BAB 1
19 September 2012
Amanda Qistina memandang setiap wajah yang ada di situ. Wajah kedua-dua
belah keluarga kelihatan tersenyum gembira. Lagi-lagi dia sudah ada ikatan
pertunangan bersama dengan Zayn, enam bulan yang lalu. Dan kini kedatangan
keluarga Zayn ke rumahnya untuk berbincang
tentang perkahwinan mereka.
“Err... Saya...” Teragak-agak Amanda mahu mencelah perbincangan kedua-dua
belah keluarga itu namun dia benar-benar tidak mahu berkahwin dalam masa yang
terdekat ini. Tidak! Zayn perlu berubah. Dia tidak mahu menjadi mangsa dera
Zayn jika lelaki itu terus-terusan bersikap sebegitu.
Wajah Amanda tunduk sebaik saja sepasang mata Zayn tajam memandang ke
arahnya. Dia perlu kuat. Sampai bila dia harus tunduk dengan kemahuan lelaki
itu?
“Kenapa Manda?” tanya Puan Azrina, umi Zayn dengan lembut.
“Boleh tak kalau...”
“Manda...” seru Zayn yang menyebabkan bicara Amanda terhenti seketika.
“Kamu ni kenapa, Manda?” tanya Encik Ariffin, papa Amanda. Dia berasa pelik
melihat Amanda yang teragak-agak hendak berbicara itu. Pada masa yang sama, dia
tidak mahu Amanda membuat keputusan yang bukan-bukan.
“Kalau boleh, biarlah pernikahan berlangsung setelah tempoh kontrak Manda
tamat dengan MAS.”
“Manda...” seru Encik Ariffin keras. Kurang bersetuju dengan cadangan
anaknya itu.
“Papa... Manda cadangkan perkara ni sebab Manda nak berhenti kerja setelah
Manda tamat kontrak dan fokus pada keluarga. Tolonglah faham. Bukan niat Manda
nak menangguhkan majlis pernikahan kami.”
Hakikatnya, memang itulah niat Amanda! Dia mahu menangguhkan pernikahannya
dengan Zayn. Kalau boleh, dia mahu memutuskan tali pertunangannya dengan kadar
segera. Dia sudah tidak tahan dengan layanan Zayn terhadapnya. Memang dia akui,
dia tersilap langkah bila bersetuju untuk menjadi tunangan Zayn tetapi semua
itu untuk membuktikan kepada Zayn bahawa dia wanita yang setia. Bukan seperti
apa yang Zayn selalu fikirkan. Terus-terang dia katakan, dia memang menyesal
menerima Zayn dalam hidupnya. Menyesal!
Amanda melirik sekilas pada Zayn. Rahang lelaki itu bergerak dengan laju.
Mata dipejamkan seketika. Dia tahu apa yang bakal dia terima sebentar lagi.
“Err... Berapa lama lagi kontrak Manda dengan MAS?” tanya Puan Azrina ingin
tahu. Permintaan Amanda itu membuatkan dia dan suami menoleh satu sama yang
lain. Tetapi bila mengetahui sebab-sebabnya, hatinya terasa sejuk bila Amanda
mahu menumpukan perhatian sepenuhnya pada keluarga.
“Setahun empat bulan saja lagi, umi.”
“Zayn tak kisah, kan? Sebagai seorang wanita, umi faham keinginan Manda tu.
Bila berumah tangga ni, kita nak menumpukan perhatian pada keluarga. Dan umi
berterima kasih kerana Manda sanggup membuat keputusan untuk berhenti kerja.”
Pandangan Puan Azrina beralih pada Zayn dan suaminya. Si suami mengangguk
setuju. Tetapi si anak cuma diam membisu.
“Zayn?” seru Puan Azrina lagi.
“Hah? Hmmm... Zayn okey aje, umi. Tak ada masalah.”
Amanda tersenyum kelat mendengar jawapan Zayn itu. Lelaki itu penuh dengan
kepura-puraan. Di hadapan ibu bapa mereka, Zayn ibarat seorang anak yang baik.
Amat bertimbang rasa tetapi hakikatnya, hanya dia saja yang tahu.
“Saya harap permintaan Amanda ni tak menyinggung perasaan Zayn sekeluarga.
Tak kisahlah kalau kita dah lama mengenali satu sama yang lain cuma kalau tak
bersetuju, bagitahu saja. Perkara ni boleh diatur,” ucap Encik Ariffin
akhirnya.
Dia tidak mahu keputusan yang Amanda lakukan itu akan mengguris hati bakal
besannya. Hubungan baik dengan keluarga Zayn amat penting sekali. Mereka bukan
saja sahabat lama tetapi syarikat mereka juga bergabung tenaga untuk projek
terbaru yang diusulkan oleh syarikat Zayn.
“Hish... Tak adalah, Riffin. Perkara ni boleh dibawa berbincang. Yang
penting persetujuan kedua-dua bakal pengantin. Zayn pun dah bersetuju. Kesian,
Amanda. Dia sanggup melepaskan pekerjaan yang dia minati demi Zayn,” balas ayah
Zayn.
Amanda menarik nafas lega. Lega kerana kata sepakat sudah dibuat. Apa akan
jadi selepas ini, dia hanya mampu bertawakal. Inilah nasibnya kerana jatuh
cinta pada lelaki yang disangka pelindungnya sehingga ke akhir hayat namun
semua itu hanya di hadapan keluarga dan kawan-kawan sahaja.
Zayn, lelaki itu terlalu obses terhadap dirinya. Terlalu mengawal segala
gerak langkahnya. Terlalu cemburu dan sentiasa curiga dengan tindak-tanduk yang
dia lakukan. Dulu, dia menganggap semua itu sekadar perkara yang biasa-biasa
saja. Mungkin kerana Zayn terlalu risaukan dia lalu Zayn bertindak sebegitu.
Tetapi semenjak dia bergelar pramugari, sikap Zayn berubah seratus-peratus.
“Uncle... Saya nak ajak Manda keluar sekejap. And don’t worry, saya akan hantar Manda sebelum Maghrib nanti,”
pinta Zayn dengan wajah yang tersenyum. Cuba menceriakan wajahnya agar
keluarganya mahupun keluarga Amanda tidak menghidu rasa amarah yang membelenggu
dirinya ketika itu.
Dada Amanda berdebar. Jari-jemarinya terasa berpeluh. Dia yakin, dia akan
disakiti untuk sekian kalinya lagi.
“Manda... Pergilah. Kenapa tercegat lagi kat sini?”
Amanda mengeluh dalam diam bila Encik Ariffin mengarahkannya sebegitu.
Adakalanya, dia tidak mengerti dengan sikap Encik Ariffin. Papanya itu terlalu
mempercayai Zayn. Jika disukat kasih sayang papanya terhadap dirinya dan juga
Zayn, sudah pasti Zayn di tangga yang teratas.
Amanda hanya mengekori Zayn dari belakang. Masuk ke dalam perut kereta
tanpa berkata apa-apa. Begitu juga dengan Zayn. Lelaki itu senyap tanpa bicara.
Dalam sepuluh minit, kereta berhenti di hadapan taman permainan.
“Apa yang awak dah buat ni?” tanya Zayn dengan nada yang keras.
Amanda memegang erat jari-jemarinya. Terasa gerun hendak mengangkat
wajahnya.
“Jawablah!” tempik Zayn.
“Saya... Saya cuma memberikan cadangan.”
“Cadangan? Itu bukan cadangan tapi permintaan!”
Bahu Amanda terangkat bila sekali lagi Zayn bersuara dengan nyaring. Dia
cuba tahankan hati dari mengalirkan airmata. Dia sudah lelah. Lelah untuk
menitiskan airmata hanya kerana disakiti oleh Zayn.
“Awak nak lari dari saya, kan?” Zayn menarik sebelah tangan Amanda dengan
kasar. Sebelah tangannya lagi mengangkat wajah Amanda agar wanita itu
memandangnya.
Amanda diam. Dia ingin sekali mengiyakan tetapi...
“Answer my question, Amanda!”
“Tolonglah... Jangan buat saya macam ni, Zayn. Saya dah letih. Letih dengan
permainan awak. Kalau awak kata ini cinta... Ini bukan cinta, Zayn. Tapi
penderaan. Saya cuba yang terbaik untuk memuaskan hati awak, tapi awak tak
pernah nak menghargai saya malah awak pukul saya setiap kali saya bercakap
dengan rakan setugas saya sendiri. Hanya disebabkan mereka lelaki, tak bermakna
saya curang pada awak,” luah Amanda. Kali ini bagaikan ada satu kekuatan untuk
dia melawan kata-kata Zayn.
“Saya tak akan lepaskan awak. Kalau awak berniat nak lari dari saya... Awak
akan tahu nasib awak, Manda. Jangan ingat saya main-main.”
Setiap kali perbalahan berlaku di antara mereka, ugutan itu juga yang
seringkali keluar dari bibir Zayn.
“Nak mengadu kat parents awak? Go ahead. They won’t believe you. Uncle
Riffin dan Ammar... Mereka lebih percayakan saya berbanding awak.”
“Sebab awak dah gula-gulakan mereka dengan lagak baik awak tu!” bidas
Amanda. Sakit hati bila mendengar Zayn berkata angkuh sebegitu. Memang dia
akui, papa dan abangnya lebih mempercayai Zayn daripada dirinya.
Zayn ketawa sinis. “Sebab saya tahu... Awak nak lari daripada saya. Memang
berbaloi rasanya memberikan banyak projek pada papa awak. Dia dah anggap saya
sebagai penyelamat syarikat dia.”
“Apa awak nak dari saya, Zayn? Terus-terang ajelah... Awak bukan cintakan
saya, kan?”
“Awak tak ada hak mempertikaikan cinta saya pada awak, Manda. Inilah cara
saya untuk menjaga cinta saya dari dikhianati.”
Gila! Zayn sudah gila! Bentak hati Amanda.
“Saya nak awak tarik balik apa yang awak katakan tadi pada keluarga kita,”
arah Zayn.
Amanda tersenyum sinis. “Kalau awak nak, awak sendiri yang cakap pada
mereka. Jangan hanya nak tunjuk baik depan mereka, Zayn.”
Zayn mencengkam kuat rambut Amanda. Dia rasa tercabar dengan kata-kata yang
wanita itu lemparkan padanya. “Jaga mulut kau, Amanda. Jangan sampai tangan aku
naik ke pipi kau pula.”
Amanda mengerang kesakitan. Kepalanya terasa sakit yang teramat sangat bila
rambutnya dicengkam kuat sebegitu. “Lepaskan saya, Zayn. Sakitlah!”
“Kalau dalam masa terdekat ni, kau tak tarik balik apa yang kau dah putuskan.
Lebih daripada ni, kau akan dapat.” Ugut Zayn sekali lagi.
Airmata yang ditahan tadi, kini mengalir dengan deras. Amanda ingin sekali melepaskan
diri dari kurungan Zayn tetapi semua itu tidak mudah seperti yang disangkakan.
Dia pernah menyatakan pada papanya yang dia tidak bahagia bersama dengan Zayn
namun apa yang dia dapat adalah sebaliknya. Papanya tidak mengizinkan untuk dia
memutuskan hubungan dengan lelaki itu. Bagi orang tua itu, hanya Zayn yang
layak menjadi suaminya. Hanya Zayn satu-satunya lelaki yang cukup serba-serbi.
No comments:
Post a Comment