PENAT betul buat sesi penggambaran di bawah
terik matahari. Pihak majalah ni pun macam dah tak ada tempat lain nak buat shooting. Kalau tak buat di tepi kolam
tak laris agaknya majalah mereka. Cubalah cari lokasi lain yang lebih fresh.
Kalau aku yang bagi idea, nanti cop aku demand
pula. Tapi memang betul, kan? Seperti dah
jadi satu kemestian pula. Kalau model
wanita, lokasinya pasti di tepi kolam
renang. Baju yang diperagakan
pula, macam baju tak cukup
kain. Bagi model lelaki, gaya tak
berbaju pasti menjadi pilihan utama. Dada yang tak
berapa nak bidang
tu jadi tayangan.
“Lily, lepas ni kita terus balik rumah, ya. Aku penatlah.”
Lily mengangguk
akur. Dia cuma berpeluk
tubuh sambil memerhatikan aku
menyudahkan sesi fotografi yang masih
berbaki lagi setengah jam. Kalau
tak ada show di butik Nas, inilah kerja aku. Memenuhi undangan sesi penggambaran produk-produk pakaian
atau barang-barang kecantikan. Sementara
saham tengah melonjak naik ni, terima sajalah segala tawaran yang datang, kan?
“Okay,
done!” jerit Mardzi, jurukamera majalah hiburan. Hasil kerjanya
memang tip top. Aku selesa dengan
cara dia bekerja. Tak banyak
songeh.
Lega
betul rasa bila sesi penggambaran
selesai. Lepas ni sesi temubual pula.
Aduh, bahagian inilah yang paling
malas aku nak layan. Kebelakangan
ini memang tak ada topik lain yang
diaorang akan tanya aku.
Apalagi, kalau bukan perihal majlis perkahwinan aku dan Nas. Penat juga
nak menjawab soalan-soalan wartawan ni. Tapi nak buat macam mana? Aku yang
pilih jalan untuk jadi public figure,
jadi kena telanlah semua ini.
“Rin,
I nak tanya You
sikit boleh tak? Tapi ini off record.”
Aku senyumlah juga walaupun aku boleh menolak kalau aku mahu. Tapi sebab
tak mahu dicop sombong, aku angguk juga tanda setuju.
“Betul ke You kahwin dengan Nas atas dasar suka
sama suka? Bukan sebab kena paksa atau…”
“Atau apa?”
Aku
bertanya pada wartawan perempuan yang berbibir tebal itu. Cermin mata gelap
yang elok terletak di hidung, aku tarik
dan sangkut di kepala. Masih menunggu
wartawan itu menghabiskan
kata-kata.
“Atau You dah mengandung?”
Tergelak
aku mendengar soalan itu. Lily hanya senyum kelat. Dia menjeling, tanda kurang
senang dengan soalan itu.
“Rin, kau boleh diam aje. Tak payah layan soalan bodoh macam ni. Ni semua sengaja nak
timbulkan kontroversi, kan? Kau dah tak ada modal lain ke?” Lily menjerkah.
Aku tahu dia panas telinga bila aku diajukan
soalan sebegitu. Berkerut kening, memberi isyarat tubuh pada
Lily supaya mengawal
emosi. Wartawan tu pula, masih
menunggu jawapan yang bakal keluar
dari mulut aku. Muka dia
tenang saja. Macam orang
tak ada perasaan.
“Untuk
makluman You, tak ada sesiapa yang
paksa I kahwin dengan Nasrin. I tak mengandung. I masih
suci dan tetap memelihara kesucian I untuk
suami I yang halal nanti.” Aku
jawab setenang mungkin. Perasaan bengang cuba ku kawal
sebab nampaknya wartawan tu masih
tak puas lagi menyoal aku.
“Kenapa tak
bertunang dulu? Angin tak bertiup, ribut
tak menderu tahu-tahu nak kahwin. Macam ada yang tak kena aje?”
Aku garu
kening. Mujurlah wartawan. Kalaulah dia ni
adik aku memang dah lama mulut dia kena lumur dengan cili burung.
“You ni, kan dah
jadi trend sekarang. Lecehlah nak
bertunang dulu. Lagipun kami berdua
ni sibuk. Mujur juga sempat umumkan pada
semua. Kalau tidak kami buat majlis tertutup aje. Tapi rasanya kalau
kami buat macam tu,
lebih banyaklah spekulasi yang
timbul, kan? Kami buat pengumuman pun
dah macam-macam wartawan tulis.”
Aku nampak
senyum sinis tersungging di bibir wartawan muda itu. Lantak dialah nak fikir
apa. Baik aku angkat punggung dulu sebelum dia tanya soalan yang bukan-bukan. Off
record konon! Bukan boleh percaya diaorang ni. Tahu-tahu saja besok dah terpampang di muka depan
majalah.
Wartawan tu
cuba mengekori ketika aku
bergegas ke kereta. Inilah yang
aku tak suka. Diaorang
ni tak puas-puas nak mengorek rahsia kehidupan peribadi aku. Rimasnya!
“Maaf, sesi
hari ni
dah tamat. Kalau nak buat temubual lagi, awak call saya nanti. Mohon kerjasama, ya. Kami perlu
ke tempat lain pula.” Lily
bersuara dengan nada tegas. Dia juga
turut masuk ke dalam kereta dengan
segera. Tak boleh berlama-lamaan lagi
di situ.
“Bagus!
Macam tu lah PA aku. Otak penipu!” Aku tepuk tangan sambil tunjuk
‘thumbs up’ pada Lily.
Dia ketawa
mengekek. Mana ada agenda lain sebenarnya. Sengaja dia cipta alasan tu. Lokasi seterusnya,
pulang ke rumah. Itulah destinasi yang paling
indah bagi aku. Kebetulan pula
aku dan Lily bukan kaki merayap. Lebih baik lepak di rumah. Kepala
pun tak berserabut.
“Lily, kau
berhenti beli air tebu kat tepi jalan tu. Panas betul hari ni.”
Lily
memperlahan kereta. Sepanjang minggu ini Lily menggunakan kereta aku. Kereta
dia masih tersadai di bengkel. Telefon
bimbit Lily yang tergantung di cermin pandang belakang berbunyi. Nas
telefon. Apa pula yang dia nak petang-petang ni? Bukannya dia tak tahu aku ada photoshoot hari ni. Malas aku nak
menjawab. Aku biarkan saja telefon tu menjerit. Biarlah tuan punya telefon tu
sendiri yang angkat. Tak lama kemudian Lily masuk ke dalam kereta bersama dua
bungkus air tebu.
“Nas
call.” Aku maklumkan pada Lily.
“Kenapa kau
tak jawab?”
“Malas.”
Lily
mencebik bila mendengar jawapan aku. Aku cuma pandang muka Lily bila dia mula
menjawab panggilan dari Nas.
“Kau SMS alamat tu. Nanti aku hantar dia kat
sana.”
Itu saja
yang aku dengar dari mulut Lily. Dia letak telefon di arm rest kemudian meneruskan pemanduan.
“Nak ke
mana ni?” Aku tanya Lily.
“Abang
sayang kau tu tengah tunggu kat kedai emas.”
Aku
tersandar mendengar jawapan Lily. Nas makin sibuk menguruskan majlis
perkahwinan kami. Semalam dia bawa aku
pergi tasting session dengan pihak katering yang akan
menyediakan hidangan pada hari bersejarah itu. Bersejarahlah sangat! Mak tuan,
dia punya cerewet! Memang boleh sangatlah dia serumah dengan mak aku. Ada saja
yang tak kena. Mujurlah Kak Engku, empunya katering itu penyabar orangnya.
Kalau aku yang jadi Kak Engku tu, dah lama aku serkup kepala Nas dengan mangkuk. Sampaikan nak memilih warna alas meja pun makan masa
satu jam.
“Oi,
keruhnya muka. Tertelan biji kundang ke?” Lily menepuk peha. Aku mengeluh
perlahan.
“Aku bencilah dikawal macam ni
Lily...”
“Jangan
mengeluh. Kau sendiri yang pilih jalan ni. Jadi kau kenalah terima. Nas tu dah
memudahkan kerja kau. Kau patut berterima kasih pada dia,” sambung Lily.
“Amboi,
sejak bila pula bersekutu dengan Nas ni? Dia ada bagi elaun tambahan ke kat
kau?”
Giliran aku
pula menepuk peha Lily. Minah kenit
itu ketawa mengekek. Dia kembali menumpukan perhatian ke jalanraya. Sejak peristiwa lepas, Lily
amat berhati-hati. Lebih-lebih lagi dia menggunakan kereta aku. Kalau dia sodok
buntut kereta orang lagi, memang aku potong terus gaji dia.
Nas dah
tercongok di depan kedai emas semasa Lily parking
kereta. Bukan main lebar lagi senyum
dia bila nampak aku. Siap bukakan pintu lagi.
“Lily, kau
balik dulu. Nanti aku hantar Rin balik.”
Nas menutup
pintu kereta sebaik saja aku keluar. Terus ditariknya tangan aku masuk ke dalam
kedai. Aku pandang Lily yang berada di dalam kereta dengan rasa serba salah.
Kasihan pula aku tengok budak tu. Aku bagi isyarat tangan supaya dia beredar.
Aku pasti Lily tahu ke mana dia nak tuju. Bila aku bersama Nas, maka
berakhirlah waktu bekerja Lily pada hari itu.
“Rin, cuba
kau tengok cincin ni. Sesuai tak untuk majlis nikah nanti?”
Nas cuba
tarik perhatian aku. Aku pandang sekilas sebuah kotak cincin yang ada di atas
meja pameran. Senyum manis aku pamerkan pada tauke kedai. Walaupun tak suka,
tapi aku tetap kena jaga juga air muka Nas. Aku paut lengan dia. Kepala aku
lentokkan ke bahu Nas. Manjalah konon!
“Nas, kau
pilihlah yang mana-mana pun. Aku
tahu taste kau tinggi. Pasti aku akan
puas hati dengan pilihan kau.”
Tauke kedai
senyum lebar dengar aku cakap macam tu. Senyumlah dia sebab kejap lagi dia akan
dapat wang besar!
“Wah! You punya amoi banyak sayang sama You. Kalau
itu macam You angkat satu setlah.
Untuk lelaki pun ada juga. Tapi kena tempah. Satu minggu baru siap.”
Bukan main
lagi tauke kedai tu meracun Nas. Aku pandang Nas yang nampak teruja. Tanpa
berbincang, dia terus setuju dengan cadangan tauke kedai. Sewaktu wanita Cina
itu masuk ke pejabatnya, aku lepaskan pautan di tangan Nas. Aku bangun dan
pergi tengok-tengok barang kemas lain yang terpamer di rak kaca berkunci itu.
“Rin, mari
sini kejap.”
Aku pandang
Nas. Apa lagilah dia ni? Aku angkat kening. Malas nak pergi dekat dia.
“Marilah
kejap. Aku nak kau cuba ni.”
Nas
melenggang menghampiri dan menarik
tangan aku ke rak yang mempamerkan
deretan rantai leher. Aku menghenyak punggung di situ. Tiba-tiba aku rasa leher
aku sejuk. Tapi belakang badan aku panas. Dengusan halus nafas Nas kedengaran
sangat jelas di lubang telinga. Bila masa dia
mengalungkan rantai ke leher aku, aku sendiri pun tak perasan. Tapi
bukan itu yang menghairankan aku. Ada sesuatu yang membuatkan aku rasa lain
macam. Kenapa jantung aku tiba-tiba berdetak kencang?
“Aku nak
hadiahkan rantai ini untuk upacara batalkan air sembahyang nanti. Kau suka
tak?”
Aku menoleh
ke kanan, nak tengok muka Nas. Tapi dalam masa yang sama Nas juga sedang
memandang aku. Nyaris-nyaris tak bercantum bibir masing-masing. Cepat-cepat aku
larikan muka. Aku pegang loket comel yang tergantung di tengah-tengah rantai.
Aku boleh rasa alunan jantung aku semakin rancak. Apahal pula ni?
Cepat-cepat
aku tanggalkan rantai itu dan serahkan pada Nas. Aku cuma pandang dia melalui
pantulan cermin kedai.
“Aku ikut aje pilihan kau Nas. Kau lebih tahu.”
Hish, ni apahal pula tiba-tiba suara aku
jadi lembut ni? Sepatutnya aku marah pada Nas, tapi ini dah terbalik!
“Kau tak
nak pilih apa-apa untuk aku ke Rin?”
“Hah?”
Nada
terperanjat tu dua dalam satu sebenarnya. Satu sebab terperanjat Nas pegang
bahu aku. Yang kedua sebab Nas ni tak tahu ke hukum lelaki memakai emas adalah
haram? Aku pegang kedua-dua tangan Nas dan menoleh pada dia.
“Encik
Nasrin, awak ni tahu ke tidak? Haram bagi seorang lelaki memakai barang perhiasan yang disadur emas?”
Nas
tersenyum dan melepaskan pegangan di bahu aku. Dia menarik kerusi. Kini kami
sudah berdepan antara satu sama lain.
“Cik Zarin
Sofea, walaupun awak tengok saya ni macam agar-agar
tapi saya masih tahu dan ingat hukum agama okey. Memanglah haram kalau
lelaki pakai barang kemas. Tapi, kalau silver boleh, kan?”
“Aku tak
pandai nak pilih barang untuk lelaki. Kau pilih ajelah mana yang berkenan, aku ikut aje. Janji majlis tu berjalan lancar.”
Aku tak
suka cara Nas pandang aku. Dia buat aku gelisah. Bukan setakat gelisah, jantung aku ni
pun dah
rasa pelik sangat. Aku ni dah nak
mati ke?
“Rin,
majlis ni adalah majlis kita. Kalau ikutkan, aku ni hanya pak turut aje. Jadi boleh tak kau hargai aku
sikit? Aku dah banyak tolong kau, tau.
Cuba jaga sikit perasaan aku ni. Kau ni tak sensitif langsung!”
Dah merajuk
pula! Nas bangun dan membayar deposit untuk harga cincin yang dia tempah
sebentar tadi. Aku ikut aje buntut
dia pergi ke arah kereta. Hari semakin
gelap. Nas masih diam sejak sepuluh minit tadi. Panjang pula rajuknya kali ni.
Muncung dia kalau diikat reben memang sesuai sangat.
“Orang tua
kalau merajuk, buruk betul rupanya tau.”
Nas mencebik.
Dia langsung tak nak pandang aku. Apa lagi akal aku ni?
“Wahai
kekandaku Nasrin, adinda mohon maaf
kerana telah menyinggung perasaan kekanda. Adinda berjanji, perkara
begini tidak akan berulang lagi wahai kekanda. Ampuuunnn kanda!”
Tersungging
sedikit senyuman di bibir Nas. Berjaya juga akhirnya. Aku cucuk pinggang Nas.
Dia ketawa kegelian.
“Janganlah
Rin. Aku tak nak mati sebelum kahwin dengan kau.”
Aku
tersentak dengan tegahan Nas. Sekali lagi jantung aku memainkan irama luar
biasa.
“Apalah kau ni. Tak habis-habis merepek. Eh, kita
singgah kedai dulu boleh tak? Aku laparlah.”
Cepat-cepat
aku alihkan perhatian ke topik lain. Bukan
boleh dilayan sangat kepala dia ni. Tak pasal-pasal nanti
dia buat lencongan ke arah lain pula.
“Aku tak nak
makan kat kedai,” kata Nas.
“Habis tu
kau nak makan kat mana?”
Nas tak
menjawab pun soalan aku. Dia berhenti di
gerai menjual sate. Takkanlah dia nak makan di rumah aku? Eee.. aku belum
bersedia nak duduk serumah dengan dia lagi. Cepat-cepat aku capai telefon. Aku
mesti pastikan minah kenit tu ada di rumah. Lantaklah kalau Nas nak marah pun.
Asalkan aku tak duduk berdua dengan dia saja dalam rumah nanti.
“Lily!
Kau kat
mana ni?” Aku sergah dia dengan nada separuh berbisik. Mata mengawasi
Nas yang sedang menunggu sate di gerai.
“Aku
kat rumah kau
ni. Baru balik dari kedai. Weh Rin, malam ni aku tidur kat rumah kau eh? Malaslah nak balik rumah. Penat.”
Leganya bila Lily
cakap macam tu. Senyum lebar dah
memeta di bibir. Bagus, tak payah susah-susah nak
memujuk minah kenit tu lagi. Senang
kerja aku.
“Aku dah nak sampai rumah ni. Kalau kau mengantuk
kau tidurlah dulu. Jangan lupa
buka lampu depan.”
Selesai menyampaikan pesan pada Lily, aku terus matikan
talian. Nas pun sudah masuk
kembali. Semerbak bau sate dalam kereta. Hilang terus bau wangian dalam kereta
Nas. Tapi aku tengok Nas tak beri isyarat masuk ke simpang rumah aku. Hmm, ini
mesti nak ke rumah mak. Aku dah berpeluk tubuh.
“Kenapa nak
pergi rumah mak aku pula? Tadi kata nak makan.”
“Adindaku
Zarin Sofea, memanglah kekanda cakap kekanda nak makan. Tapi bukan di rumah
adinda. Kita belum sah ditabalkan sebagai suami isteri lagi. Kekanda tak mahu
kahwin di mahkamah, kekanda mahu kahwin di masjid atau di rumah adinda,
mengerti?”
Tak kelakar
langsung lawak Nas. Menyampah aku dengar
suara dia. Kalau dia dah sampai rumah mak, alamatnya lamalah nanti aku tersadai
kat situ.
“Kau ni
suka buat aku badmood tau Nas.”
“Eh
pompuan, aku bukan suka suki nak merayap ke rumah mak
kaulah! Aku nak fitting baju.
Nanti kalau tak muat, siapa yang kena? Aku juga!”
Suara Nas
dah sama tinggi dengan suara aku. Dari jauh aku dah nampak mak dan abah sedang
bersantai di bawah gazebo. Nas lebih
cepat keluar dari aku. Dia bukakan pintu untuk aku. Eleh, nak tunjuklah yang
dia tu romantik. Pigi dah!
“Dah sampai
bakal menantu mak? Ingatkan tak jadi datang tadi.”
Nas
tersengih lebar. Langkahnya lebih laju dari aku untuk bersalam dengan mak.
Melenggang-lenggang punggung dia aku tengok dari belakang. Aku cukup tak suka
tengok dia pakai seluar cawat pendek. Kalau dia duduk, boleh nampak jenama
seluar dalam yang dia pakai. Mujur juga dia pakai cardigan labuh. Kalau tidak, sekarang juga aku suruh dia balik tukar baju.
Nas hulur
tangan pada abah, aku pula hulur bungkusan plastik sate pada mak. Tapi mak tak
sambut pun pemberian aku. Aku pandang mak dengan wajah hairan.
“Awak kan
dah nak jadi isteri orang. Pergilah hidangkan, boleh kita makan sama-sama.”
Aku
menjeling Nas yang menutup mulut menahan tawa. Oh, kau ketawa ya? Nanti kau!
Aku pergi dapur dan siapkan hidangan. Cawan-cawan Vintage kepunyaan mak aku susun cantik di dalam dulang dari jenis
yang sama. Aku bancuh minuman
menggunakan Nescafe 3 in 1saja.
Mudah dan cepat. Tapi untuk bakal suami aku, ada bahan tambahan yang aku campur
dalam minumannya. Aku senyum senget.
Mula-mula
aku hidangkan sate. Aku tengok Nas sedang rancak berbual dengan mak. Abah pula
leka dengan ikan-ikan belaannya. Aku masuk
ke dapur semula, nak ambil minuman yang aku bancuh tadi. Mak dan Nas
sudah menyertai abah di gazebo.
“Cepatnya
kau buat air Piah. Mak tak dengar pun bunyi cerek.”
“Orang guna
air dalam termos aje mak. Malas nak
tunggu.”
Aku capai
di dalam pinggan secucuk sate dan mula mengunyah.
“Hish! Tak senonoh betul anak dara ni
tau. Cuba hidangkan untuk Nas dulu. Belajar-belajar sikit hormat pada suami.”
Nasib baik
aku tak tercekik. Punyalah kuat mak tepuk belakang aku. Abah buat tak tahu
saja. Nas menjongket kening. Aku letak
beberapa cucuk sate di dalam pinggan kecil dan
aku hulurkan pada Nas.
“Jemput
makan kekanda.”
Abah ketawa
mendengar aku meliuk lentokkan suara. Dia menyuakan cawan ke bibir.
“Sedapnya
Sofea buat air. Dah boleh jadi isteri orang ni.”
Aku senyum
mendengar pujian abah. Mak pula menyuakan mulutnya di hujung cawan. Lain pula
reaksi mak. Keningnya berkerut seribu.
“Sedap
abang kata? Gula kau tertinggal kat Perlis ke Piah?” soal mak.
“Eloklah
kurangkan gula. Nanti kena kencing manis.”
Selamba
saja aku menjawab. Sebenarnya dah tak sabar nak tengok reaksi Nas pula.
“Cepatlah
minum Nas. Boleh kita balik. Besok nak pergi Kursus Pra Perkahwinan, kan? Aku
nak tidur awal malam ni.”
Sengaja aku
menggesa Nas sebab aku tahu urusan dia dan mak sudah selesai.
“Bagilah
Nas tu selesai makan dulu. Tak senonoh betul budak ni lah.”
Aku dah tak
pedulikan bebelan mak. Teruja betul bila tengok Nas dah angkat cawan lalu
disuakan ke mulut. Amboi, bukan main sopan bakal menantu mak minum air. Ha,
telan! Telanlah sekarang. Aku tengok Nas
macam nak menangis. Berkerut-kerut mukanya menelan air yang ada di dalam mulut.
Perlahan-lahan dia meletakkan cawan. Matanya
mengecil merenung aku.
“Kenapa tak
habiskan air tu sayang? Penat Rin buat.”
Adoi, aku
dah nak terkucil menahan gelak. Nas bangun dan bersalam dengan mak dan abah.
“Eh, dah
nak balik?” tanya mak.
“Balik
dululah makcik. Nas baru teringat, baju melayu Nas belum bergosok lagi.”
Aku
tinggalkan Nas yang masih melenggang kangkung. Laju kaki aku masuk ke
dalam kereta. Dah tak sabar nak gelakkan
dia. Sebaik saja Nas menutup pintu kereta, berdekah-dekah aku ketawa. Puas hati
aku. Baru kau tahu siapa Zarin Sofea, kan?
“Senangnya
hati menganiaya bakal suami ya? Dari kau letak garam, baik kau letak racun aje. Senang aku mati terus!”
Tawa aku
terhenti serta-merta. Aku pandang Nas. Betul ke apa yang aku nampak ni? Mata
Nas berair. Dia menangis? Takkanlah sebab tertelan air kopi campur garam pun
nak menangis?
“Ala Nas,
janganlah serius sangat. Aku main-main aje.”
“Memang
semua perkara dalam dunia ni kau bawa main-main. Sampaikan hati dan perasaan
aku pun kau persendakan. Aku ni bukan kawasan rehat dan rawat tau tak? Aku pun
ada perasaan juga.”
Eh, makin
laju pula air yang keluar dari mata Nas. Biar betul! Sedih sangat ke dia? Aku
tak tahu macam mana nak pujuk lelaki menangis ni. Ikmal pun tak pernah
menangis. Macam mana ni?
“Errr…
Nas.” Aku cuba pegang lengan kiri Nas. Tapi sepantas kilat dia menepis tangan
aku.
“Jangan pegang-peganglah! Tak guna kau
pujuk aku kalau hati tu tak ikhlas. Kalau aku tahu kau nak layan aku macam ni,
tak ingin aku tolong kau!”
Nas sudah
teresak-esak. Aduh, parah macam ni. Dah macam budak tak dapat ais krim pula aku
tengok dia. Apa aku nak buat ni? Hmmm, diam sajalah Zarin Sofea. Nanti
pandailah dia berhenti menangis tu. Dalam pada itu, perlahan-lahan sengaja aku
daratkan tangan kanan aku ke pehanya. Mana tahu dengan cara itu hati Nas sejuk
sikit. Eh, dia tak menolaklah. Esakannya pun semakin reda. Oh, macam ni rupanya
cara nak memujuk agar-agar ni. Gatal
juga kau ni ya?
Nas membisu
saja di sepanjang perjalanan sehinggalah dia berhentikan keretanya di depan
rumah. Wajahnya masih kelat. Aku keluar dari kereta pun dia tak pandang.
Lambat-lambat saja aku tutup pintu kereta. Mana tahu kalau-kalau dia nak
sampaikan apa-apa pesan pada aku. juga aku. Buatnya dia tarik diri, jadi
rendanglah aku jawabnya nanti.
“Hoi!”
Laju aku
buka kembali pintu kereta luas-luar. Senyum manis aku hadiahkan pada Nas. Tapi
dia langsung tak pandang aku.
“Ambil beg
kertas warna merah kat bonet. Aku nak kau pakai baju dalam beg kertas tu besok.
Pakai sekali tudung yang aku bagi tu. Biar nampak elok sikit. Mana tahu kalau-kalau ada pihak
media kat sana nanti.”
“Tapi…”
“Jangan
banyak cakaplah. Kalau kau tak nak pakai baju yang aku bagi tu, besok kau cakap
perkara yang sebenar kat mak kau. Aku dah tak mahu bersekongkol lagi.”
Nas berjaya
melunturkan ego aku dengan ugutannya. Pandai betul dia menangguk di air keruh.
Sabarlah Zarin Sofea. Dah nasib kau.
Aku ke belakang kereta dan ambil barang
yang dimaksudkan Nas tadi. Dia terus berdesup pergi sebaik saja aku tutup bonet
kereta. Hmm, merajuk lagilah tu.
No comments:
Post a Comment