Sunday 25 October 2015

Bab 3 : SABARLAH DUHAI HATI - MIMIE AFINIE


M
ASA mama datang, Fira tengah asyik melayan perasaan berhampiran kolam ikan. Sedar kehadiran mama, Fira mengeluh. Bukanlah tak suka nak lepak sama mama tapi risau kalau-kalau mama timbulkan lagi cerita dua malam lepas. Terus terang, dia tak suka. Yang dia pelik, kenapa sejak akhir-akhir ini mama macam terdesak sangat nak suruh dia berkahwin? Apa muslihat mama sebenarnya? Entah-entah mama sengaja nak dia cepat-cepat keluar dari rumah ni. Yalah, dah berkahwin mestilah kena ikut suami, kan? Mana tahu mama dah bosan dengan dia. Maklumlah, mama kan dah ada Danish yang dikasihi.
Mungkin dengan adanya dia di rumah ini akan mengganggu kasih sayang mama terhadap Danish pula. Memang dia tahu dia jahat kerana berfikiran seperti itu, tapi sikap mama sendiri yang mendorong hati nuraninya untuk berprasangka begitu.
Baru beberapa minit berbual, tiba-tiba mama tukar topik.
“Kalau kita buat majlis kahwin dalam tahun ni, agak-agak sempat tak?”
Kan betul apa yang difikir tadi. Mama dan topik perkahwinan memang tak boleh dipisahkan.
“Mama, Fira nak kahwin dengan siapa? Fira mana ada boyfriend?” Fira berbohong.
Masuk kali ni, entah dah berapa kali dia membohongi mama. Nak buat macam mana, dah terpaksa. Secara jujurnya, dia belum bersedia. Yalah, sebelum mendirikan rumah tangga, dia kena pastikan dirinya mahir serba-serbi. Memasak, membuat kerja-kerja rumah serta menguruskan rumah tangga. Tapi seperti yang mama sedia maklum, anak dara mama yang seorang ini manalah pandai sangat dengan kerja-kerja tu semua? Lalu macam manalah dia nak jadi isteri orang? Malu kat suami nanti.
“Betul ni tak ada?” Mama menduga. Matanya mencari mata Fira. Seperti sesebelum ini, dia tak percaya langsung. Dia tahu Fira tak bercakap benar.
“Mama... kita cakap pasal lainlah. Malaslah cakap pasal kahwin aje.”  Fira tayang muka bosan. Mahunya tak bosan, balik-balik tanya pasal tu. Macamlah anak mama ni dah terdesak sangat nak bersuami.
”Apa salahnya?”
“Memanglah tak salah tapi bila dah selalu sangat, Fira jadi bosan tau tak?”
“Amboi! Dah pandai bosan dengan mama.” Dah macam merajuk bunyi suara mama.
“Fira bukan bosan dengan mama tapi dengan soalan mama yang sama tu.”
“Selagi Fira tak bersungguh-sungguh pasal ni, selagi tu mama akan tanya.”
“Ma... Fira muda lagi kut. Bagilah peluang Fira enjoy dulu puas-puas. Sampai masa nanti Fira akan kahwin jugak.”
Mama geleng. “Mama tak setuju. Pada mama, lagi elok kalau Fira cepat-cepat kahwin. Kalau ikutkan hati mama, esok juga mama nak tengok Fira naik pelamin.”
“Mama ni kenapa beria-ia sangat? Fira tak fahamlah.”
“Fira, mama bukan saja-saja nak suruh Fira cepat-cepat kahwin. Ada sebabnya.”
“Sebab apa?”
“Yalah bila Fira dah kahwin... mama dan papa dah tak perlu risau lagi. Dah ada orang jaga Fira, bertanggungjawab terhadap Fira. Betul tak?”
“Mama pun tak perlu nak ambil kisah pasal Fira lagi, kan? Yalah Fira ni kan selalu susahkan mama, susahkan semua orang. Jadi, bila Fira dah kahwin, tak adalah Fira susahkan mama lagi.”
“Fira, kenapa cakap macam tu? Mama tak pernah terfikir sampai ke situ. Papa pun sama. Tak baik tau cakap macam tu.”
Fira mencebik. Tak nak mengaku konon.
“Buat muka macam tu, tak percaya cakap mama la tu.”
“Memang pun.”
“Fira ni suka fikir yang bukan-bukan tau.”
“Kalau tak nak Fira fikir yang bukan-bukan, tolong jangan sibuk-sibuk nak suruh Fira kahwin.”
“Fira...” Mama pandang Fira, kecewa.
“DANISH sedang bikin apa tu?” Bibik tarik kerusi, lalu duduk di sebelah Danish.
“Melukis.” Tanpa pandang muka bibik, Danish jawab sepatah. Tekun sekali dia mewarna.
“Ini apa?” Bibik talakan jari telunjuknya kepada kertas lukisan yang sudah lebih separuh diwarnakan.
“Langit.”
Kok langitnya warna merah?” Bibik ketawa terkekeh-kekeh.
Dari kertas lukisan, pandangan Danish berkalih kepada bibik yang masih lagi ketawa.
“Habis langit warna apa, bik?” soal Danish.
“Langit kan warnanya biru, Danish. Apa Danish nggak pernah lihat liat?”
“Kenapa langit warna biru?”
“Ya… Allah udah ciptakan langit dengan warna biru. Kita harus terima Danish. Nggak harus dipersoalkan.”
Lama Danish pandang bibik. Tak faham apa yang wanita itu bicarakan.
“Bibik, kenapa langit warna biru?” Danish menjerit, kuat.
Bibik dah panik. Rasa menyesal pula kerana menegur warna langit tadi. Macamlah dia tak tahu bagaimana perangai Danish tu. Selagi belum berpuas hati, selagi itulah Danish akan menyoal dan terus menyoal. Sambil itu matanya memandang ke arah tangga.
Mana nenek ni? Kok nggak turun-turun? Tadi dia diminta temenin Danish sebentar aja sementara nenek tunaikan solat. Ini udah lebih setengah jam, kok belum selesai lagi solatnya?
Pokoknya warna langit itu kan biru, Danish. Mana boleh ditukar kepada warna lain?”
“Kenapa tak boleh tukar warna lain?” Danish menyoal lagi.
Makin susah pula soalan Danish. Bibik terkulat-kulat. Tak tahu macam mana nak jawab.
“Bibik, jawablah.” Semakin kuat suara Danish.
Seseorang turun dari tangga. Mungkin nenek. Bibik senyum, lega.
“Bibik, buatkan teh ais.”
Fira rupa-rupanya. Senyuman bibik hilang.
“Saya diminta nenek temenin Danish.”
“Tak payah nak temenin sangatlah, bik. Dia bukannya baby. Dia dah besar kut. Jangan cakap banyak, pergi buatkan teh ais.”
“Baik... saya pergi sekarang.” Bibik cepat-cepat berlalu ke dapur. Kalau dengan Fira memang dia tak berani nak berlengah-lengah. Nanti kena marah pula. Tapi bagus juga Fira datang. Tak perlulah dia menjawab soalan Danish yang memeningkan kepala itu.
“Kakak... kenapa langit warna biru?” Danish mengalihkan soalan itu kepada Fira pula.
Fira menjeling tajam. Ni apa hal pulak tiba-tiba tanya warna langit ni? Dah buang tebiat ke apa budak ni?
“Kakak... adik tanya ni? Kenapa langit warna biru?”
“Dah memang warna langit biru. Yang kau sibuk nak tanya tu, kenapa? Banyak lagi benda berfaedah boleh ditanya, itu juga yang kau nak tau.”
“Kakak... jawablah adik tanya.”
“Hei! Ada juga yang kena luku dengan aku ni kang.”
“Kenapa langit warna biru? Cakaplah.” Danish dah hampir nak menangis. Yalah dari tadi dia bertanya, tapi tiada jawapan yang diperolehi.
“Warna langit biru sebab...” Fira berhenti di situ.
“Sebab apa?” Danish senyum lebar. Tak sangka Kak Fira sudi menjawab pertanyaannya.
“Sebab warna langit memang biru.” Lepas jawab macam tu, Fira ketawa berdekah-dekah. Seronok dapat mengenakan Danish. Padan muka, banyak tanya lagi. Dahlah tanya benda-benda yang orang susah nak jawab.
Danish meraung sekuat hati sambil menghentak-hentakkan kakinya ke lantai.
“Kau dah kenapa? Nak rasa penampar aku ke? Eleh! Cakap macam tu pun nak meraung. Mengada-ngada betul budak ni.”
“Nenek! Tengok kakak ni. Dia nak tampar adik.” Kuat Danish menjerit sambil matanya tertala ke arah tangga.
Fira menggelabah. Sekejap lagi pasti nenek akan turun. Nenek mana boleh dengar Danish menangis atau menjerit sikit? Kalau dia tunggu kat sini, mahu kena leter dengan nenek. Tak boleh jadi ni. Segera dia berlari ke dapur.
“Bibik, pergi temenin budak kecil tu.”
“Teh aisnya gimana?”
“Tak payah buat.” Dari ruang dapur Fira melangkah laju ke hadapan, seterusnya ke tingkat atas. Sebelum nenek turun, lebih baik dia berkurung dalam bilik.
Sambil merungut perlahan, bibik ke hadapan semula. Pening kepalanya dengan kerenah dua beradik ini. Yang seorang macam gitu, yang seorang lagi macam gini. Nasiblah tuan dengan puan baik dan bertimbang rasa. Kalau tidak, dah lama dia berhenti kerja.


Bab 2 : SABARLAH DUHAI HATI - MIMIE AFINIE


“K
AU ni apa hal? Muncung aje dari tadi.” Dian pandang Fira yang sedang memandu.
Fira tak beri respons. Matanya pandang tegak ke hadapan.
“Nur Syafira, aku tanya kau ni. Jawablah.”
“Aku rasa macam nak pindah aje.” Tanpa menjawab pertanyaan Dian, tiba-tiba Fira berkata begitu.
“Pindah? Maksud kau pindah rumah?” Besar mata Dian. Biar betul kawan aku ni.
“Yalah.”
“Kau nak pindah ke mana?
“Papa aku memang ada rumah lagi satu kat Shah Alam. Rumah tu kosong, tak ada orang duduk. Aku ingat aku nak pindah sana kut.”
“Kau nak tinggal dengan siapa kat sana?”
“Tinggal sorang aje la.”
“Berani kau tinggal sorang?”
“Berani.”
“Beranilah sangat! Macamlah baru sehari aku kenal kau.” Dian mengejek.
“Suka hati kau la nak kata apa pun.”
“Mama dan papa kau benarkan ke?”
“Entah.”
“Kenapa kau nak pindah, Fira?”
“Hei, Banyak soal la kau ni.”
“Alah... jawab ajelah, kenapa kau nak pindah?”
“Bosanlah duduk kat rumah.”
“Bosan?” Dian ketawa mengekek. Jawapan yang sangat tak masuk akal.
“Kalau aku yang cakap bosan... logik la jugak. Umi aku walaupun dah tak kerja tapi sibuk dengan macam-macam aktiviti. Abi aku biasalah, kat klinik. Abang Affan sah-sah la tinggal dekat rumah dia sendiri. Pembantu rumah memang tak ada. Selalunya aku aje sorang-sorang kat rumah. Macam kau lain, nenek kau ada, bibik pun ada... ada Danish pulak lagi. Nak bosan apanya?”
Malas nak jawab, Fira jongket bahu.
“Dulu setiap kali aku ajak keluar, kau cakap kau lebih suka duduk kat rumah. Bila kita keluar pulak, kau tak sabar-sabar nak balik. Kau kata, rumahku syurgaku. Sekarang tiba-tiba pulak nak pindah. Konon bosan tinggal kat rumah. Ni mesti ada apa-apa yang tak kena, kan?”
“Mana ada apa-apa? Tak ada apalah.”
“Macamlah aku nak percaya.”
“Terpulang,” balas Fira.
“Nenek kau suka membebel, kan? Sebab tu la kau nak pindah, betul tak?” Dian meneka. Entah betul, entah tidak. Bukan dia selalu jumpa pun nenek Fira tu.
“Tak adalah.”
“Kalau bukan nenek kau, mesti  kau selalu kena marah dengan mama atau papa kau.”
“Mana ada? Memandai aje cakap macam tu.”
“Haa... aku tau.”
“Kau tak payah nak teka sangatlah Dian, oii. Aku tak ada masalah pun  kat rumah, kecuali bosan.”
“Kau ingat aku nak percaya? Aku tau kau bukan bosan, tapi kau tu sebenarnya cemburu dengan adik kau. Sebab cemburu kau sanggup nak pindah rumah. Betul tak? Tapi kan Fira... kau ingat mama dan papa kau nak benarkan ke? Aku berani potong jari, dia orang takkan bagi punya,” ucap Dian seraya pandang Fira.
Walaupun sahabatnya itu tidak mahu berterus terang, dia dapat rasa Fira cemburukan adiknya yang seorang itu. Maklumlah hampir 20 tahun sebagai anak tunggal, dilimpahi dengan segala kemewahan serta kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dah tentulah kehadiran Danish buat Fira rasa tercabar.
“Eii, bercakap ikut sedap mulut aje. Siapa cakap aku cemburu dengan budak kenit tu?”
“Hah, tengok! cemburu punya pasal, nama Danish pun kau tak nak sebut. Kesian adik kau dapat kakak macam ni.”
Bibir Fira dah jadi panjang. Sakit pula hatinya dengan ucapan Dian tu. Memang betul pun dia cemburukan Danish, tapi perlu ke sebut? Saja nak tengok dia marah.
“Kau serius ke nak pindah rumah?” Melihat rupa Fira yang semacam, Dian buka cerita tentang berpindah rumah semula. Bukan apa, tak naklah Fira jadi lebih marah. Nanti Danish punya hal, mereka pula bermasam muka.
“Serius la. Ingat aku main-main ke?” Sebenarnya tak serius pun. Tak ada maknanya orang penakut macam dia nak berpindah rumah dan tinggal seorang diri. Sengaja dia cakap macam tu sebab nak puaskan hati sendiri.
Lagipun dia sayang banglo dua tingkat, tempat dia tinggal sekarang. Yalah sejak kecil lagi dia tinggal di situ. Sebab itulah dia tidak bersetuju apabila mama dan papa menyuarakan hasrat hati untuk berpindah baru-baru ini. Mungkin mereka kecewa. Tapi dia ada alasan sendiri. Dia memang tak ada hati nak berpindah ke sana. Tempat jatuh lagi kan dikenang, ini kan pula tempat dia membesar. Tapi mama dan papa memang ibu bapa yang memahami. Mereka sanggup melupakan hasrat hati mereka semata-mata kerana dia, anak yang degil ini.
“Lagi satu... apa pendapat kau kalau aku cari kerja?”
“Kau nak cari kerja?” Dian ketawa terkekeh-kekeh.
“Kenapa gelak?”
“Macam tak percaya aje orang malas macam kau nak kerja.”
“Mulut kau ni, kan?”
“Dah memang betul kau tu pemalas.”
“Kalau betul, kau nak cakap apa?”
“Kalau betul, alhamdulillah. Kau boleh kerja kat syarikat abang aku.” Cepat Dian menjawab.
“Tak naklah.”
“Aku tau la syarikat abang aku tu kecik. Tapi untuk cari pengalaman, apa salahnya.”
“Bukan sebab itu la.”
“Dah tu, kenapa pulak?”
Mengada-ngada betul la Dian ni. Macamlah tak faham-faham. Lagi nak tanya.
“Nanti aku cakap dengan abang.”
“Cakap apa?”
“Cakap kau nak cari kerja la.”
“Tak jadilah. Duduk macam ni lagi bagus, kan?”
“Dah agak dah. Dasar pemalas.”
 “Kau sendiri kenapa tak kerja dengan abang kau?”
“Tak suka la kerja dengan abang sendiri.”
“Ya la tu. Cakaplah yang kau tu pun pemalas.” Sengaja Fira bergurau begitu, padahal dia tahu, Dian adalah seorang yang rajin dan boleh diharap. Sebenarnya beberapa bulan selepas tamat pengajian di UTHM,  Dian pernah bekerja di sebuah syarikat IT. Tapi hanya dua bulan pertama gajinya dibayar. Selepas itu langsung tiada sehinggalah Dian mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
“Eh, mana ada? Yang malas kau sorang aje tau.”
“Yalah, yang bagus semua kau. Yang tak elok semua akulah.”
“Tau tak apa.” Dian gelak mengekek.



“ASSALAMUALAIKUM Fira. Dah lama sampai?”
Fira yang ralit dengan majalah di tangan, angkat muka. Aunty Laila berjalan masuk ke dalam rumah. Mungkin dari pasar raya, memandangkan kedua-dua belah tangannya penuh dengan beg plastik yang berisi barang.
“Waalaikumussalam. Eh! Aunty, Fira baru aje sampai.”
Barang di tangan, Aunty Laila letak atas lantai. Dia sendiri duduk sebelah Fira atas sofa.
Aunty dari mana ni, shopping ke?” Fira bertanya ramah seraya menyalami dan mencium tangan Aunty Laila.
“A’ah... shopping sikit-sikit. Kebetulan Abang Affan kamu ada balik, aunty ajaklah dia temankan aunty pergi cari barang dapur. Banyak barang dah habis.”
Abang Affan kamu? Lain macam aje bunyinya Aunty Laila ni? Tapi ucapan itu tak penting pun untuk diambil peduli. Yang penting, Affan tu sendiri. Mana nak menyorok ni? Dian, siap kau. Sampai hati kau tak cakap pun Abang Affan ada balik. Kalaulah dia tahu Affan ada kat rumah, jangan harap dia nak singgah tadi.
Beberapa ketika selepas itu Affan masuk. Lelaki itu menghulurkan senyumannya yang manis tu buat Fira.
Fira melarikan pandangannya ke arah lain. Entah kenapa, setiap kali Affan senyum, dia rasa seperti lelaki itu sedang mengejek dan menyindirnya. Senyuman tu palsu, bukan senyuman ikhlas. Dia fikirkan Affan akan berlalu ke dalam tapi tak. Sebaliknya lelaki itu mengambil tempat atas sofa berhadapan Fira dan uminya.
Hisy! Apahal mamat ni duduk kat sini pulak? Banyak lagi tempat lain kut. Fira merungut dalam hati.
“Fira duduk dulu ya? Aunty nak ke dapur.”
“Fira dah nak balik, aunty.” Cepat-cepat Fira jawab. Bila Aunty Laila dah masuk ke dalam, bermakna dia akan berdua-duaan dengan Affan. Jangan harap!
“Kata baru sampai. Takkan dah nak balik?” soal Aunty Laila dengan rasa hairan.
“Err... memanglah baru sampai, tapi Fira cuma hantar Dian aje. Tak ada niat pun nak lama-lama kat sini.”
“Bukan selalunya Fira suka lepak kat sini ke?” soal Aunty Laila lagi.
“Memang pun tapi hari ni tak bolehlah aunty. Fira kena balik sekarang. Ada kerja nak kena buat kat rumah.” Fira buat alasan. Langsung tak pandang Affan. Tumpuannya hanya kepada Aunty Laila.
“Ooo okey...”
“Balik dulu ya, aunty?”
“Tak tunggu Dian dulu?”
“Tak kut, aunty. Nanti Fira call Dian.”
“Yalah...” balas Aunty Laila sambil membiarkan tangannya dipegang dan dicium gadis itu.
“Sampaikan salam aunty kat mama, ya?”
“Insya-Allah.” Fira tak tunggu lagi. Segera langkahnya disusun ke pintu rumah. Tak pandang Affan pun walaupun dari ekor matanya, dia perasan Affan sedang pandang dan senyum kepada dia. Tak apalah. Tak perlu kut nak pandang dan balas senyuman mamat tu.
Aunty Laila sendiri membawa beg-beg plastik ke ruang dapur.
“Mana Fira?” tanya Dian yang baru keluar dari biliknya. Dia berlalu ke muka pintu. Kemudian menjenguk ke luar rumah. Toyota Rush milik Fira sudah tiada di tempat tadi. Sedarlah dia, Fira sudah pun pergi.
“Abang, adik tanya ni... mana Fira?”
“Entah, dah balik kut.”Affan membalas.
“Kenapa dia balik?”
“Laa... mana la abang tau?”
“Abang cakap apa kat dia?”
“Tak cakap apa-apa pun.”
“Mesti abang ada cakap apa-apa. Kalau tak... tak adanya dia balik tergesa-gesa macam tu.”
“Suka hati aje tuduh orang.”
“Fira tak pernah macam tu tau. Bila ada abang aje, dia jadi menggelabah tak tentu pasal. Mesti ada apa-apa ni.”
“Suka hati adik la nak cakap apa pun. Malas la abang nak layan.”
Tak sempat Dian nak sambung membebel, telefon Affan berbunyi.
Telefon dari dalam poket, Affan keluarkan. Lalu jari telunjuknya dibawa menyentuh skrin.
Muka Dian masam mencuka. Tak puas hati dengan Affan. Dia dapat rasa Abang Affan yang menyebabkan Fira balik tanpa sempat menunggunya. Entah apa agaknya yang Abang Affan cakap kat Fira tadi. Bukan boleh percaya sangat abang ni. Tapi kalaulah betul Abang Affan tak cakap apa-apa, mesti ada apa-apa yang berlaku antara kawan baik dan abangnya tu. Sesuatu yang hanya menjadi rahsia mereka berdua.
Sebetulnya dah lama dia menyimpan rasa musykil ini. Kenapa ya, Fira sentiasa mengelak dari jumpa Abang Affan? Kalau kebetulan bertemu atau terserempak, Fira akan jadi macam cacing kepanasan.
“Assalamualaikum, Nadia. Aku kat rumah, baru aje balik.” Affan hulurkan salam.
“Apa dia? Kau nak ajak aku keluar?”
Dian mencebik. Kak Nadia rupanya. Tak ada kerja lain agaknya perempuan tu. Asyik nak berkepit dengan Abang Affan aje. Menyampah! Ini semua opah punya pasal. Suka sangat nak padankan cucu-cucu. Kalau boleh semua cucu nak kena kahwin dengan sepupu sendiri. Termasuklah Abang Affan dan dia sendiri.
Kalau Abang Affan cuba dipasangkan dengan Nadia, anak Mak Ngah Shima, dia pula dengan Firdaus, anak Pak Long Zaki. Tapi jangan harap dia nak ikut. Memanglah Firdaus bersetuju tapi kalau dia sendiri tak nak, benda tu takkan jadi pun. Si Firdaus pun satu, macamlah tak reti nak mencari sendiri. Yang nak ikut sangat rancangan mengarut opah tu kenapa?
Sorry la... aku baru aje balik dengan umi. Takkan nak keluar lagi kut.”
Dian senyum. Kan bagus Abang Affan jawab macam tu? Selalu tu Abang Affan main ikut saja telunjuk perempuan itu. Memanglah Kak Nadia tu sepupu dia juga tapi kalau dah perangai mengada-ngada, siapa suka?
“Kalau kau nak pergi, kau pergi ajelah. Ajaklah siapa-siapa temankan. Kan aku dah cakap aku baru balik, penat pun belum hilang tau?” Lantas Affan putuskan percakapan.
“Baru la nampak macam lelaki,” sindir Dian.
“Weh! Memang abang lelaki, apa?” Besar mata Affan. Sakit pula hatinya dengan ucapan Dian tu.
“Memanglah lelaki tetapi lelaki lembik.” Dian mencebik. Kemudian berlari ke dalam. Sempat lagi menjelir kepada abangnya.
“Berani adik cakap macam tu. Nak kena ni!” Affan berteriak kuat.

BAB 1: SABARLAH DUHAI HATI - MIMIE AFINIE





F
IRA memang teringin punya adik. Tak dapat ramai, seorang pun jadilah. Maklumlah dia anak tunggal. Mama dan papa pula selalu saja sibuk. Kalau ada adik taklah dia rasa sunyi sangat. Ada juga kawan untuk diajak bermain, bergurau senda, bersembang, malah boleh diajak bergaduh juga. Tapi itu dulu, sewaktu dia masih di zaman kanak-kanak. Memasuki usia remaja, dia dah tak kisah lagi. Dia sudah rasa selesa dengan apa yang dia ada. Jadi anak tunggal tanpa perlu berkongsi apa-apa dengan adik-beradik lain. Semuanya hanya untuk dia seorang, termasuklah kasih sayang mama dan papa.
Masa dapat tahu mama hamil, dia memang tak boleh terima. Bayangkan masa tu dia sudah berusia hampir 20 tahun dan mama sendiri berumur 45 tahun. Usia yang agak tidak sesuai untuk punya anak lagi. Tapi bukan itu soalnya. Yang buat dia risau, bagaimana sikap serta layanan mama dan papa terhadap dia selepas anak itu lahir nanti? Apakah masih sama seperti sesebelum ini?
“Fira suka adik perempuan atau lelaki?” Soalan itu mama ajukan ketika usia kandungannya dah nak masuk lapan bulan.
Kalau boleh, Fira tak nak jawab soalan itu. Tapi kalau tak jawab, apa pula kata mama? Tentu mama berkecil hati. Tak kisahlah lelaki atau perempuan, dia memang tak suka. Dia tak nak adik. Dia tak nak ada orang lain antara dia, mama dan papa. Dia juga tidak mahu kasih sayang mama dan papa buat dia akan jadi susut dan berkurangan.
“Lelaki...” Nak tak nak dia jawab masa tu. Jawapan tak ikhlas.
Dengan kuasa Allah, sebulan selepas itu, mama benar-benar melahirkan seorang bayi lelaki. Bayi yang dinamakan Muhammad Aiman Danish itu lahir cukup sihat dan cukup sifatnya.


DARI atas tangga, Fira   pandang ke bawah dengan rasa meluat. Mama, papa dan nenek sedang melayan Danish bercakap. Macam-macam benda yang keluar dari mulut si kecil itu. Semuanya benda merepek dan entah apa-apa. Dah puas bercakap, Danish gelak tak ingat dunia. Papa, mama dan nenek ikut gelak sama. Entah apa agaknya yang lucu sangat sampai beria-ia dia orang gelak. Nampak sangat semua orang sayangkan Danish, semua orang pentingkan Danish. Kalau selama ini semua tertumpu kepada dia seorang, sekarang jangan haraplah. Balik-balik, Danish, Danish, Danish. Menyampah.
Dulu pantang dia hilang sekejap, semua sibuk bertanya. Tapi sekarang, dia hilanglah selama mana pun, berkurunglah dalam bilik sehari suntuk pun, langsung tak ada yang kisah, langsung tak ada yang risau. Kalau ada pun hanya suara nenek yang marah-marah kerana dia tak melayan Si Danish tu.
      Sebab itulah dia rasa tidak selesa berada di rumah. Daripada melihat muka si kenit yang menyakitkan hati tu, lebih baik dia habiskan masa di luar. Ya betul, dia bukanlah jenis yang suka berfoya-foya atau keluar tak tentu hala. Rumah adalah segala-galanya pada dia. Rumahku syurgaku. Tetapi buat masa sekarang, berada di luar rumah adalah jauh lebih baik.
“Fira... kenapa tercegat aje kat situ? Mari sini.” Papa yang sedang meriba Danish  melambaikan tangannya.
“Panggil kakak, sayang,” arah papa.
“Kakak... marilah sini.” Nyaring suara Danish memanggil.
Fira tak jawab tapi sempat menjuihkan bibirnya. Langkahnya diatur laju meniti saki-baki anak tangga ke tingkat atas.
“Kakak tak nak kawan dengan adik ke, pa?” Danish dah tayang muka sedih.
“Tak adalah... kakak tu nak berehat. Dia penat tu.”
Danish angguk, faham. Turun dari ribaan papa, lantas terkedek-kedek ke hadapan televisyen. Alat kawalan jauh dicapai. Ligat jemarinya menukar saluran.
“Yeah, Spongebob!” Dia menjerit, girang.
“Tak habis-habis nak dengki dengan Danish.” Hajah Maziah merungut sambil pandang Danish.
“Ina tau dia kecil hati dengan Ina tu, mak. Dia rasa tersisih. Yalah, sejak ada Danish, Ina dah kurang beri perhatian pada dia.” Zalina menjawab.
“Abang pun sama juga, Ina. Dah jarang bersama-sama dia sekarang ni. Tak hairanlah kenapa dia jadi macam tu,” kata Hamidi pula.
      “Tak payah risau sangatlah pasal Fira tu. Dia bukan budak kecik. Dah dua puluh empat tahun... dah besar panjang dah pun.” Hajah Maziah buat komen.
Zalina senyum seraya pandang Hajah Maziah. “Memang la Fira tu dah besar panjang, tapi dia tak matang macam orang lain, mak. Selama ni, dia aje sorang anak kami. Semua orang manjakan dia, beri perhatian pada dia. Tapi sekarang, semua orang tak kisahkan dia sangat.”
Hajah Maziah angguk. Betul, dia sangat bersetuju dengan Zalina. Sebelum ini Fira sangat manja dengan mama dan papanya. Malah dia sendiri sangat manjakan Fira. Maklumlah sebelum Danish lahir, hanya Fira satu-satunya anak Hamidi dan Zalina. Kebetulan pula, hanya Fira seorang cucu perempuan yang dia ada.
“Ina tak rasa dia akan terus macam tu. Nanti dia akan sedar juga tu.”
“Dah empat tahun dah, Ina. Mak takut dia akan terus macam tu sampai bila-bila. Kesian kat Danish aje nanti.”
Zalina dan Hamidi saling berpandangan. Sebenarnya itu jugalah yang sering menjadi topik perbincangan mereka berdua. Terus terang, mereka juga amat bimbang dengan keadaan itu, cumanya tidak diberitahu kepada emak. Tetapi tak sangka pula, walaupun hanya sesekali ke mari, emak juga dapat menghidu perkara tersebut.
“Sebelum keadaan jadi lebih teruk, Ina atau pun Hamidi kena cakap dengan dia elok-elok. Kena pujuk dia baik-baik. Mak rasa belum terlambat lagi tu.”
“Yalah mak,” balas Zalina lembut.


“WOI, tepilah! Orang nak tengok TV pun tak senang.” Fira yang sedang duduk atas sofa jegil mata. Kedatangan Danish betul-betul mengganggu konsentrasinya.
“Adik nak milo.”
“Mintak dengan aku buat apa? Pergi la mintak dengan bibik. Suka  kacau orang.”
“Nak miloooo!” Danish berteriak.
“Eh, eh, budak ni. Tak faham bahasa ke, apa? Aku cakap mintak dengan bibik... mintak dengan bibik la. Selama ini bukan bibik ke yang buat semua untuk kau? Hidup kalau tak menyusahkan orang tak sah.”
Jerkahan Fira segera mengundang tangisan Danish.
“Eleh... marah sikit pun nak meraung. Budak manja.”
Hajah Maziah yang sedang menyiram pokok-pokok hiasan di halaman meninggalkan kerjanya. Lantas menerpa masuk ke dalam rumah.
“Fira ni kalau sehari tak buat adik nangis tak boleh gamaknya. Cubalah jangan berkira sangat dengan adik tu.” Hajah Maziah marah.
Cucu yang berusia empat tahun itu dihampiri, lantas dengan sekuat tenaga diangkat lalu didukung.
“Dah besar gajah pun masih nak berdukung lagi. Entah apa-apa.” Fira membebel perlahan. Siap menjuih bibir lagi. Menyampah dengan layanan berlebihan nenek. Tak mustahil bila dah besar nanti Danish akan jadi mengada-ngada dan lupa diri. Mana taknya, semua orang dalam rumah ni beri muka sangat dekat dia. Semua yang dia minta kena bagi, semua yang dia cakap kena ikut.
“Haaa... tu membebel apa pulak tu?” tegur Hajah Maziah.
Fira pekakkan telinga. Malas nak jawab soalan nenek.
“Kenapa adik nangis?” soal Hajah Maziah. Dia sudah pun duduk atas sofa. Danish berada atas ribaannya.
“Adik nak minum milo, tapi kakak tak nak buatkan. Lepas tu kakak marah adik.” Dalam esakannya Danish mengadu.
“Amboi! Kecil-kecil lagi dah pandai mengadu kau, eh? Nak kena budak ni!” Wajah si adik ditatap penuh geram.
 Danish peluk nenek. Takut tengok muka garang Fira.
“Siapa cakap dia mengadu? Nenek yang tanya dia, kan? Yang Fira nak marah dia tu kenapa?”
“Nenek tu memang... sikit-sikit nak sebelahkan dia. Kalau Fira ni semua tak betul. Nenek memang tak adil!” Panjang muncung Fira. Geram dengan nenek. Tapi dia lagi geram dengan budak kecil tu. Ikutkan hati, nak aje dia bagi penampar. Biar budak tu tak berani nak menjawab lagi.
“Tengok tu... suka hati dia aje tuduh nenek macam tu.”
Fira tutup telinga dengan tangannya. Tak nak dengar apa yang nenek cakap.
“Pergi buat milo adik,” arah Hajah Maziah.
Tangannya Fira larikan dari telinga. Kemudian pandang nenek.
“Fira bukan reti pun buat milo.”
“Tak reti ke tak nak buat?”
“Tak reti,” balas Fira.
“Nama aje dah besar panjang. Buat milo pun tak reti. Tak boleh harap la Fira ni. Macam mana nak kahwin kalau benda senang macam tu pun tak boleh nak buat?” bebel Hajah Maziah. Tapi dia tahu Fira tak bercakap benar. Setakat bancuh milo, takkan tak tahu kut.
Fira mencebik. Nenek dah mulalah tu. Kalau tak membebel tak sah agaknya. Ini semua budak kecik tu punya pasal. Kerana dialah, aku kena bebel, kena marah. Geram!
“Apa susah, dah kahwin nanti Fira suruhlah orang gaji buatkan. Lagipun Fira bukan suka pun minum milo. Bukan macam budak sorang tu. Pagi, petang, siang, malam... asyik milo, milo, milo. Kalau boleh, mandi pun nak guna air milo jugak.”
 “Pergi buat air milo adik sekejap.” Hajah Maziah buat-buat tak dengar omelan cucunya itu.
“Bibiiik... buat air milo adik!” laung Fira kuat sambil kepalanya dijengahkan ke arah ruang dapur. Tak bergerak pun dari sofa.
“Nenek  suruh Fira, yang Fira pergi suruh bibik tu, kenapa?” Hajah Maziah jegil mata.
“Laa... dah memang kerja dia. Biar aje la dia buat.”
“Fira kalau tak melawan cakap nenek tak boleh ke? Sepatah orang cakap, seratus patah dia jawab. Saja nak buat orang marah.”
Sekali lagi Fira tutup telinga dengan kedua-dua belah tangannya.
“Tengok tu... boleh dia tutup telinga masa kita tengah bercakap.”
Fira buat muka selamba. Kedua-dua belah tangannya masih melekap di telinga.
“Firaaaa!” Hajah Maziah menjerit.
“Apa dia?” Muka Fira masam. Benci betul kena marah macam tu. Tangan dilepaskan dari telinga.
“Pergi buat milo adik sekarang.” Hajah Maziah mengarah. Tak cukup jegil mata, jari telunjuknya ditalakan ke arah dapur.
Sakit betul hatinya dengan Fira. Entah kenapa, sejak kebelakangan ini Fira dah berubah benar. Gadis itu jadi degil, suka menjawab, pemalas dan macam-macam lagi sifat yang kurang baik. Dia tahu Fira jadi macam itu sebab cemburukan Danish. Fira sakit hati apabila perhatian yang selama ini tertumpu kepada dia seorang beralih kepada adiknya.
“Yalah, yalah.... Fira nak pergi buat la ni.” Dengan bibir yang memuncung, Fira bangun dari sofa lalu melangkah ke ruang dapur.
“Bik.”
“Iya.” Bibik yang sedang mengupas bawang besar angkat kepala, pandang Fira.
“Buatkan milo.”
“Siapa mau minum milo?”
“Budak kecik tu. Cepat tau?”
“Baik... saya buat sekarang.”