Bab 9
A good relationship is when
someone accepts your past,
supports your present and
encourages your future!
Hari ini merupakan hari kedua Mika berada di negara matahari terbit.
Dia perlu menjalani penggambaran iklan di Jepun selama lima hari. Jadual waktu
yang sangat padat sedikitpun tidak membataskan dia untuk memikirkan tentang
gadis manis yang berada nun jauh 3304 kilometer dari jaraknya kini.
Hatinya
benar-benar rindu akan Safa. Walaupun sehingga kini hubungan mereka tidak lebih
dari seorang teman, namun dia langsung tidak kisah. Asalkan dia dapat
berhubungan dengan gadis itu. Sudah memadai!
“Arghhhh!!! Gila angau sungguh aku ni! Gila malu kalau si Harry tahu.
Sure golek-golek dia ketawakan aku!”
Bentak Mika sendirian. Dia sudah naik angau!
Dia mencapai air mineral di atas meja yang berada di sisi kirinya.
Diteguk beberapa kali bagi menghilangkan kering tekak. Dia tidak sabar untuk
pulang ke Kuala Lumpur untuk menemui Safa. Tidak sabar untuk menyerahkan
cenderahati yang dibelinya pada hari pertama dia menjejakkan kakinya di Tokyo.
Tidak pernah dia membeli apa jua cenderahati kepada orang lain selain
keluarganya. Namun untuk gadis itu, dia tersangat teruja untuk memberi sesuatu
sebagai tanda kenangan.
Hu hu pasti ada yang perasan nanti! Macam mana ni? Mati malu nanti!
Terbit sedikit sesalan kerana membeli teddy bear yang tingginya hampir dua kaki tertera ayat I Love Tokyo itu. Kenapalah dia tidak membeli
sepasang kimono untuk Safa? Pasti manis gadis itu memakainya.
“Huh! Lain kali datang sini pasti aku akan beli kimono tu. Entah-entah
datang dengan dia sekali. Siapa tahu kan?”
Nun jauh di Malaysia, si
gadis manis dibelenggu kesedihan. Bukan disebabkan oleh ketiadaan Mika namun
kerana diganggu tidak putus-putus oleh si bekas tunang yang tidak faham bahasa.
Entah apa yang Adli tidak puas hati lagi dengannya. Bukan dia yang memutuskan
pertunangan mereka tetapi lelaki itu sendiri yang menghantar keluarganya untuk
berbuat demikian. Jadi, kenapa masih mengganggunya?
Safa masih teringat perihal yang berlaku siang tadi ketika dia
hendak pulang ke rumah dari Hotel Platinum. Dia yang baru hendak membuka pintu
keretanya direntap dari belakang oleh ‘seseorang’. Dia berasa tersentak dan
badan mula menggigil. Akal mula memikirkan perkara yang tidak elok akan berlaku
ke atasnya. Namun sebaik sahaja hidung mula menangkap bau haruman yang sudah
lebih dua tahun sebati dengan dirinya, dada mula lapang.
Safa berpaling ke belakang. Ingin menyoal apa yang Adli inginkan
lagi darinya. Namun belum sempat dia menuturkan sepatah katapun, lelaki itu
terus menyerang.
“Kau ni memang tak tahu malu kan? Tak padan baru putus tunang dah
menggatal,” tempelak Adli. Lantang suaranya menerjah gegendang telinga Safa.
Berkerut dahi Safa mendengar tuduhan tersebut. Dia tidak faham
dengan apa yang berlaku.
“Apa awak ni? Tak malu apanya? Menggatal apanya? Saya buat apa?”
soal Safa berani. Dia tidak perlu takut dan gentar kepada pemuda yang berada
tepat di hadapannya itu. Dia tidak berbuat salah. Kenapa dia mesti cuak dan
takut?
“Baru dua hari putus tunang kau dah ada jantan lain! Patutlah kau
tak kisah bila aku nak putus tunang. Memang dasar perempuan gatal!” Tuduh Adli.
Nada suaranya masih lagi di oktaf yang tinggi. Riak wajahnya tegang. Urat-urat
di lehernya kelihatan. Dia benar-benar kelihatan sangat marah.
Tetapi kenapa mesti dia marah? Dia dengan Safa hanya tinggal
kenangan. Mereka sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Malah dia sendiri yang
memutuskan pertunangan mereka.
“Awak peduli apa kalau saya dah ada lelaki lain pun? Kita bukan ada
apa-apa lagi dah. Awak yang nak sangat kita putus tunang. Kenapa bila saya dah
ada someone awak nak marah? Awak tak
ada hak!” Berani Safa menentang Adli.
Dia tidak
mahu dirinya diperkotak-katikkan lagi. Cukuplah dia menjadi orang bodoh yang
terlalu setia dengan seorang lelaki seperti Adli, yang langsung tidak
menghargainya. Malah mencuranginya!
“Kau dah pandai menjawab sekarang ya? Kau ni… memang!” Tidak mampu Adli
meneruskan ayatnya. Dia benar-benar sangat marah. Dia tidak tahu kenapa mesti
dia marahkan gadis itu.
“Ya! Saya memang pandai menjawab dah sekarang. And thanks to you, Adli! Sebab awak saya jadi macam ni!” balas
Safa.
Matanya
tepat memandang bekas tunangnya itu.
“Kenapa?
Awak ingat saya akan menjadi lemah dan menangisi perpisahan kita macam orang
gila? Awak silap Adli. Sebab saya sedikitpun tak heran dengan apa yang terjadi.
Saya sentiasa percaya Qada dan Qadar Allah SWT. Malah saya yakin Allah sudah
menetapkan saya berjodoh dengan lelaki lain. Yang lebih baik, tampan malah
lebih berharta dari awak. Walaupun saya tidak pandang itu semua tetapi siapa
saya untuk menidakkan ketentuan Tuhan kan?”
Geram Safa.
Segala macam diluahkannya. Walaupun segelintir daripada ayat yang dituturnya
adalah tidak benar, namun dia tetap berasa puas. Puas melihat wajah Adli yang
terkulat-kulat mendengar balasan daripadanya.
“Huh!!! Kau jaga, Saf! Aku tak akan lepaskan kau begitu saja. Kau
tunggulah. Aku akan balas nanti!” Adli membalas kasar.
Dia terus
berlalu dengan perasaan marah yang sangat maksimum. Langkahnya laju dan tidak
teratur. Langsung tidak berpaling kepada Safa.
Safa menarik nafas lega. Lega kerana dia tidak perlu lagi
berpura-pura kuat di hadapan Adli. Sejak dari tadi dia terpaksa menahan air
mata dari jatuh mengalir ke pipi. Dia tidak mahu nampak lemah di mata bekas
tunangnya yang telah berubah 360 darjah itu.
Dia benar-benar
berasa buntu. Buntu dengan apa yang perlu dia lakukan. Adli sudah memberi
amaran sebegitu. Sedikit sebanyak dia berasa gentar dan takut. Tambahan pula
dia tiada saudara mara di ibu kota ini selain teman rapatnya, Shira dan
teman-teman di pejabatnya. Dengan siapa dia dapat menumpang kekuatan dan
perlindungan?
“Huh! Kenapa lah dengan Adli ni? Tak habis-habis lagi. Entah apa
yang dia tak puas hati sangat?” omel Safa perlahan. Berkerut-kerut dahinya
memikirkan hal itu. Dia langsung tidak memberi perhatian terhadap siaran
televisyen yang terpasang.
“Saf! Yuhuuuu…” panggil Shira sedikit kuat sambil memetik jarinya.
Berkali-kali dia memanggil Safa namun tidak langsung menyahut.
Shira
yang baru sahaja pulang dari pejabat kerana ada sedikit masalah di bahagiannya
siang tadi, terus melabuhkan punggungnya di sebelah Safa. Namun sejak dari
tadi, gadis itu langsung tidak menyedari kehadirannya. Langsung tidak
memandangnya. Mustahil kusyuk begitu sekali walaupun menonton iklan? Pelik!
Sedangkan bibirnya terkumat-kamit bergerak.
Tersentak Safa mendengar seseorang memanggil namanya. Lebih terkejut
lagi dengan keberadaan Shira di sebelah kanannya. Hampir terlompat dia dari
sofa 2 dudukan itu. Terkejut dengan kehadiran BFF dia itu.
“Eh bila kau balik ni?” Soal Safa sambil mengurut-urut dadanya yang
tersentak sebentar tadi. Matanya bulat memandang Shira yang tersengih-sengih di
sebelahnya.
“Dah lama dah pun. Kau yang tak perasan,” balas Shira.
Tangannya
menggapai remote control di atas meja
kopi di hadapan mereka. Dia mula menukar-nukar siaran. Tiada apa yang menarik
untuk ditonton malam ini. Terasa lambat benar untuk menunggu rancangan
kegemaran dia dan Safa iaitu Vampire Diaries bermula. Masih ada lagi sejam tiga
puluh minit.
“Eh aku tak perasan pun? Kenapa kau tak panggil aku? Kau tak bagi
salam ya?” Safa menuduh. Hanya sekadar mengusik temannya itu. Jari telunjuknya
tepat menunjuk ke arah Shira.
“Amboi mulut tu... tak sayang sungguh! Aku dah bagi salam lah. Siap
baca ayat Qursi lagi masa nak masuk rumah tadi. Kau tu yang tak dengar. Kusyuk
fikir apalah sangat? Tak sedar langsung aku balik!” Sedikit tinggi suara Shira
membalas tuduhan Safa. Memuncung mulutnya menuturkan kata-kata itu.
Perasaan
lucu terbit di hati Safa dengan melihat telatah Shira itu. Sedikit sebanyak dia
dapat melupakan apa yang berlaku siang hari tadi.
“He he aku tahu lah. Tapi serius... aku memang tak sedar yang kau
dah balik. Tiba-tiba je ada di sebelah aku. Mau nya aku tak terkejut?”
“Itulah kau. Nasib baik aku yang ada kat sini, kalau orang lain
macam mana? Pencuri ke? Perompak ke? Haaa perogol ke? Macam mana?”
“Hish kau ni! Janganlah minta semua tu. Takut aku dengar. InshaaAllah
okey,” balas Safa.
Namun
tetap terbit juga rasa risau di hatinya. Risau sekiranya mereka-mereka yang
berniat tidak baik ke atas dirinya dan Shira menceroboh masuk ke dalam rumah
mereka. Mungkin Adli? Siapa tahu kan? Tambahan pula dia memang tahu di mana
letaknya kediaman mereka berdua. Tidak mustahil dia datang nak balas dendam.
Errr… dendam? Dendam apanya dia tu? Bukannya aku ada buat apa-apapun
kat dia. Dia yang tinggalkan aku! Komen Safa sendiri. Dahinya kembali berkerut
apabila sebaris nama itu kembali menerjah ke kotak fikirannya.
“Yang kau ni kenapa? Berkerut-kerut dahi tu? Seronok sangat kot nak
jadi tua sebelum waktunya?”
Hairan Shira dengan tingkah laku Safa itu. Sebentar tadi duduk
termenung tanpa sedar kehadirannya, sekarang ni entah apa yang dia fikirkan
sampai berkerut-kerut dahi itu?
“Hmm tak ada apalah!” Balas Safa ringkas.
“Tipuuuu… Aku tahu. Ada something
yang kau sedang sorok dari aku ni. Baik kau bagitahu aku!” ugut Shira.
Dia masak
benar dengan tingkah Safa. Gadis itu terlalu jujur hinggakan wajahnya tidak
dapat menyembunyikan apa yang dia sedang fikirkan. Cumanya dia tidak tahu apa
perkara itu. Tetapi dia yakin yang temannya itu sedang memikirkan sesuatu yang
berat!
“Hmm Adli!” Hanya itu yang keluar dari bibir Safa.
“Kenapa lagi dengan si jantan tak guna tu?” nada suara Shira sedikit
meninggi sebaik sahaja mendengar Safa menyebut sebaris nama itu.
Pemilik
nama yang sudah merosakkan hidup Safa dan yang telah mengecewakan sahabat
baiknya itu. Dia sehingga kini masih lagi tidak boleh menerima apa yang
berlaku.
Walaupun Safa
sudah kembali normal, namun tidak dirinya. Dia benar-benar bencikan Adli.
Sudahlah memutuskan pertunangan mereka, dia boleh pula serang gadis itu di
hotel tempoh hari. Sedangkan dia yang bawa betina lain ke situ. Terang-terang Adli
yang curang. Tapi dituduhnya Safa macam-macam. Entah jantan jenis apa dia itu?
“Dia serang aku lagi,” Sayu Safa menjawab. Dia kelihatan sedikit
terganggu apabila menuturkan ayat itu. Tangannya memintal hujung baju pijamanya
yang berwarna ungu lembut itu.
“Ya Allah! Apa lagi lah dia tu? Dia nak apa lagi???”
“Dia ugut aku, Shira!”
“What??? Dah gila ke apa
Adli tu? Hish geram sungguh aku!”
“Hmm aku takut, Shira. Kalau dia buat apa-apa kat aku macam mana?”
luah Safa. Dia memandang sayu ke arah sahabatnya itu.
Shira mencapai tangan Safa. Dia mengusap perlahan untuk memberi
kekuatan kepada gadis manis itu.
“InshaaAllah
tak ada apa-apa, Saf. Kau jangan fikir sangat. Nanti apa pun kau tak boleh settle kalau tak boleh nak concentrate.”
”Hmm entahlah
Shira. Aku dah buntu sangat ni. Aku risau. Adli tu dah berubah sangat. Aku tak
tahu kenapa? Dulu dia tak macam tu pun.”
“Eleh! dulu dia tu nak cover depan
kita ja. Dia tak tunjuk taring dia yang sebenar lagi. Entah-entah lagi jahat
dari Claus tu,” balas Shira sambil menyebut nama pontianak jahat dalam drama
bersiri Vampire Diaries itu.
Tertawa Safa mendengar kata-kata Shira itu. Sempat lagi sahabatnya
itu berjenaka.
“Macam ni lah, Saf. Aku nak bagi cadangan kat kau,” kata Shira.
Tawa Safa
terus terhenti. Dia tak tahu pula yang sahabatnya itu sedang memikirkan jalan
penyelesaian untuknya walaupun tiada kata-kata yang serius keluar dari mulutnya
sejak dari tadi.
Tekun Safa mendengar cadangan Shira itu. Terlopong dia dengan apa
yang disarankan. Terkebil-kebil matanya sambil mencerna apa yang perlu dia
lakukan. Kepala cepat-cepat menggeleng. Mana mungkin dia berbuat demikian. Dia
bukannya perempuan yang jenis suka mengambil kesempatan. Tambahan pula tak
akanlah dia yang kena mencari dan mengusul? Tak pasal-pasal dia akan dicop
‘perigi cari timba’ pula nanti. Hish!
Tapi Safa akui apa yang Shira sarankan itu memang ada benarnya.
Pasti Adli tidak akan mengganggunya lagi selepas dia menjadi kepunyaan orang
lain. Namun yang menjadi persoalan dan masalahnya sekarang ini adalah siapa
lelaki itu? Siapa yang sanggup nak jadi ‘suami loncatan’nya itu? Aduh!
Bab 10
I try not to miss you,
I try to let go,
But in the end,
You are always on my mind!
Mika
menarik nafas lega sebaik sahaja kakinya menjejak kaki ke tanah air sendiri.
Penerbangan MH82 yang berlepas jam 10.30 pagi dari Tokyo Narita Airport tiba di
Kuala Lumpur International Airport jam 4.45 petang. Terasa lenguh-lenguh pinggang
Mika kerana berada selama hampir 7 jam di dalam pesawat Malaysia Airlines itu.
Dia berasa aman berada di negara sendiri berbanding perasaan serabut berada di
Tokyo.
Tangan
kirinya meraup rambut panjangnya ke belakang. Rambut itu telah dipotong sedikit
layer di bahagian belakang. Sedikit
permintaan oleh pihak agensi. Namun tidak timbul sebarang masalah kepada Mika.
Tambahan pula dengan potongan rambut sebegitu membuatkannya kelihatan lebih
menarik dan seksi! Ops! Itu bukan sengaja dia nak cakap ye? Itu kata Asami,
iaitu model perempuan yang bergandingan dengannya di Tokyo.
Terbit
senyuman di bibir Mika mengingati perbualannya dengan Asami. Cantik gadis itu.
Kacukan Jepun-Amerika. Baik dan peramah. Tidak langsung mengambil kesempatan ke
atas perhubungan kerja mereka.
Malah
secara jujurnya gadis itu mengakui yang dia sudah berpunya. Kekasihnya adalah
seorang jejaka biasa yang menjalankan perniagaan sendiri. Bukannya lelaki dari
bidang yang sama dengan mereka. Sudah hampir 3 tahun mereka bersekedudukan.
Ya! Biasa
bagi mereka di luar negara yang berbuat demikian. Tinggal bersama walaupun
tanpa sebarang ikatan yang sah. Dia tidak mahu begitu. Dia mahukan perhubungan
yang halal dan hanya akan menyentuh sesuatu yang sudah menjadi haknya sahaja.
Tiba-tiba
fikirannya mula teringat akan Safa. Tiap kali perihal berumah tangga dan
perhubungan sesama lelaki dan perempuan diperkatakan, pasti terlintas figura cantik
itu. Dia tidak tahu kenapa? Seperti ada sesuatu yang ‘mengikat’nya dengan gadis
itu.
Timbul
kembali perasaan rindu yang amat sangat kepada Safa. Sudah hampir seminggu
mereka tidak berjumpa. Menyesal pula dia tidak mendapatkan nombor telefon gadis
itu. Kalau tidak, pasti dia sudah melekat dengan telefon 24 jam, berbual dan
bermesej dengannya.
Mika
mengerling ke sisi kirinya. Memandang teddy
bear yang dikepitnya. Tidak sabar untuk memberi kepada Safa. Tidak sabar
juga dia untuk melihat reaksi gadis manis itu. Entah apa perasaannya apabila
menerima hadiah yang tidak seberapa itu. Dia mula penasaran.
Buat
pertama kalinya di dalam hidup dia memberi hadiah kepada seseorang yang
langsung tiada kena mengena dengannya sebelum ini. Dia tekad membeli hadiah itu
kerana dia mahu Safa sentiasa mengingatinya. Tambahan pula dia sudah tahu
rahsia terbesar gadis itu, lagi bertambah tekadnya dia. Si manis itu kini tidak
berhubungan dengan mana-mana lelaki dengan serius.
Dia sudah
putus tunang! Peluang untuk Mika terbuka luas. Dulu timbul jua perasaan risau
dan tidak enak hendak merampas tunang orang namun kini isu itu dia tidak perlu
lagi risau. Dia bebas mengorat dan mengayat gadis itu!
Mika
menyewa sebuah limosin di KLIA. Dia perlu segera pulang ke The Troika. Jam
sudah hampir 5.30 petang.
Safa baru sahaja selesai
berbincang dengan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan. Pihak pengurusan telah
membuat keputusan akan menempatkannya secara total di Hotel Platinum manakala
di Hotel Silver akan ditempatkan pembantu akauntan yang lain. Tetapi akaun di
kedua-duanya masih di bawah pengawasan dan tanggungjawabnya.
Safa
tidak langsung merasa berat dengan keputusan itu. Malah dia berasa sangat
gembira. Dia lebih mesra dan rapat dengan kakitangan di Hotel Platinum. Yasmin
dan Farah sudah menjadi teman rapatnya. Walaupun dari pelbagai peringkat umur,
namun itu tidak langsung membataskan pergaulan mereka.
“Welcome, Safa Salena!”
ucap Yasmin riang.
Dia juga
berasa sangat gembira dengan keputusan itu. Tidak perlu lagi Safa asyik
berulang-alik dari Hotel Platinum dan Hotel Silver. Tidak perlu lagi gadis itu
tertekan menghadapi jalan yang sesak. Walaupun sekali sekala dia perlu juga ke
sana, namun sekurang-kurangnya gadis itu tidak perlu berulang-alik setiap hari.
Kasihan Safa.
Walaupun tidak mendengar sebarang rungutan dari gadis itu, namun Yasmin yang
melihat sudah merasa cukup ‘penat’ dengan kerjanya. Itu belum lagi masuk bab
akaun tak tepat. Mahu migrain gadis itu..
“Alah Kak Min ni. Saya memang ada kat sini dah pun. Apa pulak welcome welcome segala ni?” balas Safa
lembut sambil bibir mengukir senyuman manis.
“Kak Min tahulah. Tapi kali ni Saf tak perlu lagi ulang-alik setiap
hari. Boleh duduk terus kat bilik akauntan tu tiap-tiap hari, dan juga
tiap-tiap hari boleh keluar makan dengan Kak Min dan Farah. Kalau tak… asyik
Kak Min dengan Farah je. Boring
betul!”
Tertawa mereka kedua-duanya. Ini kalau dengar dek Farah mahu merajuk
seminggu. Perangai masih keanak-anakkan si Farah itu. Sedikitpun tidak matang
walaupun bergaul dengan mereka-mereka yang lebih tua darinya.
Safa memohon diri untuk berlalu ke biliknya. Sebaik sahaja dia
melangkah masuk ke dalam bilik itu, hidungnya mula menangkap bau haruman
‘lain’. Dia mula berasa hairan. Seperti ada seseorang yang telah masuk ke dalam
biliknya itu. Sedikit perasaan cuak telah timbul. Cuak kerana bilik itu
menempatkan pelbagai fail kewangan dan fail-fail yang sulit. Risau kalau ada
yang ‘cepat tangan’.
Matanya
mula meliar sekeliling biliknya. Tiada langsung sebarang selerakkan. Fail-fail
masih berada di tempatnya. Mejanya masih kemas tanda tiada sesiapapun yang
mengusik. Namun sebaik sahaja matanya mula menangkap satu figura ‘aneh’ yang
berada di atas kerusinya, dia terus melangkahkan kaki ke arah itu. Semakin
hampir dia mula mampu menterjemah apa yang sedang dilihatnya.
“Erk… Teddy bear? Siapa
yang kasi ni?” Tangannya mula mengangkat teddy
bear setinggi 2 kaki itu. Agak besar untuk dirinya yang tidak berapa besar
itu. Di dada teddy bear itu tertera
ayat ‘I Love Tokyo’.
Cantik!
Tapi untuk dia ke? Siapa yang kasi?
Safa
meletak kembali teddy bear itu di
atas kerusinya. Dia mula risau. Takut menyentuh barang orang. Tetapi kenapa
mesti letak di atas tempat duduknya? Siapa yang berani sangat masuk ke bilik
akauntan? Bukankah bilik ini hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh
masuk?
Safa mengatur langkah untuk keluar dari bilik itu. Dia perlu menanya
kepada pembantunya siapa yang masuk ke dalam biliknya sepanjang ketiadaannya
sebentar tadi.
“Ani!” Panggil Safa.
Ani merupakan salah seorang pembantu akauntan. Dia yang sedang
tunduk menulis sesuatu ke dalam buku lejar terus mengangkat kepala memandang ke
arah suara yang memanggil.
“Ya?” sahutnya.
“Tadi sepanjang saya tak ada, ada sesiapa yang masuk ke bilik saya
ke?” soal Safa telus.
“Erkk… Tak tahu,” balas Ani tergagap. Sama ada dia merasa cuak
kerana tidak perasan siapa yang telah masuk ke dalam bilik bosnya itu atau dia
sedang menyembunyikan sesuatu?
“Hmm betul awak tak tahu?” soal Safa lagi untuk mendapatkan
kepastian.
“Ya. Kenapa Saf?” soal Ani semula. Dia memandang Safa.
Sememangnya
semua orang memanggil Safa dengan panggilan Saf. Baik pegawai atasan mahupun
kakitangan bawahannya. Itu merupakan permintaannya sendiri. Dia tidak mahu
menjarakkan perhubungan mereka. Dia mahu mereka berasa diri mereka juga penting
dan bukannya sebagai pekerja bawahan sahaja.
Pada
mulanya mereka di bawahnya sukar untuk berbuat demikian namun setelah berkali-kali
diberi amaran olehnya, mereka terpaksa jua berbuat demikian. Malah dengan
panggilan nama sebegitu membuatkan mereka menjadi lebih rapat dan mesra.
Langsung tidak timbul sifat iri hati, beban atau perasaan yang tidak enak di
kalangan mereka.
“Err… Nothing. Tak apalah.
Saya masuk dulu,” balas Safa sedikit gagap.
Ani hanya tersenyum kepada ketuanya itu. Senyuman yang sukar
ditafsir!
Safa masuk semula ke dalam biliknya. Dia berjalan tepat menuju ke
kerusinya. Dia mencapai semula teddy bear
berwarna putih itu. Dibelek berkali-kali. Tiba-tiba sekeping kertas
berwarna kuning jatuh dari punggung teddy
bear itu. Dia terus mencapainya. Terlopong matanya membaca ayat yang
tertera.
+ Miss you! Call me after you’ve
read this…
From : 0123456789
Menggigil
tangan Safa menggenggam nota itu. Dia mula meneliti nombor telefon yang
tertera. Bukan nombor telefon sesiapa yang dia kenal. Malah bukan juga nombor
telefon Adli. Siapa yang berani cakap macam tu padanya?
Kepalanya
penuh dengan pelbagai alasan dan isu. Dia buntu! Sebahagian akalnya mula
menyuruhnya menghubungi nombor telefon itu. Namun sebahagian lagi menghalangnya
dari berbuat demikian.
Safa
melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Dia memeluk teddy bear yang gebu itu. Dia membelai bulu teddy bear itu tanpa dia sedari. Dia akui yang dia sukakan hadiah
itu namun dia berasa risau dengan gerangan yang memberi. Entah siapa-siapa yang
beri.
Safa
mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam laci di sisinya. Jemarinya mula
menekan nombor asing itu. Lambat sekali dia bertindak. Untuk menekan butang
‘hijau’ pun mengambil masa yang lama. Semuanya berlaku di bawah pengaruh luar
sedarnya. Sebaik sahaja dia mendengar suara di ‘sana’ menyahut, cepat-cepat dia
menekan butang merah. Gelisah dia mendengar suara garau yang menyahut.
Bertambah takut dan gelisah.
Namun
tidak sampai 15 saat, telefonnya berbunyi. Nombor asing itu tertera di skrin
telefon bimbitnya. Teragak-agak Safa hendak menjawabnya. Butang hijau
ditekannya. Telefon didekatkan di telinganya yang ditutupi dengan tudung bawal
berwarna hijau gelap.
“Assalamualaikum,”
sapa Safa perlahan.
Dia cuba
memberanikan diri. Dia benar-benar ingin tahu gerangan yang menghantar teddy bear tersebut. Matanya sempat
mengerling teddy bear yang berada di
atas ribanya itu. Diusap perlahan perkataan yang tertera di hadapan badan teddy bear itu.
“Waalaikumsalam,”
Garau suara di sana menjawab.
Safa
terkejut mendengar suara itu. Rasa pernah didengarinya. Tapi siapa?
“Er… awak
siapa?” tergagap-gagap Safa menyoal.
“Amboi
cik adik cantik ni. Buat tak kenal kita boleh ye? Sampai hati sungguh!”
“Hish janganlah main-main. Saya kenal awak
ke?” soal Safa semakin berani.
“Wahai Cik
Safa Salena yang cantik manis. Baru seminggu awak tak dengar suara saya awak
dah lupakan saya? Saya, Mika lah!”
“Mika? Azka
Mikael ke???”
“Amboi siap
sebut nama penuh lagi. Kenapa tak sebut nama daddy saya sekali?” perli Mika.
Dia tertawa lucu. Lucu mengenangkan yang gadis itu pasti sedang terkejut dengan
apa yang berlaku.
“Mika!
Awak janganlah main-main. Betul ke awak ni, Mika anak Tan Sri Ahmad Malik?”
soal Safa lagi. Masih lagi tidak berpuas hati. Iyalah! tiba-tiba saja bagi dia
hadiah, apa mimpi?
“Ya
Allah! Betullah saya ni Mika. Awak ada kenal ramai Mika ke?”
Jejaka
itu masih ketawa riang. Langsung tidak mengambil serius dengan apa yang sedang Safa
persoalkan. Terasa lucu dengan telatah gadis itu. Sampai begitu sekali dia
tidak percayakan Mika.
“Err… tak
lah. Saya cuma terkejut je. Tiba-tiba je masuk bilik ada makhluk ni. Nasib baik
saya tak jerit tadi,” balas Safa malu-malu.
Namun dia
sudah berasa lega. Nasib baiklah dia mengenali orang yang memberi hadiah itu.
“ Err…
tapi kenapa awak bagi saya teddy bear tu?”
soal Safa kembali.
“Lah
pulak! Kenapa? Tak boleh ke?”
“Hmm
bukanlah. Tiba-tiba je…”
“Saya kan
baru balik dari Tokyo semalam? Saya belilah buah tangan untuk awak sikit.
Kenapa? Awak tak suka ke?”
“Eh tak
lah. Saya suka!” Cepat-cepat Safa menjawab. Masakan dia tidak sukakan ‘makhluk’
itu? Makhluk secomel dan segebu itu.
“Haaa baguslah
awak suka. Lega saya dengar,” Mika membalas sambil menarik nafas lega.
“Mika,
awak beli untuk semua staf kat sini ke?”
Kedengaran
kuat pemuda itu melepaskan tawa. Terpinga-pinga Safa mendengarnya.
“Awak ni
lawak lah Saf. Tak kan lah saya nak beli untuk semua pulak? Mahu saya kena
tempah satu kapal terbang untuk bawa balik hadiah tu semua. Saya beli untuk
awak je,” balas Mika. Masih ada sisa tawanya.
“Untuk
saya je? Untuk family awak?” masih
lagi Safa menyoal. Dia menyandarkan badannya ke belakang. Cuba menenangkan diri
dan mencari keselesaan.
“Saf… Apa
kata awak turun sekarang ke Zarra Café? Saya dah lama tunggu awak ni kat sini.
Nanti saya jawab semua soalan awak tu. Boleh?”
“Awak ada
sini? Awak tunggu saya ke???” soal Safa terkejut. Terangkat sedikit tubuhnya
dari kerusi.
“Safa
Salena! Turun lah dulu. Nanti saya jawab semuanya. Penatlah asyik cakap dalam
telefon je. Nanti lama-lama boleh kena kanser otak pula kita berdua. Turun
sekarang ya?” suruh Mika.
Kalau
dibiarkan mahunya Safa tidak henti-henti menyoalnya macam-macam. Dia dah lah
rindukan gadis itu. Dia nak jumpa dan lihat gadis itu di depan mata bukannya
hendak mendengar gadis itu berpenasaran macam-macam.
“Err… Give me five minutes. Boleh?”
“Okey!”
Kedua-duanya
terus mematikan talian.
Kelam-kabut
Safa mencapai dompetnya di dalam laci. Kaki terus melangkah keluar dari
biliknya. Sempat dipesankan kepada Ani tentang ketidakberadaannya itu.
Tersengih-sengih gadis itu memandangnya.
No comments:
Post a Comment