Sunday, 17 January 2016

Bab 9 : BILA PAPA JATUH CINTA - CIK D


BAB 9
TIGA petang. Selesai semua tugasan dan Dinie mahu segera pulang ke rumah. Bila perut sudah berkeriuk dan dia jadi tak selesa berdiri. Tambah bila Cikgu Rosnah tak sudah bertanya dia teringin mahu makan apa hari ni, dan dia kembali terkenang-kenang nasi kenduri yang sempat dijamah sedikit malam majlis akikah Kesya tempohari.
“Kalaulah dapat…” Belum habis dia menggumam, mata diajak untuk kalih memandang bungkusan yang diam terletak di bahagian hadapan but Myvinya. Di dalam bungkusan plastik yang terdapat sebungkus nasi yang dibungkus dengan kertas minyak dan kuah dalca pada pandangan Dinie.
Setelah dibelek-belek, ada sekeping nota yang ditinggalkan untuknya. Mata tertoleh-toleh, sebelum dia memandang langit.
“Takkan nasi turun dari langit kut?” gumamnya dengan mata tercari. Manalah tahu gerangan yang memberinya nasi masih berada di sekeliling.
‘Makan. Jangan risau nasi ni selamat dimakan.’
-Yang benar lagi betul, Mr. Secret Admirer?
Dinie gigit hujung bibir sebaik bacaannya tamat. Terasa sedang diperhatikan dan tidak selamat kalau dia terus sendirian di ruang tempat meletak kereta.
Kalau sebelum ni bunga depan tandas guru lelaki, coklat, ditambah dengan sebalang cengkerang dan hari ni? Nasi? Apa tandanya tu?
Dalam tertanya-tanya,  Dinie capai juga bungkusan tersebut dan masuk ke kereta.
Pulang ke rumah, Dini masih berkira-kira mahu makan atau tidak makanan tersebut. Otak berfikir tapi tangan bergerak. Sebaik bungkusan tersebut dibuka, aromanya dihidu. Bau kuah dhal yang menusuk hidung itu dinikmatinya puas-puas. Dia tahu dari mana datangnya makanan kegemarannya itu. Dan dia cukup kenal dengan cara bungkusan nasi itu.
“Ini tentu beli dekat Benteng. Briyani kambing pulak tu. Hai, takkan nak buang. Dah sampai rumah kut nasi ni. Rezeki tu.”
Dihidu lagi aroma lazat nasi yang masih hangat dengan perut yang sudah berdendang sayang. Belum habis dia menimbang, sama ada mahu makan atau dibuang pemberian dari lelaki misteri itu.
Memulakan suapan dengan mata terpejam. Bersyukur kerana dapat menjamah makanan yang sememangnya dirindui.
Belum lama dia mengunyah, bunyi telefon bimbit jelas menerpa ke telinga. Dan dari alunan lagu yang terset, dia sudah tahu gerangan yang menghubunginya ketika itu.
“Mama!” panggilnya dengan mulut masih mengunyah. Mengunyah penuh selera nasi pemberian Dhani!
“Assalamualaikum…” Puan Zanariah memerli. Meleret-leret suaranya memberi salam.
“Waalaikumsalam mama.” Cetus gelak Dinie. Tahu mamanya angin bila suaranya menerpa tanpa memberi salam.
“Buat apa tu? Dengan mulut penuh macam tu.” Puan Zanariah di hujung talian sudah geleng kepala, diperhati tetamunya yang setia menantinya di sisi.
“Makan mama, nasi biryani gam, Batu Pahat!” Terujanya bercerita. Walhal mulanya tadi takut untuk dijamah pemberian enak itu.
“Hai? Bukan main jauh datang nasi tu, siapa bagi?”
“Kawan ma.” balas Dinie, walaupun dia sendiri masih belum tahu siapa ‘kawan’ yang dimaksudkannya itu.
“Ma lupa Dinie nak jemput mama makan. Mama dah makan? Mama sihat?” Senyum dia di hujung talian, walaupun tak nampak wajah yang berada di hujung talian itu.
“Sihat, makanlah mama baru lepas. Ni, mama nak tanya sikit. Hujung minggu ni Dinie balik tak? Ada cuti dua minggu kan minggu depan?”
“Mana mama tahu Dinie ada cuti ni?”
“Tahulah, tetamu mama yang beritahu. Dinie, mama nak Dinie balik sebab mama ada hal nak bincang.”
“Tetamu? Siapa?” Jemari yang berlumur saki kurma yang dimakan dijilat satu persatu.
Sedap!
“Balik dulu kalau nak tahu. Mama tahu kamu tu bukan main liat kalau nak suruh balik kampung. Dan yang penting, kamu pasti suka dengan ‘tetamu’ yang dah tak sabar nak jumpa kamu ni,” tambah Puan Zanariah dengan senyum.
Disambut dengan senyum seseorang yang manis di sisinya.
“Balik tau. Tetamu istimewa ni,” tokok Puan Zanariah lagi, menambah rasa ingin tahu di hati si anak.
“Mama…janganlah dera Dinie macam ni. Esok baru khamis tau, nak kena tunggu dua hari lagi baru dapat tahu. Mana boleh tahan.”
“Jangan nak merayu-rayu sangat. Mama ada kerja ni. Tetamu Dinie pun nak berehat. Jauh perjalanan dia tadi, mama letak fon dulu ya,” potong Puan Zanarian cepat-cepat. Tak mahu mendengar Dinie terus dengan pujuk rayunya.
“Mama!” panggil Dinie bila Puan Zanariah sudah tiada di talian.
“Mama pun, suka buat kita tertanya-tanya tau.” Dia sambung menyudahkan suapan. Dalam hati sudah terdetik dengan pelbagai persoalan.

Pelik. Kenapa semua orang nak muncul selepas empat tahun. Atau ini waktunya dia harus menelan kenyataan. Bukan berharap sesuatu yang belum pasti sepanjang empat tahun ini? Dia bersesi soal jawab seorang diri. Mata teralih ke arah tv, tapi mulut penuh dengan nasi briyani pemberian lelaki misteri yang masih belum mahu memunculkan diri.


No comments:

Post a Comment