BAB
1
LANGKAHNYA
penuh gaya. Auranya jelas terserlah. Wajah yang kelihatan tegas dan serius itu
tetap kelihatan menarik walaupun tanpa senyuman menghiasi bibir.
“Good
Morning, boss.” Ada suara menyapa sebaik dia melintasi meja setiausahanya.
“Morning, Triya.”
Langkahnya
terus diatur masuk ke bilik pejabatnya diikuti oleh Triya di belakang. Seperti
biasa, itulah rutin setiausahanya.
Briefcase diletak
di atas meja dan dia melabuhkan punggung di kerusi empuk.
“Hari ni Encik
Shah hanya ada satu janji temu dengan Encik Rizal daripada Lembayung Properties
di Hotel Seri Pacific. Pukul 10.30 nanti.” Triya terus membacakan jadual bosnya
untuk hari itu.
Shahrin mengangguk faham. Walaupun
fokus matanya tidak pada Triya namun telingannya mendengar dengan teliti.
“Okey. Itu saja ke untuk hari ini?”
“Er… sebenarnya ada satu lagi Encik
Shah,” jawab Triya sedikit teragak-agak.
“Awak cakap satu je tadi?” Shahrin
terus memandang tepat ke wajah setiausahanya.
“Memang ada satu lagi janji temu Encik
Shah tapi ini lebih kepada personal matter.”
Triya simpan senyum.
Shahrin angkat kening. Kurang
mengerti maksud setiausahanya itu.
“Tadi Sharifah Nurhaliz ada datang...”
“Dia nak apa?” Shahrin terus
memintas apabila nama Sharifah Nurhaliz disebut oleh setiausahanya.
“Dia nak jumpa Encik Shah tapi Encik
Shah tak sampai lagi. Jadi, dia tinggalkan pesanan minta Encik Shah call dia.”
“Mmmm.....macam
ada hal penting je sampai tak sempat nak tunggu saya masuk kerja,” ngomel
Shahrin lebih kepada dirinya sendiri.
“Itu saya tak berapa pasti. Tapi
saya rasa ia tak ada kaitan dengan kerja.”
“Kalau
tak ada kaitan dengan kerja apa tujuan dia datang untuk jumpa saya?”
“Semua orang kenal Cik Sharifah tu.
Kalau ada urusan kerja memang susahlah nak tengok senyuman dia. Tapi tadi bibir
dia tak lekang dengan senyuman. Mesti ada urusan lain,” balas Triya dengan tonasi suara
berbaur usikan.
“Hish...
ke situ pula awak ni, Triya. Saya dengan Cik Sharifah tu tak ada apa-apa
hubungan pun. Hanya sekadar hubungan rakan niaga saja. Lagipun, dia seorang
yang profesional. Hubungan business tak
akan dicampur aduk dengan peribadi.”
Shahrin tidak mahu pekerja-pekerja
bawahan salah faham akan perhubunganya dengan Sharifah Nurhaliz. Memang
Nurhaliz wanita cantik bergaya dan bijak dalam menguruskan perniagaan keluarga.
Tapi, hatinya tidak pernah terlintas untuk menjalinkan hubungan yang lebih
serius dengan wanita itu.
“Saya
ni perempuan Encik Shah. Saya boleh nampak apa yang orang lelaki tak nampak.
Dan apa yang saya nampak ialah, Cik Sharifah tu macam suka kat Encik Shah.”
“Dah…dah!
Awak jangan nak bergosip pula. Nanti pekerja-pekerja lain dengar, apa pula yang
mereka akan cakap nanti,” pangkas Shahrin cepat-cepat. Tidak senang dia
mendengar kata-kata setiausahanya itu. Dia tidak mahu terlibat dalam mana-mana
gosip sama ada di dalam pejabat atau di luar pejabat.
Triya senyum sebelum meminta diri
untuk keluar. Namun sempat lagi tunjuk beri isyarat jangan lupa call supaya bosnya tak lupa menghubungi Cik Sharifah.
Shahrin menggeleng melihat telatah
setiausahanya. Tumpuan kemudian beralih pada kerja di atas meja. Pak Idris
sudah dimaklumkan awal-awal lagi agar menunggunya di lobi. Tepat pukul 10 pagi,
Shahrin bergegas mengemas meja kerjanya dan membawa dokumen penting untuk di
bentangkan pada Encik Rizal seketika nanti.
Ketika Shahrin tiba di ruangan lobi,
Pak Idris kelihatan sedang berbual dengan seorang pengawal keselamatan. Melihat
dia semakin menghampiri, lelaki setengah abad itu tersenyum mesra dan membuka
pintu untuknya.
Pak Idris mengerling Shahrin dari
cermin pandang belakang. Kelihatan anak muda itu begitu khusyuk meneliti
dokumen di tangannya. Setelah tiga minggu Shahrin berada di Dubai menguruskan
projek di sana, baru hari ini Pak Idris dapat peluang untuk berbual dengan anak
muda itu. Malam tadi dia tidak berkesempatan untuk berbual dengan Shahrin kerana
anak muda itu sudah tertidur dalam perjalanan ke rumah.
“Shah tak penat ke baru sampai
semalam, hari ini terus masuk pejabat?” Pak Idris saja berbasi-basi. Ada
sesuatu yang ingin dia sampaikan pada Shahrin.
“Penat juga Pak Idris tapi nak buat
macam mana dah kerja banyak,” jawab Shahrin. Dokumen ditutup dan dia
menyandarkan badan dengan selesa pada kusyen.
“Kerja sampai bila-bila pun tak akan
habis, Shah. Pak Idris tahu Shah sibuk tapi kesihatan pun kena jaga juga.” Pak
Idris menegur lembut. Dia tahu Shahrin kepenatan.
Shahrin tersenyum cuma. “Terima
kasih Pak Idris. Saya tak apa-apa. Nanti kalau dah sampai kejutkan saya ya.
Saya nak lelapkan mata sekejap.”
Shahrin sudah membetulkan duduknya.
Mencari keselesaan sebelum dia mula memejamkan mata.
Pak Idris tidak menjawab. Sekali
lagi wajah Shahrin dicari melalui cermin pandang belakang. Pak Idris
berbelah-bahagi. Dia harus sampaikan berita itu kepada Shahrin. Kalau dia berlengah
takut tidak sempat untuk membuat apa-apa persiapan. Memandangkan jadual Shahrin
sentiasa padat, Pak Idris takut dia tidak berkesempatan untuk maklumkan pada
anak muda itu.
“Shah, Pak Idris ada benda nak cakap
pada Shah. Pak Idris harap Shah tak marah.” Akhirnya Pak Idris memberanikan
diri.
“Cakaplah Pak Idris. Tak adanya saya
nak marahkan Pak Idris,” sahut Shahrin dalam keadaan mata masih tertutup.
“Shah tak jenguk Puan Nia ke? Setahu
Pak Idris praktikalnya kat Pulau Sibu dah nak habis dah bulan ni.”
Demi terdengarkan nama itu, mata
Shahrin terus terbuka. Hilang terus rasa mengantuknya. Badan yang tadinya
bersandar selesa terus ditegakkan. Pertanyaan Pak Idris tidak terus dijawab
sebaliknya dia membuang pandang ke luar tingkap.
Hania!
Satu nama yang hampir lenyap dari ingatannya.
Sudah 3 tahun lebih berlalu semenjak
kejadian yang menimpa mereka sehingga terjalinnya ikatan perkahwinan antara
mereka. Shahrin masih ingat, setelah selesai majlis perkahwinan yang dilangsungkan
secara tertutup itu, dia nekad untuk menghantar gadis itu menyambung
pelajaranya di sebuah universiti swasta di kuala Lumpur. Semua yang melibatkan
gadis itu dia serahkan kepada Pak Idris. Yang dia tahu, setiap bulan sejumlah
wang akan dimasukkan ke dalam akaun gadis itu. Itu saja.
“Shah… Shah dengar tak apa yang Pak
Idris cakapkan ni?” panggil Pak Idris setelah Shahrin menyepi agak lama.
“Saya dengar Pak Idris. Pak Idris
ada jenguk dia tak selama ketiadaan saya kat sini?” soal Shahrin tanpa
perasaan.
Pak Idris menarik nafas lega. Takut
juga dia kalau Shahrin tiada mood untuk bincangkan hal ini.
“Ada, minggu lepas. Itu yang Pak
Idris tahu praktikalnya akan habis akhir bulan ni,” jelas Pak Idris tanpa
memandang wajah Shahrin dari cermin.
Shahrin terdiam seketika. “Macam
mana dengan keadaan dia kat sana?”
“Dia sihat cuma Pak Idris tengok
badan dia makin susut. Tapi kalau tengok muka dia, dia nampak macam sedih. Tak
macam kebiasaanya bila Pak Idris pergi jenguk dia. Mungkin dia sedih agaknya
nak tinggalkan tempat tu.” Pak Idris membuat kesimpulan sendiri.
Shahrin tidak memberi reaksi pada
cerita Pak Idris. Dia sendiri pun ingat-ingat lupa bentuk fizikal gadis itu
dulu. Kali terakhir dia lihat gadis itu pun 3 tahun yang lepas. Itu pun dari
jauh.
Pak Idris lihat Shahrin hanya diam
membisu sambil membuang pandang ke luar. Dia tidak tahu apa yang berada dalam
fikiran anak muda itu sekarang.
“Apa
rancangan Shah selepas ini? Kat mana dia nak tinggal lepas habis belajar ni?
Nak carikan rumah sewa untuk dia ke?”
Terbit
rasa simpati Pak Idris terhadap gadis bernama Hania itu. Entah sampai bilalah
gadis itu akan terus disisihkan dari hidup Shahrin. Kenapalah Shahrin tidak
terima saja jodoh antara mereka. Kenapa perlu seksa diri?
“Saya
akan bawa dia tinggal dengan saya,” jawap Shahrin tanpa riak. Wajah Pak Idris lansung
tidak di pandang.
Hampir
ternganga mulut Pak Idris mendengar jawapan Shahrin. Betul ke apa yang dia
dengar?
“Maksud
Shah tinggal sekali dengan kita?” Pak Idris inginkan kepastian.
Anggukkan
Shahrin menggembirakan perasaan Pak Idris. Sejuta kesyukuran di panjatkan
kepada-NYA. Mungkin tiba masanya untuk pasangan itu mengubah cara hidup mereka.
“Shah
pasti ke dengan keputusan ni? Atau pun Shah buat keputusan ni sebab simpati
pada dia?” Pak Idris sengaja ingin menduga.
“Bukan
sebab simpati atau terpaksa tetapi sebab tanggungjawab. Saya sedar sekarang
kesilapan saya. Kerana terlalu ikutkan rasa marah saya abaikan tanggungjawab
saya pada dia dalam tempoh 3 tahun ni. Tiba masanya saya perbetulkan kesilapan
ni dan bawa hala tuju hubungan kami ke arah yang sepatutnya.” Shahrin menghela
nafas panjang.
“Syukur, alhamdullilah. Baguslah kalau Shah
fikir macam tu. Yang lepas tu biarlah lepas. Shah dan Puan Nia layak untuk
bahagia seperti pasangan suami isteri lain. Bila kita reda, insya-Allah, Allah
akan tolong kita,” nasihat Pak Idris lembut. Bahasanya masih di jaga. Tidak
mahu mengecilkan hati majikannya itu.
Shahrin
masih membisu. Menghadam patah-patah nasihat Pak Idris. Selama ini dia terlalu
alpa. Tanggungjawab yang sepatutnya digalas di bahunya dilepaskan begitu saja.
Sudah tidak fikirkan dosa atau pahala kesan daripada tindakannya itu.
“Saya
harap keputusan yang saya buat ni akan berikan kebaikan pada kami berdua.”
“Pak
Idris percaya inilah keputusan yang paling tepat yang Shah buat. Selagi kita
tak cuba kita tak akan tahu keputusanya, kan?” Pak Idris memberi kata semangat
pada Shahrin.
Shahrin
tersenyum kelat. “Saya pun harap begitu, Pak Idris.”
“Datuk
dan Datin dah tahu ke keputusan yang Shah buat ni?” Pak Idris teringatkan kedua
orang tua Shahrin. Pak Idris yakin Datuk Iskandar dan Datin Noris belum tahu
lagi tentang hal ini.
“Belum
lagi. Nanti saya akan beritahu mereka. Buat masa ini Pak Idris jangan cakap
apa-apa lagi kat mereka.”
Pak
Idris mengangguk faham. Perjalananya diteruskan dengan dada yang lapang. Perasaanya
gembira apabila memikirkan nasib gadis bernama Hania itu akhirnya terbela. Tiba
masanya gadis itu mendapat pengiktirafan di mata masyarakat.
No comments:
Post a Comment