Saturday 12 December 2015

BAB 5 : BILA PAPA JATUH CINTA -CIK D


BAB 5
Perbualan Dinie terhenti saat Irfan mula melangkah, mahu segera masuk ke balai pelepasan untuk percutian bersama rakan-rakan sekerjanya.
“Ingat tau!” ulang Dinie, tak tahu untuk kali yang ke berapa dia berpesan pada Irfan. Macam-macam yang dikirim.
“Iyalah sayang busuk, balik nanti Angah bawa seketul koala bear. Oh! Adik nak kangaroo, kan? Angah bawa balik hidup-hidup!” Irfan tak habis berseloroh. Melayan karenah manja si adik.
“Eloklah, Dinie nak yang paling besar tau! Yang bulat-bulat! Gemuk!” Dinie melayan, tak dibiar angahnya senang mahu berlepas.
“Boleh. Ni, nak pesan ni. Balik nanti elok-elok. Terus balik rumah, jangan melencong ke lain!” Jari telunjuk dia acu, sudah bersedia mahu meninggalkan si adik.
“Okey, angah pun hati-hati. Jangan nak cuba-cuba buka pintu kapal terbang bila dekat atas tu nanti!” Selorohnya tak mengagak, menjengilkan mata si angah yang tak terima dengan gurauannya itu.
“Agak-agak la kalau nak pesan tu. Okeylah, angah pergi dulu! Dinie tu, drive nanti elok-elok! Tak payahlah hantar angah ke atas, Dinie terus balik eh?” pesan Irfan sebelum dia berlalu. Meninggalkan si adik dengan senyum gembira. Gembira kerana mahu bercuti.
Lambaian terakhir Irfan dibalas dengan keluh halus Dinie. Menyaksi sahaja pemergian si abang. Dalam hati melonjak teringin, cuma belum mampu untuk terbang sejauh itu.
Matanya masih menyaksi Irfan hingga kelibat angahnya itu hilang dari pandangan. Malas mahu memulakan perjalanan pulang semula ke Melaka. Kalau ikutkan hatinya, mahu dia turut sama menyertai Irfan, tapi bila memikirkan banyak yang perlu dibayar memandangkan dia baru mula berkerja, dia menangguhkan dahulu hasratnya itu.
Tunggulah tahun depan, siapa tahu ada orang nak sponsor dia pergi honeymoon. Senyumnya mengiringi angannya tadi. Badan dikalihkan, mahu segera ke tempat letak kereta lapangan terbang, kerana tak mahu lewat sampai ke rumah. Risau kerana perlu memandu sendirian.
Baru setapak dia berjalan, mata dijamu dengan aksi romantik merpati sejoli. Si isterinya sedang asyik berpegangan tangan. Berjanji setia dengan jaket kulit dan but tersarung ranggi di kaki.
Habis berpegangan tangan, pipi si suami yang membelakanginya itu diusap. Pasti si isteri mahu berjalan jauh, tak pun nak outstation dan tak sanggup nak berpisah lama-lama dengan si suami. Sweet sangat kut! Puji dia dalam hati. Berfikir alangkah bahagianya jika dia berada di tempat wanita itu.
Beruntung. Puji dia lagi. Pasangan bahagia tadi tidak lagi diperhati dan dengan langkah longlai dia mula berjalan untuk turun ke tempat parkir kereta. Dan untuk ke tempat tersebut, dia harus melalui pasangan bahagia itu.
Hati kian debar, tak tahu apa puncanya yang menjadikan dia begitu. Mata jadi sayu saat teringatkan kisah pertemuannya bersama Dhani. Dan dalam masa yang sama mata menyaksi si suami kepada wanita yang mahu berlepas tadi. Si suami yang sedang  melambai si isteri yang sudah menarik beg mahu berlepas.
Tak ada bicara, tapi Dinie tiba-tiba jadi beku. Kaki cuba diseret, tapi seakan tidak berganjak dari situ.
Dia terus manjadi saksi kesedihan lelaki yang ditinggalkan itu. Dan bila lelaki itu memalingkan wajahnya,  Dinie terus kaku. Lelaki itu.... lelaki yang sama ditemuinya beberapa hari lepas.
Ya! Lelaki itu ialah Encik Dhani, bekas majikan ayahnya. Atau lebih tepat lagi, lelaki yang pernah berjanji setia dengannya. Lelaki yang pernah mengajar dia tetang erti cinta dan rindu.
Dinie kehilangan kata, bibir getarnya separuh terbuka. Dia tergamam, tak tahu apa yang patut dilakukan sekarang.
Pergi Dinie! Pergi! Jangan biarkan hati terus terhiris. Akal memaksanya untuk berjalan. Tapi dia tak mampu untuk membuka langkah. Sudahnya dia terus kaku berdiri menyaksi Dhani yang baru memulakan langkahnya.
Sekali lagi Dinie, kau dah ditipu! Jerit hati kecilnya, kecewa dengan sikap Dhani yang seolah masih memberi dia harapan.
Untuk apa Dhani masih mengingatkan dia soal hati, kalau lelaki itu sendiri dah serah hatinya pada wanita lain.

MELIHAT Juliana telah hilang dari pandangan, Dhani buka langkah gontai mahu meninggalkan kawasan yang sesak dengan keriuhan manusia itu.
Tapi, langkahnya mati saat matanya melihat sekujur tubuh yang sedang berdiri tak jauh dari tangga eskalator. Ringkas bert’shirt lengan panjang, berjeans hitam dan bertudung menyaksikan langkahnya saat itu.
Sekali lagi? Indah sungguh takdir yang tercipta untuk dia. Pertemuan demi pertemuan membuatkan Dhani bertambah yakin, masih ada ruang untuk dia memulihkan apa yang dulunya tercalar.
Dia angkat tangan dan melambai ke arah Dinie yang kaku berdiri namun tiada reaksi yang ditunjukkan.
Takkan marah sebab dia tak layan gadis itu waktu di kawasan sekolah kut? Tapi dia berbuat begitu atas arahan gadis itu juga. Dan sekarang ni bukan di kawasan sekolah, bermakna dia bolehlah usik-usik gadis itu, kan? Senyum nakalnya mengiringi langkahnya untuk mendekati si gadis.
“Dinie? Dinie buat apa dekat sini?” tegur Dhani yang sentiasa teruja dengan pertemuan mereka.
Tapi tidak pula bagi Dinie. Bicara teruja lelaki itu cuma dianggap sebagai angin lalu. Dibiar tak dibalas.
“Hantar kawan?” tanya Dhani lagi. Belum habis terujanya, mengajak Dinie untuk sama berbicara.
“Saya tak sangka boleh jumpa Dinie sekali lagi. Hebat betul kebetulan kita, kan? Dalam masa seminggu, dah banyak kali kita berjumpa, apa tandanya tu,” lanjut Dhani lagi dengan senyum menawannya, cuba untuk sekali lagi menawan hati gadis itu.
Dinie, masih sama. Sudah serupa patung cendana yang disumpah supaya tak boleh bergerak. Membiar manusia yang lalu-lalang dan dia masih tercegat di satu tempat. Pandangan tak lepas dari merenung lelaki yang belum surut senyumnya.
Senyumannya. Manis wajahnya. Tenang bicaranya. Sama. Kenapa masih sama seperti empat tahun dulu. Dinie terus menelek. Tak segan untuk terus meneliti wajah yang sudah dimiliki di hadapannya itu.
“Dinie nak pergi travel juga?” Dhani ringankan bibir. Belum jemu untuk terus bertanya. Dan lambat-lambat gadis di hadapannya itu membuka mulut.
“Hantar bakal suami outstation.” Dia tak mahu kalah. Dan kalau lelaki itu sudah beristeri, kenapa tidak dia ada bakal suami!
“Oh?” Kendur perlahan-lahan perasaan teruja Dhani. Kalau tadi dia kelihatan begitu teruja, kini kegembiaraannya itu bagai direnggut dengan jawapan balas gadis di hadapannya itu.
Jadi betullah, surat undangan tu untuk majlis perkahwinan dia. Fikir Dhani, kuat dan yakin ada majlis yang bakal meraikan gadis itu. Hanya mampu mengagak, kerana hati tak tergamak untuk membaca isi kandungan kad undangan yang diberi Encik Khir yang tiba-tiba muncul tempohari.
“Tahniah.” Ada ucapan serba tak ikhlas muncul dari bibir Dhani. Masih sesak dadanya mahu menelan kenyataan yang gadis dambaannya itu bakal dimiliki.
Apa mungkin penantiannya selama empat tahun itu satu yang sia-sia? Dia tertanya sendiri. Masih sama, saling berbalas renungan.
“Insya-Allah saya akan datang waktu majlis Dinie tu nanti.” Dalam terpaksa Dhani tetap berjanji. Semua demi menyembunyi rasa kecewa dalam hati.

Langkah Dhani atur, tak mampu untuk terus menyaksi seraut wajah itu. Membiar hati berteka-teki, tanpa dirungkai apa sebenarnya yang sudah berlaku.

BAB 4 : BILA PAPA JATUH CINTA



BAB 4
DERAP stiletto yang masuk ke ruang rehat pejabatnya cuma diperhati tanpa perasaan. Tahu dah siapa yang ‘rajin’ melawatnya petang-petang begini kalau bukan Juliana. Juliana yang masih belum pulang ke negara tempat dia bermastautin.
Dhani duduk dan bersandar sehabis mesyuarat bersama pengurus projek syarikatnya selesai. Lama dia diperhati teman seusianya itu. Senyum Juliana tidak dibalas, sebaliknya dia merenung wajah wanita anggun itu dengan pandangan kosong.
Kosong? Fikirnya. Kosong yang membawa erti tiada tersimpan apa-apa perasaan. Cuma menganggap Juliana tak lebih sebagai teman. Teman yang selalu ada waktu dia senang atau susah.
Bertahun wanita itu menanti, menanti untuk dia buka hati dan menerima wanita itu masuk ke dalam hatinya, tapi Dhani?
Cukuplah Balkish sorang. Detik hati kecilnya, tak mampu menipu akal yang turut sama mahukan pemilik nama Adinie Syifa. Bukan sahaja Balkish yang pergi selepas Najla dilahirkan dulu.
“I dah nak balik. You ada nak cakap apa-apa? Nak cakap yang you bakal rindukan I, mungkin…” Perlahan Juliana menghabiskan ayat. Mengharapkan Dhani turut masuk ke dalam perasaannya waktu itu.
Dhani masih begitu, angaunya masih belum hilang, ditambah dengan pertemuan semulanya bersama Dinie beberapa hari lepas menambah rasa tak tenteram hatinya, dua puluh empat jam kalau boleh mahu jadi penunggu sekolah. Dan apa yang lebih parah, dia sudah mula tercari-cari kelibat Dinie, tanpa gadis itu perasan dia sedang dalam pemerhatiannya!
“Dhani, I selalu harap yang you akan tahan I dari pulang ke sana. Macam cerita-cerita yang I selalu tengok dalam siri di tv tu. Si jejaka kejar si gadis di airport. Berjanji yang mereka takkan berpisah. Sweet, kan Dhani?” Juliana bersuara lagi.
Tapi di pihak Dhani, Cuma ada panahan mata yang langsung tidak menunjukkan dia sedang berminat dengan apa yang sedang Juliana katakan. Nampak bosan lagi ada.
“Lupakanlah apa yang I cakap tadi, Dhani. I have to go and you please take care, okay?” Juliana tak pernah lupa untuk mengingatkan lelaki itu walau hatinya sedang kecewa.
“Flight you malam ni, kan? I hantar?” Dhani menawarkan diri. Kalaupun tak mampu bahagiakan wanita itu dengan cinta, sekurang-kurangnya dia boleh menceriakan Juliana dengan perlawaannya itu.
“Sungguh?” Juliana hampir tidak percaya. Setahu dia Dhani bukan nak melayan sangat pun karenahnya sebelum ini.
 “Sungguh, lagipun I ada hutang nak bawa you pergi shopping, kan? Okey, sebelum you balik I bayar semua hutang tu.” Dhani terus melayan Juliana dengan cerita cinta tak berbalasnya itu.
“Chanel? LV?” Juliana sudah membayangkan beg tangan keluaran terbaru yang diidam. Sudah bersedia untuk membeli-belah sebelum dia pulang ke Australia dan yang paling penting, Dhani yang bayar!
“Boleh, sekejap lagi kita pergi. You bagi I sepuluh minit.”
“Sekarang please? I dah tak sabar nak shopping. Dengan you Dhani...” Suara Juliana merayu-rayu.
“I solat dulu, you tunggu sini, atau you…nak solat sekali?” Meleret suara Dhani, tak lupa untuk mengajak Juliana mengerjakan suruhanNya.

Senyum ikhlas dia lontar pada Juliana yang sudah terpisat-pisat. Mencari idea untuk menolak perlawaannya.


BAB 3: BILA PAPA JATUH CINTA - CIK D


BAB 3

MAKANAN di depannya masih tak terusik. Jauh menungan Dhani sehingg lupa dia sedang berada di mana saat itu.
“Encik Dhani Ahmad!” Suara Jualiana mengejutkan Dhani dari lamunan yang panjang.
“Apa masalah you sekarang ni Dhani? Jangan cuba tipu I yang sekarang ni you tak fikir fasal budak tu. I berani kerat jari ni kalau apa yang I fikir tak sama dengan apa yang you fikir!” Juliana tunjuk rasa tak puas hatinya. Mata masih membulat, tak lepas dari merenung keruh di wajah Dhani.
“Berapa kali nak pesan, kalau keluar dengan I, please jangan nak ingat ‘cinta monyet’ you tu sangat!” Peringatnya lagi, tak terbilang untuk kali yang ke berapa. Puas dia menasihat, tapi di pihak lelaki itu masih sama, langsung tak pernah berubah.
“You ni memang melampau kan Dhani? Tak pernah nak fikirkan perasaan I, yang ada dalam kepala you tu… tak habis nama budak tu.” Dia mula bosan, juga turut sama tak lalu makan bila melihat Dhani begitu.
“Sebelum-sebelum ni macam dah okey, kenapa boleh datang balik angau you tu? Susah betul nak buang nama dia dari hidup you, kan Dhani?” Bibir Juliana cebik.
Dhani tak mampu berkata. Dan bagaimana dia mampu melupakan gadis itu, sedang ruang hatinya kini sudah penuh terisi dengan nama ‘cinta monyet’nya itu.
“Berhentilah dari memikirkan orang yang langsung tak hargai usaha you. Dan sedar diri tu siapa dan budak tu siapa. Kalau you masih juga tak nampak, I boleh bagi you cermin.” Celopar Juliana lagi.
Dhani yang tadinya tak membalas, mula naik angin. Selama ini dia sudah cukup sedar. Apa yang dia mahu kini, tak lebih cuma jawapan. Jawapan kenapa dia ditinggalkan. Dan dia sendiri pun bukan mahu terhegeh-hegeh mengejar cinta. Dia sudah cukup sedar dia siapa!
“I letih nak dengar you berleter Jue. Boleh tak kalau you bagi I ruang dan sekali lagi I nak ingatkan, jangan panggil dia budak. Budak tu ada nama.” Dhani bersuara tenang. Cuba sembunyi rasa sakit hati yang masih bermukim dalam hati.
Juliana tak faham. Semua orang pun tak akan faham apa yang sedang dirasanya kini. Kalau dulu Balkish, sekarang giliran Dinie. Hanya gadis itu yang mahu ditumpahkan segala rasa yang tersimpan di benaknya kini.
Dia cuma mahu gadis itu, bukan Juliana atau sesiapa sahaja. Dan andai tiada lagi ruang untuk dia bersama gadis itu, dia rela untuk selamanya tak berteman.
Wanita yang duduk setentang dengan dia dipandang tak berperasaan. Dan sememangnya Dhani begitu, perasaannya hanya untuk Dinie. Gadis mentah yang meninggalkan dia lebih empat tahun dulu. Tapi itu empat tahun dulu dan dia pasti, gadis ‘cinta monyet’ yang disebut Juliana tadi, tentunya sudah menjadi semakin dewasa.
“Suka hati youlah! I cuma nak tolong you lupakan budak tu, budak yang hampir musnahkan keseluruhan hidup you. Kalau you rasa you masih nak kenang dia. Just go with it! I dah malas nak kata apa dah!”
Juliana sudah kehabisan kata. Dan kalau itu mahunya Dhani, dia terpaksa akur. Akur dan membiarkan Dhani terus tenggelam dengan dunia cinta tak berbalasnya itu.
Hati mula terdetik, sampai bila dia harus menunggu untuk Dhani tunduk dan melayan dia seperti pasangan itu.
Ah! Lelaki buta hati seperti Dhani, mana pernah fikirkan perasaan perempuan seperti dia. Yang hinggap dan bermastautin di hati lelaki itu cuma Dinie, Dinie yang menyekat peluang untuk dia memiliki cinta lelaki itu! Jengkel Juliana tak terluah.
“Kenapa dengan you ni? I tak cakap apa-apa pun, yang nak mengaruk serupa perempuan meroyan kenapa?”
“You tu dah tua tau Jue, tak elok merajuk, serius nampak buruk! Kedut semua timbul!” Gelak Dhani terhambur, menerbitkan senyum di bibir wanita di hadapannya itu. Melayan mood baik Dhani yang sudah muncul.
“So, I sorang yang tualah? I sorang yang meroyanlah?!” balasnya, sengaja mahu menceriakan semula suasana.
“Lelaki ni lain sikit. Untuk kami kaum lelaki ni, life begin at forty tau! Jadi jangan cuba nak ingatkan I tua lagi lepas ni!” Dhani membetulkan kata-kata Juliana tadi. Tak nak mengaku diri tua!
Ya walaupun usianya bakal menjejak ke angka 40-an beberapa tahun lagi, tapi pada zahirnya masih kelihatan kurang dari angka itu. Dan apalah sangat usia, kalau semua itu hanya sekadar angka.
“Perasan! Tapi I terpaksa mengaku yang I kalah dengan you. Ini ikhlas, jujur bukan sebab nak bodek, you nampak lebih muda dari usia kita. Dan I suka cara you Dhani. Apa-apa sahaja tentang you. Body you, bibir seksi you tu semua I suka!” Pujian Juliana melambung, menjadikan senyum Dhani semakin luas.
“I dah kata kan tadi.”
“Nak perasan mudalah tu!” Cebik bibir Juliana, geram bila Dhani sudah pandai untuk tersenyum nakal. Tak menung seperti tadi.
“Well...” balas Dhani dengan senyum sengetnya yang mampu mendiamkan sesiapa, lebih-lebih lagi Juliana Rose.
“Menyampah! Sudahlah, makan. Spaghetti you tu takkan habis kalau you terus menung. I membebel sebab I sayang you Dhani. I tak nak life you hancur disebabkan seorang perempuan, atau lebih tepat ‘budak hingusan’ tu. Tak guna kenang orang yang pergi tinggalkan you, sedangkan masih ramai perempuan dekat luar tu menunggu you.”
Juliana dengan ayat dua serampangnya. Menasihat dan dalam masa yang sama mencari peluang untuk Dhani menempatkan dia di sebahagian daerah kecil hati lelaki itu.
Itupun kalau dia masih ada peluang. Sedar Juliana, tahu tak mudah untuk lelaki itu melupakan cinta keduanya. Buktinya, sudah lebih tiga tahun dia cuba untuk mendekatkan diri dengan lelaki itu dan hasilnya?
Hampa! Dhani kekal dengan cinta monyetnya!
“Dinie. Nama ‘budak hingusan’, ‘cinta monyet’ dan whatever yang you sebut tadi tu, Dinie. Please la Jue, tolong hormati privacy I. Siapa yang I nak fikir, siapa yang I nak kenang, itu hak I dan you tak perlu sibuk.” Dhani kembali sentap, kata-kata Juliana sedikit sebanyak menyentap hati lelakinya.
“Whatever!” Juliana cebik bibir. Sakit hati bila usahanya mahu Dhani melupakan gadis itu dipandang ringan lelaki itu.
“I rasa I dah lewat. Petang ni ada meeting dengan pihak pengurusan sekolah tempat charity project I tu.” Dhani mengelak untuk berlama-lama. Kalau boleh mahu segera beredar kerana masih banyak kerjanya tertangguh. Tambahan misi untuk kembali mendapatkan hati gadis itu baru bermula. Dan dengan alasan itu juga dia kerap muncul di sekolah tempat Dinie mengajar.
Kata orang, kalau tak nampak orang, nampak bumbung sekolah pun sudah cukup untuk dia melepaskan rindu!
“Sejak dua menjak ni you kerap ke sekolah tu kan, Dhani?” Juliana yang masih belum tahu kisah pertemuan Dhani dan gadis dambaannya itu.
“Nama pun kerja dan...” Tak diteruskan ayat, pada Dhani tak ada perlu untuk Juliana tahu semua tentang misinya.
“Habis makan you balik sendiri, boleh?”
“I ikut. Dan you tak boleh cakap tidak sebab I takkan balik dengan teksi.” Putus Juliana, sebelum meneruskan suapan. Membuatkan Dhani angkat bahu tanda reda. Menurut sahaja kehendak wanita seusianya itu.
an."

Dia diingatkan lagi. Terbang semula fikiran. Mencari di mana silap sehingga dia tak mampu membuka hatinya untuk wanita lain. Dan budak hingusan itu juga yang dia nanti-nantikan kehadirannya.
“Long,” panggil Dhani serius, memalingkan Hajah Kamaliah yang tadinya berjangkit menung si adik.

“Milah yang Long cakap tu, cantik tak?” tanya Dhani berseloroh, sebelum gelak dua beradik itu bergema di segenap ruang dapur. Melenyapkan suasana sedih yang dicetuskan Hajah Kamaliah tadi.

BAB 2: BILA PAPA JATUH CINTA - CIK D


Bab 2

PANAS terik sewaktu Dhani tiba di kediaman Kak Longnya. Kemas langkahnya, turun dari Renge Rover yang setia meneman.
Ray Ban disangkutkan ke butang kemeja dan tanpa disuruh masuk, langkah lelaki tegap itu sudah jejak melepasi pintu gril yang tidak ditutup.
Sepasang anak kecil yang diasuh kakak sulungnya itu meluru mendapatkan Dhani yang sudah biasa bertandang ke situ.
"Papa Dhani!" jerit salah seorang anak asuhan Hajah Kamaliah. Mesra menyambut kedatangannya  ke situ.
"Aaisy, Assalamualaikum." Dhani sama melayan.
Dikendong anak kecil itu serupa anak sendiri. Hilang segala resah bila ada yang boleh dilayan, sudahnya Dhani duduk sebentar. Melayan anak-anak kecil tadi.
“Aaisy duduk dan main dengan Seha ya, Papa Dhani ke belakang cari nenek.”
“Tapi Aaisy nak papa dukung Aaisy.” Mata budak tiga tahun itu layu, mahu Dhani mengendongnya sama ke dapur.
“Nak papa dukung?” Lembut Dhani membalas. Jadi cair hati bila dipinta berbuat begitu.  Hailah budak, kenapa comel sangat! Batinnya  geram sendiri.
Terus diangkat anak kecil tersebut sebelum berlalu ke dapur. Ada sesuatu yang hendak diadukan pada si kakak untuk berkongsi cerita. Cerita yang pada orang lain mungkin mengarut, tapi bagi Dhani tiada yang mustahil kalau hati masih percaya. Percaya masih ada cinta buat dia dan seseorang yang tak pernah mati dalam hatinya.
Pertemuan tak terduga antara dia dan Dinie beberapa hari lepas mengajak Dhani untuk ke sini. Manalah tahu dengan bercerita mampu jadikan dia semakin bersemangat. Berusaha selagi mampu, demi meraih kembali cintanya yang pernah dibawa pergi.
"Andak?" ada suara menegurnya. Andak adalah panggilan manja si kakak padanya.
"Long..." jawabnya malas-malas. Masih statik pandangannya, bibir masih di umbun-umbun milik Aaisy. Anak kecil itu sudah tertidur di dada bidangnya.
“Dah sajak sangat tu Andak,” tegur Hajah Kamaliah. Suka melihat Dhani dan Aaisy mesra begitu.
Ada senyum di bibir Dhani, dapat meneka maksud ‘sajak sangat’ yang dikatakan Kak Longnya tadi. Ya, Dhani teringin dan ya, Dhani mendambakan seseorang, cuma waktunya belum tiba untuk dia memulakan kehidupan berkeluarga.
“Bagi Aaisy, biar Long bawa dia tidur di bilik.”
Dhani sambung melamun. Masih terbau-bau bedak Carrie Junior milik Aaisy yang melekat di badan, menambah rasa teringinnya untuk ada anak kecil.
"Jauh melamun?” soal Hajah Kalmaliah sekembalinya dari menidurkan Aaisy.
“Fikirkan apa? Call long tadi kata lapar nak singgah makan."
Wajah Dhani panggung, tersenyum membalas teguran si kakak. Kakak kandung yang sudah dianggap seperti ibu kerana jarak umur mereka agak jauh.
"Letih long, itu yang pantang duduk, terus je hilang." Dhani beralasan. Mahu bercerita, cuma rasa segan pula bila di usia begini mahu bercerita soal hati.
"Nak menipu long?"
Dhani memilih untuk tidak menjawab. Menafi hatinya sedang gundah. Perlukan seseorang untuk diajak berbual. Bercerita, dan yang paling dia harapkan, semangat. Semangat untuk dia kembali bangkit mengejar cinta tak kesampaiannya dulu.
"Long ni dah cukup masak dengan kamu Andak. Kalau tak ada cerita, tak adanya kamu ke sini awal-awal begini, kan? Macam long tak faham. Ceritalah, long dengar." Hajah Kamaliah sedia melayan. Sayangnya dia pada si adik semakin bertambah sejak tinggal mereka berdua sahaja yang ada.
Dhani tayang gigi. Buat-buat tak ada apa berlaku, walhal hati tak senang sejak terdengar suara nyaring yang menyapa telinganya beberapa hari lepas.
Pertemuan semula dia bersama si gadis di tempat dia mahu menabur bakti. Dan rupanya indah takdir yang Dia cipta, pemberian tak seberapanya kepada pihak sekolah, dibalas dengan hadiah besar. Pertemuan dia dan si gadis yang selama ini dinanti kemunculannya!
Dan demi untuk tidak terlepas peluang untuk kembali mendekati si gadis, Dhani sanggup turun padang menguruskan sendiri project berskala kecil yang biasa dikendalikan pekerja bawahannya. Demi si gadis juga, dia sanggup ‘mencari’ mana gadis itu tinggal tanpa pengetahuan gadis itu!
"Atau, andak nak kahwin? Nak suruh Long pinangkan untuk Andak?"
Tak menunggu lama, letus gelak Dhani. Tak jangka si kakak mampu membaca fikirannya waktu itu.
"Betul?" Belum sudah Hajah Kamaliah meneka.
"Letih kerjalah long. Rumah tu lagi, semua benda saya nak kena uruskan sendiri. Kalau betul pun nak kahwin, ada ke yang hendak dengan lelaki tua rupa Andak ni." Tunjuk Dhani pada wajah sawo matangnya yang dikata tua.
"Tua? Tak adalah. Adik long ni muda lagi! Kalau tua tak adanya Milah depan rumah tu terintai-intai kamu bila setiap kali kamu datang. Cayalah cakap long, kalau andak buka hati tu untuk wanita lain selain Balkish, tentu adik long ni tak sunyi hidup sendiri."
Nasihat si kakak buat Dhani terdiam. Silapnya memang pada dia yang tak pernah buka hati pada wanita lain. Kalau ada pun, belum ada seminggu menyulam cinta, gadis yang diharap-harap dapat merawat sunyi hatinya telah pergi jauhkan diri. Mana Dhani tak serik untuk buka semula hatinya pada wanita lain.
Dan dia sendiri ada sebab kenapa dia terus menunggu cinta keduanya itu. Tunggulah, sampai dia dapat jawapan kenapa dia ditinggalkan, waktu itu barulah dia akan pertimbangkan sama ada mahu buka semula hatinya atau tidak.
"Kesian long tengok kamu Dhani. Sendiri. Tak ada siapa nak diajak bersembang. Teman kamu di rumah besar kamu tu. Long tahu kamu sunyi. Lupakanlah Balkish dan budak yang tinggalkan kamu tu. Cari pengganti. Bila Najla semakin membesar dan tinggalkan kamu  nanti, tak ke bertambah sunyi hidup kamu tu."
Tak terjawab Dhani dengan kenyataan Hajah Kamaliah. Sekarang ini pun dia rasa sunyi setiap kali Najla pulang semula ke asrama, tak tahulah bagaimana gilanya dia nanti bila Najla sudah dimiliki.
Menungnya jadi semakin panjang bila dia diingatkan begitu. Bukan dia tak mahu, tapi, entahlah. Takkan salah untuk jadi setia.
"Cakap dengan Long, anak siapa yang Andak nak Long pinangkan. Kalau betul ada, petang ni jugak Long pergi pinangkan." Serius Hajah Kamaliah lagi. Simpati melihat adik lelakinya yang sorang itu.
Cuba tanya apa yang Dhani tak lakukan untuk bantu dia dan anak-anak. Kedua orang anak bujangnya juga sudah jadi ‘orang’ hasil tajaan adik lelakinya itu. Dan kalau tak kerana Dhani, tiadalah pangkat hajah di pangkal namanya itu.
"Hidup ni tak lama Andak, usia pun bukan boleh menunggu kita. Kalau ada ruang, rebut. Isi kekosongan hati kamu tu. Long nak tengok adik Long yang sorang ni gembira. Sebab Long tahu, kamu tak gembira dengan kehidupan kamu sekarang." Ada sendu di hujung bicara Hajah Kamaliah.
Terbawa rasa sedih bila seringkali melihat Dhani melamun jauh, seolah mengenang diri yang sepi keseorangan.
"Cukuplah simpan hati tu untuk yang tak sudi, cuba serah pada betul-betul yang menginginkan."
Dia diingatkan lagi. Terbang semula fikiran. Mencari di mana silap sehingga dia tak mampu membuka hatinya untuk wanita lain. Dan budak hingusan itu juga yang dia nanti-nantikan kehadirannya.
“Long,” panggil Dhani serius, memalingkan Hajah Kamaliah yang tadinya berjangkit menung si adik.

“Milah yang Long cakap tu, cantik tak?” tanya Dhani berseloroh, sebelum gelak dua beradik itu bergema di segenap ruang dapur. Melenyapkan suasana sedih yang dicetuskan Hajah Kamaliah tadi.

BAB 1 : BILA PAPA JATUH CINTA - CIK D


BAB 1

MELANGKAH longlai masuk ke bilik guru menuju ke mejanya, tiba-tiba namanya diseru.
“Dinie! Dinie! Dinie!” Ceria suara Cikgu Rosnah macam terlebih glukos, tak seperti selalu.
“Kak Ros ni dah kenapa panggil Dinie rupa tu?” Tawa Dinie menyusul, kalut melihat Cikgu Rosnah yang tiba-tiba berubah jadi mesra alam begitu.
“Dik!” Termengah dia kerana baru mendaki tangga, mengekor Dinie.
“Ye kak. Dinie dengar, cepat nak cakap apa. Dinie dah nak balik dah ni.” Dia melayan ramah, dengan tangan tak lepas mengemas alat bantuan mengajar.
“Ada orang kirim salam, tapi Mr. Secret Admirer Dinie tu tak bagi beritahu Dinie siapa dia.” Cikgu Rosnah labuhkan duduk dan sekuntum bunga kekwa putih pemberian lelaki misteri tadi diserah pada Dinie.
Dinie masih terpinga. Mr. Secret Admirer, siapa? Tak tertelan liur Dinie dibuatnya, belum dapat meneka siapa lelaki yang dimaksudkan teman baiknya itu.
“Dan bunga ni…dia bagi.” Tersenyum-senyum Cikgu Rosnah, membayangkan wajah lelaki yang mengirim bunga tadi.
Handsome. Charming. Lembut suaranya, sungguh dia yang sudah bersuami pun tergugat iman, mujurlah dia cepat sedar yang dia sudah bersuami.
“Ini macam bunga kekwa depan toilet guru lelaki aje Kak Ros.” Bunga kekwa di tangan Dinie belek-belek, ada rasa macam nak lontar dalam tong sampah laju-laju pun iya juga.
Ada ke patut, nak bagi bunga pun biarlah bunga yang senonoh sikit.  Bunga depan tandas yang diberi pada dia. Ish! Kutuk Dinie dalam hati, tercebik bibir memikirkan siapalah yang tak berduit sangat bagi dia bunga depan pintu tandas.
“Betul la, memang dia ambil dekat situ pun tadi. Dah itu aje yang tercapai, tak sempat nak beli,” terang Cikgu Rosnah. Tergeletek hatinya melihat Dinie mencebik begitu.
“Oh…” Dua harakat Dinie ber’oh’. Ligat fikirannya berputar, mencari siapa lelaki yang dikatakan Cikgu Rosnah tadi.
“Dah, jangan nak fikir panjang sangat. Tadi kata nak balik, kan?”
“Hrmm… Kak Ros ambil la bunga ni. Dinie tak nak. Entah-entah dia bubuh racun nak bagi Dinie mati!” Cepat dia lontar bunga tadi di atas meja, bimbang sampai apa yang difikirnya tadi benar terjadi.
“Eh, janganlah buang macam tu. Simpanlah, rugi tau tak simpan bunga dari lelaki handsome!” Cikgu Rosnah dengan aksinya, membayangkan ketampanan lelaki yang mengirimkan bunga untuk si gadis tadi.
“Handsome? Siapa? Firhan?”
“Dah kenapa Firhan pulak masuk dalam cerita ni? Cikgu handsome tu dah seminggu tak mengajar, kan? Jangan nak cakap Dinie dah mula rindu dia pulak?” Galak Cikgu Rosnah mengusik, membawa ingatan si gadis pada guru KGSK yang menamatkan perkhidmatannya seminggu lepas.
“Jadi bukan dialah?” Berkerut dahi Dinie bila apa yang difikirkan tak sama dengan apa yang Cikgu Rosnah bayangkan.
Cikgu Rosnah geleng kepala, sengaja nak tambah kalut di fikiran Dinie.
“Bukan dik, dia bukan dari kalangan guru-guru sekolah kita. Dan! Yang pasti lelaki tu memang terrr segak dan terrrr kacak! Begini!” tunjuk Cikgu Rosnah pada kedua ibu jarinya yang sudah diangkat.
“Terkacak?” soal Dinie dan Cikgu Rosnah cuma terangguk dua kali.

Tambah pening Dinie bila Cikgu Rosnah terus mahu berahsia. Dalam hati menggumam, siapa gerangan yang tak berduit sangat sampai harta kerajaan dijadikan umpan untuk memikatnya.