KENINGNYA hampir bertaut. Hairan melihat lelaki itu berdiri tegak di hadapan dia sejak tadi.
“Kahwin dengan aku nak?”
Hampir tersembur keluar air dari dalam mulutnya ketika mendengar soalan itu. Cepat-cepat si gadis menutup mulut.
“Kau ni kenapa Arif?” Lelaki itu diberi tenungan maut.
“Aku nak ajak kau kahwin la. Takkan tak faham kut. Dah straight to the point habis tu.”
Renungan si gadis masih tajam ke wajahnya. Langsung tak berkelip.
“Kau ada skru longgar tiba-tiba ke apa? Atau kau nak aku ketuk kepala kau tu?” herdik si gadis.
“Alah… daripada aku kahwin dengan entah siapa-siapa yang mak aku nak calonkan, baik aku kahwin dengan kau.”
“Kau jangan nak mengarut boleh tak, Arif?” Suara gadis itu sudah naik satu oktaf.
“Aku tak mengarut, babe. Kita kan dah kenal lama. Senang!”
“Banyak la kau punya senang!”
“Betul apa? Tak betul ke?”
“Apa yang betulnya? Hish!” Sekali lagi tenungan maut diberikan kepada lelaki yang sedang merepek itu.
“Kita kan dah tiga tahun dalam satu geng. Boleh kata kita ni berjumpa hampir setiap hujung minggu. Dating kadang-kadang sampai ke pagi.” Arif dah buat senyum senget. Tak sedar mulut tu tak ada insurans.
Perbualan hangat itu sudah mula menarik perhatian beberapa orang yang duduk berdekatan dengan meja mereka. Ada yang sudah mengerling ke arah Jannah. Memandang gadis itu dari atas hingga ke bawah.
“Eh Arif, kau ni buang tabiat ke apa? Baik kau jaga mulut kau. Kalau tak aku cop dengan helmet aku ni karang.”
“Eleh… aku cakap betul ni. Ini bukan cubaan. Ini betul-betul. Jadi apa jawapan kau?” Arif mengerutkan dahi dengan kening terangkat sebelah. Badan kembali disandarkan ke kerusi. Tangan disilang ke dada. Mata tajam membalas renungan si gadis.
“Seriously, kalau kau nak terus mengarut macam ni, baik aku blah!” Jannah mencapai helmet dan mula bangun. Jaket di badan dibetulkan.
Arif dah ketawa kuat dalam hati. Tengah bosan-bosan macam ni, seronok dia mengusik si mawar besi yang sorang ini. Senang sangat nak bagi sentap!
“Wei, wei! Lepak la. Kau ni Jannah, tak boleh aku nak bergurau sikitlah. Duduklah wei!” Dia pantas menarik lengan si gadis berlesung pipit itu. Paras rupa dah cukup ayu dan cantik. Bentuk badan mengalahkan model tapi hati punyalah keras macam besi.
Jannah masih diam berdiri. Memandang Arif dengan perasaan geram.
“Duduklah babe. Aku gurau ajelah. Duduk,” pujuk Arif sambil menepuk-nepuk kerusi yang baru dikosongkan.
Dengan perasaan yang masih tidak puas hati, Jannah duduk semula.
“Amenda kau bergurau pasal benda-benda macam tu? Dahlah kat tempat awam. Karang orang salah faham,” marah gadis itu tapi suaranya sudah tidak setegang dan sekuat tadi.
“Sejak bila kau kisah apa orang kata?” Kening Arif naik sebelah lagi. Kalau Jannah peduli, tentu dia tidak akan menyertai geng motor mereka. Jannah satu-satunya penunggang perempuan dalam kumpulan itu. Alasannya, dia lebih senang dengan lelaki. Perempuan banyak drama katanya.
“Kau ni la Arif! Nasib baik aku tak tersedak tadi,” dengusnya lagi sebelum dia mengacau baki air digelas dengan straw sebelum menyedutnya semula.
“Ala babe, aku berguraulah. Just to kill time.” Arif sudah tersengih. Nasib baik tak kena cop dengan helmet full faced Jannah. Kalau tidak, sah biru muka dia seminggu!
“Kalau aku join kau buat drama tadi, mesti ada yang rakam dan muat naik kat Youtube. Tajuk video, Jejaka kena Reject! Baru padan muka kau!” Jannah sudah mula ketawa.
“Amboi sedapnya kau ketawakan aku ya? Banyak cantik muka kau!”Arif sakit hati. Tujuannya nak mengusik si mawar besi tapi akhirnya dia pula yang kena usik.
“Memang la aku cantik. Kalau tidak, takkan kau ajak aku kahwin!” Mencerlung mata Jannah memandang Arif.
“Siapa nak kahwin?” Tiba-tiba kedengaran satu soalan daripada suara yang sangat mereka kenal.
Terus Jannah dan Arif angkat muka menoleh.
“Hah! Dah sampai pun kau orang. Kenapa lambat?” Arif berjabat tangan dengan rakan-rakan mereka yang baru sampai.
Jannah sekadar memerhati seorang demi seorang sambil mengangguk kepala tanda hormat. Bukan sahaja dia satu-satunya perempuan, dia juga yang paling muda.
“Kenapa lambat Malek?” Jannah pula bertanya. Mereka semua telah melarang Jannah memanggil mereka ‘abang’.
“Isteri aku je boleh panggil aku abang. Kau panggil kami by name cukup.” Malek secara berseloroh memberitahu Jannah ketika dia mula-mula menyertai kumpulan ini.
Kumpulan berlapan itu mula mengambil tempat duduk masing-masing. Satu lagi meja disambung supaya mereka semua dapat duduk sebaris.
‘Ada ahli baru nampaknya’ detik hati Jannah. Dari ekor matanya, dia meneliti ‘ahli baru’ itu. Jaket kulit
sudah dibuka zip dan menampakkan t-shirt putih dengan perkataan Stay Calm and Pray yang dipakai di dalam. Helmet full faced Shoei RF diletakkan di atas meja. Berkulit kuning langsat. Janggut sejemput. Ketika itu lelaki itu sedang menaip sesuatu di iPhonenya.
Seperti biasa, tiada sesi perkenalan akan dibuat. Ahli baru harus menggunakan inisiatif sendiri untuk memperkenalkan diri. Cara terbaik to break the ice. Mereka bukan di sekolah yang di mana cikgu perlu memperkenalkan setiap murid baharu. Masing-masing sudah bekerjaya dan ada social skills yang mantap.
‘Boleh tahan mamat ni.’ Helmet Shoei itu diperhati oleh Jannah. Bukan murah tu. Mamat gila jenama agaknya.
“So, siapa nak kahwin?” soal Nick pula setelah soalan daripada Malek tadi tidak dijawab.
Jannah kembali menyedut air minumannya. Biarlah Arif yang jawab. Dia pasti ini sekadar mukadimah untuk deretan soalan yang akan menyusul.
“Aku ajak Jannah kahwin tadi. Dia kata okey.” Arif dengan selamba menambah perisa.
Dan kali ini air memang tersembur keluar dari mulut Jannah.
Purrrrrrrrrrrrr!
“Wei!” Sam sudah menjerit.
Air yang tersembur terkena lengan Sam dan Jannah perasan helmet mamat itu pun terkena tempiasnya.
Lelaki itu mengangkat wajah dari skrin telefon dan memandang tepat ke arah Jannah.
“Sorry!” Jannah membalas pandang. Untuk sesaat, dia terpegun melihat sepasang mata yang cantik lagi redup itu.
Lelaki itu mencapai beberapa helai tisu dan mula mengelap helmetnya.
“It’s okay. Don’t worry about it,” balasnya perlahan.
Satu senyuman manis terukir di bibir lelaki itu lantas membuatkan jantung Jannah mulai berubah rentak. Sesuatu yang belum pernah terjadi.
“Kau ni kenapa Jannah? Takkan Arif ajak kahwin, kau sampai tersembur macam ni. Hish!” bebel Sam sambil mengelap lengannya.
“Jaga mulut kau, Arif. Siapa yang nak kahwin dengan kau? Pandai-pandai buat cerita!” Jannah tayang muka bengis. Bebelan Sam diletak tepi.
“Okey apa kalau kahwin dengan Arif. Anak Dato’ tu.” Sam menambah.
“Ar ar… untung kau, tak payah kerja. Hantaran nanti, kau minta dia Ducati satu. Dia mesti bagi punya. Kan Arif? Apapun boleh untuk bakal isteri tercinta!”
Pecah ketawa semua di meja mendengar lawak Malek.
Pertanyaan itu membuat Jannah mengalih pandang kepada Malek yang sedang ketawa terbahak-bahak.
Jannah menyilang tangan ke dada. Sabar menanti tawa mereka reda sebelum menyerang balas.
“Kenapa berhenti? Dah puas gelak? Ke nak sambung lagi?” soalnya serius sambil memandang ke arah Sam kemudian Malek. Sinis pandangannya.
“Alamak, dia buat besi dia dah.”
Untuk statement itu, satu renungan maut diberikan kepada Nick.
Nick terus angkat tangan.
“Woh, Woh… rileks la Jannah. Kami bergurau saja. Tapi kalau betul Arif nak kahwin dengan kau, kami tumpang gembira. Kita orang konvoi dari rumah kau ke rumah dia! Untung-untung dapat liputan media!”
Bertambah galak bunyi ketawa lelaki-lelaki yang semeja dengannya itu. Tiga tahun bersama mereka memang banyak mengajar Jannah erti sabar. Erti untuk tidak mengambil hati akan lawak-lawak serta usikan mereka.
Jannah mengambil nafas panjang. Satu. Dua. Tiga.
“Korang fikir aku ni terdesak sangat ke sampai nak kahwin dengan mamat playboy Malaya ni? Arif ni, belum kahwin dah pasang keliling pinggang.” Mata Jannah naik ke atas. Meluat.
“Hey… bukan aku yang cari dia orang tapi dia orang yang cari aku, okey?” Arif cuba mempertahankan diri.
“Bertepuk sebelah tangan tak berbunyi, Arif,” tegas suara Jannah. Walaupun mereka berkawan baik, dia memang benci perangai Arif yang satu itu. Hate the sin not the sinner.
“Well. Cik Jannah yang cantik jelita, kalau kita nak cari isteri, kenalah ada beberapa calon dulu. Takkan kau expect aku terus jumpa sekali dan terus sangkut. Love at first sight? That only happens in movies la, my dearest.”
“O… o… Arif dah mula buat ayat beli jiwa ala-ala romeo. Cair… cair!” giat Nick sambil tersengih memandang Jannah yang masih masam mencuka.
Jannah pula entah kenapa, matanya kembali mencari sepasang mata yang redup itu dan terasa darahnya menyerbu ke muka tatkala mata itu juga sedang merenungnya. Terus dia melarikan pandangan kepada Arif yang sedang melalut itu.
“Arif, can we just drop the subject? Cukup-cukuplah merepek tu. Apapun, sebagai kawan, aku doakan yang terbaik untuk kau.”
Malas nak bercakap mengenai topik itu. Dalam kumpulan itu, hanya dia dan Arif sahaja yang masih bujang.
“Ouch! Arif kena reject wei.”
“Sakit tak, Arif? Orang cantik manis dah reject kau ni?” Malek menyoal.
Arif buat lagak seperti jantungnya sedang ditoreh oleh pisau.
Jannah mengerling geram. Tak habis-habis.
“Ni semua dah lunch ke belum? Kalau belum, silakan. Lepas tu kita boleh blah tapi kalau korang tak nak, aku blah.” Jannah sengaja menukar topik perbualan.
Semua terdiam. Si Mawar Besi dah muncul kembali. Garang!
“Okey. Okey. Jom kita makan, guys!” ajak Malek kepada yang lain-lain.
Dia pun tidak mahu memanjangkan sesi usik-mengusik mereka. Salah langkah, Jannah memang akan angkat kaki.
“Korang makan dulu, aku nak pergi solat.” Jannah terus bangun tanpa menunggu respon. Dari ekor matanya, dia tahu lelaki itu masih memerhatikannya.
“So, itulah Jannah, Khael. Adik kami. The rose amongst us, thorns,” terang Malek setelah kelibat Jannah hilang daripada pandangan mereka.
Jihad mengangguk perlahan. Walau belum sampai setengah jam mereka bertemu, ada sesuatu pada gadis itu yang menarik perhatiannya. Apa? Dia belum pasti. Cuma ada sesuatu yang terdetik di hatinya tatkala mereka bertentang mata tadi.
“Dah lama dia ride with the group?”
“Adalah dalam tiga tahun rasanya.”
“Oh patut macam dah ngam sangat. Looks like she is able to take all your nonsense. Macam mana boleh kenal?”
“Oh! Dia datang tanya Nick directly. Masa tu kita orang tengah lepak kat NZ Wangsa Maju. Tiba-tiba dia datang dan tanya. Memang kita orang terkejut habis masa tu. Kan, Nick?”
“Ha-ah. Gila tak terkejut. Tengah borak-borak, ada awek cun datang dengan soalan macam tu. Nasib baik kita orang ni bukan stok ulat bulu. Kalau tak, sah dah lama dia gatal satu badan!” Meledak ketawa Nick.
‘Berani betul’ Jihad kagum.
“Khael, Jannah tu nampak keras tapi baik budaknya. Boleh harap. Asal kita tak step on her tail, dia okey. Setakat usik-usik macam tadi bolehlah. Cuma dia memang very independent. Tak reti nak manja-manja bagai. Lagi satu, dia paling pantang orang masuk campur urusan dia. Kau nanti slow-slow dengan dia tau sebab dia memang alergik sikit dengan orang bujang. Tengok macam mana si Arif kena dengan dia tadi. So you be cool with her, okay?” Panjang syarahan daripada Malek.
Jihad mengangguk tanda faham.
“Thanks for the warning, Bro.”
Menarik!
it's so hard to read because it seem so tight
ReplyDelete