Bab 1
You are young once, live once,
So do the things you love.
Fun and lazy are not the same things either,
Follow your passion, work hard at them, and the money
will follow.
“Cepat
Mika! You are next!”
Kelam
kabut Mika mempercepatkan langkahnya. Bekerja sebagai seorang Runway Model memerlukan dia bertindak
pantas, cepat memberi tindak balas dan perlu peka dengan arahan dan
persekitaran.
“Okey!”
balas Mika sambil ibu jari dan jari telunjuknya bercantum membentuk seperti
huruf O. Dia berdiri betul-betul di pintu belakang pentas peragaan. Tangannya
tidak henti-henti membetulkan baju yang dipakainya. Ingin tampil sempurna di
hadapan penonton yang hadir.
Sememangnya
perkataan ‘sempurna’ cukup sinonim dengan pemilik nama Azka Mikael bin Ahmad
Malik. Dia gemarkan sesuatu yang sempurna tanpa sebarang cacat cela. Namun, dia
bukannya seorang yang cerewet dalam semua hal. Hanya untuk sesuatu yang
berkenaan dengan dirinya sahaja yang akan diteliti sedalam-dalamnya.
Punya
personaliti yang menawan. Dengan ketinggian 6 kaki 1 inci, berbadan tegap
walaupun tidak seperti ahli sukan angkat berat, dia cukup sempurna di mata
ramai. Malah tidak pernah lokek dengan senyuman.
Bagi
sesiapa yang tidak mengenali siapa Mika sebenarnya akan beranggapan yang lelaki
itu sengaja mahu memikat. No way! Dia
seorang yang sukar untuk digoda! Jangan haraplah hendak tergedik-gedik untuk
berdampingan dengannya.
“Love without any reasons last the longest. And I don’t
want to find it, I’m just waiting for the right one to come. I know… ada seseorang di luar sana untuk I. What I need to do now is… relax and enjoy my life!” Itu yang selalu
Mika beritahu apabila ditanya tentang jodoh.
Punya
keyakinan diri yang cukup tinggi membuatkan Mika sentiasa nampak tenang dan
gah. Dengan kulit yang cerah dan dihiasi sepasang mata berwarna coklat
memahatkan lagi pandangan gadis-gadis dari spesis yang mudah jatuh cinta
tatkala memandangnya. Rambut yang sedikit panjang separas bahu, diikat ringkas
dan turut beralun ketika dia melangkah. Sesiapa yang memandang pasti akan
terpesona dengan kesempurnaan wajah dan tubuh badan yang dimilikinya. Dia
sempurna di mata wanita dan juga lelaki! Opss!
Selesai
tugasan malam itu, Mika mengurut-urut lembut bahunya kanan dan kiri. Terasa
lenguh badannya kerana perlu mengawal dan memastikan postur badannya tegap
sempurna ketika di atas pentas peragaan. Itulah salah satu perkara yang perlu
dijaga oleh seorang model ketika melakukan catwalk.
Selain daripada itu, seorang model juga perlu sentiasa menjaga penampilan diri,
penjagaan wajah serta tubuh badan.
Untuk
menjadi seorang model, ketinggian dan berat badan adalah perkara utama yang
diambilkira. Namun, sekiranya seseorang itu terlibat dengan bidang Lifestyle Modelling, hal sedemikian
tidak menjadi satu isu besar. Ianya datang dalam pelbagai jenis saiz, umur,
bentuk atau apa sahaja bentuk faktor. Disebabkan oleh faktor kerjaya juga boleh
menjadi sebab kenapa seseorang itu terlibat di dalam bidang Lifestyle Modelling.
Mika
lebih memilih bidang Glamour serta Fashion. Dia gemar bergaya di dalam
majalah, kalendar serta berjalan di atas pentas peragaan kerana dia seorang
yang berani dan suka mencuba. Namun baginya... “I do not exist to impress the world. I exist to live my life in a way
that will make me happy. I don’t need much money because I do have it already
But I just need something yang
mampu membuatkan diri I berasa puas!”
“Are you gonna join us tonight, Mika?”
Tiba-tiba kedengaran suara Harry, teman baiknya di bidang yang sama bertanya
sambil tangan ligat memasukkan barang-barang peribadi ke dalam beg sandang.
Mika
mengerling sekilas ke arah temannya itu.
“Hmm tak
kot. Aku nak balik rest lah, bro! Penat sangat,” balas Mika sambil
bangun dari kerusi yang didudukinya.
“Aku tahu
dah jawapan kau tu. Kau bukannya penat sangat pun. Tapi kau memang tak minat nak
pergi kan?” Harry mencebik. Faham benar dengan sikap temannya yang satu itu.
‘Susah
sungguh untuk diajak berhibur. Alim tak kena gaya! Konon model paling hot di Malaysia dan Asia. Tapi tak tahu
nak enjoy langsung!’ omel Harry di
dalam hati.
Mika
tayang senyum. Ya! Dia tidak gemarkan tempat-tempat seperti ‘itu’. Dia juga
tidak suka dengan suasana bising. Baginya, cukuplah bunyi bising di sekitar
pentas peragaan. Dia tidak perlukan lagi bunyi-bunyi yang membingitkan telinga
di tempat lain pula.
Walaupun
dia seorang model terkenal dan punya nama besar di dalam dan luar negara, namun
itu bukan alasannya untuk menjadi liar dan suka berfoya-foya. Dia lebih
gemarkan suasana sunyi yang aman damai. Buat masa sekarang, apa yang sedang
berlegar-legar di dalam kepala otaknya adalah untuk segera pulang ke rumah. Oh my home sweet home… Please wait for me!
“Hmm
yelah Mika. Nanti jenuhlah aku kena menjawab dengan Fina. Aduh!” komen Harry.
Tangannya menepuk perlahan dahi sendiri. Seperti ada masalah besar pula. Entah
apa-apa si Harry ni!
“Alah!
tak perlu jawab apa-apa. Bukannya penting pun. Buat don’t know jelah. Buang masa je,” balas Mika malas.
Harry
hanya memandang pemuda itu mencapai beg sandangnya yang berjenama Salvatore
Ferragamo berwarna hitam yang berada di atas kerusi plastik itu. Lalu
kedua-duanya sama-sama menyusun langkah untuk ke basement.
“Serius
kau tak nak ikut kami?” sekali lagi Harry menyoal ketika pemuda itu sedang
mengeluarkan kunci kereta yang berada di dalam begnya. Alarm kereta Audi R8 berwarna putih ditekan dan kakinya terus
melangkah masuk ke dalam kereta mewah itu.
Melihatkan
kehidupan dan pendapatan Mika sebagai seorang model, serasanya tidak mencukupi
untuk menampung keperluan dan kehendaknya yang tersangat melampau mewah itu.
Dari atas hingga ke hujung kaki, luar dan dalam. Segalanya berjenama. Kerana
bagi pemuda itu, jenama melambangkan kualiti.
Namun,
semua itu tidak menjadi masalah buat Mika. Dia boleh mendapatkan apa sahaja
yang diingininya. Kereta kesayangannya itu pun hadiah dari daddy tersayangnya, Tan Sri Ahmad Malik.
Malah dia
tidak perlu ditaja mak datin atau menjadi ‘anak ikan’ sesiapa, kerana ayahnya
sudah cukup kaya dan mampu menampung hidupnya. Sahamnya di dalam syarikat milik
ayahnya sahaja sudah lebih dari cukup.
Menjadi
anak tunggal kepada pasangan Tan Sri Ahmad Malik dan Puan Sri Zarra Andrew
Abdullah membolehkan pemuda itu memiliki apa sahaja yang diangannya.
Keluarganya
merupakan antara yang terkaya di Malaysia dan memiliki beberapa rangkaian hotel
di Malaysia dan juga luar Negara. Sebut sahaja, pasti ramai yang tahu. Kerana
itu, ramai yang iri dengan segala yang ada pada dia. Rupa, harta dan
populariti, Azka Mikael punya segala yang terhebat!
Harry
kenal benar dengan pemuda itu. Dia senang berteman dengan Mika. Tak sombong
walaupun si model hebat itu punya segalanya.
Mika yang
sudah berada di dalam keretanya, menurunkan sedikit tingkap. Temannya yang
masih berdiri di sisi keretanya dipandang mesra.
“Yes bro. Hundred percent confirm!”
tegasnya.
Bab 2
Don’t let past relationships
ruin your future happiness!
Putus tunang hanya kerana dia bertudung? Oh please! Safa seperti tidak dapat menerima keputusan yang diberi.
Kita sekarang bukannya di zaman penjajah lagi. Kita bukan di zaman kolot yang
agama dipandang ringan. Zaman sekarang walaupun dikatakan moden dari segala
segi namun pegangan Islam makin lama makin kuat. Setakat bertudung dan menutup
aurat dikatakan kolot, sangat melampau!
Sukar
baginya untuk menerima keputusan tunangnya, Adli Iskandar. Ops! Bukan lagi
tunang ya. Bekas tunang! Kerana semalam sudah rasmi yang dia dan Adli telah
putus tunang.
Terasa sangat sedih. Sedih bukan kerana dia masih sayangkan Adli.
Rasa sayang itu telah lenyap sebaik sahaja keluarga Adli datang ke rumah
keluarganya untuk memutuskan pertunangan mereka. Dia sedih kerana memikirkan
betapa lamanya masa yang telah dibazirkan di dalam perhubungan dia dan Adli
Iskandar.
Mereka mula berkenalan ketika sama-sama menuntut di salah sebuah
IPTA di Utara Malaysia. Setelah tamat belajar, Adli terus melamar dan
keluarganya menerima keluarga Adli dengan tangan terbuka. Sememangnya kedua-dua
belah keluarga mengenali satu sama lain dan masing-masing merestui perhubungan
mereka berdua.
Setelah hampir dua tahun tempoh pertunangan, dia dikejutkan dengan
berita ‘itu’. Walaupun semenjak dua menjak ini hubungannya dengan Adli kurang
mesra kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya, namun tiada langsung
tanda-tanda yang Adli ingin memutuskan pertunangan mereka.
“Saf, terimalah keputusan depa tu. Kita ni keluarga orang pompuan.
Tak elok kalau kita duk pi terhegeh-hegeh kat depa. Dah depa tak mau. Kita
terima ja.” Itu kata ibu Safa apabila si anak seperti tidak dapat menerima
kenyataan.
Kecantikan
Safa sememangnya diwarisi daripada ibunya yang berasal dari selatan Thailand.
Berkulit putih bersih tanpa sebarang cacat cela. Berbibir nipis di atas dan
penuh di bawah. Sangat seksi dengan warna merah jambu asli. Hidung yang mancung
terletak. Memiliki sepasang mata yang sangat cantik dengan alis yang panjang
dan lentik, membuatkan Safa Salena mudah menarik perhatian kaum ajnabi.
Berkerjaya
sebagai seorang akauntan di salah sebuah hotel terbesar di ibu kota menemukan
Safa dengan pelbagai karenah dan ragam manusia. Namun dia tidak mudah hanyut
dengan kemodenan yang terbentang di depan matanya.
Dia lebih
senang menjadi Safa Salena, anak Hajah Wan Sakeena dan Haji Mohd Yusoff . Dia
akan sentiasa menjaga nama mereka serta tunangnya, Adli Iskandar yang turut
dikenali ramai kerana berjaya menjadi seorang arkitek hebat di usia semuda itu.
“Saf
bukan apa ibu, Saf cuma tak boleh terima alasan yang Adli bagi tu. Selama ni,
tak ada pulak dia complain apa-apa
pun bila Saf pakai tudung. Memang dari dulu pun Saf macam ni, bukannya Saf baru
pakai. Huh! Sebab Saf pakai tudung dan tak sesuai untuk teman dia ke mana-mana
majlis ka? Huh idiot! Kolot
sungguh!”
Kata
keluarga Adli, personalitinya yang bertudung dan membawa imej muslimah itu
tidak sesuai dan setanding dengan anak mereka yang sentiasa perlu berjumpa
orang ramai dari pelbagai bangsa dan agama. MasyaAllah! Sungguh dia tidak mampu
menerima segalanya itu.
Hello! Ramai pembesar dan
pemimpin bertudung dan berpakaian sepertinya. Malah Sultanah Kedah sendiri
bertudung. Cukup manis dipandang dan mampu mengiringi Sultan ke mana sahaja.
Jadi, siapa Adli Iskandar untuk menentang semua itu? Huh!
Mengingati itu semua, Safa mengeluh berat. Rasa penat kerana kerja
yang bertimbun menjadi bertambah penat memikirkan semua peristiwa yang berlaku.
Hari itu dia terpaksa pulang lewat kerana perlu menyiapkan laporan
kewangan memandangkan esok merupakan hari pertama di bulan baharu. Oleh itu,
dia perlu menutup akaun dan menyediakan laporan bulanan untuk dibentangkan
kepada Pengarah.
Sedang termenung di dalam kereta di kawasan parkir tempat kerja,
tiba-tiba ada seseorang mengetuk cermin kereta Myvinya. Pantas dia bepaling
untuk melihat gerangan yang mengetuk itu. Berkerut-kerut dahinya memandang
lelaki yang cuba mengintai melihat keadaannya di dalam kereta.
Mata Safa
terus membulat. Air mata yang bergenang mengaburi pandangannya. Dia cepat-cepat
memandu meninggalkan pemuda itu. Risau dan takut sesuatu yang buruk akan
terjadi sekiranya dia masih berada di situ. Entah siapa-siapa yang ‘sibuk’
menegur itu. Entah-entah perogol?
Penat dan letih setelah
menjalani latihan dan melakukan catwalk tadi
terus lenyap. Tiba-tiba saja Mika asyik memikirkan tentang gadis itu. Ya! Gadis
yang sangat cantik di pandangan matanya. Namun, seperti ada sesuatu yang
mengganggu gadis tersebut. Pasti ada sesuatu yang berlaku sehingga matanya yang
bulat dan sangat cantik itu dicemari takungan air jernih.
Gadis itu
menangis! Tetapi kenapa ya? Bergaduh dengan suami? Kekasih? Keluarga? Huh!
Kepalanya jadi pening memikirkan tentang gadis tersebut. Dia ingin bertemu dan
bertembung lagi dan lagi dengan gadis itu kerana hatinya sudah mula membisik
sesuatu yang indah. Bibir mula mengukirkan senyuman.
Mika
terus pulang ke rumahnya. Katil telah mengamit-gamitnya. Akan disambung
angan-angan dan soal jawab mengenai gadis itu di rumahnya nanti. Sekarang ini,
dia perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduannya. Dengan lafaz
Bismillah, kaki terus menekan pedal minyak. Tangan kiri mula membuka radio.
Kedengaran lagu Hero nyanyian penyanyi lelaki yang paling diminatinya iaitu
Enrique Iglesias berkumandang.
I can be your hero, baby
I can kiss away the pain.
I will stand by you forever
You can take… my breath away.
Bibir
Mika berkumat-kamit mengikut menyanyikan lagu itu. Terasa jiwanya bersemangat.
Adakah kerana dalam hatinya sudah ada taman rama-rama? Adakah dia telah jatuh
cinta pandang pertama dengan seorang gadis yang tidak dikenalinya? Dia terus
melayani perasaan sendiri.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment