Friday, 14 March 2014

Bab 3 Dia Kekasih Hati - Sarnia Yahya

DIA menjeling jam dipergelangan tangan. Sudah menghampiri ke pukul 2.00 petang. Pengantin masih duduk di meja yang dikhaskan untuk makan beradab. Orang yang datang semakin ramai.
Ya Allah, panasnya... keluh Khalisha sambil mengesat peluh di dahi. Matanya liar memandang kepada orang yang masuk dan keluar dari khemah. Semalam Khalida menelefonnya dan berjanji akan datang ke majlis perkahwinan Haidar bersama Encik Abdul Rahman dan Puan Rohaya. Dadanya sudah berdebar-debar hendak bertemu dengan ibu.
Kali terakhir dia pulang ke kampung adalah Hari Raya Aidilfitri tempoh hari. Kepulangannya pun tidak disambut seperti anak-anak lain oleh Puan Rohaya. Malamnya dia mengajak Haikal pulang biarpun ditahan oleh Khalida, Encik Abdul Rahman dan dua orang abangnya.
Pandangannya beralih kepada emak mertuanya, Hajah Hasmie yang sibuk melayani tetamu yang hadir. Dia cukup-cukup bersyukur wanita itu dapat menerima dirinya sebagai salah seorang menantu. Daripada berdiri tercegat begitu lebih baik dia terus memberi bunga telur yang ada.
Orang semakin lama semakin ramai memenuhi khemah yang berderet-deret berdiri lima buah di hadapan rumah orang tua Haikal. Bibirnya mengulum senyuman sebaik matanya terpandang sekumpulan gadis-gadis yang mahu bergambar di atas pelamin yang dihias begitu indah sekali. Dia dulu pun macam tu juga. Tiba-tiba dia merasa begitu rindu dengan zaman remajanya.
“Ya Allah, kenapa kuat sangat berpeluh ni?” sungutnya sendiri sambil mengesat peluh yang mereneh di dahi dan tepi telinganya.
Cairlah make up ni, sungutnya sendiri. Tapi bukan tebal mana pun. Baju kurung moden yang tersarung di tubuhnya sudah berlengas dengan peluh. Entah macam manalah rupanya kini.
Lantaklah... dah bersuami tak ada orang nak pandang pun. Dah laku pun, omelnya sendiri. RM10,000 wang hantaran yang Haikal bagi padanya. Tiba-tiba dia rasa hendak ketawa dengan apa yang sedang difikirkan.
Khalisha memandang bunga telur yang tinggal sebatang di dalam bakul yang berada di tangannya. Bunga-bunga itu untuk tetamu yang datang.
Lebih baik dia masuk dan isi bakul yang sudah pun kosong tu, hatinya berkata sendiri. Khalisa mula melangkah mengharungi orang yang semakin ramai memenuhi bawah khemah-khemah.
Ramai pulak orang dalam rumah ni, getusnya sendiri sebaik masuk ke dalam rumah mertuanya. Hajah Hasmie entah ke mana hilangnya. Nampaknya dia sendirianlah. Mujurlah ada kerja, jadi tidaklah macam burung unta, keluhnya sendiri. Adik beradik Haikal pula sibuk melayan tetamu dan teman-teman yang hadir. Pasti ada kawan-kawan Haikal yang datang dan dia tidak pasti siapa.
Bakul di tangan sudah diisi dengan kotak-kotak kecil yang diisi gula-gula untuk kanak-kanak pula. Selesai mengisi dia melangkah ke pintu, namun langkahnya terhenti melihat cuaca begitu panas di luar sana.
Pasti petang atau sekejap lagi akan hujan. Bagaimanalah agaknya Haikal ya? Harap-harap lelaki itu sentiasa selamat di dalam hutan sana. Dah makan ke dia? Alahai... dalam hutan bukan dapat makan sedap-sedap pun. Bukan dia tidak pernah masuk ke dalam hutan atau panjat gunung setinggi gunung Kinabalu, tetapi hati isteri tetap rasa bimbang dan cemas. Entah bilalah Haikal nak pencen dari panjat memanjat ni, keluhnya sendiri yang sudah pun duduk di tepi pintu.
“Hey!”
Pantas Khalisa mendongak memandang orang yang menyapanya.
“Kau...” sangkaannya siapalah tadi. Tini, sepupu Haikal. Wanita itu melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Apa hal terhenyek kat sini?” soalnya.
“Panas kat luar tu,” keluh Khalisha.
“Kau dah makan?” soal Tini tanpa memandang Khalisha. Matanya dilontar pada tetamu yang berada di bawah khemah.
“Belum. Tunggulah orang surut dulu.” Lagi pun memang dia tidak punya selera makan. Entah mengapa dia merasa begitu bimbang dengan Haikal. Macam-macam yang difikirkan walhal bukan itu pertama kali Haikal berpergian begitu.
“Nanti kita makan sama-sama, ya,” kata Tini.
Khalisha mengangguk.
“Kau nampak lawa dari pengantin,” puji Tini dengan senyuman mengusik.
Pandangannya beralih ke wajah wanita di sebelahnya. Betul ke tidak si Tini ni? Bukan dia tidak faham dengan perangai sepupu Haikal yang seorang itu. Entah bila mereka boleh rapat begitu dia sendiri tidak ingat.
“Mata kau rabun ke Tini?”
Tini ketawa. Dia dan Tini hampir sebaya. Tini lebih tua dua tiga bulan darinya. Dia dan Haikal berbeza umur 8 tahun, dan Haidar adalah adik bongsu Haikal yang tua dua tahun darinya.
“Ucaplah terima kasih.”
“Sama-sama,” selorohnya.
Tini ketawa kuat. “Along tak nampak pun?”
Alahai... kenapalah si Tini tanya tentang si Haikal pulak, terasa penat hendak menjawab soalan orang. Harap-harap lepas ni tak adalah orang yang dikenali di situ.
Outstation.”
“Pulak!”
“Nak buat macam mana. Kerja.” Ya Allah, ampunkanlah dosanya kerana terpaksa berbohong. “Mana laki dengan anak-anak kau?” sengaja dia mengalih topik pada anak dan suami Tini.
Tini tidak segera menjawab. Tengkuknya sudah menjadi burung unta meninjau sana sini mencari anak-anak dan suaminya. “Entah, aku pun tak tahu. Adalah kat mana-mana luar sana.”
Best ada anak kan?” Khalisha menghela nafasnya. Entah mengapa rasa begitu perit di dadanya dengan kata-katanya sendiri. Belum rezeki. Mungkin lambat. Insya-Allah ada, pujuknya sendiri.
“Adalah tu nanti. Insya-Allah. Kau pun muda lagi.”
“Muda? Lebih kurang sebaya kau. Dah 28 beb,” balas Khalisha. “Anak kau pun dah masuk tiga tahun lebih kan?”
Tini berkahwin semasa umurnya 24 tahun. Dua bulan selepas kahwin dia disahkan mengandung. Dia? Dah lebih dua tahun kahwin masih tidak mengandung-mengandung lagi, keluhnya sendiri. Dia dan Haikal memang dia tidak merancang.
Tini senyum. “Mungkin korang berdua sibuk sangat.”
“Entahlah Tini. Nak kata sibuk sangat tak adalah. Cuma alongnyalah sesekali naik gunung,” keluhnya. Adakah kerana Haikal kerap memanjat gunung membuat dia tidak boleh beranak? Tidak mungkin. Teman-teman Haikal yang mempunyai sama hobi pun punya anak berderet-deret walaupun kerap hiking.
Khalisa menoleh memandang orang sekitar di dalam rumah Hajah Hasmie dan Haji Suffian. Ramai yang sedang duduk berbual dan ada tetamu yang meninjau masuk ke bilik pengantin. Itu acara wajib, bilik pengantin mesti dilawati setiap tetamu yang datang. Entah apa yang menarik pun dia tidak pasti. Samalah waktu dia dan Haikal berkahwin dahulu. Berebut Nadia dan Jenny hendak melihat biliknya dan Haikal. Sibuk bergambar bagai.
“Mungkin kau dah along kena pergi berubat.” Tini memberi cadangan.
Cadangan itu yang membuat dia tidak berapa berkenan. Dia memang kurang percaya selain daripada yang betul-betul pakar. Baik dia berjumpa doktor pakar daripada berjumpa dengan orang yang tidak dapat dipastikan tahap pendidikan perubatan mereka. Tapi dia tidak mahu pergi sendirian. Takut. Dia pernah mengajak Haikal tetapi lelaki itu senyap sahaja. Dan selepas itu dia tidak menyuarakan hasratnya lagi.
“Lisa! Tini!”
Kedua mereka menoleh. Kelihatan Hajah Hasmie menghampiri mereka berdua.
“Dah makan dah?” soal wanita yang berjubah coklat sedondon dengan baju pengantin.
“Belum lagi mak. Berehat kejap. Lagipun orang ramai,” balas Khalisha dengan senyuman.
“Pergi makan. Lapar nanti perut tu kosong,” suruh wanita itu. “Makan kat dalam ni. Bawah khemah tu memang panas.” Hajah Hasmie sudah menolak tubuh Khalisha menyuruhnya bangun untuk mengambil makanan di bawah khemah yang dihidang oleh pihak katerer.
“Mak dah makan?” soal Khalisha ingin tahu. Hendak tak hendak terpaksalah dia bangun setelah tubuhnya ditolak-tolak oleh Hajah Hasmie beberapa kali.
“Dah.”
Itulah salah satu sikap Hajah Hasmie. Walaupun kuat membebel tetapi pasal perut anak menantu tak pernah yang kosong. Kalau anak menantu datang, sibuk dia memasak dan tempah pelbagai kuih muih untuk menjamu mereka. Memang dia sayang dengan wanita itu. Yalah wanita itu sudah susah payah melahirkan dan membesarkan suaminya yang banyak ragam dari kecil sampai ke tua sekarang.
“Pergi, pergi... sedap pulak lauk Mak Ton kamu masak kali ni,” puji Hajah Hasmie.
Khalisha memandang Tini yang memberi isyarat kepala kepadanya.
“Pergilah!” suruh Hajah Hasmie sekali lagi.
Berkerut dahi Khalisha. Tini senyum menyimpan tawanya melihat gelagat Hajah Hasmie terhadap Khalisha. Rasa lucu pula.
Alahai, orang tua ni sabarlah sikit, sungut Khalisha sendiri.
“Benda ni biar budak-budak tu buat.” Hajah Hasmie menggamit beberapa orang anak saudara perempuannya yang sedang bersembang dan menyuruh mereka memberi kepada tetamu-tetamu yang sedang makan di bawah khemah.
“Jomlah.” Khalisha segera menarik tangan Tini mengajaknya keluar ke bawah khemah.

DIA hanya memandang Tini hilang bersama anak kecilnya yang baru berusia setahun lebih yang tiba-tiba sahaja meragam. Katanya hendak ke kereta mengambil susu. Alahai, kenapalah barangan tu tidak dibawa masuk ke dalam rumah tadi. Khalisha membebel sendiri. Dipandang kiri dan kanan. Dia sendirian. Lauk pauk yang kelihatan begitu menyelerakan, kini kelihatan tidak menarik sebaik Tini hilang entah ke mana.
“Hai, takkan tak ambil apa-apa lauk. Makan nasi kosong je?”
Khalisha menoleh. Terkejut melihat Farhan berada di situ bersama Mazlinda, isterinya.
“Apa Abang Farhan buat di sini? Tak ke gunung ke?” sepontan Khalisha menyoal sambil meletak pinggan lalu menyalami wanita cantik bertudung biru yang tersenyum di sisi Farhan. Memang dia kenal dengan lelaki itu yang pernah sama-sama menyertai hiking. Farhan juga teman baik Haikal. Dadanya mula berdebar-debar.
Terkulat-kulat Farhan mendengar soalan Khalisha. Pandangannya beralih kepada Mazlinda. “Tak. Mungkin next two week baru abang pergi,” jelas Farhan.
Terkelip-kelip mata Khalisha memandang Farhan. Tiba-tiba dadanya seakan hendak berasap. Liur ditelan berpuluh kali dan tekaknya sudah mula kering.
“Abang Farhan, kan selalu dengan Haikal. Dia dah pergi semalam.” Terasa hendak meletup dadanya mendengar penjelasan Farhan. Tidak silap, Haikal ada menyebut nama Farhan atau dia yang tersilap dengar.
“Dengan siapa?”
“Haikal kata, dia pergi dengan abang, Abang Remy, yang lain Lisa tak pasti.” Khalisha mula cemas. Pelbagai telahan sudah berbisik di fikiran dan benaknya.
“Ke mana?” soal Farhan lagi.
“Gunung Nuang.” Dadanya sudah berentak laju. Kakinya terasa kebas dan sejuk.
Farhan memandang isterinya. “Mungkin dia pergi dengan Remy, Ijam semua tu kut?” balas Mazlinda cuba mereda rasa kalut di hati Khalisha.
“Ya, mungkin dia pergi dengan Remy dan Ijam, kut. Minggu ni memang abang tak pergi sebab majlis kahwin Haidar. Haikal sendiri yang jemput kami hari tu,” jelas Farhan.
Dia tahu kedua suami isteri itu cuma meredakan rasa yang tidak menentu di hatinya. Terasa jantungnya berlaga-laga di dalam rasa tidak menentu.
“Mungkin Haikal dan Remy pergi dengan grup lain.” Sekali lagi Farhan cuba memujuk Khalisha untuk menyedapkan hati gadis itu.
Tak mungkin. Haikal sendiri beritahu yang dia ke Gunung Nuang bersama Farhan dan Remy. Tetapi kenapa Farhan cakap macam tu tadi? Soalnya sendiri. Memang dia kenal Farhan dan lain-lain teman Haikal semenjak menyertai grup mereka lebih tiga tahun yang lalu.
“Kalau macam tu tak apa.” Khalisha segera meninggalkan suami isteri itu. Panggilan Farhan tidak aku hirau. Dia mahu bercakap sendiri dengan Haikal. Di mana lelaki itu sekarang? Kalut dia mencari kedua mertuanya meminta diri untuk pulang.
“Ambil lauk dekat dapur tu. Banyak lebihnya,” suruh Hajah Hasmie juga kalut melihatkan menantunya kalut hendak pulang.
“Tak apalah mak, Lisa nak balik cepat. Ada hal.” Khalisha mula mengorek beg tangannya untuk mencari gajet untuk menghubungi Haikal. Dia sudah tidak sabar hendak bercakap dengan Haikal meskipun lelaki itu tidak akan mengangkat gajetnya. Tidak dapat dipastikan sama ada dapat dihubungi atau pun tidak.
“Hal apanya? Tak tidur sini?” cemas pula Hajah Hasmie melihat Khalisha yang kalut.
“Tak apalah mak.” Pantas tangannya mencapai tangan Hajah Hasmie lalu disalam dan menciumnya. Dia bergegas keluar dari rumah wanita itu dalam keriuhan tetamu yang masih ramai memenuhi majlis Haidar.

NOMBOR yang anda dail berada di luar kawasan.
“Kawasan mana!” jerit Khalisha sendiri.
Sudah berpuluh-puluh kali semenjak pulang siang tadi dia cuba menghubungi Haikal. Namun tetap hampa. Kalau dia bukan ke Gunung Nuang, habis tu ke mana? Pusing kepalanya memikirkan perkara itu. Adakah Haikal berbohong dengannya? Tetapi untuk apa? Dia tidak pernah menghalang pun lelaki itu menyertai memanjat gunung dan sebagainya walaupun sesekali ada juga dia membebel.
Khalisha meraup wajahnya beberapa kali. Mungkin benar kata Farhan. Haikal pergi dengan grup lain. Namun hatinya masih tidak puas. Dia mahu bercakap sendiri dan mengetahuinya dari mulut Haikal.
Khalisha bangun dari sofa dan melangkah menuju ke bilik tidurnya. Dibuka almari baju Haikal. Menyelak baju-baju yang bergantungan dan menyingkap setiap helaian baju yang berlipat kemas di dalam almari. Tidak tahu apa yang dicari tetapi sesuatu yang boleh menjadi klu di mana Haikal berada kini. Salah sebuah laci di dalam almari itu ditariknya. Habis semua dokumen-dokumen lelaki itu diselaknya.
“Pasport.”
Dicapai buku kecil berwarna merah lalu diselak untuk melihat pemiliknya. Miliknya. Memang dokumen-dokumen penting seperti itu Haikal yang akan menyimpannya.
“Mana lagi 1?” soalnya sambil menyelak lagi dokumen di dalam laci.
Dadanya sudah berdebar-debar apabila tidak kelihatan di mana-mana pasport kepunyaan Haikal. Mungkin di pejabat lelaki itu kut? Barulah dia teringat yang beberapa minggu yang lalu Haikal ada memberitahunya yang pasportnya sudah tamat tempoh dan mahu diperbaharui.
Cuba dipujuk perkara itu tiada kena mengena dengan apa yang berlaku. Haikal ke Gunung Nuang, hatinya terus memahat tanggapan itu. Kena percaya pada suami. Dia tahu Haikal tidak akan berbohong dengannya. Disimpan semula pasport tadi dan segera menutup pintu almari baju Haikal.
Khalisha keluar dan masuk ke dalam bilik tidur sebelah yang dijadikan bilik kerja oleh Haikal. Berpusing-pusing dia melihat melihat sekitar bilik itu. Tetapi tiada apa yang menarik dan ganjil. Dia menghampiri meja kerja Haikal. Memang dia jarang masuk ke situ dan tidak pernah langsung mengusik barang-barang di atas meja mahupun di dalam laci. Satu persatu laci ditarik. Yang ada hanyalah kabel telefon, kabel komputer dan notebook Haikal yang sudah rosak.
Bingkai gambar di atas meja bersebelahan dengan LCD skrin yang memaparkan foto mereka berbulan madu di Pulau Phuket diangkatnya. Bibirnya mengulum senyuman sendiri.
“Bila kita nak ke sini lagi, ya?” soalnya sendiri dengan senyuman di bibir. Terasa saat-saat indah begitu berlalu dengan pantas sekali. Dapatkah dia mengulangi saat itu bersama Haikal lagi. Ya, dia gembira dan begitu bahagia. Memang mereka jarang bergaduh dan bergaduh pun setakat gaduh-gaduh manja dan pasti Haikal akan memujuknya kemudian.
Khalisha bangun dan kembali semula ke sofa sebaik mendengar telefon bimbitnya berbunyi.
“Helo!” keras bunyi suaranya.
“Assalammualaikum, Lisa... kak long ni?” kedengaran suara Khalida di sebelah sana.
“Waalaikumusalam kak long.” Rasa tidak menentu sebentar tadi reda sedikit sebaik mendengar suara kakak sulungnya yang lembut.
“Kak long minta maaf. Tak dapat datang ke rumah mertua Lisa tadi. Mak ajak ke rumah Pak Uda Sham. Lisa tahulah kalau dah jumpa adik beradik, bersembang mesti lupa. Pak uda siap jemput makan lagi kat sana,” cerita Khalida di sebelah sana.
“Tak apa.” Dia tahu itu hanya sebahagian daripada alasan Khalida. Pasti Puan Rohaya tidak mahu bertemu dengannya. Sedih hatinya.
Khalida ketawa kecil. “Mintak maaf banyak-banyak.”
“Tak apalah kak long.” Hatinya kembali dirundung rasa pilu. Sampai hati Puan Rohaya tidak mahu bertemu dengannya. Besar sangatkah dosanya? Tidak bahagiakah wanita itu melihat dia bahagia dengan Haikal?
“Apa kata Lisa dan Haikal datang rumah kak long esok? Makan tengah hari sama-sama.” Khalida membuat cadangan.
Khalisha menarik nafasnya dalam-dalam. Pergi tanpa Haikal? Tidak, tidak sama sekali. Entah apa pandangan Puan Rohaya terhadapnya kalau dia datang sendirian nanti.
“Tak apalah... Haikal ada kerja sikit. Lisa pun nak settle kerja-kerja pejabat yang bawak balik rumah ni,” bohongnya. Apa lagi alasan yang dia ada.
“Hmm... tak apalah kalau macam tu. Ni... Ayah kirim salam rindu dan sayang kat Lisa.” Khalida ketawa kecil lagi.
Saat itu air matanya terus merembes keluar. Pantas diseka dengan belakang tangannya. “Kirim salam kat ayah,” katanya cuba mereda hatinya yang kalut ketika itu. Rasa sesak dadanya dengan Haikal dan panggilan Khalida.
“Yalah, Lisa okey ke?” soal Khalida mungkin mendengar suara Khalisha yang serak-serak basah menahan sedu. “Macam orang demam je.”
“Sakit kepala.”
Memang kepalanya amat sakit sekali. Sakit memikirkan ke mana suaminya pergi kalau bukan ke Gunung Nuang. Berpuluh kali memujuk hatinya. Berpuluh kali juga fikiran jahat menghasutnya.
“Dah makan ubat?” soal Khalida.
“Dah,” bohongnya sebagai tidak mahu Khalida bertanya lebih lanjut.
“Bawak berehat, okey... Esok cuti, lusa pun cutikan?”
“Ya,” jawabnya sepatah.
“Okeylah... kirim salam pada Haikal, ya.”
“Ya, insya-Allah.”
“Assalammualaikum.”
Sebaik memutuskan talian. Direbahkan tubuhnya ke kusyen sofa. Terasa ketat fikirannya dengan kisah sehari itu. Tidak tahu apa yang patut difikirkan lagi.

“MACAM mana?” soal Encik Abdul Rahman sebaik melihat Khalida meletak telefon bimbitnya di atas riba.
“Dia kirim salam pada ayah. Dia sakit kepala,” jelas Khalida dengan senyuman secubit.
“Asyik sakit kepala dari dulu. Tak elok-elok lagi ke?” soal Encik Abdul Rahman separuh bersungut.
“Kan dia puteri lilin,” seloroh Khalida.
Khalisha amat dijaga oleh kedua orang tuanya semasa kecil. Adik bongsunya itu kerap sakit kepala, semput dan tidak boleh berdiri di tengah panas terlalu lama. Pasti akan demam berhari-hari lamanya.
Kuat ketawa Encik Abdul Rahman. “Ibulah yang gelar dia puteri lilin.”
Khalida senyum. Mata menjeling ke bilik tetamu yang sudah gelap. Dia pasti yang Puan Rohaya sudah lama dibuai mimpi selepas bersolat isyak tadi. Mungkin terlalu penat bersembang dan bergelak ketawa dengan adiknya yang jarang ditemuinya.
“Ini mesti berjemurlah tadi. Tengah hari tadi kan panas,” keluh Encik Abdul Rahman.
“Itulah...”
“Dah makan ubat ke belum tu?” soal lelaki itu mulai bimbang dengan kesihatan si anak.
“Katanya dah.”
“Eii... boleh percaya ke? Dahlah takut nak makan ubat. Ke klinik apatah lagi.” Panjang keluhan Encik Abdul Rahman terhadap anak bongsunya.
Khalida ketawa mendengar rungutan Encik Abdul Rahman. “Ayah janganlah bimbang. Haikal kan ada. Pandai-pandailah dia jaga si Lisa tu.”
“Itulah.”
Senyap.
“Mujurlah ada Haikal.” Bibirnya mengulum senyuman. “Haikal tu budak baik. Apa yang tak kena dengan dia di mata ibunya,” keluh Encik Abdul Rahman setelah lama menyepi.
Khalida senyap. Lebih baik dia begitu. Bukan dia tidak pernah menasihat Puan Rohaya tetapi wanita itu putus dengan pendiriannya. Adik-adik lelakinya sudah jenuh menasihati wanita itu. Mereka tahu Puan Rohaya sudah punya calon menantu untuk Khalisha tetapi Haikal juga seorang lelaki yang baik dan mampu menjaga Khalisha dengan baik sehingga sekarang.
“Sampai bila ibunya nak macam tu. Kesian Lisa. Takut nak balik ke kampung,” keluh Encik Abdul Rahman mengingatkan sikap isterinya yang masih tidak mahu menerima Haikal sebagai menantu mereka sehingga ke hari itu. Dia tahu, Khalisha begitu berkecil hati setelah isterinya bertindah memulaukan anak bongsunya itu.
“Sabarlah ayah,” pujuk Khalida. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak memujuk Puan Rohaya lagi.
“Mungkin kalau dia orang ada anak, lembut sikit hati ibu, kak long tu.”
Khalida senyap. Dia tidak dapat membalas kata-kata lelaki itu.
Encik Abdul Rahman menarik nafasnya dalam-dalam.“Ayah ingat sebelum balik ke kampung nanti, ayah nak singgah jenguk Lisa sekejap. Lama sangat ayah tak jumpa dia dengan Haikal,” kata lelaki itu sebaik sahaja bangun dari sofa.
“Yalah, nanti kak long bagi tahu kat Lisa.” Khalida juga sudah berdiri.
“Tak payah. Ayah nak suprised dia.” Encik Abdul Rahman senyum.
“Wah, ayah pun dah pandai buat suprised untuk orang?” seloroh Khalida. Lelaki itu seorang ayah yang cukup memahami anak-anaknya.
Kuat ketawa Encik Abdul Rahman. “Ayah masuk dululah, kak long.”
“Yalah.” Seketika dia melihat lelaki itu masuk ke bilik tetamu yang sering menjadi tempat tidurnya jika ke situ.















1 comment:

  1. mane ek haikal pegi...sian lisa cuak gak hati..tk banyak cikit...akk yg baca nih pn dedebar gak...jgn kantoi yg bukan2 dh lh haikal...kesian kat ur wife...

    ReplyDelete