Friday 3 January 2014

Pergi Tanpa Alasan : Bab 10 - 15

Bab 10

Setiap hari mengadap muka Hakim, memang itu yang dia mahu. Tapi, bukan dalam keadaan yang sebegini. Bukan dalam keadaan hatinya penuh dengan rasa geram dan benci, sarat dengan sakit yang tidak bertepi.
“Patutlah I rasa macam ada sesuatu yang pelik. Rupanya you dengan Hakim ni memang pelik.” Teringat kembali sindiran Encik Nazreen pada pagi dia masuk bekerja selepas kejadian tersebut.
“Kalau you dah layan Hakim sampai tahap macam tu, kenapa nak letak jawatan pula bila diberi peluang jadi PA dia? Ke, semua ni hanya satu sandiwara? Macam sandiwara yang you lakonkan selama ni. Nampak macam bagus tapi...”
Rihana pantas bangkit berdiri sebelum sempat Encik Nazreen menghabiskan ayat menghinanya.
Please inform Encik Hakim, I am accepting his offer and withdrawing my resignation!” tegas Rihana.
“And one more thing... if you don’t know the true story, don’t talk so much.” Rihana terus berlalu keluar.
Wah! Berani sungguh dia bagi warning pada bos sendiri. Saat itu dia memang geram sungguh-sungguh. Bukan pada Encik Nazreen saja malah pada Hakim juga. Kalau bukan sebab Hakim, tak adalah hidupnya jadi porak peranda begini.
Kerana sebab itu, dia berada di sini. Berada di meja depan bilik pejabat Hakim. Kerana geram dan sakit hati dan alang-alang orang dah mengata begitu, baik dia redah saja. Lagi pun, tawaran Hakim agak lumayan. Misinya, untuk mengumpul kekayaan dengan cara halal dan misi sampingannya, nak ajar Hakim jadi manusia berhemah.
Di hari pertama Rihana di Royal Group, dia diajar oleh Kak Faridah, Senior Secretary yang sudah lama berkhidmat dengan Hakim. Selepas ini, Kak Faridah akan berada di bahagian Admin.
“Tuan Hakim ni kalau ada appointment waktu pagi, dia memang tak masuk pejabat,” jelas Kak Faridah.
Rihana senyum. Terasa lucu pula bila disebut Tuan Hakim. Dah macam rupa dalam mahkamah pun ada.
Seharian itu, Rihana memang tak nampak kelibat Hakim. Kata Kak Faridah, jadual Hakim memang padat hari itu. Maknanya, lelaki itu takkan muncul. Terasa sedikit lega, bolehlah dia bekerja dengan tenang.
Pun begitu, satu jam sebelum habis waktu pejabat, Hakim tiba-tiba menapak masuk. Langkahnya perlahan melintasi meja tempat Rihana duduk. Waktu itu, Kak Faridah masih berada di situ menunjuk ajar Rihana.
“Encik Hakim, akak ingat encik tak masuk office. Nak akak buatkan air ke?”
“Takpe kak, minta ‘orang baru’ buatkan.” Mata Hakim menuntas ke wajah Rihana yang tunduk memandang kertas di atas meja.
Mendengar perkataan ‘orang baru’ yang disebut Hakim, Rihana panggung kepala. ‘Dah tak kenal nama aku ke?’ hati Rihana bergumam sendiri.
“Nanti saya nak pinjam ‘orang baru’ kejap, sebelum balik.” Hakim pandang jam di tangan. Masih ada waktu untuk dia melepaskan rindu menatap wajah Rihana. Akalnya bergerak mencari jalan agar dia boleh ‘menahan’ Rihana lebih lama di dalam bilik pejabatnya.
“Akak buatkanlah Nescafe tu, nanti saya hantar. Kalau saya buat takut tak kena dengan selera dia, takut tak minum.” Rihana bersuara sebaik Hakim menghilang di balik daun pintu biliknya.
“Kena belajar yer,  Tuan Hakim awak tu cerewet pasal minum.”
Rihana senyum. Tak payah cakap, dia memang tahu tentang itu. Sebabnya, dia pernah jadi ‘tukang bancuh’ air pada lelaki cerewet itu selama berbulan lamanya.
“Sayanggg... kurang manis ya.” itulah pesanan standard Hakim bila meminta dia membancuh Nescafe di bilik-bilik hotel.
“You tak payah cakap ulang-ulang my dear. I dah tampal pesanan you tu dalam kepala I.” Rihana jeling manja.
“Mmm... sebab tu I sayang you.” Hakim peluk pinggang Rihana dari belakang.
“Sayang bersebab kan?” Rihana menduga.
“I tak perlu sebab untuk sayang you Rin.”  Hakim pusing tubuh Rihana mengadapnya. Wajah Rihana yang cantik dan nampak seksi itu ditelek lama.
 Memang nafsunya sentiasa menggila bila berada dekat dengan Rihana. Tapi, bukan sebab nafsu itu dia ingin selalu menemui Rihana. Ada sebab lain yang dia sendiri tidak mampu huraikan dengan kata-kata. Adakah itu yang dinamakan cinta dan kasih sayang?
Rihana tepuk perlahan pipi Hakim. Kalau dibiarkan hanyut, Hakim boleh jadi lelaki yang sukar dikawal dan tentunya dia yang akan terkorban nanti.
“ Jangan tenung I macam tu.” bisik Rihana dan pelukan Hakim cuba dileraikan.
Hahhh!!!  Rihana mengeluh berat. Kenapa kenangan penuh dosa itu harus datang menjengah mindanya? Sudah sekian lama dia cuba memadamkannya tetapi ternyata, dia masih gagal.
“Hai! Belum apa-apa dah mengeluh,” teguran Kak Faridah memaksa Rihana mengukir senyum. Nescafe yang masih berasap sudah pun terletak di atas meja, menunggu masa untuk dia hantar ke bilik Hakim.
“Bimbang nak jumpa Tuan Hakim kak. Takut kena jatuh hukum.” Rihana bersenda sambil cuba menahan gelora di dada.
Masuk ke bilik pejabat Hakim setelah mengetuk pintu, kelihatan lelaki itu sedang bersandar lesu di kerusi empuknya dengan mata terpejam rapat. Nampak benar dia sedang keletihan. Patutlah dulu, bila mereka bertemu, Hakim selalu meminta dia memicit leher dan bahu untuk menghilangkan penat.
“Ni airnya Encik.” Rihana letakkan secawan Nescafe ke atas meja di depan Hakim.
“Kalau tak ada orang lain antara kita, jangan sesekali panggil I encik. Sekali lagi I dengar, bibir you jadi mangsa.” Hakim bersuara, tegas umpama arahan dengan mata yang masih terpejam.
Rihana bulatkan mata. Jemarinya spontan naik menyentuh bibir sendiri. Tak senonoh betul!
Hakim buka mata. Badannya ditegakkan dan kerusi ditarik rapat ke meja dengan pandangan tepat memanah wajah Rihana di depannya. Isyarat tangan diberi menjemput Rihana duduk dan kemudiannya dia bertongkat dagu di atas meja dengan pandangan masih tepat ke arah Rihana. Terasa rindu yang terbendung bertebaran jatuh ke lantai.
“Penat?” soal Hakim.
Rihana kerut kening. Ini dah macam terbalik. Patutnya dia yang tanya Hakim, kenapa Hakim pula yang tanya dia?
“Tak!” Rihana geleng kepala.
“Okey! Boleh urut leher I?” permintaan Hakim buatkan Rihana spontan bangkit berdiri. Serentak itu juga, Hakim turut sama bangkit.
“Itu tak termasuk dalam skop kerja I kan?” Rihana atur langkah untuk keluar.
“Hey! Kenapa cepat sangat melatah ni? I gurau ajelah!  Sejak bila dah tak boleh bergurau ni?” Hakim pantas memintas. Pintu yang cuba Rihana buka ditolak dan ditahan menggunakan tangannya. Matanya jatuh pada wajah Rihana yang mencuka.
Lama pandangan mereka bersabung, menghantar frekuensi pelik ke hati masing-masing. Getarannya, jika diukur skala Richter boleh mengalahkan gegaran di bumi Alaska tahun 1964, melebihi 8.0 magnitud.
Akhirnya, Rihana kalihkan pandangan, kalah dengan sinar mata Hakim. Macam mana dia nak balas rasa sakit hatinya pada Hakim sedangkan menatap sinar mata lelaki ini pun dia sudah terasa kalah?
“Duduklah dulu, I ada benda nak ajar you sikit.” Hakim menunjuk tangan ke arah sofa, meminta agar Rihana duduk. Dia pula sudah bergerak ke arah almari kabinet untuk mengeluarkan fail sulit.
“I keluar ambil nota dulu.” ujar Rihana. Namun, belum sempat tangannya menarik daun pintu, ada seseorang sudah menolaknya dari arah luar.
Melihat wajah Datuk Adam yang muncul di situ, Rihana telan liur. Pantas kepalanya menunduk memberi hormat sebelum berlalu keluar.
Hakim tarik nafas lega tatkala melihat papanya melangkah ke arah kerusi dan duduk di depan mejanya. Nasib baik lagi dia dengan Rihana bukan dalam keadaan yang mencurigakan ketika papanya muncul tadi.
Fail yang ditangan diletakkan kembali ke dalam kabinet. Langkahnya diatur ke kerusi sendiri.
“Papa cari Hakim ada apa-apa ke?” Hakim bertanya. Papanya jarang datang ke pejabatnya kecuali ada perkara penting. Selalunya, Dia akan dipanggil ke pejabat papanya yang terletak di sudut paling hujung tingkat lima Menara Royal Group tersebut.
“Papa dengar kamu tukarkan Faridah ke bahagian Admin dan ambil PA baru. Kenapa?” Soal Datuk Adam.
Dia baru dengar cerita itu dari HR. Pelik! Faridah tu sangat cekap sebagai PA dan sudah lama berkhidmat dengan Hakim, kenapa tiba-tba harus ditukarkan?
“Hakim nak bagi peluang pada dia belajar benda baru pa. Takkan selamanya dia nak jadi PA. Admin tu ada banyak peluang untuk dia naik lebih tinggi.” Hakim tipu sunat. Sambil menyelam sambil minum air.
Memang ada terlintas di fikirannya begitu tetapi itu hanyalah niat sampingan. Yang utamanya, dia memang nak Rihana jadi pembantu peribadinya.
Datuk Adam angguk kepala, bersetuju dengan perancangan Hakim. Dia tahu, kalau dalam soal perancangan dan pengurusan tak kira dari segi manpower planning ataupun project arrangement, Hakim sangat bijak. Selalunya, apa Hakim buat, resultnya memang berkesan.
“Mana kamu ambil pembantu kamu yang cantik tu?” Soal Datuk Adam lagi. Pertama kali melihat wajah PA Hakim yang baru cantik dan sopan bertudung itu, hatinya terasa sejuk.
“Mmm... Nazreen bagi. Budak tu request nak tukar ke sini sebab lebih dekat dari rumah dia. Nazreen kata budak tu bagus, Hakim ambil ajelah.” Hakim mereka cerita. Nasib baik lagi otaknya bergerak lincah. Dia langsung tidak bersedia dengan soalan begini. Maaflah Nazreen, sebab pinjam nama you untuk putar belit fakta.
“Okey! Papa percaya kamu tahu apa yang kamu buat.” Datuk Adam bangkit berdiri.
“Oh! Ya, hujung minggu ni tolong freekan diri. Kita ada dinner dengan keluarga Tan Sri Idham.” ujar Datuk Adam dan melangkah keluar.
Hah! Hakim lepaskan nafas kasar. Kepalanya ditundukkan hingga dahi menyentuh permukaan meja. Sesuatu yang dia memang tak suka dengar apabila disebut boleh buatkan jiwanya berserabut. Dia baru merancang nak ajak Rihana keluar, papanya sudah menyekat jalan.
Sebut saja nama-nama yang berkaitan dengan Nelly, dia jadi letih dan penat. Macam mana nak menghindari kalau Nelly pun sudah seakan gila bayang pada dia? Serasanya, dia tak pernah layan Nelly dengan baik selayaknya sebagai seorang tunang tapi Nelly tetap berusaha memulihkan hubungan mereka.
Terkadang Hakim pelik sendiri, kenapa gadis cantik dan kaya raya serta terkenal seperti Nelly tergila-gilakan dirinya sedangkan dia pasti wanita itu ramai kenalan lelaki yang boleh dijadikan calon teman hidup?
Tapi, bila difikirkan kembali, ianya tidaklah pelik. Seperti dia sukakan Rihana. Kenapa harus Rihana sedangkan Nelly lebih layak dari segi kedudukan dan pangkat?



Bab 11


Teringatkan Rihana, Hakim pantas panggung kepala. Tatkala mindanya menyebut nama Rihana, dia teringatkan wanita itu? Segera matanya mengerling jam di tangan. Sudah melepasi waktu pejabat. Spontan Hakim bangkit dan bergegas menuju ke pintu.
Kosong! Meja Rihana telah kosong. Sudah pulangkah dia? Keadaan pejabat juga sudah sunyi. Yang tinggal cuma beberapa kakitangan yang bekerja overtime.
Hakim atur langkah menjenguk ke bahagian Admin mencari Kak Faridah. Mana tahu Rihana ada di situ.
“Lizaaaa!!!” tiba-tiba saja Hakim menjerit memanggil nama akauntannya yang melintas di situ.
“Aaarrr!!!” Lizawati terkejut dan langkahnya juga terhenti mengejut. Bukan apa, terkejut mendengar tone suara Tuan Hakim yang macam Tarzan terlepas ke bandar itu. Tak nampak orang tetiba aje terdengar suara. Keadaan pejabat pula sudahlah suram kerana separuh lampu sudah ditutup.
Sorry, buat you terkejut.” Hakim gosok belakang tengkuk. Sebenarnya, dia pun tak tahu kenapa dia memanggil akauntannya itu. Nak tanya pasal Rihana, entah Lizawati kenal ke tidak sebab baru sehari Rihana di sini.
Lizawati yang melihat tingkah pelik bosnya itu berkerut kening. Kakinya terus melekat di situ menunggu apa yang ingin ditanya atau diarahkan. Matanya tidak berkelip memandang Tuan Hakim. Dalam cahaya yang suram begitu pun bosnya itu masih nampak sangat kacak dengan ciri-ciri maskulin yang mampu membuatkan jiwa wanita bergegar hebat.
Admire? Ya! dia memang sudah lama menyimpan rasa itu pada Tuan Hakim. tapi, dia harus sedar diri. Kalau Julia, Ameera atau Irma, wanita-wanita cantik di Royal Group ini yang sentiasa menggedik itu pun Tuan Hakim tidak pandang walau sebelah mata, inikan pula dia yang sedang-sedang saja.
“Mmm.. you nampak kak Faridah tak?” soalan Hakim menyedarkan Lizawati dari menungan tentang lelaki itu.
“Ouh! Kak Ida baru aje balik dengan assistant bos yang baru tu,” jelas Lizawati.
Hakim angguk kepala. Tanpa menunggu, dia melangkah masuk ke pejabatnya. Telefon bimbit yang ditinggalkan  di atas meja dicapai dan menekan-nekan nombor Rihana.
“You dah balik ke?” terus saja Hakim menerjah dengan soalan sebaik talian bersambung.
“Yerlah! Dah cukup waktu kan?” suara lunak Rihana menjawab di talian.
“Kenapa tak tunggu I?”
“Eh! You tak pesan pun suruh tunggu.”
“Okey! You kat mana sekarang?” Terkocoh-kocoh Hakim mengemas dokumen penting dan dimasukkan ke dalam briefcasenya. Dia mahu mengejar Rihana.
“Car park.”
“Tunggu sana. I datang sekarang.” Hakim putuskan talian dan pantas mencapai kunci kereta di atas meja. Apa sekalipun, dia mesti jumpa Rihana sebelum pulang. Jika tidak, malam ni dia tak boleh tidur. Gila! Memang dia sedang gila saat ini.
Baru saja kakinya melangkah menghampiri pintu keluar, namanya dipanggil. Sebaik menoleh, dia rasa seperti mahu lari menyembunyikan diri. Papanya bersama Nelly berjalan seiring datang mendekatinya.
“You buat apa kat sini?”
“Cari you. Terserempak dengan uncle, sembang sekejap.” Nelly menjawab manja.
“Buat apa cari I? kenapa tak call dulu?” Hakim tidak senang. Jam di tangan dikerling sekilas. Saat ini, kepalanya hanya teringatkan Rihana yang sedang menuggu.
“Kalau I call mesti you kata sibuk. I redah ajelah, mencuba nasib.” Nelly senyum.
Langkahnya diatur menghampiri Hakim dan dengan selambanya lengan lelaki itu dipaut mesra tanpa segan silu walau di depan bakal mertua. Sudah biasa bergaul bebas, begitulah gayanya.
“Nelly nak ajak Hakim pergi butik pilihkan baju dia nak attend dinner. Pergilah, luangkan masa sikit untuk dia.” Datuk Adam menjawab bagi pihak Nelly.
Hakim tarik nafas. Kalau Datuk Adam sudah masuk campur, nak mengelak memang dah tak ada peluang. Kalau melawan nanti panjang cerita. Walau hatinya berat berkilo-kilo, dia akur jua melangkah beriringan dengan Nelly turun ke lobi.
“Lama I tak jumpa you sayang. Kenapa I nampak badan you makin susut ni?” Nelly bergerak mengadap Hakim tetapi tangannya masih memaut lengan lelaki itu. Waktu itu, mereka berdua sedang di dalam lif menuju ke car park. Hanya mereka berdua di ruang tersebut.
Belum sempat Hakim menjawab, pintu lif sudah terbuka dan apa yang dia nampak, berdiri menunggu di depan pintu lif itu buatkan jantungnya gagal berfungsi. Terasa hatinya digegarkan dengan kuat dan kepalanya tiba-tiba jadi berpusing.
Rihana yang sedang menunggu lif untuk naik ke lobi sambil menekan-nekan telefon bimbit di tangan untuk menghubungi Hakim terus jadi kaku sebaik pandangannya didongakkan. Kedudukan Hakim dengan tunangnya dalam keadaan seperti berpelukan itu buatkan hatinya jatuh melurut ke lantai.
Tanpa mengesyaki apa-apa, Nelly tarik lengan Hakim keluar dari perut lif untuk ke kereta.
“Lepas cari baju kita dinner sama-sama yer sayang.” Ceria suara Nelly tertangkap di telinga Rihana.
Nafasnya terasa tertahan. Rihana tekan butang lif yang hampir tertutup. Bersama hati yang sarat pelbagai rasa, kakinya diangkat masuk ke dalam perut lif. Air matanya tiba-tiba meminta izin untuk melimpah keluar. Kenapa? Kenapa dia harus bersedih begini?
You tunggu I kat kereta. I tertinggal something.” Hakim letakkan kunci kereta ke tangan Nelly dan pantas jemarinya dihulur menahan pintu lif yang sudah hampir tertutup.
Lif kembali terbuka dan Hakim meloloskan diri masuk ke dalam tanpa menunggu jawapan Nelly atau melihat reaksi wanita itu.
Di dalam lif, jemari Hakim pantas saja menekan butang lobi yang sudah bernyala lampu merah. Lama dia menekan sehingga lampunya terpadam. Kemudian, butang bernombor lima ditekan. Bermakna, jika tiada sesiapa di lobi untuk naik ke atas, lif tersebut tidak akan berhenti dan terus ke tingkat lima.
“I nak ke lobi, kenapa you padamkan?” Rihana bertanya, tonasinya bernada marah.
Hakim tidak menjawab sebaliknya melangkah mendekati Rihana yang bersandar di dinding lif. Rihana ingin bergerak ke tepi tetapi kedua tangan Hakim telah menekan ke dinding, menguncinya di tengah-tengah.
“Buat apa ke lobi?”
“Nak buat apa kat lobi pun I kena report dengan you ke?” Rihana bertanya sinis bercampur geram.
Tadi, Hakim meminta dia menunggu dan dengan rela hati dia menunggu di car park. Lama menunggu, perutnya terasa memulas dan dia berlari untuk naik ke lobi mencari tandas.
Pun begitu, dia ditemukan dengan Hakim yang sedang enak ‘beramah mesra’ bersama tunangannya di dalam lif. Sungguh menyakitkan hati!
“Encik Hakim...sekarang dah habis waktu pejabat dan...” Bicara Rihana termati di situ saat telunjuk Hakim melekat di bibirnya.
Don’t talk so much. Nanti bibir you jadi mangsa. I guess... you tentu tak nak kan?” Hakim berbisik perlahan.
Rihana jadi kaku. Hakim makin mendekat tetapi Rihana tahan jemarinya melekat di dada bidang lelaki itu. Walau berlapik baju, arusnya begitu kuat sehingga Rihana rasa seperti terkena renjatan elektrik.
Saat yang sama pintu lif terbuka di tingkat lima. Nasib baik tiada sesiapa di situ dan tanpa amaran Hakim tarik lengan Rihana mengikut langkahnya masuk ke bilik pejabat.
“Dah you ni kenapa Hakim? I nak baliklah!” Rihana separuh menjerit sebaik pintu bilik Hakim tertutup rapat. Melihat keadaan yang sunyi sepi itu, dia tiba-tiba jadi seram. Bukan seram pada mahkluk asing tetapi seram pada ‘Makhluk Tuhan Paling Menggoda’ yang ada di depannya saat ini.
“I nak pandang wajah you puas-puas dulu baru you boleh balik,” ujar Hakim, mengunci Rihana yang bersandar di belakang pintu dengan kedua tangannya. Kalau dia bergerak selangkah, Rihana tentu berada di dalam pelukannya. Tapi, dia tak mahu buat sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan berganda oleh Rihana.
 Crazy!” jerit Rihana, menolak tubuh Hakim agar menjauh darinya.
You drive me crazy Rinnn... you drive me crazy.” Hakim bersuara, menahan rasa di jiwa yang sudah bergolak hebat. Berada dekat dengan Rihana buat jiwa lelakinya sukar untuk dikawal.
‘Rihana... you are one in a million. Belum pernah ada lagi seorang wanita yang mampu buatkan I jadi segila ini,’ bisik hati Hakim.
Mata Rihana terpejam rapat. Perasaannya seperti terbuai tetapi mindanya tiba-tiba teringatkan Nelly yang sedang menanti. Dan saat itu, dia sedar akan satu hakikat, antara dia dan Hakim, jurangnya tak mungkin menjadi rapat.
Pantas dia tolak tubuh Hakim agar menjauh darinya. Saat yang sama, telefon di dalam poket Hakim tiba-tiba berdering.
Melihat wajah Hakim tatkala memandang skrin telefonnya, Rihana sudah dapat mengagak siapa yang membuat panggilan.
“Kan tunang you dah cari.” sinis Rihana.
Hakim diam, memincing matanya ke wajah Rihana yang mencebik. Telefon di tangan dibiarkan tidak berjawab. Langkahnya diatur mendekati Rihana yang sudah berada di tepi sofa. Cepat sungguh dia melarikan diri.
“Baik you pergi, nanti mengamuk tunang you tunggu lama,” sambung Rihana lagi. Langkahnya diundur dengan mata memerhati tingkah Hakim. Dia sedang bersedia untuk melarikan diri.
“You tak payah ingatkan Rin, I tahu apa yang I buat.” Hakim bersuara dengan wajah tegang. Dia memang tak suka bila sebut tentang Nelly apatah lagi yang menyebut itu ialah Rihana.
“I cuma nak ingatkan you. Tunang you tu...”
“Can we just not talk about her?” Hakim memintas dengan suara tegang.
“I bawa you ke sini sebab I rindukan you Rin. Tolonglah faham.” Hakim memancing, mengharap pengertian Rihana.
Rihana berpeluk tubuh. Pandangannya dihala ke atas. Perkataan rindu itu meresap ke hatinya tetapi kalau benar rindu, kenapa Nelly yang diheret? Bermesraan dengan Nelly tu apa pula namanya? Sayang?
Ah! Manisnya mulut lelaki usahlah diambil menjadi anganan kerana nanti ia mungkin akan merosakkan perasaan.
Telefon Hakim bernyanyi lagi. Bersama wajah tegang dan gelengan kepala, Hakim bergerak ke hujung mengadap dinding cermin biliknya sambil menekapkan telefon ke telinga.
Saat itulah Rihana ambil kesempatan untuk melarikan diri keluar. Entah kenapa hatinya terasa hangat. Lebih hangat lagi, ketika turun ke car park dan melintasi Porsche milik Hakim, matanya terlihat Nelly yang sedang bersandar pada kereta tersebut sambil memicit-micit telefon di tangan dengan wajah tegang. 

Bab 12


Tidak mahu terus pulang ke rumah, Rihana merayau ke KLCC. Selalunya, jika hati tidak tenang, itulah terapi mindanya yang paling berkesan. Sekadar window shopping pun sudah cukup.
Tiba di rumah selepas jam sebelas malam, telefonnya berdering dan nama Hakim yang tertera membuatkan hati Rihana yang hampir tenang kembali bergolak.
Selepas berpuluh kali panggilannya tidak Rihana jawab, Hakim kirim pula pesanan ringkas.
‘I ada kat depan guard house kondo you. I akan tunggu sampai you turun.’
Untuk apa kau datang Hakim? Kalau sekadar untuk mengocak tasik hatinya, baiklah tak payah. Sudahnya, Rihana tutup talian telefon.
Malam itu, panjang berjela doanya dipanjat. Kalau bisa diulang kembali detik lama, dia memohon agar tidak ditemukan dengan lelaki bernama Hakim itu. Jika diberi peluang untuk bernafas lagi esoknya, dia juga berdoa agar Tuhan membina konkrit yang paling kukuh melindungi hatinya dari tersasar.
Pagi esoknya, keluar dari perkarangan kondo untuk ke tempat kerja, Rihana perasan seperti Porsche milik Hakim tersadai di tepi jalan betul-betul berdepan dengan guard house.
Rihana hentikan keretanya di bahu jalan dan melangkah menghampiri Porsche tersebut. Dari luar memang tak nampak apa-apa sebab cerminnya betul-betul gelap. Cuma, dia memang kenal dengan nombor plat kenderaan tersebut yang hanya  dua angka saja.
Kalau benar Hakim ada di dalam, apa yang lelaki itu buat di sini pagi buta?  Atau Hakim sudah berada di situ sejak malam tadi?
Berdiri di tepi cermin tempat pemandu Rihana jenguk mengendap ke dalam. Tepat tekaannya, memang Hakim yang berada di dalam kereta tersebut, lena tidur beralaskan lengan sendiri.
Oh! Rihana jadi terpaku. Rasa itu datang lagi. Saat dia menemani Hakim sampai ke pagi, dia sangat suka melihat Hakim dalam tidur. Nampak tenang dengan nafas yang teratur. Nampak kacak dengan anugerah Tuhan yang cukup sempurna.
Kenangan itu datang lagi. Di bilik Hotel Cyberview Cyberjaya, Rihana temani Hakim sampai ke pagi. Setiap kali bertemu, Hakim akan membawanya keluar dari bandaraya Kuala Lumpur. Mungkin bimbang jika terserempak dengan keluarga atau sahabat handai.
Selalu jika menemani Hakim, Rihana jarang tidur. Kalau terlelap pun, dia akan duduk di kerusi. Tatkala membuka mata pagi itu, Hakim masih lena tidur. Lantas Rihana tarik perlahan kerusi hampir ke katil.
Sedang dia leka memerhati, Hakim tiba-tiba membuka matanya dan Rihana terus terperangkap.
You like me so much, don’t you?” Hakim senyum. Dia sebenarnya sudah sedar awal lagi tetapi sengaja pura-pura tidur untuk melihat apa yang Rihana lakukan.
Rihana hanya mampu ketawa. Menafikan tekaan Hakim sama seperti menumpahkan air ke lantai tetapi tidak mengaku sedangkan semuanya jelas dan nyata.
“Come here, let me hug you.” Hakim bangkit dan duduk di birai katil.
 Ah! Kenangan itu, kenapa datang lagi? Rihana tarik nafas. Cuba memadamkan kenangan penuh dosa itu.
Tangannya bergerak mengetuk cermin kereta. Hakim nampak terkejut. Terpisat-pisat bangkit menenyeh mata. Seketika kemudian Hakim pandang ke arah Rihana. Lama, sebelum membuka cermin kereta.
You dah tak ada rumah ke tidur dalam kereta macam ni?” Rihana sembur dengan soalan sinis.
Hakim tahan sabar. Wajah Rihana ditenung dalam. Marah pada Rihana yang membuatkan dia menunggu macam orang bodoh sampai tertidur. Marah juga pada diri sendiri kerana sanggup jadi orang bodoh hanya kerana Rihana. Namun, sejak dulu, dia memang tak mampu nak marah Rihana.
Marah dan geram macam mana sekalipun, dia memamg tak boleh nak pergi jauh dari Rihana. Kalau perempuan lain, memang dia dah tinggal  tanpa pesanan. Tapi dengan Rihana, tak tahu kenapa dia lebih sanggup jadi orang bodoh.
Tanpa sepatah kata, Hakim tutup cermin kereta. Kerusi dibetulkan dan handbrake dilepaskan. Dia terus menggerakkan kereta tanpa menoleh sekilas pun pada Rihana. Niatnya di hati, dia mahu menjarakkan diri dari Rihana. Kalau Rihana memang tidak sudi, kenapa dia harus terhegeh-hegeh? Tapi, mampukah dia?
Rihana pandang asap kereta Hakim dengan rasa hati yang berbaur. Marahkah Hakim? Takkan cakap macam tu pun nak sentap? Kalau dah sanggup tunggu dari malam sampai pagi, takkan hanya sebaris soalan terus blah?
Langkah kembali diatur menuju ke kereta sendiri untuk ke pejabat. Nantilah, di pejabat nanti dia akan tanyakan Hakim. Mengenali lelaki itu, dia tahu macam mana cara nak menyejukkan hati Hakim.
Hari kedua di Royal Group, Rihana masih diberi tunjuk ajar oleh Kak Faridah. Dari pagi sampai ke tengahari, Rihana gelisah menunggu kemunculan Hakim. Hatinya mendesak agar menjenguk planner Kak Faridah untuk mengetahui jadual Hakim atau bertanya terus pada wanita itu tetapi bimbang juga jika disalah tafsir.  Sudahnya, dia hanya diam menunggu.
“Hai kak! Sibuk ke?” tiba-tiba ada suara menegur. Rihana berpusing dan pandangannya menyapa sekujur tubuh yang belum pernah dia lihat. Kacak, smart dan bergaya, nampak macam stok lelaki budiman.
“Hai, Encik Riz. Cari bos ke?” balas Kak Faridah.
Ridzwan angguk kepala tetapi pandangannya terpaku pada wajah si cantik yang sedang berdiri di sebelah Kak Faridah. Siapakah dia?
“Bos pergi China la Encik Riz. Dia takde cakap ke?” ujar Kak Faridah.
Rihana kerut kening. China? Bila dia pergi? Pagi tadi baru nampak dia depan kondo.
“Tak tahu pulak. Bila pergi?” Soal Ridzwan. Dia bukan ada urusan apa, sekadar datang untuk berbual kosong dan mengajak untuk makan tengahari bersama jika Hakim tidak sibuk.
“Flight pagi ni. Katanya empat hari kat sana. Urusan bisnes.” Jelas Kak Faridah. Rihana diam memasang telinga.
“Oh! Si cantik manis sebelah akak ni siapa pula?” Ridzwan angkat kening ke arah Rihana sambil menghulurkan senyuman manis.
“Mmm... ni Hana, orang baru yang akan gantikan akak. Minggu depan akak akan ditukar ke Admin. So lepas ni, kalau pulang dari oversea, kena bawa ole-ole untuk dua orang tau. Kalau tak, Cik Hana tak bagi jumpa big boss, kan Hana?” Kak Faridah tepuk bahu Rihana dan gelak sendiri.
“Hana, ni Encik Ridzwan, BFF (best friend forever) Tuan Hakim awak.” Kak Faridah perkenalkan lelaki tersebut.
“Jutawan muda ni Hana tapi masih single. Bolehlah kalau nak isi borang jadi calon,” sambung Kak Faridah lagi gaya mengusik.
Rihana senyum dan saat itu, Ridzwan terus terpaku. Siapakah wanita cantik ini? Bidadari dari syurgakah yang turun ke bumi? Wajah putih bersih yang hanya bersolek nipis dengan bibir ulas limau itu mampu membuatkan degupan jantungnya lari dari paksi tatkala melihat dia tersenyum.
 “Kak! Dokumen ni akak bagi bos sign yer.” Kemunculan Lizawati mencantas penelitian Rizdwan terhadap Rihana.
Ingin lari dari renungan mata Ridzwan, Rihana sambut dokumen di tangan Lizawati.
“Nanti lepas bos sign, I bagi you.” ujar Rihana dan cepat-cepat mengatur langkah menuju ke bilik Hakim.
“Kak, akauntan tu single lagi ke?” Ridzwan bertanya. Otaknya memang tahu, wanita genit yang muncul menyerahkan documen tadi ialah Liza, akauntan Hakim tapi matanya bukan memaku pada langkah Liza sebaliknya pada lenggok Rihana yang menghilang di balik pintu bilik Hakim.
“Encik ni tanya pasal Liza atau Hana? Mulut cakap akauntan tapi mata tengok secretary. Mana satu ni?”
Ridzwan gelak. Terkantoi juga dia. Sebenarnya, dia memang sudah lama mengintai akauntan genit itu tapi Hakim selalu bising, bagi amaran jangan kacau staf Royal Group. Itu sebab dia diam saja. Tapi kali ni, si cantik manis yang namanya Hana itu memang susah untuk dia berdiam diri. Kalau Hakim bising pun, dia nak buat pekak saja.
Rihana sengaja berlama di dalam bilik Hakim. Sengaja menyibukkan diri menyapu habuk dan mengemas meja yang sudah sedia kemas. Dia tidak mahu keluar dan menjadi objek untuk tatapan mata BFF Hakim itu. Rasa tidak selesa.
Sejak nekad ingin berubah, dia seboleh mungkin cuba menjauhkan diri dari lelaki-lelaki kaya. Takut akan tergoda dan kembali mengumpul dosa. Imannya tidaklah seteguh mana tetapi godaan dunia terlalu besar.
Janji syaitan dengan Tuhan, manusia yang lemah akan menjadi miliknya. Kerana itu, Rihana tidak mahu menjadi milik syaitan disebabkan kelemahannya.
Kata Iblis dalam percakapannya bersama Nabi Muhammad S.A.W. tentang sepuluh perkara yang diminta dan diperkenankan Allah S.W.T.
Iblis berkata : “Wahai Muhammad, aku tak bisa menyesatkan orang sedikitpun, aku hanya bisa membisikkan dan menggoda. Jika aku bisa menyesatkan, tak akan tersisa walau seorang pun…!!!



Bab 13


Rihana tarik nafas. Dia sedang berusaha keras berjihad untuk mencari RedhaNYA. Dia tidak mahu meminta yang bukan-bukan, cukup sekadar diampunkan dosa-dosa silam dan diberi peluang mencari hidayahNYA. Walau terkadang dia tersasar jua dari landasan, mengimpikan hidup yang indah-indah seperti sebelumnya.
Seperti saat ini, tatkala terpandangkan bingkai gambar wajah Hakim yang terletak di atas meja, jiwanya digoda dan mindanya diracun. Indah kenangan lama merasuk ke hatinya.
Rihana ingat lagi tentang gambar Hakim yang kacak sedang ketawa riang berlatar belakangkan ladang teh itu. Gambar tersebut dia sendiri yang merakamnya. Waktu itu mereka sedang minum teh di Bharat Teh Cameron Highlands dan Hakim sedang mengusiknya. Dia marah dan Hakim ketawa. Terus saja dia rakamkan wajah lelaki itu menggunakan telefon bimbitnya. 
“Hakim, kita kat sini sekejap saja kan? I tak bawa apa-apa, sehelai sepinggang saja ni.” ujar Rihana. Dia tak prepare apa-apa sebab Hakim tak cakap apa-apa. Pagi buta hari Sabtu, Hakim muncul di depan kondo dan mengajak dia untuk minum. Selepas minum, Hakim terus memandu naik ke Tanah Rata.
Nope! Kita turun KL esok. I dah book Strawberry Park malam ni” jawab Hakim bersahaja.
“Habis, takkan I nak pakai baju ni sampai esok?”  Rihana terjerit kecil, memandang ke badan sendiri. Bukan hanya baju tetapi semua peralatan make up dan toiletriesnya langsung tidak dibawa.
“Macamlah Cameron ni tak ada tempat jual baju. Sekejap lagi I bawa you shopping baju dan....” Hakim rapatkan badannya ke meja.
Lingerie sekali,” bisik Hakim sambil tersenyum mengusik.
“Tapi dengan syarat, I yang pilihkan.” Hakim kenyit mata, sengaja ingin mengusik Rihana.
Rihana memuncung tetapi terpaksa juga mengikut. Dalam membantah, dia rasa bahagia. Entah kenapa, berada dekat dengan Hakim walau di mana saja, rasa bahagia itu akan hadir memenuhi hatinya.
Waktu membeli belah, Hakim tunaikan apa yang dikata. Semua baju yang Rihana pilih telah direject dan lelaki itu sendiri yang membuat pilihan.
“Yang ni.” Hakim ambil baju tidur kain satin penuh dengan gambar strawberry dan juga set lingerie warna peach bercorak strawberry sehingga Rihana terjerit kecil kerana tidak suka. Macam budak-budak.
“Yang ni suit dengan you la sayanggg... ” Hakim memujuk sambil melekatkan set lingerie ke tubuh Rihana. Saat itu, Rihana rasa wajahnya memerah. Apa taknya, semua mata jurujual terarah pada mereka.
Tak mahu berlama di situ, Rihana ikut jua kemahuan Hakim. Bukan nak buat fashion show pun.  Sekadar untuk menggantikan yang sudah dipakai untuk esok hari saja. Pun begitu, semua yang Hakim beli itu menjadi harta paling bernilai buat dirinya dan masih tersimpan kemas di dalam almari.
Di Strawberry Park Resort, Hakim pesan hot chocolate bersama buah strawberry segar dan juga salad untuk minum petang mereka.
“Eeee.. masam!” berkerut muka Rihana tatkala memamah strawberry yang dihidang.
“Strawberry ni, ada cara makan dia kalau nak rasa manis.” Hakim bersuara, serius wajahnya sambil menghirup hot chocolate buatkan Rihana percaya.
“Cara? Ada ke? Macam mana tu?” soal Rihana lurus.
Hakim senyum lucu. Dia main-main pun Rihana percaya. Jemarinya mencapai sebiji strawberry di dalam mangkuk dan dibuang daun serta tangkainya.
“Nak tahu ke?” tanya Hakim kembali.
Rihana mengangguk. Serius dia memang ingin tahu. Dia jarang naik ke Cameron Highlands. Terkadang kalau ingin merasa, dia beli saja di kedai kek atau pasaraya yang ada menjual buah tersebut.
Namun, seringkali rasanya sangatlah masam. Kata orang, buah strawberry kalau dah turun dari tempat sejuk, akan bertukar rasa. Entah betul entah tidak.
“Makan cicah hot chocolate ler. Kang banyak jual strawberry coklat kat sini.”
“Ish! Itu I tahu laaaa….Ingatkan ada cara lain.” Rihana herotkan bibir. Apa saja la Hakim ni.
Hakim angkat kening sebelah. Kemudian, bibirnya mengukir senyum nakal. Matanya jatuh pada bibir Rihana yang seksi. Terus dadanya dilanda debar. Haih! Godaan yang sering buat dia kalah.
“Ada lagi cara lain. Nak tahu ke?” soal Hakim dengan senyuman masih di bibir. Sebiji lagi strawberry di dalam mangkuk diambil.
Rihana pincing mata. Melihat senyum Hakim, dia sudah dapat mengagak apa yang sedang Hakim fikirkan. Pantas dia menggeleng.
“Takpelah, lain kali.” Rihana pula yang menyengih. Cuaca yang sejuk dan suasana yang romantik begini, janganlah nak cari pasal.
“Betul tak nak tahu?”
Rihana senyum sambil menggeleng lagi. “Lain kali.”
 “Betul ni? Rugi tau….” Hakim cuba menggoda. Strawberry di tangan dibawa ke mulut dan digigit separuh. Yang separuh lagi disuakan ke mulut Rihana.
Sekali lagi Rihana menggeleng. “Masam laaa…”
“Tak, yang ni manis. Lagipun, bibir I ada pemanis, buah masam boleh terus jadi manis.” Hakim senyum sambil sekali lagi suakan separuh strawberry yang masih di tangan ke mulut Rihana.
Percaya cakap Hakim yang buah tersebut manis apatah lagi dengan wajah Hakim yang tanpa sedikitpun kerutan, Rihana terus buka mulutnya. Tatkala buah tersebut dikunyah, wajahnya terus berkerut sejuta.
“Arrrgghh… Masam!” Pantas jemari Rihana mencari sasaran mencubit lengan Hakim yang sedikit berbulu itu. Lepas mencubit, dia tarik  bulu halus di lengan tersebut sehingga Hakim terjerit kecil.
“Sakit la sayangggg...” Hakim gosok lengan sendiri namun Rihana buat tak tahu.
Geram, tertipu juga dia dengan helah Hakim. Walau seringkali dia panjang akal dalam menanggani kerenah Hakim, terkadang dia tertewas jua.
“Hana, lamanya hantar dokumen.” Kemunculan Kak Faridah buatkan Rihana tersentak. Bingkai gambar di tangan terus diletakkan ke atas meja.
“Hana kemas sikit kak.” Rihana memberi helah.
“Tu hah, Encik Riz ajak keluar makan. Dia nak belanja katanya.” Ujar Kak Faridah.
“Hana puasalah kak.” Rihana beralasan. Memang benarpun dia puasa ganti hari itu.
“Oh! Yer ke?  Kalau macam tu, akak ajak budak-budak akaunlah. Dia tu kalau datang memang selalu belanja bebudak office lunch. Kalau tak keluar, dia akan order pizza.” Cerita Kak Faridah sebelum beredar.
Dari cerita itu, Rihana dapat mengagak pasti BFF Hakim yang dipanggil Enck Ridzwan itu adalah manusia yang sangat pemurah. Jutawan muda, siapa ya? Wajahnya macam sangat familiar dan pernah ternampak di mana-mana. Rihana bersoal jawab dengan hati sendiri.

 Bab 14


Entah kenapa Rihana rasa hari-hari yang dilaluinya begitu hambar sekali. Telefon bimbit dibelek setiap detik dengan harapan Hakim akan menghubungi atau mengirimkan sebaris pesanan. Namun, usahkan menelefon, sebaris pesanan pun Hakim langsung tidak mengirimnya.
Setiap hari Hakim akan menghubungi pejabat tetapi hanya bercakap soal bisnes dengan Kak Faridah. Hati yang sudah sedia kecil menjadi bertambah kecil. Adakah Hakim sudah melupakan dirinya? Kalau ya, kenapa dia harus bersedih sedangkan ini yang dia mahukan? Atau, mungkin hanya di mulut kata begitu sedangkan hati masih mengharap?
Jangan ikut kata hati Rihana, nanti mati sebelum waktunya. Rihana ingatkan diri sendiri. Namun, dia tidak dapat menahan mindanya dari berfikir tentang Hakim. Menanti kemunculan  Hakim dengan penuh rasa debar.
Morning Kak!”  lain yang diharap, lain pula yang muncul. Ini merupakan kali ketiga Ridzwan muncul di pejabat itu.
“Eh! Dah tengahari Encik Riz.” Kak Faridah menegur sambil mengerling jam di dinding pejabat.
Ridzwan sengih. Tangan yang tersorok di belakang dibawa ke depan dan dua paper bag sederhana diletakkan ke atas meja.
“Ole-ole dari Sarawak untuk akak dan juga Hana,” ujar Ridzwan. Matanya tunak memandang si cantik manis yang sedang sibuk meneliti kertas di tangan.
“Wah! Pergi Sarawak ke?” Kak Faridah kelihatan teruja, mengintai isi kandungan di dalam paper bag.
“Ha’ah. Hakim dah balik?” soal Ridzwan kembali.
“Dah balik dari China tapi bercuti ke Bandung pula.” Penjelasan Kak Faridah buatkan Rihana pantas memanggung kepala.
“Bandung?” Ridzwan bersuara, seolah bertanya.
“Mmm... bawa tunang tersayang beli barang untuk majlis mereka kot. Sebab katanya, temankan Nelly shopping.” Lagi penjelasan Kak Faridah buatkan hati Rihana retak seribu.
Tiba-tiba Rihana terasa ingin menangis. Entah apa yang dia rasa tetapi dia tidak suka dengan rasa sebegini. Terasa diri diperbodohkan oleh perasaan sendiri, mengharap sesuatu yang tidak sepatutnya.
“Dah masuk waktu lunch ni. Jomlah I belanja akak dan Cik Hana.” Ridzwan mengajak. Matanya bersilih ganti memandang dua wanita di depannya.
“Hana pergilah, akak dah janji dengan husband nak lunch sama-sama hari ni.” ujar Kak Faridah.
Rihana panggung kepala. Ridzwan senyum dan mengangguk. Memang itu yang dia hajatkan. Keluar makan bersama si cantik yang bernama Rihana menjadi agenda penting kedatangannya hari ini. Tak kisah bertiga atau berdua.
“Kalau nak belanja I, mesti kat five star hotel. Kalau restoran biasa I tak pergi.” Rihana sengaja menunjuk lagak supaya lelaki di depannya ini terasa jengkel.
“Aik! Hana, selalu hari-hari makan kat kafe bawah tu akak tengok lalu aje.” Kak Faridah menyampuk.
“Untuk wanita cantik macam you ni, usahkan five star hotel, ke Bali pun I sanggup bawa walau sekadar untuk makan tengahari.” Ridzwan senyum. Sudah mampu membaca apa yang ada di kepala Rihana.
“Hah! Jangan tak tahu Hana, orang depan awak ni,  sewa flight sebiji pun dia dah biasa buat. Kalau setakat nak ke Bali sekarang, petik jari aje. Kan Encik Riz?”
Rihana diam. Terbang ke Bali untuk makan tengahari, dia belum pernah alaminya tetapi kalau makan malam, Hakim pernah membawanya suatu ketika dulu.
Hakim? Oh! Kenapa mindanya tidak pernah mahu melepaskan nama tersebut? Orang itu sedang berseronok bersama tunang tersayang di Bandung, dia pula menjeruk hati di sini. Bodohkan?
“Okey! Jom!” Spontan Rihana bangkit, bersetuju dengan ajakan Ridzwan. Setakat makan tengahari di tempat terbuka, apalah salahnya. Selebihnya, dia mahu meredakan rasa sakit yang mencengkam ke hatinya.
“Ke Bali atau five star hotel?” Ridzwan angkat kening sambil tersenyum. Untuk wanita seperti Rihana, dia sanggup sewa flight sebiji ke mana-mana destinasi sekadar untuk makan tengahari.
“Kafe bawah aje.” Rihana menyengih.
Ridzwan ketawa perlahan. Hatinya makin terusik dengan karektor Rihana. Senyum Rihana boleh buat dia berada di awangan.
‘Forget about Hakim. Apa sekalipun, hidup mesti diteruskan.’ Itu yang Rihana sematkan ke minda saat dia cuba membuka pintu-pintu pada hatinya untuk menerima salam perkenalan dari seorang lelaki bernama Ridzwan.
Mungkin kerana Ridzwan seorang yang mudah mesra menjadikan proses perkenalan mereka agak mudah. Bagi Rihana, Ridzwan lelaki budiman yang pandai mengambil hati. Ridzwan yang selalu membuatkan Rihana ketawa menjadikan perkenalan mereka berkembang dengan cepat walaupun masih terlalu baru.
Setiap hari Ridzwan akan muncul. Jika tidak di waktu tengahari, petang hampir tamat waktu kerja Ridzwan akan datang mengajak Rihana minum bersama. Beberapa kali keluar, Rihana sudah selesa dengan lelaki itu.
“Eh! Hakim dengan Nelly.” Suara Ridzwan mengejutkan Rihana. Mendengar nama itu terasa seluruh tubuhnya tiba-tiba kehilangan oksigen.
Perlahan Rihana toleh ke arah pandangan mata Ridzwan. Hari itu Ridzwan betul-betul membawanya makan ke hotel lima bintang untuk menjamu selera. Melihat merpati sejoli yang sedang melangkah masuk ke dalam Restoran Hotel Grand Millennium tersebut, Rihana terasa matanya membahang.
“Hakim!!!” Ridzwan menjerit kecil sambil menggamit lelaki itu.
Terkejut, Hakim halakan juga langkahnya sambil mengheret Nelly ke arah Ridzwan yang sedang menjamu selera bersama seseorang yang sangat dia kenali. Lebih seminggu tidak melihat dan tidak mendengar suara Rihana, hidupnya seperti jasad tanpa nyawa. Dia tahan rasa di jiwa kerana berkecil hati dengan Rihana tetapi apa yang terhidang di depan matanya hari ini buatkan hati dan jiwanya bersatu memberontak menunjuk rasa.
  “Hey! Bro, kenapa pergi Bandung tak cakap? Villa aku kan ada, lagi selesa dari hotel.” Ridzwan bangkit bersalaman dengan Hakim.
Villa di Bandung? Berapa kayakah lelaki di depannya ini? Kata Kak Faridah, Ridzwan jutawan muda yang sangat low profile.
“Tak planning pun nak pergi.” Balas Hakim menyambut salam Ridzwan tetapi matanya mengerling ke wajah Rihana yang menunduk.
“Hai! Nelly.” Ridzwan angkat tangan menyapa Nelly pula. Wanita itu tersenyum manja dengan tangan memaut mesra lengan Hakim.
“I pinjam your...” Ridzwan tunjuk ke arah Rihana dan Hakim pantas mengangguk, faham dengan apa yang temannya ingin sampaikan. Namun, hatinya menjerit tidak suka.
Join us?” Ridzwan mempelawa dan kemudiannya tunduk sedikit ke arah Rihana.
You tak kisahkan kalau mereka join kita?”
Rihana paksa bibirnya mengukir senyuman. Bolehkah kalau dia berikan jawapan tak boleh? Pastilah tak bolehkan? Kerana itu, Rihana angguk juga kepalanya.
Bersalaman dengan Nelly dan duduk semeja bersama Hakim dalam suasana begini adalah sesuatu yang tidak ingin Rihana lalui tetapi, takdir hidup tak siapa yang mampu menukarnya.
“Sayang... you tolong order untuk I ya, I nak ke ladies sekejap.” Nelly berbisik di tepi telinga Hakim tetapi masih mampu didengar oleh Rihana. Sambil bangkit, jemari Nelly sempat lagi melekat di bahu Hakim.
Oh! Rihana rasa seluruh wilayah hatinya jadi kucar kacir dengan tiba-tiba. Terasa tidak sanggup melihat ada wanita lain yang berada di hati Hakim.
Teringat kenangan lama, Hakim akan memesan makanan terlebih dahulu di bilik hotel jika dia lambat tiba dan Hakim memang selalu tahu seleranya.
“Wow! Nasi arab. You memang sentiasa tahu selera I kan?” Rihana cuit pipi Hakim yang berdiri di sebelahnya.
Hakim pula ambil peluang itu dengan memeluk pinggang Rihana dari sisi. Ini yang dia mahu, bila mood Rihana baik, dia boleh buat apa saja yang dia suka terhadap Rihana.
“Hanya I yang mampu....” bisik Hakim hampir di telinga  Rihana.
“Hana, kenapa tenung saja makanan tu?” teguran Ridzwan mengejutkan Rihana.
 Senyum plastik Rihana ukir dan kemudian badannya dirapatkan ke arah Rizdwan untuk berbisik.
“Kalau tenung nasi tu boleh terus masuk ke mulut tanpa perlu guna sudu kan bagus.” Rihana melawak membuatkan Ridzwan ketawa kuat.
Hakim yang melihat situasi itu terasa hatinya terbakar tanpa perlu menyalakan api. Sejak bilakah Rihana rapat dengan Ridzwan? Baru seminggu lebih dia tidak ke pejabat dan selama tempoh itu juga dia tidak mengikuti perkembangan Rihana. Takkanlah masa yang singkat itu Ridzwan sudah mampu mencuri hati Rihana?
Sedang berbicara dengan hati sendiri, Nelly muncul kembali dan seketika kemudian makanan yang dipesan juga tiba. Memulakan sesi makan, Hakim perhatikan tingkah Rihana. Dia suka melihat Rihana ketika mengunyah makanan. Bibir Rihana yang bergerak ketika mengunyah itu menjadikan apa yang dimakan nampak sangat menyelerakan di mata Hakim.
Seperti biasa, makanan panas kegemaran Rihana ialah nasi goreng kampung. Sebelum makan, Rihana akan mengasingkan semua sayuran serta ikan bilis dan dilonggokkan ke tepi pinggan.
Leka memerhati, Hakim dikejutkan dengan tingkah selamba Ridzwan yang mengutip sayuran dari pinggan Rihana dan dimasukkan ke dalam pinggan sendiri. Sungguh... dia tidak mampu berfikir saat itu.
Sudah sebegini rapatkan hubungan mereka? Kalau dulu, dialah orangnya yang akan menghabiskan sayuran di pinggan Rihana.  Tapi kini, Ridzwan sebegitu cepat mengambil alih tugasnya.
Ridzwan lelaki baik-baik yang hidupnya penuh dengan kesederhanaan walau keluarganya kaya raya. Lelaki stok masjid yang sering menjadi imam ketika di asrama dulu. Lelaki yang boleh dianggap sempurna untuk menjadi calon suami oleh seorang wanita dan dia percaya, Rihana tidak akan berfikir dua kali untuk menerima lelaki itu jika diberi peluang. 
Ah! Dia tidak ingin hanya duduk dan melihat. Dia tidak ingin menyerah kalah pada Ridzwan dengan sebegitu mudah. Rihana miliknya dan akan kekal menjadi miliknya. Lantas, dia bangkit meminta diri untuk membuat panggilan telefon.
“Riz.... you boleh tolong hantar Nelly tak? I ada urgent matter nak kena masuk office.  I bawa Rihana sekali.” Hakim bersuara setelah kembali ke meja.
Ridzwan pandang Rihana dan Rihana pula pandang Nelly. Manakala Nelly pula dongak ke wajah Hakim yang sedang berdiri.
“Alaaa...I ikut youlah. Nanti I teman you kat office.” Nelly tidak berpuas hati dan tidak bersetuju dengan perancangan Hakim.
“Nelly, I have some work to do and I tak mahu diganggu.” Tegas Hakim.
So, Rihana... shall we?” sambung Hakim pula pada Rihana.
Rihana serba salah. Sekali lagi dia pandang Ridzwan meminta diri.  Dari suara dan wajah Hakim, Rihana tahu kalau dia membantah, kemungkinan besar akan tercetus ribut taufan.
Ridzwan angguk kepala isyarat membenarkan namun di hatinya terbit rasa curiga. Lama mengenali Hakim, dia dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena pada temannya itu saat ini.



Bab 15


Di dalam kereta Porsche milik Hakim, Rihana hanya diam membisu. Dari riak di wajah Hakim, Rihana sudah mampu meneka. Lelaki itu sedang menahan marah. Cuma dia tidak tahu kenapa Hakim perlu marah sedangkan yang harus marah ialah dia.
“Sejak bila you pandai keluar dengan lelaki ni?” Soalan Hakim seolah Rihana itu adiknya. Seperti Rihana itu baru mengenal dunia.
Rihana toleh pandang. Soalan Hakim kedengaran pelik di telinganya. Dia keluar hanya untuk menjamu selera bukan untuk berpeleseran macam dulu. Lagi pun, tempat terbuka.
Sejak mengenali Ridzwan, lelaki itu tidak pernah sekali pun cuba mengambil kesempatan. Usahkan meraba sana sini seperti Hakim pernah lakukan, pegang tangan pun tak pernah. Jadi, apa yang Hakim mahu pertikaikan?
“You kata you dah berubah...”
“Apa kaitannya perubahan I dengan isu ni?” Rihana memintas. Keras suaranya petanda tidak suka Hakim membangkitkan isu perubahannya.
Hakim tarik nafas. Fikirannya bercelaru dan jiwanya bergelora. Semuanya buatkan darah di tubuh mengalir dengan laju naik ke kepala.
“Baru seminggu lebih I tak ada, you dah jalinkan hubungan dengan kawan I.” sinis Hakim.
“Apa salahnya? I single dan dia pun single. I tak merampas hak orang.” balas Rihana, sengaja ingin menyakitkan hati Hakim.
Mendengar kata-kata Rihana, Hakim pantas memusing stereng ke bahu jalan dan menghentikan kereta secara mengejut. Badannya dipusing mengadap Rihana.
“Apa you cakap tadi? Cuba ulang sekali lagi?” keras suara Hakim menghantar rasa gerun ke hati Rihana.
Melihat Rahang Hakim yang bergerak-gerak, Rihana diam tidak menjawab. Bimbang jika Hakim naik hantu, mana dia nak lari tengah-tengah highway ni. Lagi pun, pintu memang berkunci.
You jangan cuba mencabar I Rihana.” Tekan Hakim.
Nama penuh yang disebut Hakim sudah memberitahu Rihana yang saat ini lelaki itu sedang marah. Sepanjang mengenali Hakim, Rihana tidak pernah melihat kemarahan Hakim kerana pertemuan mereka selalunya dihiasi yang indah-indah belaka.
“I tak mencabar you Hakim. Kenyataannya memang begitu, I tak merampas hak sesiapa.” Rihana cuba berdiplomasi.
Yes! You memang tak merampas hak orang tapi dia yang merampas hak I.” balas Hakim pantas.
“Hak you? Apa yang menjadi hak you sebenarnya?” Soalan Rihana buatkan Hakim sedar akan satu hakikat. Ya! Rihana bukan haknya.
Tangannya naik meraup wajah. Matanya dipejam rapat dan nafas ditarik panjang. Cuba meredakan perasaan yang sedang bergelora di dada.
“Rinnn....” Suara Hakim bertukar nada. Saat-saat begini, dia memang perlukan Rihana. Dia ingin memeluk Rihana rapat ke dadanya agar degup jantung mereka berjalan seiring. Cara begitu mampu menghilangkan stres yang dia alami.
“I nak jadikan you hak I. Be my wife Rinnnn...” Entah kali ke berapa, tetapi Hakim tetap ingin melakukannya. Melamar Rihana untuk menjadi yang halal untuknya kerana dia memang sangat perlukan Rihana.
Hakim hulurkan telapak tangan kanannya ke arah Rihana dengan harapan Rihana akan letakkan jemarinya di situ. Namun, hampa. Rihana buat tak nampak saja dan lamarannya hanya dibiarkan sepi tanpa jawapan.
“Rinnnn...” Hakim lepaskan nafas berat dan jemarinya ditarik kembali.
“You lupakanlah I Hakim. Binalah hidup bahagia bersama Nelly.” Perit tekaknya untuk mengeluarkan ayat itu tetapi dia harus akur pada lumrah hidup.
Dia dan Hakim, tarafnya tidak memungkinkan untuk mereka duduk di kerusi yang sama. Jika pun  dia menerima lamaran Hakim, dia tahu dia pasti akan terluka akhirnya kerana dia tahu, Hakim tidak mungkin berani mendedahkan perkahwinan mereka. Dia tidak ingin kahwin sembunyi. Dia ingin menempuh rumahtangga dalam suasana aman diiringi restu orang tua.
“I dah buat keputusan, I akan pindah dari KL. Esok I hantar surat letak jawatan.” Kenyataan yang keluar dari bibir Rihana buatkan Hakim hampir putus nafas. Matanya terpejam rapat. Dia sudah cuba cara yang elok tetapi Rihana tetap menolak. Kalau memujuk tidak mampu melembutkan keras hati Rihana, memaksa apatah lagi. Jadi, dia perlu ada muslihat.
Tanpa suara Hakim teruskan pemanduan. Rihana di sebelah terus diam sehinggalah dia sedar arah tuju Hakim bukan ke pejabat.
You nak ke mana ni?” soal Rihana.
“Genting.”
“Hah!” Spontan Rihana pusingkan badannya mengadap Hakim.
“Nak buat apa ke Genting?”
“Klien dari China, mereka nak buat perbincangan kat sana. You kena ikut sekali bantu I apa yang patut. Kalau perbincangan berjaya, kita akan dapat peluang meneroka pasaran di sana,” jelas Hakim panjang lebar. Bicaranya seolah dia lupa yang Rihana akan meletak jawatan esoknya.
Rihana diam memikir. Percaya dan ragu-ragu dengan kenyataan Hakim, dia memilih untuk percaya walau hatinya seperti membantah. Kalau Hakim ingin melakukan perkara jahat, awal perkenalan mereka lagi Hakim sudah punya banyak peluang. Tetapi, sehingga ke hari ini, dia masih selamat di tangan Hakim.
Tiba di Awana Genting, jam sudah pun menunjukkan hampir pukul enam petang. Pukul berapa pula nak turun ke KL? Rihana tarik nafas dalam-dalam.
Terasa lama benar duduk dalam kereta. Bukan sebab Hakim memandu perlahan tapi banyak tempat yang menjadi persinggahan. Memandu sampai ke puncak, pusing sana sini lepas tu turun balik ke Awana. Dah rupa macam nak pergi makan angin pun ada.
Kereta sudah lama terhenti di kawasan parkir tetapi Hakim masih tidak berganjak, hanya berpeluk tubuh memandang tegak ke depan.
“Kenapa you tak mahu terima lamaran I Rin?” tiba-tiba Hakim bersuara, menyoal soalan yang tidak terduga oleh Rihana.
“Teruk sangat ke I ni sampai tak layak pegang status sebagai suami you?” Soal Hakim lagi dengan pandangan masih tegak ke depan.
Rihana tarik nafas. Rasa macam nak menjawab gaya sarkastik tapi bimbang pula Hakim naik angin.
“Bukan soal layak atau tidak, Hakim. Masalahnya taraf dan kedudukan kita tak sama. Lagi pun, you dah bertunang dan....”
“Last I nak tanya, kalau diberi pilihan antara I dan Ridzwan, siapa yang you pilih?” Hakim memintas. Dia tidak mahu mendengar cerita yang panjang. Dia hanya mahu mendengar apa kata hati Rihana dan ini adalah soalan terakhir sebelum dia bertindak lebih jauh.
Rihana diam seketika. Memilih Hakim seolah dia merelakan hatinya dilukai kerana tentunya banyak halangan yang terpaksa dia tempuhi. Memilih Ridzwan adalah tidak mungkin kerana hatinya bukan pada lelaki itu. Satu hakikat yang nyata, harta kekayaan bukan boleh menentukan bahagia di hati manusia.
“Rinnn?”
“Ridzwan.” Rihana terpaksa menjawab begitu kerana dia tidak mahu memberi harapan pada Hakim. Dia juga tidak mahu menggulakan hatinya sendiri. Jalan untuk dia dan Hakim memang tidak pernah ada titik pertemuan.
Jawapan Rihana buatkan hati Hakim yang sudah retak berpecah seribu. Tanpa suara dia terus mematikan enjin kereta dan melangkah keluar.
Rihana mengekor dari belakang. Sabar ajelah dengan kerenah Hakim. Nasiblah dapat bos yang moody tak tentu pasal begini. Melihat Hakim hari ini, dia seperti tidak percaya kerana Hakim yang dia kenal dulu tidak pernah menunjukkan wajah tegang seperti sekarang.
Hakim terus menuju ke Rajawali Coffe House dan meminta Rihana menunggu di situ sementara dia menghilang entah ke mana. Lama juga Rihana menunggu sehingga Hakim muncul kembali.
Melihat cara Hakim, ada curiga terbit di hati Rihana. Betul ke Hakim ke sini untuk bertemu klien? Tengok gaya macam tak betul sebab Hakim tak bawa apa-apa dokumen pun. Tapi, satu sudut lain di hatinya ingin mempercayai Hakim.
Sekejap saja Hakim duduk, pelayan datang membawa minuman. Rihana jadi pelik sendiri sebab dia belum pun membuat  apa-apa pesanan makanan atau minuman.
“Minumlah. I lalu kat depan tadi terus buat pesanan.” ujar Hakim seolah mampu membaca apa yang bermain di kepala Rihana.
“Dulu you suka minum Milo kosong. I guess it’s still your favorite..” Sambung Hakim lagi, sambil menolak cawan yang berisi Milo panas rapat ke depan Rihana.
Cuaca yang sejuk menjadikan Milo yang panas itu sangat mengujakan dan Rihana terus menyisipnya perlahan. Matanya mencuri pandang ke wajah Hakim yang sibuk menekan-nekan butang telefon di tangan. Entah siapa yang cuba dihubungi tetapi Rihana mengagak mestilah klien yang berjanji itu.


 Untuk baca sambungan boleh dapatkan Novel ini di kedai buku berdekatan atau, beli secara online di website kami Idea Kreatif Publication.



2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Novel ni masih ada dicetak lagi ke? Harap ada.

    ReplyDelete