Friday, 3 January 2014

Awek Pisang Goreng : Bab 1 & 2





Bab 1.


“Daus!”
Aku buat-buat tak dengar panggilan itu, terus tekun menulis di atas job sheet sehinggalah bahuku ditepuk kuat. Terconteng sedikit atas kertas dek tepukan kuat tu.
“Apahal?” soalku sedikit marah.
Saiful sengih. “Relax ah bang chor. Nak marah je kerja hang.” Dia masih sengih.
Aku diam dan kembali menghabiskan menulis laporan atas job sheet.
“Daus, esok jadi ke site work kat Nilai tu?”
Aku sekadar angguk. Pen aku selitkan dalam poket di dada kiri sebelum mengepit helaian job sheet di ketiak dan mencangkung untuk mengambil kotak-kotak alat pengukur yang aku gunakan tadi. Beberapa naskhah job sheet lagi aku ambil dari atas meja. Nak bawak naik, untuk siapkan laporan dan emel kepada pelanggan.
“Aku naik dengan hang esok. Hang ambik aku kat rumah.”
“Haa.” Jawabku pendek. Kotak alat pengukur aku kepit di sebelah kiri, sekali dengan job sheet tadi.
“Motor Alcom ni aku dah measure cover dengan shaft dia. Cover hantar kat Madurai, shaft tak payah. Lepas tu hang suruh Arip dengan Jowel basuh siap-siap, masuk oven. Esok nak varnish.”
Lepas je Saiful angguk tanda faham arahan, aku terus jalan menuju ke pejabat yang berada di tingkat atas. Safety boot yang tersarung di kaki aku tanggalkan dan menolak daun pintu pejabat. Udara sejuk menerpa tubuh yang kepanasan. Lega.
Sir, tadi En. Haziq call. Dia kata call handphone tak dapat. Dia suruh Sir return call.” Renu dah sampaikan pesan sebelum sempat aku masuk bilik .
Aku sekadar mengangguk. Pintu bilik pejabatku aku kuak luas dan kotak alat pengukur aku simpan kembali dalam almari. Job sheet tadi aku lemparkan atas meja dan menghempas punggung atas kerusi. Penat!
Sepagi tadi cuma berada di workshop kerana separuh daripada budak-budak workshop aku hantarkan untuk kerja-kerja preventive maintenance di sebuah kilang dekat Kapar. Yang tinggal dekat workshop adalah beberapa kerat sahaja. Itupun tenaga kurang mahir. Nak tak nak, memang aku pun kena ikut buat kerja sebab nak kejar delivery schedule.
Kerusi aku rapatkan ke meja. Aku menggeliat sekali sebelum mencapai tetikus. Baru saja membuka folder report, tangan terhenti. Eh, call dulu mangkuk ayun sorang tu.
Galaxy Ace yang dah bercalar balar aku keluarkan dari poket kargo. Cheh, padanlah mamat tu tak dapat call, aku letak dalam flight mode rupanya. Aku aktifkan talian semula, cari nama dan dail. Lalu telefon kutekap ke telinga. Sebaik panggilan berjawab, aku terus bagi salam.
“Waalaikumussalam bang chor. Hang awat main katup telefon pulak ni? Aku tibai jugak satgi, hang tau laa.”
Aku ketawa.
“Hek eleh, kecoh laa hang nih. Ha, ada apa hang carik aku?” Telefon bimbit aku kepit dengan bahu. File report dalam komputer aku buka. Job sheet atas meja aku selak-selak.
“Langkawi bukak tender. Aku nak ajak hang pi site visit duapuluh haribulan satni.”
Jari aku dah mula menaip report.
Job besaq sangat ka sampai nak panggil aku ni?”
“Besaq tak besaq sangatlah. Tapi sebab laa ni company aku duk tengah banyak gheja. Depa nak suruh sub kat hang la. Duapuluh ni, buleh dak?”
Aku angguk sahaja. Mata masih tertancap pada monitor komputer dan jemari masih pantas memasukkan data.
“Woi! Aku tanya nih! Duapuluh ni buleh dak?!”
Terkejut dengan jerkahan Haziq, Galaxy Ace jatuh atas meja. Aku sapu-sapu telinga yang terasa pekak sekejap. Kurang asam punya member. Aku ambil balik telefon dan pandang skrin, talian masih belum putus. Telefon kutekap kembali ke telinga.
“Woi! Hang ingat aku pekak?!”
Haziq dah ketawa berdekah-dekah. Memanglah dia ni teringin sangat nak makan sepak terajang aku. Dah lama jugak kot aku tak belasah dia. Last aku belasah dia masa buat kerja dekat Pasir Gudang setahun lebih yang dulu. Apa punya sengal mamat sorang ni aku pun tak taulah.
Baru kahwin tak sampai seminggu, boleh pulak tinggal bini dia yang cantik comel tu sorang-sorang kat rumah. Kalau aku, tak payahlah. Bagi je alasan apa pun, aku buat bolayan je. Habis je kenduri, tutup telefon terus sampai habis cuti. Naik kerja baru on semula. Hahahahah
“Dah tu on tak duapuluh ni? Tiket semua fully paid. Kita pi pagi first flight, balik malam last flight.”
Pergh! Pergi balik hari. ‘Dekat’ gila Langkawi tu. Well, kira dekat jugaklah bila naik flight tu, kan. Tak sampai sejam pun.
“Hang nak kejaq apa pi balik hari nih?”
“Kejar masa. Hang tengok kalendar laa sikit duapuluh tu hari apa.”
Spontan aku toleh ke arah kalendar kuda yang tergantung di dinding bilik.
“Hari Khamis. Awatnya?” Aku sambung taip report. Haziq dah gelak. Lain macam aje bunyi gelak dia tu. Something wrong somewhere sungguh.
“Kejar masa afdhal laa bai.” Tawa dia meletus, memekakkan telinga aku. Mula-mula aku blur jugak, lepas tu baru dapat tangkap. Barua punya member. Tercemar otak aku yang suci murni nih. Aku gelak juga kemudiannya.
“Duapuluh ni ok kan?”
Aku angguk lagi buat kesekian kalinya.
“Aku ok jaa. Hang laa. Satgi duk kelam-kabut, tak sempat pulak nak naik flight. Lepaih laaa waktu afdhal hang. Kesiaannn...” Aku sambung ketawa.
“Takdak. Takdak. Dua jam sebelum departure aku heret hang pi airport dah. Hang dah siap ka, hang belum siap ka, aku tak pedulik. Aku heret jugak.”
Aku dah tekan-tekan perut. Memang tak boleh blah betul mamat ni.
“Yalah, yalah. Dah, aku nak buat report nih. Nanti sembang len. Malam ni aku jumpak hang kat Ameer Ehsan kat Kota, bincang len. Hang bawak sekali dokumen aku nak tengok scope. Ok?”
“Ok, ok. Jumpak hang malam satgi. Lepaih Isya’ ok?”
“Ok, ok. No problem. Aku anytime jaa habaq nak jumpa, terus on. Bukan macam hang.” Sekali lagi tawa meletus.
“Oklah, aku nak sambung buat report ni. Jumpak malam ni. Assalamualaikum.”
Haziq jawab salam dan matikan talian. Telefon aku letakkan di hujung meja. Baru nak sambung kerja, perut aku dah berkeriut. Alamak, potong betullah.
Jam di pergelangan tangan kanan aku kilas sekali. Mak, padanlah lapar lain macam, ada dua puluh minit lagi nak pukul tiga rupanya. Aiseh, Zohor pun aku belum buat lagi. Chiss! Aku save dan tutup file. Telefon aku selit semula masuk poket. Semua job sheet aku angkat lalu keluar dari bilik.
“Renu, you taip report ni semua. Dah siap letak balik atas meja saya. Saya nak keluar lunch.”
Tak tunggu dia angguk, aku terus melesapkan diri turun ke surau di tingkat bawah. Gila lah boleh tak perasan time pulak. Rosak, rosak. Hish!
Usai fardhu Zohor, aku terus keluar dari bangunan pejabat. Dah parkinson dah tangan aku ni lapar sangat. Dari pagi tak makan apa. Pagi tadi cuma bersarapan dengan secawan milo suam. Sarapan seorang juara katanya. Juaralah sangaattt... Pffrrttt!!
Punat remote kutekan lalu aku masuk ke dalam kereta. Aviator bercermin hitam pekat atas dashboard aku capai dan kenakan. Enjin kuhidupkan dan terus beredar dari kawasan pejabat menuju ke kedai makan terdekat.
Tak sempat masuk parkir lagi, tuan kedai dah tunjuk isyarat yillek. Aiseh. Kecewa betul. Perut masih terus menyanyi riang ria. Aku kerling pada jam di dashboard kereta, dah pukul tiga. Haduiii... Mana laa nak carik nasik nih? Dah tentu-tentu tak ada. Pasrah ajelah aku terpaksa makan kuih je hari ni. Adeh, gila sedih.
Civic hitam kupandu laju menuju ke gerai kuih yang biasa aku singgah. Elok parkir aku baru perasan ada sebuah gerai kecil yang baru di hujung. Ada seorang perempuan sedang duduk membelakangi barang jualan. Ni kalau ada orang lalu copet pisang goreng dia sebutir dua, harus tak perasan.
Aku matikan enjin dan keluar dari kereta. Dari tempat aku berdiri lagi aku dah dengar sayup-sayup lagu rancak. Bila aku membawa langkah menuju ke gerai kecil itu, aku dengar dengan jelas lagu Holiday nyanyian kumpulan Green Day dari Samsung Champ yang ditegakkan atas meja di hadapannya tu.
Pergh, boleh tahan makcik ni. Eh, ye ke makcik? Tengok dari belakang, gaya dressing ala-ala makcik solehah aje nih. Dengan baju kurung, tapi pakai seluar track. Tudung pun besar tahap boleh masuk sorang lagi. Aku kulum senyum.
“Kak.” Aku memanggil dengan gaya sopan santun lelaki melayu terakhir. Tapi sayang tak ada respond.
Dia ni pekak ke hapa? Aku berdeham sekali, kuat. Pun masih tak ada respond. Ni kalau budak-budak workshop yang dengar aku berdeham semua dah pakat mencicit lari, makcik ni duk selamba lagi tak perasan? Mencabar kredibiliti aku betul laa.
“Assalamualaikum!”
“Hoi!!” Jeritnya seraya melompat dari kerusi.
Aku nampak sebuah buku terbang tinggi melayang lalu jatuh cantik dalam dulang pisang goreng. Terkesima sekejap aku jadinya. Apa ke teruk sangat kau punya refleks nih? Dia berpusing dan aku terkesima lagi buat kali kedua. Subhanallah, indahnya ciptaanMu...
“Eh, sorry, tak perasan ada orang. Abang nak apa?” Cepat-cepat novel Harry Potter di dalam dulang itu dialihkan ke meja belakang, kemudian dia melarik senyum.
Aku rasa skru lutut dah longgar. Menggegar iman betul dia punya senyum. Fuh fuh fuh fuh!
“Bang, nak apa?” Suaranya dikeraskan, buat aku tersentak.
Aviator aku tanggalkan dan senyuman aku hadiahkan kepadanya. Tiba-tiba dia tarik muka. Aik?
“Nak apa? Cepatlah.”
Aik lagi sekali? Dah berubah pulak nada suara dia.
“Pisang goreng dua ringgit.”
Laju dia menyepit pisang goreng memasukkannya ke dalam plastik. Elok dia ikat plastik, lagu Holiday habis. Masuk lagu baru,
‘Kini tiba masanya berhari raya, Muslimin dan muslimat, sembahyang bersama’ 
Sebelah kening aku terjungkit tinggi. “Aik? Lagu raya?”
Dia senyum tersipu-sipu lalu mematikan lagu dari telefonnya.
“Sibuk,” gumamnya perlahan, tapi masih jelas terdengar di telinga ini.
Dua helai not RM1 aku hulurkan padanya. Bila dia menarik, aku pegang kejap.
“Ni apahal pulak nih?” Marah dia. Berkerut-kerut keningnya.
Aku geleng dan lepaskan pegangan. Plastik pisang goreng aku ambil.
“Awak tak jawab salam saya awal-awal tadi,” sinis aku. Berubah terus riak wajah dia.
“Huh, tak perasan! Waalaikumussalam!”
Dalam hati aku dah gelak sakan. Pantang kena usik sikit, nak snap je terus. Dah serupa snapping turtle je aku tengok. Muka dia kelat sungguh. Tapi masih terserlah kecomelannya. Pipi tembam gebu macam pau terlebih yis tu buat aku rasa geram nak cubit-cubit.
“Ok, saya beli ye?”
Sekali lagi dia tersentap.
“Hah? Aaa.. Yelah, saya jual!” Dia terus membelakangkan aku, duduk dan Harry Potter dibuka. Aku nak beredar, tapi aku perasan sesuatu yang tak kena.
“Pandai awak baca buku terbalik, kan?”
PAP! Buku ditutup dan dihempas atas meja. Dia dah berpaling menghadap aku semula dengan muka bengang. Sungguh-sungguh aku gelak, tapi dalam hati. Aku kenakan Aviator semula dan menarik senyum senget.
“Tak baik garang-garang dengan pelanggan. Mahal rezeki nanti.”
Dia julingkan mata ke atas dan merengus.
“Takde, ngan awak je. Sebab awak sorang je sengal lebih!”
Woah... Feisty! I like... Aku ketawa kecil.
“Takde, ngan awak je. Sebab awak comel sangat!” balas aku.
Dia menganga. Aku terus angkat plastik dan beredar ke kereta. Dalam hati rasa berbunga-bunga. Ni harus ada yang tiap-tiap petang cari pisang goreng lepas ni, nih. Enjin aku hidupkan dan Civic mengaum garang. Aku turunkan tingkap siap siap, buat pusingan U dan bila melewati gerainya aku perlahankan kereta dan melambai.
Dia tunjuk penumbuk buat  aku tergelak.
Mak, Achik rasa Achik dah jumpa calon menantu mak dah ni... Hahahahahah



Bab 2.

Jari-jemari mengetuk-ngetuk meja mengikut rentak drum lagu Starlight nyanyian kumpulan Muse yang bergema dalam kepala menerusi earpiece yang aku pakai. Tumit ikut terhentak-hentak ke lantai. Sesekali aku mengilas pada jam di pergelangan tangan. Dah pukul sembilan suku dah pun. Lambat sungguhlah mamat sorang ni. Milo ais atas meja dah separuh aku sedut pun dia tak sampai-sampai jugak lagi. Dahlah kata nak jumpa malam kelmarin dia sendiri cancel, malam ni boleh buat lambat pulak. Janji melayu betul. Ni dia sampai ni harus aku belasah dulu sampai puas.
Pandangan aku lemparkan ke sekitar kawasan restoran mamak yang hampir penuh sambil jemari masih tak berhenti bergendang. Kelibat orang yang ditunggu-tunggu masih tak muncul.
Aku seluk poket kargo, mengeluarkan telefon bimbit. Dan saat aku mengangkat pandangan, tiba-tiba mata aku menangkap kelibat seseorang. Aku tarik senyum senget. Dua hari ni aku tak sempat nak pergi cari dia. Dan hari ni dia menyerah diri dekat sini. Hati ni rasa mengeletat je nak pergi sapa dia, tapi melihatkan dia beramai-ramai dengan kawan-kawan, aku hanya mampu tahan sabar.
Gelas milo ais kutarik. Perlahan menyedut minuman sambil mata tak lepas dari memandang ke arahnya. Aku tengok awek pisang goreng haritu sedang berbual dengan tiga-empat orang kawan-kawan dia sambil mengepit beberapa buah buku. Kawan-kawan dia semua dressing biasa perempuan sekarang, baju t lengan panjang, tudung yang diselimpangkan ke bahu dan berseluar panjang. Tapi dress up awek pisang goreng masih sama macam kelmarin. Tudung besar, berbaju kurung tanpa kainnya dan berseluar track.
Serius, macam kelakar pun ada. Andai kata itu orang lain, harus aku dah bantai gelak berguling-guling atas lantai. Tapi tak tau kenapa aku tak boleh nak gelak tengok dress up dia tu. Tengok macam comel je.
Dia dan kawan-kawan dia berjalan masuk dalam restoran dan masa tulah dia baru perasankan aku. Aku sekadar jungkitkan sedikit sebelah kening. Dia pulak dah berkerut-kerut kening. Tak tunggu, terus berbisik-bisik dengan member kat sebelah. Kawan dia dah gelak-gelak sambil tutup mulut. Lepas tu pergi cuit kawan-kawan sebelah depan pulak, bisik-bisik lagi. Masing-masing pakat gelak-gelak tutup mulut.
Pergh! Tak agak-agak budak ni nak mengumpat aku pun. Depan-depan, terang-terang. Mendidih je aku tengokkan. Tambah mendidih bila nampak mangkuk ayun sorang tu baru sampai dan tersengih-sengih tayang muka tak bersalah datang lambat. Grr! Double grrr!!
Sorry Daus. Sangkut pulak kat rumah. Amir meragam pasaipa tak tau. Lama ka hang tunggu?”
Aku tak jadi marah bila dia petik nama budak kecik tembam tu. Dia tarik kerusi depan aku dan terus duduk. Aku kilas semula pada awek pisang goreng dan nyata dia dah hilang dengan kawan-kawan dia tadi. Huh. Takpe, lain kali gua balas balik!
Ipod aku matikan dan tarik earpiece lalu sangkut ke bahu. Telefon bimbit di tangan aku selit semula masuk poket. Sebuah folder plastik berisi dokumen tebal Haziq letakkan atas meja beserta Macbook Air Pro nya. Manager merangkap engineer kat international company, bolehlah pakai barang-barang mahal camtu. Aku ni setakat ‘enjin nyior’ cabuk dekat syarikat swasta kecil-kecilan, boleh menganga ajelah tengok.
“Sampai tinggal suku aku telan milo ni, kira lama jugaklah aku tunggu hang. Denda!”
Dia sengih. Aku ikut sengih. Gelas milo ais aku tolak ke tepi.
“Tu ka tender?” Aku tunjuk pada folder plastik dan dia angguk.
Folder plastik tu aku capai dan dokumen aku keluarkan. Gelas milo ais aku tarik semula, sambil baca skop kerja, sambil perlahan menyedut milo.
“Sudah order ka?”
Seorang macha berdiri tegak sebelah Haziq, sedia nak ambil pesanan.
“Milo ais,” jawab Haziq.
“Dua,” tambah aku. Milo ais aku dalam gelas dah selamat sejahtera dah, tinggal ais je.
“Makan?” Dia pandang aku.
“Aku makan dah kat rumah sat ni. Hang?”
Aku geleng sahaja sambil mengunyah ketul ais dan menunjukkan pinggan kosong di meja sebelah yang aku letakkan lepas habis makan tadi.
“Tunggu hang, dan mati kebuloq dulu aku.”
Dia gelak dan bagi signal ok. Macha tu berlalu pergi.
Sorrylah Daus. Elok lepas makan sat tadi, Amir mengamuk sakan pulak. Kalau tak sebab Khamis ni nak pi dah, memang aku tak mai dah ni. Kesian kat kak hang tu.” Dia bagi alasan.
Memang terbaik sangatlah alasan tu. Asal dengan aku je memang tak ada alasan lain, Kak Maira dengan Amir je alasan dia. Nasib baiklah aku ni memahami orangnya. Mmmm.. Masuk lif, picit button tingkat paling tinggi.
Aku diam tak menjawab lagi. Tak payah cakap pun, buang karan je. Ada je kang jawapan dia. Banyak alasan, sama macam aku. Daripada menyesakkan nafas berlawan cakap dengan klon diri sendiri, baik aku baca je skop kerja ni.
“Milo ais dua aa?”
Aku toleh ke sebelah. Dua gelas milo ais diletakkan atas meja. Bil atas meja diambil dan dicatit tambahan pesanan. Bil diletakkan semula.
Alright, thank you macha.”
Aku tolak segelas pada Haziq sebelum menyambung membaca dokumen. Haziq diam menikmati milo aisnya sampailah aku masukkan kembali dokumen dalam folder. Bila aku hulurkan folder semula padanya, dia geleng.
“Hang punya copy. Balik sat ni, study,” katanya.
Aku letakkan folder atas kerusi sebelah.
“Sibuk sangat hang laa ni, Daus?”
Aku pandang Haziq dan jungkit kening. Soalan tak terduga sungguh nih.
“Boleh tahan laa. Awat?”
“Berapa lama dah hang tak balik kampung?”
Aku sengih. Gelas milo ais aku tarik dan mengacau-ngacau dengan straw.
“Hang jumpa mak aku ka?” soalku sebelum menyedut sedikit minuman. Haziq sengih dan angguk.
Aku ketawa kecil. Confirm mak mengadu domba kat dia ni cakap aku dah lama gila tak balik kampung. Achik bukan sengaja laa mak. Achik sibuk ni. Nak cuti hujung minggu pun payah, inikan pulak nak ambil cuti panjang balik kampung. Memang azab laaa sementara nak dapat tu, kena kerahan tenaga berlipat kali ganda jawabnya.
“Bila hang balik SP?”
“Dua minggu lepaih. Tak sempat-sempat aku nak masuk ghumah lagi mak hang mai datang tanya hang.” Dia ketawa kecil.
Aku kulum senyum. Dah faham sangat dah perangai mak yang seorang tu. Bukanlah aku ni satu-satunya anak mak, adik beradik aku ada tujuh orang kot. Tapi aku jadi satu-satunya anak mak yang berada di luar dari wilayah utara Malaysia. Itulah punca mak sangat kepochi bila sampai hal yang membabitkan aku. Nak-nak pulak Haziqlah orang yang bertanggungjawab membawa aku ke tempat aku sekarang ni. Haruslah bila nampak dia tapi tak nampak aku, mak akan jadi kepochi. Haihlaa mak... mak...
“Mak kata apa?”
“Biasalaa. Duk tanya awat hang tak balik-balik lama sangat. Macam kan aku gheja sama tempat ngan hang dia punya tanya tu.”
Aku gelak.  “Hang habaq kata apa?”
“Nak kata pa lagi? Aku habaq jaa laa hang sibuk sangat laa ni duk banyak gheja tak buleh nak cuti. Lepaih tu suruh aku tengok-tengokkan hang lah, apalah.” Dia geleng.
 “Haih, sejak bila hang jadi anak dara pun aku tak tau nak kena aku tolong tengok-tengok pulak. Sejak bila aku naik pangkat jadi abang hang pun aku tak tau jugak tu.”
Aku gelak lagi. Adoilaa mak yang seorang ni pun.
“Bukan hang memang abang aku ka?”
Dia pulak gelak.
“Tak ndak aku aih! Tak dak hasil!”
Dan tawa aku ikut meletus kuat. Tak lama gelak, Haziq tiba-tiba buat muka serius. Apahal pulak mamat ni?
“Lagi satu mak hang tanya, hang duk ada girlfriend dak gi. Bila nak mai bawak jumpak. Dia tak sabaq dah tu.”
Aku julingkan mata ke atas dan mengeluh sebelum menggeleng. Mak ni, sejak-sejak umur aku dah masuk three series enam bulan yang lepas, tak habis-habis dengan soalan tu. Naik tuli kot telinga aku ni dengar. Tak cukup tanya melalui telefon, dia sms lagi. Achik muda lagi mak oi. Life begins at forty!
“Dah, hang goreng apa kat mak aku?” Aku sedut milo ais.
“Aku habaq takdak, hang gay.”
PUURRR!! Bersembur milo ais atas meja sebelum aku batuk tersedak-sedak. Milo yang meleleh di dagu aku kesat dengan belakang tangan. Sungguh kurang didikan betul mangkuk hayun sorang nih.
“Mangkuk hayun hang!”
Bersungguh-sungguh dia gelakkan aku. Chett. Aku pelupuh kat sini satgi, hang tau laa...
“Yang lawak tu, mak hang jawab, oh, takpalah. Gelak guling-guling aku tang tu!”
Tak jadi marah, aku ikut ketawa. Mak oi, awat blur sangat nih? Achik straight macam pembaris, ok? No bengkang-bengkok!
“Hang mentang-mentang mak aku jenis blur, suka-suka hang pekena dia na? Aku buh penampaq jugak satgi, baru hang tau.”
Haziq masih ketawa tak berhenti. Aku berdehem sekali dan mengesat leher bila terasa-rasa macam ada milo yang meleleh di situ. Kemudian aku pandang baju. Nasib baik warna baju pun serupa warna milo. Kalau ada kena pun, balik nanti ajelah aku uruskan. Aku terus ke sinki membasuh tangan dan kembali semula ke meja.
“Aku tak boleh lama sangat ni. Aku keluaq tadi pun Amir tak diam lagi.” Haziq habiskan milo aisnya. Bil atas meja dicapai.
“Hang tak habaq. Kot dak aku pi ambik kat rumah hang jaa. Bukan jauh mana pun.”
Dia dah berdiri. “Issokay laa der.” Dia ke kaunter menyelesaikan bil kemudian kembali semula.
“Nanti Khamis pagi tu pegi dengan aku. Flight pukul tujuh lebih. Pukul 5 paling lewat kena gerak pi airport. Hang tinggal kereta kat rumah aku.”
 Aku angguk. “Ok, jumpa nanti. Assalamualaikum.”
Dia jawab salam dan terus beredar. Aku bersandar pada kerusi. Milo ais yang masih berbaki suku dalam gelas aku kacau dengan straw. Jam di pergelangan tangan aku kilas sekali. Dah dekat pukul sepuluh. Alang-alang hari ni dapat keluar awal, balik rehat sajalah.  Penat gila kot hari-hari balik kerja dekat tengah malam. Milo ais aku habiskan, capai folder dari atas kerusi dan terus bangun.
“Aduh!”
Tergamam sekejap aku melihat buku-buku dan kertas-kertas yang berterbangan di udara sebelum mata menangkap tubuh kecil itu sudah terduduk di atas lantai dengan muka berkerut. Err... kenapa aku tak perasan pun aku langgar orang? Dia ni ringan sangat ke sampai boleh terpelanting macam tu?
“Err... Sorry. Tak sengaja. Awak ok?”
Buku-buku dan kertas yang dah berterabur tu aku kutip semula.
“Kalau tak buat buku orang terbang, tak sah. Benci betul.”
Sempat telinga rimau aku ni menangkap rungutan perlahan dia tu. Aku tarik senyum senget. Tiba-tiba rasa tanduk dah naik kat kepala.
“Kan? Menunjukkan berapa punya suka awak kat saya, sampai terbang-terbang habis semua buku-buku awak.”
Membuntang biji mata dia memandang aku. Cepat-cepat dia bangun dan menarik buku-buku dalam tangan aku.
“Tolonglah. Tak ada makna, ok? Kenal pun tak. Huh.”
Dia mencebik, menoleh ke sebelah lain. Aku ketawa kecil. Kedua tangan aku masukkan ke dalam poket.
“Eh, tak kenal lagi ye? Fine, nama saya Firdaus. Awak?”
Laju dia memandang aku semula. Aku masih macam tu. Tayang muka selamba, riak tak bersalah.
“Siapa yang nak kenal dengan awak? Gila!” bentaknya.
Aku senyum sahaja.
“Awaklah. Kalau tak, takdelah awak buat-buat terlanggar saya tadi, kan?”
Membuntang lagi biji matanya.
“Eh, takde maknalah saya nak buat macam tu. Jangan perasan, boleh tak? Awak yang langgar saya. Mata letak kat lutut!” marahnya.
Aku ketawa.  “Mata saya elok je kat sini. Mana ada kat lutut. Tak percaya? Nak tengok?”
Kening dia dah berkerut-kerut dengan bibir diketap rapat.
“Tapi tak bolehlah saya nak tunjuk. Lutut tu aurat. Kalau awak nak tengok jugak, jom kita kahwin. Nak?”
“Argh! Boleh gila lah kalau cakap dengan awak ni!”
Tawa aku meletus. Serius seronok tengok muka bengang dia tu, comel satu macam. Dia dah berpusing nak beredar.
“Eh, tunggulah sekejap. Awak tak cakap lagi nama awak siapa. Tak adillah macam tu. Awak dah tau nama saya.”
“Saya tak tanya pun, awak yang tak malu pegi bagitau.” Dia terus melangkah laju.
Aku mengekor dari belakang. Baru aku nak melaung menyuruhnya menunggu sekali lagi, seorang kawan dia dah menerpa ke arahnya dan menarik dia pergi. Sebuah bukunya jatuh. Aku tak sempat panggil, dia dah jauh dibawa lari dek kawan dia. Buku yang tergeletak atas kaki jalan tu aku kutip. Diari ni. Aku telan liur. Kulit buku aku selak.
‘Senah Punya’ tertera di muka paling hadapan. Kulit buku aku tutup pantas. Senah? Senyum senget terukir di bibir. Siapla kau esok, Senah. Hutang kau mengumpat dengan kawan-kawan kau tadi akan aku tuntut. Hahahahahahah

 Bersambung












No comments:

Post a Comment