Saturday, 14 June 2014

Bab 4: TEMU DUGA CINTA -Ridhya Iman


 Langkah kakiku besarkan untuk menyaingi Uzair yang sudah jauh ke depan. Menonong je berjalan tak tengok kiri kanan. Mentang-mentanglah dia punya kaki yang panjang. Sekali dia melangkah sama dengan dua kali langkahku. Mengah aku nak mengejar langkahnya.
Kain baju kurung aku yang sedikit sempit membataskan pergerakan. Maklum sajalah kain tak cukup meter yang aku beli ketika jualan penghabisan stok di Nagoya. Gaya aku berjalan dah rupa macam pelumba jalan kaki yang terkedek-kedek melangkah sambil menggelekkan punggung ala-ala itik sekati.
Uzair membawa aku masuk ke Jabatan Logistik. Sempat mataku melilau memerhatikan sekeliling ruang pejabat itu. Boleh tahan luas jabatan itu.
Tiba-tiba mataku menangkap satu kelibat yang sedang melambaikan tangan dari dalam bilik yang dipisahkan dengan dinding kaca. Encik Ikram sedang tersenyum manis dan sempat dia mengangkat ibu jari kanannya padaku. Berjumpa lagi aku dengannya di sini. Macam kuat je jodoh kami. Ahaks. Aku gelak gatal dalam hati.
Aku membalas senyuman manisnya yang umpama gula itu. Hai..gula pun tak semanis itu. Kalau hari-hari pandang boleh kena kencing manis aku nanti.
Terteleng-teleng kepalaku memandang encik Ikram sehingga tak sedar aku telah melanggar tubuh Uzair yang berada di hadapan. Aku hilang kawalan dan akhirnya…gedebuk!
Aku terjelepok di atas lantai yang dilapis karpet hitam. Mujur ketebalan karpet itu dapat menyerap bunyi punggungku yang jatuh terhentak macam nangka buruk.
“Aduh.” Aku mengetap bibir menahan pedih di tulang salbi. Mak ooi..keras sungguh tubuh lelaki ini. Spesies urat dawai tulang besi agaknya. Sempat mataku melilau kiri kanan. Nasib baik tak ada orang yang perasan. Kalau tak, malu tujuh keturunan!
“Yang awak langgar saya tu kenapa?"
Aku panggung kepala. Uzair sudah bercekak pinggang di depanku.
“Err..sorry,” balasku tersengih macam kerang busuk.
“Itulah jadinya kalau mata tu gatal duk tenung anak teruna orang,” sinis Uzair tajam.
"Oh..encik Ikram tu single lagi ke?” Opss! Aku menutup mulut. Macam mana pula boleh terkeluar soalan yang sepatutnya aku tanya dalam hatiku je ni?
Uzair menjelingku tajam. Pertanyaanku dibiarkan tanpa jawapan.
Aku cepat-cepat menundukkan wajah. Pura-pura sibuk mengutip beg plastik dan fail yang bertaburan di atas lantai. Mujurlah tidak terburai keluar segala isi dalam beg plastik itu.
Bukannya bermaksud aku berminat pada encik Ikram bila aku tanya soalan begitu walaupun memang tak dapat dinafikan ketampanan lelaki itu mampu membuat aku menoleh dua tiga kali. Dah lumrah manusia memang sentiasa terpegun dengan kecantikan dan keindahan. Jadi, apa salahnya aku mengagumi keindahan ciptaan Ilahi.
"Cepat sikit boleh tak?" gesa Uzair sambil memandang jam di tangan. Dia mempamerkan wajah bosan. Tercegat macam patung melihat aku terbongkok-bongkok mengutip barang. Bukannya nak tolong pun.
Aku bingkas bangkit. "Ouchh.."
"Apa lagi ni?"
"Tulang pinggul saya terkehel agaknya. Saya rasa peranakan saya dah jatuhlah." Aku mengetap bibir menahan rasa sakit yang mula mencucuk-cucuk di bahagian pinggul.
“Hah? Biar betul awak ni. Ada kaitan ke?” soal Uzair pelik.
“Perempuan kalau jatuh terhentak punggung ni bahaya. Rahim boleh jatuh tau,” terangku sambil menahan rasa sakit. Makin lama makin kuat pula denyutan sehingga ke bahagian pinggang. Hampir aku terjelepok sekali lagi ke lantai kalau Uzair tidak memegang lenganku.
"Macam-macamlah awak ni. Teori manalah yang awak ambil tu," keluhnya sambil menggelengkan kepala.
“Betul. Mak saya yang beritahu. Mak saya tu tukang urut profesional merangkap bidan kampung,” Beria-ia aku mempertahan. Sekali-sekala mulutku berdecitmenahan sakit. Nampaknya balik kampung nanti kenalah aku minta tolong mak mengurut untuk betulkan balik peranakan ini.
“Boleh jalan tak ni?” Tangannya masih kejap di lenganku. Mujur berlapik. Kalau tak, percuma je aku dapat dosa kering.
 “Kejap..kejap,” pintaku mengangkat sebelah tangan.
“Rasanya boleh jalan tapi sebelum tu boleh tak awak tolong pegang ni?” Aku hulurkan beg plastik dan fail yang berada di tangan kepadanya. Urat di pinggangku terasa menegang.
Mungkin kerana simpati dengan keadaan aku yang berada dalam kesakitan, tanpa banyak soal dia mengambil beg plastik dan fail dari tanganku.
Aku menarik nafas dalam. Kedua belah tanganku letakkan di pinggang. Aku tolak tubuhku ke belakang, ke depan, ke kiri dan ke kanan untuk merenggangkan urat yang bersimpul. Terasa lega sedikit bila dapat mengendurkan urat di bahagian pinggang.
"Kalau rasa tak boleh jalan, kita duduk kat sana sekejap," ajak Uzair sambil menunjukkan jarinya ke arah sofa yang disediakan di ruang menunggu.
“Boleh juga.” Terhincut-hincut aku melangkah ke arah sofa.
Nikmat sungguh bila dapat melabuhkan punggung di sofa empuk. Kalaulah sofa ini boleh berfungsi macam kerusi urut Ogawa tu mesti lagi syok.
Uzair turut melabuhkan duduk di sebelahku.
“Kalau rasa tak okey, kita ke klinik,” cadang Uzair mengambil berat. Alahai…lelaki ini. Dalam sinis, dia masih punya hati yang cukup baik.
“Err..okey. Saya okey je ni. Lagipun kalau ke klinik nanti temu duga tu macam mana pula.” Aku menolak. Jam di pergelangan tanganku kerling sekilas. Sudah pukul 2.45 petang.
“Alamak!!!” Aku separuh menjerit.
“Kenapa? Sakit sangat ke?” soal Uzair terpinga-pinga.
“Temu duga tu.. awak kata tadi pukul 2.30 kan?
Sekarang dah pukul 2.45. Macam mana ni?” ujarku risau.
Inilah satu-satunya peluang yang aku ada untuk mendapatkan pekerjaan. Takkan aku nak sia-siakan peluang untuk hadir temu duga terbuka ini. Selama ini aku nak dapat peluang dipanggil temu duga pun payah. Permohonan asyik ditolak je memanjang.
“Nak temu duga macam mana dengan keadaan awak macam ni?”
“Boleh. Saya boleh tahan lagi,” tekanku. Cepat-cepat aku bangkit biarpun rasa sakit masih bersisa.
“Biar betul awak ni? Tadi sakit bukan main lagi. Gaya macam dah patah riuk je saya tengok. Awak ni sakit betul ke berlakon je?” sindir Uzair.
Aku menjelingnya geram. Mulut dia ni kadang-kadang sangat menyakitkan hati.
“Memanglah saya sakit betul-betul. Bukannya awak tak nampak macam mana saya jatuh tadi kan? Lagipun buat apa saya nak pura-pura depan awak? Bukannya dapat apa pun.” Aku mencebik.
“Manalah tahu kot-kot awak nak tarik perhatian saya. Entah-entah awak sengaja nak ambil kesempatan nak merasa tangan sasa saya ni papah awak,” duga Uzair.
Wajahku dah membahang merah. Malu dan geram dengan tuduhan lelaki ini.
“Huh! Tak ada maknanya. Awak ingat saya hadap sangat ke? Kalau tak kerana pinggang saya yang tergeliat ni, dah lama saya karate awak. Suka-suka hati je pegang lengan saya tadi. Mujur berlapik. Entah-entah awak tu sebenarnya yang nak ambil kesempatan,” hambur aku memulangkan paku buah keras.
Dia ingat aku ini bermurah hati sangat nak sewenang-wenangnya benarkan lelaki bukan muhrim menyentuh aku. Telah aku khaskan diri ini hanya untuk ditatap dan disentuh oleh lelaki yang bakal menjadi imam aku nanti.
“Saya tolong awak pun dah kira mujur. Bukannya nak berterima kasih. Kalau saya tak pegang awak tadi, mahunya awak terjelepok macam nangka buruk lagi sekali. Paling tak saya dah berjaya halang rahim awak tu dari jatuh lagi sekali. Entah-entah kalau terjatuh lagi mahunya terkeluar terus usus perut awak nanti,” perli Uzair sinis. Bibirnya herot menyembunyikan senyum.
Aku tahu dia sedang bahankan aku tentang teori peranakan jatuh tu. Sungguh aku tak bohong fasal teori tu! Itu ilmu yang mak aku belajar dan warisi dari zaman nenek moyangnya lagi. Kadang-kadang ilmu orang lama ni lagi hebat dari teori moden orang-orang baru.
Hanya jelingan tajam yang mampu aku hadiahkan pada lelaki di depanku ini. Malas aku nak berbahas dengan orang yang terlebih pandai ni. Buat sakitkan hati je. 
“Terima kasih banyaklah atas semua pertolongan awak,” gumamku menahan perasaan.
“Bak saya punya fail dan benda tu,” pintaku sambil menghulurkan tangan.
Setelah fail dan beg plastik berpindah tangan, aku terus mengorak langkah biarpun perlahan. Tak kuasa aku nak berlama di situ menghadap muka lelaki ini.
Mataku melilau mencari arah tempat temu duga. Tak ada pula kaunter pertanyaan untuk aku rujuk dan bertanya arah.
“Awak nak ke mana tu?” tegur Uzair.
“Cari tempat temu duga tulah,” jawabku dengan wajah masam. Biarlah aku cari arah sendiri daripada bertanya pada Uzair. Silap-silap telinga ini makin merah menahan sindiran pedas lelaki ini.
“Mari saya tunjuk,” pelawa Uzair.
“Tak apalah. Saya rasa saya boleh cari sendiri. Saya tak nak ganggu kerja awak lagi. Terima kasih.” Aku menolak.
Menolak kerana aku ingin buktikan yang aku juga punya harga diri. Sudahnya aku membawa langkah mengikut gerak hati. Meninggalkan Uzair yang terkebil-kebil memandang aku.
Aku melangkah masuk ke dalam ruang pejabat yang menempatkan beberapa buah kubikel. Semua pekerja aku lihat begitu sibuk melakukan kerja di meja masing-masing. Khusyuk menunduk dengan wajah yang serius. Mereka ni robot ke manusia?
“Minta maaf, kak,” sapaku menghampiri seorang wanita yang sedang tekun menghadap komputer.
Wanita itu memalingkan wajah memandangku sekilas sebelum kembali menyambung kerjanya. Aku perhatikan laju tangannya menekan butang papan kekunci.
“Saya datang nak temu duga…”
Sorry, I bukan kaunter pertanyaan,” balas wanita itu angkuh. Satu das jelingan tajam dihadiahkan padaku.
Aku mengetap bibir. Berlagak tak ingat!
“Excuse me. We’re very busy right now. Tengah closing,” sambung wanita itu lalu bangkit untuk menyambut panggilan telefon yang berdering nyaring di belakangnya. Meninggalkan aku terkial-kial di situ.
Aku melangkah pula ke arah seorang lelaki yang berada selang dua meja daripada wanita berlagak itu tadi. Namun, belum sempat aku bersuara untuk bertanya, lelaki itu terlebih dahulu bangun dan tergesa-gesa melangkah ke ruang fotostat.
Sebuah keluhan terlepas di mulut. Aku pandang ruang pejabat yang cukup luas itu. Mana satu arah yang harus aku tuju? Melihat detik jam yang semakin laju bergerak ke depan membuatkan hatiku semakin gusar. Bimbang peluang yang datang terlepas begitu saja. Akhirnya kerana terdesak aku melangkah tanpa tujuan.
“Awak salah jalan tu.”
Teguran Uzair menghentikan langkahku yang hendak membelok ke lorong di sebelah kanan ruang pejabat itu. Aku memusingkan tubuh ke belakang. Mati-mati aku ingatkan dia dah beredar dari situ tadi.
“Lain kali kalau tak tahu jalan, jangan sombong berlagak macam tahu. Orang tua selalu kata, sombong bertanya sesat jalan,” perli Uzair.
Aku diam tidak membalas. Tahan sajalah telinga dengan sinis lelaki ini. Bukan aku yang sombong nak bertanya tetapi tak ada seorang pun dalam pejabat ini yang sudi nak melayan aku. Masing-masing sibuk mengalahkan menteri.
“Mari saya bawak awak jumpa the in charged person.” Uzair bergerak ke depan mendahuluiku dan melangkah ke lorong di sebelah kiri.
“Cepatlah. Nak attend temu duga tu ke tak nak?” gesa Uzair bila aku masih tidak berganjak.
Aku mengetap bibir. Bengang sungguh aku dengan perangai Uzair. Biarpun baru mengenali lelaki ini tapi entah kenapa aku rasa macam nak cili-cili saja mulut dia. Dalam banyak-banyak spesies manusia di dunia ni, spesies sarkastik inilah yang paling aku alergi sekali.

Kalau ikutkan rasa sakit di hati, aku blah saja dari sini. Tapi mengenangkan peluang kerja yang ditawarkan, aku gagahkan juga kaki ini mengikut langkahnya. Siapa tahu mungkin rezekiku ada di sini.

No comments:

Post a Comment