Sunday, 5 February 2017

Bab 2 : SEINDAH MAHARKU - HANNA HAIFA



Bab 2

AWAL pagi, usai subuh Ain tidak menyambung lena walaupun cuaca di kampung tersangat la menggoda. Sejuk-sejuk manja. Tadi semasa nak berwuduk untuk solat pun lama dia merenung air kolah.  Segan nak sentuh bila terlalu sejuk.

Nasib baik la dia bangun awal kalau tak memang subuh gajah tadi. Masa kecederaan semasa mengambil wuduk. Menggigil seluruh tubuh padahal ambil wuduk je pun.

Segera Ain turun ke dapur untuk menyediakan sarapan. Semasa cuti semester memang dia yang ambil alih tugasan dapur dan menghantar adiknya Amira ke tadika. Aina dijaganya di rumah. 

Jika dia tiada barulah Aina dihantar kepada baby sitter yang merupakan kawan ibu. Bahan-bahan mentah dikeluarkan dari peti ais. Mi di bahagian bawah dikeluarkan bersama sayuran dan juga ayam di bahagian frozen  ditarik keluar.

“Ain, lepas sarapan ikut ibu.”

Ain kalih mendongak. Fokus terhadap bicara ibunya. Terhenti suapan Ain. Tidak kerjakah ibu? Setahunya hari ini Selasa. Bukan cuti umum.

“Ibu nak ajak Ain ke mana?”

“Kita pergi beli  barang-barang sikit. Lagipun majlis Ain tinggal lagi seminggu je, kan?” Puan Azma kembali meneruskan suapan.

Ain berhenti mengunyah. Tidak mampu untuk meneruskan suapan. Sudah dua minggu selepas kedatangan tetamu bersama hajat yang tidak diundang baru kini ibu bersuara semula mengenai peminangan tersebut.

Cincin belah rotan tersarung di jari  manis dipusing-pusing. Kata ibu, pihak lelaki sudah sebulat suara untuk mengadakan majlis akad nikah seminggu sebelum cuti semesternya berakhir. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia lari, tapi tak sampai hati mahu menconteng arang ke muka orang.

Dalam reda turut terbelit rasa terpaksa. Tidak mampu dia paksakan hati untuk reda sepenuhnya. Dia tidak semulia itu.

"Ibu, tak boleh ke tunggu sampai Ain habis belajar dulu? Bukannya lama, tinggal dua semester je pun." Muka Ain tidak berani menentang mata ibunya.

Dari kecil memang dia tidak berani membantah kata ibu. A kata ibu takkan dilawan dengan B. Garang ibu sememangnya tidak mampu dilawan. Sebab itu dia hanya patuh. Tapi bila melibatkan soal jodoh, dia cuba beranikan diri untuk bersuara. Walaupun peluang ibu menukar keputusan tipis, sekurang-kurangnya dia sudah mencuba. Kurang sikit rasa terkilan.

"Ain, tak ada bezanya kamu kahwin sekarang atau pun kemudian. Buat apa nak tangguh Ain." Puan Azma menggeleng pandang Ain.

Selera Ain bagaikan sudah terbantut. Padahal tadi bukan main perut berkeroncong. Makan tak kenyang, tidur tak lena. Bukan angau sebab tak sabar nak kahwin tapi takut untuk berhadapan dan hidup bersama dengan orang yang dia tidak kenal.

Belum pun sempat Ain bertanya lagi, Puan Azma sudah mengangkat pinggan yang masih berbaki mi goreng ke singki. Pelik Ain dengan sikap ibu belakangan ini. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan.



AIN mengekor ibunya yang sudah melangkah masuk ke Azura Couture. Sudah masuk butik ketiga mereka kunjungi. Sebelum ini masih tiada yang berjaya menarik perhatiaan mereka. Melihat kepada deretan baju yang tergantung Ain berharap agar ada yang memenuhi kehendak ibunya.

“Warna ni cantik sesuai dengan Ain.” Puan Azma pegang sepasang kurung moden berwarna ungu lembut. Disua kepada Ain.

Ain letakkan tangan merasa fabrik kain. Selesa. Lagipun ni memang warna kegemarannya.

“Ain tak kisah ibu.” Ain senyum hambar. Melihat kesungguhan ibu, memang dia tiada pilihan lain.

“Ok yang ungu ni untuk majlis sanding dekat rumah kita. Ain nak warna apa untuk akad nikah nanti?” Ceria suara Puan Azma meminta pendapat Ain.

Ain tercengang. Alah nak kena beli berapa pasang ni? Majlis kahwin ni bukannya lama pun. Pakai baju yang sama tak boleh ke?

“Pakai yang sama je tak boleh ke bu?”

Mercerlung mata Puan Azma melihat ke arah Ain. Lengan Ain ditepuk perlahan. Geram dengan idea tak masuk akal Ain. Tak pernah buat dek orang. Takkan pakaian malam akad nikah nak dipakai keesokkan harinya.

“Ain, pilih la dua. Sepasang untuk akad nikah dan sepasang lagi untuk majlis dekat rumah kita.” Pujuk Puan Azma lagi.

“Ye la. Ain nak warna putih.”

Melebar senyum Puan Azma.

“Jom kita pergi ke kedai depan tu. Kawan ibu cakap dekat situ cantik gubahan untuk barang hantaran.”

Ain jongket kening. Amboi siap dah survey awal- awal sebelum datang. Teruja sungguh ibunya nak bermenantu.  

Bergerak dari satu kedai ke kedai yang lain banyak sudah yang dibeli oleh Puan Azma. Terasa sudah tidak larat untuk berjalan, Ain meminta ibu singgah di barisan kedai minum.

“Ibu tak payah la beli banyak-banyak macam ni. Kita buat ringkas je boleh, kan?” Ain lepaskan lelah sambil menyedut sirap ais untuk menghilangkan haus. Puan Azma senyum.

“Ain anak sulung ibu. Memang ni semua untuk Ain. Duit ni memang ibu simpan untuk majlis Ain. Percaya dengan ibu, Ain akan bahagia dengan dia.”

“Macam mana ibu yakin Ain boleh bahagia dengan dia? Ibu kenal ke dia,” soal Ain bersama seribu satu persoalan. Bagaimana calon pilihan ibu boleh menyakinkan ibu.

“Mesti la ibu kenal. Takkan la senang-senang ibu nak terima dan mempertaruhkan masa depan anak ibu ni.” Dagu Ain dicuit lembut.
Ain jadi tidak sampai hati untuk terus membantah. Mungkin ini yang sudah tertulis untuknya.

Puan Azma tarik nafas lega. Syukur Ain tidak lagi membantah. Harap pilihannya ini tidak salah. Melihat kesungguhan anak lelaki Puan Ainun ketika datang bertandang dulu benar-benar buat naluri keibuannya tersentuh. 

Pada mulanya memang dia juga tidak bersetuju untuk mengizinkan Ain berkahwin di usia semuda ini. Tapi jaminan dari lelaki itu buat dia fikir semula keputusannya.

Teringatkan raut bakal menantu yang datang merayu tempoh hari. Lelaki itu tidak segan silu mengakui isi hati terhadap anak perempuannya. Zahar, ibu harap Zahar pegang janji-janji Zahar tu. Jangan kecewakan Ain.

“Ibu...” Ain gugah lengan ibunya yang nampak seperti ralit memandang ke arah sesuatu. Duduk berhadapan dengan ibu, dia malas untuk menoleh kebelakang. Jika diperhatikan tiada apa yang menarik hanya pengunjung yang makin ramai masuk ke kawasan restoren.

“Ayah kamu...”

Serta merta Ain pandang ke arah yang dimaksudkan ibunya. Benar, batang tubuh  ayah menyusun langkah menghampiri mereka. Lambaian tangan ayah dibalas.

“Ayah tak kerja ke?” Ain tarik kerusi di sebelah mempelawa ayahnya duduk. Terkejut dengan kemunculan si ayah.

“Cuti la untuk anak kesayangan ayah.” Encik Nasaruddin letakkan tangan di bahu Ain. Senyum lebar. Tak sangka jodoh si anak sulung sudah tiba.

“Ayah tau ke along nak..” Ain kerutkan  dahi. Tunak memandang ke arah ibunya. Melihat anggukan ibu, Ain tarik nafas lega. Dia sendiri masih berbolak-balik bagaimana mahu menjelaskan kepada ayah kalau saja ayahnya bertanya mengapa tidak habiskan dulu belajar.

“Along, mesti la ibu beritahu ayah. Walaupun ayah dengan ibu dah ada kehidupan sendiri along tetap tanggungjawab ayah selagi belum berkahwin.”

“Terima kasih, ayah.” Ain tunduk memintal jari sendiri. Alangkah bahagianya kalau memang perkahwinan ini adalah pilihan dia. Pasti dia lebih teruja dengan kesudian ayah meluangkan masa mencari barang untuk majlisnya.

“Apa lagi yang belum beli ni?” Encik Nasaruddin pandang Ain.

“Hantaran dengan baju nikah.”

“Awak dah ada tempat nak pergi cari barang-barang hantaran ke?” Encik Nasarudin duduk tegak menghadap bekas isteri. Dia mahu sama-sama menyediakan keperluan majlis perkahwinan anak sulungnya ini.

“Saya ingat nak tengok dekat Mihada tu je. Dengar kata dia orang memang ada set yang dah siap. Kita cuma tunggu pilih je. Harga pun mampu milik.” Cadang Puan Azma.

“Kita tengok dekat situ dulu. Kalau tak berkenan kita pergi Nilai. Dekat sana lagi banyak pilihan.”

“Ain setuju ke?” Dua pasang mata memandang Ain.

Ain angguk setuju. Semua urusan diserahkan bulat-bulat kepada ibu dan ayahnya.

Ain perhati dua insan yang sedang rancak mengatur itu dan ini. Sudah boleh berbincang dengan aman tanpa meninggikan suara. Sekurang-kurangnya majlis perkahwinannya mampu memdekatkan ibu dan ayah semula. Syukur!

Sebaik sahaja si ayah bangun menuju ke kaunter pembayaran, Ain bangkit dari kerusinya. Kerusi di sebelah ibu ditarik.

“Bu, bila ayah tahu pasal Ain  ni?”

“Hari yang sama keluarga Zahar datang merisik.” Bersahaja jawapan Puan Azma.

“Ayah tak marah ke?” Hujung bibir diketap.

“Buat apa nak marah. Lagipun ayah yang setuju sebelum ibu.”

“Serius?” Ain bulatkan mata.

“Tak percaya Ain tanya la dekat ayah.”

Ain geleng kepala.

“Ain percaya.” Rendah

“Jom, tu ayah dah sampai.”  Puan Azma tolak kerusi sebaik sahaja melihat Encik Nasarudin menghala ke arah mereka.

Ain tolak kerusi mengekor langkah ibunya yang sudah menyaingi langkah ayahnya. Dalam kepala tidak henti-henti berfikir bagaimana ayah boleh setuju.

 Bagus sangat ke si Zahar ni?


No comments:

Post a Comment