SEHELAI demi sehelai isi majalah itu aku selak.
Tak ada satu pun fesyen rambut yang berkenan di hati. Aku pandang tukang
gunting yang sedang berdiri di belakang aku. Dia senyum sambil angkat kening.
“Sudah
pilih?” tanya amoi kening nipis tu.
“You kasi potong pendek. Tapi buat macam Korean short hair style.”
Amoi tu
senyum dan angguk kepala. Dia dah mula menyikat rambut aku yang panjang
mengurai tu.
“Potong
pendek? Kau biar betul Rin. Lusa dah nak jadi pengantin, bising Nas nanti.”
Lily mengingatkan aku.
“Eh, apsal pulak
dia nak bising? Rambut aku, aku punya sukalah!”
Aku jeling
Lily. Dia pula yang lebih sudu dari
kuah!
“Aku
ingatkan aje. Cik abang kau tu kaki membebel. Nanti takut bernanah pulak
telinga tu nanti,” kata Lily.
“Eh! Tak
ada sebab dia nak bebelkan aku, ya? Mak
bapak aku pun tak bising, dia pulak yang nak sibuk pasal gaya dan penampilan
aku apahal?”
Aku pandang Lily melalui pantulan
cermin besar. Dia senyum sambil angkat bahu. Tergeleng-geleng kepala dia.
“Aku peliklah dengan kau ni. Kau yang
minta tolong Nas, bantu kau berlakon jadi suami olok-olok. Tapi aku tengok kau
asyik cari pasal aje dengan dia,”
ujar Lily
“Entahlah Lily. Aku rasa aku dah mula
keliru dengan rasa hati aku ni.”
“Keliru? Apa maksud kau?” tanya Lily.
Aku diam kejap sebab amoi tu nak
mengerjakan rambut aku di sebelah kiri. Tak feel
kalau bersembang tak nampak muka. Dalam diam tu aku fikir sejenak. Patut
tak aku berkongsi rasa hati aku ni dengan Lily? Selama ini pun, Lily memang
banyak menyimpan rahsia peribadi aku.
“Kau masih harapkan Ikmal ya?”
Pertanyaan Lily buat aku tersentap.
Tapi aku tak boleh nak tengok muka dia sebab amoi ni tengah gunting rambut
sebelah depan pula. Nak tak nak terpaksalah tutup mulut sekejap.
“Aku takut nanti Ikmal fikir aku
curang.” Aku menjawab sebaik saja dapat tengok semula muka Lily. Bila sebut
pasal Ikmal, mata aku ni mesti rasa berpasir. Tolonglah mata. Janganlah
menangis di sini. Malu dengan amoi Cina tu nanti.
“Kau tak beritahu Ikmal ke tentang
rancangan kau ni?” tanya Lily.
“Bila masa aku nak beritahu dia?
Semuanya datang mendadak. Masa mak aku suruh kenalkan calon menantu hari tu,
masa tu jugalah Ikmal ada hal. Kau nak aku buat macam mana lagi?”
“Shhh! You duduk diam-diamlah liang
moi. Nanti tergunting You punya
telinga saya susah ooo!”
Kan, dah kena tegur dengan amoi Cina tu.
Aku jeling Lily yang tersengih tengok aku. Aku pejam mata dan bagi peluang pada
tukang gunting tu selesaikan kerja dia. Lepas bergunting, cuci rambut pula.
Lily sampai terlelap di sofa. Dah macam rumah dia pula dibuatnya. Kurang lima
belas minit lagi satu jam, aku keluar dari salun. Ringan rasa kepala dengan
gaya rambut baru yang lebih kemas.
“Rin,” panggil Lily.
Dia tiba-tiba kaku berdiri di depan
pintu kedai. Matanya terarah pada seseorang di tepi jalanraya yang agak sibuk.
Aku tanggalkan cermin mata gelap dan cuba amati sesusuk tubuh lelaki yang
sedang mendaki tangga jejantas. Kunci kereta terlepas dari tangan. Aku
yakin mata aku tak salah pandang.
“Ikmal! Mal! Tunggu!”
Aku dah tak pedulikan orang kiri kanan.
Laju kaki aku menuruni mata tangga dan berlari ke tepi jalan raya menuju ke
jejantas. Hari ini aku nekad, aku akan dapatkan kata putus dari Ikmal. Aku lupa
terus pesanan dari Ikmal dulu.
“Ikmal! Tunggu Ikmal!” Aku jerit lagi.
Jarak aku dan dia cuma beberapa ela aje. Tapi Ikmal langsung tak menoleh.
Aku sangat pasti yang aku tak salah orang. Cara dia berjalan memang jelas
menunjukkan dia Ikmal, buah hati yang dah lama aku rindui. Langkah aku dah mula
perlahan. Mana nak larat kalau berlari dengan kasut tumit tinggi. Mujur jugalah
tak terpelecok.
“Mal! Please Mal, jangan buat Rin macam ni.”
Aku dah penat. Sudahnya aku terduduk di
tengah-tengah jejantas. Aku cuma mampu memandang Ikmal yang makin jauh. Saat ini aku sudah tak
mampu bertahan lagi. Empangan air mata yang dah lama aku tutup kini melimpah. Aku
menangis semahu-mahunya. Dah tak peduli dengan orang yang lalu lalang di depan
aku.
“Mal, sampai hati buat Rin macam ni!”
Aku meruntun lagi.
Aku pandang Lily yang baru tiba.
Tercungap-cungap minah kenit itu.
Dipegangnya kedua-dua belah bahu aku.
“Sudahlah Rin. Tak guna kau menangis,”
ujar Lily.
“Tapi aku sayang dia Lily! Aku tak mahu
dia tuduh aku tak setia. Aku tak mahu dia tuduh aku curang. Aku nak Ikmal,
bukan Nas.” Aku meraung lagi.
“Shhh…perlahanlah sikit suara tu. Malu
kat orang lalu-lalang ni,” tegur Lily.
“Ah! Pergi mampuslah semua orang ni.
Selama ni aku asyik fikir pasal orang aje.
Tapi hati aku ni, ada tak orang lain fikir?”
Tegang urat leher aku menjerit di
tengah-tengah jejantas ni. Tapi aku puas. Biar semua orang tahu yang aku tengah
menderita. Lily cuba menyabarkan aku. Aku tak nak Lily yang pujuk. Aku nak
Ikmal.
“Ikmalll!!!”
Lily tepuk dahi dengan perangai aku.
“Jangan terkejut ya. Dia tengah practise untuk filem baru. Tajuknya Air mataku Gugur Di Jejantas,” kata
Lily.
Dia senyum-senyum kambing pada orang yang lalu lalang. Aku sambung
meraung lagi. Sedih benar rasa hati ni. Kalau ikutkan hati tadi nak aje aku baling kepala Ikmal dengan
kasut. Biar dia tersungkur. Senang tak
payah aku kejar dia. Aku tanggalkan kasut bertumit runcing di kaki. Lily
melopong tengok aku. Buruk benar aku tengok rupa dia. Aku kesat air mata dengan
hujung baju Lily. Makin besar lopong mulut dia.
“Jom balik.”
Aku menonong pergi. Berkaki ayam saja.
Lily panggil pun aku buat tak dengar. Bila ada orang yang berselisih dengan aku
dan pandang semacam, aku jeling orang tu balik.
“Apa tengok-tengok? Tak pernah tengok
orang lawa jalan tak pakai kasut ke?
Seronoknya dapat herdik orang. Padan
muka! Siapa suruh pandang?
“Jangan layan dia bang. Hari ni Hari Otak Kejang dia,” kata Lily pula.
Aku toleh belakang, tengok Lily. Dia
tutup muka dengan kasut bila aku menjeling tajam. Sedap mulut dia saja cakap
aku macam tu. Walaupun tapak kaki aku rasa panas, tetap tak sama panasnya
dengan hati aku sekarang. Sampai saja di kereta, aku minta kunci kereta pada
Lily.
“Bagi aku drive.”
Lily pandang aku. Dia macam tak percaya
dengan aku.
“Boleh ke kau bawa dalam keadaan macam
ni?” Lily tanya aku.
“Keadaan apa? Kau ingat aku mabuk ke?
Aku masih waras lagilah. Kau fikir aku tak sayang ke dengan nyawa sendiri?
Bagilah kunci tu cepat. Pedih tapak kaki
aku ni.”
Banyak songeh lagi. Kan, tak
pasal-pasal dah kena sembur.
“Kita nak pergi mana ni.” Sekali lagi
dia bertanya. Budak ni, ada yang kena sumbat mulut tu karang!
“Duduk ajelah diam-diam. Apsal, kau takut aku bawa kau lari pergi Siam?”
Lily tersengih. Sudahnya dia duduk
bersandar. Amboi, macam bos pula! Aku tekan punat radio dan pulas punat volume sampai habis. Lily tutup telinga, tak tahan
dengan suasana bingit di dalam kereta. Sebenarnya aku pun tak suka dengar radio
kuat-kuat. Tapi aku tengah tension
sekarang ni. Aku tak tahu nak luahkan macam mana. Risau, sedih, geram, takut,
semua ada. Berserabut kepala aku. Menyesal pula tak suruh amoi tu gondolkan
saja kepala aku tadi. Biar botak licin macam Ikmal.
Ikmal? Lelaki itulah yang buat aku jadi
macam ni. Lelaki itu jugalah yang menyebabkan aku buat tindakan bodoh untuk
berkahwin dengan Nas. Tiba-tiba Lily matikan suis radio. Dia pandang aku dengan
muka masam.
“Kalau ya pun tengah stress, bukan macam ni caranya. Boleh
pekak telinga aku tau tak? Orang kalau fikiran tengah serabut ni, bawa-bawalah
istighfar. Ini tidak, terjerit-jerit macam orang hilang akal. Kalau aku jadi
Ikmal, aku pun lari tengok kau macam ni. Dah macam orang kalah perang.”
Fuh, sedapnya Lily bebelkan aku. Tapi
masuk akal juga apa yang dia cakap. Jadi baik aku diam ajelah. Penat juga menjerit-jerit ni. Aku berhenti di stesen minyak
sekejap. Tangki dah hampir kosong. Aku hulur duit pada Lily. Malas aku nak
turun. Biar dia yang isi minyak. Aku
pandang kereta–kereta lain yang sedang beratur menunggu giliran. Ada sebuah
kereta yang aku kenal di antara deretan kereta itu.
“Itu macam kereta Zahril.” Aku cakap sorang-sorang.
Tak lama lepas tu aku nampak tuan punya
kereta sedang isi minyak. Memang sah, itu Zahril. Tapi apa gunanya aku jumpa
dia? Makin menyakitkan hati aje nanti. Dalam pada tu aku nampak Lily
melambai-lambai aku kat dalam Kedai
Mesra. Apa hal pula dengan Lily ni?
Terpaksa jugalah aku keluar dari kereta. Pakai selipar aje sebab malas nak sarung kasut tumit
tinggi tadi. Terasa macam pendek pula bila pakai selipar.
“Kenapa?” Aku tanya dia.
“Beg duit aku tertinggal kat rumahlah,” jawab Lily
perlahan.
“Eh,
kau keluar merayap dengan aku
tak bawa kad pengenalan? Habis
tadi tu, kau bawa kereta? Tak ada lesenlah ni?” Buntang mata aku tengok minah
kenit ni. Tak semenggah
betullah dia ni. Kalaulah
jadi apa-apa tadi, tak pasal-pasal aje
mati katak.
“Ada, semua tu aku
letak dalam card holder. Beg duit aje
yang tertinggal,” jawab Lily lagi. Dia dah menyeringai suka. Aku lepuk bahu
dia. Cakap ajelah yang dia nak
‘pau’ aku. Banyak pula ceritanya.
“Sekarang ni
kau nak aku
buat apa? Kan aku dah bagi duit
tadi?” Saja buat-buat tanya. Padahal aku dah nampak beberapa bungkus makanan ringan
di tangan Lily. Sengaja nak bagi
dia sengsara sekejap.
“Duit tu nak bayar minyak. Ni ha, tolong bayarkan jajan
aku ni.” kata Lily.
“Kau tu kalau keluar dengan aku memang
memanjang lupa bawa duit aje, kan?”
Padan muka dia kena balik dengan aku.
Kalau punggung tu boleh ditanggal-tanggal pun boleh lupa agaknya. Aku hulur beg duit aku pada
Lily, lepas tu cepat-cepat keluar dari kedai yang sesak itu.
“Zarin Sofea!”
Aduh, tak boleh nak mengelak dah.
Bertembung juga dengan Zahril. Dia
pandang aku dari kepala sampai kaki. Pelik sangat ke tengok model pakai selipar
Jepun?
“Hai
Zahril.” Aku sapa juga walaupun
aku memang tak berselera nak tengok muka poyo kawan Ikmal ni.
“Hai, dengar cerita dah nak naik
pelamin.Takkan tak ada kad jemputan untuk kawan-kawan kut?” Zahril mengusik.
Ada senyum sinis di muka dia.
“Eh, ada kat dalam kereta tu. Nanti
saya ambil,” jawab aku dengan selambanya.
“Awak pergi dulu, saya nak beli barang
kejap. Nanti saya pergi kat kereta awak,” balas Zahril.
Aku bergegas ke kereta sebaik saja dia
masuk ke dalam. Ambil kad jemputan yang Nas beri semalam. Aku sendiri pun tak
tengok lagi macam mana rupa kad jemputan tu. Kalau bukan sebab nak bagi kad
pada Zahril, mungkin aku biarkan saja kad tu reput di dalam kereta. Tapi kan,
cantik juga kadnya. Ada gambar aku dan Nas. Pandai pula Nas letak warna
kegemaran aku, baby blue.
“Lamanya tenung kad tu. Rindu kat
pengantin lelaki ke?”
Laju tangan aku tulis nama Zahril di atas kad. Nak cover rasa terperanjat
sebenarnya. Leka membelek kad sampai tak perasan bila masa pula dia dah ada di
sebelah kereta. Tanpa sampul, aku hulur kad yang dah bertulis pada Zahril.
Polis trafik berpangkat Koperal itu membaca sepintas lalu saja. Sambil dia
menyimpan kad di dalam beg selempang, dia senyum sinis pada aku.
“Tak sangka ya?”
“Tak sangka, kenapa?” Aku tanya balik.
“Punyalah ramai lelaki dalam Malaysia
ni, dia ni juga yang awak pilih,” jawab Zahril.
“Apa salahnya dengan dia?
Sekurang-kurangnya dia ada bila diperlukan!” Aku bidas semula cakap Zahril.
Hati ni macam nak panas balik. Kecil
besar saja aku tengok housemate Ikmal
ni. Mulut dia sampai senget-senget nak perli aku. Macam bagus sangat! Muka dia
memang poyolah!
“Kesian Ikmal. Kalau awak nak
cemburukan dia pun, carilah yang keras sikit. Saingan dia ni tak mencabar
langsung.” Zahril perli aku lagi.
Lily dah kembali masuk ke kereta. Dia cuma mengangguk
tanpa menyampuk perbualan aku dan
Zahril. Aku pula, rasa macam nak sodok
mamat ni dengan muncung kereta. Meluat betul tengok muka dia.
“Tak kisahlah dia keras ke, dia lembik
ke. Yang pasti dia tak tinggalkan saya
dan tak main-mainkan perasaan saya.” Aku cuba pertahankan Nas.
“Mana awak tahu Ikmal tinggalkan awak?
Cuba beritahu saya, Ikmal atau awak yang main-mainkan perasaan orang? Lain kali
fikir dulu sebelum bercakap. Awak tak tahu apa yang Ikmal lalui sekarang jadi
jangan cepat sangat nak menghakimi dia.”
Amboi, apahal nak tinggi suara kat aku
ni? Dia fikir perasaan kawan dia saja.
Perasaan aku ni, apa cerita?”
“Zahril, memang saya tak tahu apa jadi
pada Ikmal sekarang. Tadi saya nampak dia di Taman Maluri. Bila saya panggil,
dia buat tak tahu. Sekarang cuba cakap dengan saya, sampai bila saya nak
menunggu buah yang tak jatuh?”
“Ini bukan masalah buah, Zarin.
Masalahnya sekarang, awak tak setia. Awak musnahkan kepercayaan Ikmal. Dua
tahun awak bina impian dengan dia, tiba-tiba awak runtuhkan macam tu aje. Awak ni…”
“Cukup Zahril! Itu bukan masalah awak.
Dia yang terlalu berahsia dengan saya. Kalau betul saya ni kekasih Ikmal, kat
mana dia sekarang? Saya tak kisah dia nak pergi ke mana pun kalau
segala-galanya bersangkut-paut dengan kerja. Tapi sekurang-kurang bagi saya tanda yang saya ni masih milik dia.
Bukan dibiarkan terkapai-kapai macam ni!”
Alahai, mata ni nak berair pula bila
tiba topik macam ni. Zahril nampak macam tak puas lagi nak berdebat dengan aku.
Sebelum dia tembak aku lagi dengan ayat-ayat pedas, lebih baik aku pergi dulu.
“Jangan lupa datang ke majlis kami
nanti. Kalau awak jumpa Ikmal, sampaikan salam terakhir saya pada dia.”
Aduh, sakitnya nak cakap macam tu.
Seperti mencabut kaca yang tertanam di
tangkai hati. Masuk saja dalam kereta, terus aku pecut keluar dari kawasan
stesen minyak. Lily yang menjadi saksi drama sebabak tadi, cuma diam. Aku
pandang dia yang nampak muram.
“Woi, aku yang sedih, apa pasal muka
kau pulak yang macam orang kena
senggugut?” Dia pula jadi mangsa jerkahan aku.
Lily senyum kelat. Perlahan-lahan tangan kanan dia menepuk peha kiri aku.
“Aku tahu kau tengah serabut dan sedih
Rin. Banyak-banyak bersabar ya. Apa-apa pun, aku sentiasa di belakang kau,”
kata Lily.
Lega sikit bila dengar Lily cakap macam
tu. Sekurang-kurangnya ada juga yang faham hati aku waktu ni. Aku pandang jam
atas dashboard. Dah pukul lapan.
Sejak petang tadi kitaorang belum makan apa-apa. Lily pegang perut sambil
senyum sumbing. Macamlah aku tak faham yang dia dah kebulur.
“Jom kita pergi makan Rin. Malam ni aku
belanja kau. Sempena menamatkan zaman gadis yang berakhir dalam masa empat
puluh lapan jam aje lagi.” Lily
ketawa mengekek.
Aku juihkan bibir. Dia ni nak kata dah
tua, umur belum cecah tiga puluh pun. Dia lupa ke yang dia tak bawa beg duit?
“Kau nak belanja aku dengan apa? Air
liur? Atau lepas makan nanti kena basuh pinggan kat dapur. Kau nak bayar dengan
apa nanti? Ada duit?”
Aku jeling minah kenit tu.
Tergaru-garu, dah macam kerang busuk.
“Alamak, aku lupalah beg duit aku
tertinggal. Tak apa, aku pinjam duit kau dulu. Kira macam aku belanjalah. Cukup
bulan kau potonglah gaji aku,” ujar Lily.
Aku senyum lebar dengan cadangan dia.
Baru aje nak fikirkan tempat nak
makan, telefon aku berbunyi. Aku suruh Lily tolong jawabkan.
“Naslah Rin,” kata Lily.
“Bagi sini.”
Aku sumbat earphone di lubang telinga.
“Helo Nas, aku tengah drive ni. Jom keluar makan, nak? Aku
tunggu kau kat restoran belakang istana negara tu. Cepat tau.”pulak
Aku terus letak telefon sebelum Nas
berceloteh lebih panjang. Lily pandang aku. Apsal pula minah kenit ni pandang
macam tu? Macam tak pernah dengar aku cakap telefon dengan Nas.
“Mimpi apa tiba-tiba ajak Nas keluar
makan? Dia kan tak suka kalau aku ada sekali.” Lily buat muka cemberut.
“Tak ada mimpi apa-apa pun. Saja nak
ajak dia makan sekali.”
Selamba aje aku jawab. Aku sedang melatih hati aku ni supaya terima Nas.
Bukan terima Nas sebagai pengganti Ikmal. Tapi sebagai bakal pengantin supaya
tak nampak terlalu canggung nanti. Yalah, sampai bila nak buat hati kering aje dengan dia kan? Lagipun aku yang suruh dia tolong. Tak salah rasanya kalau aku
bagi sedikit kerjasama.
“Kalau dia cakap apa-apa nanti kau diam
aje,” pesan aku pada Lily.
Sejak kemalangan hari tu, Nas dan Lily
dah macam kucing dan anjing. Ada saja benda yang Lily buat, tak kena pada mata
Nas. Minah kenit ni pun satu hal. Tak bolehlah Nas tegur sikit, dia punya
melenting macam kucing hilang anak. Habis keluar semua kuku dan taring.
Nas sampai lima belas minit lepas kami order makanan. Aku dah boleh agak, pasti
muka Nas berubah bila nampak Lily.
“Aku ingatkan kita dating berdua aje.
Menyibuk aje orang tu.” Nas cebik
bibir.
Lily buat bodoh. Dia layan Guess the Emoji lagi bagus. Nas menghenyak punggung di sebelah aku. Bukan main menjeling lagi dia
pada Lily.
“Dah order ke?” tanya Nas.
Eh, dia senyumlah! Aku ingatkan masih
nak tarik muka masam lagi. Aku senyum balik pada dia. Belum sempat nak menjawab,
minuman kami pun sampai.
“Eh, siapa yang order kan air ni? Kau ya?” Nas pandang Lily.
“Hei, tolong sikit! Tak kuasalah aku.
Kalau aku yang order, aku minta sky juice aje untuk kau!” Lily bidas cakap Nas.
Dia tak pandang pun muka Nas sebab dia
masih leka melayan game. Nas pandang
aku. Adoi, mata dia! Dia letak spotlight ke kat mata dia ni? Kenapa aku rasa matanya
memancar terang sampai tertembus ke dada?
Lepas tu dia senyum pula. Adoyai, aku lupa Ikmal kejap. Kejap ajelah. Bila teringat semula hal petang
tadi, cepat-cepat aku pandang tempat lain. Tak boleh, aku tak boleh benarkan
siapa-siapa pun rampas tempat Ikmal dalam hati aku.
“Selamat tak aku minum air ni? Mana
tahu kut orang tu letak lagi garam dalam
air ni.”
Nas kerling aku. Hujung ibu jari dan
jari telunjuk dia memegang pangkal straw.
Dikacau-kacau jus belimbing yang aku pesan tadi. Nak tergelak aku tengok
muka dia was-was nak sedut air tu.
“Minum ajelah. Aku ni taklah zalim sangat nak aniaya kau banyak kali.
Sekali cukuplah. Kalau ada orang merajuk lagi, susahlah aku. Mana pula aku nak
cari pengantin lelaki nanti?”
Nas senyum lebar bila aku cakap macam
tu. Makin berseri-seri aku tengok muka dia. Mata Nas terbeliak tiba-tiba.
Apahal pula ni? Dia pegang pipi aku kiri dan kanan. Lily pun terkejut dengan
tingkah spontan Nas.
“Oh
my God Rin! Kau potong rambut?”
Dia baru perasan ke? Dari tadi
bersembang dengan aku baru sekarang dia buat muka terperanjat tu? Aku senyum aje sambil jeling Lily yang dah buat
senyum kambing. Tadah ajelah telinga
ni kejap lagi.
“Cantiklah fesyen rambut kau. Macam baby doll.”
Eh, dia sukalah! Aku ingatkan dia nak
bebelkan aku. Dia selitkan hujung rambut yang berjuntai di tepi telinga. Zas!
Alamak, kejutan elektrik tu datang lagi. Muka aku tiba-tiba jadi panas. Mata
Nas pula macam dah tak reti beralih ke arah lain. Ala… Apa nak buat ni?
Nasib baik pelayan datang tepat
pada masanya. Cepat-cepat aku alihkan muka ke arah lain.
“Kut ya pun nak main mata, sabarlah sikit. Tak lama lagi dah,
kurang empat puluh lapan jam aje
lagi.” Lily menyakat kami.
Dia nampak apa yang berlaku tadi
rupanya. Eee, dah dua kali malu. Tapi Nas buat muka selamba aje.
“Amboi meriahnya lauk malam ni. Kita ni
tengah celebrate sesuatu ke?” tanya
Nas.
Lily cuma angkat bahu. Mulutnya
memuncung pada aku.
“Tak ada celebrate apa-apalah. Saja nak belanja kau makan.”
“Oh, aku ingat kita ada sambutan
sempena hari terakhir bergelar solo.”
Bukan main lebar lagi senyum Nas bila
dia cakap macam tu. Aku dah malas nak layan. Masing-masing dah mula menyuap,
menikmati hidangan yang masih panas. Berselera betul masing-masing makan. Lily
lagilah. Siap bersila di atas kerusi. Senyap aje masing-masing. Nas pun aku tengok, laju juga menyuap.
Tapi tak lama lepas tu aku tengok muka
dia tiba-tiba bertukar jadi warna pink. Makin
lama makin tunduk. Mata dia kejap-kejap pandang aku. Apa hal pula dia ni?
“Rin, janganlah buat macam ni…
malulah.” Nas tegur aku.
Mata dia tak berani pandang aku. Dahi
dia dah bermanik-manik .
“Aku buat apa kat kau?” Aku soal dia balik.
“Kaki tu, duduklah diam-diam. Janganlah
gelojoh sangat, kita banyak masa lagi kan?”
Meremang bulu tengkuk aku dengar suara
Nas yang berubah jadi seksi. Aku pandang Lily. Tapi minah kenit tu dah tak
peduli apa yang yang jadi sekeliling dia. Sibuk sangat dia mengerjakan ikan bakar.
Aku selak alas meja ke atas sikit, nak tengok apa yang ada di bawah meja.
“Nas, aku tak pandai main gesel-gesel
ni. Cuba kau tengok kat bawah meja tu.”
Nas terkedu kejap. Dia letak sudu dan
garfu di tepi pinggan. Sempat lagi dia minum sebelum tengok benda apa yang ada
di bawah meja. Aku tahan nafas, nak
ketawa ni.
“Aaa! Rin, halau kucing tu. Aku geli!”
Nas menggelupur. Nasib baik tak jatuh. Dia terus bersila atas kerusi. Dia punya jerit, satu kedai pandang kami. Aku dan Lily dah
gelak melambak. Tak boleh tahan tengok Nas menggeletis. Makin kuat dia menjerit
bila kucing tu nak cuba memanjat. Punyalah dia takut dengan kucing tu, dia
berdiri dan terkinja-kinja di atas kerusi.
“Rin, tolonglah! Halau kucing tu. Aku
geli tengok bulu dia!”
Aku tak boleh nak bangun. Senak perut
aku gelakkan Nas. Orang lain yang ada di situ pun tumpang sekaki. Muka Nas
macam nak menangis. Lily ambil ekor ikan yang ada di dalam pinggan. Diumpannya
kucing itu. Nasib baik kucing tu dengar cakap. Dia pergi pada Lily pula.
“Buanglah kucing tu jauh-jauh! Nanti
dia panjat lagi.”
Nas masih rasa kurang selamat walaupun
kucing tu dah tak mengiau kat dia lagi. Dia turun dari kerusi dan duduk rapat
di sebelah aku. Lily bangun, didukungnya
kucing berbulu lebat itu. Kucing
Parsi rupanya. Leher haiwan kesayangan nabi itu diusap dan dengan sengajanya
Lily mendekati Nas.
“Janganlah Lily! Aku sepak kau karang!”
bentak Nas.
Lengan aku Nas paut erat-erat. Muka dia
rapat di bahu aku. Zas! Sekali lagi arus elektrik datang. Hilang gelak melambak aku. Bau minyak wangi dia
dekat betul di hidung. Adoi, apa kena pula dengan aku ni?
“Dahlah Lily. Letak kucing tu jauh
sikit.” Aku tegur Lily.
Aku lepaskan pautan lengan Nas. Sebelum
muka aku pula yang berpeluh, baik aku buat sesuatu.
“Nas, kau panggil budak tu suruh dia
kira. Aku nak pergi tandas kejap.”
Tak berani aku pandang mata Nas sebab
jantung aku ni dah mula nak main gendang pelik. Ikmal, tolong aku!!!
ble novel ni nk kluar?
ReplyDelete