Friday, 19 September 2014

BAB 3 : MUTIARA HATIKU RAFFLESIA - BILL BORA


Penat!
Itulah yang Anis rasa setiap hari sebaik pulang dari kerja.
Kerjanya bukanlah teruk sangat. Lebih-lebih lagi kalau dia lalui hari seperti hari ini. Tiada apa-apa janji temu dari mana-mana pelanggan besar yang perlu dipenuhi. Setakat periksa stok, dan uruskan hal-hal yang diminta oleh Bill Bora, Publicist Rafflesia. Itu saja.
Tapi penat badannya tak ubah macam orang berkerja teruk tanpa henti! Semuanya gara-gara terpaksa menghabiskan banyak masa berulang alik ke tempat kerja menaiki kenderaan awam.
Setiap hari rutinnya menaiki monorel dari Bukit Bintang ke Masjid Jamek. Dari situ pula dia perlu menaiki LRT Putra menuju ke arah stesen Universiti yang terletak di Bangsar.
Kemudian, dia terpaksa pula mengambil bas atau pun jika ada bajet lebih, naik teksi pulang ke rumahnya yang terletak di Pantai Dalam.
“Eh, apasal muka monyok semacam je?”
Anis angkat kepala memandang Jasmin, teman serumahnya yang baru keluar dari dapur dengan sebotol air mineral di tangan.
“Untuk aku?” Anis pandang botol mineral di tangan Jasmin dengan penuh teruja. Dahaga betul tekaknya saat ini.
“Ya…” Jasmin hulurkan air di tangan pada si teman.
Tak tunggu lama, Anis rakus meneguk. Jasmin yang melihat hanya mampu menggeleng. Dah rupa macam orang tak minum sebulan.
“Haa….lega. Thank you, Min…” ucap Anis ikhlas.
Wajah jelita Jasmin dipandang. Dalam hati memanjat syukur kerana dikurniakan rakan sebaik Jasmin. Banyak yang Jasmin lakukan untuk dia selama ini. Kalau tiada Jasmin, memang tidak berpeluanglah dia hendak datang ke Kuala Lumpur. Emaknya memang tidak akan lepaskan dia merantau dari Sabah ke Kuala Lumpur jika tak ada kawan yang dikenali seperti Jasmin ini.
Di alam persekolahan dulu, dia tidaklah rapat sangat dengan Jasmin. Tapi hubungan mereka mulai rapat bila Jasmin menawarkan bantuan tempat tinggal apabila dia menyuarakan hasrat hati untuk cuba hidup di bandar besar ini.
Dia tiada sesiapa di sini. Hanya Jasminlah tempat dia bergantung harap. Lagipun Jasmin tidak berkira dengannya. Sewa rumah, bayar takat yang mampu. Duit makan, minum, elektrik dan air kongsi sekadar yang mampu.
Dengan segala kebaikkan Jasmin, memang Anis tak sampai hati hendak mencari rumah yang lebih dekat dengan tempat kerjanya.
Lagipun, Jasmin sendiri keberatan hendak lepaskan dia duduk sendiri. Kata Jasmin, tak ramai orang yang boleh dipercayai di kota besar ini. Hendak cari manusia yang jujur memang sangat-sangat payah seperti hendak mencari mutiara yang berkualiti tinggi di dasar lautan!
“Ramai artis datang butik ke hari ni?” tanya Jasmin setelah melihat Anis berdiam diri.
“Bukan setakat artis, pelanggan jutawan pun tak ada hari ni.”
“Dah tu, kenapa muka monyok semacam? Macam baru lepas buat kerja-kerja kontrak tepi jalan,” perli Jasmin.
“Penat tukar-tukar tren,” keluh Anis sambil meluruskan kaki di sofa. Beg tangan dibiarkan di atas lantai.
“Itulah kau. Kan aku dah cakap, kalau ada teman lelaki senang sikit hidup kau. Bukan saja transport percuma, makan minum pun percuma tau.” Jasmin gelak perlahan, senagaj mahu mengusik si teman.
“Bukan aku saja-saja tak nak teman lelaki. Tapi tak jumpa yang sesuai.”
“Bukan tak jumpa yang sesuai. Kau tu memilih sangat. Semua yang aku kenalkan, kau tak suka. Ada saja benda yang tak kena.” Jasmin menjeling Anis yang sudahpun tertutup kedua belah matanya.
“Nak cari baju dekat butik pun bukan main susah apatah lagi nak cari teman lelaki.” Anis bersuara dalam mata terpejam sambil membawa bantal kecil ke dalam pelukannya.
“Apa yang susahnya? Jumpa design yang menarik, sesuai dengan bentuk badan kau. Kena dengan warnanya, terus ambil dan bayar. Bukannya suruh kau jahit atau reka pun.” Hujah Jasmin penuh simbolik.
“Masalahnya, semua yang kau bawa tak kena dengan citarasa aku. Jadi sebab tu aku tak ambil dan bayar.”
“Jadi betulah aku cakap yang kau ni cerewet, tapi kau tak mengaku.” Jasmin mencebik.
“Yalah, aku memang cerewet. Cari bakal suami kut, takkan nak pilih sembarangan.” Anis buka mata, memandang sekilas ke arah Jasmin sebelum kembali memejamkan matanya.
“Cik adik, semua lelaki yang aku kenalkan kat kau tu bukan sembarangan lelaki tau. Semua ada kerjaya tetap, kalau kau kahwin dengan mereka mesti senang hidup kau,” tambah Jasmin lagi, masih tak puas hati kerana semua lelaki yang dibawa bertemu dengan Anis ditolak mentah-mentah oleh si teman.
Sudahnya, dialah yang terpaksa menghadap lelaki itu kerana kecewa dengan Anis.
“Bukan itu yang aku cari. Tapi keserasian. Kalau baru kenal dah tak ada kimia, nanti kahwin jadi racun. Jadinya... sebelum kimia jadi racun yang berbahaya, baik aku blah cepat.” Anis gelak perlahan dengan kata-kata sendiri.
Jasmin menggeleng kepala. Dia sendiri tak tahu lelaki yang macam mana yang dicari oleh Anis. Sekolah setakat diploma saja, tapi permintaan tinggi mengalahkan graduan ada PHD!
“Suka kaulah, Anis. Hidup kau.” Jasmin mengeluh.
"Eh, kau tahu tak..."
"Tak tahu," Jasmin memintas dengan muka acuh tak acuh.
Anis terus bangun dan duduk menghadap Jasmin.
"Hari ni kan, aku rasa macam ada lelaki stalk aku lah."
Jasmin terus ketawa.
"Stalk kau? Siapa? Pengemis tepi jalan ke?"
"Amboi, kau ingat taraf yang akan stalk aku ni pengemis je ke?" Anis mencebik.
"Habis, anak raja?" perli Jasmin.
"Entah. Anak raja ke tidak aku tak tahulah.”
‘Anak ikan perempuan kaya, mungkinlah kot,’ tambah Anis dalam hati.
“Tapi orangnya boleh tahan handsome," sambung Anis lagi.
"Huh, kalau handsome baik kau hati-hati. Entah-entah dia berminat nak jadikan kau anak ayam dia."
"Kann... hish, menakutkan sungguh!"
Banyak sangatlah duit dia nak jadikan aku anak ayam, Min. Diri sendiri pun disponsor. Anis kulum senyum sendiri.
"Dia usyar kau masa dekat mana?" soal Jasmin lagi.
"Masa aku tengah kerja."
"Dia usyar depan butik?" Jasmin seperti tak percaya.
"Aha, tapi tak adalah depan pintu. Dia lepak dekat cafe sebelah butik tu."
"Entah-entah dia nak rompak butik kut?"
Tiba-tiba saja hati Anis berdetak laju. Rompak butik? Err… boleh jadi juga kan? Zaman sekarang ini, kerana duit macam-macam orang boleh buat. Hendaknya lelaki macam itu.
Anis dah mula tak senang hati. Apa lagi alasan yang kukuh yang boleh dia cakapkan selain daripada lelaki itu memerhatikan butik tadi sebab nak merompak? Takkan nak kata lelaki itu berkenan dekat dia pula?
Mustahil! Dia bukannya ada duit pun yang lelaki tu nak jadikan sugar mummy terbaharu. Hisy, aku kena report dekat bos ni!


HARIS melangkah lesu ke ruang tamu. Walau pun hari ni tak banyak kerja yang dia buat, hanya melepak dekat cafe, tapi penatnya mengalahkan berlari 30 kilometer!
                Badan dihempas ke atas sofa. Dia tahu kenapa dia penat. Bukan fizikalnya yang penat. Tapi otak dia sebenarnya yang penat. Penat memikirkan kenapa bayangan gadis itu asyik muncul menganggu gugat ketenteraman hatinya..
"Anis..." bisik Haris perlahan, sambil menutup kedua belah matanya. Terbayang wajah manis yang putih bersih itu di depan matanya.
Senyuman si gadis…
Mata bening milik si gadis..
Bibir merah merekah yang buat tidur malamnya tak lena…
Arghh! Angaukah dia? Kenapa dia asyik terkenangkan gadis itu. Pertemuan pertama mereka terlalu singkat tapi kenapa dia tiba-tiba jadi seperti ini? Seolah terkena ubat guna-guna tapi mustahillah sebab mereka tak bersentuhan pun.
Hebat sungguh penangan seorang Anis Sophea. Wanita-wanita yang selalu mendampinginya pun tak pernah tinggalkan kesan sebegini pada dirinya.
Terkena panahan asmara cinta pandang pertamakah dia?
"Anak mama dah balik rupanya."
Haris buka mata. Terlihat mamanya duduk di sofa sebelah.
"Teruk ke demam Haris?" tanya Puan Zaitun.
"Eh, mana ada demam." Haris bingkas bangun.
"Tak demam?" Kening puan Zaitun terangkat.
"Tadi Dato' Bakar call mama, katanya Haris demam so, meeting kena tangguh."
Haris terkedu. Alamak! Ini yang payah kalau klien dia kenalan mama, semua nak report pada mamanya.
"Oh, tadi saja. Lepas pergi klinik, makan ubat lepas tu tidur sekejap. Sekarang dah okeylah."
"Tidur dekat mana?" Puan Zaitun kehairanan. Siang tadi memang dia tak nampak pun si anak bujangnya itu balik ke rumah.
"Dekat pejabat. Emm... sofa pejabat." Haris berdalih.
"Kenapa tak balik rumah je? Kalau rehat dekat rumah lagi selesa. Mell pun ada datang tadi, kalau kamu balik mesti Mell boleh tolong picitkan kepala kamu."
"Eh!” Haris tegakkan badan.
“Dia bukan isteri Ha pun sampai nak picit-picit bagai. Baik mama yang picit, lebih afdal." Haris senyum, cuba menyembuyikan rasa kurang senang apabila nama Mell disebut mamanya.
"Kalau bukan isteri boleh je jadikan isteri," Puan Zaitun menjeling, mengharapkan Haris memberi reaksi positif. Namun, sekali lagi dia hampa apabila melihat wajah acuh tak acuh Haris.
"Mama masak apa hari ni? Ha laparlah. Dari siang tadi tak makan apa-apa. Semua makanan yang masuk rasa nak terkeluar balik." Sengaja dia kukuhkan lagi drama demamnya.
"Bagus, mama... eh silap, Mell ada masakan bubur tadi. Lepas dia tahu Ha demam, dia terus ajak mama ke pasar. Katanya nak belikan ketam nak buat sup ketam. Maklumlah, sekarang ni ramai pula yang terkena demam denggi." Cerita Puan Zaitun dengan wajah teruja.
Haris telan liur. Tangan mengaru kepala.
"Kak Biah, buatkan air lemon panas dan bawa sekali bubur ketam yang Mell buat tadi." Puan Zaitun memberi arahan pada pembantu rumah, sengaja menekan ayat hujungya sambil mata menjeling pada si anak.
Tak sampai 15 minit, Kak Biah muncul membawa makanan dan minuman yang dipesan.
Puan Zaitun menyambut dulang makanan dengan wajah teruja, mengharapkan si anak juga turut teruja dengan masakan bakal menantu pilihannya.
"Sedap tak?" tanya Puan Zaitun sebaik saja sudu memasuki mulut Haris.
"Emmm," Haris angguk perlahan. Memang sedap namun memikirkan si tukang masaknya, tak lalu Haris nak mengaku terang-terang.
"Mell memang pandai masak. Kalau ikutkan dia tadi, macam-macam dia nak masak untuk Ha tau. Katanya, kalau masak bubur je tak cukup. Takut orang demam tak berselera, jadi kalau masak banyak, banyak sikit pilihan Ha.” Puan Zaitun cuba melobi bakal menantu.
“Mama kagum sungguh dengan Mell tu. Masa dekat pasar tadi, dia pilih bahan nak masak macam chef tersohor. Dia boleh kenal mana satu ketam segar, mana satu ketam manis, banyak isi. Sayur-sayur pun dia boleh tahu yang mana satu berkualiti dan yang mana satu tak. Beruntung siapa dapat jadikan dia isteri." Sekali lagi Puan Zaitun menjeling pada Haris yang membeku.
Haris berhenti menyuap. Tiba-tiba bubur yang manis berlemak terasa payau. Mama dah mula berkempen bakal menantu pilihan. Masa untuk dia lari!
"Okeylah ma, Ha nak masuk bilik. Badan rasa penat sangat ni."
Belum sempat Puan Zaitun bersuara, Haris bingkas bangun dan melangkah ke tingkat atas.
Puan Zaitun pula hanya mampu mendengus geram. Gagal lagi!




2 comments: