BAB 6
di rumah, Izyan berasa teramat lelah. Bukan setakat fizikal malah otaknya
juga. Hati pun! Disebabkan itulah selepas menyerahkan bungkusan nasi lemak
kepada Zana, dia terus masuk ke dalam bilik. Soalan-soalan Zana tidak dia
pedulikan langsung. Kalau Zana dilayan, lagi serabut otak dia. Jadi, Izyan
ambil keputusan untuk berkurung sambil bergolek di atas katil. Dan disebabkan
rasa marah yang masih ada membuak-buak dia abaikan sahaja panggilan daripada Zahin
yang bertubi-tubi masuk.
Dalam resah, dia mencari sebuah kotak berwarna ungu
yang disimpan kemas di bawah katil. Perlahan-lahan tutup kotak itu dibuka dan
sebuah album lama dikeluarkannya. Satu demi satu lembaran dibuka. Di setiap
lembaran itu terdapat gambar yang berjaya ditangkap oleh Mira. Gambar yang
diambil sewaktu majlis akad nikah berlangsung. Gambar dia dengan Raif.
Gambar lama itu bukan saja berjaya menitiskan air mata
yang sudah lama kering malah berjaya
membuka kembali sejarah lama yang selama ini tersimpan rapi.
“Kalau aku tak setuju hari itu, tentu kami tak kahwin.
Tentu semua ini tak terjadi,” desahnya dalam esakan.
Ya, kalaulah masa boleh diputar semula, pasti kisah
ini tidak akan tercatat dalam sejarah hidupnya...
Izyan mengerutkan dahi.
Hairan kerana Raif mematikan enjin kereta di tempat parkir Taman Tasik
Titiwangsa. Tadi, sewaktu Raif menelefonnya, lelaki itu memberitahu ada sesuatu
yang ingin dibincangkan. Tapi mengapa di sini? Kan lebih baik bercakap sambil
makan-makan? Hati mengomel.
Izyan keluar sebaik sahaja pintu dibuka. Baju dan
tudung dibetulkan agar dia tampil kemas. Sedar-sedar Raif sudah jauh
meninggalkannya. Berlari dia mengejar lelaki itu yang akhirnya memilih untuk
duduk di bangku taman.
Elok sahaja Izyan duduk sedikit berjarak daripada
Raif, laju mulut lelaki itu bertanya. "Kau suka aku?"
Terkejut dia mendengar soalan itu. Tak sangka yang
perasaan sucinya berjaya juga dikesan oleh tuan empunya diri. Namun, bagaimana
Raif boleh tahu? Rasanya, selama ini dia jenuh mencuba sehabis daya untuk
menyembunyikan perasaannya.
“Siapa bagi tahu awak?” tanya dia, polos.
Lelaki itu ketawa. “Benda macam tu bukannya boleh kau
sorok pun,” ujarnya.
Dahi Izyan sudah berkerut. “Mustahil, awak. Saya tak
pernah cakap yang saya suka awak kepada sesiapa pun.”
Raif ketawa besar. Mungkin dia seronok sangat bila
tahu yang Izyan sukakan dia, fikir Izyan.
“Awak gelakkan saya? Kenapa? Salah ke kalau saya suka
awak?”
Raif geleng. “Tak,” jawabnya tegas.
“Kalau macam tu, awak tak perlu risaulah. Ya, saya memang
suka awak tapi bukan saya suruh atau paksa awak supaya suka saya balik pun,”
ujar Izyan dalam nada sedikit lemah. Tertunduk malu kerana kini tiada rahsia
lagi di antara mereka. Raif sudah pun tahu apa yang dia rasa. Nampaknya selepas
ini dia tidak boleh lagi menerima pelawaan lelaki ini untuk ke mana-mana.
Seganlah!
“Sebab itulah aku nak tahu kenapa kau suka aku.” Raif
berkeras ingin tahu.
Izyan mengangkat bahu. Suka hati dialah walau apa pun
alasannya. Kenapa lelaki itu hendak tahu? Melampau betul!
“Saja,” jawabnya. Ambik kau!
Raif ketawa. Terhibur dengan jawapan itu. Namun dia
masih ingin dapatkan alasan sebenar. “Sebab aku handsome?”
Buntang mata Izyan memerhati lelaki yang sedang duduk
di sebelahnya ini. “Perasannya awak ni!”
Raif ketawa. “Kalau bukan itu, tentu sebab aku ni
kaya, kan?”
“Awak kaya ke?” sinis Izyan.
Buntang mata Raif. “Kau tak tahu ke?” balasnya.
Izyan geleng. “Kalau saya tahu, dah lama saya mintak
macam-macam.”
Raif mengekek. Jawapan Izyan terasa amat lucu pada
pendengarannya.
“Soalan-soalan macam tu dah outdated, tau tak? Dah
lapuk! Kenapa tak tanya soalan macam ni pada saya. Erm, Izyan, kau suka aku sebab aku alim ke? Kan bagus soalan tu?”
Izyan menyindir lagi.
“Wah, perli nampak?” balas Raif sambil tergelak-gelak.
“Mana ada perli? Saya usik awak aje tu,” balas Izyan.
“Tapi aku tetap juga nak tahu kenapa kau suka aku,” kata
Raif. Nampaknya selagi Izyan tak beritahu selagi itulah dia akan terus mengorek
rahsia hati gadis itu.
“Sebab awak layan saya dengan baik,” sahut Izyan
selepas mengambil masa yang agak lama untuk menjawab soalan itu.
“Baik yang macam mana?” Kali ini Raif sudah kembali
mengekek.
Izyan hairan melihat perangai pelik Raif. Apa yang
lucu? Orang puji dia baik, tapi dia gelak pula. “Layan baiklah. Bila kita
keluar sama-sama, awak tak pernah buat benda tak senonoh pada saya.”
Semakin kuat Raif ketawa kali ini.
“Kenapa gelak? Saya cakap yang betul, kan?”
Angguk. Wajah kembali serius. Pandangan tajam melekat
pada raut Izyan.
“Aku layan kau dengan baik sebab aku pun sukakan kau.
Takkan nak buat benda tak elok pada orang yang kita suka pulak,” ujar Raif seketika
kemudian.
Pengakuan yang menyebabkan Izyan berasa terharu.
Maklum jejaka tampan mengaku yang dia sukakan Izyan. Takkan tak seronok.
“Jom kita kahwin.”
Terkejut lagi Izyan. Sedikit ternganga mulutnya. Wajah
memang pamer simbol ‘Tak Percaya.’
Namun nampaknya riak wajah Raif sudah berubah. Tadi
nampak playful, sekarang nampak
serius sangat. Semakin serius tatkala pertanyaan ini meniti bibirnya. “Aku tak
buat lawak, Izyan. Aku ajak kau kahwin ni. Kau nak kahwin dengan aku atau tidak?”
Renungan tajamnya menikam anak mata gadis itu. Izyan
tak melompat kegirangan seperti yang dia harapkan. Izyan hanya pegun membalas
renungannya.
Setelah menyepi tanpa suara untuk beberapa ketika, Izyan
memberanikan diri untuk bertanya, “Kahwin? Kita kan baru aje kenal, awak?”
“Memang kita baru aje kenal. Tak sampai dua bulan pun.
Tapi aku suka kau dan kau suka aku. Jadi kalau dah suka sama suka, apa
masalahnya? Kita kahwin ajelah,” kata Raif.
Mudahnya lelaki membuat keputusan, fikir Izyan. Bukan
macam dia. Lamaran Raif menyebabkan hati cemas dan gelisah sahaja. “Tapi,
awak...”
“Aku nak halalkan yang haram di antara kita, Iz,”
pintas Raif.
Kata-kata Raif memudarkan senyuman yang menghias bibir
Izyan tadi.
“Saya tak faham,” katanya.
“Listen, kau pun tahu aku ni
bukan jenis kaki perempuan. Aku kenal kau dan kita berkawan. Tapi pada aku, aku
nak lebih daripada apa yang ada antara kita sekarang. Aku nak pegang kau, nak
sentuh, nak...”
“Apa awak ni. Malulah sikit!”
Raif ketawa. “Aku cuma berterus-terang saja, Iz.”
“Lelaki cuma fikirkan itu saja,” tuduh Izyan.
Semakin kuat Raif ketawa.
“Awak, orang kahwin kerana bersebab. Saya nak tahu
sebab tu. Sebab kenapa awak ajak saya kahwin.” Izyan bertegas.
“Kau ni pelik, Iz. Aku ajak kau kahwin kau mintak
alasan pulak. Alasan apa yang kau nak lagi? Alasan tadi tak cukup?”
Soalan Raif menyebabkan Izyan menggeleng. “Macam mana
dengan cinta?” tanya dia.
“Cinta?” Raif keliru.
“Takkan nak kahwin tanpa cinta kut?” Izyan dah
melenting. Geram dengan sikap tenang lelaki itu.
"Siapa cakap? Aku tahu kau cintakan aku. Sebab
itu aku ajak kau kahwin,” balas Raif.
Sekali lagi Izyan hilang kata. Pipinya rasa pijar
sekali lagi. Termalu sendiri. Malu kerana mudah benar bagi Raif untuk membaca
isi hatinya. Mudah menebak apa yang dia rasa. Sedangkan dia...
Dia langsung tak tahu apa yang ada dalam fikiran Raif.
Tak tahu apakah perasaan Raif terhadapnya. Jadi, dia perlu bertanya. Perlu tahu
apa yang Raif rasai saat ini. Atau apa yang merasuk Raif sehingga sanggup
mengajak dirinya kahwin.
"Awak tahu saya cintakan awak?”
Raif sengih. Mengangguk.
“Tapi macam mana dengan awak? Apa yang awak rasa?
Perasaan awak untuk saya?”
“Perasaan apa, Iz? Cinta?”
“Awak tak cintakan saya?” Hati dah mula sebak.
Raif diam tidak menjawab.
Diam itu bagai jarum yang ditusuk ke dalam hati Izyan.
“Raif, macam mana saya nak kahwin dengan lelaki yang
tak cintakan saya?” tanya dia. Nada suara nyata beralun dalam pilu.
Mata lelaki itu memandang Izyan dari atas ke bawah.
Senyum sengetnya tersungging. Bibir didekatkan ke telinga si gadis.
"Lelaki tak perlukan cinta untuk berkahwin, Iz.”
“Apa maksud awak?”
Raif sengih. “Cukuplah kau cintakan aku. Kalau kau
layan aku baik-baik, mana tahu satu hari nanti aku akan jatuh cinta pada kau
pulak. Buat masa ni aku hanya berminat dengan..."
“Apa?” Sedih saat mendengar pengakuan Raif. Tak
perlukan cinta? Habis apa mahunya?
“Aku nak kau."
Oh terjawab sudah. Namun mengapa hati bagai diracik
saat mendengar pengakuan itu?
“Kan aku dah cakap, aku nak halalkan perhubungan kita
ni. Nak sentuh kau, nak peluk kau, nak...”
“Sebab itu saja?”
“Come
on! Tu benda paling perlu dalam sebuah rumah
tangga tau.”
“Tapi...”
Raif cantas dengan cepat. “Dah, tak payah fikir
teruk-teruklah. Kita kahwin aje dulu. Dah kahwin nanti baru fikir pasal cinta.”
“Tapi...”
“Iz, aku janji aku tak akan sia-siakan kau.”
“Tapi, awak...”
“Tapi apa lagi? Bila kau jadi isteri aku, kau tu
tanggung jawab aku. Aku akan jadikan kau keutamaan aku. Percayalah.”
“Tapi saya takut...”
“Takut apa lagi ni?”
“Macam mana kalau saya tak mampu jadi isteri yang
baik?”
“Cuba dulu. Kalau kau tak cuba kau tak akan tahu sama
ada kau mampu atau tidak. Betul tak?”
Cuba dulu!
Tak mungkin dia melupakan kata-kata itu. Dia sudah
mencuba. Sedaya upayanya. Namun kalau dia seorang sahaja yang cuba
menggembirakan Raif sedangkan Raif tidak sedikit pun mahu mencuba bahagiakan
dirinya, akan harmonikah rumah tangga?
Sudah terbukti bahawa
jawapan kepada soalan itu ialah tidak!
Teringat betapa teruja dirinya
waktu dia sampai ke bilik yang disewa bersama-sama dengan Mira. Betapa tak
sabarnya dia hendak memberitahu gadis itu yang Raif sudah melamarnya. Namun...
Mira hanya diam,
membatukan diri. Keterujaannya tidak mendapat balasan. Keceriaannya tidak terbias.
Wajah kawan baiknya ini tetap kosong dan hambar.
Beberapa ketika kemudian
barulah Mira bersuara. “Kau dah fikir masak-masak ke, Yan?”
Izyan jongket kening. “Kenapa kau tanya macam tu pada
aku?”
“Kau nak aku cakap apa, Yan?”
Izyan terkedu.
“Kau nak aku tanya macam ini ya?” Mira sudah berdiri
di hadapannya. Dia tersenyum. “Dia lamar kau, Yan? Alolo, tentu kau bahagia sangat sekarang ini, kan?”
Nampak sangat yang Mira tidak mengongsi
kegembiraannya. Sinis Mira menyindirnya. Dan sikap Mira itu menyebabkan Izyan
berasa sedih sangat. Terlalu sedih.
Mungkin Mira nampak wajahnya yang sudah berubah. Sebab
itu Mira segera mencapai tangannya dan mengusap perlahan-lahan.
“Yan, dia bukan lelaki biasa-biasa. Dia dengan kau...”
“Macam langit dengan bumi? Macam enggang dengan pipit?
Alah, Mira... apa ada hal? Yang penting, dia ajak aku kahwin. Kan?” tukasnya.
“Soalnya sekarang, kenapa dia ajak kau kahwin. Dia
cintakan kau ke?”
Izyan geleng.
“Habis tu?”
“Dia kata, dia akan cuba jatuh cinta pada aku selepas
kami kahwin.” Izyan memberitahu.
“Boleh ke kau bahagia bila kau tahu yang dia tak
cintakan kau?”
“Mira, kau jugak yang cakap dulu. Kalau aku dapat
kahwin dengan lelaki hebat macam Raif tu, aku dapat tumpang senang dia. Ingat
lagi tak?” Izyan menyampuk.
“Memanglah aku ada cakap macam tu pada kau. Cuma, aku
takut kau tak dapat sesuaikan diri kau dengan dia. Dia tu sombong, Yan. Ego!
Perengus. Suka cakap lepas. Aku tak tahu macam mana kau boleh sabar dengan
dia.”
Izyan tersenyum. “Itulah hebatnya kuasa cinta, Mira.
Bila kita dah jatuh cinta pada seseorang, kita tak peduli apa pun yang dia
buat.”
“Itu yang aku tak suka dengar. Yan, kau boleh cintakan
dia tapi kau tak boleh buta dengan perangai lelaki yang kau cintakan sangat tu.
Kalau dia tengking kau, kalau dia marah tak tentu pasal, kau kena balas balik.
Tak boleh terima aje sumpah seranah dia.”
“Mana ada dia tengking aku? Bila dia marah selalunya
memang sebab aku yang salah. Kau janganlah lebih-lebih sangat nak kutuk dia.
Aku kenal dia, tau. Dia baik, Mira. Cuma sesekali aje angin dia naik.”
“Entahlah, aku tak tahu macam mana nak cakap dengan
kau lagi. Yan, aku risaukan kau. Kau tu lembut sangat. Takut dia pijak kepala
kau nanti.”
Izyan menggeleng.
“Takkanlah sampai macam tu.” Tangan Mira dicapai dan
digenggam kemas. Renungan dipanah ke dalam anak mata Mira. “Aku bahagia
sekarang ni. Tolong bahagia sama-sama dengan aku. Doakan kebahagiaan kami. Tu
tugas seorang kawan, Mira.”
Mira mengangguk. “Tentulah aku doakan kau. Janji yang
kau akan bahagia dengan dia, ya!”
Ternyata apa yang Mira
risaukan benar-benar terjadi. Dia tak mampu bertahan dalam perkahwinan mereka dan
akhirnya perpisahan terjadi.
Kerana dia terlalu sedih, Mira membawanya ke mari. Ke
tempat ini.
“Bila kau jauh dari Kuala Lumpur, insya-Allah kau akan
berjaya lupakan dia dengan cepat. Ingat cakap aku ni, Yan. Kau. Mesti. Lupakan.
Dia. Jangan sekali-kali kau rindukan dia lagi. Dia dah lepaskan kau jadi kau
juga mesti lepaskan dia daripada hati kau. Faham?”
Tiga tahun lamanya dia
mencuba. Melepaskan Raif pergi. Jauh-jauh dari hidupnya. Dia yakin dia sudah
pun berjaya melakukannya. Dan apakah lagi cara untuk melupakan kalau bukan
dengan menyembunyikan kisah lampau itu?
Kepada semua di sini, termasuk Zahin dan Zana, dia
adalah Izyan binti Abdullah, gadis yatim yang merantau dari KL ke Besut untuk
bertukar angin. Gadis yang berumur 23 tahun waktu itu. Peramah jugalah orangnya
namun tidak berpelajaran tinggi. Hanya sijil SPM saja yang tertinggi dicapai
olehnya waktu itu.
“Tapi manusia berubah Izyan. Kau pun!
Sekurang-kurangnya sekarang kau dah ada diploma dalam bidang perhotelan ni. Kau
bukan lagi Izyan yang dulu. Yang lemah, bodoh dan sering diketawakannya. Jadi,
kau tak boleh takut bila berdepan dengan dia lagi. Buktikan kau dah jadi Izyan
yang jauh lebih baik dari dulu. Kau bukan lagi perempuan yang lemah. Ingat tu, Izyan!”
No comments:
Post a Comment