukan aku ke. Ke nak cakap rindukan aku, tapi
segan. Tu pasal cakap mak yang rindu.
“Awak terasa?” soalku.
“Mahunya tak terasa. Asal orang
telefon, asyik tanya pasal awak saja…” Zakuan bulat mata pula. Hujung bibir dia
gigit.
Alahai, segaknya dia buat muka macam
tu. “Okeylah. Saya ikut awak. Puas hati?”
“Serius ni?”
“Jangan tanya serius ke tak. Kalau
saya cakap saya ikut, saya ikutlah.”
Aku nampak senyuman Zakuan lebar
semacam. Puas hati dengan jawapan aku agaknya. Tapi memang aku sendiri sudah
mula rindukan kampung Zakuan. Rindukan masakan Mak Cik Midah yang memang sedap.
Rindukan gurauan Pak Cik Saad yang cukup selamba orangnya. Rindukan bau sawah
dan aku rindukan semua-semua itu.
“Kali ni apa nak jadi, jadilah.
Orang tetap bawak awak balik. Ikat awak masuk dalam guni pun orang sanggup.”
“Melampau!”
“Ingat orang tak berani?”
“Yalah, awak bukan ke terror bab larikan anak dara orang.”
“Uiks, jangan buat statement suka hati. Orang ni anak
teruna suci murni. Belum pernah nak buat kerja bodoh macam tu…”
Aku tampar bahu Zakuan perlahan.
Status melampau juga dia ni. Kemudian dia keluarkan telefon bimbitnya. Zakuan
tak beritahu pun, aku sudah dapat agak siapa yang bakal dia hubungi.
“Assalamualaikum. Wan ni…” Bukan
main manja lagi dia.
“Wan nak habaq, Malia jadi ikut
balik kampung. Kami balik Sabtu.”
Aku dengar dengan jelas suara Mak
Cik Midah bercakap. Dengar seperti gembira benar. Kenapa ya Mak Cik Midah
mengharapkan aku ikut sama? Dia nak ambil aku jadi menantu ke? Ah, kalau betul
kan seronok. Sekurang-kurangnya tidaklah aku dapat mertua serupa mak mertua
Kassim Selamat. Pasti Mak Cik Midah sayang aku nanti.
“Yalah, satgi Wan sampaikan. Kirim
salam kat ayah. Jangan pulak mak sambut dengan kompang, marhaban bagai. Satgi
pengsan pulak dia ni.” Walau nada seperti bergurau tapi Zakuan langsung tak
senyum. Serius saja wajahnya. Tapi aku suka. Segak sangat.
“Nanti kalau ada perubahan, Wan
telefon balik. Assalamualakum.”
Nak kata Zakuan ini anak emak, tidak
juga. Dia ada dua orang abang dan seorang adik lelaki. Seorang kakak dan
seorang adik perempuan. Abang-abang dan kakak Zakuan sudah pun berumah tangga.
Tinggal dia dengan adik-adik saja yang belum. Zakuan pun kalau ikut bukan muda
lagi. Tua dua tahun saja dari aku. Tu agaknya Mak Cik Midah kalut nak suruh
kahwin. Tapi masalahnya, mamat seorang ini mana reti nak meluahkan perasaan.
Tak pernah walau sekali dia sebut perkataan sayang kepada aku. Tak kan aku yang
kena mula dulu. Tu kerja tak malu. Serupa perigi cari timba saja.
“Mak kirim salam.”
“Waalaikumusalam.” Aku jawab.
“Hmm, rindu sangat kat awak katanya.”
“Saya pun rindukan mak awak.”
“Hmm, mana tak rindu. Teman dia
masak masa akan datang kut, tu yang rindu bagai nak rak.” Zakuan senyum.
“Tapi saya tak tau masak.”
“Tak apa. Lepas ni kenalah rajin
masak. Orang tak berapa berkenan sangat nak makan makanan kedai. Kalau boleh
nanti nak suruh awak masak selalu.”
“Kalau tak sedap macam mana?”
“Tu belakang kira. Lagipun orang
bukan cerewet sangat. Asal orang rumah orang yang masak, orang telan saja.”
“Tak cerewet? Awaklah manusia paling
cerewet dalam dunia ni. Kalau tak kena selera awak, mahu awak membebel
sepanjang makan. Itu tak cerewet?”Aku cekak pinggang. Cakap tak serupa bikin.
“Kalau isteri orang yang masak,
orang tak cerewet. Orang pejam mata saja. Main telan. Sedap ke tak sedap, orang
tak banyak cerita sebab isteri orang yang masakkan?”
Aku kerut dahi. “Wei, kita cakap apa
sebenarnya ni?” Aku tanya sebab Zakuan siap sebut orang rumah, isteri bagai.
Merepek apa pulak ni?
Zakuan senyum senget dan garu kening.
“Entah. Tak tau!”
“Tengok tu. Awak suka buat saya
macam ni…” Aku buat muka.
“Taklah, sekadar bercakap tentang
masa akan datang. Tak salah simpan angan-angan. Macam orang lain jugak, tak kan
orang nak tidur sorang-sorang selamanya. Sejuk tau tak.”
“Eh, gatal pulak dia ni…”
“Tadi tanya, dah cakap kata gatal
pulak.”
“Yang sebut sejuk tu apa kes.”
Besar ketawa Zakuan selepas itu.
Kemudian dia tarik nafas perlahan. “Orang pun nak hidup bahagia juga. Nak hidup bersama gadis yang orang
sayang.”
Dia pandang aku tepat.
“Oh, kiranya dah ada gadis
kesayanganlah ni? Tak cakap pun, sampai hati…” Mulalah aku nak merajuk. Hampir enam
tahun aku kenal Zakuan, tapi tak pernah pun dia beritahu dia suka mana-mana
gadis. Seingat aku, tak ada gadis yang rapat dengan dia selain aku.
“Mestilah ada. Kalau tak, tak berani
orang nak bawa balik jumpa mak.”
“Baiklah kalau macam tu. Tak jadilah
nak ikut awak balik kampung. Awak pun dah ada orang kesayangan awak. Tak nak
kacau daun…” Aku sambung jalan. Merajuk campur jauh hati sama. Tak sangka dalam
diam sudah ada orang kesayangan rupanya. Habis aku ini apa? Diusung ke hulu ke
hilir, tapi tak ada sebarang perasaan terhadap aku.
“Awak, orang gurau ajelah. Hisy,
payah betul kalau bercakap dengan orang tak faham bahasa ni. Tak kan tak
sedar-sedar lagi…”
“Awak jugak yang cakap tadi…” Rasa
jauh hati masih berbekas. Tahu Zakuan sekadar bergurau.
“Saja nak usik awak.”
“Mana tahukan…” balasku perlahan.
Walau kata-kata Zakuan seperti menghilangkan separuh rasa curiga, namun
sejujurnya aku tidak boleh meletakkan diri di dalam zon selesa kerana aku belum
lagi mendapat hak mutlak untuk berada di sisi Zakuan.
Namun, aku juga tidak mahu enam
tahun ku berlalu dengan sia-sia sahaja. Kalau boleh naklah berakhir dengan
majlis kenduri kahwin.
“Anna…”Aku teringat Anna. Salah
seorang geng kami.
“Awak janganlah mengada sebut nama
minah tu. Dahlah sini port dia. Karang tak pasal-pasal dia muncul depan kita,
rosak semua program.
“Sampai sekarang awak masih tak
boleh buka pintu hati untuk dia? Dah lama dia tergilakan awak. Apa salahnya awak beri dia sedikit
perhatian.”
Kesian Anna. Sejak zaman Universiti
lagi dia tergilakan Zakuan, namun sampai sekarang Zakuan langsung tidak membuka
pintu hatinya untuk Anna. Bukan Anna tidak cantik. Kalau hendak dibandingkan
aku dengan Anna, memang aku kalah teruk. Gadis bertubuh kecil itu sebenarnya
antara top student yang sentiasa mendapat perhatian penuntut lelaki.
Tapi kalau Zakuan terima Anna, aku
pula yang bakal teruk. Mahu meraung tak cukup tanah. Jadi jawapan Zakuan itu
benar-benar buat aku rasa sedikit lega.
“Kalau sudah tidak boleh nak buka,
tetap tak boleh buka. Nak buat macam mana. Eh, Tak naklah sebut pasal dia. Tak
ada kena mengena.” Cepat saja Zakuan mengelak setiap kali kalau nama Anna aku
sebut.
“Betul tak nak bagi dia peluang?”
“Awak nak saya bagi peluang kepada
dia?” Zakuan soal aku balik.
Diam, tiada jawapan.
“Takut ada yang meraung kalau orang
bagi dia peluang nanti.”
Jawapan Zakuan buat aku lebih
terdiam. Memang betul, aku bakal meraung kalau Zakuan beri perluang kepada
Anna.
“Hmm, kalau rasa-rasa tak sampai
hati, janganlah sebut perkara yang boleh menyakitkan hati. Jangan cakap tak
serupa bikin!”
Makin terpanggang aku jadinya dengan
sindirian Zakuan, tapi
sekurang-kurangnya aku boleh tarik nafas lega sebab sehingga sekarang
nampaknya Zakuan masih tidak pandang sesiapa.
AKU
sampai rumah sudah masuk maghrib. Mak ngah sudah sedia nak solat maghrib. Fuh,
lama gila keluar dengan Zakuan. Dari pukul 10.00 pagi membawa ke 7.30 petang.
Nasib baik dah besar panjang. Kalau budak-budak lagi, sampai muka pintu tadi
sudah mak ngah sebat.
Aku duduk menyandar. Penat sangat.
Walau penat, tapi aku gembira. Zakuan benar-benar buat hari mingguku menjadi
sangat bermakna. Sesungguhnya, jauh di sudut hati kecilku aku mengharapkan
Zakuan akan meluahkan perasaan. Namun sehingga kami berpisah tadi, dia langsung
tidak meluahkan apa-apa. Nampaknya aku kena tunggu lagi. Walau seribu tahun,
aku sanggup menunggu.
“Hmm, sakan berjalannya…” Mak ngah
jeling aku sekali sebaik sahaja selesai solat, namun mulutnya terkumat kamit
bersama kedua tangan ditadah selepas itu.
Aku tak balas apa-apa, sekadar
tersenyum. Cuba rehatkan badan.
“Hmm, tu muka orang lapar nak
nikah!” Mak ngah macam perli sambil lipat telekung.
“Mana ada…”Aku balas.
“Hmm, macamlah mak ngah tak tau.
Cubalah buka mulut ajak dia nikah…”
“Malulah mak ngah. Nanti kata perigi
cari timba pulak.” Mak ngah yang jaga aku, tentulah mak ngah tahu kisah aku
dari A sampai Z.
“Itu zaman dulu-dulu. Sekarang ni
orang dah tak kisah pasal tu. Mak ngah bukan apa, takut esok tak ke mana.
Sudahnya putus macam tu saja…”
“Dia lelaki, dialah yang kena
cakap.”
“Hah,
kalau macam tu tunggu sajalah si Zakuan tu buka mulut. Mak ngah nak tengok
sampai bila. Esok kalau sampai putih mata, jangan nak menangis kat mak ngah.”
Mak ngah sarung tudung.
Mak ngah ni memang. Suka sangat buat
perasaan aku jadi tidak keruan.
“Janganlah cakap macam tu, jodoh kan
di tangan TUHAN…”
Mak ngah senyap. Itu saja caranya
nak kunci mulut mak ngah.
“Tak boleh solat lagi?” soal mak
ngah setelah agak lama tak bercakap.
“Esok kut…” Sebenarnya kepala masih
lagi fikir kata-kata mak ngah. Ambil kisah juga. Apa kata kalau Zakuan segan
nak muka mulut, aku dulu pergi tanya pasal hati dan perasaan dia? Boleh tak
kalau aku yang dulu melamar dia? Huh! Jangan buat gila Malia. Bukan terdesak sangat
nak kahwin.
“Kalau nak makan, panaskanlah lauk.
Mak ngah nak sambung buat kerja.”
Aku angguk saja sambil perhatikan
mak ngah keluar. Elok saja mak ngah hilang dari pandangan, telefon berbunyi.
Hmm, orang yang ura-ura aku nak pinang buat panggilan.
“Ya awak, kenapa?” Satu hari suntuk
berdua sakan, tak kan masih rindu lagi. Gilalah kalau Zakuan rindukan aku.
“Sudah sampai…?”
“Sudah. Dalam setengah jam tadi.
Risau saya tak sampai ke?”
“Mahunya tak risau.”
Eh, risau jugak ke? Hmm, senyum
ajelah.
“Awak ni sudah solat ke belum?” Aku
soal.
“Saya singgah masjid tadi…”
“Alhamdulilah… Hmm, bila kita nak
keluar lagi?” Tak malunya soalan. Tapi nak malu apa, aku tanya bila nak keluar
aje, bukan aku tanya bila nak masuk meminang.
“Dah lupa ke? Kan janji nak ikut
orang balik kampung.”
“A’ah lupa…”
“Jangan mengada buat lupa. Orang dah
bagitau mak…”
“Kalau saya lupa, tolonglah
ingatkan…”
“Tulah, suka sangat makan kepala
ikan. Belum apa-apa dah lupa.”
“Tak ada maknanya…” balasku.
Senyuman lebar lagi.
“Okeylah awak. Orang nak pastikan
awak sampai di rumah dengan selamat aje.”
“Hmm, tak sangka sayang jugak awak
kat saya.”
“Maunya tak sayang. Sayang gila!”
“Lawaklah tu.” Ah! Rasa badan
melayang-layang. Betul ke dia sayang?
“Lawak apa pulak. Dah betul.”
“Okeylah awak. Nanti kita sembang
lagi.”
“Okey, assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.”Aku balas. Dalam
hati nak sangat dengar ayat orang sayang awak. Hmm…
“Orang sayang awak!”
Copyright © 2014. Idea Kreatif/Fazuin Azman. All rights reserved.
Best.
ReplyDeletethanks baby mio. tunggu keluaran e-novel ni yer
ReplyDeleteMenarik :-)
ReplyDelete