UZMA memandang wajah Hasya dengan perasaan berbaur sebaik sahaja
temannya itu menyuarakan kembali cadangan yang sama didengarinya hampir setiap
cuti semester.
“Aku tak tahu lah, Sya. Aku tak nak lah nanti
orang cakap aku nak ambil kesempatan kat kau pula!” kata Uzma serba salah.
“Ambil kesempatan?”
Hasya menaikkan keningnya yang elok terbentuk
itu.
Wajah Pan-Asia miliknya benar-benar memukau kaum
lelaki yang memandang. Mujurlah gadis manis itu memakai tudung. Kalau tidak...
haih! Jenuh dikejar mamat-mamat hidung belang di kampus. Malah sepanjang
perkenalan mereka, temannya itu tidak pernah dilihatnya berpacaran dengan
mana-mana lelaki.
Pelik! Entah siapa yang ditunggunya?
“Janganlah buat lawak beb. Kau dah banyak tolong
aku sepanjang kita study ni. Kau tak
payahlah balik kampung. Duduklah sini. Biarlah aku tolong kau pula! Tak ada isu
nak ambil kesempatan atau apa. Aku sendiri yang offer kat kau. Lantaklah orang nak cakap apa pun. Bukan dia orang
yang bagi kita makan pun!” tegas Hasya.
Dia ingin membantu gadis cantik itu sepanjang
cuti semester selama dua bulan ini. Dia sudah mendapat persetujuan daripada
abangnya untuk memberi mana-mana jawatan kosong kepada Uzma bagi membantu gadis
itu mencari duit lebih.
Dia sedar siapa Uzma Haseena Binti Mohd. Nasir.
Dia kenal akan diri gadis cantik itu sedalam-dalamnya. Mereka mula berkenalan
ketika sama-sama menuntut di UPM hampir empat tahun yang lepas dan terus
menjadi akrab apabila dijodohkan sebagai teman sebilik.
Tambahan pula, Hasya ingin membalas budi baik
Uzma yang telah banyak membantunya sepanjang menuntut di universiti.
Gadis yang berasal dari Felda Ijok, Perak itu
merupakan seorang yang pintar dan memperoleh Anugerah Dekan setiap semester.
Bukan seperti dirinya yang hanya cukup-cukup
makan sahaja. Malu kalau orang tahu yang anak Tengku Radzi dan Tengku Maimun
bukan top scorer di universiti. Dia
tidak seperti abang-abangnya yang lain. Pintar, popular, tampan, berjaya! Dia
cuma popular dan cantik je!
“Hmm... aku rasa tak sedap hatilah Sya. Aku
segan...” kata Uzma lagi.
Dia malu untuk mendapatkan pertolongan dari
Hasya lagi. Cukuplah gadis berdarah diraja itu telah banyak membantunya dari
segi kewangan. Dia tidak mahu membebankan gadis itu lagi.
Dirinya malu apabila perbelanjaan makan minumnya
ditanggung oleh Hasya. Walaupun gadis itu tidak pernah mengungkit malah ikhlas
menolongnya, namun dia tetap ada harga diri dan maruah. Dia tidak mahu dicop
sebagai orang yang suka mengambil kesempatan.
“Ya Allah! Kau nak malu apanya Uma? Biarlah aku
nak tolong kau pun. Lagipun Abang Luth dah setuju. Dia minta kau masuk pejabat
Isnin depan!”
Bulat mata Uzma sebaik sahaja mendengar
kata-kata Hasya itu. Dia tidak menyangka yang sebegitu pantas sekali temannya
telah bertindak. Tanpa menunggu jawapan darinya pun.
“Sya! Kau ni! Kenapa kau tak bincang dengan aku
dulu? Hish...” keluh Uzma. Dia terus melabuhkan punggungnya di atas kerusi
plastik di dalam bilik mereka. Matanya tunak memandang Hasya. Memohon
penjelasan!
“Eh cik kak! Ada pula kata aku tak bincang? Dah
berbuih kot mulut aku bagitahu kau? Kau yang asyik teragak-agak je. Bosan lah
aku asyik nak tunggu kau yang tak pernah nak bagi jawapan. Baik aku buat
keputusan sendiri!” jelas Hasya tanpa rasa bersalah.
Dia hanya memandang Uzma yang tunak
memandangnya. Dia langsung tidak peduli dengan pandangan tajam gadis itu. Tak takut pun aku Uma dengan mata bundar kau
tu! Tak gentar pun!
Dia ketawa riang di dalam hati.
Dia kenal benar dengan Uzma. Mana pernah gadis
itu marah lebih-lebih. Habis dahsyat pun... dia jeling je! Sampaikan pernah dia
terfikir, Uma ni tak ada perasaan ke? Sudahlah bercinta pun tak pernah. Marah
pun tak! Hish... pelik!
“Ala Uma... kau terima jelah tawaran aku ni.
Lagipun aku tak akan benarkan kau balik kampung sorang-sorang. Bahaya! Dah lah jalan nak ke kampung Tok Mad kau tu
macam ular kena pukul. Jenuh muntah hijau aku... eeiii...”
Hasya masih lagi ingat kampung halaman Uzma yang
terletak di Felda Ijok. Berdekatan dengan Selama dan Taiping. Dia pernah
mengikut sahabat baiknya itu ke kampung yang terletak di Peringkat 3, Felda
Ijok.
Dia yang tidak pernah ke tempat-tempat sebegitu
terus tidak tahan apabila jalan yang perlu mereka lalui... Ya Allah!
Tersangatlah bengkang-bengkok! Macam ular kena palu.
Entah berapa kali mereka terpaksa berhenti dek
kerana dia sudah tidak tahan. Perutnya memulas dan kepalanya pening yang amat
dahsyat. Muntah di sepanjang jalan dari Selama ke Kubu Gajah sehinggalah ke
Felda Ijok sendiri. Nak taubat dia tak sanggup... tapi rasanya cukuplah sekali
itu dia ke sana. Tak sanggup lagi dah!
Tetapi, sebaik sahaja kakinya mula memijak bumi
Felda Ijok, Perak, terus hilang segala rasa tidak enaknya itu. Dia kagum dengan
suasana dan keadaan kampung yang aman damai dan sangat tenang sekali.
Rumah Tok Mad dan Nek Pah yang diperbuat
separuhnya dari batu di bahagian bawahnya dan kayu di sebelah atasnya kelihatan
comel sekali pada pandangan matanya. Tidak terlalu besar dan tidak terlalu
kecil. Elok-elok untuk 5 hingga 7 orang tetamu. Mempunyai dua bilik di tingkat
atas dan sebuah di tingkat bawah, menjadikan rumah kampung itu tidaklah terlalu
sesak. Cuma yang menyesakkan hatinya adalah... Huwaaaaa.... tandas terletak di
luar rumah! Tolongggggg!
“Sya! Yang muka kau cemberut tu kenapa?” panggil
Uzma setelah mendapati yang Hasya kelihatan berkerut-kerut dahinya. Sekejapan
kepalanya digeleng beberapa kali.
Lamunan Hasya terhenti. Terus hilang tandas dan
air sejuk yang dirasainya ketika berada di kampung Tok Mad dan Nek Pah dahulu.
“Hmm... jadi, kau ikut aku balik petang nanti
ye? Sebab Isnin ni kita dah kena lapor diri dah!” tegas Hasya sambil melupakan
kenangan di Felda Ijok itu.
“Hmm... yelah! Aku ikut!” jawab Uzma terpaksa.
Dia menjeling Hasya yang kelihatan lega dengan
jawapan yang diberinya.
“Kuat memaksa!”
“Biarlah! Ini baru aku... kau tak kena lagi
dengan Abang Luth dan Nuh. Dia orang lagiiiiiii kuat memaksa dari aku!”
“Hmm... jenuhlah aku nak layan orang-orang kuat
memaksa macam kau orang ni!” balas Uzma mengalah.
Dia tidak terlalu mengenali abang-abang Hasya
yang dipanggil Luth dan Nuh itu. Hanya cerita-cerita mengenai Tengku Radzi dan
Tengku Maimun sahaja yang sering meniti di bibir Hasya.
Mengenai kedua jejaka itu, hanya gambar sahaja
yang pernah dilihat olehnya. Itupun melalui internet. Malah dari situ dia dapat
menyimpulkan sesuatu. Kedua-dua abang Hasya sangat popular. Mungkin dengan
gelaran yang dibawa di samping wajah tampan gred super AAA itu.
“Hah!
Teringatkan siapa? Abang Luth atau Abang Nuh?” Sengaja Hasya mengusik sedangkan
dia tahu Uzma bukanlah antara peminat-peminat fanatik abang-abangnya itu. Gadis
itu terlalu kebal untuk ditawan.
“Ceh! Memandai je tuduh! Tak ingat siapa pun
lah. Jangan nak buat cerita pula ya? Aku cubit nanti!” Marah Uzma setelah gadis
itu berjaya menuduhnya.
“Kau jangan Umaaaa... nanti karang,
tengok-tengok kau jadi kakak ipar aku. Hah! Mana tahu kan? Kau tak suka. Tapi
nanti... kau dapat! Padan muka kau!” Hasya masih giat mengusik.
Suka benar dirinya melihat wajah putih bersih
itu kemerahan apabila diusik. Cantik! Mata bundar, alis hitam yang lebat,
lentik terbentuk, kening yang cantik terletak, pipi yang menonjol, hidung kecil
dan tinggi serta bibir yang merah semulajadi tanpa sebarang sapuan gincu.
“Weh! Mulut tuuuu... Aku cubit nanti! Teruk lah
kau ni. Tak nak lah aku!” Geram Uzma dengan apa yang Hasya katakan tadi. Ngeri
apabila mendengar hal itu.
“Sikit-sikit nak cubit, sikit-sikit nak cubit!
Macam lah dia berani sangat. Berani cakap je pun! Aku tak takut pun.
Bluekkkk...” Seronok Hasya mempermain-mainkan Uzma.
“Bencilah aku macam ni. Aku tarik balik haaaa...
biar padan dengan muka kau. Nak ke kalau aku cancel dari ikut kau tu?” Uzma mula mendapat idea untuk mengugut
Hasya.
Terus kelat wajah yang seronok mentertawakan
dirinya sebentar tadi.
“Umaaaaa.... Janganlah.... Sorry! Sorry! Aku tak usik kau lagi dah!” rayu Hasya.
“Hah! Tahu takut!” Uzma sudah ketawa geli hati
dengan reaksi temannya itu.
“Serius ya Uma? Kau memang kena confirm tau ikut aku. Aku dah janji
dengan Abang Luth. Dia serius nak kau tolong di pejabat dia nanti. Walaupun
sekejap je,” beritahu Hasya. Dia kembali serius.
Uzma hanya mengangguk. Dia setuju dengan
permintaan Hasya itu. Malah apabila difikir semula, dia bukannya bekerja secara
percuma. Dia dibayar mengikut kadar yang sama dengan pekerja-pekerja lain. Cuma
yang membezakannya adalah kadar gaji senior dan junior sahaja.
“Thanks
darling. Bestnya!” ucap Hasya teruja. Dia terus bangun dari atas katil dan
menuju ke arah Uzma yang masih santai duduk di atas kerusi menghadapnya.
Tubuh kecil Uzma diraih dan dipeluk kejap.
“Bestnya
dapat bercuti dan lepak dengan kau! Aku boleh buat macam-macam perkara dengan
kau. Jadi, tak lah boring aku nanti!”
“Okay! Okay!” balas Uzma sambil cuba meleraikan
pelukan erat Hasya itu. Dia sudah mula berasa sesak nafas.
“Dan...” sambung Hasya lagi. Pelukan sudah
terurai.
“Tak adalah aku terpaksa melayan si Marina tu...
eiiii... entah apalah yang bonda aku berkenan sangat kat perempuan fake macam dia tu. Tergedik-gedik...
tergedik-gedik... eiii...” Hasya mula membuat gaya geli-geliman apabila nama
Marina disebutnya. Ngeri apabila memikirkan yang bondanya cuba menjodohkan
abangnya dengan wanita itu.
“Ala... siannya, sayang. Tak apa! Aku ada! Aku
boleh layan kau,” jawab Uzma.
Kasihan! Anak manja ayahanda dan bonda serta
adik kesayangan abang-abang yang seringkali terabai dek kesibukan keluarga yang
lebih mementingkan kesenangan hidup.
Walaupun sejak akhir-akhir ini Hasya telah
menceritakan bahawa Abang Luthnya sudah berubah dan mula mendekatkan diri
dengan cara hidup Islam yang sebenar-benarnya namun gadis itu tetap berasa
kekok apabila pulang ke rumah orang tuanya. Masing-masing membawa haluan
sendiri.
Ayahanda dan bondanya sibuk dengan urusan
duniawi. Langsung mengabaikan segala tuntutan agama dan terlupa untuk memberi
kasih sayang yang secukupnya untuk dirinya. Malah, dia terpaksa menumpang kasih
sayang orang lain. Mujurlah ada Uzma dan keluarga kecilnya di Felda Ijok.
Walaupun miskin harta tetapi mereka tetap kaya dengan budi bahasa dan kasih
sayang!
“But
Uma... I bet you will like Abang Luth. He’s gorgeous you know?”
Hasya kembali ingin mengusik Uzma. Namun itu
bukanlah sekadar usikan semata-mata, malah dia sangat berdoa yang gadis itu
akan terpaut dengan abang sulungnya iaitu Tengku Luth Daniel walaupun Uzma
terpaksa bersaing dengan Marina yang gedik itu.
“Hmm... kenapa Abang Luth? Kenapa bukan Abang
Nuh?” Sengaja Uzma menyoal. Seronok melayan Hasya yang moodnya sering sahaja
berubah-ubah.
“Sebabnya Abang Nuh dah bertunang dengan Kak Hana.
Abang Luth je yang free.”
“Amboi... kiranya kau nak bagi abang kau yang
tak laku tu kat aku lah ye Sya?”
Pecah ketawa kedua-duanya.
“Eh eh! Abang Luth bukan tak laku okay? Dia yang
tak nak!” jelas Hasya.
Kadang-kadang terdetik juga di hatinya apabila
memikirkan yang abang sulungnya yang berusia 29 tahun itu tidak berhubungan
erat dengan mana-mana gadis selain Marina. Walaupun dalam keadaan terpaksa!
Nak kata abangnya tak laku... hmm... mustahil!
Kerana kekacakan abangnya itu setanding dengan si model tampan yang digilai
Uzma, si Mika itu! Cuma... entah apa yang sebenarnya abangnya inginkan? Dia
sendiri pun tak tahu.
“Sama jelah. Kalau laku... sure dia dah berteman dah beb. Hah! Tu... Marina tu... okaylah tu!”
“Hishh... tak nak aku! Tak sanggup aku nak ada
kakak ipar tak semenggah macam dia tu. Entah apa-apa je. Fake je luar dalam. Meluat aku!”
“Jangan Sya. Tak baik kata orang macam tu,” kata
Uzma cuba menyedarkan diri sahabatnya yang tidak henti-henti mengutuk wanita
bernama Marina itu.
“Entah-entah betul dia jadi kakak ipar kau
nanti. Macam mana?” sambungnya lagi. Suka untuk mengusik gadis itu.
“Uma! Aku tak nakkkkk...” jerit Hasya sambil
membaling anak patung berwarna putih kepunyaannya ke arah Uzma yang sudah mula
tertawa mengusik.
No comments:
Post a Comment