Saturday, 4 February 2017

Bab 2 : LELAKI UNTUK ZINN - EZZA MYSARA


DARI arah belakang, Zinn pandang Azan yang sedang mengutip bajunya di atas jalan tar kemudian disarung ke badan. Dia yang tengok pula yang rasa malu.

“Rumah kat mana?” tanya Azan apabila mereka sudah terlepas daripada mat motor tadi.

“Hei budak, awak cakap apa tadi hah?” Zinn tak puas hati. Ada ke patut cakap dia perempuan simpanan? Lepas tu siap dengan pakej ada HIV? Kelas tahap berapa pemikiran mamat ni?

“Kenapa? Tak suka?”

Ulang balik soalan tu? Memang dapat penumbuk lah.

“Hei.. cuba cakap dengan cikgu perempuan mana yang suka bila dilabel macam gitu?” Angin dah sampai ke kepala.

Dia boleh bersabar bila Azan buat derk padanya dalam kelas, atau langsung tidak pedulikan sekeliling. Tapi kali ini budak ni memang melampau!

“Cikgu pilihlah, nak dilabel macam tu atau nak jadi lauk mat motor tu!” Kalau tak guna alasan macam tu, ingat boleh lepas ke?

“Dia orang mengusik aje kut.” Waras ke tidak paras husnuzon dia ni?

“Cikgu ni naif sangat. Orang macam tu sanggup buat apa sahaja untuk ngap perempuan. Kalau saya tak datang tadi, kemungkinan esok akan keluar tajuk akhbar, seorang gadis dicampak ke longkang setelah menjadi mangsa rakus sepuluh orang lelaki...”

“Whoo... Whooo.. itu dah lebih.” Habis berselerak bulu romanya. Dah apahal headline nak gerun semacam tu?

“Itu baru sikit.” Azan terus serius berjalan ke depan. Tapi tetap dipastikan jarak dia dengan cikgunya tidak terlalu jauh.

“Kalau awak tahu dia orang tu jahat sangat, kenapa awak tak belasah je dia orang? Kan senang? Esok lusa saya nak lalu situ, dia orang dah tak ada.”

“Cikgu ni mesti banyak tengok drama pukul tujuh kan?” soal Azan sarkastik.
Ceit! Apa kaitan dengan drama pulak?

“Cikgu ajar subjek add math kan? Sepatutnya cikgu tak gagal matematik basic. Tak kan cikgu tak boleh kira ada berapa orang tadi? Lebih dari sepuluh. Tak kan saya nak pertaruhkan nyawa saya untuk selamatkan cikgu? Tak berbaloi! Bukan saya boleh lulus add math pun.”

Boleh koyak biji mata Zinn dikerjakan dek budak ni. Ialah, asyik nak beliakkan mata bila telinga menangkap ayat yang menyakitkan hati tu.

“Kalau awak nak lulus add math, awak kena banyakkan latihanlah budak. Kalau awak tolong cikgu tadi, awak dapat pahala. By the way, cikgu ingat awak ni bisu. Rupanya boleh bercakap jugak ya?” Selama di dalam kelas, tak pernah pulak dia tengok AA bagi respons.

Terus diam.

Azan menghentikan langkah dan berpaling ke belakang.

Kali ini Zinn telan liur. Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau ke macam mana ni?

“Rumah? Rumah cikgu kat mana? Atau cikgu nak balik rumah saya? Nak tumpang katil saya?”

Terjojol lagi biji mata Zinn.

“Tak. Kelakar!”

“Saya tak buat kelakar pun.” Lurus Azan membalas.

Akhirnya, satu keluhan dilepaskan. Buat habis oksigen jelah bercakap dengan budak ni.

“Lorong sana tu je. Cikgu boleh balik sendiri.”

“Biar saya hantar.”

“Hei budak, jangan degil boleh tak? Dah nak sampai dah pun.”

“Sorry cikgu. Saya memang budak degil. Saya jenis tak faham bahasa. Dan saya tak boleh terima arahan. Jadi saya akan teman cikgu sampai ke rumah.”
Dah apahal tiba-tiba tunjuk perangai caring tu entah? Dalam kelas asyik nak annoying je.

“Jangan ingat saya caring sangat,” tempelak Azan tak semena.

Wajah Zinn berubah. Tak sangka lelaki ini boleh baca fikirannya.

“Okey, ini rumah cikgu. Awak pergi balik."

Eh, rumah awak dekat mana?” Kalau kira, taman perumahan ini jauh juga dari pusat tuisyen mereka jika berjalan kaki.

“Kenapa? Cikgu nak hantar pinangan sebab saya dah jadi hero untuk cikgu malam ni?”

Kena lagi dengan budak sorang ni.

“Tak hingin aku budak tak cukup umur macam kau tuh!” gumam Zinn perlahan.
Azan cuba sembunyikan senyuman. Telinga lintah dia ni dapat sahaja menangkap kata-kata itu dengan jelas.

“Cikgu, lain kali ada otak tu guna elok-elok. Jangan buat cara tak bijak pergi lalu jalan belakang tu bila dah pukul dua belas malam. Cikaro cari pelanggan je buat perangai macam tu. Tak guna cikgu ada degree sekalipun kalau benda simple macam gini cikgu tak boleh fikir.”

Jatuh rahang Zinn. Dia smash tak pandang kiri kanan langsung kan?

“Hei budak....”

Azan yang baru memulakan langkah, berhenti. Berpaling sedikit.

“Thanks. Cikgu tak tahulah kalau..” Belum habis dia menyudahkan ayat, lelaki itu terus berlalu.

“Ayat drama tu simpan jelah.” Azan berlalu dengan riak muka kosong.

Ya Allah, sakitnya otak layan budak ni!


TAK tahulah kenapa malam ini Zinn berkobar sungguh untuk mengajar. Mungkin sebab tak sabar nak tengok reaksi Azan. Manalah tahu mamat tu dah berubah ke? Tak paranoid untuk berada dalam keriuhan kelas.

Tapi hampa...

Kerana reaksi Azan sama seperti hari sudah. Heartless.

“Azan, ada apa-apa yang awak nak cikgu tolong?” soal dia ketika semua pelajar sedang membuat latihan yang diberikan.

“Azan! Awak dengar tak apa yang cikgu cakap ni?” Lontaran suaranya hampir naik. Pelajar yang lain sudah mula angkat wajah. Memerhatikan ke arah mereka.

“Nampaknya sabar cikgu dah menemui nokhtah.” Hannah pandang Suraya.

“Lepas kelas ni, jumpa saya!” Zinn tak kisah kalau AA nak menjawab sekalipun, tapi janganlah bagi reaksi kosong macam gitu. Malu tahu tak?! Baru nak acah-acah garang.


SATU demi satu pelajar keluar dari kelas, tinggalkan dia bersama Azan yang masih duduk di mejanya. Dia tenang memandang ke luar tingkap. Saban waktu pun, begitulah reaksinya.

Dicukupkan oksigen di dada. Moga sabarnya juga mampu dipamkan sama. Kerusi di hadapan Azan ditarik.

“Azan, awak tahu kan semua masalah ada jalan penyelesaian? Saya percaya dan saya boleh rasa, awak bijak orangnya. Kalau result awak tak okey masa PMR, tak kan lah awak boleh masuk aliran sains kan? Jadi kenapa awak nak musnahkan masa depan awak dengan kelakuan macam ni? Awak cuba nak memberontak? Untuk apa?”

Sebenarnya Encik Ahmad Tarmizi ada datang bertemu kakaknya siang tadi. Mengamuk dek kerana pencapaian anaknya di sekolah yang masih sama. Langsung tak menampakkan sebarang perubahan.

“Saya bayar awak bukan untuk dia dapat result macam ini!”

Dia yang baru hendak menolak pintu bilik kakaknya itu terus terpaku apabila menangkap suara garau itu melepaskan amarah.

“Encik Mizi, encik sendiri tahu masalah yang anak encik hadapi. Kalau dia sendiri tak berubah, kami tak ada daya walaupun kami ada cikgu tuisyen terbaik sekalipun dalam dunia ni.” Tenang Masyitah menghulurkan hujah.

“Itu sebab saya hantar ke sini! Supaya korang cikgu-cikgu dapat buat dia tertarik nak belajar!”

“Tapi kalau....”

“Tak ada tapi-tapi. Saya nak lihat result yang lebih memuaskan nanti. Kalau masih sama je, saya tak teragak- agak nak hantar anak saya ke pusat tuisyen yang lain. Mark my word Cik Mas!”

Melihatkan Encik Tarmizi beransur bangun, cepat- cepat dia menyorok.

“Itu je ke yang cikgu nak tanya?” Soalan Azan mengembalikan Zinn ke dunia nyata.

Aiseh. Dia ni ada masalah apa ya? Kalau tak ada orang, boleh pulak dia bercakap?

“Cikgu nak tanya sikit boleh?”

“Cikgu tak serik? Soalan tadi pun saya tak jawab lagi.” Kening diangkat sedikit. Mengusik. Watak cikgu yang acah-acah garang, kuat membebel dan innocent itu selalu mengingatkan dia pada arwah neneknya. Sejak dia jumpa cikgu, rindu dia pada nenek makin menggebu. Tapi kadang-kadang terus surut bila menangkap bebelan cikgu.

“Budak, awak ni memang ada hobi yang suka menyakitkan hati orang ya?” Kalau adik dia ni, mahu dah selamat kepala itu diluku-luku.

“Itu ke soalannya?”

“Eh bukan...” Kedua belah tangan terawangan di depan. Nafas dilepaskan. Penatnya bercakap dengan budak ni! Dadanya sesak macam baru berlari dua ratus kilometer!

“Awak ada penyakit ke?”

Berkerut dahi Azan.

“Penyakit? HIV ke?” Tak kan cikgu betul-betul ingat dia ada penyakit HIV kot?
Mengucap panjang Zinn dibuatnya. Kalau macam ginilah rupa bentuk perbualan mereka, memang sampai ke tahun depan tak ada kesudahan.

“Bukanlah budak...” Yang dia nak tanya, Azan ni ada penyakit Anxiety Disorder ke? Sejenis kebimbangan bila berhadapan dengan orang ramai. Sebab tu tak pernah bercakap dalam kelas? Takut berhadapan dengan orang? Tapi asal mereka berdua, banyak pulak mulut budak ni?

“Manalah tahu cikgu betul-betul ingat saya ada penyakit HIV tu. Cikgu jangan risau, saya teruna lagi.” Sempat dikenyitkan mata pada cikgu yang masih berdiri di hadapannya.

What?! Wajah Zinn terus disimbah merah. Dialog ini tak sepatutnya diucapkan oleh seorang budak lelaki yang berumur tujuh belas tahun! Kenyit mata pulak tu!

“Awak tak perlulah cakap semua tu pada cikgu! Lagipun, cikgu tak cakap apa-apa pun kan?!”

Azan gelak kecil. Terhibur dengan gelagat cikgu. Cepat panik!

“Hei budak, siapa suruh awak ketawa hah? Siapa yang buat lawak?” Beg Azan yang berada di atas meja terus diangkat dan dihempuk ke bahu Azan.

Kali ini tawa Azan makin galak!

“Cikgu mengingatkan saya pada seseorang...” Kali ini terhenti pergerakan Zinn.

“Buah hati?”

Bahu diangkat sedikit. “Kind of.”

“Oh! I see. So sebab dialah awak down macam gini? Tak nak belajar dan memilih untuk jadi biawak hidup? Common lah Azan, awak muda lagi kut. Sorang pergi, banyak lagi menanti.” Kan dah tertayang versi perempuan penyibuk.

Azan bangun. Beg disandang ke bahu.

“Hei, cikgu tak habis lagilah.” Sindrom si kakak- kakak yang suka mengarah dah keluar.

Langkahnya terhenti.

“Cikgu, dah pukul sebelas lebih. Saya rasa tinggal kita berdua je dalam bangunan ni. Cikgu tak takut kena tangkap basah dengan saya ke? Ke cikgu memang nak kahwin free?”

Gulp! Tangkap basah. Dengan budak ni? Tak hingin dia!

Alamak, macam mana dia boleh tak sedar yang suasana sudah bertukar sunyi. Sudah pasti, budak dari kelas yang lain telah keluar.

Cepat-cepat dicapai beg tangannya. Usai memastikan bangunan sudah kosong, dia mula mengunci pintu utama. Apabila dia berpaling, dalam samar-samar cahaya matanya menangkap susuk tubuh seseorang.

Spray pemedih mata dikeluarkan!

“Kalau kau datang dekat, aku spray mata kau! Biar buta!”

Meletus tawa lelaki itu.

“Cikgu ni buat lawak lah!”

Azan?!

“Bukan awak dah balik ke? Awak tunggu apa lagi ni?” Budak ni, buat organ dia huru-hara jelah!

Suka muncul tiba-tiba.

“Mari saya hantarkan balik.”

“Awak?” Jari telunjuk dituding ke badan Azan.

“Budak umur tujuh belas tahun? Nak hantar saya balik?” Terus dia ketawa di hujungnya.

“Jangan buat kelakarlah!” sambung Zinn sambil menyudahkan tawa. Makin lama, makin dia tak faham dengan budak ni.

“Fine.” Tanpa pamitan, terus Azan mendapatkan kereta yang berada di bahu jalan. Usai masuk ke dalam perut kereta, terus Toyota Alphard itu meluncur laju membelah langit malam.

Zinn masih terpinga-pinga sendiri sambil menggaru kepalanya.

Huwaaa!!!

Manalah dia tahu Azan pelawa dia naik kereta! Ingatkan nak teman naik bas. Menyesal pulak jual mahal. Budak Azan ni pun satu, patutlah awek lari tinggalkan dia! Bukan nak pujuk bersungguh-sungguh?

Cepat-cepat dilalukan langkah ke perhentian bas. Nampaknya dia kena cepat-cepat ambil lesen kereta.

Belum pun sampai di perhentian bas, kakinya sudah terpasak di hujung jalan. Manakan tidak, matanya telah menangkap kelibat seorang lelaki yang tidak siuman sedang menggeledah tong sampah.

Aish, kan best kalau abang dia tu baik, mesti dia tak teragak-agak nak capai telefon dan mengarahkan agar si abang mengambilnya di sini. Nak mintak tolong Kak Mas, dia jadi tak sampai hati. Seharian kakaknya kepenatan menguruskan Pusat Tuisyen.

Pin!

Bunyi hon itu mematahkan langkah kaki Zinn! Sebuah kereta Toyota Alphard berhenti betul-betul di hadapannya.

Azan!

Bibirnya digigit. Malu jika terpaksa menjilat ludahnya kembali. Tadi beria sangat perkecilkan Azan kan?

Pintu terbuka dari dalam. Azan keluar dan bersandar di pintu kereta bahagian depan. Lengan disilangkan ke badan.

“Nak tumpang? Hmm.. sebab cikgu jual mahal tadi, jadi cikgu kena bayar caj tambang perkhidmatan. Sanggup?”

“Berapa? Kalau cikgu tak cukup cash, masuk buku 555 dulu eh?” Dia memang tak biasa pegang tunai banyak- banyak. Bimbang jika berlaku sesuatu di malam hari seperti ini.

“Naik cikgu, jangan layankan Azan tu.” Seorang lelaki yang berada di bahagian pemandu menyampuk perbualan mereka.

Dahi Zinn berkerut sendiri. Siapa yang lelaki separuh umur ini? Setahu dia, ini bukan ayah Azan.

Akhirnya, dia masuk juga ke dalam kereta.

“Azan nak balik terus? Atau ada nak pergi mana- mana?” Lelaki tua itu terus menyoal apabila pemanduan dimulakan.

“Ada.”

“Pergi mana?”

“Hati cikgu.”

Terbeliak biji mata Zinn. Hati cikgu?

Pak Tam hanya ketawa menangkap gurauan Azan.

“Balik terus Pak Tam. Tapi jangan lupa hantar cikgu dulu. Karang panik pulak dia dalam kereta ni.” Sempat lagi Azan mengusik. Selalu dalam kelas bukan main banyak cakap kan? Sekarang kenapa diam?

Zinn masih diserang tanda tanya.

Serius?

Budak ni pandai mengusik?


Berapa karakter yang budak ni pakai eh? Ke budak ni ada split pesonaliti?

No comments:

Post a Comment