Friday, 3 January 2014

Tiada Yang Lain : Bab 1-5


PROLOG


"DAH tak ada perempuan lain ke dalam Malaysia ni?"
            Zharif Ikmal tersenyum mendengar soalan itu. Soalan yang sudah dijangka akan keluar daripada bibir mungil si dia. Perlahan-lahan dia menghela nafas sambil menuntas pandangan ke arah gadis yang baru tiba dan kini sedang berdiri di hadapannya.
“Kut iya pun, duduklah dulu,” pintanya.
Fitriah Atiqah segera menarik kerusi lalu menghempas diri ke atasnya. Raut wajahnya sungguh tegang. Membawa amaran agar pemuda ini tahu bahawa dia sedang marah. Tersangat marah!
“Awak nak makan apa, Iqa?” Zharif bertanya sambil membetulkan duduknya. Tidak diendahkan air wajah yang mencuka itu.  
“Tak payah makan. Saya datang ni bukan nak…”
“Sebenarnya saya dah buat pesanan pun. Kejap lagi sampailah nasi goreng kerabu dan air limau suam kegemaran awak.” Zharif memberitahu.
Atiqah mendengus.
“Siapa bagi tahu awak yang saya suka nasi...? Oh, mesti Atifah, kan! Tapi dia salah. Saya dah tak suka nasi goreng kerabu. Tak suka air limau suam. Tak suka duduk semeja dengan awak pun! Jadi, jangan buang masa saya! Cepat jawab soalan saya tu!”
Zharif ketawa besar. Terasa lucu dengan lagak gaya berani dan garang Atiqah. Macam dulu-dulu juga! Kalau dengan dia Atiqah asyik hendak marah sahaja.
“Perangai awak ni dari dulu tak pernah berubah, Iqa. Bukan main garang bila dengan saya.” Dia mengusik.
Kalau tak berdebar mendengar usikan itu, memanglah ada yang tak kena dengan dirinya ini. Tapi, dia keraskan hati. Dia ke sini bukan untuk suka-suka, gurau senda. Dia datang sebab nak mengamuk! Nak marah kaw kaw kepada pemilik nama Zharif Ikmal bin Kamal Amir ini!
“Saya tak ada masa nak dengar awak usik-usik saya, Zharif!” bentaknya.
Zharif tetap bersahaja. Tidak sedikit pun dia terasa dengan lontaran suara keras daripada Atiqah itu. Malah dia ambil peluang itu untuk menatap seraut wajah kesayangannya. Wajah yang kusam tanpa senyuman.
Atiqah melarikan pandangan. Tidak sanggup hendak berbalas renungan dengan Zharif. Tak mahu dia nak main-main mata dengan lelaki ini lagi. Cukuplah sekali dulu sahaja dia tertipu.
Kata pepatah Inggeris:

Once bitten, twice shy.

Takkan tak faham-faham maksud tersirat di sebalik pepatah Inggeris itu Atiqah oi!
“Awak okey ke, Iqa? Cukup tidur tak? Makan tepat pada waktu tak? Kata orang, kesedihan akan berkurang bersama waktu. Yang pergi tetap pergi. Awak mesti kuat meneruskan hidup. Awak...”
“Tak payah nasihat sayalah! Cakap awak tu bukan boleh pakai pun. Dari dulu...”
“Dulu lain, sayang. Sekarang lain!”
Atiqah terpana mendengar panggilan sayang yang meniti keluar daripada bibir Zharif. Bulat matanya menatap wajah lelaki itu.
“Terkejut nampak? Rasa lain macam ya bila saya panggil awak sayang?” Zharif mengusik lagi.
            Yang mampu Atiqah lakukan waktu itu ialah menjeling tajam ke arah Zharif. Nak balas apa, memang dia dah kelu lidah. Hilang kata!
            “Dah jeling pulak? Iqa, awak tahu tak? Jelingan awak tu buat saya tak tidur malam, okey! Nanti saya asyik teringat pada awak aje!”
            Okey, cukup! Dah tak larat nak dengar dah! Nak kata dia salah orang... Tidak. Tapi, memang dia dah tak boleh nak dengar bahasa entah apa-apa ni. Meremang bulu roma dia. Jadi, Atiqah mengetap bibir. Sambil tu dia tanya lagi.  
“Kenapa awak buat saya macam ni, Zharif? Dah tu, asyik merapu dari tadi. Apa hal?”  
Zharif menghirup air kopi perlahan-lahan sebelum membalas.
“Merapu? Mana ada? Semua yang saya cakap tu benar. Tidak ada yang benar melainkan benar belaka.” 
Boleh tak kalau aku simbah muka dia dengan air kosong ni? Dia ingat kami tengah angkat sumpah dalam mahkamah ke? Mengada-ada!
“Fitriah Atiqah binti Idris. Hmm, sedapnya nama tunang saya ni, kan?”
That’s it! Akhirnya dia sebut jugak!
“Tunang? Maaf, Zharif! Saya tak nak jadi tunang awak! Apa lagi untuk jadi isteri awak. Jadi, tolong batalkan hasrat awak! Pergi jumpa ibu bapa saya dan beritahu mereka yang awak...”


BAB 1


“HAI, sorang aje hari ni?”
Fitriah Atiqah berhenti melangkah. Dia berpaling ke belakang untuk melihat pemilik suara garau itu. Dihadiahkan lelaki itu sebuah jelingan sebelum berpusing lantas meneruskan semula langkah kakinya.
“Pagi-pagi lagi mamat serabut ni dah kacau orang.” Dia menggumam dengan wajah yang masam.
“Awak!”
Hati Atiqah mula cuak. Spontan, tangan kanannya segera mengepit beg tangan jenama CR di bawah ketiak.
CR bukan Carlo Rino, ya! C ialah untuk Chowkit dan R untuk Road.  Jenama Chowkit Road yang murah! Ya, itulah dirinya. Baju, kasut mahu pun beg tangan yang dibeli semua murah-murah belaka. Kerana, dia bukan anak orang kaya yang mampu membeli jenama branded luar negara. Dia juga bukan model terkenal yang memperaga segala jenama mahal untuk bergaya.
‘Tapi, peragut bukan peduli semua itu, Iqa! Beg mahal ke, murah ke, tak penting! Yang mereka nak ialah duit kat dalam beg kau tu,’ bisik hati. Bisikan yang menyebabkan semakin kemas beg tangannya dikepit di bawah ketiak.
            Lelaki itu pun berasa hairan juga. Sudahlah panggilannya tidak disahut. Makin laju pula gadis itu berjalan menjauhinya. Apabila dia melajukan langkah untuk mendekat, gadis itu sudah lari-lari anak. Apa kena? 
‘Dia takut pada aku ke? Hesy, takkan kut? Lelaki stok alim dan baik macam aku ni pun dia nak takut? Helo, aku sangatlah tidak bahaya, okey!’ Hatinya mengomel.
Sampai bila nak main kejar-kejar ni? Zharif tanya pada diri. Jadi, dia tak mahu membuang masa lagi. Suara garaunya seakan-akan memberi perintah.
“Hey, awak! Tunggu!” 
            Atiqah terpaksa berhenti juga. Dalam keadaan penuh waspada. Kalau lelaki itu cuba buat benda tak elok pada dia, siaplah! Mesti kena tumbuk punya!
Lelaki itu sedang mendekatinya. Atiqah ambil peluang untuk memerhati. Diteliti lelaki itu dari atas ke bawah. Daripada hujung rambut ke hujung kaki.
‘Tak ada apa yang menarik pun! Serebeh sangat! Seluar jeans yang dipakai dah luti! Kemeja dia tu warna putih ke warna cream? Ke, dah bertahun tak diganti?’
Ketika mata memandang ke arah kaki, terus tangan menekup mulut.
‘Dia pakai selipar Jepun? Hesy, dia ni tak kerja ke sampai tak ada duit nak beli kasut? Zaman IT ni, mana ada lelaki yang sanggup berjalan ke hulu ke hilir pakai selipar Jepun kecuali peragut atau penagih dadah. Sah! Memang sah yang dia ni orang jahat. Tak silap dah. Eeii, muka dahlah penuh jambang. Rambut panjang pulak tu! Bukan nak ikat ke apa? Serabut sungguh!’
Mata masih melekat memandang lelaki di hadapannya.
‘Tapi, dia tinggilah! Badan dia tegap.’
Tiba-tiba pula hatinya memuji. Haip!
            “Dah puas tengok?”
            Atiqah tersentak. Rasa pijar pipinya ditegur begitu. Malu pun ada.
‘Yang mata ni pun satu hal jugak! Kenapalah aku pi tengok muka dia lama-lama sangat? Kan dia dah perasan?’ Diri dimarahi.
“Kenapa awak asyik ikut saya? Saya tak kenal awak pun. Awak kenal saya ke?”
            Lelaki itu mengerut dahi.
“Tak! Awak tak kenal saya dan saya pun tak kenal awak, cik sombong!”
Mata Atiqah membulat.
“Cik sombong? Awak tak kenal saya tapi awak boleh pulak gelarkan saya macam tu?” marahnya.
“Dahlah sombong, garang pulak tu! Isk! Isk!” kutuk lelaki itu lagi tanpa sedikit pun rasa bersalah. Malah, melihat wajah yang merah di hadapannya, dia rasa semakin seronok mengusik. Sesuatu yang tidak pernah terlintas akan dilakukan olehnya sebelum ini! 
            “Awak nak apa? Kenapa awak buat perangai macam ni? Mengacau anak dara orang di tengah-tengah jalan? Dah tak ada kerja lain nak buat? Awak ni mesti penganggur, kan? Tak pun, awak baru diberhentikan kerja. Sebab tu awak mengacau, mengurat anak dara orang! Helo, silakan bertaubat, ya! Tak baik buat benda tak berfaedah macam ni, tahu tak?”
Zharif sakit hati dah. Tak fasal-fasal dapat macam-macam gelaran pula. Memang gadis ni nak kena dengan dia.
“Sombong, garang dan perasan! Mulut pulak jahat! Hmm, memang lengkap pakej awak!” sinisnya.
Atiqah naik rimas. Kenal pun tidak tetapi bermacam-macam yang sudah keluar daripada mulut lelaki itu. Kalau dia terus berada di sini, tak tahulah! Mungkin, perang besar mereka nanti. Jadi, lebih baik dia pergi.
Kali ini, dia nekad. Sekali dia melangkah ke hadapan, dia tidak akan berpaling biarpun berkali-kali lelaki itu memanggilnya. Dia akan buat dunno sahaja. Buat-buat pekak! Lantaklah kalau lelaki itu hendak menjerit sampai terkeluar anak tekak pun!
Namun, hanya selepas beberapa langkah dia berjalan, Atiqah mula sedar akan sesuatu. Tangan kirinya...
Eh, kenapa kosong aje?
‘Bukan tadi aku ada bawa barang ke?’ omelnya di dalam hati.
Otak terus ligat menghantar isyarat untuk memikirkan apa yang dia sudah terlupa. Dan akhirnya... 
“Uwaaa... Mana beg Burberry kesayangan aku?” jerit Atiqah memecah kesunyian pagi.
Segera, mata melingas memerhati sekeliling. Mana tahu kalau-kalau beg itu terjatuh dekat-dekat situ? Tapi, cari punya cari, dia tak jumpa apa-apa pun.
Kaki kanan dihentak-hentak ke atas jalan. Muka sedih habis. Lagak dah macam budak kecil tak dapat makan ais krim.
“Sedihnya! Penat aje aku bangun awal pagi tadi. Apalah nasib! Aku yang berhempas pulas memasak, orang lain yang dapat makan.” Atiqah mengomel.
Memang dia berasa terkilan sangat. Ini percubaan pertamanya menyediakan bekal ke tempat kerja. Bukan apa, Atiqah berasa tercabar apabila hari-hari dia disindir.

“Iqa, kau ni tak tahu masak ke? Kau tak pernah bawak bekal kan?”

Jadi, untuk membuktikan bahawa dia boleh masak, dia bangun awal hari ini. Bangun untuk memasak nasi goreng cendawan. Rasa puas hatinya semasa memasukkan ‘tupperware’  ke dalam beg tadi. Tak sabar hendak menunjukkan hasil air tangannya kepada Nurain, cik kawan baik. Tentu melambung pujian yang bakal diterima nanti.
Tapi, apa hendak dikata? Dia yang lalai. Entah di mana beg dan bekalnya tertinggal. 
            “Kenapa tu? Awak cari apa?”
Suara garau itu kedengaran lagi.
“Diamlah!” Atiqah menjerkah. 
“Hmm, baru tersedar ke yang awak tertinggal... Ini?”
            ‘Kacau betullah dia ni! Ah, jangan dilayan! Tapi...’
Atiqah segera memandang ke arah lelaki itu. Buntang sudah matanya. Terkejut apabila dia nampak si dia menggoyang-goyangkan beg Burberry yang berwarna putih cokelat di hadapannya. Itulah beg yang dia sedang cari. Tetapi, macam mana beg kesayangannya boleh berada di tangan lelaki itu?
“Awak curi beg saya!”
Pipi Zharif merona merah. Dia berasa amat marah sekarang. Sejak tadi dia hanya ingin pulangkan beg itu tapi gadis ini menuduhnya mencuri pula. Menyakitkan hati betul!
Beg burberry  sudah bertukar tangan.
“Terima kasih,” ucap Atiqah.
“Kasih tak diterima,” balas Zharif lalu meninggalkan Atiqah.
Erk?
‘Harap muka aje cantik! Tapi mulut, laser. Memang tak adalah aku berkenan! Nak buat bini? Haruslah tidak! Buat sakit telinga aku aje dengar dia berleter hari-hari. Uisy!’
Atiqah kerut dahi.
‘Aku tak salah dengar kan? Dia kutuk aku tadi tu! Eeii, geramnya!’
Mata melingas mencari susuk itu. Nak balas balik setiap kutukan. Malangnya, si dia dah hilang. Kelibatnya sudah tidak kelihatan lagi.
Nasib baik! Kalau tidak...




BAB 2


ZHARIF menjengukkan kepala sebaik pintu utama rumah dibuka. Dari arah dapur, bau tumisan bawang semerbak dihidu.
‘Hmm, Zainal tengah masak,’ desis hati. Zainal ialah teman serumahnya.
Selepas meletak kunci kereta ke dalam mangkuk di atas meja kopi, dia membuka kemeja yang dipakai lalu mencampakkan baju itu ke atas sofa.
            Zharif memberi salam. Dia tersenyum melihat Zainal yang terkejut. “Amboi bukan main tekun kau memasak? Sampai aku balik pun tak sedar, ya?”
“Balik dah? Naik apa?” tanya Zainal selepas dia menjawab salam.
“Naik kancil kesayangan aku tu la. Nak naik apa lagi?”
“Oh, kereta kau tu dah baik, ya? Dah tak rosak lagi?”
Zharif menunjuk tanda bagus sambil tersengih.
“Aku ingat kancil tu dah jadi scrap metal, bro.” Zainal mengusik sambil menatap wajah Zharif bersama senyuman sinis. Entah apa yang Zharif sayang sangat pada kereta yang sudah berusia lapan tahun itu, dia tidak tahu. Sehingga Zharif tidak mahu membeli kereta yang baru. Sejak kebelakangan ini pula, selalu benar kancil itu buat hal. Tetapi, Zharif memang selamba. Rosak, baiki! Rosak lagi, baiki lagi! Hesy, tak kuasa!
Kali ini, wajah Zharif berubah kelat. Sedikit tersinggung dengan sindiran Zainal itu.
“Weh, agak-agaklah kalau nak kutuk pun! Buruk-buruk kancil tu pun, dia dah banyak berjasa pada kita! Lupa eh? Dulu masa nak pergi kuliah, bila hujan aje, bukan kau naik kancil aku tu ke? Bila panas terik, bukan kau ke yang pasang air cond  kuat-kuat? Lupa?” Giliran Zharif membalas sindiran.
Zainal termalu sendiri. Segera dia teringat waktu mereka di universiti dahulu.
Di antara mereka berdua, Zharif anak orang berada. Dia? Emak bapak kerja kampung sahaja. Untuk menampung hidup, dia sering meminta duit daripada ibu dan ayahnya. Maklumlah duit biasiswa tidak pernah cukup.
Bagi dirinya, tugas dia di universiti hanya belajar. Wang dan keperluan asasnya? Itu tanggungjawab ibu bapa!
Tetapi, Zharif?
Teman sebiliknya itu tidak pernah meminta-minta. Sejak dari tahun 1 lagi, Zharif sudah bekerja sambilan. Semua kerja dicubanya. Di kedai minyak? Di gerai makan? Di KFC? Mc D? Zharif buat semua. Malah, Zharif juga buat khidmat tuisyen ke rumah-rumah. Sebab itu Zharif sentiasa ada duit. Dan dengan duit simpanannya, dia berjaya membeli kereta kancil itu.
Zainal? Apa lagi? Jadi penumpang setia sahajalah!
“Alamak, aku belum bancuh air lagi, Rif! Kau nak minum apa?” Zainal mengubah topik. Malu mengingat kisah lama. 
“Tak apa! Biar aku aje yang bancuh.”
Zharif mengeluarkan botol Sunquick daripada peti ais. Jus oren itu kemudian dituang ke dalam jag. Masukkan dua sudu besar gula. Kacau. Dah siap! Dia menuangkan jus oren itu ke dalam dua biji gelas. Satu untuknya dan satu lagi dihulurkan kepada Zainal.
“Aku ada satu cerita menarik nak kongsi dengan kau ni!” kata Zharif sambil mengambil tempat duduk. Air oren di dalam gelas diteguk rakus.
“Alah, cerita kau mana bestnya? Asyik mesin itu rosak. Mesin ini tak jalan. Tu aje!” Zainal mengusik. Usikan yang menyebabkan Zharif ketawa besar.
“Tentu selama ini kau boring dengan aku, kan? Asyik cakap fasal mesin aje ya?”
Zainal tersengih. “Tapi, tengok kau senyum tu, aku rasa lain macam pulak. Jadi, tentu kali ini kau nak cakap fasal benda lain. Betul?”
“Pagi tadi...” Zharif sudah tergelak-gelak.
“Aik, lain macam aje kau ni? Belum habis cakap dah gelak. Apa hal?” usik Zainal.
Makin galak Zharif ketawa.
“Ada sorang awek ni. Dia tertinggal beg dalam bas yang kami sama-sama naik. Bila aku nampak, aku ambil beg tu dan ikut dia. Dengan hasrat murni nak pulangkan beg tu pada dia. Tapi, kau tahu apa jadi?”
Zainal menggeleng.
“Dia marah aku ikut dia. Tuduh aku ni peragutlah, penagih dadahlah! Mulut dia pot-pet, pot-pet sampai aku tak boleh nak bagitahu dia pasal beg tu. Kalau kau, kau geram tak?”
“Geramlah jugak. Tapi, takkan dia tak nampak beg dia pada kau?” tanya dia.
“Aku sorok kat belakang aku,” balas Zharif sambil tersengih.
“Yang kau sorokkan beg dia tu, apasal? Patut pun dia marah. Ke, kau memang nak mengurat dia?” Zainal mengusik. 
Zharif segera menafikan.
“Tak adalah! Mengurat apanya? Kau pun tahu aku ni macam mana, kan? Apa prinsip aku?”
            Zainal tepuk dahi.
“Ah, lupa pulak aku! Kau tak percaya pada cinta sebelum kahwin, kan? Kau pernah cakap yang bila kau suka pada seorang perempuan, kau akan ajak dia kahwin. Lepas kahwin baru nak bercinta macam orang zaman dulu. Betul?”
Zharif angguk.
“Tapi Rif, cinta ni soal hati! Soal perasaan. Datang tak dijemput. Tahu-tahu, hati dah suka. Macam mana tu?” tanya Zainal.
            Zharif senyum.
“Sebab itu, hati kena kuat,” balasnya.
            “Tapi, hati kau tu milik Allah. Dia yang menentukan bila hati kau jatuh cinta. Bukan kau!” Zainal memberi ingatan.
“Weh, ini akulah! Zharif Ikmal bin Kamal Amir. Aku tahu yang aku hanya akan jatuh cinta selepas aku kahwin. Tak mainlah bercinta sebelum kahwin ni.” 
            “Amboi, sombongnya!” sela Zainal sambil beristighfar di dalam hati. Tidak suka melihat keangkuhan Zharif.
            “Aku bukan sombong. Aku cakap yang benar aje. Dalam mencari isteri ni, aku nak ikut syariat. Ikut garis panduan yang Islam dah tetapkan. Lupa apa Nabi S.A.W kata?” Zharif membalas.
“Tahu! Nak pilih calon isteri ni, kita kena tengok empat perkara. Hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya.”
“Dan aku akan pilih yang terbaik agamanya.”
“Mana kau tahu yang perempuan kau jumpa tadi tu tak kuat pegangan agamanya?” sindir Zainal. “Jangan sombong sangat, Rif! Ingat, Allah yang pegang hati kau. Kun Fayakun!”
            Zharif malas menjawab. Dia diam menikmati makanan yang terhidang.
 “Allah itu Maha Adil. Untuk lelaki yang baik, ialah perempuan yang baik. Jadi, tanya diri kau dulu. Kau tu cukup baikkah sebagai seorang Muslim untuk kau dapat seorang isteri yang solehah?”
            Zharif terkedu. Tak tahu nak jawab apa.



BAB 3


GEMBIRA sungguh Salmah dan Idris menyambut ketibaan tetamu-tetamu mereka. Kawan lama yang hampir 25 tahun tidak berjumpa. Sebab itu, sebaik sahaja Nora turun daripada kereta, Salmah memeluknya erat. Begitu juga dengan Dr Husin yang dipeluk oleh Idris. Masing-masing melepaskan rindu yang lama terpendam.
            “Lamanya kita tak jumpa, Deris. Tengoklah! Tua dah kita, kan?” ujar Dr Husin penuh mesra.
            Idris segera mengangguk.
“Memang kita dah tua. Tengoklah ni. Masa aku balik kampung dulu, umurnya baru 6 bulan. Sekarang, dah 25 tahun pun.”
Semua mata tertumpu kepada Atiqah menyebabkan gadis itu berasa serba salah. Untuk menutup resah, Atiqah tunduk menyalami tangan Nora. 
Dr Husin mengamati raut yang cantik itu.
“Ni... Atiqah ke Deris?” tanya dia.
Idris angguk. 
“Cantiknya kamu, Iqa.” Nora menambah perisa.
 “Dan yang debab sikit ni, nama dia Atifah. Muda lima tahun daripada kakaknya tu,” sambung Idris.
Waktu itu pintu di bahagian pemandu terbuka. Seorang pemuda keluar dengan bergaya. Sungguh kemas penampilannya, siap bertali leher lagi. Dr Husin segera memanggil.
“Afif, sini!”
Afif mendekat tapi dia tidak bersuara. Diam sahaja.
“Mari ayah kenalkan. Ini Pak Cik Deris. Yang itu Mak Cik Salmah. Yang cantik-cantik ni, anak-anak mereka. Yang ini, Atiqah. Tu adik dia, Atifah.”
Afif tunduk bersalam dengan Idris. Tetap tanpa suara. Tidak tersenyum juga.
Atifah suruh kakaknya tunduk dan pinjamkan telinga kepadanya. Terus dia bisikkan. “Sombong!”
Atiqah sembunyi senyum sambil mengangguk.
Wajah Idris tampak keliru pula.
“Afif? Bukan nama anak kau dulu tu... Hasif ke, Husin?”
Wajah Dr Husin berubah. Nampak sedih secara tiba-tiba.
“Kau ingat lagi pada Hasif, Deris?” tanya dia.
Idris angguk. Mana boleh lupa? Hasif tua 5 tahun daripada Atiqah.
Dulu, waktu mereka muda, mereka selalu jumpa. Kadang-kadang Idris ke rumah Dr Husin. Sesekali Dr Husin pergi ke rumah Idris. Hasif suka sangat pada Atiqah. Tapi, itulah... Hasif ialah kanak-kanak istimewa. Dia menghidap down sindrom.
“Hasif dah lama meninggal, Deris. Mujurlah kami ada Afif. Dialah pengubat rindu kami pada Hasif.” kata Nora, sebak.
Salmah segera memeluk tubuh kawan baiknya itu.
“Maaflah, Nora. Kami tak tahu pun. Apa sakitnya?” tanya dia.
Nora dan Dr Husin saling berpandangan.
“Pendarahan otak, Sal.” Lambat-lambat Dr Husin memberitahu.  
Tidak mahu keadaan ceria bertukar sedih, Idris menepuk-nepuk bahu Afif.
“Mujur ada kamu ya, Afif?”
Susah untuk ditafsir senyum yang menguntum pada bibir pemuda itu.
Waktu itu, Salmah kelihatan teruja sekali.
“Afif kerja apa?” tanya dia.
“Doktor.” Jawapan pendek tanpa senyuman.
Semakin meleret senyuman di bibir Salmah. “Oh! Doktor!”
Atiqah dan Atifah berbalas renungan. Rasa pelik pula dengan perangai ibu mereka. Senyum bukan main meleret lagi. Apa hal? Dah suka pada doktor muda yang sombong tu?
‘Ceh! Jawab soalan emak pun dengan muka tak ada perasaan. Itu pun emak berkenan?’ Atiqah mengutuk di dalam hati.
“Err, mak, ayah! Ajaklah mak cik dengan pak cik masuk ke dalam rumah kita. Takkan nak biar tetamu berdiri di luar aje?” sinis Atifah.
Atiqah berasa lega ya amat. Kalau tidak, jenuh nak berdiri di sini lagi. Bukan apa! Dia rimas dengan perangai doktor muda itu. Tak menahan langsung! Agak-agaklah kalau nak tenung anak dara orang, macha! Takkan di hadapan emak bapak dia pun mata tu macam nak telan orang?
Sakit hati dengan tingkah Afif yang terus-terusan merenungnya, Atiqah segera meminta diri.
“Iqa ke dapur dulu, mak. Nak bancuh air. Jom, Tipah!”
Tidak menunggu jawapan Salmah, laju sahaja Atiqah mengatur langkah sambil tangannya menarik tangan Atifah. Pontang-panting tubuh debab itu mengikutnya.
“Kak long, apa ni? Tarik-tarik tangan orang! Relakslah! Bukan kita nak masak. Semua dah ready, apa?” Atifah meluah rasa tidak puas hati.
Atiqah memekakkan telinga. Selamba dia memanaskan air. Dia kemudian mengambil tin susu sejat F&N lalu menyerahkannya kepada Atifah.
“Nah! Bancuh air nescafe. Ayah pesan suruh kamu buat. Sedap, katanya.” Dia memerintah. Garang!
Atifah kehairanan. Mana tidaknya? Tiba-tiba sahaja kakaknya jadi singa lapar. Kenapa?
Waktu itu pandangannya tertuntas ke ruang tamu. Ah, baru dia faham. Lantas ketawa geli hati. Terus dia mendekati kakaknya yang sedang mengaut bihun goreng ke dalam bekas.
“Kak long rimas ek? Sebab abang tu asyik tengok kak long, ya?” usiknya.
“Mata dia tu nak kena cucuk dengan garpu,” balas Atiqah, tidak menyembunyikan rasa meluat terhadap Afif.
“Kenapa marah sangat? Dia tengok aje kut?” gumam Atifah pula.
“Kak long tak suka orang yang tak reti nak jaga mata macam tu. Tengok sekali lepas tu tundukkanlah pandangan. Ini tidak! Dia pandang kak long atas bawah dan lepas tu dia senyum sorang-sorang. Gatal! Eeii, tak tahan! Panas hati kak long dibuatnya.”
Atifah terangguk-angguk.
“Betullah! Tapi, tu tanda dia dah suka kat kak long, kan? Dalam hati dia dah ada taman!”
“Shut up!” Atiqah memberi arahan sambil mengetap bibir.
“Kenapa suruh orang diam pulak?” Atifah bertanya.
“Kak long tak suka kamu usik-usik macam tu!” Atiqah berterus terang.
Lagilah adiknya tidak memahami.
“Kak long tak suka abang handsome tu?” tanya Atifah.
“Tak suka!”
“Peliklah kak long ni. Tuan doktor tu!” Atifah sengaja membakar perasaan kakaknya.
“Kak long tak suka doktor,” balas Atiqah, tegas.
Atifah ketawa. Teringat kisah waktu mereka kecil dahulu. Setiap kali Atiqah demam, dia pasti cuba berlagak sihat. Hanya kerana dia tidak mahu ke hospital. Takut benar nak makan ubat. Takut juga kalau-kalau kena suntik. Aduhai...
“Sebab doktor suka cucuk orang, ya? Kak long kan takut hospital?”
Atiqah tidak mengendahkan usikan itu.
“Kak long ni memilih sangatlah! Sebab itu umur dah 25 tahun tapi tak ada boyfriend lagi,” kutuk si adik.
Bulat sepasang mata Atiqah mendengar kutukan itu. Tapi, dia malas membalas. Biarlah Atifah dengan andaiannya.
“Dah siap berhidang? Bila nak jemput tetamu kita minum ni? Dah lupa apa ayah cakap? Tetamu mesti dirai. Kena cepat-cepat hidangkan air untuk mereka. Tak ingat?” bebel Salmah yang tiba-tiba terjengul di muka pintu dapur bersama-sama Nora.
Kelam kabut dua beradik itu meletakkan teko dan cawan di atas meja. Macam lipas kudung pergerakan mereka kali ini. Tidak sampai lima minit, semua siap terhidang.
“Jemput minum, mak, mak cik.” Atiqah mempelawa.
            Salmah menarik tangan Nora untuk duduk di kerusi dalam ruang makan yang sempit itu.
“Jom minum! Boleh rasa air tangan budak-budak ni.” Dia kemudian menatap wajah Atifah.
“Tipah, pergi panggil ayah. Jemput pak cik doktor dengan Abang Afif sekali.”
            Atifah mengerling ke arah kakaknya sekilas sambil tersenyum-senyum menyebabkan Atiqah berasa geram. Ingin sahaja dia mencubit bibir itu. Wajah merona merah apabila melihat ibunya dan Nora saling berbalas renungan. Apakah yang sedang mereka fikirkan?
Janganlah hendaknya ada agensi pencari jodoh di sini, pinta hatinya.            “Cantik anak-anak kamu, Sal. Iqa ni dah kerja ke?” tanya Nora ramah. Sepasang mata tidak lepas merenung paras Atiqah.
            “Dah. Iqa kerja di Affin Bank, Seri Kembangan, Nora. Lulusan banking kat UiTM tu!”
Dengan bangga Salmah memberitahu.
            “Baguslah tu. Cuma, kerja di bank ni selalulah balik lambat, kan?”
Nora masih berminat ingin tahu aktiviti harian Atiqah.
            Salmah mengangguk.
“Itulah pasal! Sal tak berapa berkenan sebenarnya, Nora. Faham-faham ajelah! Kerja bank ni, perginya awal pagi. Waktu balik pula tak tentu masa. Kadang-kadang tu pukul sepuluh, sebelas malam baru sampai ke rumah. Langsung tak ada masa untuk diri sendiri. Asyik kerja, kerja, kerja! Risau hati Sal ni!” omelnya.
            “Alah mak ni! Bukannya selalu orang balik lambat. Hujung bulan aje.”
Atiqah sudah tidak sanggup menjadi pendengar sahaja. Tidak sanggup juga aktiviti hariannya diceritakan kepada orang lain.
            “Kalau kau nak tahu, Sal, si Afif tu pun apa kurangnya. Asyik sibuk memanjang. Mentang-mentang kerja doktor? Pagi, petang, siang, malam, asyik ulit pesakit dia aje. Nak ajak ke mana-mana, susah bukan main, tau!”
Nora pula mengadu tentang sikap Afif.
Ah sudah! Apasal banding-banding hidup aku dengan doktor tu? Macam ada yang tersirat sahaja. Atiqah mula berasa tidak seronok. Risau pun ada. 
“Tapi, bila diajak ke mari, mahu pulak dia. Gerak hati tu, Sal! Tengok cara dia duk pandang-pandang ke dapur ni tadi, ada peluang kita...”
‘Ada peluang? Peluang untuk apa?’
Dada Atiqah rasa bagai nak pecah. Nampaknya, memang ada agensi pencari jodoh sekarang. Di antara ibunya dengan Mak Cik Nora, seolah-olah sedang mengatur sesuatu. Aduhai! Mereka berdua ingat ini zaman sebelum merdeka ke? Siap nak matchmake orang bagai?
Satu keluhan terlontar.
Tak suka! Tak suka!



BAB 4


AFIF menekan brek sebaik kereta sampai di hadapan rumah banglo milik ibu saudaranya. Dia biarkan sahaja ibu dan ayahnya turun dahulu. Dia perhatikan langkah yang mereka atur. Laju saja! Terutama ibunya.       
“Ada budak Zharif tu. Alhamdulillah! Bukan senang nak jumpa dia yang asyik sibuk memanjang! Ni, langkah kananlah kita nampaknya.”
Afif mendengus keras. Wajah terus mencuka. Begitulah setiap kali kalau mereka ke mari. Ibunya tidak pernah sembunyikan rasa seronok bertemu dengan anak mak long yang bernama Zharif itu. Menyebabkan dia berasa cemburu. Sangat-sangat cemburu!
            Hari ini, sekali lagi dia melihat dan merasai betapa Nora lebih menyayangi Zharif. Ya, itu yang dia rasakan. Nora lebih sayangkan Zharif berbanding dirinya!
Rasa kecil hati itu muncul kembali. Sejak lama, ia terpendam dalam diri. Hari ini dia merasainya lagi. Malah, sampai bila-bila pun, dia tahu bahawa dia bukan sesiapa di dalam hati Nora. Itu yang dirasakannya.
Keluarga Kamal Amir sedang minum petang di laman rumah. Demi melihat mak ngahnya, Zharif segera bangun dan terus sahaja memeluk Nora.
“Rindunya saya pada mak ngah,” bisiknya.
            Nora membalas pelukan anak saudaranya. Dia kemudian meneliti wajah yang semak.
            “Kenapa kamu ni, Rif? Comot aje? Berapa hari tak bercukur? Hesy! Muka handsome tapi langsung tak tahu nak jaga penampilan. Macam ni, ada mak we, mak we pun lari, tahu!” Nora mula membebel. Sakit hatinya melihat keadaan fizikal anak kakaknya ini.
            “Alah, mak ngah! Relakslah! Mana ada comot?” balas Zharif sambil menyengih, menayangkan barisan gigi yang cantik. Tangan mengusapi dagu yang kasar dengan jambang halus yang melata.
            “Belajar-belajarlah kemaskan penampilan diri tu, Rif. Sampai bila nak serabut macam ni? Sebab tu dari dulu sampai sekarang, masih tak ada mak we. Perempuan tengok kamu, dia orang jadi takut, Rif. Diri sendiri pun tak terurus, macam mana nak bela anak dara orang? Tentu dia orang fikir macam tu,” bebel Nora lagi.   
Zharif tetap tenang mendengar biarpun dia tahu nasihat mak ngah adalah demi kebaikannya. Bagi dia, inilah gaya dirinya. Dari dahulu dia sudah begini. Jadi, sudah biasa benar dia mendengar kemarahan emak saudaranya itu.
“Macam saya ni, siapalah yang nak? Lainlah anak mak ngah tu! Maklumlah, tuan doktor katakan?”
Zharif tersengih memandang wajah abang sepupu yang baru keluar dari kereta.
            “Habis, kalau dah selekeh macam ni, memanglah tak ada yang minat. Cuba kasi lawa sikit. Potong rambut, biar kemas. Cukur jambang dengan misai. Baju tu hah...
Ya Allah, Rif! Dah berapa lama kamu tak beli T-shirt baru ni? Hesy, kedekut betul budak ni! Tengokkan gaya, memang teruk! Bangla yang jadi pekerja bawahan kamu di kilang tu pun rasa mak ngah, mesti lagi handsome, kemas dan bergaya daripada kamu ni!” Nora mengutuk.
            “Dah puas kak long nasihatkan Zharif tu, Nora. Tapi, sikit pun dia tak mahu berubah. Entahlah! Memang susah nak cakap dengan dia ni. Kalau dah begitu rupa dia, bila nak kahwin?” Zhalilah, ibu Zharif mencelah sambil mencubit lengan anaknya.
            “Mak, apa ni? Sakit tau!”
Ala-ala manja suara Zharif terlontar. Seronok apabila sesekali dapat bermanja-manja dengan emak dan emak saudaranya. Kini dia memandang ke arah doktor muda di hadapannya. Wajah itu...
Tak boleh senyum ke? Asyik masam aje! Apa masalah dia?
Mood mengusik sudah mari... Mana aci asyik dirinya sahaja yang terkena, bisik hati Zharif.
“Mak dengan mak ngah jangan risaukan saya. Bukan saya yang nak kahwin dulu, kut? Tu, anak mak ngah tu! Dah lebih 29 tahun umurnya. Carikan jodoh untuk dia! Biar dia yang dulu naik pelamin! Tak adalah saya kena melangkah bendul pulak nanti!”
            Dahi Afif sudah berkerut. Wajah masamnya bertambah kelat.
“Hoi, Zharif! Aku tak kisahlah kalau kau nak kahwin dulu pun!” marahnya.
Bagi Afif, topik kahwin, beristeri, beranak-pinak, bukan topik kesukaannya. Dia tidak suka bercakap tentang semua itu.
            “Amboi! Tak kisah konon?”
Zharif tergelak melihat Afif terpisat-pisat akibat dijerkah oleh ibunya namun tawa itu terhenti apabila ibunya menjegilkan sepasang mata ke arahnya pula.
Zhalilah memandang wajah dua pemuda itu silih berganti.
“Umur kamu, 29. Zharif dah 28. Kau orang ni memang dah patut kahwin, tau! Apa lagi yang ditunggu? Kerja dah stabil. Duit simpanan dah ada. Harta pun dah mula dikumpul-kumpul. Sepatutnya, masing-masing dah bawa balik calon isteri,” ujarnya. 
“Saya tak ada calon lagi, mak long,” ujar Afif.
            Nora mencelah. “Apa pulak? Calonnya mak dah cari pun!”
Semua mata tertumpu kepada Nora. Ingin tahu lebih lanjut.
“Cantik orangnya, kak long. Pandai masak. Sopan lagi. Ramah pulak tu.” Nora memuji sambil membayangkan wajah Atiqah. Walaupun baru sekali jumpa, hati sudah berkenan.
            Afif rasa berdebar mendengar kata-kata ibunya. Dia tahu siapa yang dimaksudkan.
Hmm, dia tersenyum mengenangi gadis manis itu. Ya, gadis itu berjaya juga mencuri tumpuannya setelah hati dibiarkan tertutup sekian lama. Selepas cinta pertamanya putus di tengah jalan, belum ada gadis lain yang berjaya mengetuk pintu hatinya ini. Tetapi, Atiqah?
            Atiqah lebih cantik daripada bekas kekasihnya. Lebih rajin juga. Syakila dulu? Apa pun tak tahu kecuali membeli-belah. Kalau fasal menghabiskan duit, Syakila pandailah!
Atiqah? Apakah dia juga boros berbelanja? Melihat cara gadis itu berpakaian serta cara dia menghias wajahnya, Afif rasa Atiqah tidak begitu.
            “Berapa umur budak perempuan tu?” tanya Zhalilah lembut.
            “25, kak long. Memang boleh kahwin dah,” balas Nora.
            “Anak siapa?” Zhalilah merisik lagi.
            “Anak Idris, kawan baik saya masa kami sama-sama kerja di Hospital Kuala Lumpur dulu. Idris tu pemandu ambulan. Saya pulak kerja di wad kecemasan. Selalu jugaklah kami berziarah sesama sendiri. Tapi tak lama mana pun! Setahun aje kut sebab dia kena balik kampung. Ayahnya sakit dan tak ada adik beradik lain yang sanggup jaga.” Dr Husin memberitahu.
            “Kami tak pernah dengar nama tu rasanya,” kata Kamal Amir. Dahinya sudah berkerut. Mungkin cuba mengingat nama-nama sahabat keluarga mereka.
            “Masa tu, abang dengan kak long di Jerman. Abang sambung belajar!”
            “Oh, macam tu ya! Patutlah abang tak kenal.” Kamal Amir merenung wajah Afif. Dia tersenyum.
“Hah, Afif! Apa lagi? Kalau berkenan, cakap aje! Emak kamu tu dah teringin sangat nak bermenantu!” usiknya.       
            Zharif tertawa kecil sambil memeluk bahu Afif.
“Wah, dah sampai serulah ni!” usiknya.
            Afif merenggangkan pelukan. Rimas.
“Pandailah, kau! Entah-entah dia dah ada boyfriend.”
            “Dia tak ada kawan lagilah! Mak dah tanya semua tentang dia pada emaknya. Insya-Allah, kalau mak pergi meminang dia, Sal akan terima kamu jadi menantu dia.” Nora pantas memberitahu.
            Zhalilah memegang tangan anak saudaranya. “Afif suka dia?”
            Afif tidak menyahut. Tetap diam seribu bahasa.
            “Diam tu maknanya dia suka, mak. Cepatlah masuk meminang.” Zharif masih ingin mengusik.
            “No! Jangan pinang dia dulu. Saya nak tackle dia. Nak bercinta dengan dia,” sahut Afif.
            Zharif tatap wajah abang sepupunya lama-lama. Tajam renungannya bagai ada sesuatu sedang berbuku di dalam hati. Memang benar, memang ada sisa kemarahan yang terpendam.
            “Macamlah abang tak pernah bercinta? Kenapa? Nak cari keserasian sekali lagi? Habis, kalau tak ngam? Nak tinggalkan dia macam abang tinggalkan...”
“Shut up!” jerkah Afif. Seisi rumah terkejut mendengarnya.
            Afif ingin menyambung tetapi kalau itu dia lakukan, akan bocorlah rahsianya selama ini. Kisah percintaannya hanya Zharif sahaja yang tahu. Dia mahu kekal begitu. Biarlah semua kisah itu disembunyikan daripada pengetahuan orang tua. Senang! Dia tak suka mereka campur tangan pula.
            “Kau jangan sibuk hal akulah, Rif! Jangan nak buat cerita yang bukan-bukan pulak!” Afif berbisik di telinga adik sepupunya. 
            Zharif tahu yang setiap kali dia cuba membongkar kisah lama Afif, pemuda itu pasti mencari jalan untuk memangkah kata-katanya. Nampak benar yang Afif tidak mahu bercerita tentang Syakila kepada ibu bapa mereka. Yang dia tidak faham ialah kenapa Afif harus merahsiakannya. Kenapa Afif tidak suka mengungkit kisah lama itu?
Nora mengesan suasana tegang antara dua sepupu itu. Cepat-cepat dia masuk campur. Tidak mahu dia melihat Afif mengamuk. Nanti tak fasal-fasal pecah piring dan cawan semua. Afif bukan peduli apa pun. Kalau sudah naik angin, semua benda hendak dimusnahkannya.
            “Rif, mak ngah tak faham apa kamu cakap tapi mak ngah rasa kamu dah buat Afif marah tu. Kamu pun tahu yang mak ngah tak nak tengok kau orang berdua bertengkar, kan?” tegasnya.
            Zharif jongket bahu. Tidak lagi mahu meneruskan kata. Dia hanya menjadi pemerhati. Mendengar sahaja perancangan yang dibuat oleh ibu dan mak ngahnya untuk Afif.



BAB 5


WAKTU pagi di Taman Tasik Permaisuri pada hari Sabtu itu dipenuhi dengan warga kota yang datang untuk beriadah. Tempat parkir penuh dengan kereta dan motor. Suasana pagi yang nyaman dan segar menceriakan pengunjung. Yang berlari dan berjoging, yang menapak di atas batu refleksologi, semua mempunyai satu matlamat. Untuk menjaga kesihatan.
            Berhampiran tasik, tiga orang gadis sedang menyejukkan badan. Serentak, mereka menarik nafas melalui hidung dan kemudian menghembus perlahan melalui mulut. Pada waktu yang sama, tangan didepangkan sambil mengangkat tumit untuk berjengket. Setelah beberapa kali dilakukan, barulah masing-masing mencapai tuala kecil yang dibawa untuk mengelap peluh yang meleleh di muka dan leher.
            “Kak long nak air?” tanya Atifah kepada Atiqah.
            Atiqah angguk. Memang tekaknya berasa kering setelah berlari mengelilingi tasik sebanyak 2 pusingan. Dahaga sungguh! Jadi, sebaik adiknya menghulur botol air, terus sahaja air itu diteguk. Nyaman sedikit rasa tekak.
            “Hai, takkan minum sorang kut?”
            Atiqah segera berhenti. Botol disua kepada Nurain, kawan baiknya.
“Mujur kau cakap. Kalau tidak memang habis aku minum. Aku dahaga sangat tadi,” katanya.
            “Dahaga ke stress, kak long?” Atifah tanya sambil kerdip mata. Mengusiklah tu!
            “Stress? Kenapa pulak kak long kamu ni rasa tertekan, Tipah?” Nurain menagih jawapan.
“Laa, Kak Ain tak tahu lagi ke?”
“Tahu apa?”
“Kak Ain, Kak Ain tahu tak yang kawan baik Kak Ain ni dah nak kahwin?” tanya Atifah. Sedikit pun dia tidak peduli pada renungan membunuh yang Atiqah lemparkan kepadanya. Baginya, perkara itu tidak perlu dirahsiakan. 
            Atiqah mendengus kasar. Rasa geram kepada adiknya semakin menjadi-jadi. Mata sengaja dijegilkan ketika memandang wajah comel itu.
            “Kenapa, Tipah? Ada orang dah masuk meminang kak long kamu ni ke?” tanya Nurain. Kalau betul, teruja dia hendak tahu siapakah lelaki bertuah itu.
            Wajah Atiqah mencuka tatkala membalas renungan Nurain. Tu tanda dia marah. Baginya, soalan itu memang tak masuk akal.
“Kau layanlah budak otak senget tu! Silap haribulan nanti kau pun jadi senget. Macam dia!” Atiqah mengutuk.
            “Apa senget-senget ni, kak long? Orang cakap benda betullah!” Atifah membela diri.
“Benda betul? Helo! Kak long tak pernah cakap yang kak long nak kahwin, tahu! Apa lagi kalau nak kahwin dengan pilihan mak. Memang taklah!” balas Atiqah, tegas.
            “Tapi, kenapa? Kalau betul mak cik suka budak tu, apa salahnya kau terima? Kau tu pun bukannya ada pak we lagi.”
            Atiqah resah. Mendengar kata-kata itu dia teringat kepada ibunya. Soalan yang sama juga ditanya oleh ibunya semalam.

“Mak suka Afif. Dia anak kawan baik emak dengan ayah. Mak dah kenal hati budi mereka. Jadi, apa masalahnya kalau kamu terima dia? Kamu tu pun bukannya ada boyfriend, kan?”

Masalah betullah! Sejak keluarga doktor itu bertandang ke rumah, ibunya tak henti-henti memuji Afif. Asyik cakap itulah jodoh terbaik untuknya. Seolah-olah Afif sahaja pemuda paling hebat di dunia ini. Tak ada lelaki lain dapat menandinginya!
            “Mak aku tu pelik la. Keluarga doktor tu tak masuk meminang pun. Tapi, dia dah beria-ia paksa aku dengan Afif. Beria-ia nak suruh aku terima Afif tu. Masalahnya,”
            “Apa? Dia tak kacak?” sinis Nurain. Bukan dia tak kenal Atiqah. Pantang tengok lelaki handsome, mesti tertoleh-toleh. Apa lagi kalau muka mirip Go Soo, hero cerita Korea bertajuk Empire Gold itu. Habis hati!
            “Salah tu, Kak Ain. Abang Afif tu tersangatlah handsome. Macho! Tegap! Kulitnya hitam manis. Doktor lagi!” Atifah memberitahu.
“Wah!”
Atiqah mencebik. Menyampah tengok gaya kagum Nurain.
“Maksudnya, kau dah pernah jumpa dengan Afif tu, ya?” Nurain merisik.
“Alah, keluarga dia datang ke rumah kami minggu lepas,” balas Atiqah acuh tak acuh.
“Sebenarnya Kak Ain, Dr Husin tu kawan ayah masa dolu-dolu. Dua minggu sudah, ayah dengan Dr Husin bertembung di Econsave. Dah lama tak jumpa, kan? Ayah pun apa lagi? Ajak datang ke rumahlah. Bila depa datang, tu dia... siap bawak anak teruna sekali. Tentulah mak kami suka sangat, kan? Doktor tu!” Atifah bercerita disambut hilai tawa Nurain.
“Kira pakej lengkaplah ni?” usik Nurain sebaik tawanya reda.
Atifah angguk.
“Masa tu kan, Abang Afif tu selalu curi-curi pandang pada kak long. Tapi, kawan Kak Ain ni jual mahal. Muka dia macam dah minum cuka sebotol. Tak senyum langsung! Asyik masam memanjang.”
“Ya?”
“Ya, Tipah tak tipu.”
Kedua-duanya ketawa serentak. Sesekali dapat mengusik Atiqah, memang seronok.
“Aku menyampahlah dengan dia tu. Depan orang tua pun tak tahu nak jaga mata. Tengok orang macam nak telan. Kau tahu, Ain? Aku rasa macam dia X-ray aku dengan mata dia tu, tau! Geli!” Atiqah memberitahu.
Ketawa lagi.
            “Gelaklah! Gelak lagi. Gelak!” marah Atiqah.
“Peliklah perangai kau ni, Iqa. Sebab itu aje kau tak suka dia? Ke, kau dah ada buah hati?” soal Nurain bersama kerutan di dahi.
            “Ain? Berapa lama kau jadi kawan baik aku?”
            Nurain segera kembangkan sepuluh jari, bermakna mereka sudah berkawan selama 10 tahun.
            “Habis tu, ada kau nampak aku serius dengan sesiapa?”
            Nurain menggeleng. Laju.
            Atiqah berdiri. Dia tersenyum memandang raut Nurain dalam-dalam.
“Aku yakin, Afif tu bukan untuk aku. Kami tak ada chemistry la. Bila dia tengok aku, aku tak rasa apa-apa pun, tau! Rasa nak marah, rasa meluat, adalah!”
            “Apa-apa tu, apa, kak long?”
            Lama Atiqah memandang wajah lembut adiknya. 
“Cik Atifah sayang, kalau dia lelaki ‘Mr Right’ kita, Allah akan beritahu kita. Masa tu, jantung kita akan berdegup kencang bila dia tengok kita. Bila dia senyum aje, hati kita terus bergetar. Bila dia dekat, kita gelisah. Bila dia jauh, kita teringat-ingat. Bila dia bercakap, suara dialah yang paling sedap.” Atiqah memberitahu, tersenyum sambil berundur sedikit demi sedikit. Dia langsung tidak memahami isyarat mata Nurain yang menyuruh dia berhenti. Dia langsung tidak endahkan Atifah yang menutup mulut dengan tapak tangan. Hanya setelah dirinya jatuh tersembam ke atas rumput, barulah dia mengerti!
            Budak berdua itu menyuruhnya berhenti untuk mengelak lelaki yang sedang berlari turun menuju ke arah dia. Tapi, dia tak faham. Sebab itu mana sempat mengelak? Apa lagi? Berlanggarlah! Sekarang ni, tubuh lelaki itu sudah menghempap dirinya. Oh tidak!
            “Adoi!”
Jeritan halus Atiqah melantun kuat di pagi hari nan hening.
                  “I’m sorry, miss. So very sorry.”
Mujurlah lelaki itu segera bangun. Jadi, tentu dia bukan jenis yang suka ambil kesempatan. Lepas tu, dia tahu yang dia dah buat salah. Sebab itu dia cepat-cepat minta maaf.
Tak tahu kenapa, tiba-tiba Atiqah rasa jantungnya berdegup laju. Tak fasal-fasal rasa berdebar. Tapi, dek kerana kakinya berasa sangat sakit, tetaplah ada rasa marah dalam hati.
            “Saya ni punyalah besar berdiri tegak kat situ, boleh awak tak nampak? Awak langgar jugak? Kat mana awak bubuh mata?” jerkahnya lalu mendongak. Hendak juga tengok paras rupa orang yang melanggarnya. Apa lagi? Sebaik sahaja pandangan bertaut...
“Kau?” Lelaki itu menjerit.
            “Awak?”
Atiqah pun sama.
            Masing-masing terkejut bukan main!
            Sudah seminggu sejak kejadian di pagi hari Isnin itu. Rasa malu akibat diusik Zharif, masih belum hilang lagi. Hari ini, mereka bertembung pula.
Kenapa setiap kali terserempak, mesti ada kejadian yang memalukan dirinya begini?
            Atiqah menyambut huluran tangan Atifah. Kini, dia sedang berdiri. Ketika hendak melangkah, kaki kanannya berasa terlalu sakit. Nasib baik Atifah ada memeluk dia.
            “Kau terseliuh ni, Iqa! Tengok! Dah bengkak di sekeliling buku lali kau tu. Boleh ke kau berjalan?” tanya Nurain penuh risau.
            Zharif mendekat. Wajah gadis yang sedang menahan sakit itu ditatap.
            “Tengok apa? Saya masih boleh berjalanlah.” Atiqah memberitahu.
            “Kalau macam tu, berjalanlah! Jalan sekarang! Yang berdiri tercegat lagi tu, kenapa?” perli Zharif.
            “Saya nak berjalanlah ni! Yang awak jadi pak pacak depan saya ni, pasal apa? Shooh! Shooh! Pergi sana!” Atiqah menghalau.
            Atifah dan Nurain saling berpandangan. Kedua-duanya pelik melihat perangai Atiqah. Kenapa dengan dia?         
“Kak long, apa pasal garang sangat ni?” Atifah garu kepala.
            “Oh, dia ni memang garang, dik. Cengil!”
Zharif yang menyahut. Puas hati dapat mengutuk Atiqah. Garang sangat! Padan muka!
            “Awak tu mulut jahat,” balas Atiqah.
            “Suka kutuk orang.”
Zharif tidak mahu kalah.
            “Perasan.”
            “Betul tu! Awak la! Perasan bagus!”
            “Kak long!”
            Panggilan Atifah segera menyedarkan Atiqah. Dia menoleh memandang seraut wajah yang sedang tersenyum nakal.
            “Siapa ni?” Atifah tanya.
            Aik? Nak tanya soalan itu aje?
            “Dia tak kenal abang, dik. Abang pun tak tahu nama dia! Masa kami jumpa kali pertama dulu, dia ni ingat abang nak...”
            Ayat tergantung? Kalau sedang menjawab soalan Bahasa Melayu SPM, gerenti gagal, hati Atiqah menggerutu geram.
            “Tutup mulut awak tu, ya! Pandai aje nak mengutuk orang. Tak habis-habis!” marahnya.
            “Awak tu yang sepatutnya diam, tahu?” Zharif berkata lalu menoleh ke arah Atifah. “Dia dengan adik ni siapa?”  
“Kakak saya ni, bang. Kak long saya. Nama dia Atiqah.” Atifah memberitahu.
            “Oh, Atiqah. Nama abang, Zharif. Umur, 28 tahun.” Zharif kenalkan dirinya.
            “Eleh, orang tak tanya pun.” Atiqah mencebik.
            Zharif sengih. “Saja nak bagi tahu.”
            Atiqah terus jeling. Sakit hati kerana setiap kali dia kutuk, ada sahaja jawapan yang keluar daripada mulut Zharif. Grrr!
Atifah dan Nurain melirik dan tersenyum. Berasa seronok melihat dua insan yang asyik hendak bertekak di hadapan mereka. Geli hati pun ada terutama ketika melihat gelagat Atiqah yang tidak mahu kalah bertikam lidah. Aisey, muka tu macam tak puas hati saja?
Tiba-tiba ada suara melaung. “Zharif, berapa lama lagi nak jual minyak urat? Kami nak balik dah.”
Atiqah mencemik.
‘Mesti kawan-kawan dia tu. Senget macam dia jugak!’ kutuknya di dalam hati.
“Weh, tunggu aku!” balas Zharif. Tanpa pamitan, dia terus pergi mendapatkan kawan-kawannya itu.
“No manners!” Atiqah merungut.
Nurain kerut dahi tengok sahabat baiknya yang mencuka mukanya.
“Awat marah-marah, cek? Kuciwa sebab si dia buat derk ka?” Saja dia mengusik dalam loghat Kedah. Maklumlah dia, Changlun mari. 
“Dahlah! Jangan nak sindir-sindir aku pulak. Jom balik! Aku dah lapar ni!” bentak Atiqah.
Baru hendak memulakan langkah, Atiqah terus terjerit. “Sakitnya!”
Dia tak mampu bergerak. Malah kembali terduduk. Kini, kakinya tidak boleh diangkat sama sekali. Hendak melangkah? Lagilah!
            “Dah patah ke kaki kak long kamu ni, Tipah? Macam mana ni? Apa nak buat?” tanya Nurain, cemas.
            Dahi Atiqah sudah berkerut-kerut menahan sakit. Rasa hendak menangis pun ada. Ingatkan sikit saja tadi. Tetapi, kenapa hendak berdiri pun dia tidak mampu?
            Tiba-tiba dirinya yang ringan terasa dicempung seseorang.
            “Hey, apa ni?” Atiqah menjerit sambil terkapai-kapai dalam dukungan sepasang tangan kekar. Hendak melepaskan diri tetapi tidak berjaya.
            Rupa-rupanya, Zharif datang semula dan kini sedang mendukung Atiqah sambil berjalan menuju ke arah keretanya. Nurain dan Atifah yang turut terkejut, kehilangan kata-kata.
            “Jangan cakap apa-apa! Perkara pertama yang kau orang mesti tahu ialah aku bukan nak ambil kesempatan. Aku cuma nak tolong dia ni aje. Aku nak bawak dia ke klinik terdekat. Kau orang ada kereta?”
            Atifah angguk.
            “Kalau macam tu, kau orang ikut kereta aku dari belakang. Aku nak bawak dia ni pergi klinik.” Zharif memberi arahan kepada Nurain dan Atifah. Arahan yang tidak mampu hendak disanggah oleh mereka.
            “Tapi...” Atifah sedikit ragu.
            Zharif tersengih. Geli hati melihat gelagat Atifah yang cemas.
“Relaks la! Jangan risau! Aku tak bawak lari kakak kau ni. Tak ingin aku!”
            Kata-kata itu menyebabkan Nurain dan Atifah mengekek. Zharif bermuka selamba. Namun, Atiqah?
Atiqah sedang marah. Sebab itu, dia meronta-ronta.
“Lepaskan! Saya nak turun! Lepaskan! Saya boleh jalan sendiri,” jeritnya.
            Zharif berhenti melangkah. Atiqah yang sedang didukung, direnung.
“Aku campak kau sekarang, ya?”
            Zharif membuat gaya seperti hendak mencampak Atiqah. Kerana takut, Atiqah terus memeluk leher Zharif sambil memejamkan sepasang mata.
Entah mengapa, hati masing-masing bergetar hebat. Jantung masing-masing degup-degap. Ada yang tak kena dengan kedua-dua organ itu, fikir mereka.
Atiqah tak bergerak dah. Kaku dan malu. Tak pernah-pernah mengalami situasi macam ni. Aduhai, di mana nak letak muka?
            “Hah, macam tu la! Jangan asyik nak melawan cakap orang.”
            Atiqah berasa sakit hati apabila disindir Zharif.
            “Helo, boleh jalan laju sikit tak? Saya tak tahanlah dengan bau badan awak ni! Masam!”
Sengaja dia hendak mengenakan Zharif.
            “Ada jugak yang nak kena campak dalam tasik ni karang.” Zharif mengusik.  

            Erk?

Bersambung

No comments:

Post a Comment