BAB
2
DINI terkocoh-kacah bersiap untuk ke pejabat.
Dia perlu gerak seawal tujuh pagi. Itupun selepas dia menerima pesanan ringkas memaklumkan
ada mesyuarat tergempar pukul lapan nanti.
“Mesyuarat apa pula tengah-tengah bulan
ni? Jangan nak minta report pula.
Rajin pula aku nak buat sebelum waktunya.” Dini membebel sambil bersiap.
Dini hanya mengenakan kain batik cokelat
gelap bersusun tepi dipadankan dengan baju warna kuning air tanpa corak. Shawl bercorak warna senada turut
dikenakan di kepalanya.
Selesai semuanya Dini terus keluar tanpa
bersarapan. Tinggal berseorangan mudah. Bebas. Tak ada yang suruh buat itu buat
ini. Itu pun puas memujuk papa dan mamanya. Rumah yang dia duduk sekarang tak
jauh pun dari rumah keluarganya. Cuma dia ingin berdikari.
Tepat pukul tujuh setengah Dini sudah
sampai di pejabat. Ada setengah jam sebelum mesyuarat bermula. Beg tangan di
campak sahaja di atas mejanya. Dia terus berlalu ke pantri.
“Assalammualaikum, Mak Siti,” tegur Dini
ramah. Dia terus mengambil muk dan membancuh sendiri Cokelat Panas Cadbury 3 in
1.
“Waalaikummussalam. Eh, Cik Dini! Kenapa
tak cakap nak minum? Mak Siti boleh buatkan.” Mak Siti memandang Dini dengan
rasa bersalah.
“Alah… Mak Siti. Air segera. Mengada
sangat nak suruh orang buatkan. Saya masuk dulu, Mak Siti.” Dini tersenyum dan
berjalan keluar menuju ke biliknya.
“Cik Dini!” Grace, pembantu peribadi
Dini menggamit.
“Hmmm…” Dini berhenti sebentar di meja
Grace.
“Morning,
Cik Dini. Cik Dini tahu tak kenapa ada meeting
pagi ni?” soal gadis genit itu.
“Morning.
Entah. Jangan bos besar minta report
sudah. Saya belum buat apa-apa pun.”
“Meeting
ni bukan pasal benda tu semua. Dengar kata nak kenalkan pengurus operasi baru. Handsome, Cik Dini.” Grace dah
tersenyum-senyum.
“Baguslah. Tak adalah Encik Amar tu
kelam kabut sorang-sorang,” balas
Dini acuh tak acuh. Dia terus berlalu masuk ke biliknya.
“Katanya adik Encik Amar, Cik Dini,”
Grace turut masuk ke dalam bilik Dini.
“Itu lagi bagus. Senang kerja
adik-beradik.” Dini bersandar sambil menghirup minumannya.
“Cuba Cik Dini bayangkan. Mesti adik
Encik Amar tu handsome macam Encik
Amar.” Grace tersengih.
“Grace…sudah-sudahlah tu. Tak payah nak
berangan sangat. Sekali adik Encik Amar tu mata juling. Gigi sumbing. Pipi
berjerawat.”
“Euwww… Cik Dini ni. Ke situ pula.
Takkanlah.” Grace dah buat muka geli.
“Jom. Baik kita masuk cepat. Manalah
tahu hari ni angin bos besar tak berapa nak baik.” Dini dah berdiri dengan buku
nota dan pen di tangan.
Mereka berdua berjalan beriringan menuju
ke bilik mesyuarat.
Dini memilih untuk duduk jauh sedikit
dari meja utama memandangkan ini bukan mesyuarat pengurusan. Baru sahaja
melabuhkan punggung, telinganya menangkap perbualan beberapa orang staf
perempuan yang duduk di depannya.
“Handsome
gila pengurus baru tu,” ujar gadis bertudung biru.
“Eee… tak sabarnya nak kerja sama-sama
dengan dia.” Si baju merah pula bersuara.
“Hari-hari cuci matalah kita,” sampuk
gadis berkebaya nyonya.
Pecah ketawa ketiga-tiganya. Gedik.
Dini memandang Grace yang tersengih-sengih
duduk di sebelahnya. Dalam hati mengutuk kata-kata pujian yang dilemparkan
ketiga-tiga gadis ini. Matanya difokuskan ke hadapan bila bos besar sudah
munculkan diri.
Dini hanya menundukkan muka sepanjang
mesyuarat berlangsung. Malas nak ambil tahu kata-kata kosong bos besarnya. Tak
penting mana pun pada dia. Suara-suara sumbang di sekelilingnya yang bagaikan
langau memekak langsung tidak dipedulikan. Grace dah beberapa kali menyiku lengannya.
Dia hanya berdecit.
"Saya kenalkan Pengurus Operasi Armada
yang baru, Encik Ajad Safiy," beritahu Dato’ Salleh, CEO syarikat.
Dini mengangkat mukanya. Nak tahu juga
orangnya bagaimana. Sama ke seperti yang digembar-gemburkan.
Crap! Sukar nak mempercayai apa yang dilihat
di depan mata. Tak mungkin. Bibir dikemam rapat.
Ajad memandang sekeliling. Tersenyum
pada semua pekerja sebelum berhenti tepat pada wajah Dini. Mengamati wajah Dini
sebelum tersungging senyuman senget di bibir.
Double
crap! Dia ingat
akulah. Dini mengetuk kepalanya.
“Kenapa, Cik Dini?” Grace menyoal bila
dilihat Dini mengetuk kepala berkali-kali.
“Migrain,” bohong Dini.
“Jomlah kita keluar dulu. Saya temankan
Cik Dini. Malas pula nak join minum
pagi ni.” Grace bangun.
“No
need, Grace. Awak pergi minum dulu. Sekejap lagi hilanglah migrain saya
ni.” Dini tersenyum.
Grace angguk dan terus keluar menyertai
yang lain.
Kenapalah dalam banyak-banyak orang si
abjad tu boleh jadi adik Encik Amar. Memang tak senanglah hidup aku. Dini
menggumam sendiri.
Tanpa Dini sedari seseorang datang
menghampirinya.
Dini panggung kepala bila terperasan
bayangan orang berdiri di sebelahnya. Rasa macam nak tercekik melihat wajah
orang yang memang dia tak ingin nak berjumpa. Spontan dia terus berdiri.
"Gadis dobi... What a surprise." Ajad masih dengan senyuman sengetnya.
"Tak payah nak surprise sangatlah." Dini mencebik.
"Tak cukup eh gaji kat kedai dobi
sampai sanggup jadi tea lady dekat
sini?" Ajad menari-narikan keningnya.
"Tea lady?" Dini memandang dirinya atas bawah.
Ada rupa tea lady ke dia ni. Tak guna punya mamat sengal.
"Yalah. Takkanlah kau officer kat sini kan." Ajad mencemik.
Dini dah panas hati. Rasa macam nak cili
aje mulut si Ajad a.k.a Abjad ni.
"Ardini, puas saya cari awak. Dah
kenal-kenallah dengan Ajad ya?" tegur Amar.
"Kenal sangat, Encik Amar,"
sahut Dini dengan muka meluat memandang Ajad.
"Oh, baguslah. Ajad, Dini
ni..."
"Encik Ajad nak minum apa tadi?
Kopi kan? Saya pergi buat sekejap." Dini lekas-lekas memotong percakapan
Amar.
Biarlah Si Ajad a.k.a Abjad tu ingat dia
tea lady dekat situ.
"Kurang manis," sempat Ajad
berpesan sebelum Dini beredar.
Dini julingkan mata.
Amar terpinga-pinga. Sejak bila pula
Dini tukar profesion. Mak siti cuti ke? Dia garu kepala.
“Mana bilik aku?” tanya Ajad memandang
Amar yang masih memerhati Dini.
Tiada respon. Ajad menoleh ke sisinya.
“Hoi! Kau jangan lebih-lebih, Amar. Aku report kat Nana nanti,” sergah Ajad bila
kata-katanya tidak disambut Amar.
“Kau ingat aku tak waras.” Amar menjeling.
Dia masih tertanya-tanya apa motif Dini yang
juga kawan baik tunangnya berkata sedemikian. Ada wayar tercabut agaknya dekat
kepala si Dini ni.
Sementara itu di pantri pejabat.
“Mak Siti, pengurus baru tu nak kopi
pekat manis-manis,” beritahu Dini.
“Biar betul, Cik Dini? Pengurus baru tu
tak takut kena kencing manis ke?” Mak Siti terkebil-kebil pandang Dini tapi
tangannya pantas membancuh air kopi seperti yang diminta.
“Saya pun pelik. Orang muda sekarang
memang dah tak hairan nak jaga kesihatan agaknya, Mak Siti.”
“Agaknyalah, Cik Dini.” Mak Siti
menunduk membuka kabinet bawah untuk mengeluarkan dulang.
Dini memasukkan beberapa sudu gula lagi
dan ditambah sesudu garam.
“Mak Siti pergi hantarkan dulu, Cik
Dini,” beritahu Mak Siti selepas meletakkan muk yang berisi air kopi ke atas dulang.
Dini mengangguk dan tersenyum. Apa
agaknya reaksi si abjad tu kan.
“Cik Dini. CEO nak jumpa,” beritahu
Grace yang tiba-tiba terpacul di pintu pantri.
“Okey.” Dini berjalan dengan senyuman
kemenangan terpamer di bibirnya.
MAK
LIMAH menguak perlahan
pintu bilik Amar. Dia melemparkan senyuman pada kedua-dua jejaka di hadapannya.
Mulanya tadi dia pergi ke bilik pengurus baru tu tetapi tiada seorang pun di
sana. Itu yang dia ke sini.
“Jemput minum, encik.” Pelawa Mak Siti
sebaik meletakkan muk di depan Ajad.
“Terima kasih.” Ajad terus mengambil dan
meminumnya.
Tersembur keluar air kopi yang diminum
Ajad sebaik air kopi itu masuk ke dalam mulutnya. Habis basah meja kerja Amar.
“Ke…kenapa, encik?” tanya Mak Siti
takut-takut.
“Kenapa ada rasa garam? Manis pula tu.
Tak pasal-pasal boleh kena kencing manis saya ni.” Muka Ajad dah cemberut.
Amar di depannya dah tersenyum-senyum.
“Cik Dini cakap encik suka yang
manis-manis. Itu yang saya lebihkan gula tapi saya letak gula aje tak ada pula
letak garam.” Muka Mak Siti dah berkerut-kerut. Cuba mengingati bagaimana dia
bancuh air kopi itu tadi.
Terburai terus ketawa Amar mendengar
jawapan Mak Siti. Sah, Dini memang nak kenakan Ajad. Gadis itu memang pantang
kalau orang tak tahu menghormati orang lain. Ada saja agendanya.
“Dia dekat mana sekarang?” tanya Ajad
dengan muka merah padam bila mendengar nama Dini.
“Bilik CEO.”
Ajad terus keluar.
“Mak Siti tolong bersihkan, ya. Jangan
risau. Adik saya tu marah dia sekejap aje,” arah Amar. Dia menuruti jejak Ajad.
Dato’ Salleh mendongak bila pintu
biliknya dikuak kasar dari luar.
“Ajad,” tegur Dato’ Salleh. Keningnya
terangkat tanda bertanya ada apa.
Dini hanya menundukkan mukanya. Tahu
sangat mesti si Ajad a.k.a Abjad nak mengamuk tu. Dia cuba berlagak seperti
tiada apa-apa yang berlaku. Wajah tenang setenang-tenangnya dipamerkan.
Ajad menghampiri meja Dato’ Salleh.
Amar yang sudah berdiri dibelakang adiknya
bergerak masuk dan duduk di sofa tetamu.
“Kau kenapa? Ada masalah apa dengan aku?
Kalau tak reti buat air tak payah nak jadi tea
lady sangat,’ Ajad menghamburkan kemarahannya. Entah kenapa hanya kerana
secawan air kopi darah mudanya mendidih.
“Tea
lady? Siapa?” tanya Dato’ Salleh kebingungan. Dia memandang Ajad dan Dini
silih berganti.
“Perempuan ni.” Ajad menjuihkan bibirnya
kepada Dini.
Dini mengangkat muka dan tersengih
memandang Dato’ Salleh.
Dato’ Salleh tersenyum. Pasti anak
bujangnya ada melakukan sesuatu pada Dini. Dia arif benar dengan kenakalan anak
gadis ini.
“Ardini Syaza. She’s our great accountant, Ajad,” beritahu Dato’ Salleh.
“What?!”
Ajad rasa macam nak terjun bangunan lima belas tingkat itu.
Gadis dobi ni akauntan? Aduhhh… mana nak
letak muka ni. Dahlah dia mengutuk Dini kaw-kaw.
“Amar nak bagitahu, abah. Tapi abah
tahulah Ajad ni macam mana,” ujar Amar sambil tersenyum-senyum.
Dini berpaling pada Ajad. Dia
menghadiahkan senyuman sinis pada jejaka berlagak itu.
Ajad membetulkan tali lehernya. Macam
nak tercekik pun ada.
“Ajad, Ajad.” Dato’ Salleh menggelengkan
kepalanya.
“Tak pasal-pasal,” giat Amar menambah
rasa malu pada adiknya.
“Diamlah kau.” Ajad menjeling.
No comments:
Post a Comment