Saturday, 4 February 2017

Bab 2 : KALAU ADA JODOH 2 - MIMIE AFINIE


Bab 2

“UMI... mari sarapan dulu.” Pyan yang baru masuk ke kamar meletak secawan milo, juga sepinggan roti bakar atas meja kecil. Kemudian dia sendiri pergi kepada si isteri yang sedang baring atas katil. 

“Abi tu dah sarapan ke belum?”

“Dah.”

“Abi sarapan apa?”

“Hati-hati, sayang. Bangun pelan-pelan.” Tidak menghiraukan soalan Rini, Pyan membantu isterinya untuk duduk. Setelah pastikan isterinya selesa, dia menarik meja kecil agar lebih dekat dengan katil. Lalu dia sendiri melabuh duduk di birainya.

“Abi sarapan apa tadi?” Lagi sekali Rini bertanya. Tak kalih pandangan dari wajah si suami.

“Hari ni mak buat mi goreng.”

“Mi goreng? Sedapnya.”

Sengaja Pyan buat-buat tak dengar.

“Roti bakar aje ke, abi?” Matanya, Rini bawa pandang beberapa keping roti bakar dalam pinggan. Terbayangkan mi goreng emak, roti bakar yang masih panas itu terus nampak macam tak sedap.

“Habis umi nak sarapan apa? Nasi lemak, lontong, roti canai telur?” usik Pyan. Baru sepuluh hari dalam pantang, isterinya sudah banyak merungut. Kononnya dia jemu asyik makan makanan yang sama. Kata Rini lagi, dia rindu nak makan masakan emak yang macam-macam. Sebab itulah setiap kali emak memasak di dapur, Rini sibuk nak tahu emak tengah masak apa? Lepas tu minta nak makan benda yang sama macam orang lain.

“Nak mi goreng mak.”

Pyan jegil mata. Dah mulalah tu.

“Yalah, asyik makan roti bakar aje. Minum petang pulak biskut kering. Dah sepuluh hari makan benda yang sama, bosan la, abi.”

Pyan rasa kesian pula dengan rungutan Rini tu tapi mana boleh ikut kehendak dia sangat? Kenalah bertegas sikit.

“Nak cepat sihat tak?”

“Mesti la nak.”

“Kalau nak cepat sihat, jangan banyak cakap. Makan aje apa yang orang bagi. Kat luar sana, ada yang sampai tak makan, tak minum sebab kemiskinan. Umi patut bersyukur tau dapat makan roti bakar ni?”

Ke situ pula. Dia teringin nak makan mi goreng emak saja pun. Yang Pyan melalut seolah-olah dia tak bersyukur dapat makan roti bakar tu, kenapa?

Muncung Rini dah panjang. Sejak dia dalam pantang, Pyan dah pandai membebel. Tak boleh tersilap cakap sikit, memang kena leterlah jawabnya.

“Buka mulut.” Pyan menghantar roti yang sudah dicicah dengan Milo panas ke mulut Rini. Hendak tak hendak Rini menyambut.

“Sedap, kan?”

“Sedap sangat-sangat.” Memanglah roti bakar sedap, tapi kalau dah setiap hari duk hadap, benda sedap pun jadi tak sedap.Pyan gelak. Tahu Rini tak ikhlas.

“Tak lama pun seratus hari tu, umi. Lepas tu suka hati umi nak makan apa pun. Tak payah dah roti bakar, biskut kering semua tu.” Sambil menyebut begitu, roti bakar disuakan ke mulut si isteri lagi.

“Pantang makan mana sampai seratus hari, bi?” “Dah tu berapa hari?”

“Empat puluh empat hari aje.”

“Habis yang Mak Yam cakap dekat abi, umi kena pantang sampai seratus hari tu, pantang apa pulak?” Pyan tayang muka tercengang.

“Pantang dekat.” Selamba Rini balas.

“Pantang dekat? Apa tu?” Besar mulut Pyan. Tapi selepas tu dia ketawa bukan main kuat lagi. Baru faham apa yang Rini maksudkan.

“Nakal isteri abi ni.” Belum habis lagi tawa Pyan. Nasib baiklah Anas ada kat luar bilik dengan emak. Kalau tidak harus melalak budak tu. Kuat sangat abinya ketawa.

“Tapi kan mi, tak lama sangat ke seratus hari tu? Macam tak patut la pulak kan?” Pyan merungut.

“Amboi, tiba-tiba pulak kata tak patut. Kalau umi kena pantang makan sampai seratus hari, patut pulak? Patut ke, tak patut ke... dah memang itu yang orang kita amalkan sejak dulu. Ikut ajelah.”

“Boleh ubah suai balik kut tempoh tu. Tak payah nak ikut sangatlah umi.”
Rini mencebik. Malas nak layan.

“Cukup la, abi. Dah kenyang,” ujar Rini setelah dua keping roti bakar selamat masuk ke perut.

“Ada lagi satu... habiskan.”

Rini geleng. “Tak nak.”

Meja kecil, Pyan tolak ke tepi semula.

“Hulur kaki umi, abi pakaikan stoking. Tapi sebelum tu, bagi abi sapu minyak panas dulu kat kaki tu.”

Sambil Pyan menyapu minyak panas di kedua- dua belah kakinya, Rini tak pandang ke tempat lain langsung. Hanya wajah Pyan yang dia tatap. Tiba-tiba dia rasa nak menangis. Bukan sebab sedih, tapi terharu. Pyan sangat memanjakan dia, juga mengambil berat. Lebih- lebih lagi sejak Anas lahir.

Istimewanya layanan Pyan buat dia rasa seperti puteri raja. Bila Pyan berjanji akan buat kesemuanya, memang dia buat. Janjinya ditepati. Tak cukup menguruskan dia, Anas juga Pyan yang uruskan. Cuma itulah, dalam menolong Pyan suka membebel. Tapi salah dia juga. Benda yang orang larang itulah yang dia suka buat. Macam manalah Pyan tak bising.

“Abi tak penat ke?”

“Nak penat kenapa?”

“Layan umi... layan Anas. Dengan kerja abi lagi.”

“Untuk anak dan isteri abi... abi tak pernah rasa penat. Makin bersemangat adalah. Abi rasa seronok dapat buat semua ni.”

Wajah suaminya dipandang lagi. Air jernih dah bertenggek di bucu mata. Sebentar lagi pasti merambu ke pipi.

“Umi nak nangis, boleh?”

“Laa... tiba-tiba aje, kenapa?” Pyan berhenti sapu minyak panas. Wajah isterinya ditatap, hairan.

“Umi tersentuh. Abi selalu buat umi rasa, umi isteri paling bertuah kat Malaysia ni.”
Pyan tak boleh tahan diri daripada gelak. Ingatkan apalah tadi. Bikin saspens betul Rini ni.

Sudahnya Rini betul-betul menangis. Berderai- derai air mata yang jatuh ke pipinya.

“Sayang... tak nak macam ni. Orang dalam pantang mana boleh nangis-nangis? Tak elok.” Sehabis lembut Pyan pujuk. Pipi isterinya yang basah dilap menggunakan jemarinya.

Melihat Rini yang terus-terusan menangis, Pyan naik atas katil, duduk rapat di sebelah isterinya. Kemudian tarik Rini ke dalam pelukannya.

“Sudahlah tu. Nanti mak ingat kita gaduh pulak.”

“Umi nangis bukan sebab umi sedih... umi bahagia.”

“Kalau macam tu abi pun nak nangislah. Abi pun bahagia macam umi.” Sengaja Pyan berseloroh. Tapi matanya sendiri dah rasa berkaca.

Rini tak buat komen pun. Sebaliknya semakin mengemaskan pelukannya.

“Cukup... cukup. Seram sejuk aje abi rasa bila umi peluk abi macam ni. Jadi, sebelum berlaku perkara yang tak diingini, lebih baik abi keluar dari sini.” Lepas cakap macam tu, Pyan segera meleraikan pelukan.

“Perkara yang tak diingini apanya? Mengarut aje abi tu.” Rini tampar bahu Pyan. Tampar-tampar manja.

“Silap... perkara yang diingini.” Pyan ubah kenyataan.


“Abiii!!” Rini jegil mata. Pyan ketawa.

No comments:

Post a Comment