Bab 4
Melihat makanan yang
terhidang, perut Rihana rasa lapar tiba-tiba. Dia terus jadi lupa siapa yang
ada di depannya sebab semua makanan itu adalah makanan yang dia suka terutama
sekali daging panggang yang didatangkan dengan sos pencicah, hirisan timun dan
juga bawang merah.
Kenapa
timun dan bawang mentah? Info
kesihatan kata, jangan lupa makan timun bila makan makanan yang dibakar kerana
karbon yang terhasil dari pembakaran akan mendatangkan kesan karsinogen yang
boleh menyebabkan kanser dan timun merupakan anti-karsinogen. Bawang pula
bertindak sebagai bahan dalam membantu proses pencernaan dan ia juga merupakan
anti-kanser.
Sebut
tentang bawang, Rihana teringat satu artikel yang dibaca. Sabda Rasulullah SAW
:
“Wahai Fatimah, setiap wanita
yang berair matanya kerana pedih memotong bawang untuk dimasak kepada ahli
rumahnya, maka Allah SWT akan mencatatkan pahala sebanyak yang diberikan-Nya
kepada orang yang menangis kerana takutkan Allah.”
Indahnya
menjadi seorang wanita. Lebih-lebih lagi sebagai seorang suri rumah sepenuh
masa. Itulah istimewanya seorang wanita berbanding lelaki.
Waktu
menjamu selera, masing-masing hanya diam. Rihana seperti biasa, kalau bab makan
dia memang tak pernah pandai nak kontrol ayu. Itulah yang selalu Hakim
perhatikan dan tabiat itulah yang Hakim sangat suka apabila membawa Rihana
makan.
Melihat
Rihana yang begitu enak menyuap hirisan timun berselang dengan bawang mentah
dan daging panggang, timbul idea nakal di hati Hakim.
“Kata
orang, makan bawang mentah boleh memberi tenaga dan menguatkan nafsu. Apa
pendapat you Rihana?” sungguh selamba
soalan Hakim buatkan mulut Rihana terhenti mengunyah.
Bawang
mentah yang sedang dikunyahnya seperti ingin tersembur keluar. Sungguh kurang
sopan betullah Hakim ni! Rasa macam nak aje dia sumbat mulut Hakim dengan
mangkuk bawang tersebut.
Nazreen
hanya tergelak perlahan mendengar bicara Hakim yang terasa lucu di telinganya.
Lebih lucu apabila melihat mulut Rihana yang penuh dengan makanan terhenti
mengunyah. Pipinya yang timbul itu nampak mengembung.
“I
tak berapa pastilah Encik Hakim, sebab I belum kahwin lagi. Tapi, I memang suka
makan bawang mentah ni. Nantilah, bila I dah kahwin, I bagi tahu Encik Hakim
betul ke tidak apa yang orang kata tentang tenaga dan nafsu tu.” Rihana balas
soalan Hakim dengan jawapan yang kurang sopan juga. Orang macam Hakim ni tak
boleh nak bagi muka lebih-lebih.
Hakim
ketawa perlahan tetapi Nazreen pula yang ternganga kerana terkejut dengan
keselambaan Rihana. Boleh tahan juga wanita ni. Tak sangka!
Setelah
selesai menjamu selera, Nazreen bangkit untuk menyelesaikan pembayaran dan
sekali lagi mereka ditinggalkan berduaan. Peluang keemasan itu Hakim ambil
untuk tenung Rihana.
Matanya
tidak lepas dari meratah seluruh wajah Rihana yang begitu asyik menghirup sup shark’s fin di dalam mangkuk.
“What????” soal Rihana keras apabila dia
perasan Hakim merenungnya semacam
“Your lips… I miss them.” Hakim kenyit
mata, gatal.
Oh!
Rihana rasa macam nak tercekik sup yang dihirup. Dia jadi lemah tiba-tiba.
Hakim, tolonglah jangan goda dia begitu. Tuhan, tolong kuatkan aku untuk terus
berdiri ke jalanMU.
Melihat
wajah Rihana yang sudah berubah, Hakim mahu mengusik lagi. Kakinya dihulur
panjang ke depan dan hujung kasutnya menggesel betis Rihana menyebabkan wanita
itu hampir terlompat bangun.
“Hakimmmm!!!!”
Kuat jeritan Rihana kerana terkejut bercampur marah. Dia rasa macam nak tendang
Hakim laju laju.
“You ni, memang nak minta pelempang kan?”
Marah betul Rihana tatkala melihat muka Hakim yang seperti orang tak bersalah
itu.
“Kalau
yang lempang tu tangan you, I tahan
jer walaupun bengkak pipi.”
Hakim
sambut kemarahan Rihana dengan ketawa nakal. Saat itu dia rasa bahagia ada di
mana-mana. Badannya dicondongkan ke depan agar lebih rapat dengan Rihana yang
duduk berdepan dengannya.
“I miss you Rin... I miss everything about
you.” Bisik Hakim, menggoda. Benar, dia sangat-sangat rindukan Rihana.
Rindu akan semua perkara berkaitan Rihana.
Rihana
rasa jantungnya sudah jatuh mencecah lantai. Kalaulah dia mampu memadamkan
semua kenangan antara mereka di kepala Hakim, alangkah mudahnya hidup ini.
Namun, usahkan menghapus di kepala Hakim, di kepala sendiri pun dia tidak mampu
untuk memadamkannya.
Hakim bangkit. Name card di atas meja diambil dan
melangkah mendekati Rihana. Tanpa amaran, dia capai tangan Rihana dan letakkan name card tersebut ke telapak tangan
wanita itu.
“Contact me if you change your mind,” ucap Hakim dan melangkah untuk
keluar. Dia tidak perlu risau sebab dia sudah tahu bagaimana untuk mencari
Rihana. Balik ke pejabat nanti, dia akan cari jalan bagaimana untuk membeli
saham Coral Global.
Rihana geleng kepala.
Fikirannya takkan berubah, never, ever
and forever. Jika dia berani mengambil keputusan untuk mendekati Hakim, dia
percaya suatu hari nanti dia tentu akan tewas.
PULANG dari pertemuan
itu Encik Nazreen terus menghilang. Balik ke rumah agaknya. Sementara tak ada
apa nak dibuat, Rihana kemas bilik bosnya itu yang sudah rupa macam sarang
tikus beranak kecil.
Majalah
yang bersepah di atas meja kopi disusun satu persatu. Saat tangannya mencapai majalah
business, matanya terpaku pada gambar
depan majalah tersebut. Hakim? Ya! Wajah Hakim yang menjadi penghias muka
depannya dan headline yang tertulis
di situ buatkan hati Rihana jadi berlainan rasa.
Melihat
tarikh keluaran majalah tersebut, Rihana diam mengira. Maknanya, masih baru.
Lari dari dunia yang penuh godaan, dia jadi tidak tahu perkembangan semasa.
Dulu, dia memang tahu ura-ura yang Hakim akan bertunang dengan anak Tan Sri
Idham, model terkenal yang bernama Nelly itu. Dan hari ini dia baru tahu bahawa
mereka sudah selamat mengikat tali pertunangan. Maknanya, Hakim itu tunangan
Nelly.
Melihat
gambar pertunangan Hakim bersama Nelly yang sebanyak empat muka surat itu,
Rihana rasa hatinya seperti dicarik benda tajam. Dia sendiri tak tahu kenapa.
Melihat senyuman Hakim yang nampak sangat bahagia, dia turut sama tersenyum
menumpang bahagia tetapi kenapa hatinya seperti menangis hiba.
“Kahwin
dengan I Rin...”
Teringat
kembali lamaran Hakim suatu ketika dulu. Bukan sekali malah lebih dari tiga
kali Hakim mengajak dia berkahwin tetapi apabila diberi syarat, Hakim hanya
diam membisu. Saat itu dia sudah tahu, Hakim takkan berani untuk membantah
perancangan orang tuanya.
Lama
Rihana membelek majalah tersebut sehingga tidak sedar waktu sudah hampir ke
pukul enam petang. Pejabat semua sudah gelap. Cepat-cepat dia berkemas untuk
pulang. Ngeri juga duduk pejabat sendiri tanpa sesiapa.
Ketika
melangkah ke tempat parking, hati
Rihana rasa lain macam. Terus dia berzikir dalam hati memohon dari Ilahi agar
dijauhkan dari sesuatu yang buruk.
Ketika
masuk ke dalam kereta, Rihana perasan pintu kereta pemandu yang terparking di sebelah kiri keretanya
dibuka. Apabila menoleh, Rihana hanya nampak belakang seorang lelaki.
Belum
sempat menghidupkan enjin, tiba-tiba pintu keretanya di sebelah penumpang
dibuka dari luar. Terkejut, Rihana hampir terjerit. Namun, tatkala melihat
gerangan lelaki yang selamba masuk dan duduk di kerusi penumpang sebelahnya,
Rihana sedut nafas panjang-panjang.
Siapa
lagi kalau bukan Hakim yang suka buat kerja-kerja mengejutkan dia begini.
Kalaulah dalam kereta dia ada parang panjang, memang dia dah kerat lelaki di
sebelahnya ini jadi lapan belas. Geram sungguh!
Bab 5
Rihana
hanya diam, menahan rasa geram yang mengasak di hati. Hakim pula hanya duduk
memandang ke depan sambil berpeluk tubuh. Badannya bersahaja disandar ke
belakang tempat duduk. Santai semacam, seolah sedang menikmati suasana di tepi
pantai
“Kenapa
tak lari?” Hakim menyoal tiba-tiba setelah masing-masing diam agak lama.
“Kenapa?
You harimau ke I nak kena lari,”
balas Rihana dengan soalan bernada sinis.
Hakim
senyum. Badannya dipusingkan ke arah Rihana. Kaki kanannya ditarik sila ke atas
tempat duduk membuatkan kedudukannya betul-betul mengadap Rihana. Belakangnya
disandar ke pintu kereta pula.
Rihana
hari ini dengan Rihana yang dia kenal dulu jauh sekali bezanya. Dulu, bicara
Rihana selalu manja sehingga setiap kali mendengar Rihana bersuara, degup
jantungnya boleh bertukar rentak serta merta. Kini, bicara Rihana sentiasa
sinis.
“Kalau
I harimau, you akan jadi orang
pertama yang I terkam dulu. Sebab...” Hakim hentikan bicara di situ. Badannya dicondong ke kiri dan siku di
tongkat ke dashboard supaya matanya
boleh melihat wajah Rihana yang tegak memandang ke depan dengan jelas.
“Tengok
you berbalut macam ni pun dah nampak
sangat menyelerakan, macam ayam panggang.” Hakim senyum.
Sebut
tentang ayam panggang, kenangan indah di kondo Rihana menggamit ingatannya. Waktu
itu, dia sedang mempengerusikan meeting
di pejabat dan telefonnya bergegar menerima pesanan ringkas dari Rihana.
‘Hakim.... I demam.’
Pesanan
yang diterima itu buatkan dia sentap. Meeting
terus ditangguhkan. Tanpa lengah, dia bergegas ke kondo Rihana. Dia tahu tempat
tinggal Rihana kerana telah beberapa kali dia menghantar wanita itu pulang.
Melihat
Rihana yang membuka pintu menyambut kedatangannya, mata Hakim bagaikan tidak
pandai untuk berkelip. Baju tidur kain satin bertali halus warna biru turquoise paras lutut yang Rihana pakai
itu buatkan badan Hakim seram sejuk menahan gelora di dada.
“You kenapa sayang?” Hakim raba dahi
Rihana.
Panas!
Rasa ghairahnya terus bertukar risau.
“I
demammmmm...” Rihana seakan merengek. Langkahnya diatur masuk diikuti oleh
Hakim di belakang. Tanpa sepatah kata, Rihana terus merebahkan badannya ke sofa
panjang di ruang tamu dengan mata yang sudah terpejam rapat.
Melihat
baju tidur Rihana yang terselak ke atas, Hakim telan liur berkali-kali. Tengok
Rihana yang begitu, dah macam nampak ayam panggang Kenny Rogers. Sangat
menyelerakan. Nasib baiklah waktu itu Rihana kelihatan lemah sekali. Jika
tidak, memang sudah habis dia kerjakan.
Tak
tahu kenapa, dengan Rihana dia akan bertukar menjadi lelaki baik-baik yang
selalu mendengar kata. Kalau Rihana kata tak boleh, dia tak akan buat. Apa saja
yang tersebut di bibir Rihana, semuanya dia akan lakukan. Dia rasa satu
kepuasan bila dapat membuatkan Rihana gembira dan bahagia.
Berbeza
dia dengan Nelly. Sudah berkali-kali Nelly mengajak ke Bandung untuk mencari
kad perkahwinan mereka tetapi dia buat tak tahu saja. Kalau dulu dengan Rihana,
setiap minggu mereka ke Singapura atau Bali hanya sekadar untuk makan malam.
Bila
difikirkan, memang satu kegilaan yang sangat kronik. Bukan saja kronik, kalau
dibawa ke hospital pun, rasanya semua doktor akan angkat tangan sebab tak
berani nak ambil kes dia. Parah yang hanya menunggu masa untuk menamatkan
riwayat.
“Rin..
you dah makan ubat ke belum ni.”
Hakim duduk mencangkung. Tangannya meraba dahi dan juga leher Rihana. Terasa
membahang panas.
Rihana
hanya mengangguk tanpa membuka matanya. Melihat keadaan itu Hakim terus
mencempung tubuh Rihana masuk ke dalam bilik. Sebaik diletakkan ke atas katil,
dia lihat Rihana menggigil. Pantas diselimutkan dan dipeluk erat dengan harapan
kesejukan Rihana dapat dikurangkan.
Apabila
nampak Rihana sudah reda, Hakim bergerak ke dapur. Satu kegilaan lagi, dia
sanggup memecahkan rekod menyinsing lengan baju memasak bubur untuk Rihana.
Kalaulah mama dia tengok dia memasak begitu, mahunya pengsan lima kali.
“I
tak nak makan buburrrrr..” Rihana merengek apabila dikejutkan untuk makan
setelah bubur masak.
“Habis
tu you nak makan apa? Kena makan
sikit sayang, bagi ada tenaga. Perut tu, kalau kosong nanti masuk angin.” Hakim
memujuk. Dah rupa suami mithali memujuk isteri yang sedang sakit.
“I
rasa nak makan ayam pangganggggg.” Rihana merengek lagi. Kepalanya di rebahkan
ke bahu Hakim.
Wah!
Tinggi sungguh selera. Sakit-sakit macam ni pun nak makan ayam panggang. Tapi, Hakim rasa bahagia. Baru dia tahu
rupanya Rihana sangat manja apabila sakit.
Okey!
Dia kembali ke dapur. Nasib baik ada ayam dan ada Internet. Buat pertama kali
dalam hidup, dia masak ayam panggang ikut resipi di Internet. Nak kata sedap
sangat tak juga tapi bolehlah untuk dimakan.
Yang
membuatkan dia sangat bahagia apabila Rihana makan habis ayam yang
dipanggangnya. Satu kebetulan yang sangat istimewa, selera Rihana sama dengan
seleranya, suka makan ayam dan daging gril atau panggang.
Duduk
bersila di atas katil mengadap satu sama lain sambil saling menyuap, saat indah
yang tak pernah mampu Hakim padamkan dari ruang ingatannya. Dia rasa bahagia
sungguh. Kalau boleh, dia mahu hentikan waktu agar mereka boleh terus duduk
begitu.
Seketika
kemudian, tubuh Rihana sudah berpeluh tetapi entah kenapa, dalam keadaan Rihana
yang belum mandi pagi dan juga berpeluh begitu, hidung Hakim kata Rihana wangi
saja. Dalam keadaan Rihana yang sakit dengan rambut yang kusut begitu, mata
Hakim kata Rihana sangat cantik. Parah kan? Hakim senyum sendiri.
“You
nak apa sebenarnya ni?” soalan Rihana yang datangnya dari arah sebelah buatkan
lamunan Hakim terus terhenti. Rupanya, dia sedang mengelamun mengingati kisah
lama.
“Hah?
Mmmm... tentang tawaran I tu.” Tergagap-gagap Hakim menjawab. Hanya itu yang
terlintas di otaknya. Sebenarnya, tujuan dia menunggu Rihana petang ini
hanyalah untuk melihat wajah Rihana yang sangat dia rindu. Walau baru bertemu,
dia rasa macam tak puas.
“Tawaran yang mana? I ada lebih sepuluh
tawaran daripada you.”
“Wow!
Sebegitu banyak? Kenapa I tak perasan ya?” Hakim senyum lebar. Sebegitu
banyakkah tawaran dia pada Rihana? Entah! Dia pun tak ingat.
“Pasal
kerja.”
Rihana
tarik nafas. Hakim ni kadangkala suka mendesak. Selagi dia tak dapat apa yang
dia nak, selagi itulah dia akan minta dan desak.
“You sendiri kata call you jika I ubah fikiran kan? Kalau I tak call you tu, maknanya I tak ubah fikiranlah.”
“Kenapa
you susah sangat nak terima tawaran
I? I bukan nak suruh you buat kerja
jahat. I cuma nak you kerja dengan I
saja. Apa yang company kecil ni boleh
bagi you?” tukas Hakim pantas.
Penolakan Rihana yang berkali-kali membuatkan dia rasa makin tercabar.
“Bukan
masalah kecil atau besar Hakim. Masalahnya I tak minat. You faham tak perkataan TAK MINAT tu? Atau I nak kena beli kamus
dewan bagi you?” Rihana mula naik
geram. ‘Tak minat’ tu huruf besar sebab dia tekankan perkataan tu.
Berdebat
dengan Hakim, dia perlu ketahanan mental yang tinggi. Kalau tidak, memang dia
akan kalah tanpa mampu mengeluarkan suara.
“Okey!
Kalau I kata tak minat dengan tawaran lumayan you tu, mungkin you kata
I bodoh. Honestly speaking, I bukan
tak minat dengan tawaran you tapi I
tak minat untuk bekerja dengan you.”
Sambung Rihana, menjelaskan apa yang sebenarnya ada di kepala dia.
Bekerja
dengan Hakim, dia takut hatinya tidak kuat. Hakim kalau bab merayu dan
menggoda, boleh lemah seluruh badan.
Hakim
diam. Hatinya sedikit terasa bila Rihana kata begitu. Teruk sangatkah dia di
mata Rihana? Kalau perempuan lain, tak payah nak desak-desak macam ni, tentu
sudah tergedik-gedik nak kerja dengan dia. Tapi Rihana lain dan kelainan
Rihanalah yang membuatkan dia tak boleh nak buang wanita ini dari ingatannya.
“I
dah nak balik, dah dekat nak masuk Maghrib dah ni,” ujar
Rihana agar Hakim turun dari keretanya.
“Baliklah.”
Mudah sungguh jawapan Hakim tetapi dia langsung tidak berganjak dari duduknya
yang masih bersandar di pintu mengadap ke arah Rihana.
Geramnya
Rihana melihat keselambaan Hakim. Kenapalah dia ni degil sangat? Kenapalah dia
boleh terlibat dengan lelaki sebegini?
“You tak takut ke kalau orang nampak you berduaan dengan I dan sampai ke
telinga tunang you?” Hah! Baru Rihana
teringat tentang kisah pertunangan lelaki ini.
“Tak
takut. Tunang I tu sporting.” Masih bersahaja,
Hakim memberi jawapan mudah. Tapi, dia gelak dalam hati dengan jawapannya
sendiri. Sporting sangatlah Nelly tu.
Kalau tunangannya itu tahu, bukan satu rumah dia amuk, mahunya satu bandar
Kuala Lumpur bergegar dek amukannya. Bukan saja Tan Sri Idham dan Puan Sri
Kamila yang terloncat sampai ke bintang, Datuk Adam dan Datin Azura juga akan
terloncat sampai ke bulan.
“Hakim..”
“Ya,
sayang.” Hakim memintas sebelum sempat Rihana menghabiskan ayatnya. Senyumnya
terukir di bibir. Dia sangat suka memanggil Rihana begitu. Tak tahu kenapa.
Rihana
mengeluh panjang.
“I
nak balik, tolonglah.” Tekan Rihana dengan tujuan menghalau Hakim keluar.
“Baliklah.”
Sekali lagi Hakim memberi jawapan mudah.
“You tak keluar macam mana I nak balik?”
Rihana kacip gigi tahan geram. Rasa nak lepuk aje kepala Hakim yang bengap ni.
“I
ikut you baliklah.” Masih selamba,
Hakim memberi jawapan yang membuatkan Rihana sudah hilang seluruh sabarnya. Nak
ikut balik ya? Okey! Aku bawa kau balik.
Bab 6
Pantas
Rihana undur keretanya dan keluar dari ruangan parking. Sempat lagi Rihana jeling kereta Hakim yang terparking di sebelah keretanya. Porsche
Panamera warna putih berkilat. Pasti kereta baru sebab dia tak pernah lagi
nampak Hakim bawa sewaktu mereka selalu keluar dulu. Patutlah dia tak perasan.
“You tinggal kat kondo yang sama lagi ke
dah pindah? Kenapa I pergi ke situ banyak kali guard kata you tak ada
dan tak benarkan sesiapa masuk. You
sepakat dengan guard tak nak jumpa I
ya?” Hakim tegakkan badan pusing ke depan. Hatinya rasa bahagia bila Rihana
jadi lembut hati begini.
Ketika
Rihana tiba-tiba menghilangkan diri dulu, boleh dikatakan setiap hari dia ke
Parkview Condo untuk mencari tetapi security
guard tidak membenarkan dia masuk kerana Rihana tiada di rumah. Entah
Rihana betul-betul tiada di rumah atau memang Rihana sudah sepakat dengan security guard dia tidak pasti.
Tidak
membalas soalan Hakim, Rihana hanya diam memandu. ‘None of your business’, bisik hati Rihana.
Memang
selepas dia berhenti dari club, dia
pulang ke kampung lama. Jemu di kampung, dia ke Penang mencari Yatie dan
tinggal di rumah sewa Yatie hampir sebulan sebelum dia kembali ke Kuala Lumpur
kerana panggilan kerja.
“Rin...
boleh tak kalau kita jadi seperti dulu?” Hakim bersuara setelah tayar kereta
Rihana mencecah jalan raya.
Rihana
jeling. ‘Dah ada tunang masih ada hati nak menggatal dengan aku’. Cemuh hati
Rihana. Saat ini dia sedang tahan sabar. Sekejap lagi dia akan ajar Hakim
cukup-cukup.
Jalan
masih sesak walau waktu sudah hampir Maghrib. Tiba di jalan besar, Rihana
himpit kereta ke kiri dan berhenti di tepi jalan. Tanpa suara, dia keluar dan
bergerak ke arah pintu penumpang.
“You keluar!.” arah Rihana pada Hakim
sebaik membuka pintu kereta penumpang.
Hakim
yang tak tahu apa-apa dan masih tercengang-cengang dengan tindakan kilat
Rihana, hanya menurut perintah melangkah keluar.
“Rin...”
Dum!!!
Bunyi pintu kereta yang dihempas Rihana menghentikan bicara Hakim yang ingin
bertanya apa sebenarnya yang Rihana mahu lakukan.
Tanpa
suara, Rihana melangkah untuk ke tempat memandu. Dia ingin tinggalkan Hakim di
situ. Namun, langkahnya termati tatkala Hakim menyambar tangannya.
“You sanggup nak tinggalkan I kat tepi
jalan ni?” Soal Hakim dengan suara yang entah untuk diceritakan bagaimana
Rihana sendiri tidak tahu. Yang pasti, soalan Hakim dengan nada yang begitu
buatkan hati Rihana jatuh melurut.
“Look at me Rin.” Pinta Hakim setelah
Rihana diam membisu. Lengan Rihana yang berlapik baju masih dipegang tangan
Hakim.
“Setelah
apa yang kita lalui bersama. Setelah apa yang I lakukan untuk you, sanggup you nak tinggalkan I kat tepi jalan ni?” Hakim seperti tidak
percaya. Kepalanya menggeleng beberapa kali.
Oh!
Rihana rasa bersalah yang amat sangat. Luluh hatinya mendengar kata-kata Hakim
itu dan air jernih tiba-tiba sudah bergenang di tubir meminta izin untuk
menitis ke pipi.
“Okey!
You baliklah.” Hakim lepaskan lengan
Rihana. Dia bergerak sedikit menjauh.
“Hakim!”
Rihana memanggil.
“Masuklah. I hantar you balik ke kereta you.” Perlahan suara Rihana sambil menyembunyikan wajah ke kanan,
tidak mahu Hakim melihat dia sedang menangis.
Rihana angkat tangannya
berpeluk tubuh dan bersandar ke kereta. Dia jadi lemah untuk berdiri. Kan dia
dah kata, dengan Hakim dia sentiasa akan jadi wanita lemah.
“It’s okey! You baliklah. I boleh panggil driver I.” Hakim keluarkan telefon
bimbit dari dalam poket. Sungguh, dia benar-benar terasa hati dengan apa yang
Rihana ingin lakukan padanya. Sungguh! Tidak tercapai dek akalnya yang Rihana
sanggup memperlakukan dia begitu.
“Hakim!” Rihana tarik
lengan Hakim.
“Please... I’m really sorry.” Rihana seakan memujuk. Air matanya
sudah gugur menyapa pipi. Sungguh, dia tidak sanggup untuk berlaku kejam begini
pada Hakim.
Hakim larikan wajah ke
kanan. Nafasnya ditarik panjang. Kalau perempuan lain yang buat dia begini,
tahulah dia nak ajar macam mana.
Tapi yang buat ini
adalah Rihana dan dia tidak pernah sanggup untuk melakukan sesuatu yang tidak
elok terhadap wanita ini. Rihana seperti ada ‘saka’ yang menjaganya yang
membuatkan dia rasa tidak berupaya untuk melakukan sesuatu tanpa kerelaan
Rihana.
“Please get inside, I hantar you
ke kereta and I’m sorry for everything”
ucap Rihana sambil mengesat pipi yang basah.
“Pleaseeee...” Rihana merayu lagi setelah melihat Hakim diam tidak
berganjak. Lengan Hakim ditarik dan pintu kereta dibuka.
Tanpa suara, Hakim ikut
kemahuan Rihana. Tak mengapalah Rihana, hari ini dia mengalah. Esok lusa, dia
akan pastikan Rihana tidak punya pilihan. Kalau hari ini dia tidak dapat
‘membeli’ Rihana dengan wang ringgit dan pujuk rayu, esok lusa dia akan beli
Coral Global dengan apa cara sekalipun. Dia akan cari jalan supaya Rihana tidak
punya pilihan selain dari bekerja dengannya.
Waktu itu, tahulah dia
bagaimana nak takluki Rihana. Kerana Rihana, dia sanggup ketepikan soal
keluarga dan juga Nelly. Kalau Rihana sudi menjadi suri hidupnya, dia sanggup
memutuskan pertunangan dengan Nelly walau kemungkinan dia akan dibuang
keluarga.
Petang itu, Hakim tidak
pulang ke kondonya. Dia harus bertindak cepat, harus berbincang dengan papanya
secepat mungkin. Arah pemanduannya terus ke rumah keluarganya.
Memang nasibnya baik apabila papanya sudah ada di
rumah ketika dia . Masuk saja ke rumah, tanpa lengah dia terus berdepan dengan
papanya.
"Pa, Hakim nak beli Coral Global."
Datuk Adam kerut kening, memandang Hakim yang baru
melangkah masuk ke rumah dan baru melabuhkan punggung ke sofa di depannya
dengan pandangan pelik. Baru balik rumah terus cerita pasal business. Ada apa-apa yang dia tak tahu ke ni?
"Sejak bila kamu berminat dengan company kecil ni?"
Pelik! Selama ini Hakim memang tak pandang syarikat kecil.
Fokus Hakim hanya untuk business
juta-juta. Setakat projek kecil-kecil, Hakim memang tak mahu ambil tahu.
"Bukan ke sebelum ni kamu tak pernah berminat
dengan syarikat tu?"
Hakim capai surat khabar di atas meja dan angkat
sedikit tinggi agar wajahnya terlindung dari renungan papanya. Sebenarnya, dia
bukan nak baca surat khabar pun tetapi bimbang jika papanya dapat meneka apa
yang ada di kepalanya saat ini.
"Hari tu Hakim jumpa Nazreen. Dia dah brief pasal projek tu dan bila tengok profile Coral Global, Hakim rasa
syarikat tu ada potensi untuk dikembangkan." Hakim berjeda sejenak.
"Hakim ada perancangan menarik. Cuma papa perlu pujuk Uncle Nizam jual saham
dia bagi kita." Surat khabar di tangan diturunkan dan wajah papanya
dipandang menanti jawapan.
Seketika berfikir, Datuk Adam angguk kepala. Kalau
soal business dia memang percaya
seratus peratus pada Hakim. Sejak Hakim ambil alih menerajui Royal Group,
banyak perubahan yang dibuatnya dan semua itu banyak memberi keuntungan pada
syarikat. Hakim kalau bekerja memang serius.
"Kalau Uncle Nizam tu susah sikit tapi papa cuba
pujuk partner dia. Ada dua lagi
pemegang saham yang papa kenal." akhirnya Datuk Adam setuju dengan
permintaan Hakim.
"Hakim, bila sampai?" Datin Azura yang baru
turun dari tingkat atas terus menyapa sebaik terpandangkan anak bujangnya yang
satu itu.
"Baru lagi ma."
"Dah makan?" soalan seorang ibu.
Seorang wanita, bila nampak muka anak, soal makan yang
ditanya dulu. Bila nampak suami, makan juga yang ditanya dulu. Kenapa lelaki
tak boleh buat benda yang sama?
"Dah makan, ma." Jawab Hakim. Sebenarnya,
dia belum makan lagi tetapi perutnya rasa kenyang serta merta sebaik mendengar
jawapan positif dari papanya. Di kepalanya sudah ada perancangan dan Rihana tak
mungkin ada pilihan lagi.
"Kenapa mama tengok badan dah makin susut?"
Soal Datin Azura lagi. Agak lama dia tidak bertemu Hakim. Sejak sibuk dengan
kerja, Hakim beli kondo sendiri dan jarang sangat pulang ke banglo mereka.
"Jangan kerja aje dua puluh empat jam Hakim.
Kesihatan kena jaga juga. Bawa bawa rehatkan otak dan badan. Pergi bercuti,
ajak Nelly tu sekali sambil survey
barang untuk majlis kamu tu."
"Mmm...
yerlah." Jawab Hakim malas. Sebut saja nama Nelly, dia jadi hilang
semangat.
"Nelly kata dah banyak kali ajak kamu pergi Bandung,
tapi kamu asyik bagi alasan sibuk. Papa kan ada, takkan tak boleh cuti
sekejap?"
"Ma, we’ll
talk about that later boleh tak? Hakim penat ni, nak naik atas mandi."
Hakim bangkit. Sengaja untuk mengelak sebenarnya. Mama ni kalau bab merancang,
dia boleh jadi rimas dan lemas. Buat waktu sekarang, kalau hal-hal yang
berkaitan dengan Nelly memang boleh buat dia naik semput.
Bersambung
No comments:
Post a Comment