Saturday, 27 February 2016

Bab 7 : KAHWIN KAMPUS - AIN KAMALIA


Bab 7

AKU melambai hingga kereta ayah hilang daripada pandangan. Hari Isnin, hari permulaan bagi mereka yang bekerja mahupun bersekolah. Aku tak ke mana- mana sebab aku dah mula bercuti semester.

Selepas itu aku masuk dalam rumah balik. Baru saja gaya nak baring atas katil handphone aku berbunyi. Abang Shah! Dia ajak aku keluar.

Aku malas nak keluar sebenarnya sebab aku nak qada waktu tidur. Tapi Abang Shah ini memang jenis tak faham Bahasa Melayu dan aku pulak jenis tak reti cakap Bahasa Jepun. Dia paksa juga aku keluar dengan dia sebab ayah yang suruh katanya. Kenapa pula ayah suruh aku keluar dengan dia ini? Musykil. Musykil.

Siap mandi dan berpakaian aku terus tunggu depan pagar rumah. Mak Yam tengah sidai kain. Sempatlah aku bertegur sapa dengannya.

“Nak pergi mana?” Mak Yam tanya apabila nampak aku bersiap cantik.

“Nak keluar dengan Abang Shah.” Aku jawab terus-terang. Tapi janganlah ditanya ke mana destinasinya. Aku pun tak tahu. Aku tanya tadi Abang Shah cuma kata ‘ada la’. Tak tahulah kat mana tempat ‘ada la’ itu berada.

“Oh, lama Shah cuti kali ni ya? Selalu dia datang sini jumpa ayah Ika. Baik budaknya... Boleh dibuat menantu!” Mak Yam cakap sambil senyum.

Ishk, dia ada niat nak kahwinkan Abang Shah dengan anak dia Si Nini yang darjah enam tu ke? Takkanlah kut. Lama sangat Abang Shah nak tunggu Nini habis sekolah.

“Mak Yam berkenan nak buat dia sebagai menantu ke? Nanti Ika beritahu dia ya!” Aku usik Mak Yam.

“Ada-ada je kamu ni. Sudah terang lagi bersuluh!” Mak Yam sambung sengih.
“Ha, tu dia dah sampai!” Mak Yam juih arah belakang aku. Tadi aku berpaling membelakangkan jalan.

Abang Shah turun dari kereta dengan senyuman. Siap beri salam kepada Mak Yam lagi. Berbasa-basi menanyakan khabar orang tua itu. Manalah Mak Yam tak berkenan nak jadikan menantu. Haish!

“Dah breakfast?” Soalan pertama dia masa kami di dalam kereta.

“Belum. Tak ada selera...” Aku sempat teguk segelas air putih sahaja tadi.

“Kita breakfast dululah, Ika nak makan apa?” Aku gelengkan kepala. Aku yakin Abang Shah dah bersarapan di rumah tadi. Mak cik selalu masak sedap-sedap untuk sarapan.

“Kenapa muka monyok je ni? Cerialah sikit!”

“Tak ada mood!” Dengan dia ini senang, aku boleh main cakap saja. Tak payah nak jaga gengsi.

“Sebab pak cik nak kahwin?”

“Itu salah satu daripadanya...”


“Oh, ada sebab lain la ni?”


Hem... Ika tak faham kenapa ayah tak suka Abang Faez.” Kali ini Abang Shah diam. Dia tak cakap apa pun.


“Abang Shah, Ika nak tanya ni, tolong jawab dengan jujur?”

“Tanyalah...” Leweh sahaja suara dia. Eh, dia nak bawa aku pergi mana ni? Pusat Bandaraya?

“Agak-agaknya kenapa ayah tak suka Abang Faez tu ya? Ayah cakap dia kurang ajar, tak hormat orang tua dan... ayah cakap dia kaki perempuan!” Itulah yang ayah khabarkan kepada aku sewaktu kami makan bersama malam tadi.

“Abang tak tahu nak cakap apa Ika tapi, ada baiknya Ika dengar cakap pak cik. Tentu ada sebab yang munasabah kenapa pak cik tak bagi Ika ada hubungan dengan Faez. Ika pun tahu kan? Faez tu handsome orangnya. Masa sekolah lagi dah ramai perempuan yang sukakan dia. Tambah lagi apabila dia dah bekerja. Dengan latar belakang yang dia miliki, memang tak susah nak buat perempuan jatuh cinta dengan dia. Termasuklah Ika, kan?”

Memanglah aku tahu Abang Faez itu kacak orangnya. Dia hanya ada dua beradik sahaja dalam dunia ini. Kakak sulung dia bekerja dengan papanya. Setakat itu sajalah yang aku tahu. Sebab selama kami berkawan jarang benar menceritakan perihal diri masing-masing. Abang Faez selalu ambil berat fasal pelajaran aku. Sama macam Abang Shah juga. Selalunya kami berbual fasal pelajaran dan serba sedikit fasal isu-isu semasa.

“Entahlah Abang Shah. Tapi lepas balik dari rumah hari Sabtu tu, dia langsung tak contact Ika. Call tak jawab, mesej pun tak balas.” Sedih aku.

“Faez datang rumah Ika Sabtu lepas?” Abang Shah tanya dengan nada mahu tahu teramat. Siap pandang kat aku. Kereta yang banyak di atas jalan raya tidak memungkinkan dia memandu dengan laju.

“Ayah suruh jemput dia datang rumah...”

So dia datanglah?” Penuh rasa teruja dia bertanya.

“Datanglah, tapi tak sempat nak makan tengah hari pun. Dia balik terus lepas bercakap berdua dengan ayah. Siap cakap Ika pun bukannya baik sangat. Dia kata Ika pun keluar dengan lelaki lain jugak!”

Erm, mesti Ika selalu keluar dengan lelaki selama ni, betul tak?”

“Mana ada... kalau keluar pun berempat. Ika, Najman, Khayra dan AJ, kami bff di kampus.”

“Selain tu tak pernah keluar dengan lelaki?” Gaya tanya macam tak percaya sahaja. Kecil hati aku.

“Memang tak ada...” Aku cakap dengan bersungguh-sungguh. Ingat aku ini apa? Playgirl?

“Habis dengan abang ni?” Dia tanya sambil senyum mengejek pandang aku. “Err... abang bukannya lelaki pun!”

Aku belasah gelak apabila Abang Shah menjerit. Marahlah itu aku kata dia

bukan lelaki. Kita orang dah rapat dari kecil lagi, macam adik-beradik. Aku dengan Abang Shah ada hubungan platonik. Itulah maksud sebenar aku.

KITA orang berjalan-jalan di KLCC. Tadi dekat sejam jugalah aku melangut tunggu Abang Shah di ofis cawangan syarikat dia di Jalan Tun Ismail. Hari ini baru aku tahu Abang Shah minta ditukarkan bertugas secara part time di Kuala Lumpur. Dia nak sambung belajar di sini selama dua tahun katanya.

Apabila aku tanya kenapa dia tak sambung belajar di Tokyo sahaja dia cuma senyum. Bagi aku lebih mudah dia menyambung pelajaran di sana sementelah ibu pejabat tempatnya bekerja juga terletak di Tokyo. Tapi, entahlah... mesti dia ada perancangan tersendiri.

“Ika nak makan apa? Abang belanja!”

Masa ini kita orang sedang window shopping di dalam kompleks membeli belah di dalam bangunan KLCC ni. Hari bekerja biasa, suasana lebih lapang dan santai.

“Belanja makan je? Shopping?” Aku buat muka manja.

Shopping? Ika nak beli apa?”

Eleh, tanya macamlah dia sanggup nak bayarkan kalau aku nak beli beg tangan ataupun kasut berjenama.

“Boleh je abang belikan. Asalkan Ika sanggup...”

“Sanggup apa?” aku berhenti dan pandang muka dia yang tengah tersengih. “Sanggup kahwin dengan abang!” Dia bisik kat telinga aku dan lepas
itu

berjalan meninggalkan aku. Ciss... nak bergurau tak kena tempat!

Penat mengukur jalan kami akhirnya melangkah ke Restoran Bumbu Desa yang terletak di aras 4. Restoran yang menghidangkan makanan autentik dari negara

Indonesia menjadi pilihan.

Abang Shah yang oder makanan. Aku malas nak tengok menu. Tekak aku kan

jenis senang dibela. Asalkan halal semua boleh masuk.

“Lepas ni nak pergi mana?” Abang Shah tanya sebaik pelayan yang ambil
pesanan beredar.

“Baliklah...” Aku memang tak ada rancangan nak ke mana-mana. Biasanya

mula-mula cuti ini aku nak balas dendam dulu, nak tidur puas-puas. Lagipun menjelang peperiksaan hari itu aku memang tak cukup tidur.

“Pergi rumah nanny nak?” Aku buat muka apabila dia ajak pergi rumah nanny.
Macam tak ada tempat lain dia nak ajak aku pergi. Rumah nanny itu setahun entah berapa puluh kali aku dah pergi. Lagipun kalau di sana mesti aku tak boleh bergolek atas tilam. Walaupun nanny tak kisah, aku yang rasa malu sendiri.

“Buat apa duduk sorang-sorang kat rumah? Mesti bosan!”

“Dah biasa. Lagipun Ika nak tidur... penatlah!” Banyak benda yang buatkan aku jadi penat. Perihal ayah dan Abang Faez yang masih berlegar-legar dalam fikiran pun satu hal.

Aku pandang sekeliling, memang hobi aku suka tengok dekorasi sesuatu tempat. Saja nak jamu mata. Penuh juga restoran ini, maklumlah dah masa makan tengah hari Ketika aku memandang ke arah pintu masuk restoran aku nampak Abang Faez sedang melangkah masuk diiringi oleh pelayan. Di belakang dia ada seorang gadis berambut hitam pekat, panjang dan bergulung-gulung cantik hujung rambutnya.

Aku ekori pergerakan mereka sehinggalah mereka ditempatkan di sebuah meja yang berada di bahagian tepi restoran. Abang Faez dengan perempuan itu duduk berhadap-hadapan.

“Tengok apa?” Abang Shah tanya sambil tertoleh-toleh ke belakang. Tempat yang aku pandang.

“Tak ada apalah... saja, suka tengok hiasan dalaman restoran ni. Cantik!” Aku pandang muka Abang Shah. Mujurlah dia percaya. Kalau dia toleh belakang dan pandang betul-betul tentu dia nampak Abang Faez dengan pasangannya itu.
Pelayan hidangkan makanan, aku terus capai sudu dan garfu. Nak cepat makan. Nak cepat pergi dari sini.

Aku makan, makan, makan dan terus makan tanpa angkat muka. Nasib baik Abang Shah rajin letakkan lauk-pauk dalam pinggan aku. Kalau tak aku makan nasi kosong ajelah. Aku dah tak kisah , aku nak cepat habiskan nasi dan balik.
Aku boleh nampak betapa mesranya Abang Faez dengan perempuan itu. Mereka berbual dan sesekali ketawa. Perempuan itu cantik orangnya, walaupun sekilas pandang cuma, aku dapat melihat raut wajahnya yang sungguh jelita.

Aku angkat muka dan sedut minuman. Mata jahat aku ini memang tak boleh pandang setempat. Meja di hujung restoran itu jugalah yang mata aku ini hendak menjeling. Dan, sesaat mata kami bertemu pandang, jelas kelihatan riak terperanjatnya apabila nampak aku.

Segera pandangan aku kalihkan ke pinggan semula. Sambung makan macam tak ada apa-apa berlaku. Kenapalah ayah makan garam banyak sangat? Kan dah masin mulut dia. Apa yang dia cakap fasal Abang Faez itu dah terbukti depan mata. Alahai...

“Lapar sangat eh, tu la... ajak sarapan tadi tak nak.” Abang Shah cakap dengan nada prihatin.

Aku tak jawab pun kata-kata dia. Terus aku makan sampai habis nasi dan lauk dalam pinggan. Aku silangkan sudu dan garfu dalam pinggan. Tanda aku dah siap makan.

“Ika keluar dulu boleh tak? Rasa macam sesak nafas kat dalam ni. Ramai sangat orang!” Aku buat alasan. Padahalnya aku rasa tak selesa sebab tiap kali aku angkat muka aku perasan Abang Faez pandang aku.

“Pergilah, nanti abang datang...” Dia pun dah nak habis makan. Cepat-cepat aku habiskan minuman dan lepas itu capai beg tangan dan bangun.

Sampai kat luar aku ambil handphone dari dalam beg tangan. Dari tadi handphone aku asyik bergetar. Hrm... Abang Faez. Pandai pula dia mesej aku.
Aku simpan balik handphone, malas nak baca mesej dia. Betullah kata ayah, dia memang selalu keluar dengan perempuan. Nak kata business associate, gaya macam dah kenal mesra. Perempuan selalunya melintuk liuk manja macam itu dengan orang yang dia suka saja. Gaya menggoda.

Yang tak reti nak melintuk liuk macam pokok kelapa kena tiup angin tu, aku. Aku tak biasa nak bersikap manja dengan lelaki selain daripada ayah. Kalau Abang Faez itu jenis lelaki yang suka perempuan manja nan menggoda macam perempuan yang keluar dengan dia tu, aku tak boleh buat apa. Aku takkan bersikap manja dan menggoda macam perempuan itu sebab aku bukan jenis macam itu. Mungkin sebab aku sudah terbiasa berdikari dari sekolah rendah lagi jadi aku jadi agak kasar dan pandai berdikari.

Tak sampai lima minit kemudian Abang Shah dah terpacul depan aku.

“Nak pergi mana lepas ni?” Dia tanya sambil pandang tepat kat muka aku.


“Balik!” Aku jawab sepatah.

“Tak nak
shopping?”


Aku geleng kepala. Bukannya aku bawa duit banyak sangat yang sampai aku

boleh shopping kat sini. Lagipun semua keperluan aku dah ada, mencukupi buat masa ini.

“Abang dapat payment tadi... jom abang belanja Ika. Pilih je apa Ika nak, abang belikan!”

Aku pandang pada dia yang sedang tersenyum ceria. Nak saja aku tanya berapa juta dia dapat bayaran. Boleh ke belikan aku servis kondominium sebiji? Boring-boring aku boleh pergi gim dan berenang!

Sampai di rumah dah jam 3:30 petang. Bersusah-payah aku buka kunci pagar sambil sebelah tangan memegang bungkusan Popcorn Garrett perisa Caramel Crisp. Ini benda yang aku pilih apabila Abang Shah asyik paksa aku pilih barang, nak sangat membelanja. Takkanlah aku nak pau dia. Aku masih waras lagi.

Elok-elok kunci pagar terbuka dan aku nak tolak pagar ada orang pegang lengan aku. Punyalah aku terperanjat, nyaris nak jatuh bungkusan popcorn mahal di tangan.

Opocot!” Sempat aku melatah. Mujur aku tak mencarut.

“Abang Faez, buat apa kat sini?”


Muka tegang dia tunjuk pada aku. Tangan kanan dia masih mencekak lengan

kiri aku. Kuat pula itu. Aku toleh sekeliling, tak ada sesiapa pun berada di luar rumah. Masa-masa macam ni tentu para suri rumah itu tidur. Dalam hati terdetik rasa takut, kalau-kalau Abang Faez buat kerja gila, menyerbu masuk dalam rumah.

“Ika buat apa kat KLCC?”

Aku tanya dia, dia tanya aku balik. Perlahan tangan dia aku turunkan dari lengan aku.

“Ika ada hal kat luar tadi, pergi KLCC sebab nak makan tengah hari...” 

Takkan dia tak nampak aku buat apa dalam restoran tadi. Ada ke orang buat benda lain dalam restoran itu selain daripada menjamu selera?

“Kenapa keluar dengan Shah tak beritahu abang?”

Laaa... nak beritahu apanya? Selama ini ada ke dia jawab panggilan aku? Balas mesej aku?

“Kunci balik pagar tu. Jom, ikut abang!”

“Pergi mana? Ika baru balik
je!” Aku protes. Dia nak bawa aku pergi mana? “Nak ikut ke ataupun nak abang masuk dalam rumah?”


Aku terus kunci balik pintu pagar rumah apabila dengar dia cakap macam ini.

Dia tarik lengan aku menghampiri sebuah kereta yang diparkir agak jauh dari depan rumah aku.

Dia tolak aku masuk di seat belakang dan lepas itu dia duduk kat sebelah aku. Rupanya ada pemandu, macam mana aku tak perasan ada orang lain dalam kereta tadi?

“Ofis, Pak Kasim!” Dia arahkan lelaki separuh abad yang berada di tempat pemandu. Aku pandang kiri, kanan, depan dan belakang. Kereta apa ini? Aku kena tolak masuk tadi, tak sempat nak tengok jenama dan nombor plat kereta. Haru sungguhlah.

“Kita nak pergi mana ni?” Aku pandang muka dia dengan cuak. Dahlah muka ketat semacam. Hilang rupa kacak dia. Pakaian bukan main lagi, siap bercoat bagai. Panas kut di Malaysia.

Sombong pula dia, aku tanya dia tak jawab pun. Lepas jeling aku sekilas dia menghadap Tab kat tangan dia. Eleh, macam dia sorang mampu beli .

Tiba-tiba aku teringat. Jalan Imbi! Ya... ofis papa dia terletak di Jalan Imbi. Mujur otak aku ini berfungsi dengan jayanya tika dan saat ini.

Yang terlintas di fikiran aku hanyalah menghantar mesej buat Abang Shah. Hanya dia satu-satunya yang boleh menyelamatkan aku dalam saat-saat sebegini. Kalau aku mesej ayah memang hulur kepala ke tali gantunglah jawabnya.

Aku baru sempat leret skrin sentuh dengan jari apabila dia rampas handphone aku dan masukkan dalam poket coat dia. Poket belah dalam pulak tu. Tak sempat nak mesej Abang Shah dan beritahu aku kena culik. Hmph... culiklah sangat!

“Pak Kasim... boleh tolong berhenti, saya nak turun!” Aku cakap kat si pemandu yang tekun menjalankan tugasnya.

“Jalan terus Pak Kasim!” Suara tegas Abang Faez kedengaran.

“Berhentikan saya kat sini pun tak apa Pak Kasim, tolong buka kunci pintu ni!” Kereta sedang berderet-deret di jalan raya. Bergerak tetapi perlahan. Aku boleh turun kat tengah-tengah jalan raya ni. Aku tak kisah dah, asalkan aku boleh keluar dari kereta ni.

Pak Kasim nampak macam serba-salah. Tapi dia terus memandu apabila Abang Faez buat isyarat suruh dia teruskan perjalanan. Jangan endahkan aku.

Aku duduk rapat dengan pintu kereta. Jangan kata nak buka pintu kereta nak turunkan cermin gelap ini pun tak boleh. Kut tak, boleh je aku menjerit meminta tolong. Walaupun aku tak tahu apa niat Abang Faez ‘menculik’ aku begini namun aku tetap mahu melepaskan diri. Manalah tahu kalau-kalau dia berniat jahat?

Sampai sahaja di hadapan sebuah bangunan tinggi berhampiran sebuah hotel di Jalan Imbi kereta diberhentikan. Betul-betul di pintu masuk bahagian lobi bangunan. Abang Faez turun sambil tarik tangan aku.

Okey, memang aku tak boleh nak melepaskan diri. Dia pegang kuat tangan kiri aku, sambil berjalan laju masuk ke dalam bangunan. Aku sempat tengok muka Pak Kasim masa nak turun tadi. Macam kesian saja cara dia pandang aku. Tapi patutnya kalau dia kesian, tolonglah aku ni. Takkan main kesian dalam hati saja?

Dia tarik aku sampai ke pintu lif yang berderet di bahagian tengah bangunan. Ada enam lif kesemuanya tapi semuanya sedang digunakan. Aku meronta, cuba untuk melepaskan tangan yang dah rasa sakit akibat cengkaman kuat tangan kanan dia.

Adalah dalam dua minit menunggu pintu sebuah lif terbuka. Keluar beberapa orang dari perut lif dan Abang Faez terus tarik tangan aku masuk dalam. Hanya ada aku dengan dia dalam lif ni. Sebaik masuk sahaja dalam lif dia terus tekan butang untuk menutup pintu lif. Aku tengok dia tekan butang ke tingkat 20.
Masa ini tangan aku dilepaskan. Aku tersandar di dinding lif sambil urut-urut tangan yang sakit. Dia berdiri rapat di hadapan aku. Menghalang pandangan aku ke pintu lif yang sedang bergerak laju. Ishk... peliknya, tak berhenti kat mana-mana tingkat ke lif ini? Tak ada ke orang yang nak naik ke tingkat atas? 

No comments:

Post a Comment