MASA
aku sampai, rumah teres satu tingkat dan terletak di lot tengah-tengah itu
masih kosong. Dua lagi rakan yang menyewa sama masih belum pulang. Sebenarnya
rumah ini milik keluarga Manja. Keluarga Manja sudah berpindah ke Ipoh, jadi
Manja ajak beberapa rakan lain tinggal bersamanya.
Sementara
mak ngah masih bekerja di kediaman Tuan Arshad, aku tak naklah tinggalkan mak
ngah sorang-sorang. Kesian dia. Kalau boleh nak temankan dia selalu. Nanti
kalau mak ngah dah balik kampung, memang susah sikit nak jenguk. Sebab itu
sesekali saja balik sini.
Tapi
yang sebenarnya aku rasa tak selesa sebab Abang Joey sudah pulang. Entahlah,
rasa lain macam aje. Kalau dulu mungkin budak-budak lagi, jadi aku tak hairan
sangat tapi sekarang ni cara Abang Joey pandang aku memang lain macam.
“Kau
pernah tengok anak Tuan Arshad tu?” soal Manja sebaik sahaja dia duduk
bersebelahan denganku. Tak habis-habis lagi rupanya. Dari ofis dibawa pulak ke
rumah. Bengang betul. Hari ini semua bercakap tentang perkara yang sama.
“Manalah
aku pernah tengok…” bohongku.
“Orang
kata segak. Kalah Encik Fuad.”
“Ya…?”
Buat-buat terkejut. Sebenarnya memang ya pun. Abang Joey memang segak orangnya.
Orangnya tinggi lampai, berkulit agak cerah berbanding Abang Fuad. Tapi kalau
nak ikutkan perangai, Abang Fuad lebih baik daripada Abang Joey. Mungkin Abang
Fuad hanya fokus kepada kerja sahaja dan jarang ada masa untuk perkara lain.
Aku tengok dia dengan Kak Mona pun main hai hai bye bye aje. Tak macam pasangan
lain. Kalau aku jadi Kak Mona dah lama aku lari.
“Tak
sabarlah nak tengok dia.”
“Hmm…”
Belum kenal bolehlah cakap macam-macam. Cuba kenal nanti, tahulah langit tu
tinggi ke rendah. Dah lah mulut jenis cakap lepas saja.
“Apsal?
Ingat boleh mengorat ke?”
“Mana
tau…”
Aku
senyum sinis. Nak mengorat Abang Joey konon. Silap hari bulanlah. Bukan Abang Joey
jenisnya. Faham sangat perangai Abang Joey.
“Kau
cubalah. Mana tahu dapat mengorat anak orang kaya. Senanglah hidup kau.” Aku
perli Manja. Lepas tu aku masuk bilik sebab nak mandi. Kejap lagi solat maghrib.
Lepas tu masak maggi. Solat isyak dan tidur.
Aku
baru nak didihkan air, telefon berbunyi galak. Nombor yang tidak dikenali.
Lantaklah. Malas nak jawab. Akhirnya telefon diam sendiri, tapi lepas tu
berbunyi lagi. Terpaksalah jawab.
“Siapa
ni?” soalku.
“Abang…”
Masa
suara orang dalam talian tu jawab abang, aku sudah bayangkan muka siapa.
Mustahil sangatlah kalau Zakuan nak bahasakan dirinya abang. Buang tebiatlah
tu.
“Apa
abang nak?” Aku tanya lagi. Masa tu aku dapat agak, mesti mak ngah beri nombor
aku kepada Abang Joey.
“Abang
depan rumah sewa Lia. Keluar sekarang.”
Memang
aku terkejut. Terus tutup api dapur. Mesti mak ngah juga yang bagi alamat rumah
sewa.
“Tak
naklah!”Aku bantah.
“Kalau
tak keluar dalam masa lima minit, abang jerit kat depan ni. Abang tak kira!”
“Abang
gila ke apa ni?”
“Abang
tak kira. Abang beri masa lima minit sahaja. Kalau Lia nak tahu tahap gila
abang macam mana, Lia buatlah perangai!”
“Abang
ni…”
“Dah,
jangan nak merengek. Masa berjalan.”
“Yalah,
abang tunggu aje. Tak payah nak kira masa. Nanti Lia keluar.” Geram betul aku
dengan Abang Joey. Seperti tidak mahu kalah. Kalau A kata dia, mana boleh aku
kata E. Kenapalah aku boleh terlibat dengan manusia tanpa perasaan ini.
Aku
bawa telefon bimbit ke dalam bilik tidur. Manja sedang tergolek atas katil.
“Manja, aku nak keluar kejap. Ada kawan aku
nak jumpa.”
“Okey…”
balas Manja. Sarung tudung dan sarung kardigan. Terus aku keluar dari bilik dan
menuju pintu utama.
Apa
lagi Abang Joey nak? Nak cari pasal dengan aku pulak ke? Tak puas lagi bertekak
sampai di sini pun cari aku.
Abang
Joey berdiri tegak tepi kereta dia sambil perhatikan aku. Geram aje dengan dia
ni. Kalau boleh belasah, sudah lama aku belasah.
“Masuk
dalam kereta. Kita bincang tempat lain.”Aku keluarkan arahan. Karang kalau
Manja nampak, kecoh pulak satu tempat kerja. Tak menang nak reka cerita karut
pulak nanti. Aku jugak yang susah.
Aku
masuk ke dalam kereta terlebih dahulu ketika Abang Joey terhegeh-hegeh nak
masuk ke dalam kereta.
“Kenapa
cari Lia sampai sini. Tahu kan kawan satu ofis Lia ada dalam tu. Kalau dia
nampak abang macam mana?” Dulu-dulu aku marah.
“Bukan
kawan Lia kenal abang pun…” balas Abang Joey sambil mula memandu.
“Memang
tak kenal. Tapi abang bakal join syarikat bukan? Lepas tu abang yang akan jadi
bos kita orang nanti. Kalau dia tahu, maknanya Lia dah beritahu satu syarikat.
Macam-macam cerita nanti akan keluar. Yang sakit hati nanti hati siapa?”
“Apa
masalahnya kalau dia tahu? Lia malu sebab mak ngah Lia tukang masak kat rumah
abang? Lia rasa pekerjaan mak ngah Lia tu hina sehinggakan nak rahsiakan
semuanya dari kawan-kawan Lia? Lia malu?”
Geramnya…
“Lia
tak rasa malu, okey. Bahkan Lia berbangga sebab dengan pekerjaan mak ngah Lia
tu, tapi Lia tak nak orang lain tahu yang kita kenal antara satu sama lain. Lia
dah pesan pada Tuan dan Abang Fuad perkara yang sama. Lia tak nak orang tuduh
Lia ambil kesempatan!” Sengaja aku kuatkan perkataan kesempatan itu agar Abang
Joey faham.
Abang
Joey diam. Tak jawab apa-apa. Tak tahulah dia takut dengar suara aku yang sudah
kuat atau memang dia benar-benar tiada jawapan sekarang ini.
“Lia
harap abang tak join syarikat.” Aku suarakan pendapatku walaupun kedengaran
sangat tidak logik.
“Kenapa
pulak?”Abang Joey pusing badan dan pandang aku sekilas.
“Bosan
tengok muka abang. Sudahlah kat rumah kena tengok muka abang, kat tempat kerja
pun nak tengok muka abang. Tension nanti.”
“Selepas
ni tak kiralah, Lia tension atau apa, Lia kena hadap muka abang dua puluh empat
jam. Siang dan malam tanpa sebarang bantahan, okey!”
“Tolonglah…”
“Tak
ada tolong-tolong. Wajib.”
“Apa-apa
ajelah. Tapi kalau boleh abang janganlah kerja kat sana.”
Abang
Joey kembali diam. Tenang saja memandu.
“Temankan
abang makan.” Abang Joey bersuara setelah agak lama tidak bersuara.
“Tak
nak! Hantar Lia balik.”
“Abang
tahu, Lia pun belum makan lagi bukan.”
“Itu
bukan masalahnya…” Aku tarik muka masam.
“Janganlah
degil. Kalau ya pun tak nak kawan abang, tak kan tak nak makan dengan abang.”
“Jangan
nak jadi budak-budak sangatlah!”
“Budak-budak
apa pulak. Ikut aje cakap abang. Habis cerita.”
Disebabkan
aku malas nak cakap banyak, aku ikutkan aje. Karang lagi macam-macam. Satu
malam pulak dengar dia ceramah.
Abang
Joey singgah restoren barat. Dah agak. Selera dia memang belah sana. Mujur anak
tekak memang sudah terbiasa dengan masakan seumpama itu. Dan aku memang
penggemar steak.
Kami
sambung balik perbualan sebaik sahaja duduk.
“Lia
tak nak tanya ke kenapa abang larikan diri?” Suara Abang Joey mendatar. Mata
tak lepas pandang aku.
“Tak
faedah kut nak tahu…”Aku jawab selamba dan air muka Abang Joey berubah. Keterlaluan
benarkah jawapanku? Rasanya tidak sebab aku jawab dengan jujur. Serius, memang
tak ada faedahnya nak tahu kenapa dia lari.
Terus
Abang Joey diam. Itu tandanya dia sedang berjauh hati.
“Sebenarnya
abang tak cakap pun Lia tahu kenapa abang larikan diri. Sebab Kak Husna kan?”
Mahu sedapkan hati Abang Joey semula. Itulah kami, gaduh-gaduh bagai nak rak, kutuk-kutuk
tak ingat dunia, lepas tu baik semula. Tak sampai mana, gaduh balik.
“Kenapa
dengan dia?”
“Kak
Husna tolak abang.”
Abang
Joey senyum senget. “Dia tolak abang?”
Sebenarnya
aku tahu jawapan tu salah. Jawapan yang betul ialah Abang Joey tak berkenan
dengan sepupu Kak Mona tu. Itu yang betul. Saja cakap macam tu.
“Yalah,
itu yang semua orang cakap sebab Kak Husna yang minta putus. Abang malu dan
larikan diri. Abang nak Lia tolong abang pikat Kak Husna semula?”
Masa
itulah Abang Joey tolak dahiku perlahan. “Kurang ajar!” kata Abang Joey selepas
itu.
Lega
sikit perasaan bila tengok Abang Joey sudah menunjukkan respon begitu. Mak ngah
selalu pesan, walau tak suka, jangan sesekali menunjukkan sikap benci.
Takut-takut nanti yang dibenci itulah digilai habis. Itu yang paling aku
takutkkan. Buatnya aku tergila-gilakan Abang Joey satu hari nanti macma mana?
Minta dijauhkan!
“Bukan
sebab dia…”
“Sebelum
tu Lia nak jawapan jujur daripada abang.” Masa itulah pelayan hantar pesanan
kami. Kata-kataku terhenti seketika untuk memberi laluan kepada pelayan
hidangkan pesanan kami.
“Sambung
balik,” arah Abang Joey ketika pelayan berlalu pergi.
“Abang
gay?” soalku terus.
“Kenapa
tanya dengan soalan tu?” Tenang saja Abang Joey menjawab soalanku walau
jawapannya masih dalam bentuk soalan.
“Sorry,
Lia kepochi sikit hari tu. Lia dengar Kak Husna beritahu Kak Mona pasal tu. Dua
hari sebelum dia putuskan pertunangan dia…” Kali ni Abang Joey tak jawab terus.
Dia minum air kosong terlebih dahulu namun matanya merenungku.
“Sebab
itu Lia cuba elakkan diri daripada abang?”
“Tak
ada kena mengena dengan Lia. Terpulanglah kalau abang nak buat apa pun.
Setidak-tidaknya kalau abang gay Lia akan selamat. Tentu abang tak berselera
dengan Lia.” Aku pandang juga wajah Abang Joey.
“Sebenarnya,
sekarang ni ini pun abang sangat berselera dengan Lia!”
“Cis!”
Abang
Joey gelak perlahan. Kemudian dia ambil pinggan steak di hadapanku. Ah! Abang
Joey masih seperti dulu rupanya. Dia sendiri akan potong steak menjadi kepingan
lebih kecil sebelum benarkan aku makan.
Dalam
aku hendak bencikan dia, dia buat satu peratus sayangkan dia.
“Abang
masih tak jawab soalan Lia. Abang gay?”
Abang
Joey senyum pula. Ligat tangannya main peranan. “Kalau abang gay, abang tak
akan rindukan Lia!”
Terpempan
sekejap. Ap maknanya tu?
“Kalau
abang gay, abang tak akan ingat Lia.”Abang Joey angkat muka. Serius wajahnya
kali ini.
“Ingatkan
Lia siang dan malam,” katanya lagi.
Tenang
Malia, Abang Joey hanya cakap dia rindukan aku dan teringatkan aku siang serta
malam. Abang Joey tak beritahu yang dia sayangkan aku.
“Kalau
abang bukan gay, kenapa Kak Husna cakap macam tu…”
“Itulah
perempuan paling bangang dalam dunia ni. Perempuan macam tu nak jadi isteri
abang? Jangan harap. Kalau dia perempuan terakhir dalam dunia ni sekalipun,
abang tak akan pilih dia.”
“Lia
biasa dengar ayat tu. Tu ayat orang bajet bagus. Orang yang angkuh dan tak nak
mengaku perasaan sendiri.” Aku hentam Abang Joey. Memang aku rasa Kak Husna tu tak berapa
cerdik. Samalah dengan sepupu dia, Kak Mona. Tapi kedua-dua mereka memang
cantik.
“Tak
apa bajet bagus, asal tak terlibat dengan perempuan macam tu.” Abang Joey tetap
dengan ego dia.
“Tapi
Kak Husna cantik.”
“Malia
Amani seribu kali lebih cantik.”
Eh,
Malia Amani tu bukan ke aku?
“Merepek
abang ni…”
“Tak
betul abang tak cakap.”Abang Joey letak semula pinggang steak di hadapanku.
Sudah siap untuk dijamah.
“Betullah
tu sebab itu Zakuan sukakan Lia.” Aku senyum. Kalau aku tak cantik, tak pasal
Zakuan sukakan aku.
“Apa?
Abang tak dengar.”
“Tak
penting pun… Emm, berbalik soal Kak Husna…”
“Jangan
sebut pasal dia boleh tak? Karang tak pasal abang paksa makan pinggan tu
sekali!”
“Kak
Husna masih tunggu abang.” Aku tetap tak peduli. Masih mahu sakitkan hati Abang
Joey.
“Biarlah
dia tunggu abang. Abang tak suruh.”
Aku
mula jamah steak. Dan telefon bimbit berbunyi. “Eh, baru sekali sebut nama dah
muncul.” Tersenyum aku jadinya bila melihat nama Zakuan.
“Tengah
makan ni, tak kan nak jawab telefon!”Abang Joey di depan membebel. Nasiblah,
bukan aku guna telefon bimbit dia.
“Assalamualaikum…”
Aku beri salam. Aku pandang Abang Joey yang kasar potong steak. Marah nampak.
“Waalaikumusalam.
Kat mana?”
“Tengah
makan ni.”
“Okey,
orang call nanti. Awak makanlah.”
“Okey…”
Suara
Zakuan hilang dan aku sambung makan. Mujur dia tak tanya aku makan dengan
siapa. Tapi memang jarang pun Zakuan tanya soalan macam tu. Sebab dia tahu aku
gadis baik. Paling-paling pun aku berkepit dengan dia saja.
Suasana
sepi seketika. Abang Joey masih begitu. Menampakkan rasa kurang senangnya. Ah!
Biar dialah. Tiba-tiba buat perangai. Hujan ribut pun ada bagi amaran terlebih
dahulu, tapi dia ni sesuka hati nak marah. Tak senang betul.
“Sejak
bila rapat dengan Zakuan?” Berlalu beberapa ketika, Abang Joey kembali
bersuara. Namun soalannya itu seperti tidak sedap untuk didengar.
“Memang
sudah rapat dari dulu lagi. Cumanya, kebelakangan ini lebih rapat.”
“Rapat macam mana tu?”
“Ura-ura untuk ke fasa lebih
serius.”
“Maksudnya?”
“Nikah!” Habis cerita.
Abang
Joey tak tanya apa-apa lagi. Faham mungkin dengan jawapanku. Senang sikit kalau
faham. Tapi agak pelik, sebab cara dia makan tidak sentimental lagi. Laju
semacam. Cepat saja habis hidangannya sedang aku masih terkial-kial.
“Abang
tak nak Lia tinggal di rumah bujang. Abang nak Lia balik semula tinggal dengan
mak ngah.”
“Eh,
mana boleh. Lagi sebulan saja mak ngah nak kerja. Lepas tu mak ngah nak balik
kampung. Tak kan Lia nak tinggal kat situ sorang-sorang.”
“Abang
sudah berbincang dengan mama. Kami setuju nak sambung kerja mak ngah. Jadi, tak
ada sebab Lia nak pindah.”
“Eh,
suka hati Lialah.”
“Boleh
tak Lia jangan degil. Kalau abang cakap tinggal kat sini, tinggallah. Jangan nak
banyak cakap pulak.”
“Abang
tak ada hak tau nak halang Lia. Lagipun tak kan selamanya Lia nak bergantung
hidup dengan keluarga abang. Lia kena berdikari sama. Lia tak nak terhutang
budi terlalu banyak dengan keluarga abang.” Marah juga dengan arahan Abang
Joey.
“Terhutang
budi apa pulak. Lia jangan nak cari macam-macam alasan.”
“Lia
bukan nak cari sebarang alasan. Lia cuma cakap perkara yang betul. Sampai bila
Lia nak bergantung hidup dengan keluarga abang. Satu masa Lia kena juga keluar
dari sini dan mulakan hidup Lia yang baru.” Aku berharap benar agar Abang Joey
akan faham tapi melihatkan reaksi wajahnya, aku tahu Abang Joey tak akan faham
sampai bila-bila.
“Abang
tak faham dan kalau boleh abang tak nak faham pun!”
Kan
dah cakap.
“Suka
hati abanglah!”
“Tapi
abang tetap dengan keputusan abang. Abang tak benarkan Lia pindah. Kalau tidak
abang akan dedahkan siapa Lia kepada seluruh kaki tangan syarikat.”
“Abang
ugut Lia?” Aku tanya dengan perasaan geram.
“Tak,
abang buat lawak.”
Geramnya…
No comments:
Post a Comment