USAI menyediakan sarapan, Zinn duduk termenung di hujung
meja. Semalaman dia tak boleh tidur terfikirkan Azan. Tak boleh!
Dia tak boleh terus menerus biarkan Azan dengan kemelut yang
diselebungi rasa tidak mahu berubah itu. Kalau dia hilang pelajar lagi, memang
makin kroniklah kemelut kewangan mereka nanti.
“Pagi-pagi dah termenung depan rezeki?”
Kerusi mejanya ditarik. Hujung mingu seperti ini, biasanya
akan lebih sibuk dikejar dek masa. Selepas sarapan nanti, dia kena bekejar ke
pusat tuisyen pula. Kelas akan bermula jam lapan setengah pagi.
“Menunggu si kembar tu.. Mana entah...”
“Sambung tidurlah
tu.”
“Student okey?” tanya Masyitah sambil menyuakan sudu ke mulut.
“Okay.”
“AA pun?” Kening terangkat seperti timbulnya tanda tanya di
benak Masyitah. Macam pelik je kalau semua okey.
“Bercakap pasal AA, hari tu dia selamatkan aku dari kena
kacau dengan budak yang melepak kat hujung jalan depan tu.” Sengaja tidak
disambung cerita tentang cara Azan menyelamatkannya.
“Oh! AA tu duduk lorong empat. Kalau Zinn perasan, rumah
yang paling besar tu rumah dialah. Biasa malam-malam kalau tak ada apa, akak
perasan dia memang suka main basketball kat court perumahan ni.”
Patutlah masa halau malaun-malaun tu, Azan baling bola
keranjang!
“Banyak pulak akak tahu pasal dia kan?” Kenapa dia tak
pernah nampak pun Azan sebelum ni?
Masyitah ketawa.
“Lah, dia kan satu sekolah dengan si kembar.”
“Oh, really?”
Ting!
Tiba-tiba dia dapat idea macam mana nak korek rahsia tentang
awek yang buat Azan putus semangat separa mati tuh!
“Yang Zinn tiba-tiba excited ni kenapa?” Walaupun mulut
sibuk mengunyah, tapi akalnya juga sempat mengunyah tingkah Zinn yang aneh.
Teruja sangat pasal mamat AA tu dah kenapa? Tak kan dah jatuh suka kut?
“Bukan apa, masa kita orang berborak semalam, Azan ada
cerita pasal seseorang. Buah hati. So I guess, minah tulah yang kecewakan Azan
sampai dia hilang semangat nak belajar tuh.”
Sudu yang sedari tadi berlaga dari pinggan ke mulut, terus
diletakkan.
“Bercakap? Zinn dah bercakap dengan mamat AA tu? Zinn
berjaya buat dia bercakap?” Serius, selama ini jika ditanya dari cikgu-cikgu
tuisyen sebelum ini, memang tak ada orang yang berjaya membuka mulut Azan.
Hampir- hampir orang menyangka yang Azan itu bisu.
“Apa selama ni dia tak bercakap langsung ke?” “Dengan akak
memang tak pernah.”
“Apa yang akak berdua ralit sangat berborak tu?” Ainul, si
adik kembar mereka muncul dengan rambut yang serabai.
“Kita orang cerita pasal AA.”
“Oh, mamat Air Asia a.k.a Aaron Aziz?” Anak mata Ainul terus
terbeliak. Segar bila telinga menjamah nama lelaki itu.
“Aaron Aziz?” Terjungkit sedikit kening Zinn. Muka Azan tu
jauh benar dari Aaron Aziz.
“AA kan?” Serentak Ainul dan Masyitah menjawab.
Ahmad Azan dan Aaron Aziz. Macam-macamlah orang sekarang.
“Hmm... Ain baik ke dengan dia?”
“Mana ada orang baik dengan dia,” jawab Ainul sambil
menyuakan sudu ke mulut.
“Habis tu kalau dia main basketball?”
“Dia main sorang-sorang.”
Jatuh rahang Zinn. Ada jugak orang main sorang- sorang? Ke
Azan ni kawan halusinasi? Berkawan dengan bunian?
“Erk.. Ain tahu tak sebelum ni dia couple dengan siapa?
Siapa awek dia? Kalau Ain tahu, boleh tak bagitahu dekat Kak Zinn siapa
perempuan tu?”
Soalan yang bertubi-tubi dari Zinn membuatkan Ainul ketawa.
“Kak Zinn, dia baru je pindah hujung bulan sepuluh tahun
lepas kalau tak silaplah. Sejak dari hari tu, dia memang sorang-sorang dan tak
pernah berkawan. Tapi ramai sebenarnya budak kelas Ain yang minat dekat dia.
Entah... dia nampak cool kut!”
“Ooo.. sebelum ni dia sekolah mana?”
“Tak tahu.”
“Mungkin awek dia budak sekolah lama kut? Dia tak nak pindah
tapi kena paksa dengan ayah dia? Jadi dia boikot. sebagai tanda untuk tunjuk
protes pada mak ayah dia, dia berkeras tak nak terus belajar.” Kemas pulak
simpulan cerita yang Zinn buat. Kagum dua minit dengan diri sendiri.
“I see.... Mungkin sebab itu kut dia kekurangan kasih
sayang.”
Ainul mengangguk.
“Hilang mak ayah di usia kita baru nak belajar kenal dunia,
memang menyakitkan.” Perlahan dia bersuara sambil meneruskan suapan.
Kali ini mata Zinn bergenang. Terkenangkan kehilangan yang
mereka rasai. Dikerling ke arah adiknya. Kasihan si kembar yang kehilangan
kasih sayang ibu dan ayah di saat umurnya baru berusia tiga belas tahun.
Zinn sauk bahu Ainul. Dia yang dikira sudah matang ketika
itu pun hilang punca dibuatnya. Hampir- hampir terkandas semester itu.
“Tapi... Ain syukur sebab Allah bagi dua kakak hebat macam
Kak Zinn dan Kak Mas. At least, akak berdua tak serah kita orang ke rumah anak
yatim. Nakal-nakal kami pun, akak berdua sabar je...” Suara Ainul terus sebak
menghulur rasa. Tetap bersyukur walau ada abang pun jenis tak guna! Serupa tak
ada.
“Tak payah bagi dialog air matalah. Geli.” Terus Zinn bangun
mengangkat pinggan ke singki.
Sebenarnya kolam air mata Zinn dah panas. Menunggu untuk
pecah sahaja. Ayat potong bawang betullah! Dia pun risau kalau ada apa-apa yang
kurang ketika membesarkan Ainul dan Sumaiyah nanti.
Sejak mereka kehilangan ibu dan ayah, diakui hidup mereka
jadi kacau bilau. Masyitah terus mengambil alih pusat tuisyen untuk meneruskan
legasi peninggalan ibu bapa mereka. Sekaligus, itulah pendapatan utama keluarga
mereka.
Rezeki Uthman pula, dia mendapat tawaran menjadi pembantu
jurutera di sebuah syarikat swasta. Tapi dari hari ke hari, perangai Uthman sudah
jauh berubah.
Dan sekarang, Zinn membantu untuk mengurangkan kos tenaga
pengajar di pusat tuisyen itu. Duit simpanan yang ditinggalkan oleh ibu dan
abah disimpan untuk kegunaan si kembar untuk melanjutkan pelajaran nanti.
Seberat apa pun masalah yang mereka hadapi nanti, dia perlu
kuat!
HARI ini kelas berjalan seperti biasa. Tamat masa
mengajarnya, whiteboard yang dipenuhi dengan contengan dibersihkan. Sekelip
mata, kelas yang dipenuhi dengan pelajar tadi lengang. Biasanya mereka
diberikan rehat setengah jam sebelum bermula subjek seterusnya.
Dari dalam cermin kaca bangunan, dia nampak Azan berdiri di
tepi jalan. Dan di hadapannya, ada seorang gadis yang menghulurkan sesuatu.
Tapi Azan langsung tidak mempedulikan gadis itu.
Agaknya... itulah gadis yang dah kecewakan Azan?
Tanpa menunggu lagi, cepat-cepat dia keluar dari kelas. Dia
perlu mendapatkan gadis itu. Dia perlu tahu asal usul cerita mereka jika hendak
bertindak mencari penawar untuk menyembuhkan penyakit tak mahu belajar Azan
itu.
Turun ke bahagian bawah, matanya menyelongkar sekeliling.
Aiseh. Mana pergi budak tu? Mengikut gerak hati, dia terus membawa langkah ke
arah kanan.
“Kenapa? Kenapa awak tak boleh terima saya?” Sayup-sayup
kedengaran suara seorang gadis yang sayu.
Cepat-cepat ditekan brek mengejut apabila menangkap susuk
tubuh Azan yang sedang membelakanginya itu. Tak tunggu lama, dia menyorok di
balik tiang.
“Maaf. Saya tak boleh.”
“Awak dah ada orang lain?” soal si gadis.
Diam.
“Tapi saya betul-betul sukakan awak!”
“Sorry. Saya tak suka bercinta masa sekolah.”
“Maksud awak, saya boleh sukakan awak jika kita habis
belajar nanti?”
Azan lepaskan nafas.
“Awak boleh suka saya. Itu hak awak! Tapi awak tak boleh
paksa saya sukakan awak balik sebab itu hak saya! Saya tak suka nak ulang ayat
ni banyak kali. Dan tolong jangan ganggu saya lagi. Lagipun, awak nak SPM tahun
ni kan? Baik awak fokus dengan pelajaran awak je.”
“Saya boleh bantu awak? Saya tahu awak lemah dalam
pelajaran. Kita boleh belajar sama-sama. Nanti kita boleh masuk universiti yang
sama.”
“Tak perlu. Saya dah ada cikgu tuisyen.” Cepat Azan
menjawab.
“Tapi...”
“Kau nak aku guna bahasa pelempang ke?” Nada suara Azan
sudah meninggi.
“Azan...” Si gadis sudah melelehkan air mata.
“Blah sekarang!” Satu arahan keluar dari bibir Azan.
“Dah habis mengintip orang?” Azan sandarkan badan di balik
tiang batu itu.
Zinn ketap bibir. Aik? Mamat ni perasan? Ada mata kat
belakang ke macam mana? Lambat-lambat dia keluarkan kepala.
“Mana awak tahu cikgu intip awak?” Keluar soalan versi tak
berdosa lepas mengintip orang.
Soalan itu dibiar tak bersambut lalu dia meninggalkan cikgu
tanpa jawapan.
“Azan, tunggu!”
Walaupun lelaki ini berjalan, tetapi Zinn tetap perlu
berjalan dua kali lebih laju memandangkan kakinya tak sepanjang kaki Azan.
“First, sorry kalau awak ingat cikgu nak intip awak. Cikgu
tak ada niat nak langsung nak jadi Personal Investigation. Cuma cikgu tak
faham? Kalau sungguh awak tak nak belajar, kenapa awak tak ponteng kelas
tuisyen je? Kenapa awak tetap kena datang? Tapi buat-buat tak nak belajar dalam
kelas?” Menyambut diam Azan, Zinn tembak soalan lagi.
“Lepas tu, cikgu ingat budak perempuan tadi yang buat awak
kecewa sampai tak nak belajar tapi, awak yang kecewakan dia. Eh! boleh tak
jawab semua soalan cikgu? Cikgu penatlah bila semua persoalan ni menyentak otak
cikgu. Cikgu penat!” Serentak habisnya soalan Zinn, langkah Azan juga berhenti.
Termengah-mengah dia dibuatnya. Manakan tidak, oksigennya
digunakan dalam dua waktu yang serentak. Putus nafas dibuatnya.
“Kenapa cikgu berminat sangat dengan masalah saya?”
“Cikgu tak minat pun dengan masalah awak tu budak!”
“Habis tu cikgu minat dekat saya?” Sanggah Azan dengan muka
tanpa reaksi.
Huuwaa! Budak ni nak suruh dia menangis ke apa? Jenis soalan
apa tu? Beza umur mereka dalam empat tahun kut! Dia ni waras lagi nak sukakan
lelaki ini!
“Awak mengarut apa ni Azan?”
“Tak lah, dalam kelas cikgu tu ada berpuluh lagi manusia
yang cikgu boleh ambik tahu. So, kenapa saya yang jadi pilihan cikgu? Adakah
aura yang saya miliki terlalu kuat sampai cikgu nak berkepit memanjang dengan
saya?”
Bibirnya diketip.
Sebab dia orang tu tak ada masalah mental macam kau ni
budak.'
Kalau ikut tabung marah, memang jawapan itu akan menjadi
makanan telinga Azan. Tapi sedang Zinn berkira-kira nak bagi jawapan skop bijak
sikit, ayat Azan dah bagi dia signal untuk dia pesan kain kafan siap-siap.
“Macam ni lah cikgu, kalau sungguh cikgu minat dekat saya,
minat tentang hidup saya, saya nak hantar rombongan masuk meminang. Lepas kita
kahwin, saya akan jawab semua soalan yang berkampung dalam benak cikgu tu. Apa
macam? Berminat?”
Terjongket kening Zinn. Liur ditelan. Mendengarkan soalan
Azan, rasa macam malaikat maut datang kirim salam pun ada!
No comments:
Post a Comment