“ABANG...” panggil
Khalisha separuh merengek.
“Ya, sayang abang,” sahut Haikal lembut lalu memandang si
isteri sekilas.
Senyum dia melihat Khalisha sudah bercekak pinggang di
seberang katil di sebelah sana. Ligat tangannya melipat baju yang diambil dari
dalam almari pakaian mereka.
Khalisha menghela nafas berat melihat Haikal terus
mengemas pakaian yang mahu dibawa untuk ke Gunung Nuang esok sehingga hari
Isnin. Kebetulan Isnin cuti umum.
“Abang...” rengeknya lagi.
Haikal tidak memandang si isteri sebaliknya terus
mengemas pakaiannya dengan senyuman lebar.
Bengang Khalisha apabila tiada respons dari si suami.
“Tak boleh ke abang tangguh? Nanti apa kata mak abang? Ini adik abang yang nak
kahwin tau!”
Khalisha terus memujuk Haikal agar menangguhkan
rancangannya. Bukan tiada hari lain. Minggu hadapan Haikal masih boleh pergi
bersama dengan teman-temannya. Alasan apa yang patut diberikan kepada kedua
mertua dan adik beradik Haikal kelak. Eii... pasti akan ada sesi soal siasat.
Dia takut hendak berbohong dengan mereka.
Haikal memandang buah hatinya dengan senyuman. “Abang dah
janji dengan member-member abang,
sayang.”
“Janji?”
Rasa berasap perutnya mendengar perkataan janji Haikal.
Penting sangat ke janji dengan teman-temannya dari janji dengan adiknya
sendiri? hati Khalisha sudah berperang sendiri. Hendak diluah terasa kata-kata
itu akan menyinggung perasaan Haikal dan pasti dia akan berdosa terhadap
suaminya. Hendak tak hendak terpaksa ditelan sendiri.
Haikal menghampiri si isteri lalu memeluk pinggang
Khalisha seperti yang selalu dilakukan apabila memujuk isteri kesayangannya.
Dia tahu itulah kelemahan Khalisha.
Hmm... Ini yang paling dibencinya. Dia mudah kalah dengan
reaksi Haikal. Diakui yang lelaki itu pandai mematah rajuknya. Sukar untuk dia meluahkan
rasa marahnya terhadap lelaki yang paling dicintai. Ya, lelaki pertama dalam
hidupnya. Raja yang merajai hati dan sanubari sejak mengahwini lelaki itu dua
setengah tahun yang lalu.
“Tapi ini majlis kahwin adik abang. Apa Lisa nak cakap
kalau mak dan ayah abang tanya?” soal Khalisha terus menatap mata bening
Haikal. Ya, apa yang hendak diberitahu kepada kedua orang mertuanya. Matilah
dia...
“Cakaplah... abang dah lama plan trip ni.”
Tangan Haikal mengusap lembut rambut Khalisha sebagai
memujuk si isteri. Ini yang buat dia lemah dengan usapan si suami. Nafas
ditarik dalam-dalam sebagai menenangkan hatinya yang kacau bilau.
“Majlis kahwin Haidar ni pun dah setahun mereka rancang,
bang. Tak kesian ke dengan adik abang tu?” Khalisha terus merayu.
Sedaya upaya Khalisha cuba memujuk Haikal agar
membatalkan rancangannya. Memang dia tidak pernah menghalang Haikal menyertai
memanjat gunung yang menjadi hobi lelaki itu dari bujang lagi dan di situ juga
dia bertemu dengan lelaki itu yang akhirnya menjadi suaminya. Kini usia
perkahwinan mereka sudah menjangkau keusia 2 setengah tahun. Namun masih belum
dikurniakan cahaya mata.
“Lisa ada untuk wakil abang.”
Khalisha menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Alah... sayang. Bolehlah, ya. Boleh...”rengek Haikal
pula bernada manja.
Bibirnya mula menjelajah ke tengkuk Khalisha apabila
tiada suara dari si isteri. Namun pantas Khalisha menarik mukanya agar mereka
bertatapan kembali. Dia tidak mahu terus terpedaya dengan pujukan itu walaupun
dia amat menyenanginya.
“Mana boleh macam tu! Abang tu, abang Haidar tau. Abang
sulung.” Lemas dia hendak memujuk lelaki itu yang sudah kemaruk dengan hobinya.
“Mana Lisa lebih sayang? Abang atau Haidar?”
“Apa hal ke situ pulak?” keras suara Khalisha sebaik
mendengar soalan Haikal yang tidak masuk akal. “Tentu Lisa sayangkan abang.” Ya
Allah, kenapalah Haikal macam ni? Terasa berasap perutnya yang semakin sebu.
Haikal tersengih. Tangannya sudah memaut tangan si isteri
sebagai memberi isyarat.
“Tentu Lisa sayang abang. Abang kan suami Lisa. Atau
abang dah ada perempuan lain?” tebak Khalisha sambil merenung tajam ke mata si
suami.
Senget senyuman Haikal. Semakin jelas lesung pipit lelaki
itu yang agak dalam.
Ini yang buat dia tidak senang berdiri melihat senyuman
mengoda disaat kemarahannya memuncak. Jahat! Eh, tak baik! Suami aku. Nanti
berdosa, tak bau syurga.
“Abang ada perempuan lain ke?” Khalisha menyoal sekali
lagi.
“Ada.”
Ya Allah! Rasa hendak meletup dadanya dengan pengakuan
‘jujur’ Haikal sebentar tadi.
“Emak abang.” Haikal sudah ketawa kuat melihat wajah
Khalisha yang seperti ayam tertelan kapur.
“Jahatnya.” Pantas tangan Khalisha mencubit-cubit perut
Haikal yang hanya berbaju t shirt pagoda. Eii... geram sungguh dia dipermainkan
begitu.
Haikal ketawa kuat lalu memeluk Khalisha dengan erat.
Kepala si ister dibawa ke dadanya. Itulah yang selalu dilakukan disaat
kemarahan Khalisha sukar dikawal.
Khalisha senyap. Erat tangannya merantai pinggang Haikal.
Dia dapat mendengar degupan jantung lelaki itu yang senada.
“Tolong abang ya,” rayu Haikal.
Pantas Khalisha menolak tubuh tegap Haikal lalu
memandangnya dengan rasa bengang sekali.
Kalau sekadar memeluk untuk memujuk begitu, baik tak
payah! Rasa perit di dada ditahan. Khalisha menarik tangannya dari pegangan
Haikal. Geram, marah dan kecewa dengan sikap romantik lelaki itu yang punya
agenda tersembunyi.
Haikal ketawa. Tangan isteri ditarik kembali dan sepantas
kilat Khalisha dikendongnya lalu dibawa ke katil. Ini yang paling tidak sukai.
Dia kalah dengan belaian Haikal.
DIA memandang kepada
telefon bimbit Haikal yang berwarna hitam yang sedang berbunyi. Entah untuk
kali yang keberapa dia tidak pasti. Asyik berbunyi dari tadi. Pusing kepalanya.
Khalisha memandang pintu bilik mandi kaca yang bertutup dan hanya kelihatan
bayang-bayang Haikal di dalam. Dia pasti sangat panggilan itu dari
kawan-kawannya yang kaki ‘gunung’.
Rambut yang masih basah dilap dengan tuala kecil. Air
menitik di sana sini disaat dia menyimpulkan tuala itu dan menolak ke belakang.
Telefon bimbit Haikal kembali berbunyi.
Ya Allah... mahu je dibuang keluar. Pantas Khalisha
menyambar gajet Haikal yang berada di atas katil.
“Ray?” Sebutnya. Abang Remy ke? Soalnya sendiri. Dia
melangkah ke pintu bilik mandi lalu mengetuk pintu kaca bilik mandi yang kabur.
“Ya, sayang... nak mandi dengan abang lagi?” Haikal
membuka pintu seluas-luasnya tanpa malu.
“Ya Allah, abang!” jerit Khalisha sambil memalingkan muka
dari Haikal yang berdiri di pintu tanpa seurat benang. Gajet lelaki itu
dihulurnya. “Ambik ni. Handphone ni menjerit dari tadi!”
“Laa... kenapa tak jerit balik.” Haikal sudah
ketawa-ketawa.
“Ambiklah cepat!” keras suara Khalisha. Dia sudah tidak
betah begitu. Badannya menggigil dengan pemandangan tadi walaupun sudah biasa.
“Jomlah mandi sekali lagi.” Tangan Khalisha dipegang oleh
Haikal walaupun gajet ditangan si isteri sudah disambarnya sebentar tadi.
“Tak nak! Lisa dah mandilah! Lepaslah,” rayu Khalisha
sambil terus cuba menarik tangannya sekuat hati.
Haikal masih ketawa dan pura-pura menarik si isteri masuk
ke dalam bilik mandi. Suka dia melihat Khalisha menggelabah begitu.
“Abang!” jerit Khalisha yang sudah terduduk bersimpuh
dalam ketawa dan takut-takut dengan reaksi si suami.
Haikal ketawa lalu melepaskan tangan Khalisha dan menutup
pintu bilik mandi semula.
Seketika dia mendengar pintu kaca itu berlaga dengan besi
di tepi pintu. Khalisha menarik nafas lega lalu bangun dari duduknya. Terselak bathrobe yang dipakainya. Betullah,
Haikal. Rasa ketat dadanya dengan situasi tadi. Nafas di tarik dalam-dalam lalu
melangkah ke katil sebaik gajetnya pula berbunyi.
Siapa pula telefon malam-malam ni? Malam tak malam pun
baru pukul 9.30. Sekejap lagi nak keluar pergi makan. Dia tidak masak hari itu.
Huruf M sudah beraja sejak siang tadi.
“Alamak, mak!” Hampir sahaja dia terpekik. Khalisha
memandang kepada pintu bilik mandi yang bertutup. Bunyi air pacuran masih
kedengaran dari dalam bilik mandi. “Ala... Haikal ni. Lama pula dia mandi,”
sungutnya sendiri. Haikal memang begitu. Kalau mandi mengalahkan orang peempuan
mandi. Memang lama. Lama tak lama pun pasti 15 minit.
Dadanya berdebar-debar sebaik melihat ‘emak Haikal’
tertera di skrin telefon bimbitnya. Dia pasti Hajah Hasmie akan bertanya sama
ada mereka akan datang ataupun tidak ke majlis perkahwinan Haidar nanti. Tentulah
dia datang, tetapi sendirian tanpa suaminya.
“Assalammualaikum, mak.” Hendak tak hendak terpaksa juga
dia menyambut panggilan itu rasa tidak sanggup membiarkan wanita itu terus
menunggu di sebelah sana. Cuba diceriakan suaranya.
“Waalaikumusalam. Lisa... Haikal ada? Dari tadi emak
telefon dia asyik tak dapat je.” Kedengaran keluhan wanita itu.
Pandangan Khalisha beralih kepada Haikal yang baru sahaja
keluar dari bilik mandi lalu memberi isyarat yang dia sedang berbual dengan
Hajah Hasmie di talian.
Haikal memberi isyarat yang dia tidak mahu menjawab
panggilan Hajah Hasmie. Kemudian mulutnya terkumat kamit seperti menyuruh
Khalisha memberi alasan kepada wanita itu.
Berkerut dahi Khalisha dengan wajah kelatnya. Eii... ini
yang paling tidak disukai. Berbohong dengan wanita baik di sebelah sana. Haikal
sudah mengajarnya berbohong dengan orang tua. Betullah suamiku, keluhnya
sendiri.
“Ooo... dia dalam tandas, mak. Sakit perut.” Hendak tak
hendak terpaksa dia berbohong juga dengan ibu mertuanya. Lantaklah, dosanya,
Haikal yang tanggung. Eii... tersangatlah geramnya!
Haikal sudah ketawa tanpa bunyi. Khalisha menjeling.
Marah!
“Makan apa sampai sakit perut tu?”
Alamak, banyak pula soalan Hajah Hasmie ni, sungutnya
sendiri. “Entahlah mak. Lisa pun tak tahu apa yang dimakan tengah hari tadi,”
keluh Khalisha. Dia mula melangkah ke almari untuk mencari baju apabila Haikal
sudah mengenakan jeans dan t shirt. Dia masih lagi di dalam bathrobe.
“Haikal tu bukan boleh makan pedas, tak beringat-ingat.
Main sumbat je apa ada kat depan mata. Lepas tu sakit perut,” bebel Hajah
Hasmie pula.
Khalisha senyum mendengar bebelan wanita itu tentang
anaknya. Tetapi memang betul apa yang dikatakan oleh Hajah Hasmie. Dia
menjeling Haikal yang sedang memegang seluar dalam dan baju dalamnya. Khalisha
menghela nafasnya. Itu warna pilihan Haikal apabila tidur malam. Hitam...
“Mak nak cakap apa dengan Haikal?” soal Khalisha sebagai
tidak mahu memanjang kata-kata wanita itu. Kalau dilayan Hajah Hasmie bercakap
mahu makan masa berjam-jam lamanya.
“Suruh dia telefon mak balik.”
“Baik, mak,” jawabnya.
“Esok kau datang?”
“Insya-Allah mak. Kalau tak esok malam, mungkin awal pagi
Sabtu tulah.”
“Haa... yalah. Jemput sekali ibu dan ayahnya. Semua
sekali, kakak-kakak dan abang-abang Lisa,” pesan wanita itu.
“Insya-Allah mak. Ibu dan ayah sampai Sabtu,” jelas
Khalisha.
“Haa... eloklah tu. Suruh datang rumah. Tidur sini.”
Hajah Hasmie sudah membuat rancangan.
Khalisha ketawa kecil sambil menjeling bengang pada
Haikal yang sedang menunjukkan gaun labuh untuk dipakai oleh si isteri.
“Insya-Allah, tengok macam mana, ya mak. Rasanya, dia
orang ke Shah Alam, tidur kat rumah kak long.”
Dia tahu Puan Rohaya, ibunya tidak akan ke situ. Dia pun
tidak mengharap kedatangan kedua orang tuanya setelah berpuluh-puluh kali dia
mengajak dan menjemput mereka ke situ. Malas hendak memikirkan perkara yang
telah berlalu namun masih menjadi duri di dalam dagingnya. Harap-harap dia
dapat terus bertabah dan bersabar.
“Hmm... yalah. Kau tak tidur sini?”
“Rasanya tak mak, bukan jauh sangat. Tak sampai lima
belas minit je.” Khalisha ketawa kecil sebagai membuang rasa kelat di hati
sebentar tadi.
“Yalah... nanti kau bagi tau si Haikal, suruh telefon mak
kejap lagi.”
“Yalah.”
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Pantas Khalisha memutuskan talian dan terus menutup
gajetnya. Dia tak mahu menerima apa-apa panggilan dari sesiapa lagi. Jenuh
terpaksa berbohong kerana Haikal. Bencilah macam ni! Bentaknya sendiri. Namun
disimpan segala rasa di hati. Tak baik, berdosa. Itulah yang dipegang sejak
berkahwin.
“Ini abang punya pasal tau tak.”
Khalisha menyambar seluar dan baju dalam di tangan kanan
Haikal. Lalu disarung tanpa rasa malu di hadapan Haikal. Dia dah selalu tengok
pun, gumam Khalisha sendiri. Lantaklah... sebentar kemudian dia menyarung dress yang dipegang oleh Haikal di
tangan kirinya.
“Dapat pahala.”
“Ya, dan dapat dosa, sebab berbohong,” sambar Khalisha
dengan rasa bengang yang amat bengang.
Haikal ketawa. Untuk kesekian kali Khalisha menjeling
sambil menyimpul rambutnya yang panjang lalu menyepit dengan penyepit. Cardigan
berwarna coklat muda disarung kerana dress
tadi tidak berlengan.
“Tak make up ke
sayang?”
“Kita nak keluar makan kan? Bukan pergi function,” balasnya yang sudah bercekak
pinggang sebelah tangan sambil memandang si suami. Tangan sebelah kirinya
mencalit lip gloss ke bibirnya. Kemudian dicapai pula dompet duitnya di atas
meja solek.
“Janganlah marah.” Haikal mencuit hidung Khalisha.
Diletak sebuah ciuman di bibir si isteri.
Kaget Khalisha. Memang dia tidak sangka begitu reaksi
sepontan Haikal. Haikal memang begitu. Ada sahaja reaksi sepontan sebagai
memujuknya.
“Manis, starwberry,”
kata Haikal sempat meratah bibir si isteri yang sudah tercalit lip gloss strawberry yang menjadi
kegemarannya.
Khalisha menggeleng sendiri lalu melangkah keluar dari
bilik peraduan mereka.
“Janganlah marah, nanti abang jual!” Dipeluk pinggang si
isteri dari belakang.
“Juallah, tak kisah pun.”
Entah mengapa ada rasa bengang pada setiap kata-kata yang
keluar dari bibir nipis Haikal walaupun hanya sekadar gurauan. Rasa seperti
mahu menangis dan merajuk.
“Nak jual pun tentu pada Haikal Suffian je.” Dia ketawa.
Semakin malas hendak melayan kata-kata Haikal. Disarung sandal dan melangkah menuju ke lif
sebaik pintu rumah dibukanya tadi.
PERLAHAN-LAHAN dia bangun
sambil membetulkan gaun tidurnya. Dia memandang sebentar kepada suami yang
begitu lena diperbaringan. Gajet canggih yang terletak di atas meja sisi katil
disambar dan dibawa keluar.
Pantas dia mencari nombor telefon bimbit Encik Abdul
Rahman. Perlukah dia menelefon ayahnya atau menghantar mesej sahaja? Kalau
berbunyi deringan bimbang Puan Rohaya akan mengangkatnya pula. Kalau hendak
menghantar mesej kemungkinan terkial pula orang tua hendak membalasnya.
Ahh... telefon je. Cakap lagi senang dari hantar-hantar
mesej ni, desisnya sendiri. “Waalaikumusalam, ayah.” Lega hatinya tidak perlu
menunggu lama.
“Lisa!”
Khalisha ketawa kecil dalam debaran. Bilakah kali
terakahir dia bercakap dengan lelaki itu. Setiap kali dia menelefon Encik Abdul
Rahman, pasti Puan Rohaya memutuskan taliannya.
“Ayah apa khabar?” soalnya lalu melabuhkan punggungnya di
atas sofa dalam suasana samar-samar. Sengaja dia biarkan suasana begitu.
“Alhamdulillah, ayah sihat je. Lisa dan Haikal macam
mana?” soal Encik Abdul Rahman di sebelah. Nada suara begitu ceria sekali.
“Alhamdulillah, Lisa dan Haikal sihat je ayah. Esok ayah
datang rumah kak long, ya?” soalnya ingin tahu. Itulah yang diberitahu oleh
Khalida kepadanya beberapa hari yang lalu.
“Ya, insya-Allah.”
“Bila ayah nak ke rumah Lisa?” Dia tidak pasti itu soalan
yang keberapa ratus kali.
“Insya-Allah, nanti ayah datang, ya.”
Khalisha senyap. Matanya mula berkaca.
“Ibu macam mana? Sihat ke dia?” Khalisha menahan sedunya.
Ada rasa rindu terhadap wanita itu. Terasa begitu jauh antara dia dan Puan
Rohaya. Kalau sebelum dia mengahwini Haikal wanita itulah yang paling rapat
dengan. Maklumlah dia anak bongsu. Semasa kecil dia amat rapat dengan ayahnya
selepas akhil baligh, dia banyak berkongsi pelbagai masalah dengan Puan Rohaya
sehinggalah dia memberitahu yang dia sudah punya pilihan sendiri.
“Alhamdulillah, ibu sihat.”
Khalisha mengangguk-anggukkan kepalanya seolah-olah Encik
Abdul Rahman dapat melihat reaksinya.
“Tak apalah. Itu je Lisa nak tanya. Assalammualaikum,”
ucapnya sambil terus menyimpan sedu. Dia tidak mahu menangis. Sudah terlalu
kerap dia menangis.
“Waalaikumusalam.”
Seketika dia tidak mendengar suara ayahnya lagi. Nafas
ditarik dalam-dalam. Lama dia memandang TV LCD yang tergantung di atas kabinet.
Air mata yang baru mahu bermesra ditubir mata dikesatnya dengan belakang
tangan.
Sabar, Lisa, pujuknya sendiri.
Khalisha bangun dan melangkah masuk ke bilik tidurnya
semula. Lama dia memandang Haikal yang lena diperbaringan. Perlahan-lahan dia
merangkak naik ke katil. Tangan Haikal dibentangnya untuk menjadi pengalas
kepalanya.
“Kenapa ni sayang?” terkejut Haikal sebaik merasa
tangannya ditarik.
“Nak abang peluk,” balasnya separuh merengek.
Haikal senyum lalu menarik tubuh si isteri rapat
tubuhnya. “Tidurlah,” bisik Haikal rapat ke telinga Khalisha.
Sejuk hatinya mendengar bisikan itu. Akhirnya dia
tenggelam bersama mimpi-mimpinya.
copyright - Sarnia Yahya
No comments:
Post a Comment