BAB
1
Skrin telefon bimbit miliknya
dipandang lama. Hatinya dipagut sayu. Berkali-kali mesej yang tersimpan di
dalam peti inbox nya dibaca. Malah,
bagaikan sudah dihafal satu demi satu perkataan yang terkandung di dalam mesej
ringkas itu. Meskipun mesej itu bagaikan sudah sebati dalam mindanya namun
hatinya tetap tersentuh setiap kali membacanya.
Dua bulan sudah berlalu. Selama dua
bulan jugalah mesej itu masih setia menetap dalam peti inbox telefon bimbitnya. Tetapi entah kenapa dia masih tidak mahu
untuk memadamkan mesej yang mengguris hati perempuannya. Mungkin kerana dia
mahu mengingatkan dirinya sendiri. Mungkin dia mahu diri sendiri menerima
hakikat. Hakikat yang hubungan antara dia dan Fahmi sudahpun berakhir.
Sampai hati Fahmi meninggalkan dia
di saat-saat akhir persekolahan. Ketika rakan-rakan lain sedang bergembira
meraikan kertas terakhir peperiksaan SPM, dia menerima pesanan ringkas dari
kekasih hatinya. Sangkanya Fahmi ingin meraikan kegembiraan ini bersama saat
terpandang mesej Fahmi yang masuk tetapi...
Dia mencari Fahmi. Mencari pemuda
itu di merata-rata tempat namun Fahmi pergi meninggalkannya. Tanpa sebaris
kata, tanpa sebarang pesanan...pemuda itu terus menghilangkan diri.
Tergamak Fahmi meninggalkannya tanpa
sebab. Tergamak Fahmi membuatkan dia tertanya-tanya tanpa jawapan. Apakah
sebabnya Fahmi ingin memutuskan hubungan mereka? Apakah kesalahan yang dia
lakukan sehingga Fahmi tidak mahu bersemuka dengannya walaupun untuk
mengucapkan selamat tinggal? Benci benarkah Fahmi dengan dirinya?
Tetapi..kenapa? Kenapa?
Namun, persoalan yang kerap menerjah
mindanya terjawab seminggu sebelum dia melanjutkan pelajaran ke Kolej Putra di
dalam jurusan perubatan. Dia bertembung dengan Fahmi di bandar bersama seorang
gadis di sisi pemuda itu. Begitu mesra berjalan bersama sambil berpimpin
tangan. Gelak tawa serta kebahagiaan terpancar di wajah keduanya.
Oh Tuhan. Dia tidak kuat menghadapi
situasi itu. Balik saja dari bandar, air matanya turun mencurah-curah. Dia cuba
untuk menjadi seorang gadis yang kuat namun sayangnya terhadap Fahmi membuatkan
dia lemah. Lemah hati dan perasaan.
Berkali-kali dia menasihati diri
sendiri. Mengapa perlu dia menangis untuk lelaki yang telah melukai hatinya?
Mengapa perlu bersedih untuk orang yang sudah membuat dia menderita?
Mengapa perlu mengharapkan kasih pada
yang tak sudi?
Namun, dia tidak mampu untuk
menidakkan rasa sedih itu. Dia tidak mampu menepis rasa kecewa yang bertandang.
Ternyata dia masih bersedih untuk lelaki yang telah membuat dia menderita.
Malah, dia masih mengharapkan agar Fahmi kembali, menyinari hubungan mereka
seperti dulu. Dia masih menanti pemuda itu kembali kepadanya.
Tetapi…semuanya sudah berakhir.
Fahmi sudah tidak menyayangi dirinya lagi. Fahmi sudah ada pilihan hatinya
sendiri. Dan dia..
Dia tidak sepatutnya mengharapkan
lagi pemuda itu.
Pantas dia meletakkan telefon
bimbitnya di tepi katil. Matanya dipejamkan. Terasa air hangat mengalir, jatuh
membasahi pipinya. Ternyata perpisahan itu masih lagi terasa kesakitannya.
**********
“Hani!”
Hani tersentak apabila tangannya disiku.
Segera dia berpaling. Kelihatan Julia yang berada di sebelahnya merenung tajam
ke arahnya. Dia tidak pasti kenapa Julia berwajah begitu. Segera dia menoleh
pula ke arah Syasya yang duduk berhadapan dengannya dan kemudian mengangkat
kening tanda bertanya. Syasya tidak menjawab. Hanya senyuman yang menghiasi wajah
manis gadis itu.
“Kenapa?” tanya Hani sambil
pandangannya di halakan ke arah Julia.
“Kenapa apa?’ soal Julia kembali.
Pura-pura tidak tahu.
“Kenapa kau pandang aku lain macam
saja?” tanya Hani lagi.
Julia mengeluh.
“Kau buat apa tadi?” soal Julia
tanpa menjawab soalan Hani.
“Study,”
jawab Hani ringkas.
“Kalau study, tak mungkin kau tak dengar aku panggil kau. Kau tahu tak dah
dekat sepuluh kali aku panggil. Itu belum kira Syasya yang panggil. Nasib baik
kita kat perpustakaan. Kalau tidak, dah lama aku jerit nama kau kuat-kuat
sambil bagi penumbuk sebiji,” bebel Julia panjang lebar.
Hani terdiam seketika. Julia dan
Syasya memanggil namanya? Tak dengar pun!
“Berangan lagilah tu,” sindir Syasya
pula.
“Tak..aku..aku..”
Erk..nak bagi alasan apa pula ni?
Takkan aku nak kata aku study maut
sampai tak dengar panggilan dia orang yang jaraknya tak sampai sekaki? Dan..tak
mungkin aku akan memberitahu perkara sebenar. Aku sedang memikirkan tentang
Fahmi. Insan yang telah memberikan aku kegembiraan dan insan itu jugalah yang
memberi aku penderitaan. Aku sedang mengimbas kenangan manis antara kami.
Sungguh! Bukan mudah untuk melupakan pemuda itu.
“Hello!” Julia menjentik jarinya di
hadapan muka Hani menyebabkan sekali lagi lamunannya terbang dibawa dek angin.
“Sudahlah tu Julia. Jomlah kita
pergi lunch. Kalau nak tunggu minah
seorang ni, sampai petang pun kita tak makan nanti,” kata Syasya sambil bangun
dari kerusinya.
Julia menuruti jejak Syasya,
menyusun buku-buku yang bersepah di atas meja lalu terus bergerak.
“Eh geng, tunggulah aku,” dengan
kelam kabut, Hani terus saja mengambil buku-buku miliknya lalu melangkah
mengekori Syasya dan Julia dari belakang.
Beberapa meter keluar dari
perpustakaan, Hani berhenti sambil menepuk dahinya. Julia dan Syasya berpandangan
sesama sendiri.
“Kenapa?” tanya Syasya apabila
melihat perilaku Hani yang seakan-akan blur hari itu.
“Ini semua kau orang berdua punya
pasal,” bebel Hani.
“Kenapa? Apa yang kita orang dah
buat?”
“Pasal kau orang cepat sangat nak
pergi lunch, aku terlupa nak
pulangkan buku ni. Sudahlah hari ini tarikh akhir pemulangan buku ni,” rungut
Hani sambil menunjukkan buku rujukan Patologi yang setebal hampir seribu
mukasurat itu.
Julia mengeluh. Sudahlah perutnya
terasa lapar. Ada juga yang melengah-lengahkan sesi mengisi perut ini.
“Macam nilah. Kau orang berdua pergi
makan dulu. Nanti aku datang. Kalau boleh ambilkan nasi aku sekali. Lauk
apa-apa saja. Tapi kalau ada kerang rebus, ambil banyak sikit ya,” pesan Hani sambil
tersenyum-senyum.
“Okaylah. Kalau macam tu, kita orang
pergi dulu. Cepat sikit. Kalau lambat, aku baham semua kerang rebus kau tu,”
sahut Syasya dengan wajah yang selamba.
Hani cepat-cepat melangkah kembali
menuju ke perpustakaan. Sebaik sahaja selesai memulangkan buku rujukan tersebut,
dia segera menuju ke kafeteria. Namun, tiba-tiba langkahnya menjadi perlahan.
Perutnya yang tadi berbunyi minta diisi, seakan sudah terhenti iramanya.
Hatinya tiba-tiba dipagut hiba. Sekali lagi dia teringatkan Fahmi.
Ah! Bukan mudah untuk melupakan
segala kenangan indah bersama Fahmi. Bukan dia tidak berusaha. Bukan dia tidak
mencuba, tetapi semakin dia mencuba, kenangan itu semakin mendekati dan terus
memaksa dia untuk memikirkan pemuda itu.
Apa yang Fahmi sedang buat sekarang?
Bahagiakah Fahmi dengan gadis
pilihannya itu?
Masih ingatkah Fahmi akan dirinya?
Masih adakah sisa rindu Fahmi akan
dirinya saat ini?
Oh Tuhan! Berikanlah aku kekuatan
untuk menghadapi semua ini.
Langkah Hani terhenti. Dia
memejamkan mata. Cuba mengawal air mata dari terus tumpah. Dia menarik nafas
dalam-dalam dan tiba-tiba..
“Ops!”
Hani terjatuh apabila tubuhnya
dilanggar. Habis berterabur buku yang dipegangnya. Seketika dia mengaduh sakit.
Beberapa saat kemudian, dia bangun sambil menepuk-nepuk tangannya yang berdebu.
Wajah pemuda di hadapannya itu
direnung. Pemuda yang melanggarnya itu hanya diam. Sepatah pun tidak bersuara
apatah lagi untuk memohon maaf.
Huh! Sudahlah langgar orang. Tak
minta maaf langsung. Lepas tu tunjuk muka sombong pulak. Macamlah aku pula yang
bersalah dalam hal ni. Bisik Hani dalam
hati.
Keadaan sepi seketika. Tiada
tanda-tanda pemuda itu ingin memohon maaf. Jadi, Hani segera memulakan bicara.
Malas dia untuk melayan kerenah pemuda sombong itu.
“Kalau awak tak nak minta maaf tak
mengapalah. Tapi, saya dah maafkan awak,” ujar Hani selamba lalu melangkah
pergi dari situ.
Harap muka saja hensem tapi perangai…
**********
“Kenapa lambat?” tanya Julia sebaik
saja Hani menarik kerusi dan duduk berhadapan dengannya.
“Komputer buat hal masa aku nak
pulangkan buku tadi,” dalih Hani. Malas dia nak bercerita tentang pemuda
sombong itu. Nanti banyak pula yang Syasya dan Julia tanyakan. Lagipun, bukan
penting pun!
“Ni, kerang rebus kau. Nasib baik
cepat, kalau tak kau boleh makan kulit sajalah,” ujar Syasya sambil menyedut
air sirap kegemarannya.
Terliur Hani melihat kerang rebus di
hadapannya. Memang kerang rebus merupakan salah satu makanan kegemarannya.
Kalau hari-hari makan kerang rebus pun dia tidak kisah.
Hani segera menikmati makanan di
hadapannya. Nasi putih berlaukkan kerang rebus, sayur kangkung goreng, ikan
masak sambal membangkitkan seleranya. Laju saja dia menikmati makanan sambil
mendengar perbualan dua sahabat yang duduk bertentangan dengannya.
“Kau pun tahu pasal dia?” tanya
Syasya kepada Julia.
“Mestilah aku tahu. Semua orang kat
sini tahu pasal dia,” sahut Julia.
“Wah, dia memang betul-betul glamor.
Dahlah hensem, kaya pula tu,”
“Hmm, untunglah siapa perempuan yang
dapat jadi makwe dia,”
Perbualan Julia dan Syasya menarik
minat Hani. Siapa yang di maksudkan oleh rakan-rakannya itu? Siapa yang di
katakan glamor, kacak dan kaya itu? Kenapa
dia boleh ketinggalan ini? Syasya dan Julia ini pun satu. Bercerita berdua
saja. Bagaikan dirinya tidak wujud di situ. Tidak adil langsung!
“Kalaulah aku dapat jadi makwe dia..wah,
bestnya,” kelihatan Syasya sedang berkhayal dapat mendampingi putera idaman.
Matanya dipejam dengan tangannya digenggam erat. Fuh! Berangan.
“Sya, kau jangan mimpilah. Tak ada
orang yang berani nak dekat dengan dia apatah lagi nak jadi awek dia,”
kata-kata Julia mematikan angan-angan Syasya. Terasa istana yang di impikan
sudah hancur berkecai.
“Tapi…kalau tak cuba tak tahu kan?” duga
Syasya.
“Kau berani?” Julia cuba mencabar.
Soalan Julia membuatkan Syasya
terdiam. Berkerut-kerut dahi Syasya memikirkan jawapan yang harus diberikan
untuk soalan Julia. Jawapan yang mudah. Ya atau tidak. Tapi, itupun Syasya tak
mampu jawab. Dan di kesempatan itu, Hani
mencelah.
“Nanti..nanti..nanti..korang cerita
pasal siapa ni ha?” tanya Hani ingin tahu siapa lelaki yang dipuja-puja Syasya
dan Julia itu.
“Kau tak tahu?” tanya Syasya sambil
merenung tepat ke arah Hani.
“Kau tak cakap manalah aku tahu,”
“Tuah Iskandar,” ujar Syasya separa
berbisik.
“Tuah Iskandar?”
“Syyyyyyhhh,” Syasya meletakkan
jarinya ke bibirnya menunjukkan isyarat agar suara di perlahankan apabila
menyebut nama pemuda itu. Kemudian, Syasya memandang ke kiri dan kemudian ke
kanan. Hani turut berbuat demikian. Nasib baik tiada mata yang memerhati ke arah
mereka. Tetapi..apa yang tidak kena dengan nama itu sehinggakan Julia dan
Syasya takut perbualan mereka di dengari orang?
Hani mengerutkan dahinya. Kenapa tak
boleh sebut kuat-kuat nama pemuda itu? Bahaya sangatkah kalau di dengari orang?
“Ya, Tuah Iskandar. Kau tak pernah
dengar?” tanya Syasya lagi.
Pantas Hani menggelengkan kepala.
“Kau ni slow lah, Hani. Orang yang paling glamor kat kolej kita ni pun kau
tak kenal,” ujar Julia.
“Manalah aku tahu. Aku ke hulu ke
hilir dengan korang berdua saje. Kalau korang tak cerita, manalah aku nak
tahu,”
“Hani, aku pun berkawan dengan
korang berdua juga tapi aku taklah ketinggalan zaman dalam bab-bab macam ini,”
Hani mencebik. Adakah kerana tidak mengenali
lelaki yang bernama Tuah Iskandar itu di anggap ketinggalan zaman? Tak masuk
akal langsung!
“Okay..okay..Apa hebat sangat tentang
Tuah Iskandar tu?” tanya Hani sambil memperlahankan suaranya apabila menyebut
nama Tuah Iskandar.
“Dia pelajar senior tahun akhir
jurusan pengurusan perniagaan. Anak orang kaya. Hensem pula tu. Rupa dia
ala-ala Farid Kamil sedikit. Aku rasa, dalam kolej ni, dialah lelaki yang
paling hensem sekali,” ujar Julia sambil mengerdip-ngerdipkan matanya. Gedik
sungguh!
“Dia tu memang glamor kat kolej ni.
Ramai student perempuan minat kat
dia,” celah Syasya pula. Nampaknya kedua sahabatnya itu berlumba-lumba
menceritakan tentang Tuah Iskandar. Glamor sungguh Tuah Iskandar itu.
“Kau orang pernah tengok dia ke?”
“Pernah, tapi mampu tengok dari jauh
aje,”
“Mampu pandang dari jauh? Maksud
kau,”
“Walaupun dia hensem, kacak, glamor…tapi
tak seorang pun berani tegur dia. Baik lelaki mahupun perempuan, semua tak
berani nak bertegur sapa dengan dia,”
“Kenapa?”
“Sebab, dia tu gangster,”
“Gangster?”
“Syyyhhh”
Kelam kabut Julia dan Syasya
mengawal keadaan apabila suara Hani melepasi tahap yang sepatutnya. Bimbang
perbualan mereka di dengari apatah lagi yang melibatkan Tuah Iskandar.
“Kolej kita ada gangster?” tiba-tiba
bulu roma Hani berdiri tegak. Teringat dia akan filem KL gangster, Evolusi KL
drift dan pelbagai filem-filem gangster yang ada di pawagam. Huh! Semuanya
ganas-ganas. Siap dengan pistol, pisau, parang..
“Dengar cerita, Tuah Iskandar ada
geng-geng motor kat luar kolej. Sebab tu budak-budak tak berani nak dekat
dengan dia. Budak-budak perempuan yang suka dia, hanya mampu pandang dari jauh sajelah,”
“Pernah sekali seorang budak kolej
kena pukul dengan geng-geng Tuah Iskandar. Semua berpunca apabila budak tu
terlanggar motor Tuah Iskandar. Masa tu budak tu tak tahu siapa Tuah Iskandar.
Jadi, budak tu mengamuk marahkan Tuah Iskandar. Malam itu juga budak tu kena
pukul sampai masuk hospital,”
Bulat mata Hani mendengar cerita
Syasya. Sampai begitu sekali?
“Pendek kata, kalau nak selamat
jangan ada kaitan langsung dengan Tuah Iskandar,”
Hani mengeluh. Minta di jauhkan dari
semua itu. Kalau boleh, mengenali Tuah Iskandar pun dia tidak mahu. Takut pula
dia apabila mendengar cerita Julia dan Syasya. Gangster? Siapa yang tidak
takut? Lebih-lebih lagi perempuan seperti dia. Penakut dan tidak kuat semangat.
Kalau jumpa Tuah Iskandar, pasti dia akan buka langkah seribu.
Tiba-tiba Hani mengerutkan dahinya.
Matanya tajam memandang ke arah Julia dan Syasya. Julia mengangkat kening tanda
bertanya kenapa Hani buat muka macam tak puas hati.
“Dah tahu dia tu teruk, kenapa masih
nak suka lagi?”
“Sebab dia tu hensem sangat,”
Hani mengeluh kecil. Hanya kerana
hensem saja? Tak masuk akal! Memang Julia dan Syasya sudah tidak betul.
“Wei..kau orang..” Julia tiba-tiba
bersuara. Perlahan separuh berbisik.
“Kenapa?” tanya Hani acuh tak acuh.
“Itu, Tuah Iskandar,”
Hani pantas menoleh ke belakang
namun cepat-cepat Julia menegah.
“Kenapa?”
“Janganlah nampak sangat kau nak
pandang dia. Cover lah sikit,”
“Tak boleh ke?”
“Kalau dia perasan, teruk kita
nanti,”
Hani mencebik. Nak pandang pun kena
sembunyi-sembunyi. Gangster besar betul ni! Namun, Hani ikutkan juga nasihat
Julia. Untuk keselamatan, apa salahnya. Tak kena bayar pun. Hani curi-curi
pandang ke belakang. Ingin sekali melihat wajah pemuda yang di katakan glamor
dan kacak di kolej itu.
“Dia…yang tengah-tengah tu,” bisik
Julia perlahan.
Dan saat matanya melihat pemuda itu,
jantungnya berdegup kencang.
Diakah Tuah Iskandar?
BAB
2
Hani merebahkan tubuhnya di atas
katil. Matanya merenung kipas yang ligat berpusing. Udara nyaman dari kipas
memenuhi ruang bilik. Bilik yang tadinya panas menjadi sedikit sejuk. Namun,
udara sejuk itu tidak mampu membuatkan dirinya tenteram.
Aduh! Lepas satu masalah, satu lagi
masalah lain yang muncul.
“Huh!” Hani melepaskan satu keluhan
yang berat.
Masalah yang lama belum selesai,
kini dia terpaksa berdepan dengan masalah baru. Baru saja dia ingin membuka
buku baru, hidup dengan aman dan tenteram…tetapi...
Aduh!
Benarkah pemuda yang dilihat di kafeteria
sebentar tadi adalah Tuah Iskandar? Pemuda yang telah melanggar dia semasa
dalam perjalanan pulang dari perpustakaan itu adalah Tuah Iskandar? Pemuda yang
berwajah sombong itu Tuah Iskandar? Pemuda yang dia perli kerana tidak mahu meminta
maaf itu Tuah Iskandar? Tuah Iskandar, pemuda paling kacak dan glamor di Kolej
Putra? Tuah Iskandar, salah seorang ahli
kumpulan gangster di Kuala Lumpur ini? Benarkah?
Kalau nak selamat, jangan ada apa-apa
kaitan dengan Tuah Iskandar.
Kata-kata Julia terngiang-ngiang di
telinga Hani. Tiba-tiba Hani terasa kecut perut.
Minta-mintalah Tuah Iskandar tidak
ambil kira tentang kes perlanggaran antara mereka. Minta-mintalah pemuda itu
tidak cam akan wajahnya lagi. Minta-mintalah pemuda itu tidak ingat langsung
akan perlanggaran itu. Tetapi…itu bukan salah dia. Tuah Iskandar yang melanggar
dia dan menyebabkan dia terjatuh. Tetapi..kes dia ini hampir sama seperti kes
pelajar yang diceritakan oleh Julia cuma perlanggaran antara dia dengan Tuah Iskandar
tidak melibatkan sebarang kenderaan. Hanya perlanggaran biasa yang membuatkan
punggungnya sedikit sakit dan tiada apa-apa kesan langsung pada Tuah Iskandar!
Jadi, tidak wajar dia di persalahkan.
Tidak adil jika dia dipukul. Dipukul?
Terbayang di minda Hani bagaimana
dia dipukul oleh sekumpulan gangster yang berwajah bengis. Aduh! Bagaimana?
Sudahlah dia tidak tahu sebarang seni mempertahankan diri. Setakat cubit-cubit,
tumbuk-tumbuk, tendang-tendang, tahulah dia sikit-sikit. Itupun selalunya tak
mengena.
Hoi, Hani. Kenapalah engkau fikir
begitu jauh? Entah-entah Tuah Iskandar tak fikir apa-apa pun. Engkau tu siapa
yang dia nak fikir? Tak masuk langsung dalam kamus hidup dia. Entah-entah,
terlintas sedetik pun tidak. Engkau saja yang lebih-lebih.
Hani terdiam mendengar kata-kata hatinya
sendiri. Baguslah jika dia tidak masuk langsung dalam kamus hidup pemuda itu.
Lagi bagus kalau Tuah Iskandar tak ingat langsung akan dirinya. Bolehlah dia
hidup dengan aman dan tak akan melibatkan diri dengan Tuah Iskandar. Tetapi,
kalau yang berlaku adalah sebaliknya, bagaimana?
Hani sebenarnya fobia. Fobia dengan
kes buli membuli kerana dia pernah mengalami situasi dibuli. Peristiwa yang
berlaku di sekolah menengah menjadikan dia seorang yang penakut. Takut dengan
gangster!
Semasa di dalam tingkatan empat, Hani
pernah dibuli oleh samseng-samseng sekolah. Ini semua gara-gara bola yang
dibaling Hani semasa sedang bermain bola jaring terkena kepala seorang pelajar
lelaki yang kebetulan lalu di kawasan itu. Lebih buruk lagi, pelajar itu
merupakan senior tingkatan lima dan merupakan salah seorang geng budak-budak
nakal yang terkenal di sekolah. Walaupun sudah meminta maaf namun, pemuda itu
serta rakan-rakannya sering membuli Hani. Yang paling dia tidak boleh lupa, Hani
diejek dan digelar Hani Kitty semata-mata kerana dia memakai dompet yang ada
gambar Hello Kitty.
Jahat sungguh mereka. Mereka dera
perasaan Hani!
Apabila masuk tingkatan lima, Hani
boleh menarik nafas lega kerana semua senior sudah keluar selepas tamat
peperiksaan SPM. Namun, gelaran Hani Kitty tetap melekat sehinggalah dia masuk
ke Kolej Putra. Tiada orang yang mengenalinya di sini dan tiada lagi gelaran Hani
Kitty.
Dan…adakah gelaran Hani Kitty akan
kembali dengan munculnya Tuah Iskandar? Tidak! Tak mungkin. Tuah Iskandar bukan
pengacau dari masa lampaunya. Tuah Iskandar adalah manusia yang muncul sekarang
ini! Dan mungkin akan datang!
Oh tidak! Tolonglah. Minta di jauhkan
aku dari pemuda yang bernama Tuah Iskandar itu.
Tiba-tiba Hani bangun dari
pembaringan. Dia mencapai dompet yang dicampak di atas meja sebentar tadi.
Dompet yang ada gambar Hello Kitty itu membuatkan dia tersenyum. Bukan dia suka
sangat dengan watak kartun Hello Kitty itu tetapi dompet itu merupakan
pemberian Fahmi. Fahmi kata dia comel macam Hello Kitty dan kerana kata-kata
Fahmi, dompet itu menjadi begitu berharga buat dirinya.
Wajah Fahmi kembali terlayar di mindanya,
menggantikan wajah Tuah Iskandar yang dari tadi mengganggu ketenteraman
hidupnya.
**********
“Kenapa nak jumpa saya?” tanya Hani
sambil matanya merenung Fahmi yang duduk berhadapan dengannya. Entah dari mana
kekuatan yang di perolehi sehingga mampu bertentang mata dengan Fahmi. Kalau
sebelum ini, sebut saja nama pemuda itu, air matanya sudah mengalir.
“Saja, tak boleh ke?” pertanyaan dijawab
dengan pertanyaan. Menyampah pula Hani dengar. Sengaja nak berjumpa dengan dia?
Tidak ingatkah dengan makwe awak yang ada kat rumah tu? Kalau makwe awak tu
tahu awak sengaja nak jumpa bekas kekasih awak ini, tentu perang besar nanti.
“Saya rindu awak,” bicara yang
keluar dari mulut Fahmi membuatkan Hani terkejut. Bulat matanya memandang
Fahmi.
“Awak ni sakit ke? Tak makan ubat?”
berang juga Hani apabila Fahmi berkata begitu. Walaupun masih ada sedikit
perasaan sayang terhadap pemuda itu tetapi dia rasa tidak adil jika Fahmi
merindui dirinya sedangkan pemuda itu sudah ada teman istimewa.
Lelaki! Semuanya sama!
“Saya sihat dan masih waras lagi,”
“Kalau macam tu, mungkin ada salah
satu wayar kat dalam kepala awak terputus,”
Fahmi tersenyum mendengar kata-kata
Hani. Hani kelihatan comel bila marah-marah macam itu.
“Sebenarnya, kenapa awak nak jumpa
saya ni?” Hani masih lagi bertanya. Pasti ada sebab kenapa Fahmi ingin bertemu
dengannya. Takkanlah hanya sebab saja-saja?
“Nak tengok awak,” ringkas jawapan
Fahmi tetapi jawapan itu sangat tidak memuaskan hati Hani.
“Tak payahlah awak nak buang masa
jumpa orang macam saya. Lebih baik awak jumpa teman wanita awak tu. Ada juga
faedahnya,” perli Hani sambil membuat muka.
Sebut saja tentang teman wanita,
Fahmi terus diam. Dia menundukkan wajahnya. Wajah itu kelihatan sayu. Hani cuba
meneka maksud di sebalik wajah itu tetapi otaknya tidak dapat mentafsir maksud
yang tersirat.
Tiba-tiba telefon bimbit Fahmi
berbunyi. Lekas-lekas pemuda itu menjawabnya. Hani lihat dahi Fahmi berkerut
seribu. Nampak tegang saja apabila bercakap dengan si pemanggil.
“Hani, saya kena pergi. Ada hal
kecemasan. Awak balik naik teksi ya,” ujar Fahmi lalu meletak not sepuluh
ringgit di hadapan Hani bagi membayar harga minuman mereka. Tidak sempat Hani bertanya
apa-apa, Fahmi sudah hilang dari pandangan.
Balik naik teksi? Hani mengeluh.
**********
Suasana malam itu sunyi benar walhal
jam baru menunjukkan jam sepuluh malam. Hani menapak sendirian. Melambai-lambai
teksi yang lalu, minta berhenti. Namun, tiada satu teksi pun yang kosong. Agak
lama Hani berbuat demikian tetapi masih tidak dapat menahan walau sebuah teksi.
Kalau tak dapat teksi, matilah aku.
Dah malam ni. Nak minta tolong siapa?
Dalam fikiran Hani hanya
terbayangkan Julia yang memiliki sebuah kereta kancil. Itu pilihan terakhir
andai dia tidak dapat menahan teksi malam itu.
Hani menahan lagi teksi tetapi tiada
teksi yang mahu berhenti.
Tiba-tiba Hani di datangi beberapa
orang lelaki. Kesemua lelaki itu mengelilingi Hani. Hani ketakutan. Dia
berundur beberapa tapak kebelakang menjauhi lelaki-lelaki itu namun langkahnya
dihalang. Dia sudah menggigil.
“Kau orang semua nak apa?” tanya Hani
dengan suara yang tersekat-sekat. Terasa takut apabila dikelilingi
lelaki-lelaki yang tidak di kenalinya itu. Ingin saja dia menjerit meminta
tolong tetapi tiada orang yang lalu lalang di kawasan itu. Aneh! Kenapa sunyi
saja Kuala Lumpur malam ini? Di mana semua warga kota yang gemar berpeleseran
pada waktu-waktu begini?
“Bos kami nak jumpa kau,” ujar seorang
lelaki yang berbadan gempal serta berkulit gelap.
“Siapa bos kau?” tanya Hani
memberanikan diri untuk bertanya.
“Aku!”
Satu suara dari belakang mengejutkan
Hani. Laluan diberi kepada empunya suara. Terbeliak mata Hani apabila melihat
pemuda itu.
“Tuah Iskandar?”
“Ya, aku.”
“Awak…awak nak apa?”
“Balas dendam,”
“Balas dendam? Balas dendam untuk
apa? Saya tak faham,”
“Aku tak suka orang yang berlagak
dengan aku,”
Hani terdiam. Apa maksud Tuah
Iskandar? Adakah pemuda itu maksudkan tentang perlanggaran antara dia dan Tuah
Iskandar tempohari?
“Tapi..”
“Orang yang berlagak dengan aku akan
terima pembalasannya,”
Hani kecut perut.
“Pukul dia,”
“What?”
Hani pandang lelaki-lelaki yang
sedang menghampirinya. Wajah masing-masing kelihatan bengis dan menakutkan.
Adakah mereka sampai hati untuk memukul seorang gadis yang lemah ini? Tetapi,
gangster bukannya ada sifat belas kasihan.
Hani sudah takut. Dia sudah membayangkan bagaimana dia dipukul, ditumbuk
dan ditendang sesuka hati oleh kumpulan gangster itu. Pasti patah riuk tubuh
kerdilnya atau mungkin dia menemui ajalnya malam itu.
“Tidak!!!!”
“Hani! Hani! Are you okay?”
Hani terbangun dari tidurnya. Kelihatan
Syasya sedang duduk di birai katilnya.
“Kenapa kau meracau ni?” tanya Syasya.
Hani masih terpinga-pinga. Seketika
dia termenung. Tidak sangka dia akan bermimpi buruk seperti itu.
“Kau mimpi?”
Hani meraup wajahnya. Mimpi ngeri
itu benar-benar mengganggu tidurnya.
“Pergi bersiap cepat. Lepas ni kita
nak pergi makan.”
Hani terdiam seketika. Syasya sudah
berlalu keluar dari bilik. Hani menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya keluar. Bayangan Fahmi
melekat di ingatannya. Kenapa dia mimpikan Fahmi? Adakah Fahmi sedang mengingatinya?
Namun, apabila mengingatkan Tuah Iskandar, nafas Hani jadi sesak tiba-tiba.
Adakah Tuah Iskandar akan datang untuk membalas dendam?
Hani tiba-tiba menggigil.
**********
Hani memandang ke kiri, kemudian ke
kanan. Terhendap-hendap bagaikan seorang pencuri yang sedang melarikan diri
daripada polis. Sekejap dia berjalan laju, sekejap dia memperlahankan
langkahnya. Langkahnya terasa sumbang. Semuanya serba tak kena.
Sampai sahaja di mana-mana simpang,
dia akan menyorok di belakang Julia mahupun Syasya. Dia takut terserempak
dengan Tuah Iskandar. Dia takut kalau-kalau pemuda itu akan teringat kes
perlanggaran apabila terserempak dengan dia nanti.
Sudah dua hari dia berkelakuan
begini. Sudah macam orang tidak siuman. Macam orang tidak betul saja. Tapi
nasibnya baik sebab selama dua hari ini dia tidak tertembung dengan Tuah
Iskandar. Terlihat dari jauh pun tidak. Mungkin Tuah Iskandar sudah melupakan
itu semua.
Kadang-kadang dia rasa dia yang
melebih-lebih. Dia yang gedik sangat merasakan Tuah Iskandar berdendam
dengannya walhal entah ingat entah tidak pemuda itu akan dirinya. Entah-entah
memang tidak terlintas langsung di fikiran Tuah Iskandar akan perlanggaran
tempohari. Entah-entah semua itu tidak penting langsung bagi pemuda itu untuk
mengingatinya. Jadi, kenapa dia pula yang beriya-iya bersembunyi? Kenapa dia
pula yang bersungguh-sungguh melarikan diri daripada pemuda itu?
Memang perasan sungguh!
“Ops!”
Dalam berkhayal-khayal, Hani
tersondol belakang Syasya. Entah bila pula Syasya berhenti dia tidak sedar
pula.
“Woi, kau ni apasal? Tak nampak aku
kat depan ni?” tanya Syasya persis seorang ibu tiri yang sedang memarahi anak
tirinya. Siap bercekak pinggang lagi dengan mata dibulatkan. Syasya memang ada
tokoh jadi ibu tiri!
“Yang kau berhenti mengejut tu
apasal?” balas Hani pula. Sengaja mencari salah Syasya agar tingkah lakunya
yang pelik tidaklah begitu ketara sangat.
“Yang kau jalan kat belakang kita orang
daripada tadi kenapa? “ Syasya buat muka tidak puas hati. Sudahlah dia
disondol, dia pula yang disalahkan. Tidak adil langsung!
“Erk..kaki aku ni sakit sikit. Tu
yang aku jalan lambat,” sekali lagi alasan yang entah apa-apa dicipta Hani. Mana
mungkin dia beritahu perkara sebenar kepada rakan-rakannya. Mahu
ditertawakannya nanti oleh Julia dan Syasya.
Bantai sajalah. Takkan nak cakap aku
bersembunyi dari Tuah Iskandar? Sungguh tidak logik bunyinya!
Syasya hanya mengeluh kecil.
Kemudian, mereka meneruskan perjalanan menuju ke kafeteria. Kali ini Hani sudah
berjalan seiring dengan Syasya dan Julia cuma matanya sahaja masih melingas merata-rata.
Takut terserempak dengan orang yang paling ingin dielak.
Sampai saja di kafeteria, Hani terus
duduk sambil menghembus nafas lega. Lega kerana hari ini dia tidak terserempak
dengan Tuah Iskandar. Tetapi, sampai bila dia harus berkelakuan sebegini?
Sampai bila dia harus menyembunyikan diri? Sampai Tuah Iskandar melupakan
semuanya? Tetapi bagaimana dia nak tahu yang pemuda itu sudah melupakan insiden
antara mereka?
Tiba-tiba Hani tersenyum sendiri
apabila mengingati apa yang berlaku. Terasa dirinya seperti orang gila sehingga
sampai begitu sekali dia takutkan Tuah Iskandar. Memang tak betul!
“Woi,”
Terkejut Hani apabila dirinya
disergah. Segera dia menumpukan perhatian pada Julia yang sedang merenung tajam
ke arahnya.
“Kenapa?” Hani terpinga-pinga
seketika.
“Hani, kau ni kenapa ye?”
“Kenapa apa?”
“Sejak kebelakangan ni, aku tengok kau
macam orang tak betul saje. Sekejap masam, sekejap termenung, sekejap senyum
sorang-sorang. Dah macam orang gila tahu tak?”
Hani terdiam. Seketika dia berfikir.
Apa lagi alasan yang dia nak cipta ni?
“Entah-entah kau ni ada sejarah gila
tak?”
“Isy! Sampai hati kau kata aku macam
tu Ju,”
Julia tertawa.
“Aku gurau sajalah,”
Hani memasamkan muka. Moga dengan
pura-pura merajuk, Julia tidak lagi bertanyakan hal berkaitan kelakuan
peliknya. Ternyata sukar untuk dia menjawab apabila soalan sebegitu di tujukan
kepadanya.
“Eh, jom kita pergi beli makanan.
Aku dah lapar sangat ni,” ajak Syasya seraya bangun dari duduknya.
Fuh! Selamat. Tiada lagi topik
tentang dirinya di perbualkan.
Hani sekadar mengambil sedikit saja
nasi beserta lauk sayur bayam, sambal belacan dan sekali lagi kerang rebus.
Fuh! Kecur air liur dia apabila melihat kerang rebus yang bergolek-golek minta
di makan. Hani tersenyum sendiri.
Selesai saja membayar harga makanan,
Hani terus berjalan mendapatkan Julia dan Syasya yang sudahpun menanti di meja
makan. Kelihatan Syasya sudah ternganga menjamah makanan. Tidak sabar sungguh!
Tiba-tiba langkah Hani terhenti. Dia
seperti merasakan satu keanehan tiba-tiba wujud. Terasa ada mata yang sedang
memerhatikan dirinya. Segera dia menoleh ke arah meja yang berada di hadapannya,
tidak jauh dari tempat dia berdiri. Jantungnya terasa bagaikan berhenti
berdenyut. Darahnya terasa tidak mahu mengalir. Mukanya terasa pucat.
Tuah Iskandar!
Pemuda itu merenung tajam ke
arahnya. Renungan itu menikam ke dalam anak matanya dan terus menusuk ke
jantung. Dan jantung kembali bergerak laju mengepam darah ke seluruh tubuh
badannya menjadikan dia rasa panas, seperti ingin demam.
Tubuhnya tiba-tiba menggeletar. Dengan
perasaan bercampur baur, Hani terus melangkah. Langkah yang longlai dan tidak
bermaya.
Dan pandangan Tuah Iskandar terus
menerus menikam ke jantungnya.
BAB
3
“Nah, makan ubat ni,” suruh Julia
sambil menghulurkan dua biji panadol dan segelas air masak kepada Hani. Hani
yang sedang berbaring, bangun dari pembaringannya. Dia mengambil panadol dari
tangan Julia dan terus menelannya.
“Panas badan kau ni, Hani. Kita
pergi klinik ya,” ajak Syasya sambil meletakkan tangannya pada dahi Hani.
Hani pantas menggeleng.
“Tak payahlah Sya. Demam aku ni
bukannya teruk sangat pun. Demam biasa saja. Lepas makan panadol ni nanti,
baiklah,” ujar Hani dengan suara yang perlahan di selang seli dengan
batuk-batuk kecil.
“Betul tak nak pergi klinik?” tanya
Syasya sekali lagi sambil mengurut-urut belakang Hani.
Hani hanya mengangguk. Manakala
Julia dan Syasya saling berpandangan.
“Agaknya, sebab inilah perangai kau
pelik sejak kebelakangan ni. Rupa-rupanya, nak demam,” usik Julia sambil
tersengih.
“Ini demam apa pula ni? Nak kata
demam exam, exam lambat lagi,” Syasya
pula mengusik.
“Nak kata demam rindu, tak ada boyfriend,”
Julia menyambung.
Hani membalas usikan Julia dan
Syasya dengan senyuman. Hmm…kalaulah Julia dan Syasya tahu perkara sebenar yang
menyebabkan dia demam, pasti terguling-guling mereka tertawa. Demam kerana
menerima renungan tajam daripada Tuah Iskandar? Sungguh tidak masuk akal!
Namun, itulah hakikatnya. Sejak
bertentang mata dengan Tuah Iskandar di kafeteria tempoh hari, badannya terus
rasa tidak sedap. Malam itu juga dia demam. Dia sendiri tidak pasti kenapa
cepat benar perubahan yang berlaku pada tubuh badannya. Mungkin dia terlalu
takut dengan pemuda itu menyebabkan dia demam. Atau, dia takut Tuah Iskandar
cam dirinya dan mahu membalas dendam. Lebih teruk lagi kalau-kalau mimpinya itu
menjadi kenyataan.
Ah! Begitu jauh imaginasi kau Hani.
Mungkin apa yang berlaku tidak seperti apa yang kau bayangkan.
Jadi, kalau bukan begitu…kenapa
renungannya harus setajam itu? Kenapa pandangannya sangat berbeza sehingga dia
dapat merasakan pandangan itu bukan pandangan biasa tetapi pandangan yang ada
makna. Cuma, makna di sebalik pandangan itulah yang Hani kurang pasti tetapi ia
benar-benar membimbangkan.
Tiada jawapan.
Hani melepaskan satu keluhan yang
berat.
**********
Sudah dua hari dia demam. Masuk hari
ketiga barulah dia pulih sepenuhnya. Pulih dari demam terkejut. Nasib baiklah
dia demam pada hujung minggu. Jadi, tidak perlulah dia ponteng kuliah. Cuma, hujung
minggunya menjadi bosan lantaran asyik duduk terperap di dalam bilik.
Hani bersiap-siap untuk ke kuliah
dengan begitu bersemangat. Selama dua hari berkurung di dalam bilik, rasa tidak
sabar hendak menghirup udara segar. Macamlah setahun dia berkurung. Baru dua
hari saja. Macam-macamlah kamu ni, Hani!
Hani menyarungkan baju kurung bewarna ungu di padankan dengan tudung ungu
tanpa corak. Ringkas. Dengan wajahnya yang agak comel menjadikan penampilan
ringkasnya kelihatan menarik. Hani tersenyum sendiri.
“Siap?” wajah Julia tiba-tiba muncul
di sebalik pintu.
“Dah,” balas Hani sambil mencapai
beg kuliahnya lalu keluar dari bilik mendapatkan dua orang sahabat karibnya
itu.
Sebelum ke dewan kuliah, mereka
bertiga singgah di kafeteria seperti selalu. Bersarapan pagi, mengalas perut
sebelum memulakan pembelajaran.
Menjejakkan kaki di kafeteria
membuatkan tubuh Hani mulai di basahi keringat. Masih teringat lagi renungan
tajam pemuda itu. Renungan yang menyebabkan dia demam dua hari. Dasyat sungguh
kuasa renungan pemuda yang bernama Tuah Iskandar itu. Kuasa renungan atau dia
sendiri yang terlebih penakut?
Sampai-sampai saja di kafeteria, mata Hani terus tertumpu pada meja di
mana Tuah Iskandar duduk tempohari. Namun, tiada bayangan pemuda itu. Yang ada
hanya sepasang pasangan yang sedang menikmati sarapan pagi.
Hani menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya
untuk jangkamasa yang sedikit ini, dia terselamat. Namun, dalam kelegaan,
matanya turut melilau memerhati sekeliling. Takut-takut kalau Tuah Iskandar ada
di situ. Sekali lagi dia menarik nafas lega kerana tiada bayangan pemuda itu di
seluruh kafeteria itu.
Ah, pemuda macam itu mana ada ambil
sarapan pagi. Entah-entah selepas bangun terus saja pergi kuliah. Itu nasib
baik ada kuliah awal pagi, kalau tak…pasti tengahari baru nak bangun.
Hani membuat andaian sendiri.
Hanya roti bakar yang menjadi
pengalas perut pagi itu. Tidak seperti Julia dan Syasya yang mengambil nasi
lemak, juadah sarapan pagi kegemaran rakyat Malaysia. Hani malas untuk
mengambil makanan yang berat. Bimbang mengantuk di dalam kuliah dan yang
selebihnya, dia tak lalu hendak makan. Semuanya kerana…
Tuah Iskandar?
Bodohnya dia. Kerana pemuda yang
tidak di kenali itu, dia menjadi manusia yang kelam kabut.
Aduh!
“Cepatnya kau makan, Hani,” tegur
Julia apabila melihat Hani sudah menghabiskan dua keping roti bakar dan segelas
milo panas.
“Cepat? Aku rasa biasa saja,”
“Ju, kau tak payahlah tegur si Hani
ni. Kau bukan tak tau dia ni kadang-kadang betul, kadang-kadang tidak,”
Hani hanya tersengih. Tidak
menyimpan rasa langsung apabila Syasya berkata begitu apatah lagi hendak marah.
Dia turut mengakui kata-kata Syasya. Bukan saja rakan-rakannya, malah dia
sendiri terasa keanehan pada dirinya sendiri. Dia sendiri dapat merasakan
perubahan pada dirinya. Perubahan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana. Ah,
sukar untuk dia menafsirkannya.
Selesai saja menikmati sarapan pagi,
tiga sahabat ini berjalan menuju ke dewan kuliah. Lagi 20 minit kuliah akan bermula.
Masih awal. Tidak perlulah mereka tergesa-gesa untuk ke sana.
Tiba di hadapan dewan kuliah, Hani
dapat merasakan sesuatu. Seperti ada daya tarikan magnet yang membuatkan Hani
menoleh ke satu sudut yang terpencil yang agak jauh dari situ. Dari jauh dia
terlihat Tuah Iskandar. Pemuda itu sedang bersandar pada tiang sambil berpeluk
tubuh. Pandangannya di tujukan ke arah mereka. Walaupun agak jauh, namun Hani
dapat merasakan pandangan yang tajam itu sedang menghala ke arahnya.
Jantung Hani kembali berdegup
kencang.
Hani cuba mengecilkan dirinya dengan
berselindung di sebalik Julia. Walaupun tubuhnya terselindung, namun matanya
sempat melirik ke arah Tuah Iskandar. Ternyata pandangan pemuda itu tidak
lekang dari memandang ke arahnya.
Sah! Tuah Iskandar sedang melihat ke
arah mereka kerana tiada pelajar lain di situ. Mungkin Tuah Iskandar memandang
Julia ataupun Syasya. Hani cuba memujuk dirinya tetapi..hanya dia yang ada
kaitan dengan Tuah Iskandar dan perlanggaran itu yang mengaitkan mereka.
Hani melirik lagi ke arah Tuah
Iskandar. Aduh! Pasti Tuah Iskandar sedang memerhatikannya dan menunggu masa
untuk membuat serangan.
Habislah aku!
BAB
4
“Pukul berapa game start?” tanya Tuah Iskandar sambil menghembuskan asap rokok ke
udara. Asap rokok bagaikan membentuk awan dan akhirnya hilang ditiup angin
sepoi-sepoi bahasa.
Zulkifli
melirik ke arah rakannya.
“Aku betul- betul tak faham dengan kau ni, Tuah. Apa
yang kau nak sebenarnya?”
Tuah Iskandar tidak menjawab sebaliknya
menyedut lagi rokok dan sekali lagi menghembuskan asap yang berbahaya ke persekitaran.
“Kenapa kau join game tu? Nak kata kau nakkan duit, tidak. Family kau kaya raya. Tujuh keturunan pun tak terhabis harta benda keluarga
kau,”
Sekali lagi Tuah Iskandar tidak
menjawab. Hanya diam seribu bahasa. Di biarkan sahaja rakannya Zulkifli membuat
andaian sendiri. Mungkin Zulkifli tidak faham atau pemuda itu buat-buat tidak
faham. Bukan Zulkifli tidak mengenali dirinya. Mereka sudah berkawan lama. Walaupun
Zulkifli baru tahun pertama di Kolej Putra namun mereka sudah kenal sejak
sekolah menengah lagi. Masakan Zulkifli tidak tahu kenapa dia lakukan semua
ini.
“Jangan beritahu aku, kau buat semua
ni sebab nakkan perempuan,”
Kali ini Tuah Iskandar terus
menoleh. Dia tidak senang dengan andaian yang baru saja di buat Zulkifli.
“Kau kenal aku Zul,”
“Sebab aku kenal engkaulah, aku tak
faham dengan kau. Tuah, kau ada segala-galanya. Jadi, kenapa masih nak join geng-geng samseng tu? Kenapa masih
nak berlumba sana berlumba sini? Kenapa masih nak clubbing? Bercampur dengan orang-orang yang dah rosak akhlaknya?”
Tuah Iskandar diam lagi.
Pandangannya di hala pada skrin televisyen yang menyiarkan cerita yang langsung
tidak menarik minatnya.
“Tuah, orang lain semua cemburukan
kau. Kau ada semuanya. Kau boleh buat apa saja tapi kenapa jalan ni yang kau
pilih? Kenapa kau nak merosakkan masa depan kau?”
Diam lagi.
“Huh! Aku betul-betul tak faham
dengan kau,”
“Mungkin kau terlupa sesuatu, Zul,”
Zulkifli terus menoleh ke arah Tuah
Iskandar. Wajah redup pemuda itu ditenung lama. Ternyata Tuah Iskandar sedang
memendam sesuatu. Pemuda yang kacak, digilai ramai, kaya raya..tak mungkin akan
berada dalam keadaan bermuram durja.
“Family
kau?” tanya Zulkifli pendek. Seakan memahami apa yang bermain di fikiran
rakannya itu.
Tuah Iskandar diam tidak bersuara.
Zulkifli mengeluh.
“Come
on tuah. Papa kau dato’, mama kau datin. Memang mereka sibuk sampai
mengabaikan kau. Mereka memang tak ada masa untuk di habiskan bersama kau.
Tapi, kau dah besar. Dah boleh fikir sendiri. Tak perlu lagi pengawasan dari
ibu bapa,” ujar Zulkifli cuba memberi nasihat.
“Aku akui memang kita perlukan
perhatian tetapi kalau begini cara papa dan mama kau, kau boleh bergerak
sendiri. Kau bukannya budak kecil yang perlu dipimpin untuk melangkah. Jangan
kerana ketiadaan perhatian daripada mereka, kau binasakan diri kau sendiri,”
sambung Zulkifli lagi. Sungguh dia tidak mahu melihat Tuah Iskandar hanyut
dalam kehidupan.
Tuah Iskandar mengeluh kecil.
“Kau tak faham,” keluh Tuah
Iskandar.
“Apa yang aku tak faham?”
“Memang aku boleh terima kesibukan
papa dan mama aku tapi…”
Tuah Iskandar terhenti seketika dan
Zulkifli diam menanti bicara selanjutnya dari rakannya itu.
“Kau tak tahu bagaimana keadaan
rumah itu. Aku bangun tidur, mereka masih belum bangun. Aku balik dari kolej,
mereka masih belum balik. Hanya waktu malam aku dapat berjumpa mereka
tetapi…balik-balik saja sudah bergaduh. Terpekik sana, terjerit sini. Aku sedih
bila menyaksikan pergaduhan papa dan mama aku hampir setiap malam. Rumah tu dah tak aman lagi bagi aku,”
Zulkifli terdiam mendengar cerita
Tuah Iskandar. Jarang benar Tuah Iskandar meluahkan perasaan yang terbuku di
hati kerana pemuda itu seorang yang suka memendam perasaannya tetapi malam ini..
Patutlah Tuah Iskandar lebih gemar
melepak di rumah sewanya. Rumah teres setingkat yang serba serbi tidak
mencukupi. Rumah yang bersepah sana sini menjadi pilihan Tuah Iskandar berbanding
villa mewah milik keluarganya. Rupa-rupanya, ada cerita di sebalik apa yang
tejadi.
“Papa dan mama aku kerap bertengkar.
Tentang apa, aku sendiri malas ambil tahu,”
“Tapi, bukan dengan cara ini kau nak
selesaikan masalah. Bukan dengan berkawan dengan budak-budak samseng tu. Kau
kenalkan siapa mereka? Kau tahukan si Kojek tu? Dia orang tu samseng di KL ni
tahu,”
“Aku tahu,”
“So?,”
Tuah Iskandar mendegus kasar.
“Entahlah..mungkin kerana aku berasa
tenang setiap kali bersama mereka. Hilang semua masalah yang ada dalam kepala
aku ni,”
Zulkifli menggeleng.
“Tuah..”
“Stop
Zul! Kalau kau nak nasihatkan aku, aku rasa better
next time sebab aku tak mungkin akan ikut cakap kau dalam waktu sekarang
ini,”
“Tapi..”
“Dahlah. Aku nak pergi mandi. Badan
aku dah melekit ni,” ujar Tuah Iskandar lalu bangun dari duduknya. Tangannya
terus mencapai tuala yang tergantung di atas kerusi manakala langkahnya dihayun
ke arah bilik air yang terdapat di dapur.
Dalam waktu itu, tiba-tiba dia
teringatkan seseorang. Gadis genit bertudung itu sering bersembunyi apabila
terserempak dengannya. Dia juga teringat akan kali pertama mereka bertemu.
Hani.
Hanya itu saja yang dia tahu tentang
gadis bertudung itu.
Hanya sebaris nama.
**********
Suasana hingar bingar. Bising.
Sorakan orang ramai di selang seli dengan bunyi enjin motosikal membingitkan
lagi suasana malam itu. Ngauman enjin motor berderum menandakan pemilik
motoriskal sudah tidak sabar untuk memulakan perlumbaan. Hanya menanti isyarat
sahaja sebelum terus memecut untuk menggondol hadiah yang lumayan.
Seorang gadis seksi, berbaju ketat
dan memakai skirt pendek muncul di tengah-tengah pelumba. Dengan aksi yang tergedik-gedik,
gadis itu mengangkat berdera untuk memulakan perlumbaan.
“Go!”
jerit gadis seksi itu sambil mengibarkan bendera.
Sekelip mata sahaja, kesemua pelumba
sudah menghilangkan diri bersama pecutan motosikal di tahap yang paling maksima.
Maka, berlakulah aksi-aksi perlumbaan di jalan raya yang merbahaya. Saat ini,
mereka sudah tidak memikirkan keselamatan diri. Hanya kemenangan yang dicari. Tidak
kira dengan apa cara sekalipun.
Orang ramai yang berkumpul di tempat
permulaan mula terjerit-jerit apabila ternampak kelibat motosikal yang pertama
menghampiri garisan penamat.
“Cepat! Cepat!” sorakan orang ramai
semakin membingitkan.
“Yeah!”
Orang ramai tadinya bersorak terus
menggerumuni pelumba yang telah memenangi perlumbaan malam itu. Masing-masing
menepuk bahu si pelumba sambil mengucapkan tahniah. Tak kurang juga yang asyik
memerhati motosikal milik sang juara. Motosikal yang di anggap bertuah kerana
kerap kali memenangi perlumbaan.
Laluan diberi apabila seorang lelaki
berkumis nipis, berambut keperangan datang menghampiri mereka. Persis seorang
bos besar yang amat di takuti, semua orang terdiam. Lelaki itu tersenyum
apabila sudah berdiri betul-betul di hadapan si juara.
“Tahniah, Tuah Iskandar,” ujar
Kojek, ketua samseng Kuala Lumpur yang amat di geruni.
Tuah Iskandar tersenyum nipis.
“Nah, ini ganjaran kau,” ujar Kojek
seraya menghulurkan satu sampul surat bewarna coklat kepada Tuah Iskandar.
Tuah Iskandar memandang sampul yang
tebal itu dan kemudian mengalihkan pandangannya pada Kojek. Kojek tersenyum
apabila melihat reaksi Tuah Iskandar. Sememangnya dia tahu apa yang bermain di
fikiran anak muda itu.
Kojek mencapai tangan Tuah Iskandar
lalu meletakkan sampul surat berisi ganjaran ke tapak tangan pemuda itu apabila
melihat Tuah Iskandar masih berdiam tidak berganjak.
“Aku tahu kau tak perlukan duit
tapi..aku tak akan mungkir janji kepada pelumba aku. Aku tetap akan berikan habuan
kepada kau kerana kau betul-betul dah menguntungkan aku,” ujar Kojek dan sampul
berisi ganjaran itu bertukar tangan.
“Aku berlumba bukan untuk kau,”
tukas Tuah Iskandar.
“Ya, aku tahu. Kau berlumba untuk
diri sendiri tetapi kau jangan lupa. Kau berlumba di atas nama aku. Kalau bukan
kerana aku, kau takkan dapat masuk perlumbaan ni,”
Tuah Iskandar diam.
“Kau sepatutnya berterima kasih pada
aku kerana terima kau, Tuah. Bukan mudah mana-mana pelumba untuk berada di
bawah Kojek. Tapi aku pilih kau. Kau tahu kenapa?”
Diam lagi.
“Sebab aku tahu kau berbakat,”
Tuah Iskandar hanya mendengar
sahaja. Tidak bersuara apa-apa. Memang benar dia dapat memasuki perlumbaan ini
kerana Kojek. Bukan mudah untuk memasuki perlumbaan besar yang melibatkan
samseng-samseng Kuala Lumpur. Tetapi, perkenalan singkat antara dia dan Kojek
di salah sebuah kelab malam terkemuka ibu kota membuatkan dia bersetuju
berlumba di bawah Kojek.
“Itu,” Kojek memuncungkan mulutkan
menunjukkan sesuatu. Tuah Iskandar berpaling. Kelihatan seorang gadis yang
berpakaian seksi sedang tersenyum sambil melambai-lambai ke arahnya.
“Satu lagi habuan kau,” Kojek
tersengih.
Tuah Iskandar kembali memandang ke
arah Kojek. Pandangan yang tenang tetapi membawa maksud yang sangat di fahami
Kojek. Kojek tertawa.
“Ops, aku lupa. Tuah Iskandar tak
main perempuan,” ejek Kojek lagi sambil tertawa berdekah-dekah.
Tuah Iskandar tetap tidak berkata
apa-apa.
“Okaylah. Aku dah bagi. Terpulang
pada kau nak buat apa. Tapi jangan bagi aku sebab aku tak suka bohsia,” bisik
Kojek lagi sambil berlalu meninggalkannya.
Tuah Iskandar mengeluh kecil.
Kemudian, dia menghidupkan enjin motosikalnya. Baru saja dia hendak pergi dari
situ, seseorang menghampirinya.
“Tuah,”
Tuah Iskandar berpaling. Seorang
gadis yang berpakaian sendat melangkah ke arahnya. Tuah Iskandar menanti
seketika.
“Kenapa?” tanya Tuah Iskandar kepada
Lilia. Gadis yang di kenali semasa di kelab malam. Gadis yang merupakan pelajar
di salah sebuah kolej swasta dan juga merupakan salah seorang ahli kumpulan
Kojek.
“Kau nak balik?”
“Ya,”
“Boleh hantarkan aku balik?”
“Macam mana kau datang?”
“Kojek,”
“So,
baliklah dengan Kojek,”
“Kojek ada hal lepas ni. Dia balik
lambat. Aku nak balik awal sikit. Esok ada kuliah,”
Tuah Iskandar merenung ke arah
Lilia. Gadis yang dua tahun lebih muda daripadanya itu kelihatan
bersungguh-sungguh meminta pertolongan.
“Please,”
Tuah Iskandar mengeluh.
“Naiklah,”
Tuah Iskandar akhirnya mengalah.
Lilia terus membonceng motosikal Tuah Iskandar dan memeluk erat pinggang pemuda
itu. Gadis itu kemudian tersenyum-senyum. Gembira kerana berjaya berduaan
dengan pemuda yang dipuja dalam diam.
No comments:
Post a Comment