Bab 5
Izyan teringin benar
hendak melayangkan penumbuk ke muka Raif. Biar terhakis senyuman yang sedang
terukir di bibir lelaki itu sekarang. Senyuman yang tidak langsung menunjukkan
rasa bersalah setelah membuka rahsia yang selama ini Izyan simpan kemas.
“Awak tak pernah cerita pada saya pun,” marah Zahin
sebaik sahaja dia menoleh memandang Izyan.
Izyan lontarkan keluhan. “Awak tak pernah tanya. Buat
apa saya nak cerita?” dalihnya.
“Siapa awak, asal usul awak, sejarah awak... semua tu
penting, Yan. Penting untuk saya tahu. Antara kita tak patut ada rahsia,” ujar
Zahin. Keras.
“Berapa lama dah kau orang berdua ni berkawan?”
Izyan dan Zahin saling memandang mendengar soalan itu.
Masing-masing kemudian mencari wajah Raif.
“Kenapa awak nak tahu?” tanya Izyan.
Raif tayang gigi. Tersengih mendengar suara panik bekas
isterinya. “Iz, aku tanya aje. Itu pun tak boleh?”
Zahin mencelah. “Kalau kau nak tahu sangat, biar aku
saja yang beritahu. Kami berdua ni berkawan sejak Izyan datang ke sini tiga
tahun dulu.”
Raif bulatkan matanya. Seolah-olah tak percaya dengan
kata-kata Zahin tadi. Macam menyindir pun ada juga ketika dia membalas, “Laa, ya ke? Tapi, takkan selama tiga
tahun ni Izyan tak pernah beritahu kau yang dia tu janda?”
Zahin rasa tercabar mendengar soalan itu. Sakit
hatinya terhadap Izyan masih lagi ada dan kini lelaki bernama Raif ini menaikkan
suhu kemarahannya. Wajah Izyan ditatap tajam.
“Tengoklah apa yang awak dah buat pada saya. Orang
gelakkan saya sebab saya tak tahu yang girlfriend
saya ni seorang janda. Sakit hati saya, awak tahu tak?” Zahin menjerkah.
Izyan sebak apabila dijerkah di situ. Mujurlah suasana
agak damai dan tak ramai orang di sekeliling mereka. Kalau tidak, di mana
hendak dia sorokkan muka?
Semua ini Raif punya pasal, hatinya membentak. Jadi,
kepada Raiflah dia harus lampiaskan kemarahannya. Bukan Zahin. Zahin juga
seperti dia, menjadi mangsa mulut ‘longkang’ Raif.
“Semua ni salah awak. Kalau awak nak kenalkan diri
awak, tak boleh ke awak sebut saja nama awak tu? Kenapa mesti kaitkan dengan
saya hah?” Raif diamuknya.
Raif ketawa. Sedikit pun dia tak terkesan dengan kemarahan
Izyan kepadanya.
“Soalnya sekarang Iz, dia ni tanya sama ada aku kenal
kau atau tidak. Aku jawablah yang benar.
Dah kau tu memang janda aku, takkan aku nak bohong pulak?” dalihnya.
Dalam marah, Izyan terpaksa juga mengakui kebenaran
kata-kata Raif. Apabila orang bertanya tentulah soalan itu perlu dijawab. Namun
mestikah terlalu berterus terang? Lagipun, apa tujuan Raif memberitahu siapa dia
sedangkan hubungan antara mereka sudah lama putus? Sungguh dia tidak faham
dengan perangai bekas suaminya itu.
“Bila kau orang berdua ni kahwin?” Zahin mencelah.
Perasaan ingin tahu sedang membuak-buak.
“Bulan Januari tiga tahun lepas.”
Zahin terus mencongak. “Yan, awak datang sini bulan
Jun. Masa tu awak dah janda?”
Merah muka Izyan menahan sebak dan rasa malu. Ya,
sampai sekarang, kalau soal pernikahan dan perceraiannya disebut, dia pasti
punya semua rasa itu. Maklumlah, tempoh perkahwinannya terlampau singkat. Baru
lima bulan dia sudah diceraikan Raif. Ada orang boleh mempertahan perkahwinan
mereka sehingga ke akhir hayat. Ada juga yang bertahun-tahun hidup bersama.
Tapi dia? Dia dinafikan hak sebagai seorang isteri ketika usia perkahwinannya
masih lagi mentah. Sungguh, dia malu mengenanginya.
“Apa masalah kau sebenarnya?” Raif bertanya. Wajah
Zahin ditatap dengan beribu rasa. Teringin sungguh hendak diberi buku lima ke
muka itu.
“Aku tak suka ditipu!” bentak Zahin.
“Siapa tipu kau?” tanya Raif.
“Izyanlah. Siapa lagi?”
“Tipu? Apa yang saya tipu awak, Zahin?” Izyan mula
panas telinga. Sakit hati dituduh menipu.
“Saya tak tahu apa-apa pun tentang awak. Bukan tipu ke
namanya tu?” bentak Zahin.
“Hmm, macam tu ya? Tapi pernah tak dia cakap yang dia
tu anak dara?” Ada tawa di hujung soalan. Tawa yang mati apabila dia melihat Izyan
sedang melayangkan tangan kanan ke arah pipinya. Laju tangan halus itu
ditangkap. “Ni apasal garang sesangat? Aku tanya aje pun. Takkan itu pun kau
nak marah?” soal Raif dengan dahi yang berkerut.
Izyan benar-benar naik angin dengan kedua-dua lelaki
ini. Dengan Zahin yang menganggap dirinya penipu dan dengan Raif yang seronok
mentertawakannya.
Kepada Zahin wajah dihalakan. “Saya tak sangka awak
sampai hati menuduh saya menipu, Zahin. Awak tahu tak? Saya datang sini sebab
tak ada siapa kenal saya kat tempat ni. Saya bawak diri saya sebab saya nak
lupakan kisah lama. Salah ke kalau saya nak rahsiakan siapa diri saya ni?” tanya
Izyan dengan suara melengking kuat.
Zahin terpana. Terkejut kerana inilah kali pertama dia
melihat Izyan marah-marah. Terus dia hilang kata. Malah dia tak berani hendak
membuka mulut pun.
“Dan awak!” Perhatian Izyan kini kepada Raif pula.
Wajah lelaki itu ditatap dengan penuh kebencian. “Dari dulu sampai sekarang
awak tak reti-reti nak jaga mulut awak tu, ya? Tak pernah tahu nak tapis apa
yang perlu atau tidak sebelum bercakap.”
Raif ketawa. “Kau dah kenal sangat dengan perangai
aku, Iz. Aku memang macam ni. Dari dulu lagi, kan?” balasnya.
“Apa awak buat kat sini?”
“Ambil angin.” Raif jawab dengan bersahaja.
“Ambil angin? Di sini? Nak buat lawak ke? Orang tak
datang makan angin kat tempat ni. Entah-entah awak datang sebab awak tahu saya ada
kat sini tak?” tanya Izyan.
“Aku dah lama tahu kau menetap di pekan ni, Iz. Umi
ada beritahu aku waktu dia balik dari Pulau Perhentian dulu. Dah setahun
rasanya. Jadi, kalau aku ke mari disebabkan kau, bukan sekarang masanya. Aku
patut datang tahun lepas lagi. Tak begitu?”
Kata-kata Raif yang menyengat. Masih tak berubah
nampaknya. Kalau dapat mengutuk, pasti digunakan sepenuhnya. Tak kasi can punya! Itulah Raif. Bekas suaminya
yang ego dan sombong. Dulu, kini dan mungkin selamanya perangai berlagak itu
tak akan menyisih.
“Yan, jom saya hantar awak balik.” Zahin mengajak.
“Saya tak ada mood
nak balik dengan awak, Zahin. Awak baliklah dulu.” Izyan berpaling. Dia ingin
balik tapi bukan dengan Zahin. Apa lagi dengan Raif. Tidak. Biar dia balik
sendiri. Fikirannya yang kusut harus ditenangkan.
“Izyan...”
“Stop!”
Raif mematikan langkah
apabila mendengar suara keras Izyan.
“Jangan ikut saya. Kata tadi, datang sini nak ambil
angin kan? So, jangan buat saya
perasan yang awak datang sini sebab nak jumpa saya. Step back!” jerkah wanita muda itu.
“Whoa! Garangnya!”
Izyan dah ketap gigi.
“Okey, pergilah balik. Aku tak ikut kau. Promise,” kata Raif sambil tergelak
halus.
Walaupun dia tidak menyangka yang Raif akan ikut cakap
dia, Izyan bersyukur kerana Raif menepati janji. Pun begitu dia tahu bahawa meskipun
Raif tidak mengekorinya namun sepasang mata itu tetap memandangnya seperti
seekor helang. Tajam dan menunggu masa yang sesuai untuk mengenakannya lagi.
“Harap-harap dia balik KL lepas ni. Tapi, boleh
percaya ke cakap dia? Dia datang sini tanpa sebab? Saja-saja? Hesy, macam ada yang tak kenalah. Raif
tak akan buang masa dia untuk perkara yang tak penting. Apa muslihat dia
agaknya?”
trimakasih infonya,,,
ReplyDeletesangat menarik,,,
mantap,,,