TANGAN Jed nak suapkan makanan ke mulut
terhenti. Suara Ku Zarina daripada atas
terjerit-jerit telah mencantas
selera. Wajah Kak Zah dikerling.
“Mummy tu kenapa, Kak Zah?”
Bihun goreng diputar dengan hujung garpu.
Mata dia memandang ke atas cuba
mencari bayangan mummy tapi tak
nampak. Hanya suara saja bergema
memenuhi banglo besar ni.
Kak Zah senyum. Senyuman memujuk sebab nampak dah Jed nak
mengamuk.
“Mummy Jehanna tu banyak kerja.
Pekerja dia seorang baru berhenti.
Tempahan tengah banyak. Tak ada
orang nak jahitkan tempahan tu,” jawab Kak Zah.
“Dah tu, nak terpekik terlolong
dalam rumah ni kenapa? Nak marah
siapa?”
Bahu Jed diusap. Kak Zah tahu Jed nak membentak lagi. Kak Zah bukan tak tahu Jed dah banyak hari
tak bersua dengan wajah Ku Zarina tapi sejak dua tiga hari ni, Jed memang lekat
di rumah sebab wallet dia
hilang. IC baru pun tak pergi buat
lagi. Tak sempat.
“Ala… mummy tengah cakap dengan orang yang tolong dia carikan pekerja la
tu gamaknya. Mummy Jehanna kata dia nak pakai orang segera. Jehanna bukan tak tahu, mummy sayang sangat butik dia…”
“Yalah tu… macam butik mummy tu boleh tolong mummy dalam kubur nanti!” Sinis Jed datar.
Dia letak garpu dalam pinggan dan
terus bangkit. Peristiwa dia nak tikam
tangan lelaki tu dengan garpu, terbang dalam kepala tiba-tiba. Jed geleng kepala. Tak nak ingat. Menyakitkan.
Kak Zah dah terkedu. Jed tak pernah cakap macam ni kalau marah
sangat pun. Ini mesti kes dah tak tahan
sangat. Kasihan dengan Jed tapi apa yang
mampu dia buat. Dia pun hanya dua tiga
kali seminggu aje datang. Cuma semalam
dia tidur di sini bila Jed meminta.
Sunyi katanya. Macam duduk dalam
gua, bertapa seorang sendiri.
Daun pintu dihempas. Suara mummy
hilang. Jed terbaring lemah. Rasa nak menjerit aje. Kenapalah dia sendiri dalam rumah sebesar
alam ni? Apa fungsi rumah ni pada mummy dan abah kalau masing-masing tak
lekat dalam rumah?
Kalau kata tak sempat nak duduk
berbual ramah, sekurang-kurangnya
bertanya khabarlah dekat anak yang seorang ni. Dekat pejabat pun, Jed bukan selalu jumpa
dengan abah. Abah banyak mesyuarat
sana-sini.
Mujurnya dia dah lepas umur anak
remaja yang jenis suka lari daripada rumahlah, buat hal bukan-bukanlah. Dia dah lama sabar. Daripada zaman sekolah. Hingga dah umur dua puluh lima tahun ni, mummy dengan abah tetap macam tu malah
semakin jauh pula. Buat dia cipta dunia
sendiri. Menapak sendiri. Ditemani sunyi dan sepi. Hidup dalam dunia yang bisu.
Ingatkan hujung minggu ni nak
beraman-damai ditemani Kak Zah. Tapi, hampagas semuanya. Mummy,
pagi-pagi dah bikin kecoh. Abah, entah
mana hilang. Galas kayu golf lagi la
tu. Bila dia balik lewat, mummy tahu nak kecoh satu alam. Bila dia ada di rumah, ada mummy datang dekat cuba nak
sembang?
Huh… Jed mengeluh berat. Jiwa dia sakit sungguh. Hati dan dada dia terasa kosong. Selain kerja dan Lis… hidup dia hanya ada
muzik dan kesunyian.
“Jehanna…”
Jed keraskan badan bila daun
pintu ditolak daripada luar. Suara mummy memanggil. Dia hanya keraskan badan memandang siling
kapur cantik tu.
“Jehanna,” panggil Ku Zarina
lagi.
Jed ni tak dengar ke dia panggil
atau sekadar buat tak dengar? Saja nak
duga sabar dia. Sudahlah ada pekerja
berhenti tanpa notis. Terkial-kial dia
nak cari pengganti.
“Dian Jehanna Puteri!” Keras sikit suara Ku Zarina.
Barulah Jed rendahkan anak mata
memandang mummynya yang sedang
mendekati birai katil. Ada handbag Coach warna biru gelap
tergantung siap di lengan kiri. Tanda mummy dah sedia nak keluar.
“Mummy nak keluar pergi butik ni”
Jed buat tak tahu. Langsung tak beri reaksi.
“Mummy ada hal urgent. Urusan pekerja. Malam nanti kita jumpa. Hanna jangan balik lewat macam hari tu. Mummy
tak suka,” pesan Ku Zarina lalu dia keluar daripada bilik anak dara yang
seorang itu.
Langkah Ku Zarina terhenti di
muka pintu. Dia teringat sesuatu yang
Kak Zah bagi tahu. Terus dia berpaling
semula pada Jehanna.
“Oh... Kak Zah kata wallet Hanna hilang? Nak pakai duit, ambil kad kredit mummy ni. Cash
dalam laci meja solek mummy ada dua
tiga ratus. Nak guna, masuk ambillah
ya?” Kemudian, Ku Zarina terus berlalu
lagi.
Tiada perbualan. Itu lebih berbentuk arahan. Kalau perbualan itu adalah dialog daripada
dua pihak tapi ini mummy seorang
bersuara. Hujung mata Jed terasa
basah. Silap dia berlengah nak siapkan
IC dan lesen segala. Sekarang dah
tersangkut dalam rumah ni.
Jed bangkit. Telefon dicapai. Rasa nak dihubungi Lis tapi perbuatannya
terhenti. Lis mesti nak rehat dengan
keluarga hujung minggu. Telefon diletak
kembali. Tak sampai hati nak sakitkan
hati sendiri bila dengar Lis bergelak ketawa dengan keluarganya. Dia cemburu.
Hati jahat dia cemburu.
“Jehanna…” Suara Kak Zah merodok gegendang telinga.
Jed berkalih. Senyum tawar dan memandang ke luar tingkap
yang terbuka lebar. Nampak kolam renang
daripada atas tu. Nak terjun terus daripada
tingkap ni pun boleh.
“Abang Zaman dah ada kat bawah
kalau Jehanna nak keluar.”
Jed diam seketika sebelum
menjawab.
“Kalau nak keluar, nanti Jed naik
teksi aje, Kak Zah. Suruh Abang Zaman
balik ajelah. Hari ni hari minggu. Abah tak guna dia, tak kan Jed nak guna pula. Biar dia luang masa dengan keluarga dia. Kak Zah pun kalau nak balik, baliklah… Jed
boleh aje dok sendiri,” ujar Jed
lembut.
Kak Zah senyum tipis. Kasihan sungguh pada Jehanna. Lepas habis belajar terus dipaksa masuk
kerja. Bijak, cantik, berpendidikan tapi
kenapa sisi gelap Jehanna tu membuatkan dia tak selesa mengetahuinya? Nak dinasihati, risau melebihi had orang gaji
pula. Sekadar berkias dan dia yakin Jed faham.
“Kalau macam tu, Jehanna nak tak
ikut Kak Zah balik rumah Kak Zah,” ajak Kak Zah. Tak tahulah Jed nak ikut ke tidak. Teratak orang kebanyakan. Manakan sama dengan teratak milik keluarga
daripada keturunan Megat dan Ku.
Jed kalih. Dia pandang Kak Zah seketika dan
menggeleng. Tak pernah dia pergi ke
rumah Kak Zah. Tiap kali pun Abang Zaman
yang jemput dan hantar. Tak pun Kak Zah
datang dan balik sendiri. Dia teringin
nak pergi tapi masa sekarang ni, dia nak bersendiri.
“Tak apalah. Jed nak keluar kejap lagi. Kak Zah baliklah, eh.” Jed menolak sopan.
“Minta Abang Zaman hantarkan,”
ujar Jed sambil berlalu ke meja solek.
Puntung celak hitam tebal
dicapai. Didekatkan ke wajah dan dilorek
pada kelopak mata. Kak Zah dah agak, Jed
sedang menjadi sisi yang lain. Bukan Dian
Jehanna Puteri tapi Jed. Menggeleng, Kak
Zah berlalu juga meninggalkan Jed sendiri.
Jed pandang wajah dalam
cermin. Hidup dia meriah dengan aktiviti
dan kawan-kawan tapi hakikatnya jiwa dia sunyi.
Bicara antara dia dan hati sendiri adalah bahasa yang bisu. Berbicara tentang kesunyian.
Rambut atas dia dah panjang
sebenarnya. Kalau dia lepas, tak nampak
dah yang pendek di kiri kanan kepala. Mummy bising tapi bila dia lepaskan
rambut dia bebas, adalah separa bahu dah.
Tertutup potongan askar di sisi kiri kanan kepala. Tak nak abah bising dan pejabat pandang
serong pada dia demi air muka abah.
Rambut diramas seketika sebelum
tangan dia terus menekan celak hitam tu pada sekeliling mata menjadikan mata
bundar dia sedikit tenggelam dan pudar.
Sepudar kasih sayang dalam rumah dia kini.
ORANGE RANGE.
Again.
Jed mengeluh. Kenapalah dekat sini yang dia tuju kalau kata
bosan berkurung. Dahlah Lis tak boleh
nak temankan sebab mummy dia ajak
pergi Pavilion. Dia pula mana ada kawan
lain selain Lis. Sejak daripada bangku
sekolah, Merlis sajalah temannya.
Ada masanya Lis pun tak faham
situasi yang dia hadapi tapi Lis adalah pendengar yang baik biarpun banyak
masanya Lis terkebil-kebil aje bila Jed luahkan rasa. Buatkan dia malas nak bercerita.
Kaki kanan diangkat. Dibawa menindih peha kiri. Kedua-dua belah tangan diletak pada kepala
lutut. Jari-jemari bergerak. Jari-jemari runcing yang jelas rosak
hujungnya. Kuku pun teramat pendek. Kelabu asap.
Tak berkilat macam gadis-gadis lain.
Tak berminat nak masuk spa ke, apa ke.
“Air
awak, ya...”
Jed
angkat wajah memandang pada pelayan lelaki yang baru saja meletakkan segelas
air yang dipesan. Biasanya, di sini
lebih pada layan diri dan jika pelanggan tak ramai, pelayan akan tawar diri
untuk menghantar pesanan.
Jed buat tak tahu. Cari tempat duduk,
lepaskan lelah, pandang orang lalu lalang, sudah.
“Thanks...” Perlahan Jed
ucapkan terima kasih.
Waktu ni, ada cap Nike terletak kemas di atas
kepala. Nak ketuk helmet, dia datang dengan teksi.
Dia keluar berlenggang kangkung aje hari ni.
“Errr...”
Sekali lagi Jed angkat
wajah. Berkerut sikit kening memandang
pelayan lelaki ni. Nampak muda
lagi. Boleh jadi sebaya dia atau tua
sedikit aje. Pandangan Jed menghantar
pertanyaan. Dah nampak macam nak
menyoal, Jed memang buka laluan.
“Yes…. Anything?” soal Jed sarkastik.
Lelaki di depan dia sengih. Poket jeans
diseluk. Langsung diletakkan cebisan
kertas tu di atas meja. Tepat depan
Jed. Dia tak berani nak bersuara bila
yang sebelah sana dah beri amaran.
Tambah pula dengan renungan mata garang Jed yang hitam legam tu, siapa
pun takut nak pandang.
“Apa ni?” Bibir Jed terjuih pada kertas tadi. Sebaris nombor. Nombor telefon yang pasti.
Heh? Nak ngorat aku ke apa?
“Yours?” tanya Jed lagi.
Qimi menggeleng. Apalah yang aku nak jawab? Dahlah Que pesan jangan cakap apa-apa. Mungkir janji karang, kena sedas dua dek Que, pedih juga telinga.
“Yours?” Naik satu oktaf
suara.
Dada dah berlahar. Orang tanya tak nak jawab. Ke nak kena simbah dengan air dulu baru boleh
buka mulut? Meletup aje hati Jed.
“It’s not mine...”
“Then whose?” cantas Jed tak
sabar. Letih main cak-cak. Menyampah.
“My friend...”
“So?” Beku dan kaku Jed
menyoal. Tak berminat.
Hati Qimi dah mengumpat perempuan
krisis identiti di depan dia ni. Apalah taste Que ni? Ini ke yang dia nak? Macam tak kena dengan Que je. Teruk sangat ni. Ramai perempuan ayu lain cuba dekati tapi
kenapalah perempuan ini juga yang dia nak?
“Dia bagi dekat you. I sampaikan pesan aje.”
“Dengan harapan?” selar Jed tak ada perasaan.
Qimi dekat nak tertanggal
rahang. Apalah jenis soalan yang dia ni
kemukakan? Satu... satu. Macam budak tadika.
“Dengan harapan...” Suara Qimi meleret tapi mati tiba-tiba.
Dia telan liur. Matanya terhala ke belakang. Nampak wajah yang sedang merah menahan
marah. Mati aku. Daripada pandangan Que tu, dia tahu itu
pandangan amaran sebab dia hampir pecah amanah.
Masak.
“Err...I masuk dulu.” Qimi
terus pusing. Pitam. Tertangkap bodoh aje dengan kawan sendiri.
“Hey, kau tak cakap lagi kenapa ni?”
jerit Jed sambil melambaikan kertas kecil tu pada Qimi yang dah menonong
masuk ke dalam kafe. Hai... apalah
nasib.
“Aku ada jawapannya.”
Hampir terlompat Jed masa
ni. Silang dia jatuh semula. Kepala dia menoleh ke kiri. Wajah melangut, anak mata naik, merenung pada
empunya suara.
“Kau?” Suara Jed dah tertahan-tahan oleh nafas yang
berhembus kasar.
“Ya, aku,” akui Que.
“Ada masalah?” tanyanya
datar. Soalan saja cari
nahas.
Jed mengeluh berat.
“Apa kau nak? Nak aku tebuk sungguh tangan kau?”
Selamba, Que tarik kerusi dan
duduk sedikit jauh daripada Jed. Risau
dia. Buatnya Jed ni bertindak macam hari
pertama dia jumpa, jenuh tu.
“Itu nombor aku...” Tanpa silu Que mengaku.
Eleh, kemain pesan dekat Qimi jangan bagi tahu tapi dia pula
mengaku. Iyalah, dah jumpa dekat
sini. Mengaku ajelah. Tak salah.
Niat dia baik.
“So?” Nada suaranya semakin
dingin.
“Aku harap kau call aku...”
“Dengan harapan?”
Que gelak sinis. Soalan Jed ni tak berubah langsung. Sama je.
Macam dia dah rakam. Sebiji macam
dah diprogramkan seperti terminator
tu. Cakap apa yang perlu aje.
“Tak ada harap apa. Aku cuma harap, aku dapat pulangkan ni pada
kau.” Serentak tu Que letakkan wallet Jed di atas meja.
Jed bulat mata. Dia pandang Que yang selamba. Mesti mamat ni dah tahu nama penuh dia
semua. Siapa dia, anak siapa, tinggal di
mana dan kerja apa.
“Kau curi, ya?” tuduh Jed menyinga. Tapi, masalahnya Que tetap tenang.
“Owh… itu satu tuduhan tak berasas.
Satu fitnah dan fitnah tu dosa.
Aku terjumpa… errr.... The truth
is, aku tersepak masa nak balik dari sini hari tu and sorry... I’ve to open
your wallet. Sebab nak tengok siapa
punya. Aku tak usik apa-apa pun. Ni aku pulangkan. Nombor ni...”
Que tarik kertas kuning tadi dengan jari telunjuk dan jari tengah. Dikepitnya di antara dua jari tersebut dan
digoyang di depan Jed.
“Forget about it...” Ya, dia
pun tak sangka. Datang ni sebab ingat
nak tinggalkan aje pada Qimi minta diberi pada Jed lepas beberapa hari tak ada
berita.
Dia takut bila dia datang, Jed
tak ada. Hari ni boleh tak dia kira
langkah kanan? Entah. Tapi, melihatkan air wajah dan renungan membunuh Jed tu, rasanya langkah kiri. Tak pasal-pasal dituduh mencuri.
Apa? Rupa dia ada rupa pencuri ke? Ada nampak tangan panjang sampai ke lutut
ke? Memanglah dia usaha keras demi
mencari rezeki tapi mencuri tu tak pernah pula dia fikir. Ibu dan arwah ayah tak pernah ajar anak-anak
jadi pencuri.
Que bangkit. Kertas tadi direnyuk dan diletakkan di dalam
poket jeans lusuh. Hari cuti, seronok bersantai tapi rasanya nak
baliklah. Mood dia ada di rumah aje sejak akhir-akhir ni.
“You, take care,” pesan Que mengakhiri kata bila Jed pandang dia macam
dia pula yang salah. Baru nak pasang
langkah, Que kalih lagi sekali. Tapi,
separuh. Separuh wajah aje Jed nampak
wajah Que.
“Sorry tegur kau macam tu hari tu.
Aku tak sengaja tapi aku memang tak boleh dengar hal berkait dengan
orang tua ni...” Senyuman tipis
diukir.
There you go, Que. Dah minta maaf, segalanya dah selesai. Boleh hidup dengan aman lepas ni tanpa ada
rasa bersalah atau terbeban. You, say no more to Dian Jehanna
Puteri.
Tapi, tak sempat Que nak sampai
ke motor, Jed menyeru dia. Biarpun hanya
‘HEY’ tapi Que tetap pusing
kepala.
“Yup?” Kening Que naik
sebelah.
“Err... siapa nama kau?” Soal
Jed gagap. Orang dah berbudi tak boleh
ke dia berbahasa sikit.
“Kau nak tahu nama aku ke?” tanya Que tanpa perasaan. Rasa nak pulang paku buah keras pula.
Jed angguk dan Que sengih
keji.
“Dengan harapan apa?”
Melopong Jed seketika. Hati yang sejuk membahang tiba-tiba. Banyak cerita punya jantan. Aku nak
ucap terima kasih aje pun. Mood baik Jed dah hilang.
Kat rumah menggelegak, luar rumah membahang.
Dia terus bangkit hendak berlalu
daripada Orange Range. Tapi, suara Que
menahan langkah Jed.
“Kau boleh panggil aku Que.”
Jed kerut kening.
“Itu aje?” Tak puas hati pula tahu nama Que aje.
“Cukuplah tu. Nama aku hak aku. Ikut suka akulah nak bagi tahu nama penuh ke,
nama panjang ke. Aku bagi tahu pun, kau
dah cukup bertuah. Okeylah, ciao!”
Que membidas lagi.
Dia angkat tangan dan berlalu ke
arah motosikalnya. Bagai ada magnet, Jed
mengikut dari belakang. Rindu motosikal
di rumah tapi lesen tak ada.
“Weh, thanks...” Jed pandang wallet dia dan Que silih berganti. Tak ada yang hilang. Semuanya terletak pada tempat
sepatutnya. Main semedang aje tuduh orang.
Que sengih tanpa berpaling. Tali topi keledar diketatkan. Kunci motor dah ada pada leher motor. Bila-bila masa aje enjin dihidupkan dia akan
pergi dan dia tak harap jumpa lagi perempuan macam Jed.
“Sama-sama.” Ringkas aje Que membalas.
“But be truthful to yourself, Dian Jehanna Puteri,” sambung Que
lagi.
Dia rasa Jed masih tak jauh
terpesong ni. Masih boleh diubati. Tapi, dia bukanlah ubatnya. Hanya berpesan sesama saudara Islam.
Mata Jed bulat. Dah lama tak dengar mana-mana lelaki panggil
dia dengan nama tu. Malahan tak ada sesiapa pun. Mummy,
Kak Zah dan abah panggil dia Jehanna.
Orang dekat ofis panggil dia Cik Jed juga.
Que dah hidupkan enjin EX5. Nak bergerak dah bila telinga dia menangkap
samar-samar dan cukup perlahannya suara Jed.
“Sorry pasal hari tu.” Jed
ketap bibir. Malu juga bila Que tak buat
jahat sikit pun pada dokumen dia.
“Pardon me?” Kerut kening
Que. Dia dah dengar tapi nak dengar lagi
sekali bagi jelas. Nak tengok setahap
mana ego Jed.
“Aku minta maaf pasal hal hari
tu...” Menggumam aje Jed tuturkan
kata. Que dah sengih sinis. Lebar pula tu.
“Oh, tak ada hal. Salah aku juga. Apa-apa pun, aku harap kau dah tak
marah. Tenang hidup aku nak melangkah tanpa musuh. Harap lepas ni, kita tak jumpa dah sebab aku
tahu, kau mesti tak nak jumpa aku lagi.”
Halkumnya bergerak tatkala liur ditelan sedikit kasar.
“Apa-apa pun, aku rasa kau lebih
sesuai jadi Dian Jehanna Puteri daripada Jed.
Tak apa nak jadi Jed tapi penampilan sebagai Dian Jehanna Puteri tu
lebih sesuai untuk kau kut... entah. But then again, I don’t know you. So, no hard feeling okay? Aku blah
dulu. Sorry again. Ciao!”
Minyak dipulas. Tak menanti Jed bersuara, Que berlalu. Terkebil-kebil Jed sendiri. Hari tu rasa
sakit hati tapi ini rasa pilu jiwa pula mendengarkan pesanan Que. Dia genggam kemas wallet di tangan.
Que... Hati Jed berbicara bahasa kesunyian
lagi. Tapi, tak ada siapa mengerti. Nak mengharapkan Que yang baru dia kenali,
apatah lagi. Lelaki itu pastilah lebih
tak memahami. Jauh panggang daripada
api. Pasti!
Mata Que memandang Jed dari dalam
cermin sisi. Kasihan pula dia blah macam tu aje tapi apa lagi urusan
yang ada. Semua dah selesai. Kalau tak, macam mimpi ngeri aje bila ingat
nak kena tikam dengan garpu. Nak-nak dia
hampir setiap hari buka wallet
Jed. Tak ada kerja sungguh kau,
Que. Sampai ibu dah jeling lain
macam.
Sekarang, dah sampai pada
tuan. Maaf dah diminta dan diberi. Que dapat rasakan, Jed tu paksa diri jadi
macam tu. Macam nak tunjuk tanda protes. Tak puas
hati? Tapi umur berapa nak buat
perangai macam remaja baru nak up? Dah dua puluh lima tahun, patutnya dah pandai
pilih mana yang benar dan mana yang salah?
Sekali pandang pada gambar kad
pengenalan, biarpun tak bertudung tapi tak ada celak hitam. Rambut pun cantik diikat tocang satu. Gambar zaman remaja. IC tak pernah ditukar gamaknya.
Dan, sekeping gambar yang dia scan dengan minda dia tu terlakar kemas
dalam kepala. Gambar Jed dengan gelak
tawa dengan seorang perempuan yang dia kenali sebagai Lis hari tu.
Tapi, untuk apa dia nak
ingat? Bukan adik dia pun. Jed hanya salah seorang penumpang dalam dunia
ni. Macam dia juga. Apa yang pasti, dia lepas beban di bahu tapi
beban di hati, kenapa rasa macam sikit berat sekarang?
No comments:
Post a Comment