Saturday 27 February 2016

Bab 7 : KAHWIN KAMPUS - AIN KAMALIA


Bab 7

AKU melambai hingga kereta ayah hilang daripada pandangan. Hari Isnin, hari permulaan bagi mereka yang bekerja mahupun bersekolah. Aku tak ke mana- mana sebab aku dah mula bercuti semester.

Selepas itu aku masuk dalam rumah balik. Baru saja gaya nak baring atas katil handphone aku berbunyi. Abang Shah! Dia ajak aku keluar.

Aku malas nak keluar sebenarnya sebab aku nak qada waktu tidur. Tapi Abang Shah ini memang jenis tak faham Bahasa Melayu dan aku pulak jenis tak reti cakap Bahasa Jepun. Dia paksa juga aku keluar dengan dia sebab ayah yang suruh katanya. Kenapa pula ayah suruh aku keluar dengan dia ini? Musykil. Musykil.

Siap mandi dan berpakaian aku terus tunggu depan pagar rumah. Mak Yam tengah sidai kain. Sempatlah aku bertegur sapa dengannya.

“Nak pergi mana?” Mak Yam tanya apabila nampak aku bersiap cantik.

“Nak keluar dengan Abang Shah.” Aku jawab terus-terang. Tapi janganlah ditanya ke mana destinasinya. Aku pun tak tahu. Aku tanya tadi Abang Shah cuma kata ‘ada la’. Tak tahulah kat mana tempat ‘ada la’ itu berada.

“Oh, lama Shah cuti kali ni ya? Selalu dia datang sini jumpa ayah Ika. Baik budaknya... Boleh dibuat menantu!” Mak Yam cakap sambil senyum.

Ishk, dia ada niat nak kahwinkan Abang Shah dengan anak dia Si Nini yang darjah enam tu ke? Takkanlah kut. Lama sangat Abang Shah nak tunggu Nini habis sekolah.

“Mak Yam berkenan nak buat dia sebagai menantu ke? Nanti Ika beritahu dia ya!” Aku usik Mak Yam.

“Ada-ada je kamu ni. Sudah terang lagi bersuluh!” Mak Yam sambung sengih.
“Ha, tu dia dah sampai!” Mak Yam juih arah belakang aku. Tadi aku berpaling membelakangkan jalan.

Abang Shah turun dari kereta dengan senyuman. Siap beri salam kepada Mak Yam lagi. Berbasa-basi menanyakan khabar orang tua itu. Manalah Mak Yam tak berkenan nak jadikan menantu. Haish!

“Dah breakfast?” Soalan pertama dia masa kami di dalam kereta.

“Belum. Tak ada selera...” Aku sempat teguk segelas air putih sahaja tadi.

“Kita breakfast dululah, Ika nak makan apa?” Aku gelengkan kepala. Aku yakin Abang Shah dah bersarapan di rumah tadi. Mak cik selalu masak sedap-sedap untuk sarapan.

“Kenapa muka monyok je ni? Cerialah sikit!”

“Tak ada mood!” Dengan dia ini senang, aku boleh main cakap saja. Tak payah nak jaga gengsi.

“Sebab pak cik nak kahwin?”

“Itu salah satu daripadanya...”


“Oh, ada sebab lain la ni?”


Hem... Ika tak faham kenapa ayah tak suka Abang Faez.” Kali ini Abang Shah diam. Dia tak cakap apa pun.


“Abang Shah, Ika nak tanya ni, tolong jawab dengan jujur?”

“Tanyalah...” Leweh sahaja suara dia. Eh, dia nak bawa aku pergi mana ni? Pusat Bandaraya?

“Agak-agaknya kenapa ayah tak suka Abang Faez tu ya? Ayah cakap dia kurang ajar, tak hormat orang tua dan... ayah cakap dia kaki perempuan!” Itulah yang ayah khabarkan kepada aku sewaktu kami makan bersama malam tadi.

“Abang tak tahu nak cakap apa Ika tapi, ada baiknya Ika dengar cakap pak cik. Tentu ada sebab yang munasabah kenapa pak cik tak bagi Ika ada hubungan dengan Faez. Ika pun tahu kan? Faez tu handsome orangnya. Masa sekolah lagi dah ramai perempuan yang sukakan dia. Tambah lagi apabila dia dah bekerja. Dengan latar belakang yang dia miliki, memang tak susah nak buat perempuan jatuh cinta dengan dia. Termasuklah Ika, kan?”

Memanglah aku tahu Abang Faez itu kacak orangnya. Dia hanya ada dua beradik sahaja dalam dunia ini. Kakak sulung dia bekerja dengan papanya. Setakat itu sajalah yang aku tahu. Sebab selama kami berkawan jarang benar menceritakan perihal diri masing-masing. Abang Faez selalu ambil berat fasal pelajaran aku. Sama macam Abang Shah juga. Selalunya kami berbual fasal pelajaran dan serba sedikit fasal isu-isu semasa.

“Entahlah Abang Shah. Tapi lepas balik dari rumah hari Sabtu tu, dia langsung tak contact Ika. Call tak jawab, mesej pun tak balas.” Sedih aku.

“Faez datang rumah Ika Sabtu lepas?” Abang Shah tanya dengan nada mahu tahu teramat. Siap pandang kat aku. Kereta yang banyak di atas jalan raya tidak memungkinkan dia memandu dengan laju.

“Ayah suruh jemput dia datang rumah...”

So dia datanglah?” Penuh rasa teruja dia bertanya.

“Datanglah, tapi tak sempat nak makan tengah hari pun. Dia balik terus lepas bercakap berdua dengan ayah. Siap cakap Ika pun bukannya baik sangat. Dia kata Ika pun keluar dengan lelaki lain jugak!”

Erm, mesti Ika selalu keluar dengan lelaki selama ni, betul tak?”

“Mana ada... kalau keluar pun berempat. Ika, Najman, Khayra dan AJ, kami bff di kampus.”

“Selain tu tak pernah keluar dengan lelaki?” Gaya tanya macam tak percaya sahaja. Kecil hati aku.

“Memang tak ada...” Aku cakap dengan bersungguh-sungguh. Ingat aku ini apa? Playgirl?

“Habis dengan abang ni?” Dia tanya sambil senyum mengejek pandang aku. “Err... abang bukannya lelaki pun!”

Aku belasah gelak apabila Abang Shah menjerit. Marahlah itu aku kata dia

bukan lelaki. Kita orang dah rapat dari kecil lagi, macam adik-beradik. Aku dengan Abang Shah ada hubungan platonik. Itulah maksud sebenar aku.

KITA orang berjalan-jalan di KLCC. Tadi dekat sejam jugalah aku melangut tunggu Abang Shah di ofis cawangan syarikat dia di Jalan Tun Ismail. Hari ini baru aku tahu Abang Shah minta ditukarkan bertugas secara part time di Kuala Lumpur. Dia nak sambung belajar di sini selama dua tahun katanya.

Apabila aku tanya kenapa dia tak sambung belajar di Tokyo sahaja dia cuma senyum. Bagi aku lebih mudah dia menyambung pelajaran di sana sementelah ibu pejabat tempatnya bekerja juga terletak di Tokyo. Tapi, entahlah... mesti dia ada perancangan tersendiri.

“Ika nak makan apa? Abang belanja!”

Masa ini kita orang sedang window shopping di dalam kompleks membeli belah di dalam bangunan KLCC ni. Hari bekerja biasa, suasana lebih lapang dan santai.

“Belanja makan je? Shopping?” Aku buat muka manja.

Shopping? Ika nak beli apa?”

Eleh, tanya macamlah dia sanggup nak bayarkan kalau aku nak beli beg tangan ataupun kasut berjenama.

“Boleh je abang belikan. Asalkan Ika sanggup...”

“Sanggup apa?” aku berhenti dan pandang muka dia yang tengah tersengih. “Sanggup kahwin dengan abang!” Dia bisik kat telinga aku dan lepas
itu

berjalan meninggalkan aku. Ciss... nak bergurau tak kena tempat!

Penat mengukur jalan kami akhirnya melangkah ke Restoran Bumbu Desa yang terletak di aras 4. Restoran yang menghidangkan makanan autentik dari negara

Indonesia menjadi pilihan.

Abang Shah yang oder makanan. Aku malas nak tengok menu. Tekak aku kan

jenis senang dibela. Asalkan halal semua boleh masuk.

“Lepas ni nak pergi mana?” Abang Shah tanya sebaik pelayan yang ambil
pesanan beredar.

“Baliklah...” Aku memang tak ada rancangan nak ke mana-mana. Biasanya

mula-mula cuti ini aku nak balas dendam dulu, nak tidur puas-puas. Lagipun menjelang peperiksaan hari itu aku memang tak cukup tidur.

“Pergi rumah nanny nak?” Aku buat muka apabila dia ajak pergi rumah nanny.
Macam tak ada tempat lain dia nak ajak aku pergi. Rumah nanny itu setahun entah berapa puluh kali aku dah pergi. Lagipun kalau di sana mesti aku tak boleh bergolek atas tilam. Walaupun nanny tak kisah, aku yang rasa malu sendiri.

“Buat apa duduk sorang-sorang kat rumah? Mesti bosan!”

“Dah biasa. Lagipun Ika nak tidur... penatlah!” Banyak benda yang buatkan aku jadi penat. Perihal ayah dan Abang Faez yang masih berlegar-legar dalam fikiran pun satu hal.

Aku pandang sekeliling, memang hobi aku suka tengok dekorasi sesuatu tempat. Saja nak jamu mata. Penuh juga restoran ini, maklumlah dah masa makan tengah hari Ketika aku memandang ke arah pintu masuk restoran aku nampak Abang Faez sedang melangkah masuk diiringi oleh pelayan. Di belakang dia ada seorang gadis berambut hitam pekat, panjang dan bergulung-gulung cantik hujung rambutnya.

Aku ekori pergerakan mereka sehinggalah mereka ditempatkan di sebuah meja yang berada di bahagian tepi restoran. Abang Faez dengan perempuan itu duduk berhadap-hadapan.

“Tengok apa?” Abang Shah tanya sambil tertoleh-toleh ke belakang. Tempat yang aku pandang.

“Tak ada apalah... saja, suka tengok hiasan dalaman restoran ni. Cantik!” Aku pandang muka Abang Shah. Mujurlah dia percaya. Kalau dia toleh belakang dan pandang betul-betul tentu dia nampak Abang Faez dengan pasangannya itu.
Pelayan hidangkan makanan, aku terus capai sudu dan garfu. Nak cepat makan. Nak cepat pergi dari sini.

Aku makan, makan, makan dan terus makan tanpa angkat muka. Nasib baik Abang Shah rajin letakkan lauk-pauk dalam pinggan aku. Kalau tak aku makan nasi kosong ajelah. Aku dah tak kisah , aku nak cepat habiskan nasi dan balik.
Aku boleh nampak betapa mesranya Abang Faez dengan perempuan itu. Mereka berbual dan sesekali ketawa. Perempuan itu cantik orangnya, walaupun sekilas pandang cuma, aku dapat melihat raut wajahnya yang sungguh jelita.

Aku angkat muka dan sedut minuman. Mata jahat aku ini memang tak boleh pandang setempat. Meja di hujung restoran itu jugalah yang mata aku ini hendak menjeling. Dan, sesaat mata kami bertemu pandang, jelas kelihatan riak terperanjatnya apabila nampak aku.

Segera pandangan aku kalihkan ke pinggan semula. Sambung makan macam tak ada apa-apa berlaku. Kenapalah ayah makan garam banyak sangat? Kan dah masin mulut dia. Apa yang dia cakap fasal Abang Faez itu dah terbukti depan mata. Alahai...

“Lapar sangat eh, tu la... ajak sarapan tadi tak nak.” Abang Shah cakap dengan nada prihatin.

Aku tak jawab pun kata-kata dia. Terus aku makan sampai habis nasi dan lauk dalam pinggan. Aku silangkan sudu dan garfu dalam pinggan. Tanda aku dah siap makan.

“Ika keluar dulu boleh tak? Rasa macam sesak nafas kat dalam ni. Ramai sangat orang!” Aku buat alasan. Padahalnya aku rasa tak selesa sebab tiap kali aku angkat muka aku perasan Abang Faez pandang aku.

“Pergilah, nanti abang datang...” Dia pun dah nak habis makan. Cepat-cepat aku habiskan minuman dan lepas itu capai beg tangan dan bangun.

Sampai kat luar aku ambil handphone dari dalam beg tangan. Dari tadi handphone aku asyik bergetar. Hrm... Abang Faez. Pandai pula dia mesej aku.
Aku simpan balik handphone, malas nak baca mesej dia. Betullah kata ayah, dia memang selalu keluar dengan perempuan. Nak kata business associate, gaya macam dah kenal mesra. Perempuan selalunya melintuk liuk manja macam itu dengan orang yang dia suka saja. Gaya menggoda.

Yang tak reti nak melintuk liuk macam pokok kelapa kena tiup angin tu, aku. Aku tak biasa nak bersikap manja dengan lelaki selain daripada ayah. Kalau Abang Faez itu jenis lelaki yang suka perempuan manja nan menggoda macam perempuan yang keluar dengan dia tu, aku tak boleh buat apa. Aku takkan bersikap manja dan menggoda macam perempuan itu sebab aku bukan jenis macam itu. Mungkin sebab aku sudah terbiasa berdikari dari sekolah rendah lagi jadi aku jadi agak kasar dan pandai berdikari.

Tak sampai lima minit kemudian Abang Shah dah terpacul depan aku.

“Nak pergi mana lepas ni?” Dia tanya sambil pandang tepat kat muka aku.


“Balik!” Aku jawab sepatah.

“Tak nak
shopping?”


Aku geleng kepala. Bukannya aku bawa duit banyak sangat yang sampai aku

boleh shopping kat sini. Lagipun semua keperluan aku dah ada, mencukupi buat masa ini.

“Abang dapat payment tadi... jom abang belanja Ika. Pilih je apa Ika nak, abang belikan!”

Aku pandang pada dia yang sedang tersenyum ceria. Nak saja aku tanya berapa juta dia dapat bayaran. Boleh ke belikan aku servis kondominium sebiji? Boring-boring aku boleh pergi gim dan berenang!

Sampai di rumah dah jam 3:30 petang. Bersusah-payah aku buka kunci pagar sambil sebelah tangan memegang bungkusan Popcorn Garrett perisa Caramel Crisp. Ini benda yang aku pilih apabila Abang Shah asyik paksa aku pilih barang, nak sangat membelanja. Takkanlah aku nak pau dia. Aku masih waras lagi.

Elok-elok kunci pagar terbuka dan aku nak tolak pagar ada orang pegang lengan aku. Punyalah aku terperanjat, nyaris nak jatuh bungkusan popcorn mahal di tangan.

Opocot!” Sempat aku melatah. Mujur aku tak mencarut.

“Abang Faez, buat apa kat sini?”


Muka tegang dia tunjuk pada aku. Tangan kanan dia masih mencekak lengan

kiri aku. Kuat pula itu. Aku toleh sekeliling, tak ada sesiapa pun berada di luar rumah. Masa-masa macam ni tentu para suri rumah itu tidur. Dalam hati terdetik rasa takut, kalau-kalau Abang Faez buat kerja gila, menyerbu masuk dalam rumah.

“Ika buat apa kat KLCC?”

Aku tanya dia, dia tanya aku balik. Perlahan tangan dia aku turunkan dari lengan aku.

“Ika ada hal kat luar tadi, pergi KLCC sebab nak makan tengah hari...” 

Takkan dia tak nampak aku buat apa dalam restoran tadi. Ada ke orang buat benda lain dalam restoran itu selain daripada menjamu selera?

“Kenapa keluar dengan Shah tak beritahu abang?”

Laaa... nak beritahu apanya? Selama ini ada ke dia jawab panggilan aku? Balas mesej aku?

“Kunci balik pagar tu. Jom, ikut abang!”

“Pergi mana? Ika baru balik
je!” Aku protes. Dia nak bawa aku pergi mana? “Nak ikut ke ataupun nak abang masuk dalam rumah?”


Aku terus kunci balik pintu pagar rumah apabila dengar dia cakap macam ini.

Dia tarik lengan aku menghampiri sebuah kereta yang diparkir agak jauh dari depan rumah aku.

Dia tolak aku masuk di seat belakang dan lepas itu dia duduk kat sebelah aku. Rupanya ada pemandu, macam mana aku tak perasan ada orang lain dalam kereta tadi?

“Ofis, Pak Kasim!” Dia arahkan lelaki separuh abad yang berada di tempat pemandu. Aku pandang kiri, kanan, depan dan belakang. Kereta apa ini? Aku kena tolak masuk tadi, tak sempat nak tengok jenama dan nombor plat kereta. Haru sungguhlah.

“Kita nak pergi mana ni?” Aku pandang muka dia dengan cuak. Dahlah muka ketat semacam. Hilang rupa kacak dia. Pakaian bukan main lagi, siap bercoat bagai. Panas kut di Malaysia.

Sombong pula dia, aku tanya dia tak jawab pun. Lepas jeling aku sekilas dia menghadap Tab kat tangan dia. Eleh, macam dia sorang mampu beli .

Tiba-tiba aku teringat. Jalan Imbi! Ya... ofis papa dia terletak di Jalan Imbi. Mujur otak aku ini berfungsi dengan jayanya tika dan saat ini.

Yang terlintas di fikiran aku hanyalah menghantar mesej buat Abang Shah. Hanya dia satu-satunya yang boleh menyelamatkan aku dalam saat-saat sebegini. Kalau aku mesej ayah memang hulur kepala ke tali gantunglah jawabnya.

Aku baru sempat leret skrin sentuh dengan jari apabila dia rampas handphone aku dan masukkan dalam poket coat dia. Poket belah dalam pulak tu. Tak sempat nak mesej Abang Shah dan beritahu aku kena culik. Hmph... culiklah sangat!

“Pak Kasim... boleh tolong berhenti, saya nak turun!” Aku cakap kat si pemandu yang tekun menjalankan tugasnya.

“Jalan terus Pak Kasim!” Suara tegas Abang Faez kedengaran.

“Berhentikan saya kat sini pun tak apa Pak Kasim, tolong buka kunci pintu ni!” Kereta sedang berderet-deret di jalan raya. Bergerak tetapi perlahan. Aku boleh turun kat tengah-tengah jalan raya ni. Aku tak kisah dah, asalkan aku boleh keluar dari kereta ni.

Pak Kasim nampak macam serba-salah. Tapi dia terus memandu apabila Abang Faez buat isyarat suruh dia teruskan perjalanan. Jangan endahkan aku.

Aku duduk rapat dengan pintu kereta. Jangan kata nak buka pintu kereta nak turunkan cermin gelap ini pun tak boleh. Kut tak, boleh je aku menjerit meminta tolong. Walaupun aku tak tahu apa niat Abang Faez ‘menculik’ aku begini namun aku tetap mahu melepaskan diri. Manalah tahu kalau-kalau dia berniat jahat?

Sampai sahaja di hadapan sebuah bangunan tinggi berhampiran sebuah hotel di Jalan Imbi kereta diberhentikan. Betul-betul di pintu masuk bahagian lobi bangunan. Abang Faez turun sambil tarik tangan aku.

Okey, memang aku tak boleh nak melepaskan diri. Dia pegang kuat tangan kiri aku, sambil berjalan laju masuk ke dalam bangunan. Aku sempat tengok muka Pak Kasim masa nak turun tadi. Macam kesian saja cara dia pandang aku. Tapi patutnya kalau dia kesian, tolonglah aku ni. Takkan main kesian dalam hati saja?

Dia tarik aku sampai ke pintu lif yang berderet di bahagian tengah bangunan. Ada enam lif kesemuanya tapi semuanya sedang digunakan. Aku meronta, cuba untuk melepaskan tangan yang dah rasa sakit akibat cengkaman kuat tangan kanan dia.

Adalah dalam dua minit menunggu pintu sebuah lif terbuka. Keluar beberapa orang dari perut lif dan Abang Faez terus tarik tangan aku masuk dalam. Hanya ada aku dengan dia dalam lif ni. Sebaik masuk sahaja dalam lif dia terus tekan butang untuk menutup pintu lif. Aku tengok dia tekan butang ke tingkat 20.
Masa ini tangan aku dilepaskan. Aku tersandar di dinding lif sambil urut-urut tangan yang sakit. Dia berdiri rapat di hadapan aku. Menghalang pandangan aku ke pintu lif yang sedang bergerak laju. Ishk... peliknya, tak berhenti kat mana-mana tingkat ke lif ini? Tak ada ke orang yang nak naik ke tingkat atas? 

Bab 6 : KAHWIN KAMPUS - AIN KAMALIA


Bab 6

AYAH belikan aku nasi lemak berlauk pagi ini. Aku teringin juga nak buat sarapan tapi dalam peti ais tak ada bahan mentah. Aku makan nasi lemak sambil ditemani oleh ayah. Dia dah bersarapan dengan kawan-kawan tadi katanya.

“Ayah nak bincang dengan Ika sikit. Fasal Aunty Siti...”

Baru dua suap aku makan nasi lemak berlauk daging rendang ini. Aku letak sudu atas pinggan. Nak fokus dengar kata-kata ayah.

“Ayah dengan Aunty Siti merancang nak berkahwin tak lama lagi.” Akhirnya teka-teki aku berjawab. Yang tak bestnya tekaan aku benar belaka.

“Lagi satu, ayah kena bertugas di Kota Kinabalu tak lama lagi. Dah banyak kali ayah tolak tapi nampaknya kali ni ayah tak boleh menolak lagi. Ayah kena pergi juga Ika.” Tanpa menunggu aku berkata-kata ayah sambung cakap. 

Oh, bagusnya! Ayah nak kahwin dan lepas itu bertukar tempat kerja pula. Jadi, bagaimana dengan aku?

“Ayah dah bincang dengan nanny dan mak long. Ika boleh balik ke rumah mereka setiap kali cuti ataupun Ika boleh ke Kota Kinabalu?”

Aku pun tak tahu nak cakap apa dah. Ayah cuma memberitahu rancangan dia dan bukannya meminta pendapat. Aku hanya mampu dengar sahaja. Tak ada kuasa untuk membantah mahupun melarang.

“Bila ayah nak kahwin?”

“Sebelum ayah bertukar ke Kota Kinabalu.” Ayah pandang aku dengan muka bersinar bahagia. Mungkin ayah sangka aku bersetuju dengan rancangannya untuk berkahwin. Aku bukannya bersetuju, aku bertanya sebab nak tahu perancangan ayah.

“Ayah dah tak ingat arwah mak?” Rasa sebak masa aku cakap macam ni. Selama ini ayah kata dia sayangkan arwah emak. Sebab itu tak sanggup nak kahwin lain.

“Arwah emak Ika tetap ada dalam hati ayah sampai bila-bila. Dia cinta pertama ayah, tak mungkin ayah mampu melupakannya. Tapi Ika... ayah sunyi. Ayah
perlukan teman. Ayah nak kahwin bukan kerana nafsu, tetapi ayah mahukan teman untuk menghabiskan hari-hari tua ayah.”

Ah, alasan! Aunty Siti itu pun pandai. Umur ayah dah nak mencecah 50 tahun. Tak lama lagi ayah pencen, tentu banyak duit yang ayah akan dapat. Bolehlah dia menumpang senang, kan?

“Habis Ika macam mana?”

“Tak ada apa yang berubah Ika. Ika tetaplah anak ayah... masih di bawah tanggung jawab ayah.”

Mudahnya ayah bercakap. Tak ada apa yang berubah? Mana mungkin! Apabila ayah berkahwin lain pasti banyak yang akan berubah. Aku akan dapat emak tiri. Aku akan berkongsi kasih sayang ayah dengan orang lain. Akan ada orang lain yang bakal mendiami rumah ini. Menggunakan barang-barang di rumah ini. Mampukah aku berkongsi hidup dengan orang yang aku tak kenal? Yang aku tidak tahu siapa sebenarnya dia? Perangainya?

Aunty Siti tu kawan lama ayah sewaktu di universiti dahulu. Arwah emak Ika pun kenal dia. Dia pun macam ayah juga, keseorangan dan dia tak pernah berkahwin.”

‘Tak pernah berkahwin? Wah, anak dara la ni... anak dara tua.’ Aku berbisik dalam hati.

Selalu aku dengar kalau anak dara berkahwin dengan lelaki yang dah ada anak macam ayah ini mereka agak susah untuk menerima anak tiri. Yalah, selagi tidak pernah bergelar seorang ibu pastinya mereka tidak dapat menyelami kelembutan hati dan perasaan kasih sayang sebagai seorang ibu. Itu yang ada kes anak tiri kena dera.

Tapi dalam kes aku ini, erm... aku dah besar panjang kut. Takkan pula aku akan didera. Aku tarik nafas. Lelah nak fikir semua ini. Ke aku yang patut dera Aunty Siti itu nanti?

Erm... entahlah! Tapi berita ini memang mampu membuatkan aku jadi terkejut dan susah hati pada masa yang sama.

“Ayah harap Ika setuju, ayah kahwin dengan Aunty Siti...” Perlahan suara ayah, bercakap sambil pandang muka aku.

“Ika juga berharap yang ayah akan setuju Ika teruskan hubungan dengan Abang Faez.” Aku ambil kesempatan menangguk di air keruh. Peliknya muka ayah jadi merah.

“Ika masih berhubungan dengan dia?” Dengan suara tertahan-tahan ayah tanya aku. Hanya anggukan sebagai jawapan.

“Kenapa Ika ni degil sangat?” Kecut perut aku dengar suara tegas ayah.

“Ika bukan degil. Ika harap ayah faham yang Ika sukakan Abang Faez. Dia seorang yang baik. Ayah belum betul-betul kenal dia lagi. Sebab tu ayah tak sukakan dia. Kalau dah kenal nanti Ika yakin ayah akan suka dan terima dia.”

“Terima dia sebagai menantu? Jangan haraplah!” Kuat suara ayah bercakap.

“Bagilah kami peluang ayah. Ika suka Abang Faez macam ayah sukakan Aunty Siti!” Aku main belasah saja cakap. Tapi aku yakin ayah memang betul-betul sukakan Aunty Siti. Alah, tengok cara dia pandang Aunty Siti pun aku dah tahu. Sepanjang masa ayah tersenyum kalau dengan Aunty Siti.

“Susah bercakap dengan Ika ni. Tak faham-faham! Sejak bila pulak jadi degil ni? Dah pandai nak membantah kata-kata ayah? Nak jadi anak derhaka ke apa ni?”

“Ika bukan nak jadi anak derhaka, tapi salah ke kalau Ika nak pertahankan hubungan kami? Ayah... tolonglah beri kami peluang. Tolonglah faham!” Aku dah tahap merayu dah ini. Hilang habis semua perasaan malu aku.

Aku dengar ayah mengeluh. Tersandar di kerusi sambil pegang dahi. Jangan ayah kena heart attack sudahlah. Aku tak nak jadi punca ayah dikejarkan ke hospital. Tak nak jadi anak derhaka. Aku pandang ayah tepat-tepat.
“Panggil Faez datang, ayah nak jumpa dia!”

“Tapi ayah, Abang Faez di Kemaman...” Takkan suka-suka hati aku nak panggil dia ke mari. Bukannya aku ini sultan yang bila-bila masa saja boleh panggil orang datang menghadap.

“Ajak dia datang ke rumah tengah hari ni. Kalau dia ikhlas sukakan Ika dia pasti datang!”

Selamba ayah bercakap sebelum berlalu tinggalkan aku terkulat-kulat di meja makan. Nescafe yang aku bancuhkan langsung ayah tak minum. Aku langsung hilang selera walaupun nasi lemak berlauk daging rendang ini memang sedap rasanya.


PELIKNYA! Apabila aku menghubungi dan beritahu yang ayah mahu berjumpa dan makan tengah hari bersama, Abang Faez terus setuju. Lagi pelik apabila dia sampai di depan rumah sebelum jam menginjak angka dua belas tengah hari. Laju sangat ke dia memandu?

Aku hidangkan minuman dan kek marble di meja kopi. Kami bertiga duduk di ruang tamu. Ayah dah siap beli hidangan untuk makan tengah hari. Aku cuma goreng ayam dan tumis sayur sebagai lauk tambahan.

“Faez kerja di mana sekarang ni?” Itu soalan pertama yang ayah tanyakan setelah masing-masing berbalas sebutan salam dan berjabat tangan.

Aku nampak muka Abang Faez yang kelihatan agak cuak. Pasti dia gementar.
“Kerja dengan syarikat papa di Jalan Imbi.” Aku angkat muka dan pandang dia. Syarikat papa dia? Jalan Imbi? Eh, Jalan Imbi kat Kuala Lumpur la. Bukankah dia bekerja di petroleum plant di Kemaman?

“Dah lama?” Ayah sambung soalan dan kali ini aku pasang telinga betul-betul.

“Sebulan. Sebelum ni saya bekerja di Kemaman. Terpaksa berhenti kerja dan bantu papa di syarikat sebab papa uzur.” Persoalan dalam hati aku terjawab. 
Tapi aku tak puas hati kerana dia tidak memberitahu aku yang dia dah berpindah kerja ke mari. Aku nampak ayah senyum sinis pandang aku.

“Faez dengan Ika ni berkawan yang macam mana?” Ayah pandang tepat wajah dia. Aku boleh nampak yang Abang Faez tak senang duduk. Dalam keresahan. Aku pun sama sebenarnya.

“Ika pergi siapkan hidangan.” Ayah paling kat aku. Ishk... aku nak juga dengar perbualan mereka. Tapi aku akur, takkan aku nak membantah pula.

Rumah teres setingkat yang kami diami ini taklah besar mana. Ruang makan utama bersebelahan dengan ruang tamu, tempat kedua-dua lelaki yang aku sayangi itu sedang duduk. Tak ada masalah untuk aku mencuri dengar.

Cepat-cepat aku siapkan meja. Keluarkan jug air dari peti ais dan letakkan teko basuh tangan atas meja. Lauk-pauk dah siap terhidang di bawah tudung saji. Pinggan dan cawan pun aku dah letak awal-awal tadi. Aku cuma perlu kemaskan lagi susunan di atas meja saja lagi.

Baru gaya nak berjalan ke ruang tamu semula aku nampak Abang Faez dah berdiri.

“Anak pak cik pun taklah sebaik mana. Dia pun keluar dengan lelaki lain juga, kan? Ingat saya tak tahu? Salah ke kalau saya keluar dengan perempuan lain? Saya belum kahwin dengan Ika pun. Kolotlah pak cik ni!” Aku dengar suara Abang Faez melengking kuat.

“Masalahnya kamu tak jujur! Dan bukan sekali dua pak cik nampak kamu keluar dengan perempuan lain. Pak cik tak nak Ika menderita!” Ayah ikut berdiri. Aku pula terpaku di antara ruang makan dan ruang tamu.

“Pak cik boleh jamin dia akan bahagia kalau kahwin dengan orang lain? Sebagaimana pak cik pasti dia akan menderita kalau bersama dengan saya?” Abang Faez tentang pandangan mata ayah dengan penuh berani. Aku nampak muka ayah merah padam.

Kalau berterusan begini aku yakin sekejap lagi Abang Faez kenyang makan penampar ayah. Harus tak jadi dia makan nasi.

“Pak cik nak kamu lupakan Ika...”

“Pak cik tak berhak nak arah-arahkan saya. Kalau tujuan pak cik panggil saya ke mari sebab nak pisahkan saya dengan Ika, pak cik silap besar. Saya akan tetap kahwin dengan Ika walaupun tanpa restu daripada pak cik!” Serentak itu Abang Faez melangkah keluar dari rumah tanpa memandang ke arah aku yang tegak berdiri di sini. Aku yakin dia perasan kewujudan aku di sini.

Aku terpempan. Kaki terasa amat berat untuk melangkah walaupun aku nak sangat kejar Abang Faez dan halang dia dari pergi. Ayah terduduk kembali di sofa.

Astaghafirullah al-Azim, aku beristighfar dalam hati. Apa dah jadi ini? Bagaikan baru tersedar daripada mimpi aku bergegas ke pintu. Kereta Abang Faez dah tak ada. Dia dah pergi.

“Ika! Duduk sini!” Ayah panggil aku dengan suara yang kuat.

Perlahan dan takut-takut aku melangkah ke sofa dan duduk setentang dengan ayah. Mata ayah pakukan ke wajah aku. Tepat lagi jitu. Berganda rasa takut di hati apabila tengok ayah bersikap begini. Bagaikan seekor singa yang mahu membaham mangsanya.

“Faez tu, dia bukan lelaki yang baik untuk Ika... kurang ajar. Tak hormat orang tua!” Ayah cakap dengan nada kecewa.

Tapi aku tak boleh menyalahkan Abang Faez seratus peratus. Tentu ada benda yang ayah cakapkan kat dia sehingga menyebabkan dia naik angin. Selama yang aku kenal, Abang Faez baik orangnya. Tak pernah meninggikan suara dengan aku. Sporting. Sweet talker. Apa masalahnya dengan ayah ini?

“Kalau dia jujur tentu dia beritahu Ika dia dah pindah kerja di KL, kan?”

Aku angkat muka dan pandang ayah sekilas. Mulut aku masih diam, terkunci.


“Dah banyak kali ayah nampak dia keluar dengan perempuan Ika. Dia tak
jujur, ayah tak nak Ika makan hati dan menderita di masa akan datang. Ayah tak boleh terima lelaki macam tu sebagai bakal menantu. Keluarga dia pun ayah tak boleh terima. Ayah tak mampu nak terima!”

“Keluarga dia? Ayah kenal ke dengan keluarga Abang Faez?”

“Lebih daripada kenal! Dan sebab ayah kenallah ayah tak nak Ika teruskan hubungan dengan dia!”

“Tapi kenapa ayah?” Aku tanya tapi ayah hanya menggelengkan kepala. Buat aku tambah keliru.

“Ayah buat Ika bingung!” Aku pun dah naik pening kepala dengan sikap ayah ni. Apa yang tak kena dengan keluarga Abang Faez?

“Tak perlu nak dipertikaikan lagi. Ikut je cakap ayah kalau Ika nak bahagia dunia akhirat. Lupakan Faez... dia tak layak untuk Ika!”

Selepas habis cakap ayah berlalu menuju ke biliknya. Aku rasa macam nak menjerit sahaja. Rasa tak puas hati sebab ayah blah macam itu sahaja. Aku perlukan penjelasan dan bukan dibiarkan berteka-teki begini. Ayah tak boleh harap aku akan ikut cakap dia bulat-bulat! Ah, buntunya!

Sudahnya hari Sabtu dan Ahad itu aku berkurung je dalam bilik. Abang Faez langsung tak menghubungiku. Aku cuba menghubunginya tapi handphone dia masih dimatikan. Dia marah sangat agaknya. Tapi aku ada hantar mesej, minta maaf bagi pihak ayah. Aku harap kemarahan dia reda dan kami boleh berbincang secara baik.

Aku kenal sikap dan perangai ayah. Dia bukan jenis yang mudah naik angin. Ayah seorang yang rasional dan realistik. Pendengar yang baik. Membuat keputusan dengan penuh timbang tara. Jadi apabila ayah bersikap dingin dengan Abang Faez aku benar-benar buntu. Apa salah Abang Faez? Kenapa ayah tak suka dia? Kenapa ya? Soalan yang tidak ada jawapan itu berlegar-legar dalam mindaku. 

Bab 5 : KAHWIN KAMPUS - AIN KAMALIA


Bab 5

AKU turun ketika Abang Shah siap parkir kereta di Bulatan Dataran Masjid Putra. Rupanya di sini ramai keluarga yang membawa anak masing-masing. Boleh sewa basikal, kasut roda dan juga skuter yang menggunakan bateri serta kereta mainan kanak-kanak.

“Sewa basikal nak?” Abang Shah tanya pada aku yang sedari tadi sedang ralit memerhatikan kanak-kanak yang riang menjalani aktiviti di sini.

“Tak naklah...” Aku menggeleng. Aku tak ada mood nak buat apa-apa pun malam ini.

“Tunggu abang kat sini ya.” Selepas cakap macam itu, dia terus berlalu. Aku tengok sahaja langkah Abang Shah menghampiri tempat menyewa basikal. Kata di Tokyo hari-hari naik basikal pergi kampus, takkan kat sini pun teringin nak naik basikal? Poyo betullah dia ini!

Aku geleng kepala sahaja apabila dia menghampiri, siap tersengih sambil kayuh basikal warna biru.

“Jom... naik basikal dengan abang.” Dia berhenti di depan aku. Aku perhati sekeliling memang ramai yang berbasikal di sini. Sebenarnya aku teringin nak naik skuter yang menggunakan bateri itu. Tapi, seganlah pula. Aku pakai gaun labuh hari ini.

“Cepatlah... kita ‘feeling-feeling’ macam drama Korea tu!”

Aku tengah susah hati, dia nak buat drama Korea pula? Kalau lepas naik basikal ini aku boleh pergi bercuti di Korea best la juga!

Apabila aku tak layan maka dia pun mula mengayuh basikal. Jauh juga kalau nak cukupkan satu pusingan ini.

Arghhh... bosannya! Aku lontarkan pandangan ke sekeliling. Orang lain semua ada aktiviti masing-masing. Geng-geng bujang pun ramai yang lepak sambil makan dan berbual-bual. Maklumlah, esok kan hari cuti. Aku saja yang macam kebingungan di sini. Bengong betullah!

“Ika... jomlah. Best tau naik basikal kat sini.” Abang Shah datang pujuk aku naik basikal setelah dia buat satu pusingan.

Disebabkan kebosanan, akhirnya aku mengalah juga. Aku duduk mengiring di carrier belakang dan kemaskan kain labuh yang aku pakai. Abang Shah mula kayuh basikal perlahan-lahan.

“Beratlah, Ika! Mesti berat dosa ni!” Dia cakap sambil berusaha nak mengayuh basikal dengan lebih laju. Aku cubit perut dia.

Tiba-tiba saja basikal itu bergoyang-goyang dan aku terus peluk pinggang dia dengan kedua-dua tangan.

“Romantis, kan? Macam Choi Ji-woo dengan Kwon Sang-woo dalam cerita Temptation tu...”

Aku macam nak ternganga masa Abang Shah cakap macam itu. Tak sangka, dia layan drama Korea betul-betul. Eh, tapi apa nak pelik. Drama Jepun pun dia layan juga, maklumlah dia kan fasih cakap Jepun.

Lama juga kami berbasikal. Berpeluh-peluh juga Abang Shah mengayuh basikal. Aku saja yang relaks sebab aku membonceng. Seronok juga rupanya bersantai di sini, dapat menyedut angin malam yang sepoi-sepoi bahasa.

Lepas itu kami masing-masing sewa skuter sorang satu. Aku tengok tadi ada sorang brader, badan besarlah juga, selamba saja dia naik skuter. Dengan anak-anak dia dua orang. Dia orang sewa skuter sorang satu juga. Yang skuter brader itu naik macam ‘azab’ jugalah nak bergerak. Sah terlebih muatan. Brader itu tinggi tapi agak gempal dan perut buncit.

Aku? Nasib baik aku ini bersaiz sedang-sedang. Badan aku agak slim jugalah walau tak setanding ratu cantik. Jadi, laju saja skuter ini bergerak membawa aku.

Abang Shah dan aku mengemudikan skuter secara bersaing. Kadang-kadang kami berlumba. Tapi aku rasa Abang Shah saja buat-buat kalah, dia nak menghiburkan hati akulah agaknya.

Mujurlah ada Abang Shah. Kalau tak tadi mati kejung aku dalam kereta dengan ayah dan Aunty Siti. Ishk... betul ke ayah nak kahwin dengan Aunty Siti? Aku masih belum dapat menerima kenyataan sebenarnya. Harap-harap ini cumalah andaian aku sahaja.

Aku tarik nafas panjang, tiba-tiba aku rasa cemburu dengan Aunty Siti. Tak fasal-fasal saja. Erm...

Memang aku buat kerja gila malam ini. Aku tak nak balik walaupun dah banyak kali Abang Shah ajak. Sehinggalah pengawal keselamatan yang bermotosikal

itu datang dan mengingatkan yang tempat ini akan ditutup untuk segala aktiviti permainan kerana jam sudah menunjukkan angka lebih jam 12:30 malam.

“Nak minum kat kedai mamak!” Aku buat muka manja pada Abang Shah. Dia geleng kepala sebab dia tahu aku sengaja nak melengahkan masa.

Kita orang minum kat kedai mamak di Cyberjaya. Aku pesan teh tarik dan Abang Shah pesan kopi O. Mesti dia takut mengantuk ketika nak memandu pulang nanti. Maklumlah, dah dekat jam 1 pagi pun sekarang ini. Patutnya aku dah selamat belayar ke pulau impian. Bukannya berada di luar macam sekarang ini.

“Lepas ini kita balik ya?” Abang Shah cakap dengan nada lembut pada aku. Macam pujuk budak-budak saja gayanya.

“Kalau Ika tak nak balik?”

Takpelah kalau tak nak balik. Kita tidur dalam kereta je, kalau kena cekup boleh kahwin free. Tak payah susah-susah dah, tiap malam Ika kena tidur dengan abang!” Dia kenyit mata kat aku.

Hish! Mulut... tak padan dengan mengantuk! 

Bab 4 : KAHWIN KAMPUS - AIN KAMALIA


Bab 4

MINGGU peperiksaan sudah pun berlalu. Aku dah boleh menarik nafas lega. Malas nak fikir keputusannya nanti. Aku sudah berusaha sedaya upaya, berdoa dan kini aku bertawakal. Semoga aku dikurniakan keputusan yang baik-baik.
Ayah dah janji nak jemput aku jam enam petang nanti. Tapi baru jam lima petang aku dah kena balik. Sebabnya? Abang Shah yang datang. Dia kata ayah yang minta dia jemput aku. Menyampahnya!

“Hantar Ika balik rumah teruslah...” Aku malas nak ke rumah nanny dengan barang-barang yang segerabak ni.

“Ala, kejap je. Malam nanti bila pak cik dah balik abang hantarlah Ika...” Dia ini memang spesies degil. Kena ikut cakap dia saja. Malang betul siapa jadi teman wanita dia.

“Ika nak abang terus hantar balik rumah ke ni? Betul tak nak pergi rumah nanny dulu?” Dia tanya aku dengan nada perlahan. Kesian kut tengok muka monyok aku ni.

“Nak balik rumah...”

“Okey, tapi kalau ada apa-apa call abang ya?” Aku anggukkan kepala dengan pesanan khidmat masyarakat dia ni.

Abang Shah berhentikan kereta betul-betul di depan pagar rumah. Selepas punggah semua barang aku masuk dalam rumah, Abang Shah berlalu pergi. Yalah, ayah tak ada di rumah, takkan aku nak ajak dia masuk pula.

AYAH bawa aku makan di sebuah restoran makanan Arab yang terletak di Bangi. Aku suka juga makan nasi Arab walaupun aku langsung tak ada berdarah Arab.
Aku serahkan kerja memesan makanan kepada ayah. Aku ini jenis tak kisah. Semua aku bedal. Tak pernah aku memilih makanan, asalkan halalan toyyiban semua aku telan.

Sambil ayah bercakap dengan pelayan aku pulak ralit memerhati dekorasi dalaman restoran ni. Boleh tahan juga hiasannya. Tapi aku bukan kisah sangat fasal hiasan dalaman sesebuah restoran, yang penting bagi aku adalah kesedapan makanannya. Kalau dah bayar mahal-mahal dan makanan itu pula tak menepati cita rasa memang tak berbaloilah. Datang ke kedai makan nak jamu selera, bukan nak jamu mata. Satu bonus itu kalau makanan sedap dan dekorasinya menarik serta sedap mata memandang.

“Nasi Arab lauk ayam okey, kan?” Ayah beritahu aku sebaik pelayan berlalu pergi.

Aku angguk kepala. Lauk kambing pun aku suka, tapi agaknya ayah takut aku mengembek, itu yang dia oderkan ayam. Hmph... miring dah otak aku ni. Maklumlah, penat mengerah otak menjawab soalan peperiksaan.

“Assalamualaikum! Maaf pak cik, Shah terlambat.” Aku pandang sebelah kiri dan nampak muka dia sedang menyengih pandang ayah. Sejenak mereka berjabat tangan. Erm... di sini pun dia salam cium tangan ayah juga?

“Wa’alaikumsalam. Tak lambatlah... kami yang datang awal!” Ayah terus persilakan dia duduk. Sebelah aku pula tu. Aku jeling dia tanda tak puas hati.
“Ayah yang ajak Shah makan malam dengan kita, sebagai tanda terima kasih sebab dia jemput Ika petang tadi.” Ayah menjawab persoalan aku.

Abang Shah tersengih tanda kemenangan. Aku julingkan mata ke atas. 

Macamlah kalau dia tak jemput tadi aku tak boleh balik sendiri. Teksi banyak kut.

“Perkara kecil aje pak cik. Shah pun free sekarang ni. Nak suruh ambil dan hantar Ika hari-hari pun boleh!”

Amboi, bukan main manis mulut dia. Kalau perkara kecil tak payahlah ikut sertai aku dengan ayah makan malam. Apa mak cik tak masak nasi ke malam ini yang sampai dia kena merempat kat sini, nak tumpang makan malam?

Pelayan hantar hidangan. Aku tengok ada makanan dan minuman ekstra diletakkan di tempat kosong sebelah ayah. Lapar sangat ke ayah aku ini sampai oder makanan lebih?

Aku baru nak menyisip Mango Lassi apabila ayah minta kami tunggu sebentar sebelum mula makan. Tak jadi aku minum. Aku tolak balik gelas ke depan dan sempat jeling Abang Shah yang sedang gelakkan aku. Ciss...

Semenjak kes dia pandai-pandai sound aku dengan Abang Faez di Restoran Fuze tempoh hari aku agak angin dengan dia. Sejak itu juga aku rasa Abang Faez mula bersikap dingin sikit dengan aku. Dah jarang juga dia menghubungi aku. 

Kalau telefon pun tak macam dulu lagi. Cakap sikit-sikit sahaja. Sah dia terasa hati sebab aku tak terima cincin batu delima pemberian dia waktu itu. Ini semua Abang Shah punya fasallah. Menyibuk!

“Assalamualaikum, maaf saya terlambat!” Ada lagi seorang makhluk yang menuturkan dialog lebih kurang sama dengan Abang Shah tadi.
Tapi... siapa dia ni? Salah meja ke?

Ayah bangun, jawab salam dan kemudian perkenalkan perempuan itu kepada kami. Aku dengan Abang Shah ikut bangun.

“Perkenalkan, kawan ayah. Siti Fatimah, Ika dengan Shah boleh panggil dia Aunty Siti.” Ayah sebut nama perempuan itu dengan senyum lebar.

“Saya Nur Zulaikha.” Aku sambut huluran salam dia.

“Saya Muhammad Nadzim Shah.” Abang Shah perkenalkan diri sambil menundukkan sedikit kepala.

“Sila duduk semua. Jom kita makan!” Aku tengok ayah ceria, suara pun macam orang gembira sangat. Padahal waktu ayah sampai di rumah senja tadi bukan main lesu muka dia.

“Cantik anak abang? Memang padanlah dengan Shah.” Ek, eh... apa yang dia cakap ni? Dia kenal kita orang ke? Gaya sebut nama Abang Shah itu macam dah kenal lama. Dan... dan... dia panggil ayah, abang?

Sejak bila pula ayah ada adik? Tak sangka hari ini aku ada mak cik segera.

“Ika, dah mula cuti semester ya? Agak-agak nak buat apa masa cuti ni?” Aunty Siti tanya aku. Kami baru sudah mengaminkan doa makan yang dibaca oleh ayah.

“Rasa macam nak kerja...” Aku belasah jawab macam ini dan ayah tunjuk muka tak puas hati. Ayah ni, aku nak kerja sementara pun dia tak bagi. Bosan gila aku sorang-sorang kat rumah itu nanti. Tapi siapalah nak ambil aku kerja, cuti pun bukannya lama sangat. Tak sampai pun sebulan.

“Ayah tak suka idea Ika nak bekerja tu. Cuti, berehat ajelah di rumah. Tenangkan minda... bukan senang alam pekerjaan ni. Ika masih belum bersedia nak menghadapi tendang terajang alam pekerjaan!”

Ala, ayah ini! Kalau aku kerja pun mestilah part time di kedai-kedai ataupun restoran makanan segera sahaja. Bukannya aku kena uruskan sebuah syarikat pun.

“Sayang sungguh abang dengan Ika. Over protective, macam mana nak transfer kalau macam ni?” Aunty Siti bercakap sambil senyum pandang ayah. Apasal aku rasa macam ada kuntuman bunga-bunga yang mengelilingi ayah dan Aunty Siti tu? Macam dalam drama Korea tu.

“Ika satu-satunya harta yang abang ada. Abang sayang dia lebih daripada nyawa abang sendiri.” Wah, kembang setaman hati aku masa ni. Pertama kali kut dengar ayah cakap dia sayangkan aku lebih daripada segala-galanya.

“Patutlah abang susah nak terima orang baru dalam hidup abang. Tapi dah sampai masa abang fikir diri sendiri, kan? Ika tentu akan bahagia dengan pasangannya nanti. Abang pun kenalah move on...”

Aku cuma jadi pendengar perbualan ayah dengan Aunty Siti itu. Dalam kebanyakan masa hanya mereka berdua yang berbicara. Aku dengan Abang Shah ibarat macam mangkuk nasi tambah sajalah sini.

Senyuman sentiasa melatari bibir ayah dan Aunty Siti. Sinar mata pula nampak sangat bersinar bahagia. Macam, orang sedang dilamun cinta. Itulah tafsiran yang bermain di mindaku.

Aku bukannya bodoh sangat. Sikit-sikit aku dapat tangkap dan faham. Kalau benar telahan aku, ayah mahu kahwin lagi. Tiba-tiba aku rasa kecil hati. Sikit pun ayah tak pernah beritahu yang dia dah ada ‘kawan’. Tup-tup hari ini aku diperkenalkan dengan Aunty Siti sedangkan aku rasa hubungan ayah dengan Aunty Siti dah terlalu jauh. Bukan peringkat baru berkenalan saja.

“Ika balik dengan Abang Shah.” Aku beritahu ayah. Lagipun ayah nak hantar Aunty Siti pulang ke rumahnya. Cepat sahaja ayah bersetuju dengan cadangan aku.

Lepas bersalaman menonong aku masuk ke dalam kereta.

“Kenapa ni? Angin tak ada, ribut tak ada... pokok sakan bergoyang?” Abang Shah cakap sambil pandang aku yang masam mencuka.

“Sebab ada bapak monyet atas pokok!” Aku jawab dengan nada geram. Abang Shah gelak dengar jawapan aku.

“Ika tak nak balik!” Aku cakap pada Abang Shah ketika dia mula memandu. Jam di lengan kiri aku kerling. Waktu sekarang 10:00 malam. Lama juga sesi makan malam kami tadi.

“Habis tu nak pergi mana?”

“Mana-manalah, asalkan tak payah balik rumah!” Kalau aku balik pun, ayah bukannya ada. Entah-entah ayah pergi sambung berdating di mana-mana. Fikiran jahat menguasai aku.

“Okey, abang tahu nak bawa Ika pergi mana.” Abang Shah cakap sambil sengih.
“Abang Shah jangan macam-macam ya. Ika terer karate orang tau!” Aku bagi dia amaran apabila tengok sengih jahat dia tadi.

Eleh, kita tengoklah nanti. Siapa yang karate siapa!” Dia angkat-angkat kening. Gaya tumbuh tanduk.

“Cubalah kalau berani!” Aku tengah sakit hati ini memang nak merasalah kalau dia buat benda bukan-bukan.