“JAD JAZMAN... tunggu!” jerit Alena sambil terkedek-kedek lari untuk
mendapatkan teman baiknya itu. Jenuh juga dia. Dengan beg sandang belakang yang
penuh dengan barangan studi dan peribadi ditambah pula buku-buku nota yang
dijinjit, membuatkan pergerakannya terasa lambat sekali.
|
“J! Tunggulah aku!” jeritnya lagi apabila
melihat yang Jad masih tidak berhenti.
Lariannya cuba dipantaskan namun kemudiannya dia
mula menarik nafas lega apabila lelaki itu mula mengambil tempat di atas kerusi
kayu tidak jauh dari situ.
Sampai di hadapan lelaki itu, Alena menarik
nafas semahunya. Naik semput dibuatnya dek mengejar langkah panjang lelaki itu.
“Kau ni! Penat aku panggil.” Dia menampar bahu
kiri Jad dan lelaki itu hanya tersengih.
“Saja...”
“Ngek
lah kau. Penat tau tak?” luah Alena geram. Tidak lama dia mengambil tempat di
sebelah lelaki itu.
“Okey lah tu. Kau boleh senaman sikit. Dah lama
kau tak join aku. Dah makin bulat dah
pipi kau tu.” Jad sengaja bercanda dengan teman baiknya itu.
Dia dan Alena mula berkenalan ketika pertama
kali terlibat di dalam program Freshers’s
Explorace anjuran LUMSOC iaitu satu badan pertubuhan sosial penuntut
Malaysia di Leeds. Dan kemudiannya perhubungan menjadi lebih akrab setelah
sama-sama menyertai program jualan garaj yang bertempat di 24 Kelso Garden. Tambahan pula pada ketika
itu masing-masing masih terpinga-pinga tanpa kenalan, terus menjadikan mereka
akrab dalam komuniti kecil itu.
“Melampau kau kan? Kau nak cakap aku gemuk ke J?
Kau ni memang mengada!” Pantas jemari Alena naik mencubit paha pejal milik
lelaki yang sama-sama berasal dari Kuala Lumpur dengannya itu.
Jad ketawa terkekek-kekek. Dia langsung tidak
membalas cubitan kecil gadis itu. Dia berpaling sebentar menentang pandang
dengan wajah ayu si gadis. Perlahan-lahan dari tawa sudah bertukar kepada
senyuman. Dia senang dengan persahabatan mereka.
“Ada apa, Al? Kau bukan ada discussion ke sekarang ni?” soalnya lembut. Tidak menunggu lama,
dia melihat gadis itu menarik muka masam.
“Kenapa pulak
dah ni?” soalnya lagi. Hairan.
“Meluatlah, J...”
“Batal ke?” tanya Jad seakan-akan mengerti.
Gadis itu mengangguk.
“Laaa...
hujung minggu ni dah nak kena bentang proposal dah, Al. Kumpulan kau asyik
batal je... bilanya nak siap?”
“Aku nak kumpulan sekali dengan kau, kau tak kasi.”
Dalam mencuka gadis itu sempat meluah rasa tidak puas hatinya.
Jad mengeluh.
“Bukan aku tak kasilah, Al. Tu... si boyfriend kau tu bukannya faham. Nanti
dia nampak kau asyik keluar dengan aku je,
dia mesti mengamuk. Kau jugak yang
jadi mangsa nanti. Aku dah bosan dengan kerenah boyfriend kau tu. Macam dia sorang
ada girlfriend.” Bibirnya dicebik.
“Biarlah kat
dia. Asyik nak dengar cakap dia je...
bosanlah!” Selamba Alena menjawab.
“Kau cakap senang, Al. Ini... kalau dia nampak
kau dengan aku ni, tak pasal-pasal aku kena lagi.”
“Kau takut ke J?”
“Aku tak takut, Al. Tapi aku bosan nak mengadap
muka Khan yang entah apa-apa tu,” jawab Jad tanpa selindung. Sememangnya dia
dengan Alena tiada rahsia yang tersembunyi. Masing-masing sudah biasa mencari
sesama sendiri apabila ada sesuatu yang menimpa. Seakan-akan sukar untuk hidup
tanpa salah seorang daripadanya.
“Eleh...
kau lagi toughlah dari mamat tu,”
balas Alena tanpa perasaan. Sedangkan yang Jad kutuk itu adalah teman
lelakinya.
Sebenarnya, perkenalan dan perhubungannya dengan
Khan masih muda jika hendak dibandingkan dengan usia perkenalannya dengan Jad.
Khan merupakan penuntut Komunikasi di universiti yang sama dengan mereka.
Manakala dia dan Jad merupakan penuntut Ekonomi. Perkenalannya dengan Khan
bermula ketika sama-sama menyambut sambutan hari raya Aidil Adha di Pusat
Komuniti Woodsley setahun yang lalu. Perkenalan biasa dan seterusnya membawa ke
hubungan yang lebih serius.
Bagi Alena, dia sukakan Khan kerana ketampanan
lelaki itu. Namun, rasa suka yang dirasainya belum mampu untuk ditukar pada
cinta dan sayang. Dan kalau hendak diikutkan, dia lebih rasa sayang itu kepada
Jad. Lelaki itu lebih gentleman kalau
hendak dibandingkan dengan Khan yang semakin lama semakin membosankan. Asyik
nak melenting dan cemburu sahaja. Alena rimas dengan kongkongan yang Khan
pagarkan untuk dirinya.
“Hah!
Ingat boyfriend kesayanganlah tu...”
Alena terasa bahunya ditolak kasar. Dia segera
menggeleng kepalanya berkali-kali sebelum berpaling memandang Jad si
sebelahnya.
“Kau kenapa ni Al? Khan ada buat apa-apa lagi ke
kat kau? Cakap dengan aku,” soal Jad
risau.
“Tak ada apalah. Aku cuma bosan dengan mamat tu.
Asyik cemburu dan kuat mengongkong je.
Rimas betul!”
“Dah tau macam tu, buat sesuatulah Al. Jangan
biar hidup kau huru-hara sebab mamat perasan bagus tu.”
“Hmm
tengoklah nanti.”
Jad mengangkat kedua bahunya tanda mengalah. Dia
sendiri sedia pasti dengan jawapan Alena itu. Bila disuruh selesaikan,
dijawabnya ‘nanti’. Tetapi, mulut comel itu asyik mengeluh dan mengadu sahaja.
ALENA masih berteleku di situ. Jad sudah berlalu hampir 15 minit
yang lalu. Lelaki itu ada perbincangan dengan ahli kumpulannya. Dan dia juga
yang terkebil-kebil tanpa sebarang isi perbincangan. Dia kembali mengeluh. Hati
risau dengan perbentangan proposal yang perlu dibuat minggu depan. Tak kanlah
nak bawa hasil yang ‘sampah’ untuk Dr Peter Phelps?
“Alena!”
Dia segera berpaling apabila terdengar namanya
dipanggil.
Tidak lama apabila gerangan yang menjadi topik
perbualannya dengan Jad sebentar tadi hadir di pandangan matanya.
Dia mengeluh.
“Khan...” ucapnya perlahan.
Tidak sampai pun seminit, lelaki tampan itu
sudah mengambil tempat di sebelahnya. Rapat.
Alena yang berasa tidak selesa dengan posisi
yang seakan-akan bercantum itu sudah mula menjarakkan dirinya.
“You buat apa kat sini?” soalnya malas. Dikerling sebentar wajah makhluk di
sebelahnya.
“You tu yang buat apa kat sini?” Lelaki itu menyoalnya pula.
“Saja...”
“Saja? Atau you ada date dengan mamat serabai tu?”
“Hish!
Apa you ni Khan? Tak habis-habis nak menuduh.”
“Tapi memang betul kan? You tak akan saja-saja
duduk kat sini, Alena. Ini favourite port kau orang kan?” Lelaki
itu tak henti-henti menuduh dan menyerang.
Alena sudah naik rimas.
“You kalau tak sakitkan hati I sehari tak boleh
ke Khan? Seronok ke duk tuduh-tuduh
orang macam ni?”
“Hati I lagi sakit bila tahu yang you baru lepas
date dengan mamat serabai tu.” Lelaki
itu masih selamba menuduh. Tangan kekarnya dibawa ke penghadang belakang dan
memaut santai.
“Kami bukan datinglah,
Khan. Dia tu bestfriend I. Lagipun
kami satu kuliah. Kat mana pun I ada,
tak mustahil kalau J pun ada sama.”
“Eleh...
bukan I tak tahu yang you selalu lepak berdua dengan dia. Mata-mata I banyak.”
“Pergi mampuslah mata-mata you tu! Tak guna sama
macam you! Menyibuk hal orang je. Macam
tak ada kerja lain.”
Khan sudah bertambah berang bila Alena menjawab
begitu. Tubuhnya yang santai menyandar sebentar tadi sudah dibawa ke hadapan
dan rapat dengan gadis itu.
“You cakap I tak guna, Alena?” Dagu Alena sudah
dicengkamnya.
“Hey!
Lepaslah! Sakit tau tak?” Alena cuba menepis tangan itu. Dagu dan rahangnya
sudah berasa sakit.
“You cakap I tak guna? You tu yang tak guna!”
Dengan kuat dan kasar, Khan melepaskan cengkaman itu. Matanya tajam memandang
Alena. Dadanya berombak kencang.
“Kalau dah I ni tak guna... tinggalkan I, Khan.
Dah banyak kali I mintak putus dengan
you, kenapa yang you liat sangat nak lepaskan I?”
Tiba-tiba Khan ketawa. Semakin lama semakin
kuat.
“Tinggalkan you? Ha ha ha... sama sekali tidak, Alena. You tu hak I sampai bila-bila
pun. Jangan harap mamat selekeh tu nak rampas you dari I.”
“You tak nak tinggalkan I? Okay fine... sekarang I
yang akan tinggalkan you!” Dengan mengatakan hal itu, Alena terus angkat
punggung dan dengan pantas beredar dari situ. Dia mula berlari dan langsung
tidak berpaling lagi.
Dia risau lelaki itu akan mengejar dan mengapa-apakan
dirinya.
No comments:
Post a Comment