Sunday, 15 June 2014

Bab 9 : KALAU SAYANG KATALAH SAYANG - Fazuin Azman



BARU aku sound dia malam tadi, pagi ni sudah muncul bersama Abang Fuad selaku pengarah urusan syarikat. Ternyata usahaku tidak mampu untuk mengubah sebarang keputusan.
            “Selamat pagi semua. Saya perkenalkan bos baru kamu semua bagi mengantikan Encik Saiful yang sudah bersara. Kita tak buat sebarang sambutan atas permintaan bos kita ni…”
            Aku rasa nak gelak pun ada. Tahu Abang Fuad sedang perli Abang Joey. Abang Joey bukan ke bos selama ni. Semua orang kena ikut cakap dia.
            “Jadi tak adalah acara makan-makan…” Kali ni Abang Fuad perli kami pula sebab memang bahagian kewangan kuat makan belaka. Pantang ada jamuan, muka kami saja yang penuhkan meja.
            “Saya harap semua dapat berikan kerjasama kepada bos kita ni…” kata Abang Fuad sebelum tinggalkan bahagian kewangan.
            Abang Joey pandang kami sorang demi sorang. Macam tak pernah tengok orang pun ada. Terakhir dia pandang aku. “Siapa incharge akaun dengan Syarikat Permata?” Abang Joey tanya serupa samseng mabuk saja.
            “Lia.” Cepat aku jawab.
            “Err, saya…” Tak ingat ni pejabat. Ingat kat rumah saja.
            “Bawa dokumen tu ke dalam bilik saya.”
            “Sekarang?”Aku tanya.
            “Nak hantar subuh esok ke?”
            Ini yang aku malas dan inilah punca kenapa aku tak nak Abang Joey kerja di syarikat. Belum apa-apa dia sudah mula mabuk kuasa.
            Abang Joey masuk bilik dia.
            “Huh, tak mesra alam langsung. Langsung tak nak tanya nama kita. Sombong!” Manja seperti merungut.
            “Itulah bos yang kau nak sangat tu…”Aku perli Manja sambil bangun. Bawa sama dokumen yang big bos tu mahu. Sebelum masuk aku ketuk terlebih dahulu pintu bilik dan tolak selepas itu.
            “Dokumen yang encik nak tu…”Aku letak atas meja.
            “Sakit ke?”Abang Joey tanya dan jeling aku tajam.
            “Tak sakit apa pun…” Aku jawab. Apa muka aku macam orang nak mati ke sampai tanya macam tu sekali.
            “Yalah, tiba-tiba panggil encik.”
            “Tak kan nak panggil abang pulak.”
            “Apa salahnya panggil abang. Dah biasa panggil kenapa nak tukar.”
            “Inilah sebabnya Lia tak benarkan abang join syarikat. Nanti satu bangunan ni tahu kita ada hubungan.”
            “Nak takut apa pulak sebab kita memang ada hubungan dan hubungan tu bakal bertukar tidak lama lagi.”
            “Abang, Lia serius ni. Kalau keadaan macam ni, Lia letak jawatan. Sekarang Lia ada sebab kenapa nak tinggalkan syarikat. Kalau dulu, Lia ikutkan saja cakap Tuan Arshad sebab dia banyak bantu Lia. Lia akan gunakan alasan tak nak satu ofis dengan abang untuk letak jawatan.”
            “Lia ugut abang?”
            “Tak, Lia buat lawak!”
            Abang Joey senyum senget. “Balas dendamlah ni…”
            “Eh, mana ada…”   
            “Lia, duduk dulu. Kita berbincang.”
            “Tak nak. Lia tak nak berbincang apa-apa dengan abang. Lia nak jaga kepentingan Lia sama.”Aku bertegas.
            “Lia, janganlah buat keadaan tambah sukar.”
            “Keadaan tak sukar kalau abang tak balik semula.” Aku sudah marah. Tak sedar dia yang membuatkan keadaan bertambah sukar.
            “Jadi Lia memang betul-betul tak nak abang balik? Lia memang suka abang tak muncul di depan Lia? Begitu?”
            Aku sudah menjangkakan jawapanku bakal menaikkan kemarahan Abang Joey, tapi apa pilihan yang aku ada? Mana boleh aku menipu. Dalam keadaan begini, berterus terang adalah pilihan paling tepat.
            “Lia memang tak suka abang balik?” soal Abang Joey dengan keras.
            Aku tidak mahu menunggu lebih lama lagi. Karang aku akan bertekak lagi dengan dia. Baik aku keluar saja dari situ.
            “Lia, abang belum habis lagi!”Abang Joey separuh menjerit.
            Aku langsung tak peduli. Terus tinggalkan dia. Nak marah? Marahlah. Ada aku kisah? Aku sabar aje ni. Ikutkan hati aku tulis surat perletakkan jawatan hari ni jugak. Peduli apa aku.
            Aku tarik nafas perlahan masa duduk. Sabar banyak-banyak Malia. Bukan tak kenal Abang Joey macam mana jenisnya.
            “Dia marah kau ke?” soal Nisha.
            “Emm… Dengar ke?” soalku.
            “Dengar dia menjerit saja tapi tak tahu apa yang dia jeritkan,” balas Nisha. Nasib baik.
            “Hah, lepas ni korang tunggulah giliran korang pulak.”
            Diam semuanya. Seorang pun tak jawab. Tahu pulak takut.

MASA aku siap-siap nak balik, mak ngah telefon. Mak ngah minta aku bermalam di sana. Mulanya memang tak nak balik ke kediaman Tuan Arshad, tapi kesian pula dengan mak ngah. Jadi terpaksalah aku balik sana.
            Masa aku sampai, Abang Joey sudah tunggu aku berhampiran tempat letak kereta. Muka dia masam. Tak puas hati ke? Kalau tak puas hati cakaplah depan-depan. Aku tak takut punya. Tapi aku buat tak nampak. Terus jalan sebaik sahaja keluar dari kereta.
            Aku tahu Abang Joey ikut aku bila aku tak layan dia. Terpaksalah aku pusing dan pandang dia. “Abang nak apa?” soalku.
            Abang Joey pandang aku. Muka dia yang masam campur satu lagi, kelat. Memang kelat. “Boleh tak Lia jangan layan abang macam ni?”
            “Layan macam mana?”Aku tanya balik.
            “Boleh tak jangan dingin sangat terhadap abang? Tiga tahun kita tak jumpa, tapi kenapa Lia masih tak rindukan abang? Tahu tak abang terlalu rindukan Lia?”
            Aku hela nafas panjang. Susah sebenarnya hendak bercakap dengan orang yang tidak faham bahasa ni. Lagi aku berterus terang, lagi tak faham rupanya.
“Abang mana boleh paksa Lia rindukan abang kalau memang betul Lia tak rindukan abang. Dan Lia pun tak pernah paksa untuk abang rindukan Lia. Tu perasaan masing-masing. Mana boleh orang lain masuk campur. Terpulanglah kepada abang nak rindukan Lia atau tidak.” Aku jawab bersama perasaan yang cukup bengang.
“Benci sangat ke Lia pada abang?”
Soalan Abang Joey mematikan terus perasaan meluatku. Benci sangat ke aku pada Abang Joey. Kalau aku benci, apa sebabnya aku bencikan dia? Dendam apa yang membuatkan aku bencikan Abang Joey?
“Tak, Lia tak bencikan abang. Kenapa pula Lia nak bencikan abang.”
“Habis tu…?”
“Cuma Lia tak nak abang kacau Lia selalu. Boleh tak beri Lia sedikit ruang untuk Lia memiliki kebebasan Lia sendiri? Biarkan Lia dengan cara Lia dan abang dengan cara abang. Mungkin kita boleh jadi kawan…”
Abang Joey diam. Tiba-tiba rasa kasihan pula melihat Abang Joey begitu. Sebenarnya aku tahu Abang Joey tu tak ada kawan. Dia sibuk jaga aku, sehinggakan dia langsung tiada masa untuk orang lain.
“Lia tahu perasaan abang terhadap Lia. Lia tak ubah seperti adik abang saja sebab itu abang rasa terbeban dengan satu tanggungjawab yang abang sendiri kurang pasti. Mulai sekarang Lia mahu abang bebaskan diri dari semua tu. Demi kebahagiaan abang jugak.”
“Abang tak pernah anggap Lia sebagai adik abang. Tak pernah sama sekali!”
“Tak payah nak nafikannya. Lia tahu.”
“Suka hatilah!”
Malas nak lawan cakap lagi. Tetap kalah juga.
Ketika suasana sepi berlangsung, kami dikejutkan dengan kemunculan Porsche warna kuning. Rasanya penyelamat sudah datang. Bagus.
“Hmm, tu kekasih abang dah muncul.” Aku senyum melihat Kak Husna yang muncul dengan seluar pendek warna biru dan baju bertali halus warna kuning.
“Siapa?”Abang Joey rapatkan mukanya ke mukaku.
“Kekasih abang.” Aku cakap dan aku gelak. Tahu sangat Abang Joey tak berkenan langsung dengan perempuan gedik ni. Kalau Abang Joey tak berkenan, aku lagilah meluat. Tapi ini saja caranya aku nak sakitkan hati Abang Joey.
“Cakap lagi sekali abang cium Lia kat sini juga.” Makin rapat wajah Abang Joey. Mata aku dah bulat. Tak pernah lagi Abang Joey buat macam ni.
“Kekasih abang.” Tanpa rasa takut aku cakap lagi. Terus Abang Joey paut pinggangku dah bawa ke badannya. Memang tak sangka Abang Joey akan buat macam tu.
“Hey, apa yang korang buat ni?” Kak Husna menjerit.
Abang Joey masih tidak peduli. Makin erat dia paut pinggangku. Aku berusaha tolak badan Abang Joey yang tegap tapi tak berjaya.
“Abang, karang dia perlecehkan pulak orang pakai tudung. Lagi sakit hati.” Aku bisik perlahan dan masa itulah Abang Joey lepaskan tangannya. Masing-masing sudah tahu mulut Kak Husna itu bagaimana.
“Joey, apa ni…?” soal Kak Husna. Mata Kak Husna terbeliak melihat kami.
“Apa?”Abang Joey tanya balik.
“Apa yang awak buat dengan budak ni?” soal Kak Husna lagi. Budak? Kak Husna ingat aku masih budak-budak ke? Oh, aku lupa. Dia sebaya dengan Abang Joey. Maka memang layaklah dia panggil aku budak-budak. Tak kisah semua tu.
“Tak ada apa-apa. Aku hanya bergurau dengan kekasih aku. Salah ke? Tak salah bukan? Yang kau ni serupa orang Afrika nak pergi tangkap katak apa kes? Tak malu ke pakai macam ni…?”
“Kekasih?” Kak Husna tanya dengan kuat. Sebenarnya aku pun nak tanya dengan soalan yang sama tapi, Kak Husna dah tanya dulu, jadi aku sudah bersedia untuk mendengar jawapan daripada mulut Abang Joey sendiri.
“Yup. Kekasih aku. Ada apa-apa masalah?” Selamba saja Abang Joey bercakap.
“Jangan nak merepeklah Joey. Karang tak pasal-pasal pitam pulak mama awak. Tak kan budak pungut ni awak nak buat kekasih.” Dan selamba juga Kak Husna menghina. Terasa? Gila kalau aku tak terasa. Memang hati aku sudah luluh mendengar kata-kata Kak Husna. Budak pungut? Jadi, selama ini aku digelar budak pungut?
“Sebelum aku tampar mulut kau, baik kau tutup. Tak kiralah dia budak pungut ke, dia apa ke, status dia sekarang ni adalah kekasih aku. Kau kena tahu tu…”
Aku tarik lengan Abang Joey bila suara Abang Joey sudah tinggi. Setakat suara naik tak apa lagi, buatnya tangan Abang Joey naik sama memang haru. Aku kenal Abang Joey. Tangan dia cepat naik. Dulu depan aku dia belasah budak lelaki kelas aku sebab belanja aku minum ABC. Lepas kejadian tu dia betul-betul kawal aku. Berlagak tak ubah macam abang aku saja.
“Eh perempuan, kau masuk sekarang. Jangan nak menyibuk urusan orang. Sedar sikit siapa diri tu.” Kak Husna tunjuk muka marah. Tiba-tiba saja dia boleh keluarkan kata-kata begitu. Sebelum ni memang tak pernah.
“Kau berambus dari sini sekarang jugak!”Abang Joey menjerit. Aku nampak nafas Abang Joey turun naik. Nampak benar dia marah.
“Abang, dahlah…” Aku tarik juga lengan Abang Joey.
“Berambus dari sini!” marah Abang Joey lagi. Terus Kak Husna melangkah semula menuju keretanya dan kereta mewah warna kuning itu terus bergerak tinggalkan halaman rumah.
“Ini yang buat Lia tak suka dengan abang. Kenapa susah nak kawal perasaan marah? Lia ingatkan tiga tahun abang bawa diri, abang pelajari sesutua. Setidak-tidaknya kawallah sikit panas baran abang tu. Ini tidak. Tak ada perbezaan antara Abang Joey tiga tahun dulu dengan Abang Joey sekarang.” Giliran aku pula berleter.
“Tapi dia menghina Lia. Abang tak boleh terima penghinaan dia.”
“Kak Husna tak pernah keluarkan kata-kata macam tu sebelum ni. Mungkin dia cemburu tengok kita tadi. Abang jugak yang salah sebab sudah naikkan kemarahan dia. Abang ni memang suka sangatlah cari pasal. Tak boleh ke abang layan Kak Husna dengan baik?” Aku cakap dengan perlahan dengan harapan kemarahan Abang Joey akan berkurangan.
“Apa hak dia nak marah abang? Satu lagi, kenapa pulak abang nak kena layan dengan baik perempuan macam tu. Jangan harap!”Abang Joey masih begitu. Marah.
“Dia sayang abang, mestilah dia rasa cemburu bila nampak abang layan Lia dengan baik. Abang kena faham sama perasaan Kak Husna. Mana boleh marah macam tu. Abang ni memang tak romantis langsunglah!”
“Tak ada maknanya nak cemburu. Dia jugak yang buat perangai dulu.”
“Hmm, rupanya abang masih sayangkan  Kak Husna.”Aku gelak perlahan. Tahulah aku kini. Masih ada rasa dendam yang tidak terungkai dan dendam itu terbawa-bawa sehingga kini.
“Eh, tolong sikit. Abang tak pernah sayangkan dia okey.”
“Abang tak perlu jelaskan apa-apa. Sikap abang sudah membuktikan memang masih ada sayang terhadap Kak Husna.” Aku gelak lagi.
“Lia jangan cuba nak sakitkan hati abang. Abang tahu Lia cuma nak sakitkan hati abang. Bukannya abang tak kenal siapa Lia. Kalau tak kenakan abang memang tak sah!”
“Apa pulak. Lia cakap benda yang betul.”
“Memang dasar!”Abang Joey tolak kepalaku.
“Kepala jangan main okey!”Aku tolak balik kepala Abang Joey.
“Kepala budak degil.”
“Degil pun kepala Lia, bukan kepala abang.”
“Menjawab?”
“Ada mulut jawablah. Tak kan nak diam.”
“Abang cium karang!”
“Ciumlah kalau berani.”Aku lari dulu-dulu.
“Budak ini…”

Aku terus lari masuk rumah. Selamat. 


No comments:

Post a Comment