Bab 1
DIA menyelak sedikit
langsir tingkap sebaik sahaja telinganya menangkap bunyi deruan enjin kereta.
Apabila cermin di bahagian hadapan sebelah kiri diturunkan, dia segera memberi
isyarat supaya encik pemandu menunggunya sebentar.
“Encik Zahin dah sampai?”
Izyan menoleh ke arah teman
serumah yang sedang berbaring di hadapan televisyen. Dalam leka menonton,
sempat pula Zana tanyakan soalan itu kepadanya.
“Dah,” jawabnya ringkas. Dia kemudian membelek pantulan
wajah dalam cermin tegak yang melekat kuat di tepi dinding berhampiran pintu
hadapan. Apabila sudah berpuas hati dengan penampilan dirinya, dia segera
mencapai dompet kecil di atas meja.
“Aku nak pergi dah ni.” Dia memberitahu.
“Izyan!”
Wanita muda yang baru hendak membuka daun pintu itu
segera menoleh. Wajah Zana dipandang semula. “Nak apa?” tanya dia.
Sambil tersengih Zana memesan, “Kau pergi joging aje dengan
Encik Zahin tu! Jangan melencong ke tempat lain pulak.”
Pesanan penaja yang menyebabkan Izyan tergelak besar. “Nak
melencong ke mana?” tanya dia.
“Mana tahu kut-kut Encik Zahin nak culik kau bawak
lari ke Golok?”
Izyan terus mencekak pinggang. Geram pula dia
mendengar kata-kata Zana itu. Melampau sungguh!
“Cakap tu baik-baik sikit, Zana. Ingat, apa yang
keluar daripada mulut kita ni doa, tahu. Kau sampai hati doakan aku kahwin di
sempadan siam sana? Hesy, aku cilikan
juga mulut kau tu karang,” marahnya.
Zana sedikit pun tidak terkesan dengan kemarahan Izyan.
Malah masih boleh bergurau lagi. “Hmm, sedap. Aku pun dah lama tak makan sambal
belacan yang kau buat, Yan.”
Izyan menggeleng mendengar jawapan spontan Zana.
“Orang cakap lain, dia pula cakap pasal sambal
belacan,” gerutunya. Namun, dia tetap ketawa melihat sikap selamba kawannya
itu.
Zana bangun dan kini sudah
pun berdiri di tepi pintu. Kepala terjenguk-jenguk ke arah kereta Proton
Persona berwarna ungu. “Sejak bila pulak Encik Zahin gelapkan cermin kereta dia
tu?”
“Kalau nak tengok
orangnya, boleh aku panggilkan. Apa ada hal dengan cermin tu,” sinis Izyan.
“Eee tak payahlah. Tak
kuasa aku nak tengok muka Encik Zahin tu.”
“Betul ni?”
“Ya! Lagipun, dia tak pandang orang macam aku ni, Yan.”
“Pulak? Kau ni macam-macamlah, Zana.”
“Tapi kan, sejak dua menjak ni aku tengok kau makin
rapat dengan Encik Zahin tu. Ada apa-apa ke?” Zana pandang anak mata Izyan
tepat-tepat. Mencari kebenaran.
Izyan segera menepis. “Kami kawan ajelah.”
“Amboi, jawapan? Selalu artis aje yang jawab bajet
bagus macam tu.”
Izyan tersengih. “Tak nak percaya cakap aku, sudah.
Aku pun tak boleh nak paksa kau supaya percayakan aku. Betul tak?”
“Encik Zahin belum luahkan isi hati dia pada kau?”
“Kau tahu apa isi hati dia?” tanya Izyan sambil
membulatkan sepasang mata. Geram dengan Zana yang mula bertanya soalan yang
bukan-bukan tentang dia dan lelaki yang masih menantinya di dalam kereta.
Zana ketawa. “Manalah aku tahu isi hati dia, Yan.
Cuma...”
“Apa?”
“Aku ni selalu jadi kaunter pertanyaan kawan-kawan
kita di hotel tu. Dia orang nak tahu bila kau dengan Encik Zahin nak isytiharkan
hubungan kau orang berdua.” Zana meluahkan.
“Tak pasal-pasal kami jadi bahan gosip kau orang ya?”
“Alah, dah kau yang rapat dengan Encik Zahin, tentulah
kau yang jadi bahan gosip. Kalau aku rapat dengan dia, akulah yang digosipkan.
Betul tak?”
“Nak ke?”
Zana jongket kening. “Nak apa?” tanya dia.
“Nak digosipkan dengan Zahin?”
“Hesy, apa kau ni?”
“Laa, kenapa? Tak suka?
Aku cakap yang betul ni, Zana. Aku rasa orang lebih suka kalau kau yang couple dengan Zahin tu.” Bersungguh-sungguh
pula Izyan cuba hendak menyatukan Zana dengan Zahin. Dia tak sedar yang ketika
ini muka Zana sudah merona merah.
“Ada pulak?” Zana dah tak senang hati.
“Ya! Sebab kau dengan dia sama cantik, berdiri sama
tinggi dan sama-sama belajar sampai ke universiti. Memang kau orang berdua
lebih cocok dan lebih sesuai kalau bersama.” Beria-ia Izyan memuji.
“Banyaklah kau!” marah Zana. Muncung sudah panjang
sedepa biarpun hati berdebar mendengar kata-kata Izyan itu. Siapalah yang tidak
suka dipuji dan dikaitkan dengan lelaki hebat itu? Tapi Zana juga tahu yang
Zahin tak pernah pandang pada dia pun. Zahin hanya nampak Izyan seorang
sahaja.
“Aku seorang aje kat sini, Zana.” Izyan mengusik.
Mulanya Zana tak faham tapi lepas tu dia sudah
mengekek. Pandai pula Izyan kenakan dia balik. “Ya, memang ada seorang aje
kawan aku yang namanya Izyan dan aku rasa Encik Zahin dah jatuh hati pada Izyan
tu. Cuma Izyan tu kenalah bersabar sikit,” pesan Zana.
“Sabar? Untuk?”
“Untuk tunggu dia lamar kaulah!”
Izyan ketawa lepas. Geli
hati mendengar kata-kata Zana itu. “Weh, dah berapa lama aku kat sini?” Dia
bertanya.
Zana tunjuk tiga jari yang bersamaan dengan tiga
tahun.
“Jadi, kalau dia nak lamar aku dah lama dia buat, Zana.
Tapi, tengoklah! Aku still macam ni
lagi. Nampak?” kata Izyan.
Sebenarnya, dalam hati dia rasa bersalah pada Zana.
Tak tahulah kenapa dia asyik menafikan hubungannya dengan Zahin kepada gadis
itu malah kepada semua. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu sesiapa pun tahu yang
Zahin sudah berkali-kali melamarnya. Malah kalau boleh Izyan tak mahu sesiapa
tahu bahawa Zahin ada hati pada dia. Bagi Izyan, biarlah segalanya menjadi
rahsia dahulu. Belum masanya untuk dia bercerita.
“Alah, nanti-nanti adalah
tu Encik Zahin luahkan isi hati dia dan lamar kau,” ujar Zana sambil
menepuk-nepuk bahu Izyan.
“Tak ada pun tak apa, aku
tak kisahlah,” balas Izyan.
“Amboi, bunyi macam merajuk aje.”
“Merajuk? Aku? Tak ada masa nak merajuk bagai,” tegas Izyan.
“Tapi, kadang-kadang Yan, kau pun kena luahkan apa
yang kau rasa. Kalau kau ada hati pada dia, lebih baik kau aje yang cakap dulu.
Biar dia tahu. Senang. Mana tahu entah-entah dia tengah tunggu kau buka mulut?”
Zana memberi cadangan.
Izyan hilang kata. Kepala digeleng. Berterus terang
tentang perasaannya? Oh tidak! Tak akan diulangi kesilapan itu lagi.
“Kenapa kau tergeleng-geleng tu?” Zana kehairanan.
Pada ketika itu bunyi hon kedengaran. Bunyi yang menyebabkan
Izyan terkocoh-kocoh keluar. Kasut joging dicapai dan segera disarungkan. “Aku
pergi dulu.”
“Woit, kau tak jawab lagi soalan aku tadi.”
“Alah, pasal aku kena luahkan isi hati aku tu ke?”
Zana mengangguk.
“Aku tak akan buat yang tu. Tak akan lagi aku bagi
tahu lelaki perasaan aku pada dia. Never.”
Jawapan yang menyebabkan Zana terpinga-pinga.
Sebaik sahaja Izyan masuk
ke dalam kereta, suara keras Zahin menyapa. “Lambatnya awak ni. Tak puas-puas
lagi ke bersembang dengan Zana tu?”
Izyan sengih. “Memang tak
puas. Kita orang kan banyak benda nak dibualkan? Zana tu ada aje modalnya,
tahu.”
“Sampai
tak kisah saya tunggu lama?” Nada tak puas hati terlontar.
“Alah, tak sampai lima
minit dah bising,” balas Izyan sambil mencebik.
“Awak pun tahu yang saya
tak suka menunggu, Yan.” Zahin membentak. Sakit hati dengan jawapan acuh tak
acuh Izyan terhadapnya.
Izyan segera hadapkan muka
ke kanan. Lelaki yang sedang memandu itu dipandang garang. “Ada saya suruh awak
datang ambil saya? Ada saya suruh awak tunggu?” tanya dia.
Zahin mendengus. “Memanglah awak tak suruh tapi...”
Izyan segera memotong, “Bila saya nak pergi joging,
awak sibuk nak ikut. Bila saya cakap saya selalu pergi jalan kaki, awak cakap
nak ambil saya. Bila saya lambat awak mengomel. Lain kali, awak tak payah buat
semua ini. Saya rimas bila kena leter, tahu.”
Zahin terdiam. Dia hilang
kata kerana menyedari bahawa Izyan sentap dengan kemarahannya. Ah, menyesal
pula dia kerana membebel pada hal seperti kata Izyan tadi, bukan wanita itu
yang mengajak dia ikut sama berjoging. Bukan Izyan yang menyuruh tapi dia yang
mahu. Kalau boleh dia ingin sentiasa bersama Izyan. Ini saja cara untuk dia
dekat dengan wanita itu.
“Yan, saya minta maaf, ya. Saya tak ada niat nak marah
awak pun.” Zahin cuba memujuk.
“Huh, dah sakitkan hati orang, pandai pulak nak pujuk
ya?”
Zahin ketawa. “Tapi, awak dah tak marah lagi, kan?”
Izyan mengeluh namun kepala digeleng juga. Malas
hendak bertekak pagi-pagi begini.
Sebaik sahaja mereka sampai, Izyan terus sahaja
meninggalkan Zahin. Panggilan lelaki itu tidak langsung diendahkannya.
Sementara menunggu Zahin tiba ke tempat dia berdiri, Izyan melakukan aktiviti
memanaskan badan. Bagaimanapun, setelah hampir lima minit menunggu, kelibat
Zahin masih tak kelihatan. Malas menunggu, wanita muda itu mula mengatur
langkah berlari. Mula-mula perlahan kemudian menjadi semakin laju. Zahin?
Biarlah dia, hatinya berbisik.
No comments:
Post a Comment