Saturday, 5 July 2014

BAB 6 : AKU BUKAN TOUCH & GO - QAHIERA IZMA


SEMAKIN hari aku tengok perangai Nas makin berubah. Dia mengawal segala pergerakan aku. Perangai dia sekarang tak ubah macam mak. Ke mana sahaja aku pergi mesti ada dia. Sejak kemalangan minggu lepas, dia macam dah tak percaya pada Lily. Sampai makanan aku pun dia yang belikan.
            Di Pulau Pinang ni pun dia  masih mengawal aku. Pagi tadi tiba-tiba aje dia muncul depan rumah. Selalunya Lily yang jemput. Alasan kereta Lily masih di bengkel bolehlah diterima pakai. Tapi yang peliknya, dia langsung tak benarkan aku duduk di belakang. Nanti lenguh pinggang katanya. Dia tak tahu, perangai dia yang  macam mak aku tu yang buat aku lenguh.
            “Okay semua dah dapat kunci masing-masing, kan? Sekarang boleh masuk bilik, berehat. Nanti pukul empat berkumpul di bilik Remy untuk mekap, okey?”
            Nas bagi arahan pada kami semua sebelum masing-masing masuk ke bilik untuk meluruskan pinggang. Tapi aku, ada perkara lagi yang masih belum selesai dengan agar-agar ni.
“Nas, kenapa kau asingkan aku dengan Lily? Selalunya aku sebilik dengan dia, kan?”
            Aku tarik Lily mengadap Nas. Nas cebik Lily. Matanya menyorot tubuh Lily dari atas ke bawah. Nampak sangat yang dia meluat tengok PA aku yang kecil molek ni.
            “Huh, mujur jugak aku bagi bilik kat dia. Kalau ikut hati aku, nak aje aku pecat dia. Langsung tak reti buat kerja!”
 Mulut Nas ni kan, main cakap aje. Tak fikir langsung perasaan orang lain. Lily nampak bengang. Dia dah mendada ke depan nak membidas kata-kata Nas.
            “Kerja apa yang kau maksudkan? Nas, kau sedar sikit. Aku bukan kerja dengan kau. Aku kerja dengan Rin. Kalau ada yang nak pecat aku pun bukannya kau, tapi Zarin Sofea, faham?”
            Timbul urat leher Lily mempertahankan kedudukan dia. Aku biarkan saja dia berurusan dengan Nas. Memang Lily kerja dengan aku. Kalau Nas suruh aku bayar untuk sewa bilik Lily pun, sememangnya aku yang bayar.
            “Kalau macam tu Rin, kau pecat aje dia. Kalau setakat nak susun jadual kerja kau, jemput kau kat rumah dan jawab telefon aku pun boleh buat. Tak membazir gaji kau yang aku bagi tu. Boleh simpan untuk belanja lepas kahwin nanti.”
Ewah! Melampau dah ni. Nas dah timbulkan hal kahwin pula. Aku pula ketap bibir tengok lengkong terlebih  air ni. Herot-berot mulut dia mencebik Lily. Ikutkan hati nak aje aku tampar muka dia yang tebal dengan bedak asas tu. Bulu mata palsu tu bukan main tebal, mengalahkan bulu mata lembu.
“Nas, kita datang sini nak kerja. Bukan nak bertekak. Pasal bilik pun nak mengamuk. Lily kalau kau tak nak bilik tu kau bagi aje kat budak-budak modelling yang lain. Habis cerita.”
            Bobby cuba meleraikan ketegangan. Aku setuju dengan cadangan Bobby. Aku ambil kad akses di tangan Lily dan aku serahkan pada jurumekap kesayangan Nas itu. Sebelum Nas buka mulut, aku tarik tangan Lily dan beredar dari situ.
“Eee! Geramnya aku dengan laki kau tu.”
            Lily menumbuk dinding lif. Dan aku pula tumbuk bahu kiri dia. Lily tersentak, tak jadi dia nak sambung mengamuk. Muka dia yang tegang tiba-tiba menyeringai suka. Dua-dua tangannya bertaup dan dia membongkok separuh badan.
“Ampun Rin. Tersasul pulak. Bukan laki kau. Bakal suami kau... Ampun ya...”
            Wajah masam aku tak dapat dijernihkan dalam sekelip mata. Jengkel betul rasanya tengok Lily tersenyum lebar.
            “Lily, aku tahu kita ni memang dah lama berkawan. Tapi boleh tak kalau sesekali kau  jaga sikit hati aku ni?”
            “Alahai Rin. Aku betul-betul minta maaf. Sumpah! Aku terlepas cakap tadi. Aku memang tengah bengang tadi...” Lily masih berusaha memujuk aku. Aku membelakangkan badan bila Lily cuba memegang bahu.
            “Kalau tak terdesak, aku takkan buat semua ni tau tak?”
            “Yalah, aku salah. Sorry eh?”
            “Senang aje kau minta maaf. Nanti lepas tu kau ulang balik. Kau tahu tak? Aku rasa aku ni dah macam patung cendana. Tak ada siapa pun yang faham apa yang aku rasa sekarang. Aku ni fikirkan nama baik mak dan abah aku aje. Kalau tak memang dah lama aku lari jauh dari  sini.”
            Mata terasa hangat. Tak pasal-pasal aku buat  sesi meluah rasa. Lily memaut aku dari belakang. Setitis air mata gugur juga akhirnya bila Lily berulang kali memohon maaf. Sebenarnya salah dia bukanlah besar sangat pun. Tapi mungkin sebab aku ni yang terlampau melayan sebal. Aku tarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan aku lepaskan pautan tangan Lily.
“Dahlah. Aku dah okey. Tapi kalau lain kali kau tersasul lagi, aku cili mulut kau.”
            Dahi Lily aku tunjal perlahan. Dia senyum sambil menggosok bekas tunjalan aku. Kalau  dengan Lily ni aku memang tak boleh nak marah lama-lama. Dialah seteru, dialah sekutu aku.
“Terima kasih ya Rin. Sebab backing  aku tadi,” kata Lily.
            “Ah, perkara kecik aje tu.”
            “Bertuahnya aku dapat kawan macam kau.” Lily paut lengan aku. Geli pula bila dia buat  gaya manja macam tu.
            “Eee, siapa kawan kau? Jangan lupa diri ya. Walaupun kita ni dah lama berkawan, tapi aku ni tetap...”
            “Bos! Yalah, aku sedarlah. Aku ni kuli aje...”
            “Ha! Tau pun. Jadi kalau dah tau diri tu kuli, apa lagi? Tak reti-reti nak bawa beg aku ni?”
Kali ni aku pula yang tersengih lebar. Seronok bila dapat kenakan dia semula. Pintu lif terbuka. Aku menonong keluar. Tak pedulikan Lily yang terkial-kial menarik beg pakaian aku yang hampir sama berat dengan tubuhnya yang kurus melidi.
“Aduh, sedapnya dapat baring atas katil.”
            Lily  ketawa tengok aku terus melompat atas katil sebaik saja kami berjaya memboloskan diri ke dalam bilik. Bilik itu memang luas. Muat sangat kalau Lily tinggal sekali dalam bilik itu dengan aku. Aku bangun semula dan duduk berlunjur di tepi katil.
            “Aku nak rehat dulu Lily. Kau buatlah apa-apa yang patut. Kalau kau nak makan apa-apa, kau call room service aje. Jangan risau. Perbelanjaan kau kat sini biar aku yang tanggung. Kalau Nas tu cakap lebih-lebih, kau beritahu aku. Tahulah aku macam mana nak kerjakan ‘Cik Puan Nasrin’  tu nanti.”
            Aku baring semula. Nak lelap sekejap sementara menunggu pukul empat. Tapi belum sempat pun nak berlayar, pintu di bahagian tengah bilik itu diketuk orang. Aku angkat sikit kepala dan pandang Lily yang baru keluar dari bilik air.
           “Siapa yang duduk kat bilik sebelah?” Aku tanya Lily.
            Dia cuma menjongket bahu. Dia hampiri pintu yang masih diketuk dan menekap telinga di situ.
            “Siapa?” tanya Lily
            “Room service”
            Berkerut kening Lily dengar jawapan orang di sebelah sana. Melilau mata dia memandang sekeliling bilik.
            “Kau cari apa?” Aku tanya dengan nada separuh berbisik.
            “Cari benda untuk mempertahankan diri,” jawab Lily.
Dia berjalan menjingkit ke almari kasut. Kasut palazo aku yang bertumit tebal itu di pegang kemas. Lily dah bersedia untuk buka pintu. Cepat-cepat aku bangun dan berdiri di belakang Lily. Tombol pintu dipulas. Tangan yang memegang kasut diangkat tinggi.
            “Zarin Sofeaaaa...”
            Nama aku dipanggil dengan ritma yang berlagu-lagu. Aku dan Lily melopong. Troli penuh makanan ditolak masuk ke dalam bilik.
            “Nas, apa kau buat ni?”
            Aku tanya Nas yang masih menolak troli ke tengah bilik. Aku cuit bahu Lily supaya meletakkan semula kasut aku di tempat asal. Pintu utama bilik itu aku buka luas-luas.
            “Buat apa buka pintu yang itu? Pintu tengah kan ada?”
            Nas mencekak pinggang sambil melenggang ke arah aku yang masih tercegat di pintu. Ditolaknya pintu utama hingga tertutup semula. Kemudian dipimpinnya tangan aku hingga ke meja makan. Sempat juga dijelingnya Lily yang hanya memerhati dari tadi.
            “Kau mesti belum makan, kan? Sebab tu aku order room service untuk kau. Senang tak payah keluar dari bilik. Marilah makan cepat. Lepas ni boleh berehat.”
Aku berdiri di sebelah Lily dan memandang gadis bertubuh kecil itu sekilas. Lily cuma mengangkat kening. Tak kuasa nak membantah kata-kata Nas. Dia mendekati meja makan dan bersedia untuk  menikmati makanan yang dibawa oleh Nas.
            “Eh, siapa suruh kau makan? Aku  bawa ni semua untuk bakal bini aku. Kalau kau nak, order sendiri.”
            Terperanjat aku tengok Nas menarik pinggan di tangan Lily. Tak habis-habis lagi angin dia rupanya. Aku kecilkan mata merenung Nas yang menjauhkan troli makanan dari Lily. Tak boleh jadi ni. Aku datang dekat dan ambil semula pinggan yang dirampas oleh Nas tadi.
            “Lily, kau duduk makan. Kalau dia bawa makanan untuk aku maknanya dia bawakan untuk kau sekali. Kalau dia tak suka kau, maknanya dia tak suka aku juga. Makan, jangan takut. Kalau tak cukup, ambil lagi.
Dari mengantuk, terus aku jadi lapar dengan perangai kebudak-budakan Nas. Aku ambil satu set hidangan dan mula menyuap. Nas masih pandang Lily dengan riak tak puas hati. Lily tersenyum menang  sebab aku menyebelahi dia.
            “Patutlah kau tak bagi aku sebilik dengan Rin. Kau dah ada rancangan lain rupanya.” Sambil menyuap, Lily menyakat Nas.
            “Rancangan apa? Rancangan nak makan berdua-duaan dalam bilik dengan aku? Ha, marilah  makan sekali. Sedap betul makanan yang kau order  ni Nas. Kena dengan selera aku. Lagi sedap kalau makan bertiga-tigaan, kan Lily?”
            Giliran aku pula menyakat Nas. Aku tahu dia bengang sebab rancangan dia gagal. Nas bangun dan berjalan sambil menghentak kaki. Tak ada sepatah  perkataan pun yang  keluar dari mulut dia.

Bam!
            Pintu di bahagian tengah ditutup kasar. Nas sudah hilang dari pandangan. Aku dan Lily berlaga tapak tangan tanda kemenangan.
            “Untunglah kau Rin. Dapat layanan macam puteri raja dari bakal suami.”
           “Aku tak minta pun dia layan aku macam ni. Lagi pun dia bukan kahwin betul-betul dengan aku.”
            “Tapi cara dia layan kau macam dia dah ada hati dengan kaulah Rin. Kau tak perasan ke?”
 “Mengarutlah kau ni Lily. Dia tu tengah menjiwai watak yang aku bagi kat dia. Itu yang  sampai terbawa-bawa ke alam realiti.”
            Aku ketawa mengekek. Tapi Lily langsung tak terkesan dengan lawak aku. Muka dia nampak serius. Dia cuma diam menghabiskan hidangan di dalam pinggan.
            “Aku nak tanya kau satu soalan. Sebelum kau ambil keputusan nak jadikan dia suami upahan kau, pernah tak kau tengok dia macam sekarang ni?”
            Tiba-tiba Lily tanya aku. Aku fikir sekejap. Kemudian aku geleng perlahan. Aku masih tak faham maksud pertanyaan Lily.
            “Kau tak terfikir ke, apa akan jadi lepas korang kahwin nanti? Dia nak tinggal kat mana? Sanggup ke kau tidur sebilik dengan dia? Serumah dengan dia? Mengadap muka dia tiap-tiap hari?”
            Amboi! Tadi kata satu soalan. Ini dah lebih dari satu. Aku senyum tanpa sebarang jawapan yang keluar dari mulut. Kalau boleh aku tak mahu fikir apa-apa buat masa ini. Aku tak mahu menggambarkan langsung apa yang akan terjadi dalam masa beberapa minggu lagi. Aku menolak pinggan yang belum kosong. Terbantut terus selera makan. Aku bangun dan capai tuala.
            “Aku nak mandilah. Kau ni suka buat mood  aku swinglah Lily. Habiskan semua makanan tu. Kalau aku keluar bilik mandi masih ada makanan dalam troli tu, kau bayar sendiri nanti.”
            Lily ketawa dengar ugutan aku. Dalam bilik air, sengaja aku berendam dalam bath tub bersama air suam dan buih-buih sabun. Hilang segala lesu di badan. Sampai tak sedar bila masanya aku terlelap. Tahu-tahu saja Lily dah terjerit-jerit di luar sambil mengetuk pintu. Sudah tiba masanya untuk bersiap.
            Aku sarung bathrobe dan menyanggul rambut yang masih basah dengan tuala. Tanpa fikir panjang, aku terus keluar dari bilik. Ya Allah! Bobby dan Nas ada dalam bilik! Aku pandang Lily yang nampak serba-salah.
            “Sorry Rin. Aku lupa nak kunci pintu tengah tadi. Diaorang main terjah masuk aje.”
            Lily membela diri. Nas cuma tersengih. Bobby pula dah bersedia di depan cermin besar.
            “Kau ni langsung tak tahu adab ya Nas? Kau tahu tak bilik yang kau masuk ni bilik anak dara? Macam ni ke cara kau nak jaga aku? Kalau kena serbu jabatan agama nanti  macam mana? Siapa nak jawab?”
            Bebelan aku langsung tak memberi kesan pada Nas. Dia bangun dan berjalan keliling aku.
  “Kita kan memang nak kahwin. Jadi buat apa takut kalau kena tangkap basah? Lagi pun siapalah yang nak tengok orang macam aku dan Bobby ni. Betul tak Bobby? Dah, jangan nak tegak aje kat situ. Aku nak kau bersiap dulu. Sebab itu aku bawa Bobby ke mari. Aku tak nak kau susah-susah ke bilik Bobby. Lagipun bilik dia dah sesak dengan budak-budak lain.”
Nas tarik tangan aku duduk di depan Bobby. Tuala yang membungkus rambut ditanggalkan. Bobby pun memulakan kerja-kerja mengeringkan rambut. Melalui pantulan cermin, aku tengok wajah Lily. Soalan-soalan dia tadi mula bermain-main di kepala aku.
            “Kau siapkan Rin dulu, aku nak pergi tengok budak-budak lain. Lily, jom ikut aku.”
            Nas beri arahan pada Bobby dan dalam masa yang sama menarik tangan Lily untuk keluar bersama. Sempat juga Lily pegang bahu aku sebelum berlalu keluar. Pandangannya bagai mengandungi seribu kata.
            “Duduk diam-diamlah Rin. Lambat siap nanti Nas marah aku pulak.”
            Bobby menegur. Aku pandang Bobby dengan jelingan tajam. Nak tak nak terpaksa juga aku tadah muka pada sekutu Nas ni.
            “Rin, aku nak tanya kau sikit ni?”
            Bobby tiba-tiba mencuit bahu. Aku cuma jongket kening sambil menunggu soalan dari Bobby.
            “Kau dengan Nas cuma kahwin olok-olok aje, kan?”
            “Kenapa kau tanya macam tu?”
            Aku soal dia semula. Nak juga tahu apa yang membuatkan Bobby tiba-tiba menyoal aku  begitu. Beberapa bulan yang lalu, aku terdengar khabar angin mengatakan Nas dan Bobby  nampak agak intim. Ah, aku peduli apa? Golongan macam diaorang ni bukannya fikir dosa pahala. Apa yang mereka fikir adalah keseronokan semata-mata.
“Aku tanya aje. Kau tahu, kan? Nas tu kan best friend aku. Aku rapat dengan dia tau. Semua cerita dia, kegemaran dia, hobi dia, semua aku tahu,” ujar Bobby dengan nada sinis.
            “Jadi, apa kena-mengena dengan aku pulak?” Aku masih tak faham objektif utama  Bobby.
            “Memanglah tak ada kena-mengena dengan kau. Cuma aku nak ingatkan, Nas tu tak  akan ‘tersangkut’ dengan orang lain sebab selera dia cuma pada...”
            Bobby tak menghabiskan ayat. Tapi aku tahu dia sedang memaksudkan diri dia sendiri. Lantak dialah. Apa yang aku tahu, aku cuma menggunakan Nas untuk mengaburi mata mak. Dia  nak sangat aku kahwin, kan?
            “Kau jangan lebih-lebih pulak dengan dia nanti tau. Kalau boleh tak payah sampai  setahun pun tak apa. Kesian dengan buah hati aku tu.”
            Bobby ketawa kecil sambil menutup mulut dengan hujung jari. Aduh! Gediknya sotong  gergasi ni. Aku menjuih bibir melihat aksi menggeletis Bobby. Rasa macam nak muntah pun  ada.
            “Yalah, nanti kau pujuklah buah hati pengarang jantung kau tu lepaskan aku cepat. Aku  pun tak ingin lama-lama duduk serumah dengan dia. Seram aku!”
            Makin kuat  Bobby gelak. Sukalah tu bila aku bercakap tentang ‘teman sesotong’ dia. Senyum tak lekang dari bibir dia sepanjang dia menatarias wajah aku. Entah apa yang sedang  dia fikirkan,  entahlah.
Pertunjukan malam ini juga berjalan dengan lancar. Sekali lagi Nas buat pengumuman mengenai majlis perkahwinan kami. Sekarang aku diibaratkan patung lilin yang hanya menjadi pendengar dan pemerhati tanpa perasaan. Senyum yang aku lemparkan semuanya plastik. Aku melayan perasaan sendiri di belakang pentas sementara menanti Nas ditemubual oleh wakil-wakil akhbar.
            “Rin, ada VIP ajak kau minum kat restoran. Nak pergi tak?”
            Lily datang mengejutkan aku yang sedang mengelamun. Aku ambil kad nama yang dihulur. Aku tinjau Nas yang masih rancak berbual di tangga pentas. Satu keluhan dilepaskan. Aku senyum nipis dan pandang Lily.
            “Mana orangnya?”
            Aku ikut Lily ke restoran yang terletak berdekatan  dengan lobi hotel. Dari pintu masuk, aku dah nampak seorang lelaki berbaju kasual sedang mengangkat sebelah tangannya ke arah aku. Orangnya nampak masih muda. Penampilannya agak bergaya. Saiz tubuhnya pun tak  berapa gemuk. Cuma perutnya sahaja yang agak ke depan sikit.
            Lily tuntun tangan aku menghampiri lelaki itu. Aku rasa mungkin di depan nama dia ada gelaran. Kalau bukan Dato’, mungkin Tan Sri. Takkan Datin pula! Dia bangun dan menarik kerusi untuk aku. Emm, gaya seorang lelaki budiman. Aku toleh ke belakang. Lily sudah pun beredar. Menyesal pula tak pesan pada dia awal-awal supaya jangan tinggalkan aku.
            Ini bukan kali pertama VIP ajak aku minum atau berbual-bual selepas pertunjukkan. Boleh dikatakan setiap kali habis show pasti ada yang bermurah hati nak belanja minum. Semuanya terpulang pada aku untuk terima undangan mereka atau tidak. Tak kurang juga yang mengajak sampai ke bilik. Pokok pangkalnya hati aku.
            “Hi, I Imtiaz. Dato’ Imtiaz.”
            Aku sambut tangan yang dihulur. Lambat-lambat dia nak lepaskan tangan aku. Sempat pula dia kucup hujung jemari. Salah satu ciri-ciri lelaki hidung belang. Mata dia merayap pandang bahu aku yang terdedah. Lepas pertunjukan tadi, aku masih belum sempat menukar baju. Seorang pelayan datang dengan segelas jus oren di atas dulang. Aku pandang Dato’Imtiaz. Dia cuma senyum.
belum pesan apa-apa pun.”
            Ketawa pula dia bila aku cakap macam tu. Kelakar ke?
            “Kalau You nak pesan yang lain, silakan.You  takut I letak apa-apa dalam minuman tu ya?”
            Aku geleng dan senyum sikit. Suara dia memang macho habis. Kalau tak kuat iman boleh tersungkur di dada dia ni. Aku cuba kawal mulut supaya tak terlepas cakap. Hati peminat kena jaga juga. Mana tahu dia berminat untuk membeli baju yang aku sarung ni. Bertambah rezeki Nas. Kalau tak pun, mungkin dia berminat nak melabur untuk kembangkan lagi empayar perniagaan Nas. Dapat untung lagi.
“Tahniah untuk bakal raja sehari. Tak sangka You pilih fashion designer merangkap bos You sendiri sebagai calon suami.”
            “Terima kasih Dato’. Inilah jodoh namanya.” Aku balas dengan penuh sopan. Jodoh? Huh, aku rasa inilah tindakan yang paling bodoh pernah aku buat.
            “Tapi You tak nampak happy pun. Masa Nas umumkan tadi pun You sekejap aje ada di pentas.”
   Dia ni apahal? Cuba nak korek rahsia aku ke? Senyum Zarin Sofea, jangan tunjuk muka ketat.
“Oh, tadi tu...  penat. Lama sangat berdiri. Lagipun sejak sampai pagi tadi belum sempat berehat. Jauh betul perjalanannya. Hampir lima jam. Macam nak patah pinggang I.”
            Boleh ke dia terima alasan tu? Ah, lantaklah. Geram pula aku  tengok dia senyum senget macam tu. Ikutkan hati nak aje aku  blah macam tu aje. Geli pula aku tengok jemari berbulu dia  asyik  mengoles bibir  sendiri.
            “Dato’ orang sini ke?”
            “Jangan panggil saya Dato’. Saya belum ada cucu lagi. Panggil Im aje.”
            Hmm, dah mula dah. Tahap kemiangan lelaki ni dah masuk fasa dua. Aku boleh rasa hujung kasut Dato’ Imtiaz menggesel betis aku yang terdedah. Pandangan mata Dato’Imtiaz dah makin nakal. Lama betul mata dia mendarat di bahu aku yang terdedah. Hujung bibirnya digigit lembut. Ya Allah! Lindungilah aku dari buaya jadian ni.
            “ rasa You tak sesuai langsung dengan fashion designer tu.”
            Amboi, dia ni buat bisnes ejen pencari jodoh ke? Pandai pula tentukan jodoh aku sesuai ke tidak.
            “Apa maksud You?
            Sengaja aku tanya walaupun aku macam dah boleh agak jawapan yang bakal keluar dari mulut dia. Aku makin rimas bersembang dengan dia ni. Mulut bercakap, tapi lidah asyik menjilat bibir. Nak menggodalah kononnya tu. Dah macam ular sawa tertelan anak kambing pula aku tengok dia ni.
            “Nas tu tak ada ciri-ciri lelaki sejati. You tak perasan ke?” Dato’ Imtiaz bertanya.
            “Hai sayang, kat sini rupa-rupanya. Puas I cari You.”
            Terperanjat aku bila Nas tiba-tiba muncul. Dia pegang bahu aku. Walaupun nampak macam mesra tapi cengkamannya agak kuat. Aku mencari muka Nas. Dia senyum dan melepaskan bahu aku. Matanya jelas menunjukkan riak cemburu. Tanpa dipelawa, Nas menarik kerusi dan duduk di sebelah aku. Baru aku perasaan, Lily pun ada. Dia berdiri di belakang Nas, patutlah aku tak nampak.      
            “Maaflah Nas, pinjam bakal isteri You kejap.”
            Nas ketawa kuat bila Dato’Imtiaz cakap macam tu. Nampak sangat dia ketawa tak ikhlas.
            “Pinjam tak apa Dato’, jangan ambil terus.”
            Giliran Dato’Imtiaz pula ketawa, pun nampak tak ikhlas. Aku dah mula rasa lain macam.
            “Nas, You ni betul ke nak kahwin dengan top model ni? rasa macam tak kenalah.”
            Ha, kan aku dah cakap. Nas nampak tersentap. Hilang terus muka manisnya. Dato’ Imtiaz saja yang masih terkekek-kekek ketawa.
            “Apa yang tak kena? Sebab lembut? Sebab ni macam adik-adik? Helo! Walaupun  I macam ni, tetap lelaki okey!”
            “Relakslah Nas. Janganlah sensitif  sangat. I bergurau aje.”
            Dato’ Imtiaz mengusap tangan Nas yang terletak di atas meja. Matanya mengecil, hujung bibir digigit perlahan. Nak tergelak aku tengok tingkahnya. Lily cuit bahu aku. Dia bagi isyarat supaya aku tinggalkan mereka berdua.
            “Excuse me, you berdua sembanglah dulu ya. nak pergi lady’s sekejap.”
            Cepat-cepat Lily menarik aku dan keluar dari situ. Dari dalam lif sampailah ke dalam bilik, aku dan Lily dan henti-henti ketawa. Geli hati bila teringatkan insiden tadi. Aku pasti sekarang Nas pun sedang cuba melarikan diri dari Dato’Imtiaz.
            Lily bantu aku menanggalkan gaun pengantin yang masih melekat di badan aku. Dia minta izin keluar sekejap untuk hantar baju itu pada Bobby.
            “Jangan lupa bawa kunci. Nanti kau orderkan aku supper set. Kalau kau nak, kau pesanlah sekali. Tulis bil atas nama aku.”
            Selepas Lily pergi, aku berkurung dalam bilik air. Cuci mekap yang bukan main tebal di muka ni. Hampir sejam aku berada dalam bilik air. Begitulah rutinnya setiap kali lepas show. Aku pasti peragawati lain pun macam aku. Walaupun penat, tapi aku seronok sebab dapat memperagakan berbagai jenis pakaian dan juga kenal dengan macam-macam orang yang terlibat dalam industri ini.
            Aku baru saja nak merendam kaki apabila pintu bilik mandi diketuk bertalu-talu. Aduh Lily! Perempuan ni memang suka mengganggu konsentrasi aku.
“Rin, aku dengar suara Nas minta tolong.”
            Muka Lily nampak risau. Aku berjalan laju ke pintu tengah. Telinga aku tekapkan ke pintu. Senyap pula.
            “Tak dengar apa-apa pun.”
            Aku pandang Lily. Bulat mata dia membalas pandangan aku. Minah kenit ni memang  nak kena dengan aku. Tengah-tengah malam buta ni dia nak bergurau-senda pula.
            “Tadi aku dengar Rin. Sumpah tak tipu,” kata Lily.
            “Tolong!!!”
            Buntang mata aku dan Lily. Tanpa fikir panjang aku buka kunci pintu tengah. Mujur Nas tak kunci dari sebelah bilik dia. Melilau aku dan Lily mencari Nas di sekeliling bilik. Dia tak ada. Keadaan bilik Nas kemas dan tiada tanda-tanda pergelutan. Aku pandang pintu bilik mandi yang bertutup rapat. Teragak-agak aku nak buka pintu bilik mandi. Takut ternampak benda-benda yang tak sepatutnya.
            “Tolong!!”
            Suara Nas kedengaran jelas dari dalam bilik mandi. Lily menendang pintu bilik air yang berkunci. Dia menyerbu masuk ke dalam. Aku cuma menunggu di depan pintu.
            “Lily, tolong!”
            “Kenapa?”
            Tak puas hati. Aku masuk sikit. Nas sedang  berendam dalam bath tub yang penuh dengan buih sabun. Muka dia macam orang nampak hantu.
            “Rin, tolong aku. Tu…”
            Aku dan Lily pandang ke arah yang ditunjukkan. Tak ada apa-apa di situ melainkan...
            “Kumbang tu ke?” tanya Lily
            Nas angguk laju. Lutut dia rapat ke dada. Mujur air dalam tab mandi tu penuh dengan sabun. Kalau tidak, ketumbitlah mata aku.
            “Kau takut dengan kumbang ni?” Lily masih tak puas hati.
            “Halaulah cepat! Aku takut!”
            Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba menahan tawa yang nak terburai. Lily keluar dari bilik mandi dan mencari sesuatu. Aku pula tanpa fikir panjang terus capai getah paip ditepi jamban. Aku pancutkan air ke arah kumbang yang masih melekat di dinding. Tindakan aku menyebabkan kumbang itu terbang. Nas mula terjerit-jerit lagi.
            “Rin, kenapa kau buat macam tu? Janganlah bagi dia terbang. Nanti dia masuk dalam bath tub ni.”
Pap!
            Lily berjaya menamatkan riwayat kumbang itu dengan satu pukulan saja. Dia mengutip bangkai kumbang yang terdampar di atas lantai.
            “Gara-gara kumbang ni kau jerit macam orang  nak beranak? Tadi kata bukan adik-adik. Kumbang kecik macam ni pun takut?”
            Lily berjaya mengenakan Nas lagi.
            “Kau jangan nak perli-perlilah! Rin, balik KL nanti aku nak kau pecat budak ni. Makin lama aku tengok makin sakit hati akulah.”
            Aku mencekak pinggang. Geram dengan perangai Nas yang berat mulut nak ucap terima kasih. Aku ambil kumbang di tangan Lily dan berdiri di tepi tab mandi.
            “Kau ni, orang dah tolong pun kau masih nak berlagak. Nah, ambil ni. Takut kumbang sangat kan? Kau mandilah dengan kumbang tu.”

            Aku campak kumbang itu ke dalam tab mandi dan tarik tangan Lily keluar dari bilik mandi. Dah tak peduli dengan Nas yang kembali terpekik terlolong. Pandai-pandai dialah nak kebumikan bangkai kumbang tu.

No comments:

Post a Comment