Sunday 29 March 2015

Bab 10: JODOHKU DAN JANJI-NYA - SUZANA SULAIMAN


DARI ekor matanya, Jannah tahu yang Safi sedang asyik memandang ke arahnya. Dia pasti sahabatnya itu pasti tak senang duduk selagi persoalan yang terbuku di hati tidak diluahkan. Dalam diam, Jannah menahan senyum dan meneruskan bacaan.

Lima minit berlalu dan akhirnya.

“Babe, dah dua hari aku tengok kau bawa buku tu ke hulu ke hilir. Kau tengah baca pasal solat sunat yang mana satu?” soal Safi sambil mengambil tempat di sebelah Jannah. Kepala cuba menjengah untuk melihat isi kandungan muka surat yang sedang dibaca tapi pantas Jannah menutup buku kecil itu.

“Cuba kau terangkan pada aku tentang solat istikharah,” pinta Jannah pantas.

“Ooo… solat istikharah? Apasal tiba-tiba?” Terangkat kedua kening Safi. Sedikit pelik dengan permintaan rakan baiknya itu.

“Cerita sajalah dei… jangan banyak soal macam polis.” Jannah menampar peha Safi.

Safi mendecit sambil mengusap tempat yang ditampar.

“Iskh! Itulah, aku suruh ikut pergi kelas, kau tak nak.”

“Eh… kau nak ajar aku ke tak nak ni? Kalau tak nak, aku boleh je pergi tanya pada Ustazah Sharifah tu. Bising pulak!”

“Alololo… sikit-sikit nak marah. Sikit-sikit nak merajuk.”

Jannah membulatkan matanya.

“Jangan kedekut ilmu. Nanti Allah tarik balik ilmu kau tu!”

“Choii! Mulut kau tu! Astaghfirullah. May Allah grant us His forgiveness!”

Jannah ketawa.

“Amin.” Jannah membawa kedua tapak tangan menyapu mukanya.

“Cepatlah cerita!” Jannah menggesa.

“Okey. Okey… meh ustazah Safi cerita ya. Sebenarnya istikharah ialah proses terakhir daripada tiga langkah yang kita perlu ambil apabila kita hendak membuat satu keputusan. Perkataan istikharah itu maksudnya; mencari sesuatu yang baik; to seek that which is good. By the way, do you know that it is a sunnah?”

“I know.”

“Good. Okey, aku sambung. Langkah pertama ialah kita perlu menentukan terlebih dahulu apa yang kita kehendaki dengan menggunakan akal fikiran yang diberi Allah. Kita perlu mengkaji serba sedikit tentangnya. Menimbang baik buruknya. Kemudian langkah kedua pula ialah istisyarah, iaitu kita pergi meminta nasihat daripada orang-orang yang lebih maklum. Yang ketiga dan terakhir barulah istikharah. Faham?”

Jannah mengerlip mata tiga kali.

“Cuba kau bagi contoh in layman’s terms.”

“Okey, sebagai contoh, katalah aku bercadang nak beli kereta. Sebelum aku pilih yang mana satu aku nak, aku mestilah akan shop around dulu untuk memilih, betul tak?”

Angguk.

“Jadi, selepas aku penat keluar masuk semua kedai kereta, akhirnya aku ada dua pilihan. Sama ada si Audi RS7 merah yang maha seksi ataupun si Q7 hitam yang penuh misteri.”

“Amboi!”

Safi ketawa seronok.

“Berangan ma… free! Anyways, sebelum aku confirm and decide yang mana aku nak beli, aku kenalah minta nasihat daripada orang yang pakar mengenai kereta, kan? Takkan hanya kerana aku suka, aku terus beli? Mestilah aku kena tahu apa yang aku nak dan buat perbandingan antara kedua-dua kereta tu. Yang mana lebih sesuai untuk kegunaan aku, lebih reliable dan yang penting mengikut tahap kemampuan aku. That kind of stuff la. Kau faham tak?”

“Faham, ustazah.”

“Okay next. Jadi, katalah lepas consultation tu, hati aku berat pada si merah sebab dia lagi sexy kan tapi aku masih tak berapa yakin sama ada keputusan aku tu betul ke tidak, jadi masa inilah aku buat solat istikharah. Minta pada Allah supaya Dia menyenangkan aku dalam membuat keputusan. Faham?”

“Affirmative!”

“Phew… Alhamdulillah. Tapikan, ramai orang tak buat langkah satu dan dua. Mereka terus buat istikharah dan kemudian mereka complain kata mereka tak dapat petunjuk. Macam mana nak datang petunjuk kalau you don’t know what you want in the first place?”

Jannah mula menggigit pen di tangan. Kepalanya mengangguk faham.

“Jadi, sekarang ni aku ada keputusan yang perlu dibuat.”

“Keputusan apa?”

Jannah duduk tegak. Bantal kecil di sebelah Safi dicapai dan ditepuk-tepuk sebelum diletakkan di atas riba.

“Remember the guy I told you about?”

“Yang nak jadi imam kau tu?”

“Yup.”

“Kenapa dengan dia?”

“He wants me to set a time for us to meet and get to know each other dan dia minta aku buat solat istikharah.”

“Wah… like seriously?”

“Yeah… like seriously!”

“Dia cakap terus macam tu?”

“Ha’ah dan daripada cara dia bercakap, aku rasa dia dah buat dan dia dah dapat petunjuknya. Jadi sekarang dia suruh aku pulak. Tapi macam mana aku nak buat keputusan when I don’t know him?”

“Then get to know him la. Apa yang susah sangat?”

“Because I don’t know if I want to.”

“Kenapa tak nak? Apa salahnya? Teruk sangat ke dia tu?”

Jannah diam seketika.

“Maksud kau?”

“Yalah, rupa dia buruk sangat ke? Selekeh? Perangai dia tak senonoh ke? Player ke? Kenapa yang kau susah sangat nak bawa diri kau untuk berkenalan dengan dia? Dan tolong jangan cakap kat aku sebab kau malas! Bukan suruh kau kahwin dengan dia pun!” Safi dah mula berleter.

“Ermmm…”

“What ermmm? Just go do it!”

“Senangnya kau cakap.”

“Apa yang susah? What is the worst thing that can happened? Kau pergi jumpa dia. Have a friendly chat. Cuba kenali dia dengan lebih dekat. Tanya apa yang kau nak tanya. Lepas tu kalau at the end of the day, kau rasa dia tak sesuai, tolak dia dengan baik. Itu yang dia minta pun kan? Bukannya dia kata dia nak hantar rombongan untuk pinang kau terus!” Safi terus membebel.
“Yang kau ni nak emo, kenapa?”

“Aku geram la tengok kau ni!”

“La… apasal?” Jannah buat bodoh sedangkan dia sedang menahan tawanya daripada meletus. Reaksi wajah Safi cukup kelakar baginya.

“Eeee… kau ni kan!”

Jannah menjungkit bahu.

“Tengok la macam mana. Kalau dia betul ikhlas, biarlah dia tunggu sekejap.”
“Tak baik tau kau buat macam ni.”

“Betul apa? Apa kata orang, kalau dah jodoh, tak ke mana? Takkan lari gunung dikejar?” Jannah menjelir lidah.

“Seriously Jannah, bagi dia peluang. Mungkin dia jodoh kau.”

Mendengar pernyataan Safi, senyumannya terus hilang. Wajah serius sahabatnya itu direnung sebelum dia melepaskan satu nafas.

“So tell me, kau dah jumpa dia beberapa kali kan? Apa firasat kau kata? What is your first impression of him?”

“First impression, the guy is kinda cool, biasalah mat motor tapi lepas tu, aku rasa dia annoying sangat. Aku memang tak pernah jumpa lelaki yang direct macam dia.”

“There is always a first time for everything, kan?” Safi kembali ketawa.

“Hish kau ni!” Bantal kecil yang tadi duduk elok di riba, dilempar kepada Safi.
“Wei, apa ni main baling-baling?!” Bantal itu kini dipeluk kemas.

“Tapi apa pun, aku seriously suka cara dia tau. Susah nak cari lelaki yang gentleman macam ni. Yang tak beat around the bush. Konar sana sini tapi tak sampai-sampai. Kau tengok sendiri budak-budak kat Baitul Husna tu, berapa ramai yang ditipu oleh lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab? Jadi pada aku, kau sangat-sangat bertuah. Ingat tak kau kata hari tu, antara ciri-ciri lelaki yang kau suka ialah lelaki yang tahu apa yang dia nak. Pada aku mamat ni, knows what he wants and he is going for it.” Safi menyambung kata dengan riak yang serius habis.

Jannah diam lagi. Ada banyak betulnya apa yang baru dituturkan oleh sahabatnya itu. Walaupun dia baru kenal Jihad, dia juga nampak akan keikhlasan lelaki itu.

“Apa nama dia eh? Aku tahu kau ada beritahu aku hari tu. Oh ya, Jihad Mikhael! Lepas ni aku janji tak lupa lagi! Bila agaknya aku boleh jumpa dia eh?”

“Eh, malaslah aku nak cakap dengan kau. Baik aku naik atas mandi. Lepas tu, aku nak pergi jenguk Sarah.”

“Eh, aku nak ikut!”

“Kau tak keluar dengan Razlan?”

“Tak. Dia outstation.”

“Oh, okey tapi I am taking Sarah for a swim so you better bring your burqini along.”

“Wah! Swimming! Yeay!”

“Tangachi, kau baik bersiap cepat. Kau lambat, aku tinggal!”



“JIHAD, awal kau hari ni?” tegur Malek. Beg yang digalas, diletakkan ke lantai. Dia menjadi penonton kepada Jihad yang sedang ligat melakukan push ups.
“Cuti umumkan? Better make the most out of it,” balas Jihad apabila dia berdiri semula. Nafasnya sedikit tercungap. Peluh di dahi mengalir laju.

“Looks like you are almost done with your circuit training.” Malek memandang kepada two dumb bells yang berhampiran dan kemudian kepada t-shirt tanpa lengan Jihad yang sudah lencun dengan peluh.

“Yup… dah 45 minit, bro.” Jihad mengesat peluh dengan tuala kecil yang baru ditarik dari beg sukannya.

“Gim kau pun dah ramai ni. Tadi masa aku sampai, cuma ada aku dengan Gina saja,” sambungnya sambil memerhati sekeliling. Ada yang berlari di atas treadmills, ada yang sedang mengangkat berat dan ada yang sedang bersiap sedia untuk sesi power aerobic yang akan bermula sebentar lagi. Gina pun sudah hilang entah ke mana.

“Apasal kau lambat?” soalnya kepada Malek sebelum dia meneguk minuman isotonik yang dibawa.

“Biasalah cuti-cuti gini, keluarga harus diutamakan. Aku bawa Zai dan anak-anak pergi sarapan kat Kampung Baru tadi. Sekali-sekala pekena nasi lemak, sedap ooo. Kau tu nanti, bila dah ada keluarga sendiri, macam tulah juga. So, Khael, kau better enjoy yourself sebelum kahwin. Bila ada anak nanti, jangan mimpilah kau boleh datang ke gim tiga-empat kali seminggu macam sekarang.”

Jihad ketawa.

“Aku pun tak nak datang gim wei kalau dah ada isteri. Baik aku luangkan masa aku dengan dia! I need to make up for all those lost times, bro!”

Gamat sudut gim itu dengan tawa mereka.

“Kalau macam tu, cepat-cepat kahwin, Khael.”

“Tengah usaha ni, bro.”

“Ooo… masih yang itu?”

“Hati aku nak dia, bro.” Peluh yang meleleh di belakang tengkuk dilap laju.

“Brutal sungguh hati kau tu, Khael. She’s one tough cookie to crack.”

“Nothing worthwhile comes easy, right?”

“Betul. Betul. She is worth it, definitely.”

“Usaha dan doa, bro. That is all I can do.”

“Bagus. Aku sokong kau. I will have your back.”

“Thanks, bro. Good to know.”

“Kalau dia macam-macam dengan kau, kau beritahu aku.”

Pecah lagi ketawa dua lelaki itu.

“So lepas ni, kau nak buat apa?” soal Malek selepas ketawa mereka reda.
“Weights. Jom sekali?”

“Okey, nanti aku join kau. Biar aku masuk pejabat dan selesaikan apa yang perlu dulu. Nanti kita jumpa.” Malek menepuk bahu Jihad beberapa kali sebelum dia menapak ke biliknya.




Bab 9: JODOHKU DAN JANJI-NYA SUZANA SULAIMAN


WALAUPUN dia sudah lama sampai, Jihad mengambil keputusan untuk tidak terus menyertai rakan-rakannya yang sedang riuh berbual itu. Dia hanya mahu memerhatikan Jannah dari atas motornya untuk seketika. Disebabkan kes mahkamahnya yang banyak, sudah dua minggu dia tidak dapat mengikuti aktiviti geng motor itu.

Selama itu jugalah dia tidak menatap wajah gadis yang sentiasa bermain di mindanya kini. Melihat wajah manis Jannah yang sedang tersenyum menerbitkan satu perasaan damai di hatinya. Dia tahu jika dia pergi menyertai mereka, dia pasti tidak dapat melihat senyuman dan gelak-tawa Jannah seperti sekarang.

Dengannya, Jannah sentiasa menaikkan satu dinding yang tinggi. Sentiasa dengan ‘façade’ kekerasannya. Takut benarkah Jannah sampai gadis itu enggan berbual dengannya?

‘Ah… sabarlah hati. Kalau jodoh, insya-Allah tak akan ke mana.’ Jihad memujuk hatinya.

Beberapa minit kemudian kelihatan Malek, Sam dan Nick bangun dari tempat duduk masing-masing dan meninggalkan Jannah seorang diri. Jannah dilihat sedang membetulkan ikatan skaf kepalanya. Itu yang Jihad suka tentang Jannah. Walaupun dia minah motor, dia tidak lalai dalam tuntutan agama. Aurat, solat dan batas pergaulan tetap dijaga rapi.

Baru sahaja Jihad hendak menapak, dua lelaki dilihat datang dan duduk di kiri dan kanan Jannah. Langkah Jihad terus terhenti. Daripada riak muka Jannah yang tiba-tiba tegang, dia dapat mengagak yang Jannah tidak mengenali mereka. Apabila salah seorang daripada lelaki itu mencapai sarung tangan Jannah yang berada di atas meja, dengan pantas Jannah merampasnya kembali dengan muka yang bengis. Lelaki yang duduk di kanan Jannah itu hanya ketawa melihat reaksi Jannah.

‘Good. At least she knows how to defend herself.’ Entah kenapa Jihad berasa bangga.

Walaupun Jihad tidak dapat mendengar apa yang sedang dibicarakan tetapi dia nampak Jannah seperti tidak mengendahkan lelaki-lelaki itu dan ternyata tindakan itu menimbulkan kemarahan mereka berdua. Salah seorang daripada mereka bertindak berani dengan memegang lengan Jannah sambil berkata sesuatu. Terus Jannah merentap laju namun cengkaman lelaki itu ternyata lebih kuat. Jannah cuba untuk bangun, namun lelaki yang seorang lagi pula menekan bahunya menyebabkan Jannah terduduk semula.

“Lepaslah! Sakitlah bodoh!” bentak Jannah kuat sehingga sampai ke telinga Jihad. Jannah sedang memandang tepat kepada lelaki yang masih memegang lengannya manakala lelaki itu hanya ketawa sebelum membisikkan sesuatu ke telinga Jannah.

Wajah Jannah terus tegang. Semakin kuat dia mencuba untuk menarik tangannya daripada pegangan lelaki itu.

Lelaki yang seorang lagi pula mula bermain-main dengan hujung skaf di kepala Jannah.

Menyirap terus darah Jihad. Kurang ajar! Dia pantas berjalan untuk mendapatkan Jannah.

“Hoi!” sergahnya kuat dan menyebabkan semua mata di restoran itu menoleh memandang ke arah mereka.

Kedua-dua lelaki itu turut berpaling. Menilik dia dari atas ke bawah.

“Lu apahal brother? Awek lu ka?”

Sekilas Jihad berpaling memandang Jannah yang sudah bermuka kelat sebelum dia kembali merenung tajam kepada lelaki yang bertanya itu.

“Bini aku. Kau orang tak ada kerja lain ke nak kacau bini orang, hah??” herdiknya garang.

Ternyata kedua lelaki itu terkejut. Terkulat-kulat mata mereka memandang Jannah kemudian ke arah Jihad. Cepat-cepat mereka bangun.

“Sorry brother, kami tak tahu. Tapi lain kali lu janganlah tinggal isteri cantik sorang-sorang macam ni. Bahaya bro. Buaya ramai!”

“Banyaklah kau orang nak bagi nasihat dekat aku pulak! Baik minta maaf kat bini aku sekarang,” perintah Jihad keras.

“Maafkan kami, sis. Kami main-main je. Ingat nak berkenalan tadi.”

“Nak berkenalan bukan begitu caranya. Itu cara orang bodoh! Tak bertamadun!” Jannah menengking. Tangannya mencapai helmet di atas meja lalu terus berjalan keluar dari kedai makan tersebut dan meninggalkan ketiga-tiga lelaki itu.

“Garang giler bini lu, bro.” Mereka bertiga masih memandang Jannah yang sedang berjalan laju.

“Hoi, blah la. Ada hati nak tengok bini aku lagi?? Kau orang nak rasa penumbuk aku ke apa?” soal Jihad sambil mula membuka sarung tangannya.

Mendengar amaran itu, kedua lelaki itu terus bergegas pergi dan pandangan Jihad kembali kepada Jannah.

‘Bukan nak cakap terima kasih,’ getus hati Jihad namun langkahnya dibuka untuk mengejar gadis itu.

“Jannah!”

Dan seperti biasa, panggilannya tidak diendahkan. Tapi dia tak kisah. Dia tahu Jannah tidak akan ke mana selagi tiga rakan mereka tidak bersama.

“Are you okay?” soalnya tenang apabila dia sudah berdiri di hadapan Jannah.

“I am. Thanks,” keras suara Jannah. Menjawab tanpa memandang Jihad.

“Lengan tu sakit tak?”

“Tak.”

Jihad menarik nafas. Sabar.

“Betul ke ni? Nampak kuat genggaman dia tadi.” Matanya jatuh memandang tempat yang dicengkam tadi.

“Ya,” balas Jannah pendek.

Jihad mengeluh perlahan.

“Jannah, kenapa awak tak suka bercakap dengan saya? I am a member of this group too, you know. Saya tengok awak boleh saja berborak dengan Malek, Sam dan Nick. Kenapa susah sangat untuk kita berbual?” Jihad memberanikan diri bertanya walaupun dia sedar bahawa soalan itu boleh membuat si gadis naik angin.

Diam.

Jannah menyibukkan diri dengan memeriksa Kawasaki Ninjanya.

“Jannah.” Lembut dan tenang suara Jihad menyebut nama itu.

Jannah melepaskan satu nafas panjang sebelum menjawab.

“I guess we, I mean, you started off with the wrong foot.”

“Sebab saya minta untuk jadi imam awak?”

“Ya. Itu bukan satu soalan yang patut ditanya bila kita baru berjumpa dengan seseorang.”

“Tapi saya ikhlas.”

“Tapi soalan itu tak sesuai.”

“Saya minta maaf kalau awak rasa soalan itu tak sesuai tapi saya ikhlas dan itu memang niat saya.”

“Saya tak kenal awak, Jihad. Macam mana saya nak tahu awak ikhlas?”

“Then get to know me.”

“Saya tak ada masa.”

“I am here now. Tanyalah apa yang awak nak tahu supaya awak boleh kenal saya.”

Jannah mendengus kuat. Dahinya dipicit beberapa kali. Matanya tertutup.

“I don’t just go around and get to know everyone, Jihad.”

“Then make me that someone.”

Cabaran Jihad membawa dua pasang mata itu bertembung. Terasa bagai ada satu aliran tenaga di situ. Satu tarikan yang menyebabkan kedua-duanya sukar untuk berpaling.

“Saya nak jadi seseorang yang istimewa dalam hidup awak, Jannah,” akui Jihad jujur. Memandang tepat ke dalam mata Jannah.

“Why?” Berkerut dahi Jannah.

“Saya tak ada jawapan untuk soalan itu.”

“Mustahil!”

“Yang saya tahu jantung saya berdetak hebat apabila saya dekat dengan awak.”

“Ayat player tu, Jihad.” Jannah ketawa sinis.

“Saya bukan player, Jannah. Saya tak bohong.”

“Then you must be crazy. You don’t even know me.”

“Love is kinda crazy.”

“Love?? Tolong jangan mengarutlah, Jihad.”

“Saya tak mengarut, Jannah. Demi Allah, saya tak main-main.”

Renungan mereka masih berpaut dan seakan tidak mampu untuk mengalih pandang.

“Jihad, kita baru berjumpa beberapa kali. Kenal pun belum, macam mana awak boleh kata itu cinta? Apa yang awak mengarut ni?” Sedaya upaya Jannah cuba menahan nada suaranya supaya tidak naik tinggi. Apapun, Jihad ahli kumpulan ini yang dibawa masuk oleh Malek. Dia sebolehnya tidak mahu menimbulkan satu keadaan yang tidak selesa antara dia dengan lelaki ini.

Jihad tidak menjawab. Jujurnya dia juga tidak ada jawapan untuk soalan itu. Cuma hatinya tahu gadis inilah yang dia cari selama ini.

“Jihad, hidup saya dah cukup complicated. Saya tak perlukan awak untuk mengusutkannya lagi.”

“Then let me be the one to uncomplicate it for you.”

Pandainya lelaki ini berkata-kata.

Jannah ketawa tiba-tiba. Memang dia tak pernah jumpa lelaki seperti Jihad ini.

“Tak payah buang masa awak dengan saya, Jihad. Saya dah biasa hidup sendiri. I am not looking for anyone.”

“Jangan takbur, Jannah.”

“Saya bukan takbur. Saya bercakap benar. Saya dah biasa sendiri,” terang Jannah bersungguh.

Jihad nampak kesungguhan Jannah menolak cintanya tetapi entah kenapa penolakan itu seperti menjadi satu kuasa pendorong untuk dia terus menyatakan isi hatinya.

“Jannah, percaya atau tidak, saya juga sudah biasa hidup sendiri. I am thirty-five years old and never had a girl in my life.”

‘Sebaya rupanya.’ Hati Jannah berbisik.

“And why is that?” Agak aneh baginya jika lelaki seperti Jihad tak pernah berteman sebelum ini. Jika dilihat luarannya, Jihad ini tampan orangnya. Tiada yang kurang.

“Hanya Allah yang tahu jawapan untuk soalan awak tu. Cuma seperti yang saya katakan tadi, jantung saya berdetak bila saya nampak awak. That means something. My heart is telling me something,” balas Jihad. Suaranya tetap tenang ketika menjawab segala soalan Jannah.

“Tapi kenapa saya? Awak tak kenal saya, Jihad.” Soalan yang sama diulang oleh Jannah. Dia masih cuba untuk memahami permintaan pelik daripada lelaki ini.

“Hati saya yang memilih awak, Jannah.”

Jannah mendengus kasar. Semakin keliru dibuatnya. Sekejap jantung. Sekejap hati.

“Jadikan saya seseorang di dalam hidup awak, Jannah. Saya cabar awak!” Dia juga tahu gadis itu pantang dicabar.

“Awak ni dah gila agaknya, Jihad.” Jannah sudah mencapai helmet untuk disarungkan ke kepala. Panas hatinya mendengar cabaran kedua yang baru dilontarkan oleh Jihad. Sebelum dia mengeluarkan kata-kata yang lebih kasar, lebih baik dia angkat kaki.

Pantas tangan Jihad naik untuk memegang helmet itu. Menahan Jannah daripada menyarungnya. Bicara mereka belum habis.

“Apa lagi, Jihad?”

“Can we at least be friends?”

Sekali lagi Jannah menarik nafas dalam-dalam sambil beristighfar dalam hati.
“After all that you have just said, how can we be friends, Jihad?” Sungguh dia tidak selesa.

“Saya ikhlas, Jannah.” Sekali lagi perkataan ikhlas itu ditekankan.

“Jihad, saya tak tahu apa yang awak nampak tapi percayalah saya bukan orangnya.”

“Why do you sell yourself short?”

“I am not. I am being realistic. Awak tak kenal saya.” Sekali lagi Jannah tekankan perkara yang sama.

“Jadi, izinkanlah saya untuk mengenali awak.”

Helmet yang dipegang diletakkan kembali di atas motor.

Jannah merenung Jihad. Lama. Mindanya sedang mencerna permintaan lelaki ini. Walaupun mereka baru kenal dan apa yang diminta oleh lelaki itu agak keterlaluan, dia nampak keikhlasan dan kesungguhan di mata Jihad.

“Saya cuma ingin minta dua perkara daripada awak. Satu, saya nak kita berta’aruf. Kita tetapkan satu masa untuk kita duduk berdua, berkenalan dan cuba untuk kenal hati budi masing-masing. Dua, saya nak minta awak buat solat istikharah. Kalau kita serasi dan awak mendapat petunjuk seperti saya daripada solat yang awak dirikan, saya mahu kita halalkan hubungan ini. Demi Allah, saya tak main-main, Jannah.”

Jannah kembali memicit dahinya.

‘Petunjuk? Adakah kerana petunjuk itu, Jihad menjadi sebegini yakin?’ soal Jannah di dalam hati. Sungguh seumur hidupnya dia tak pernah jumpa lelaki seperti ini. Mata dia kembali merenung Jihad. Redup pandangan lelaki itu seakan sedang menyejukkan hatinya yang panas.

Namun belum sempat dia menjawab, kedengaran suara Malek dari belakang mereka.

“Tengah bincang apa ni? Serius benar nampak,” soal Malek apabila dia datang menghampiri. Tangannya dihulur untuk berjabat dengan Jihad. Selepas bersalaman, dia menepuk bahu Jihad.

“Apa hal ni? Jannah, kenapa tak tunggu kat kedai?” soalnya lagi apabila soalan pertamanya dibiar sepi. Pelik juga dia apabila melihat Jannah sudah tidak ada di meja.

“Korang pergi mana lama sangat?” Jannah menyoal terus.

“Eh, lama ke?”

“Lama la jugak… dalam setengah jam kut,” balas Jannah sambil melihat jam di tangan.

Malek ketawa lepas.

“Sorrylah, babe. Keluar tandas tadi, kami terserempak dengan kawan lama. Terus duduk borak-borak kejap.”

“Banyaklah korang punya sorry. Penat aku tunggu.”

“La… rileks la. Kan Khael ada temankan kau ni? Sikit punya handsome mamat ni.” usik Malek.

“Huh? Kaitan?”

Malek ketawa lagi. Tangannya kembali menepuk-nepuk bahu Jihad.

“Jannah, bila kau berdiri sebelah si Khael ni, gerenti ramai awek yang makan hati.”

“Ha’ah, si Khael ni kan macam Most Eligible Bachelor in town gitu. Takkan kau tak tahu?” Sam pula mengusik.

“Ya ke? Aku memang tak tahu pun. Eh? Awak ada masuk mana-mana majalah ke?” Jannah menyoal Jihad terus.

Jihad tersenyum dan menggeleng. Dia tahu Jannah hanya berbasa-basi dengannya di hadapan Malek dan yang lain-lain.

“Sam mengusik awak saja tu. Saya bukan sesiapa,” balas Jihad.

“Tengok tu, siap merendah diri lagi. Susah nak jumpa orang macam ni, Jannah. Complete package ni. Edisi terhad.” Malek sengaja mahu ‘menjual’ Jihad. Dia teringat akan perbualan antara mereka berdua tentang Jannah.

“Oh ya? Untunglah isteri dia nanti.” Jannah menjawab selamba.

“Kau tak nak masuk bertanding ke?”

Jannah memberi satu jelingan maut kepada Malek.

Mengekek Malek ketawa.

“Alaa. Aku main-main je la. Lagipun aku pasti Khael dah ada calon. He definitely has his eyes set on someone. Right, bro?” Bahu Jihad dipautnya kemas.

Jihad tarik senyum sambil menatap wajah Jannah yang jelas nampak tidak selesa. Ya, dan gadis itu ada di depan matanya.

“Anyway Khael, apasal lama tak datang?” Nick mengalih tumpuan kepada Jihad. Sebelum Jannah mengamuk, baik dia menukar topik perbualan.

“Oh, aku sibuk sikit la. Banyak kes kena urus. Hujung minggu pun kena kerja.”
“Ooo… aku ingat kau dah malas nak ikut kami.”

“Eh, tak adalah.”

“Manalah tahu…”

“So what is the plan for today, guys? Nak ride ke mana?” Jihad bertanya kepada Malek.

“Ke Lumut ikut jalan dalam. Kau nak ikut?”

“Mestilah! Kita berlima saja? Yang lain?”

“Yang lain sibuk.”


PERJALANAN dari Kuala Lumpur ke Lumut mengambil masa lebih kurang tiga jam kerana mereka berhenti beberapa kali. Sekali di Sekinchan untuk makan tengah hari. Kemudian di Bagan Datoh untuk minum air nira dan terakhir di Teluk Intan untuk menikmati pemandangan sawah padi yang sedang menguning.

“Malek, kita ni kalau ride asyik makan saja kan? Patutlah berat badan aku semakin naik.” Nick menepuk-nepuk perutnya yang kekenyangan. Mereka baru saja menikmati mee udang banjir di jeti Lumut.

“Berat badan kau saja yang naik. Tengok aku ni, maintain bro! Six packs.”

Malek menepuk perutnya yang kempis.

“Cheh! Dah kau taukeh gim mestilah badan kau maintain.” Sam pula menyampuk.

“Korang pun jomlah join gim aku. Tengok macam Jihad ni. Regular customer ni tau! Tengok badan dia. Mantap!”

“Jannah, kau pun ke?” soal Nick. Saja dia ingin membawa Jannah untuk menyertai perbualan mereka.

Daripada pengamatannya, Jannah banyak berdiam diri sejak mereka memulakan perjalanan tadi. Seakan dia sedang memikirkan sesuatu.

“Aku pun apa?” Jannah bertanya.

“Kau pun pergi gim Malek ke?”

“Hish. Taklah. Kau ingat banyak sangat masa aku,” balas Jannah dan matanya kembali memandang ke arah deretan feri yang berada di jeti itu.

“Oi cik adik, orang pergi gim untuk kesihatan la. Bukan saja-saja. Kau ingat orang pergi gim untuk buang masa ke?” tegur Malek.

Jannah menoleh memandang Malek sambil menarik senyum.

“Chill la Malek. Ada aku cakap macam tu ke? Tak ada kan? Aku cuma kata aku serius tak ada masa. Kau sendiri tahu aktiviti aku macam mana kan?”
Jihad tekun mendengar. Rasa ingin tahu kembali bersarang di minda. Apakah aktiviti Jannah sehingga dia sibuk sebegitu? Takkan tak ada masa langsung untuk beriadah?

Malek yang seakan dapat membaca riak Jihad, cuba memancing Jannah untuk bercerita. Dia juga sedar yang Jannah lebih banyak berdiam diri sejak Jihad menyertai mereka.

“Jannah.”

“Apa?”

“Sibuk dengan aktiviti atau kau dah ada buah hati?”

“Apasal tiba-tiba nak tahu ni? Selalu tak pernah tanya pun?”

“Yalah. Sementara aku ingat ni, aku tanyalah. Kalau nak tunggu kau bagitahu kami, tak adalah kan? So dah ada ke?”

“Tak kuasa aku nak jawab.”

Jannah menyedut saki baki minumannya.

“Eh Jannah, tak payah sembunyilah. Kalau ada, kami tumpang gembira. Kau tu pun bukannya muda lagi.” Nick mencelah.

“Oh thanks, Nick. I so needed to hear that,” balas Jannah sinis.

“Janganlah marah. Kami bukan menyindir. Kami tanya sebab kami semua sayangkan kau, Jannah.”

Sam cuba memujuk. Risau kalau Jannah tiba-tiba mengamuk. Wanita memang sensitif kalau umur mereka dibangkitkan.

“Yeah, Sam. That seems to be the universal excuse for everyone. The license to put their noses where it does not belong, let alone welcome.” Sekali lagi dia membalas pedas.

Jihad menyimpan senyum. Dia suka dengan cara Jannah melayan kerenah rakan-rakannya. Patutlah Jannah boleh bertahan selama ini.
‘That’s my girl.’ Hatinya bangga.

BUKU nipis di atas rak buku itu ditarik keluar. Helaian muka surat dibuka untuk mencari tajuk yang dikehendaki. Untuk seketika, ingatannya kembali kepada perbualannya dengan Jihad sebelum mereka bertolak pulang malam tadi.

“Jannah?”

“Ya.”

“It was a good ride.”

“Yeah, it was. The weather and the roads definitely helped. Alhamdulillah.”
Oleh kerana hari sudah lewat petang, Malek memutuskan agar perjalanan pulang mereka ke Kuala Lumpur mengikuti Lebuhraya Utara Selatan dan semestinya itu telah memudahkan pemanduan dan memendekkan masa perjalanan mereka.

“You ride very well too.” Jihad memuji ikhlas. Memang pada pengamatannya, Jannah seorang penunggang yang cekap walaupun motor itu berkali ganda lebih berat daripadanya.

Jannah tertawa kecil.

“Thanks. So do you.”

“Terima kasih.” Dalam hatinya Jihad memanjat rasa syukur kerana Jannah mahu berbual dengannya.

‘Sebelum saya balik, boleh awak tunaikan permintaan saya tadi?” sambung Jihad.

“Solat istikharah?”

Jihad sekadar mengangguk. Lega hatinya melihat Jannah masih ingat akan permintaannya siang tadi. Walaupun Jannah hanya menyebut salah satu daripadanya, insya-Allah yang lagi satu akan tetap diusahakan.

“Insya-Allah.”

Itu saja yang terjawab oleh Jannah di kala keletihan sudah mula terasa pada seluruh badan. Dia tak mahu berbahas panjang.

“Terima kasih Jannah.”

Tumpuan Jannah kembali kepada buku kecil di tangannya. Nafas dihela perlahan. “Cara-cara mengerjakan Solat Sunat Istikharah.” Dengan lafaz Bismillah, dia mula membaca.


Bab 8 : JODOHKU DAN JANJI-NYA - SUZANA SULAIMAN


JANNAH menghirup kopi panas yang baru dihidangkan sambil menumpukan perhatiannya kepada pembentangan yang sedang berlangsung. Pagi itu mereka sedang menilai tawaran tiga syarikat pembekal bahan mentah untuk projek Fasa 5 di Putrajaya. Setiap syarikat telah dijemput untuk membuat pembentangan secara berasingan.

Qayyum diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan mesyuarat pada hari itu sementara Jannah hanya bertindak sebagai pemerhati. Daripada cara percakapannya yang berkeyakinan, sikap yang tenang serta bahasa badan yang kemas, Qayyum cukup menyerlahkan karismanya sebagai seorang bakal ketua syarikat.

“Cik Jannah, you ada apa-apa soalan?” Encik Adli, wakil daripada Syarikat Perkasa Bina bertanya.

Jannah yang sedikit terkejut mendengar soalan itu, berpaling memandang Qayyum. Qayyum sekadar tersenyum dan mengangguk sebagai isyarat membenarkan dia menjawab soalan Encik Adli.

“Erm… tak ada Encik Adli. Lagipun, jika kami ada sebarang soalan, Encik Qayyum selaku wakil syarikat akan mengemukakannya. Hari ini, seperti yang saya katakan pada permulaan mesyuarat, saya hanya bertindak sebagai pemerhati.”

Encik Adli ketawa kecil sambil mengangguk.

“Itu saya faham tapi memandangkan kita dah biasa berurusan, maka saya ingin bertanya pendapat Cik Jannah tentang pembentangan tadi. Maafkan saya, Encik Qayyum, dah terbiasa,” jelas Encik Adli.

“Tak mengapa. Teruskan,” jawab Qayyum ringkas.

Jannah membetulkan duduknya.

“Maaf Encik Adli, saya tak boleh nak komen apa-apa. Kami akan menilai semua tawaran yang telah disenarai pendek dan daripada situ kami akan membuat keputusan.”

“Adakah harga yang kami tawarkan ini dalam lingkungan harga yang boleh diterima? Jika tidak, insya-Allah kita masih boleh berbincang sekarang.” Sekali lagi Encik Adli bertanya dan kali ini cuba membuat tawaran.

Jannah menghela nafas. Dia mula tidak senang dengan soalan sebegini. Dia memandang sebentar ke arah Qayyum yang daripada tadi hanya diam memerhati.

‘Mungkin Qayyum berdiam diri kerana dia mahu melihat cara aku menangani kerenah pembekal ini,’ detik hati Jannah.

“Maaf Encik Adli. Memandangkan Encik Adli kata tadi yang kita dah biasa berurusan, saya percaya yang Encik Adli tentu maklum dengan cara kami bekerja. Kami sentiasa telus dalam membuat pemilihan. Ini amanah yang para pemegang saham telah berikan dan kami akan pegang amanah itu dengan sebaiknya. Insya-Allah, selepas kami menilai kesemua tawaran dan jika Perkasa Bina tersenarai, kita akan adakan satu lagi perbincangan secara lebih terperinci.”

Jannah memandang terus kepada Encik Adli. Segaris senyuman diukir.

“But as for now, if you are done with your presentation, I would like to thank you and your team and wish you luck,” sambungnya tegas. Jannah menutup iPad di hadapannya dan mula berdiri.

Kedengaran Encik Adli berdeham beberapa kali.

“Cik Jannah, Encik Qayyum, saya minta maaf jika saya tersalah tanya tadi,” pinta Encik Adli.

“Ya, Encik Adli. Berkenaan dengan perkara tadi biarlah saya berterus-terang. Pada saya, soalan tadi memang tidak sesuai kerana sepatutnya harga di dalam sebut harga ini adalah harga yang sudah dikunci untuk perbincangan peringkat ini dan bukan untuk yang dijadikan bargaining point,” terang Jannah tanpa menunggu jawapan daripada Qayyum. Suaranya masih tegas dan dia memandang tepat kepada Encik Adli.

Perubahan air muka Encik Adli dapat dilihat dengan jelas oleh Jannah. Mungkin lelaki itu tidak suka akan teguran yang baru diberikan tapi bagi Jannah dia perlu berkata jujur. Menegur apa yang dilihat dan dirasakan tidak betul.

“Ermm… saya minta maaf sekali lagi. Nampaknya soalan main-main saya tadi dianggap serius.” Encik Adli cuba memberi dalih.

Jannah sekadar membiarkan pernyataan itu berlalu. Malas dia mahu membalas.

“Terima kasih Encik Adli. We shall be in touch.” Dia memandang tepat ke arah Encik Adli yang seakan masih tak berpuas hati dengannya. Apabila dia melihat lelaki itu seakan tidak mahu berganjak, Jannah memulakan langkahnya dahulu.

“Encik Qayyum, saya keluar dahulu. Encik Adli, terima kasih sekali lagi.” Jannah meminta izin lalu berjalan keluar daripada bilik mesyuarat berkenaan.

SEPULUH minit selepas itu, Qayyum sudah berdiri di hadapan meja Jannah yang pada ketika itu sedang sibuk menaip sesuatu. Sedikit pun Jannah tidak menoleh ke arahnya.

“Are you in a rush?” soalnya selepas tiada tanda yang Jannah akan mengangkat kepala daripada skrin komputer itu.

“Ya, Encik Qayyum, saya ambil cuti separuh hari, hari ni.”

“Oh.”

Jannah menghentikan jari-jemarinya daripada menaip dan menoleh.
“Ada apa Encik Qayyum?”

“Saya ingatkan kita boleh berbincang berkenaan tiga sebut harga tadi.”

“Oh! Saya minta maaf, Encik Qayyum. Hari ni memang tak boleh. Saya ada urusan yang tak boleh ditangguh tapi saya dah minta Safi untuk set up kan meeting time esok untuk kita go through the proposals sebelum kita berjumpa dengan Datuk Amir,” terang Jannah laju sebelum dia kembali menaip.

“Awak ada urusan apa?”

Jannah menoleh memandang Qayyum sekali lagi. Kali ini dengan senyuman di bibir.

“Maaf, Encik Qayyum. Peribadi.”

Qayyum membalas senyuman yang diberi. Jarang Jannah menghadiahkan senyuman ikhlas sebegitu kepadanya.

“Oh, okey. Saya faham.”

“Thanks, Encik Qayyum. Ada apa-apa lagi?”

Qayyum ketawa kecil. Nampak sangat Jannah sedang mengejar masa.

“Awak tengah siapkan apa tu?”

“Site report untuk Datuk Amir.”

“Nak saya tolong?”

“Oh, tak apa. Sikit lagi ni.”

“Jannah, kalau awak kesuntukkan masa, saya boleh buatkan. This is related to yesterday, right?”

“Yes, it is but like I said, it’s okay. Saya boleh buat sendiri, Encik Qayyum. Dan kalau Encik Qayyum tak
kacau saya, saya cuma perlukan lima minit saja lagi untuk siapkan laporan ini.”

Qayyum ketawa lagi.

“Okey. Okey. I get it. Jadi kita jumpa esok, ya?”

“Ya. Terima kasih, Encik Qayyum.” Jannah pantas menyambung kerja. E-mel itu perlu dihantar sebelum dia pulang.

“Jannah?”

“Ya?” Sekali lagi Jannah terpaksa menoleh. Qayyum merendahkan badannya. Kedua tangannya diletakkan atas meja Jannah.

“Enjoy your day off,” ucapan perlahan itu disertakan bersama senyuman dan kenyitan mata sebelum Qayyum berlalu masuk ke biliknya.

Jannah sekadar memerhati lelaki itu melangkah pergi. Berkerut dahinya bila teringatkan aksi yang baru dilihat tadi.

“Ehem… ehem! Amboi!” Kedengaran suara Safi menyampuk dari mejanya yang selang beberapa kubikel dari meja Jannah sambil melaga-lagakan kedua jari telunjuk.

Jannah mengepal penumbuk.

“Nampak ni? Mengarut! Jangan kacau aku la. Aku nak cepat ni!”

Mengekek Safi ketawa. Laju dia menapak ke meja Jannah.

“Sempat kenyit mata tu! Tak tahan aku!” bisik Safi.

“Kau nampak?” Jannah berhenti menaip.

“Satu ofis nampaklah!”

“Banyak la kau tangachi!”

“La… betul la. Kau nak aku tanya pada Ju tu? Aku nampak dia pun tersengih tengok drama dua minit korang tadi.”

“Hish… rimaslah aku. Eh dah la. Aku nak habiskan ni. Nanti aku lambat!”

“Pukul berapa Sarah habis sekolah?”

“Dua.”

“Sekolah dia kat mana?”

“Jalan U-Thant.”

“Apa rancangan kau untuk hari ni?”

“Yena tangachi, aku nak cepat ni. Malam nanti cerita boleh tak?”

“Ok la.” Safi mencebik muka.

“Tapi kau balik awal tau, kita dinner sama-sama.”

“Kau nak masak ke?”

“Yalah. Habis tu takkan kau kut?”

“Podah… kutuk aku!”

Jannah ketawa lepas.

“Sarah tidur rumah ke?”

“Yup. Esok kan Sabtu. Esok kita bawa dia jalan-jalan cari makan eh?”

“Ok, set!”


WAKTU Jannah tiba di sekolah, kelihatan Sarah sedang leka bermain dengan tiga orang rakannya. Walaupun berempat, suara mereka cukup riuh. Dari tempat dia berdiri, nampaknya seperti mereka semua sebaya. Lega hati Jannah melihat Sarah sudah boleh membiasakan dirinya di situ. Sarah sebenarnya baru beberapa bulan bersekolah di sini. Pada minggu pertamanya dulu, hampir setiap hari Sarah akan menangis apabila dia tahu dia harus ke sekolah. Dan demi masa depan Sarah, hampir seminggu jugalah Jannah terpaksa mengambil cuti untuk menemani anak itu.

“Ibu!” jerit Sarah apabila dia ternampak kelibat Jannah.

“Hai sayang!”

Sarah berlari mendapatkannya untuk bersalam.

Jannah mencapai dan menggenggam tangan yang comel dan montok itu sebelum membawa Sarah ke dalam pelukannya.

“Hari ni Sarah balik dengan ibu ke?” ceria muka itu bertanya.

“Sarah nak balik dengan ibu tak?” Jannah pula menyoal. Saja mengusik.

“Mestilah! Kawan-kawan! Mari sini!” Sarah sudah separuh menjerit.

Ketiga- tiga rakannya tadi berdiri di sebelah kiri dan kanannya. Semuanya tersenyum lebar memandang Jannah.

“Ibu, ini Hana, ini Ali dan ini Bella. Salam-salam. Ini ibu kita.”

“Eh, awak kata awak tak ada emak dan ayah?” tanya Ali.

“Yalah. Memang kita tak ada. Ini ibu angkat kita lah. Cepat salam,” jawab Sarah polos. Kegembiraannya jelas terpancar pada riak wajah.

Jannah mengukir senyuman sambil menyambut setiap tangan kecil yang dihulurkan.

“Hai, auntie.”

“Hai, ibu Sarah.”

“Hai, mak cik.”

Sapa ketiga-tiga mereka.

“Hello semua! Seronok tak sekolah ni?”

“Seronok!!!” Serentak mereka berempat menjawab.

“Kenapa seronok?”

“Sebab dapat jumpa ramai kawan,” jawab Bella.

“Sebab dapat main!” jawab Ali.

“Sebab makan sedap!” jawab Hana.

“Sarah?” Jannah mengangkat kening.

“Sebab ibu kata, kalau Sarah pergi sekolah, Sarah boleh jadi budak pandai!”

Jawapan Sarah membuatkan Jannah menahan sebak. Rupanya Sarah ingat lagi nasihat yang dia berikan semasa memujuk Sarah untuk ke sekolah.

“Pandai anak ibu. Apa kata Sarah pergi kemas semua barang Sarah tu sebelum kita balik?” Jannah memandang ke arah permainan dan buku yang berselerakan di atas karpet.

“Okey ibu… kejap ya. Jom kawan-kawan!”

Jannah cukup bersyukur bila melihat perkembangan Sarah yang semakin hari semakin keletah. Enam tahun dahulu, anak kecil ini telah ditinggalkan di hadapan rumah Puan Kamariah. Sarah yang ketika itu dianggarkan berusia tiga bulan, diletakkan di dalam sebuah kotak dengan hanya berbalut sehelai kain selimut.

Tiada sebarang nota ditinggalkan dan sehingga ke hari ini tiada siapa yang datang menjenguknya.

Sejak kali pertama Jannah melihat Sarah, hatinya sudah jatuh sayang. Apatah lagi bila mengenangkan nasib Sarah yang menghidap sindrom down. Mungkin atas sebab itu, anak ini telah ditinggalkan. Dalam proses membesarkan Sarah, banyak yang telah dia dan Puan Kamariah pelajari dan Alhamdulillah, dengan pertolongan Yang Maha Esa, hari ini Sarah sudah seperti kanak-kanak lain walaupun sifat fizikalnya nyata berbeza. Sarah tidak lagi memerlukan sebarang pertolongan untuk mengurus dirinya. Percakapannya juga sudah lancar walaupun ada kalanya perlahan.

Dan berpegang pada janjinya, segala urusan berkenaan dengan pemeriksaan kesihatan, sekolah serta segala perbelanjaan Sarah yang lain diurus dan ditanggung sepenuhnya oleh Jannah. Cuma hasratnya untuk membawa Sarah tinggal bersamanya belum lagi terlaksana.

“Ibu. Dah kemas! Jom kita balik!”

Jannah tersenyum senang menatap wajah anak kecil yang berambut lurus dan bermata bundar itu.

“Okey. Jom kita cari Auntie Irma dan beritahu dia yang kita nak balik.” Tangan yang dihulur dengan pantas dipaut oleh si kecil.



“IBU! Buat macam ni ke?” teriak Sarah sambil menekupkan kedua tapak tangannya ke atas kertas lukisan.

“Kejap ibu datang,” balas Jannah yang sedang menyediakan makan malam. Api di dapur dikecilkan sebelum dia mendapatkan Sarah yang berada di ruang tamu.

“Ibu, tengok ni.” Sarah menunjukkan lukisannya dengan penuh bangga.

“Pandai pun. Sarah buat banyak-banyak atas kertas ni ya? Lepas tu, biar kertas tu kering. Nanti ibu nak gantung kat dinding bersama lukisan-lukisan Sarah yang lain.” Comel sungguh bentuk tapak tangan Sarah.
“Okey, ibu. Sarah nak guna warna lain pulak.”

“Pandai. Sarah buat ya? Ibu nak sambung masak. Nanti Auntie Safi balik, kita boleh makan sama-sama.”

Jannah menyisirkan rambut Sarah yang terjuntai di dahi ke belakang telinganya. Sudah ada beberapa calit warna pada wajah anak itu.

“Mana cekak rambut Sarah?”

“Dah patah.”

“La… kenapa tak beritahu ibu? Boleh kita singgah beli yang baru tadi.”

Sarah tersengih. Tangan yang mahu menggaru kepala, tangkas ditangkap oleh Jannah.

“Jangan pegang rambut! Tapak tangan Sarah penuh dengan warna. See?” katanya sambil menayangkan tapak tangan yang berwarna biru itu kepada Sarah.

“Sarah lupa!”

Jannah sekadar menggeleng kepala melihat reaksi Sarah.

“Ibu masak apa tu?”

“Ibu masak lauk kegemaran Sarah. Cuba teka?”

“Kari ayam?”

“Yup.”

“Yeay! Suka. Suka!”

“Ibu tahu. Lepas siap nanti, Sarah basuh tangan dulu, okey? Kemudian, tolong kemas dan simpan semua alat mewarna ke dalam laci ya? Kertas lukisan tu, Sarah biar saja kat atas meja, kita tunggu sampai kertas-kertas tu kering.”