Showing posts with label Dia... Mr Model - Wawa Taufik. Show all posts
Showing posts with label Dia... Mr Model - Wawa Taufik. Show all posts

Tuesday, 24 December 2013

Bab 9 - 10 : Dia... Mr Model


Bab 9

A good relationship is when someone accepts your past,
supports your present and encourages your future!

Hari ini merupakan hari kedua Mika berada di negara matahari terbit. Dia perlu menjalani penggambaran iklan di Jepun selama lima hari. Jadual waktu yang sangat padat sedikitpun tidak membataskan dia untuk memikirkan tentang gadis manis yang berada nun jauh 3304 kilometer dari jaraknya kini.
Hatinya benar-benar rindu akan Safa. Walaupun sehingga kini hubungan mereka tidak lebih dari seorang teman, namun dia langsung tidak kisah. Asalkan dia dapat berhubungan dengan gadis itu. Sudah memadai!
“Arghhhh!!! Gila angau sungguh aku ni! Gila malu kalau si Harry tahu. Sure golek-golek dia ketawakan aku!” Bentak Mika sendirian. Dia sudah naik angau!
Dia mencapai air mineral di atas meja yang berada di sisi kirinya. Diteguk beberapa kali bagi menghilangkan kering tekak. Dia tidak sabar untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk menemui Safa. Tidak sabar untuk menyerahkan cenderahati yang dibelinya pada hari pertama dia menjejakkan kakinya di Tokyo. Tidak pernah dia membeli apa jua cenderahati kepada orang lain selain keluarganya. Namun untuk gadis itu, dia tersangat teruja untuk memberi sesuatu sebagai tanda kenangan.
Hu hu pasti ada yang perasan nanti! Macam mana ni? Mati malu nanti!
Terbit sedikit sesalan kerana membeli teddy bear yang tingginya hampir dua kaki tertera ayat I Love Tokyo itu. Kenapalah dia tidak membeli sepasang kimono untuk Safa? Pasti manis gadis itu memakainya.
“Huh! Lain kali datang sini pasti aku akan beli kimono tu. Entah-entah datang dengan dia sekali. Siapa tahu kan?”

Nun jauh di Malaysia, si gadis manis dibelenggu kesedihan. Bukan disebabkan oleh ketiadaan Mika namun kerana diganggu tidak putus-putus oleh si bekas tunang yang tidak faham bahasa. Entah apa yang Adli tidak puas hati lagi dengannya. Bukan dia yang memutuskan pertunangan mereka tetapi lelaki itu sendiri yang menghantar keluarganya untuk berbuat demikian. Jadi, kenapa masih mengganggunya?
Safa masih teringat perihal yang berlaku siang tadi ketika dia hendak pulang ke rumah dari Hotel Platinum. Dia yang baru hendak membuka pintu keretanya direntap dari belakang oleh ‘seseorang’. Dia berasa tersentak dan badan mula menggigil. Akal mula memikirkan perkara yang tidak elok akan berlaku ke atasnya. Namun sebaik sahaja hidung mula menangkap bau haruman yang sudah lebih dua tahun sebati dengan dirinya, dada mula lapang.
Safa berpaling ke belakang. Ingin menyoal apa yang Adli inginkan lagi darinya. Namun belum sempat dia menuturkan sepatah katapun, lelaki itu terus menyerang.
“Kau ni memang tak tahu malu kan? Tak padan baru putus tunang dah menggatal,” tempelak Adli. Lantang suaranya menerjah gegendang telinga Safa.
Berkerut dahi Safa mendengar tuduhan tersebut. Dia tidak faham dengan apa yang berlaku.
“Apa awak ni? Tak malu apanya? Menggatal apanya? Saya buat apa?” soal Safa berani. Dia tidak perlu takut dan gentar kepada pemuda yang berada tepat di hadapannya itu. Dia tidak berbuat salah. Kenapa dia mesti cuak dan takut?
“Baru dua hari putus tunang kau dah ada jantan lain! Patutlah kau tak kisah bila aku nak putus tunang. Memang dasar perempuan gatal!” Tuduh Adli. Nada suaranya masih lagi di oktaf yang tinggi. Riak wajahnya tegang. Urat-urat di lehernya kelihatan. Dia benar-benar kelihatan sangat marah.
Tetapi kenapa mesti dia marah? Dia dengan Safa hanya tinggal kenangan. Mereka sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Malah dia sendiri yang memutuskan pertunangan mereka.
“Awak peduli apa kalau saya dah ada lelaki lain pun? Kita bukan ada apa-apa lagi dah. Awak yang nak sangat kita putus tunang. Kenapa bila saya dah ada someone awak nak marah? Awak tak ada hak!” Berani Safa menentang Adli.
Dia tidak mahu dirinya diperkotak-katikkan lagi. Cukuplah dia menjadi orang bodoh yang terlalu setia dengan seorang lelaki seperti Adli, yang langsung tidak menghargainya. Malah mencuranginya!
“Kau dah pandai menjawab sekarang ya? Kau ni… memang!” Tidak mampu Adli meneruskan ayatnya. Dia benar-benar sangat marah. Dia tidak tahu kenapa mesti dia marahkan gadis itu.
“Ya! Saya memang pandai menjawab dah sekarang. And thanks to you, Adli! Sebab awak saya jadi macam ni!” balas Safa.
Matanya tepat memandang bekas tunangnya itu.
“Kenapa? Awak ingat saya akan menjadi lemah dan menangisi perpisahan kita macam orang gila? Awak silap Adli. Sebab saya sedikitpun tak heran dengan apa yang terjadi. Saya sentiasa percaya Qada dan Qadar Allah SWT. Malah saya yakin Allah sudah menetapkan saya berjodoh dengan lelaki lain. Yang lebih baik, tampan malah lebih berharta dari awak. Walaupun saya tidak pandang itu semua tetapi siapa saya untuk menidakkan ketentuan Tuhan kan?”
Geram Safa. Segala macam diluahkannya. Walaupun segelintir daripada ayat yang dituturnya adalah tidak benar, namun dia tetap berasa puas. Puas melihat wajah Adli yang terkulat-kulat mendengar balasan daripadanya.
“Huh!!! Kau jaga, Saf! Aku tak akan lepaskan kau begitu saja. Kau tunggulah. Aku akan balas nanti!” Adli membalas kasar.
Dia terus berlalu dengan perasaan marah yang sangat maksimum. Langkahnya laju dan tidak teratur. Langsung tidak berpaling kepada Safa.
Safa menarik nafas lega. Lega kerana dia tidak perlu lagi berpura-pura kuat di hadapan Adli. Sejak dari tadi dia terpaksa menahan air mata dari jatuh mengalir ke pipi. Dia tidak mahu nampak lemah di mata bekas tunangnya yang telah berubah 360 darjah itu.
Dia benar-benar berasa buntu. Buntu dengan apa yang perlu dia lakukan. Adli sudah memberi amaran sebegitu. Sedikit sebanyak dia berasa gentar dan takut. Tambahan pula dia tiada saudara mara di ibu kota ini selain teman rapatnya, Shira dan teman-teman di pejabatnya. Dengan siapa dia dapat menumpang kekuatan dan perlindungan?
“Huh! Kenapa lah dengan Adli ni? Tak habis-habis lagi. Entah apa yang dia tak puas hati sangat?” omel Safa perlahan. Berkerut-kerut dahinya memikirkan hal itu. Dia langsung tidak memberi perhatian terhadap siaran televisyen yang terpasang.
“Saf! Yuhuuuu…” panggil Shira sedikit kuat sambil memetik jarinya. Berkali-kali dia memanggil Safa namun tidak langsung menyahut.
Shira yang baru sahaja pulang dari pejabat kerana ada sedikit masalah di bahagiannya siang tadi, terus melabuhkan punggungnya di sebelah Safa. Namun sejak dari tadi, gadis itu langsung tidak menyedari kehadirannya. Langsung tidak memandangnya. Mustahil kusyuk begitu sekali walaupun menonton iklan? Pelik! Sedangkan bibirnya terkumat-kamit bergerak.
Tersentak Safa mendengar seseorang memanggil namanya. Lebih terkejut lagi dengan keberadaan Shira di sebelah kanannya. Hampir terlompat dia dari sofa 2 dudukan itu. Terkejut dengan kehadiran BFF dia itu.
“Eh bila kau balik ni?” Soal Safa sambil mengurut-urut dadanya yang tersentak sebentar tadi. Matanya bulat memandang Shira yang tersengih-sengih di sebelahnya.
“Dah lama dah pun. Kau yang tak perasan,” balas Shira.
Tangannya menggapai remote control di atas meja kopi di hadapan mereka. Dia mula menukar-nukar siaran. Tiada apa yang menarik untuk ditonton malam ini. Terasa lambat benar untuk menunggu rancangan kegemaran dia dan Safa iaitu Vampire Diaries bermula. Masih ada lagi sejam tiga puluh minit.
“Eh aku tak perasan pun? Kenapa kau tak panggil aku? Kau tak bagi salam ya?” Safa menuduh. Hanya sekadar mengusik temannya itu. Jari telunjuknya tepat menunjuk ke arah Shira.
“Amboi mulut tu... tak sayang sungguh! Aku dah bagi salam lah. Siap baca ayat Qursi lagi masa nak masuk rumah tadi. Kau tu yang tak dengar. Kusyuk fikir apalah sangat? Tak sedar langsung aku balik!” Sedikit tinggi suara Shira membalas tuduhan Safa. Memuncung mulutnya menuturkan kata-kata itu.
Perasaan lucu terbit di hati Safa dengan melihat telatah Shira itu. Sedikit sebanyak dia dapat melupakan apa yang berlaku siang hari tadi.
“He he aku tahu lah. Tapi serius... aku memang tak sedar yang kau dah balik. Tiba-tiba je ada di sebelah aku. Mau nya aku tak terkejut?”
“Itulah kau. Nasib baik aku yang ada kat sini, kalau orang lain macam mana? Pencuri ke? Perompak ke? Haaa perogol ke? Macam mana?”
“Hish kau ni! Janganlah minta semua tu. Takut aku dengar. InshaaAllah okey,” balas Safa.
Namun tetap terbit juga rasa risau di hatinya. Risau sekiranya mereka-mereka yang berniat tidak baik ke atas dirinya dan Shira menceroboh masuk ke dalam rumah mereka. Mungkin Adli? Siapa tahu kan? Tambahan pula dia memang tahu di mana letaknya kediaman mereka berdua. Tidak mustahil dia datang nak balas dendam.
Errr… dendam? Dendam apanya dia tu? Bukannya aku ada buat apa-apapun kat dia. Dia yang tinggalkan aku! Komen Safa sendiri. Dahinya kembali berkerut apabila sebaris nama itu kembali menerjah ke kotak fikirannya.
“Yang kau ni kenapa? Berkerut-kerut dahi tu? Seronok sangat kot nak jadi tua sebelum waktunya?”
Hairan Shira dengan tingkah laku Safa itu. Sebentar tadi duduk termenung tanpa sedar kehadirannya, sekarang ni entah apa yang dia fikirkan sampai berkerut-kerut dahi itu?
“Hmm tak ada apalah!” Balas Safa ringkas.
“Tipuuuu… Aku tahu. Ada something yang kau sedang sorok dari aku ni. Baik kau bagitahu aku!” ugut Shira.
Dia masak benar dengan tingkah Safa. Gadis itu terlalu jujur hinggakan wajahnya tidak dapat menyembunyikan apa yang dia sedang fikirkan. Cumanya dia tidak tahu apa perkara itu. Tetapi dia yakin yang temannya itu sedang memikirkan sesuatu yang berat!
“Hmm Adli!” Hanya itu yang keluar dari bibir Safa.
“Kenapa lagi dengan si jantan tak guna tu?” nada suara Shira sedikit meninggi sebaik sahaja mendengar Safa menyebut sebaris nama itu.
Pemilik nama yang sudah merosakkan hidup Safa dan yang telah mengecewakan sahabat baiknya itu. Dia sehingga kini masih lagi tidak boleh menerima apa yang berlaku.
Walaupun Safa sudah kembali normal, namun tidak dirinya. Dia benar-benar bencikan Adli. Sudahlah memutuskan pertunangan mereka, dia boleh pula serang gadis itu di hotel tempoh hari. Sedangkan dia yang bawa betina lain ke situ. Terang-terang Adli yang curang. Tapi dituduhnya Safa macam-macam. Entah jantan jenis apa dia itu?
“Dia serang aku lagi,” Sayu Safa menjawab. Dia kelihatan sedikit terganggu apabila menuturkan ayat itu. Tangannya memintal hujung baju pijamanya yang berwarna ungu lembut itu.
“Ya Allah! Apa lagi lah dia tu? Dia nak apa lagi???”
“Dia ugut aku, Shira!”
What??? Dah gila ke apa Adli tu? Hish geram sungguh aku!”
“Hmm aku takut, Shira. Kalau dia buat apa-apa kat aku macam mana?” luah Safa. Dia memandang sayu ke arah sahabatnya itu.
Shira mencapai tangan Safa. Dia mengusap perlahan untuk memberi kekuatan kepada gadis manis itu.
“InshaaAllah tak ada apa-apa, Saf. Kau jangan fikir sangat. Nanti apa pun kau tak boleh settle kalau tak boleh nak concentrate.”
”Hmm entahlah Shira. Aku dah buntu sangat ni. Aku risau. Adli tu dah berubah sangat. Aku tak tahu kenapa? Dulu dia tak macam tu pun.”
“Eleh! dulu dia tu nak cover depan kita ja. Dia tak tunjuk taring dia yang sebenar lagi. Entah-entah lagi jahat dari Claus tu,” balas Shira sambil menyebut nama pontianak jahat dalam drama bersiri Vampire Diaries itu.
Tertawa Safa mendengar kata-kata Shira itu. Sempat lagi sahabatnya itu berjenaka.
“Macam ni lah, Saf. Aku nak bagi cadangan kat kau,” kata Shira.
Tawa Safa terus terhenti. Dia tak tahu pula yang sahabatnya itu sedang memikirkan jalan penyelesaian untuknya walaupun tiada kata-kata yang serius keluar dari mulutnya sejak dari tadi.
Tekun Safa mendengar cadangan Shira itu. Terlopong dia dengan apa yang disarankan. Terkebil-kebil matanya sambil mencerna apa yang perlu dia lakukan. Kepala cepat-cepat menggeleng. Mana mungkin dia berbuat demikian. Dia bukannya perempuan yang jenis suka mengambil kesempatan. Tambahan pula tak akanlah dia yang kena mencari dan mengusul? Tak pasal-pasal dia akan dicop ‘perigi cari timba’ pula nanti. Hish!
Tapi Safa akui apa yang Shira sarankan itu memang ada benarnya. Pasti Adli tidak akan mengganggunya lagi selepas dia menjadi kepunyaan orang lain. Namun yang menjadi persoalan dan masalahnya sekarang ini adalah siapa lelaki itu? Siapa yang sanggup nak jadi ‘suami loncatan’nya itu? Aduh!


Bab 10

I try not to miss you,
I try to let go,
But in the end,
You are always on my mind!

Mika menarik nafas lega sebaik sahaja kakinya menjejak kaki ke tanah air sendiri. Penerbangan MH82 yang berlepas jam 10.30 pagi dari Tokyo Narita Airport tiba di Kuala Lumpur International Airport jam 4.45 petang. Terasa lenguh-lenguh pinggang Mika kerana berada selama hampir 7 jam di dalam pesawat Malaysia Airlines itu. Dia berasa aman berada di negara sendiri berbanding perasaan serabut berada di Tokyo.
Tangan kirinya meraup rambut panjangnya ke belakang. Rambut itu telah dipotong sedikit layer di bahagian belakang. Sedikit permintaan oleh pihak agensi. Namun tidak timbul sebarang masalah kepada Mika. Tambahan pula dengan potongan rambut sebegitu membuatkannya kelihatan lebih menarik dan seksi! Ops! Itu bukan sengaja dia nak cakap ye? Itu kata Asami, iaitu model perempuan yang bergandingan dengannya di Tokyo.
Terbit senyuman di bibir Mika mengingati perbualannya dengan Asami. Cantik gadis itu. Kacukan Jepun-Amerika. Baik dan peramah. Tidak langsung mengambil kesempatan ke atas perhubungan kerja mereka.
Malah secara jujurnya gadis itu mengakui yang dia sudah berpunya. Kekasihnya adalah seorang jejaka biasa yang menjalankan perniagaan sendiri. Bukannya lelaki dari bidang yang sama dengan mereka. Sudah hampir 3 tahun mereka bersekedudukan.
Ya! Biasa bagi mereka di luar negara yang berbuat demikian. Tinggal bersama walaupun tanpa sebarang ikatan yang sah. Dia tidak mahu begitu. Dia mahukan perhubungan yang halal dan hanya akan menyentuh sesuatu yang sudah menjadi haknya sahaja.
Tiba-tiba fikirannya mula teringat akan Safa. Tiap kali perihal berumah tangga dan perhubungan sesama lelaki dan perempuan diperkatakan, pasti terlintas figura cantik itu. Dia tidak tahu kenapa? Seperti ada sesuatu yang ‘mengikat’nya dengan gadis itu.
Timbul kembali perasaan rindu yang amat sangat kepada Safa. Sudah hampir seminggu mereka tidak berjumpa. Menyesal pula dia tidak mendapatkan nombor telefon gadis itu. Kalau tidak, pasti dia sudah melekat dengan telefon 24 jam, berbual dan bermesej dengannya.
Mika mengerling ke sisi kirinya. Memandang teddy bear yang dikepitnya. Tidak sabar untuk memberi kepada Safa. Tidak sabar juga dia untuk melihat reaksi gadis manis itu. Entah apa perasaannya apabila menerima hadiah yang tidak seberapa itu. Dia mula penasaran.
Buat pertama kalinya di dalam hidup dia memberi hadiah kepada seseorang yang langsung tiada kena mengena dengannya sebelum ini. Dia tekad membeli hadiah itu kerana dia mahu Safa sentiasa mengingatinya. Tambahan pula dia sudah tahu rahsia terbesar gadis itu, lagi bertambah tekadnya dia. Si manis itu kini tidak berhubungan dengan mana-mana lelaki dengan serius.
Dia sudah putus tunang! Peluang untuk Mika terbuka luas. Dulu timbul jua perasaan risau dan tidak enak hendak merampas tunang orang namun kini isu itu dia tidak perlu lagi risau. Dia bebas mengorat dan mengayat gadis itu!
Mika menyewa sebuah limosin di KLIA. Dia perlu segera pulang ke The Troika. Jam sudah hampir 5.30 petang.


Safa baru sahaja selesai berbincang dengan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan. Pihak pengurusan telah membuat keputusan akan menempatkannya secara total di Hotel Platinum manakala di Hotel Silver akan ditempatkan pembantu akauntan yang lain. Tetapi akaun di kedua-duanya masih di bawah pengawasan dan tanggungjawabnya.
Safa tidak langsung merasa berat dengan keputusan itu. Malah dia berasa sangat gembira. Dia lebih mesra dan rapat dengan kakitangan di Hotel Platinum. Yasmin dan Farah sudah menjadi teman rapatnya. Walaupun dari pelbagai peringkat umur, namun itu tidak langsung membataskan pergaulan mereka.
Welcome, Safa Salena!” ucap Yasmin riang.
Dia juga berasa sangat gembira dengan keputusan itu. Tidak perlu lagi Safa asyik berulang-alik dari Hotel Platinum dan Hotel Silver. Tidak perlu lagi gadis itu tertekan menghadapi jalan yang sesak. Walaupun sekali sekala dia perlu juga ke sana, namun sekurang-kurangnya gadis itu tidak perlu berulang-alik setiap hari.
Kasihan Safa. Walaupun tidak mendengar sebarang rungutan dari gadis itu, namun Yasmin yang melihat sudah merasa cukup ‘penat’ dengan kerjanya. Itu belum lagi masuk bab akaun tak tepat. Mahu migrain gadis itu..
“Alah Kak Min ni. Saya memang ada kat sini dah pun. Apa pulak welcome welcome segala ni?” balas Safa lembut sambil bibir mengukir senyuman manis.
“Kak Min tahulah. Tapi kali ni Saf tak perlu lagi ulang-alik setiap hari. Boleh duduk terus kat bilik akauntan tu tiap-tiap hari, dan juga tiap-tiap hari boleh keluar makan dengan Kak Min dan Farah. Kalau tak… asyik Kak Min dengan Farah je. Boring betul!”
Tertawa mereka kedua-duanya. Ini kalau dengar dek Farah mahu merajuk seminggu. Perangai masih keanak-anakkan si Farah itu. Sedikitpun tidak matang walaupun bergaul dengan mereka-mereka yang lebih tua darinya.
Safa memohon diri untuk berlalu ke biliknya. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik itu, hidungnya mula menangkap bau haruman ‘lain’. Dia mula berasa hairan. Seperti ada seseorang yang telah masuk ke dalam biliknya itu. Sedikit perasaan cuak telah timbul. Cuak kerana bilik itu menempatkan pelbagai fail kewangan dan fail-fail yang sulit. Risau kalau ada yang ‘cepat tangan’.
Matanya mula meliar sekeliling biliknya. Tiada langsung sebarang selerakkan. Fail-fail masih berada di tempatnya. Mejanya masih kemas tanda tiada sesiapapun yang mengusik. Namun sebaik sahaja matanya mula menangkap satu figura ‘aneh’ yang berada di atas kerusinya, dia terus melangkahkan kaki ke arah itu. Semakin hampir dia mula mampu menterjemah apa yang sedang dilihatnya.
“Erk… Teddy bear? Siapa yang kasi ni?” Tangannya mula mengangkat teddy bear setinggi 2 kaki itu. Agak besar untuk dirinya yang tidak berapa besar itu. Di dada teddy bear itu tertera ayat ‘I Love Tokyo’.
Cantik! Tapi untuk dia ke? Siapa yang kasi?
Safa meletak kembali teddy bear itu di atas kerusinya. Dia mula risau. Takut menyentuh barang orang. Tetapi kenapa mesti letak di atas tempat duduknya? Siapa yang berani sangat masuk ke bilik akauntan? Bukankah bilik ini hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh masuk?
Safa mengatur langkah untuk keluar dari bilik itu. Dia perlu menanya kepada pembantunya siapa yang masuk ke dalam biliknya sepanjang ketiadaannya sebentar tadi.
“Ani!” Panggil Safa.
Ani merupakan salah seorang pembantu akauntan. Dia yang sedang tunduk menulis sesuatu ke dalam buku lejar terus mengangkat kepala memandang ke arah suara yang memanggil.
“Ya?” sahutnya.
“Tadi sepanjang saya tak ada, ada sesiapa yang masuk ke bilik saya ke?” soal Safa telus.
“Erkk… Tak tahu,” balas Ani tergagap. Sama ada dia merasa cuak kerana tidak perasan siapa yang telah masuk ke dalam bilik bosnya itu atau dia sedang menyembunyikan sesuatu?
“Hmm betul awak tak tahu?” soal Safa lagi untuk mendapatkan kepastian.
“Ya. Kenapa Saf?” soal Ani semula. Dia memandang Safa.
Sememangnya semua orang memanggil Safa dengan panggilan Saf. Baik pegawai atasan mahupun kakitangan bawahannya. Itu merupakan permintaannya sendiri. Dia tidak mahu menjarakkan perhubungan mereka. Dia mahu mereka berasa diri mereka juga penting dan bukannya sebagai pekerja bawahan sahaja.
Pada mulanya mereka di bawahnya sukar untuk berbuat demikian namun setelah berkali-kali diberi amaran olehnya, mereka terpaksa jua berbuat demikian. Malah dengan panggilan nama sebegitu membuatkan mereka menjadi lebih rapat dan mesra. Langsung tidak timbul sifat iri hati, beban atau perasaan yang tidak enak di kalangan mereka.
“Err… Nothing. Tak apalah. Saya masuk dulu,” balas Safa sedikit gagap.
Ani hanya tersenyum kepada ketuanya itu. Senyuman yang sukar ditafsir!
Safa masuk semula ke dalam biliknya. Dia berjalan tepat menuju ke kerusinya. Dia mencapai semula teddy bear berwarna putih itu. Dibelek berkali-kali. Tiba-tiba sekeping kertas berwarna kuning jatuh dari punggung teddy bear itu. Dia terus mencapainya. Terlopong matanya membaca ayat yang tertera.
+ Miss you! Call me after you’ve read this…
From : 0123456789
Menggigil tangan Safa menggenggam nota itu. Dia mula meneliti nombor telefon yang tertera. Bukan nombor telefon sesiapa yang dia kenal. Malah bukan juga nombor telefon Adli. Siapa yang berani cakap macam tu padanya?
Kepalanya penuh dengan pelbagai alasan dan isu. Dia buntu! Sebahagian akalnya mula menyuruhnya menghubungi nombor telefon itu. Namun sebahagian lagi menghalangnya dari berbuat demikian.
Safa melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Dia memeluk teddy bear yang gebu itu. Dia membelai bulu teddy bear itu tanpa dia sedari. Dia akui yang dia sukakan hadiah itu namun dia berasa risau dengan gerangan yang memberi. Entah siapa-siapa yang beri.
Safa mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam laci di sisinya. Jemarinya mula menekan nombor asing itu. Lambat sekali dia bertindak. Untuk menekan butang ‘hijau’ pun mengambil masa yang lama. Semuanya berlaku di bawah pengaruh luar sedarnya. Sebaik sahaja dia mendengar suara di ‘sana’ menyahut, cepat-cepat dia menekan butang merah. Gelisah dia mendengar suara garau yang menyahut. Bertambah takut dan gelisah.
Namun tidak sampai 15 saat, telefonnya berbunyi. Nombor asing itu tertera di skrin telefon bimbitnya. Teragak-agak Safa hendak menjawabnya. Butang hijau ditekannya. Telefon didekatkan di telinganya yang ditutupi dengan tudung bawal berwarna hijau gelap.
“Assalamualaikum,” sapa Safa perlahan.
Dia cuba memberanikan diri. Dia benar-benar ingin tahu gerangan yang menghantar teddy bear tersebut. Matanya sempat mengerling teddy bear yang berada di atas ribanya itu. Diusap perlahan perkataan yang tertera di hadapan badan teddy bear itu.
“Waalaikumsalam,” Garau suara di sana menjawab.
Safa terkejut mendengar suara itu. Rasa pernah didengarinya. Tapi siapa?
“Er… awak siapa?” tergagap-gagap Safa menyoal.
“Amboi cik adik cantik ni. Buat tak kenal kita boleh ye? Sampai hati sungguh!”
“Hish  janganlah main-main. Saya kenal awak ke?” soal Safa semakin berani.
“Wahai Cik Safa Salena yang cantik manis. Baru seminggu awak tak dengar suara saya awak dah lupakan saya? Saya, Mika lah!”
“Mika? Azka Mikael ke???”
“Amboi siap sebut nama penuh lagi. Kenapa tak sebut nama daddy saya sekali?” perli Mika. Dia tertawa lucu. Lucu mengenangkan yang gadis itu pasti sedang terkejut dengan apa yang berlaku.
“Mika! Awak janganlah main-main. Betul ke awak ni, Mika anak Tan Sri Ahmad Malik?” soal Safa lagi. Masih lagi tidak berpuas hati. Iyalah! tiba-tiba saja bagi dia hadiah, apa mimpi?
“Ya Allah! Betullah saya ni Mika. Awak ada kenal ramai Mika ke?”
Jejaka itu masih ketawa riang. Langsung tidak mengambil serius dengan apa yang sedang Safa persoalkan. Terasa lucu dengan telatah gadis itu. Sampai begitu sekali dia tidak percayakan Mika.
“Err… tak lah. Saya cuma terkejut je. Tiba-tiba je masuk bilik ada makhluk ni. Nasib baik saya tak jerit tadi,” balas Safa malu-malu.
Namun dia sudah berasa lega. Nasib baiklah dia mengenali orang yang memberi hadiah itu.
“ Err… tapi kenapa awak bagi saya teddy bear tu?” soal Safa kembali.
“Lah pulak! Kenapa? Tak boleh ke?”
“Hmm bukanlah. Tiba-tiba je…”
“Saya kan baru balik dari Tokyo semalam? Saya belilah buah tangan untuk awak sikit. Kenapa? Awak tak suka ke?”
“Eh tak lah. Saya suka!” Cepat-cepat Safa menjawab. Masakan dia tidak sukakan ‘makhluk’ itu? Makhluk secomel dan segebu itu.
“Haaa baguslah awak suka. Lega saya dengar,” Mika membalas sambil menarik nafas lega.
“Mika, awak beli untuk semua staf kat sini ke?”
Kedengaran kuat pemuda itu melepaskan tawa. Terpinga-pinga Safa mendengarnya.
“Awak ni lawak lah Saf. Tak kan lah saya nak beli untuk semua pulak? Mahu saya kena tempah satu kapal terbang untuk bawa balik hadiah tu semua. Saya beli untuk awak je,” balas Mika. Masih ada sisa tawanya.
“Untuk saya je? Untuk family awak?” masih lagi Safa menyoal. Dia menyandarkan badannya ke belakang. Cuba menenangkan diri dan mencari keselesaan.
“Saf… Apa kata awak turun sekarang ke Zarra Café? Saya dah lama tunggu awak ni kat sini. Nanti saya jawab semua soalan awak tu. Boleh?”
“Awak ada sini? Awak tunggu saya ke???” soal Safa terkejut. Terangkat sedikit tubuhnya dari kerusi.
“Safa Salena! Turun lah dulu. Nanti saya jawab semuanya. Penatlah asyik cakap dalam telefon je. Nanti lama-lama boleh kena kanser otak pula kita berdua. Turun sekarang ya?” suruh Mika.
Kalau dibiarkan mahunya Safa tidak henti-henti menyoalnya macam-macam. Dia dah lah rindukan gadis itu. Dia nak jumpa dan lihat gadis itu di depan mata bukannya hendak mendengar gadis itu berpenasaran macam-macam.
“Err… Give me five minutes. Boleh?”
“Okey!”
Kedua-duanya terus mematikan talian.
Kelam-kabut Safa mencapai dompetnya di dalam laci. Kaki terus melangkah keluar dari biliknya. Sempat dipesankan kepada Ani tentang ketidakberadaannya itu. Tersengih-sengih gadis itu memandangnya.


Bersambung di Novel... Dapat novel keluaran Jannuari 2014!

Bab 7 - 8 : Dia... Mr Model


Bab 7

Every man needs a woman when his life is a mess.
Because just like a game of chess, the Queen protects the king!

Mika terasa sesuatu yang kosong pada dirinya. Dia tidak tahu mengapa. Sedangkan dia telah mempunyai segala-gala yang diingininya di dunia ini. Dia berjaya mencipta nama dan kekayaan di usia semuda itu. Dia berjaya menjadi terkenal di seluruh Malaysia dan sentiasa mendapat tempat sehingga di luar negara.
Dia mempunyai kediaman yang mewah, kereta yang hebat serta wajah yang tampan. Semua itu kurniaan Allah SWT kepadanya. Namun hatinya mula memohon lebih. Agar kekosongan di hatinya terisi.
Dia mula yakin yang dia perlu memikirkan mengenai pasangan hidup. Sehingga kini, dia masih belum mempunyai walau seorang kekasih apatah lagi seorang wanita yang bergelar isteri. Dia bukan seorang yang cerewet. Cumanya semua yang hadir masih tidak memenuhi kriteria yang dia inginkan.
Namun, setelah bertemu dengan Safa hatinya mula berasa sesuatu. Sesuatu yang indah dan dirinya mula membayangkan apabila mereka bersama. Jauh fikirannya melayang memikirkan gadis manis itu. Siapalah yang bertuah memiliki gadis itu? Kenapalah dia tidak berjumpa dengan gadis itu lebih awal? Huh! Mika mengeluh berat.
Arghhh!!! Aku tak boleh duduk diam saja. Aku perlu bertindak! Tegas Mika.
Dia perlu melakukan sesuatu. Dia tidak boleh duduk diam dan melihat dari jauh sahaja. Dia perlu menyiasat siapa tunang Safa? Sejak bila mereka kenal dan bagaimana?
Sudah tambah satu lagi kerja Mika. Sekaligus sudah mengubah pendirian Mika yang langsung tidak ambil tahu hal orang lain sebelum itu. Tapi dia tidak peduli. Demi Safa Salena, dia sanggup lakukan apa sahaja. Biarlah daddy atau orang lain akan kata dia gila. He really doesn’t care!
Dari duduk termenung di balkoni kondo The Troika, Mika terus bangun. Langkah kakinya diaturnya menuju ke kamarnya. Kondo yang dihadiahi oleh ayahnya sejak 2010 sebaik sahaja The Troika dilancarkan cukup luas untuk dirinya yang tinggal seorang diri. Mewah segala-galanya. Tiada yang kurang di tempat tinggalnya itu. Kecuali seorang isteri!
Mika mencapai tuala dan terus menuju ke kamar mandi. Setelah 20 minit, dia keluar dengan wajah yang segar. Sambil mengelap badan dan rambut yang masih basah, langkahnya dipanjangkan ke bahagian closet yang menempatkan kesemua pakaian, kasut dan segala aksesorinya.
Setelah berpuas hati dengan apa yang dipilih, dia kembali di ruangan kamarnya. Sehelai kemeja lengan panjang bermotifkan jalur menegak berwarna hijau dan biru yang dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru gelap menjadi pilihan Mika untuk melaksanakan ‘tugas’ barunya itu.


“Hey! Lepaskan saya!” jerit Safa. Tidak senang dengan cengkaman pemuda itu di lengan kirinya. Dia sudahlah kecil molek jika nak dibandingkan dengan tubuh sasa lelaki itu. Hish!
“Awak ni saja nak intip saya ke??” soal lelaki itu garang.
Gadis yang bersama-sama dengan lelaki itu hanya memandang sinis ke arah Safa. Pasti dia sedang menyumpah seranah gadis itu.
“Hish tolonglah Adli. Intip apa pulak? Saya kan kerja sini! Tak ada masa nak intip awak lah!” balas Safa geram. Ingat dia saja seronok datang hotel ni ke? Dia kan bekerja di sini.
“Mengaku jelah. Awak tu kan kerja di Hotel Silver. Bila masa pulak kerja di sini?” soal Adli sinis. Genggaman di lengan Safa masih belum dilepasnya.
Kuat! Sehinggakan Safa berasa sangat sakit dan perit.
“Hotel Silver dan Platinum di bawah syarikat pengurusan yang sama. Saya incharge akaun di kedua-duanya. Hishhh...” keluh Safa. Geram!
Setelah merasakan yang sia-sia sahaja dia memberitahu hal itu, dia pantas menyambung. “Huh! Buang masa je saya terang dengan awak. Lagipun kita bukan ada apa-apa pun!”
Adli memandang geram Safa. Dia marah akan gadis yang pernah bertakhta di hatinya dulu. Disangkanya Safa sedang mengintipnya.
Ketika dia masuk ke dalam Hotel Platinum sebentar tadi bersama-sama dengan Julie, dia terpandang Safa yang sedang berbual mesra dengan dua orang lelaki dan seorang wanita lain di lobi. Gembira benar gadis itu dilihatnya. Langsung tidak berbekas rasa sedih setelah dia memutuskan pertunangan mereka.
Sememangnya dia sudah mempunyai kekasih hati yang baru iaitu Julie. Julie cantik, seksi, menggoda! Tidak seperti Safa yang tutup segala segi. Memang gadis itu cantik dan manis, namun bagi Adli itu sahaja tidak cukup. Dia mahukan seseorang yang boleh dibawa ke majlis keraian sama ada di hotel, kelab, disko atau mana-mana sahaja. Safa pasti kekok dan kolot untuk menghadapi semua itu.
“Huh! Menyusahkan betullah awak ni!” Marah Adli.
Tidak tahu kenapa dia marah benar dengan Safa. Bukannya gadis itu mengganggunya. Gadis itu langsung tidak memandangnya sebelum dia menarik lengannya sebentar tadi. Terpinga-pinga Safa diheret bekas tunangnya itu. Belum sempat berbuat apa-apa, dia terus dituduh bertubi-tubi.
“Err...” belum sempat Safa membalas, dirinya disapa oleh seseorang.
What is going on here?” soal suara ‘dia’.
Safa terus memandang ke arah datangnya suara itu. Terkejut dia dengan kehadiran anak tuan empunya hotel tersebut. Tegap berdiri berhampiran dengannya. Wajahnya sangat tenang. Haruman pemuda itu sangat mempesonakan Safa.
“And just who do you think you are?” Adli menyoal kasar. Tidak suka halnya dicampur oleh orang lain. Tambahan pula pemuda yang menegur itu bukan calang-calang gerangannya. Bukan sembarangan orang. Dengan sekali pandang sahaja, Adli tahu yang pemuda itu sangat berada. Lihatlah apa yang dipakainya. Bajunya, seluar, kasut dan jamnya. Huh!
Adli mula mengingati siapa lelaki yang tiba-tiba hadir mengganggu mereka itu. Nampak macam familiar tapi siapa?
Mika memandang ke arah Safa. Gadis itu kelihatan sayu. Ada nada sedih di riak wajah manis itu. Mika berasa keliru dan tertanya-tanya apa yang dihadapi gadis idamannya itu?
Belum sempat Mika membalas, pantas sahaja suara lain memintas.
Well... he’s my new man!” cepat Safa menjawab. Sengaja hendak mengelak dari gangguan Adli lagi. Dia geram dengan tindakan bekas tunangnya itu. Dan marah dengan apa yang lelaki itu telah lakukan kepada dia dan keluarganya.
Terkejut bukan palang Adli mendengarnya. Tidak sangka yang Safa sudah menemui pengganti dirinya. Secepat itu Safa boleh berhubungan dengan jejaka hmm... sekacak itu? Matanya cepat-cepat mengerling kepada Mika.
Membulat mata Mika mendengar statement Safa itu. Namun, tidak lama selepas itu dia terus mengukir senyuman manisnya. Dia suka dengan kenyataan itu. Rasa bahagia mula menular di dalam hatinya. Jiwanya terasa damai.
“Huh! Dasar perempuan tak sedar diri. Kerjanya menggatal saja. Huh! Tak padan dengan baru putus tunang, cepat sungguh dapat pengganti. Tak guna!”
Sebaik sahaja menuturkan kata-kata hinaan dan tuduhan itu, Adli terus bergegas pergi.
Julie yang hanya menonton ‘drama’ itu sejak dari tadi terpinga-pinga ditinggalkan sendirian. Terkedek-kedek dia berlari mengejar Adli. Sukar baginya yang sedang mengenakan kasut tumit tinggi yang tumitnya hampir empat inci. Seksa melangkah!
“Saf...” lembut Mika memanggil namanya.
Please... don’t say a word; just don’t say anything, encik,” cepat Safa menyampuk.
Dia malu dengan Mika. Dia malu dengan perbuatan Adli dan malu dengan apa yang telah keluar dari mulutnya sebentar tadi. Itulah. Terlajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya!
“Okey! Okey! Tapi...” Mika membiarkan kata-katanya itu tergantung di situ. Dia ingin menarik perhatian Safa yang hanya menunduk sahaja sejak dari tadi.
Safa memandang Mika. Ingin tahu apa yang ingin dituturkan oleh anak majikannya itu. Namun dia tidak betah untuk memandangnya lama kerana mata itu sangat menggoda! Bundar dan sangat seksi. Dia menjadi malu sendiri!
You owe me one,” suara garau itu menyambung. Cukup dengan sekejap sahaja Safa memandangnya. Cukup untuk menampung rasa rindunya kepada gadis itu.
Owe you? Err... kena bayar? Macam mana?” Kalut Safa menyoal.
Kenapa pula dia kena bayar? Dia ada hutang apa-apa ke dengan Mika? Pening Safa. Tadi pening melayan Adli, sekarang dengan Mika pula. Malang sungguh nasibnya hari ini.
Lunch with me!
Terkebil-kebil Safa mendengar permintaan Mika.
“Anggap je awak makan dengan ‘your man’,” sedikit perli pada ayat Mika itu. Dia menekan sedikit perkataan ‘your man’ itu.
Wajah Safa mula berubah kemerahan. Malu dia mendengarnya. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh mengeluarkan pernyataan seperti itu. Hu hu malu!
Mika masih memberi sepenuh perhatian kepada gadis itu. Manis sungguh dia melihat wajah Safa yang sedang malu. Pipi sudah berubah warna. Gadis itu tidak perlu memakai sebarang pewarna pipi kerana dia punya ‘pewarna’ yang asli.
Sesekali mata Safa memandang di persekitaran. Agak ramai orang di lobi hotel. Sebentar tadi dia yang sedang berbual dengan Dayang, Hanif dan Rashid tiba-tiba terkejut dengan tindakan Adli itu. Dia tidak tahu kenapa. Dari hujung matanya dia dapat melihat yang ketiga-tiga rakannya tadi sedang hairan memandang insiden tersebut.
Rata-rata mereka yang mengenali Safa pasti mengetahui yang dia telah bertunang. Oleh itu, pasti mereka hairan melihat ‘tunang’nya berkelakuan sedemikian. Tambahan pula di sisi Adli terkepit seorang wanita lain yang seratus peratus berbeza dengannya.
“Senyap je? Tapi kan... orang tua-tua cakap, diam tandanya setuju. So, saya akan assume awak setuju to be my lunch date,” Mika membuat keputusan. Dia malas hendak menunggu Safa menjawab. Gadis itu kelihatan terpinga-pinga dan keliru. Mika tidak tahu apa yang sedang difikirkannya.
Dia tersengih memandang Safa. Peluangnya untuk keluar dengan gadis itu sedang terbuka luas.
“Er... Tapi... Saya tengah kerja ni,” Safa mencari alasan.
Mustahil untuknya keluar dengan Mika. Apa pula kata orang lain nanti? Tan Sri, orang ramai, peminat dia? Hmm… atau kekasihnya? Mati! Jangan cuba cari nahas, Saf! Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Mukanya dirasakan sudah tebal 14 inci. Malu dengan apa yang Adli lakukan ke atasnya. Sedangkan lelaki itu tiada hak untuk berbuat demikian kepadanya. Sudahlah bekas tunang je pun. Bukannya tunang, kekasih atau pun suami pun. Gila!
“Awak cakap dengan siapa ni, Saf?” Mika menyoal.
Wajahnya dibawa hampir kepada gadis itu. Sengaja untuk mengusik Safa. Dia suka melihat wajah cantik itu blushing.
“Saya izinkan awak keluar,” tambah Mika mengusik lagi. Bibir masih mengukir senyuman manis.
“Err…” Kelu Safa untuk menjawab. Dia tahu siapa Mika. Dia sudah tahu status pemuda itu. Namun, hatinya tetap berasa gusar.
Let’s!” Ajak Mika. Sedikit paksaan sebenarnya. Geram dengan Safa yang tidak henti-henti mencari alasan untuk tidak keluar dengannya. Entah apa yang susah sangat untuk gadis itu menerima ajakannya?
Mika memberi laluan kepada Safa. Walau macam mana sekalipun, gadis itu akan tetap menemaninya makan. Rancangannya untuk mengorek rahsia daripada Yasmin sudah lenyap begitu sahaja. Malah apa yang dia perolehi sekarang ini sangat di luar jangkaannya. Tidak sangka! Dia benar-benar ingin tahu apa yang terjadi di antara gadis itu dengan mamat yang memang ketara nampak curang itu.
Hendak tak hendak, terpaksa juga Safa mengikut Mika. Dia tiada alasan lagi untuk menolak. Pemuda itu sangat tegas walaupun tutur katanya perlahan dan sekali sekala sangat romantis kedengarannya.
Dia tidak boleh berkata ‘tidak’ untuk ajakan Mika. Lagi pula dia sudah terhutang budi dengan Mika. Walaupun pemuda itu tidak berkata apa-apa, cukuplah dengan kehadirannya mampu membuatkan Adli ternganga!
Hah padan muka! Jangan anggap perempuan sepertinya tidak mampu mendapat lelaki setampan Mika. Dia sempat mencebik di dalam hati.
Safa hanya berjalan perlahan. Langkahnya langsung tidak teratur cantik. Dia tidak tahu hendak menuju ke mana sebenarnya.
“Saf!”
Langkah Safa terhenti. Kedengaran Mika memanggilnya dari arah belakang. Dia berpaling dan menunggu pemuda itu bersuara.
“Kita makan di luar okey? Saya dah bosan dah makan di sini. Nanti diorang cakap saya asyik nak makan free je,” Mika ketawa di hujung ayat itu. Terasa lucu dengan kata-katanya sendiri.
Safa hanya tersenyum kekok. Dia tidak biasa dengan Mika. Dia tidak kenal sepenuhnya pemuda itu. Dia risau akan ada yang menyerangnya apabila ternampak mereka berdua nanti. Niaya!


Bab 8



The best relationship usually begins unexpectedly!

Ya! Tiada siapa sangka yang dia kini sedang berada di dalam kereta bersama-sama dengan seorang pemuda yang tidak pernah dia bayangkan. Pemuda yang langsung tidak diketahui budi dan sikapnya walaupun luarannya sempurna seindahnya.
Suasana sangat romantis di dalam kereta Audi R8 berwarna putih itu. Diindahkan lagi dengan love songs, Mika berada di dalam mood yang sangat baik. Walaupun Safa hanya bercakap bila ditanya, namun dia tidak peduli itu semua. Ini baru permulaannya!
“Saf…” lembut suara Mika memanggil nama gadis itu.
Bergetar hebat jantung Safa mendengar namanya dipanggil sebegitu. Dia sebenarnya tidak faham dengan Mika. Dia tidak tahu apa maksud sebenar Mika bersamanya kini.
“Awak suka lagu yang macam mana ya?” soal Mika. Dia cuba berborak dengan Safa yang hanya diam membisu sejak dari tadi. Tidak langsung memulakan perbualan.
“Hmm?” Keliru Safa mendengar soalan yang Mika tanya sebentar tadi.
What kind of music or song you like the most?” Mika mengulang kembali soalannya sebentar tadi.
Matanya mengerling sekilas ke arah Safa. Kelihatan di hujung matanya tangan gadis itu bermain-main sesama sendiri. Dia tahu gadis itu pasti gementar dan keliru dengan apa yang sedang berlaku kini. Namun dia tidak akan berputus asa. Dia akan berusaha sedaya mungkin. Tidak dapat lebih, cukuplah kiranya Safa sudi bersahabat dengannya.
Dia tidak mahu memaksa dan Safa akan berasa terpaksa serta beban bila bersamanya. Apa yang berlaku perlukan keikhlasan dan ketulusan. Sebarang perhubungan palsu yang terjalin pasti tidak akan kekal lama.
“Saya suka lagu yang ada maksud,” Safa sudah berasa selesa. Mika tidak menyoalnya yang bukan-bukan. Hanya berbual kosong sahaja. Syukurlah!
“Lagu yang ada maksud? Macam mana tu? Tapi bukan ke semua lagu ada maksudnya?”
Safa melepaskan ketawa kecil. Cukup sopan kedengaran di telinga Mika.
“Maksud saya apa jua lagu pun tak apa. Asalkan lagu yang disampaikan ada maksud yang best dan ada jalan ceritanya.”
“Hish saya lagi tak faham,” berkerut dahi Mika mendengar kata-kata Safa.
Suasana menjadi semakin baik dan mesra. Ini satu permulaan yang baik! Akui Mika di dalam hati.
“Macam ni…” lanjut Safa bersuara. “Saya bagi contoh lah ya?”
Safa memandang ke arah Mika. Pemuda itu menganggukkan kepalanya tanda bersetuju.
“Macam lagu Justin Bieber tajuk As Long As You Love Me. Maksudnya best.  Khas untuk mereka yang bercinta tanpa hiraukan halangan yang bakal menimpa. Walau apapun yang terjadi, mereka akan tetap bersama. Tapi, ini saya bagi contoh jelah ye? Awak jangan ketawakan saya pulak sebab suka Justin Bieber tu,” Safa tertawa riang. Lucu dengan pendapat yang diberi.
Senang hati Mika mendengar suara itu riang. Dia juga tertawa dengan ayat yang ditutur Safa sebentar tadi. Dia tahu lagu itu dan dia akui liriknya memang bagus. Dia bersetuju dengan pendapat sebegitu. Rupanya gadis itu sukakan ‘sesuatu’ yang membawa erti serta ‘sesuatu’ yang bercerita dan bukannya hanya sebuah nyanyian biasa sahaja.
As song as you love me
We could be starving,
We could be homeless,
We could be broke.
As long as you love me
I’ll be your platinum,
I’ll be your silver,
I’ll be your gold.
Mika menyanyi ringkas lagu tersebut. Dia tahu lagu itu kerana ianya sering menjadi bunyi latar ketika ada runway show. Matanya mengerling manja kepada Safa. Seperti cuba menyampaikan maksud tertentu kepada gadis itu. Bibirnya tidak henti mengukir senyuman manis.
Tersipu-sipu Safa mendengar Mika menyanyi. Sedap suara pemuda itu. Sedikit ‘jantan’ jika dibandingkan dengan suara penyanyi asal yang memang sah masih muda remaja itu. Tetapi dia lebih suka nyanyian versi Mika ini. Terasa lebih mendalam dan kena dengan dirinya. Sempat Safa memberi komen diam-diam.
“Tapi kan, Saf… saya lagi suka lagu As Long As You Love Me versi Backstreet Boys.”
“Owh saya tahu! Memang saya selalu dengar pun. Best!” teruja Safa apabila Mika menyebut salah satu lagu dan band kegemarannya ketika remaja dulu.
Teringat olehnya ketika band tersebut cukup digilai rakan-rakannya ketika di bangku sekolah hampir lima belas tahun yang dulu. Ketika dia di tingkatan satu, di saat dia baru sahaja menginjak ke sekolah menengah dari sekolah rendah. Dia agak mengalami kejutan budaya pada ketika itu! Tidak secara negatif totalnya. Hanya mengalami perubahan dari segi minat, suka, gila dan fanatik pada artis-artis antarabangsa.
Dia salah seorang yang terpilih dari beribu orang pelajar untuk memasuki salah sebuah sekolah berprestij tinggi di Malaysia yang terletak di negeri Kedah Darulaman. Dia sangat bersyukur kerana jarak sekolah dengan rumahnya tidak jauh, dia masih boleh berulang alik setiap hari dengan menaiki bas sekolah yang dibayar setiap bulan.
Sekolah tersebut menempatkan hampir majoriti anak-anak kenamaan dan mereka yang berpengaruh dan selebihnya hanyalah anak-anak kebanyakan seperti dirinya. Tetapi tiada langsung diskriminasi atau perbezaan taraf berlaku di situ.
Dia suka bersekolah di situ. Di situlah dia mula mengenali majalah-majalah antarabangsa seperti Smash Hits, Galaxy dan sebagainya. Majalah-majalah yang memaparkan cerita-cerita artis luar negara.
Maaf sangat kerana ketika itu artis-artis dalam negara sangat minimal diminati. Bukan kerana tiada yang bagus, cuma mungkin pengaruh rakan-rakan sebaya yang loaded yang seringkali ‘merasuk’ minda rakan-rakan yang lain dengan kehebatan dan ketampanan artis-artis luar dengan memperkenalkan majalah-majalah yang diimport dari luar negara. Malah dia juga tidak berkecuali. Hampir penuh buku-buku ditampal dan dibalut dengan poster-poster artis luar. Dan yang popular ketika itu adalah kumpulan Backstreet Boys, Nsync dan Spice Girls.
Tersenyum Safa apabila teringat dengan cerita lama tersebut. Lucu dengan sikap dan kelakuan dia dan rakan-rakan yang fanatik sungguh dengan orang-orang handsome.
“Yuhuuu… Awak dah sampai mana Safa? Tersenyum-senyum seorang diri ni.”
Lamunan Safa tersentak. Terkejut dia mendengar suara Mika. Dia termalu sendiri apabila ‘ditangkap’ oleh pemuda itu ketika dia senang enak mengelamun. Terus hilang muka Nick Carter, Kevin Richardson, Howie D, AJ dan Brian.
Sorry! Sorry! Lost sekejap!” mohon Safa sambil wajahnya sudah bertukar kemerahan. Malu dengan apa yang berlaku.
“Eh kenapa awak berhenti? Dah sampai ke?” kelam kabut Safa menyoal setelah mendapati kereta mewah Mika tidak bergerak.
Dia yang sibuk melayani perasaan sebentar tadi langsung tidak sedar apa yang berlaku. Itu kalau berlaku apa-apa yang buruk ke atas dirinya, entah apalah nasibnya?
“Wahai cik adik cantik, kita dah pun sampai ni,” jawab Mika sambil tertawa kecil. Lucu dengan sikap gelabah Safa. Sikap yang tidak menentu. Sekejap termenung, sekejap pula tersenyum-senyum, kemudiannya gelabah. Sesungguhnya dia tidak akan berasa bosan berada dengan gadis itu.
Safa memandang ke luar. Di sebelah kirinya tersergam indah restoran Arab. Baru dia mengerti kenapa Mika berhenti.
“Owh…” hanya itu yang mampu dibalasnya.


Who’s that guy, Saf?”
Selepas selesai mereka menghabiskan makanan, Mika terus menyoal. Dia tidak betah duduk dan buat tidak tahu sahaja dengan apa yang berlaku di Hotel Platinum tadi.
Safa tersentak. Dia tidak menyangka yang Mika masih akan menanya soalan itu. Disangkakan yang pemuda itu tidak akan menyoal apa-apa setelah perbualan mereka sebelum itu tidak langsung ke arah itu.
Is he your fiancé?” teka Mika.
Dia perasan yang ada ‘sesuatu’ di antara Safa dan lelaki tadi. Ada timbul sedikit perasaan cemburu di hatinya. Dari jauh dia melihat insiden tersebut dan dapat melihat dengan jelas bagaimana reaksi gadis itu. Si lelaki erat mencengkam lengan si gadis dengan wajah yang merah marah. Malah si gadis pula terkial-kial cuba melepaskan diri menandakan yang dirinya tidak senang diperlakukan begitu.
Safa hanya tunduk menekur. Dia tahu, sekiranya isu siapa Adli terbongkar, pasti cerita lain juga akan timbul. Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapi perkara tersebut. Selain keluarga dan Shira yang tahu tentang perhubungan yang putus antara dia dan Adli, dia tidak betah orang ‘luar’ tahu cerita peribadinya. Namun dengan berhadapan dengan Mika sekarang ini, dia tahu yang dia tidak boleh lari.
“Betul ke? Dia tunang awak kan Safa?” Asak Mika lagi. Dia tidak sabar untuk mengetahui hal yang sebenar. Dirasakan yang dia antara yang telah terlibat dengan perkara itu, oleh itu dia berhak untuk tahu.
“Hmm… My ex,” perlahan jawapan yang diberi Safa. Sedih terasa apabila menyebut tentang ‘ex’ itu. Setelah sekian lama menyulam kasih dan berjanji setia, begitu rupanya pengakhiran cerita cinta mereka.
Terkejut Mika mendengar jawapan Safa. Dalam hati dia mengucap panjang. Dia tidak menyangkakan penjelasan seperti itu. Kerana baru sahaja semalam dia disogok dengan kisah percintaan dan status Safa yang sudah bertunang. Namun hari ini, perkara itu pula yang dia dengar dari bibir mulus itu.
“Errk kenapa?” Hanya itu yang keluar dari mulut Mika.
Kedua-dua tangannya disilang ke dada sambil badannya enak menyandar di kerusi. Safa yang berhadapan dengannya dipandang dalam-dalam. Dia benar-benar tidak sangka.
“Hmm tak ada jodoh!” Sangat simple jawapan yang Safa beri. Sangat ‘selamat’!
“Tak ada jodoh? Pasti ada sebab.”
“Kalau Allah dah letak bukan jodoh saya dengan dia, siapa saya nak halang kan?”
Berkerut dahi Mika mendengar mainan ayat yang diatur Safa. Sesekali jari telunjuknya menggaru-garu hujung keningnya.
Guy tu curang?” Telah Mika. Dia mencuba nasib untuk mencungkil rahsia sebenar.
Safa hanya menggeleng.
“Saya tak tahu.”
“Tapi tadi tu, your ex tu dengan awek lain kan?”
Teringat Mika dengan wanita yang berada di sisi tunang Safa. Opsss! Ex-tunang okey?!
Wanita yang sangat seksi di mata jantan-jantan di luar sana namun tidak untuk Mika. Dia sudah naik jemu dihidangkan wanita-wanita sebegitu. Dia sudah immune dengan semua itu. Dia tidak perlukan gadis atau wanita seperti itu untuk dijadikan kekasih dan seterusnya sudah pasti akan dijadikan teman hidup yang sah. Dia suka yang tertutup, yang ayu-ayu sopan. Itu lebih mencabar!
I don’t know, Mika. Please… saya tak nak fikir lagi pasal dia. It really hurts me…” Mendayu-dayu suara Safa memohon pengertian daripada Mika.
Matanya tidak langsung memandang pemuda tampan itu. Dia malu! Dia malu kerana pemuda itu sudah tahu yang dia sudah putus tunang. Pasti Mika beranggapan yang bukan-bukan ke atas dirinya. Malah pasti juga orang lain akan membuat kesimpulan yang macam-macam.
“Huh! Geram sungguh dengan mamat tu tadi. Ada ke dia tuduh awak bukan-bukan. Dia yang gatal. Curang! Memang boleh nampak sangat lah!” bentak Mika. Dia sememangnya tidak berpuas hati dengan tuduhan bekas tunang Safa itu.
Ada ke patut dituduhnya Safa perempuan gatal dan tidak tahu malu? Dia yang berperangai seperti itu. Menyerang seorang gadis yang lemah seorang diri. Mengasari tubuh gadis manis itu. Sangat tidak gentleman bagi Mika. Bukan begitu caranya nak handle perempuan. Belajar dulu cara bagaimana nak treat perempuan. Bodoh!
“Biarlah awak. Biar je dia nak cakap apa pun. Saya dah malas nak fikir.”
Tajam pandangan mata Mika merenung Safa. Dia kasihankan gadis itu yang diperlakukan sesuka hati. Kalau dia lah yang berpeluang menjadi pasangannya, akan dibelai dan dilayaninya sebaik mungkin. Mana mungkin gadis semanis itu dikasari dan diberi layanan yang teruk.
“Bodoh mamat tu!”
Terkejut Safa mendengar ‘tuduhan’ Mika. Tidak menyangka yang pemuda itu marah benar. Sedangkan dia bukannya siapa-siapa pun dengan pemuda itu.
Terdetik di hatinya, bertuahlah kekasih Mika. Mempunyai seorang kekasih yang serba serbi cukup sempurna. Tidak seperti dirinya. Dibuang seperti sampah apabila sudah tidak diinginkan.
Please, Mika. Kita stop ya cerita pasal ni? Saya tak nak fikir lagi,” Pohon Safa. Dia tidak mahu melanjutkan sesi perbincangan itu. Cukup-cukuplah apa yang dia lalui di dalam minggu ini. Dia dah penat sangat!
“Okey! Okey! Sorry, dear. But promise me… awak akan jadi kawan saya?” Pinta Mika sambil matanya tepat memandang Safa yang sememangnya kelihatan tidak selesa.
Sayu pandangan mata cantik itu.
“Jadi kawan saya dan kalau ada apa-apa masalah… do tell me. Boleh?”
Safa tidak menyangka permintaan seperti itu akan keluar dari mulut Mika. Tidak pernah terfikir olehnya untuk bersahabat dengan orang popular dan hebat seperti Mika.
Walaupun dia sememangnya tidak memilih teman, namun kriteria teman seperti Mika tidak penah terlintas di benak fikirannya. Teman-temannya hanya terdiri dari orang-orang biasa, walaupun ada yang tampan, cantik dan kaya, namun tidak seperti Mika.
“Err… awak nak jadi kawan saya?” Tanya Safa tidak pasti.
Yes! Kenapa? Tak layak?”
“Eh! Bukan! Bukan macam tu. Hmm… saya yang sebenarnya tak layak nak ada kawan macam awak.” Perlahan sahaja kata-kata itu keluar dari mulut Safa. Dia langsung tidak berani memandang Mika yang sejak dari tadi tajam memandangnya. Tangannya bermain-main sesama sendiri.
“Ada pulak kata macam tu. Awak tu terlebih layak untuk berkawan dengan saya. Malah lebih dari kawan pun sangat layak,” Semakin perlahan intonasi Mika menuturkan ayat-ayat itu. Ada terselit perasaan malu dengan apa yang dituturnya.
Safa kurang pasti apa yang didengarinya sebentar tadi. Perlahan suara Mika menuturnya. Apa yang dia dengar dengan jelas adalah pemuda itu beritahu yang dia layak menjadi kawannya. Selepas itu, ayat yang keluar semakin samar dan perlahan.
Berkerut-kerut dahi Safa. Dia sedar, tidak berat untuknya menerima permintaan Mika itu. Bukannya susah pun. Hanya sekadar kawan. Tidak lebih dari itu. Tidak menuntutnya untuk keluar bersama, makan bersama, berbual bersama sepanjang masa. Ya! Tidak berat pun. Dia risaukan tanggapan orang sekeliling. Dia takut orang menuduhnya bukan-bukan.
Akhirnya Safa mengangguk.
Dia dapat melihat senyuman menawan terukir di bibir Mika. Sempat matanya melirik wajah pemuda itu. Mata bundar dan sangat seksi seperti kata-kata Shira semalam ketika melihat majalah yang ada terpampang wajah Mika. Rambut lebat walaupun sedikit panjang. Pemuda itu menyisirnya kemas. Kening lebat. Ada sedikit misai serta jambang yang tumbuh meliar. Tidak terlalu tebal, hanya seeloknya sahaja dan terjaga rapi. Sekali pandang wajah Mika seperti pemuda Brazil atau Sepanyol. Sangat tampan dan seksi!
“Dah puas belek muka saya? So, saya layak jadi kawan awak tak?” seloroh Mika.
Dia perasan yang Safa asyik memandangnya tanpa sebarang kata. Seronok dia melihat perlakuan tanpa sedar itu. Ini menandakan yang gadis itu mula memberi perhatian ke atas diri dan kehadirannya.
Termalu sendiri dengan perbuatannya. Safa mencapai gelas air tembikai yang dipesannya tadi. Dikacaunya beberapa kali. Dia malu dengan kata-kata Mika. Huh! Dia sudah caught in the act! Malu!
Terlepas ketawa Mika melihat reaksi gelabah gadis di hadapannya. Merah wajah Safa diusik begitu.
“Jom saya hantar awak balik hotel.” Ajak Mika.
Jam ditangannya sudah menunjukkan hampir pukul 2.30 petang.
“Walaupun saya tak puas lagi nak berbual dengan awak, tapi saya perlu juga hantar awak balik pejabat. Nanti tak pasal ada masalah lain pulak,” Usik Mika.
Sesungguhnya dia mahu berada lebih lama dengan Safa. Mendengar cerita dan perihal gadis itu. Namun dia akur dengan tanggungjawab yang sedang gadis itu pikulkan. Tidak manis kiranya seorang akauntan berkaliber sepertinya ‘curi tulang’ walaupun hotel itu kepunyaan ayahnya sendiri. Nama baiknya perlu dijaga.

 Bersambung...