Showing posts with label Kalau Sudah Berkenan-Cempaka Rembulan. Show all posts
Showing posts with label Kalau Sudah Berkenan-Cempaka Rembulan. Show all posts

Tuesday, 15 April 2014

Bab 5 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan



“AWAK rasa tepat ke keputusan kita nak jodohkan Adra dengan anak Abang Mezah?” Razali keresahan. Wajah isterinya dipandang meminta jawapan.
            “Saya pun tak tahu bang. Yang peliknya, nak pula si budak Adra tu.” Rahimah meneruskan kembali aktiviti melipat kain yang tergendala kerana mendengar pertanyaan suaminya tadi.
            “Abang takut dia terima sebab abang je Mah.” Rokok daun ditangan dihisap dan dihembus berkali-kali. Dia sayangkan Adra. Tidak mahu kerana ingin memenuhi permintaannya dan Tan Sri Hamzah, anak gadisnya itu sangup mengorbankan diri. Jauh disudut hati dia berat melepaskan Adra memasuki gerbang perkahwinan di usia yang muda. Mungkin rasa itu berkurangan jika calon suami anaknya, menepati piawaian seorang menantu. Masalahnya, pemuda bernama Umar Zafry itu langsung tidak termasuk dalam calon menantu pilihannya. 
            Dengan ayah sendiri sudah biadap cara pertuturan, apatah lagi dengan mereka yang tiada pertalian. Entah alam rumahtangga yang seperti manakah bakal dibina nanti. Kalau diikutkan rasa hati, dia mahu menolak permintaan Tan Sri Hamzah, sebab itulah dia tidak memberikan jawapan pasti. Padanya Adra berhak menentukan hala tuju hidup sendiri. Tetapi sungguh, dia langsung tidak menyangka yang Adra akan memberikan persetujuan. Sanggup berkahwin dengan pemuda itu.
            “Dah itu pilihan dia. Kita dah cuba halang, dia tetap nak terima. Apa lagi kita boleh buat?” Rahimah mengeluh berat. Dia langsung tidak berkenan pada Zafry. Baginya, Adra layak mendapat suami yang lebih baik. Anaknya itu masih muda. Masih panjang jalan hidup yang perlu dilalui.
            “Kusut fikiran abang Mah. Adham pun tak setuju. Dia sendiri dah bercakap dengan Adra. Tapi tak nak didengarnya. Entah apa kena dengan budak Adra tu.” Habis sebatang rokok daun, Razali mencapai pula kotak rokok Dunhill. Dikeluarkan sebatang. Pemetik api yang berada di atas lantai dicapai. Dia kalau runsing memang begitu. Menjadi akrab dengan rokok secara tiba-tiba.
            “Sudah-sudahlah jadi kereta api bang… Duit kita simpan untuk sekolahkan anak-anak lagi baik.” Rahimah menegur bila sejak tadi dia melihat suaminya tidak berhenti menghisap rokok. Sebatang demi sebatang. Tidak senang dia melihat keadaan itu.
            “Mah, kalau abang pergi jumpa Abang Mezah tolak cadangan itu macam mana?” Hatinya berbelah bagi. Tapi dia lebih rela hilang pekerjaan dari melihat kehidupan anak gadisnya musnah tanpa dia dapat melakukan apa-apa.
            “Janganlah Abah. Kan Adra dah setuju. Abah jangan risau. Inshaallah, semuanya akan baik.” Adra melangkah keluar dari bilik. Sejak tadi dia mendengar perbualan antara umi dan abahnya. Dia tahu mereka bimbangkan dirinya.
Umar Zafry, lelaki itu bagaikan bacteria yang menakutkan semua orang sekeliling. Kerana janjinya untuk merubah seorang ‘anak’ dia terikat, dan dia juga tidak mahu digelar manusia munafik. Berjanji tetapi tidak ditunaikan.
            “Macam mana Abah tak risau Adra? Kamu muda lagi. Kalau boleh Abah nak tengok kamu belajar balik. Nanti sudah berjaya kahwinlah dengan sesiapa pun. Abah takkan halang.” Wajah anak kesayangannya dipandang. Berharap benar dia yang Adra akan bersetuju dengan cadangannya.
            Tersenyum Adra mendengar kata-kata Abah kesayangannya. Langkah kakinya semakin mendekat kepada lelaki itu. Tubuh dilabuhkan, lengan itu dikaut dan dipeluk erat. Cuba meredakan keresahan dihati lelaki itu.
            “Abah tak percayakan Adra ke?” Wajah abahnya ditatap. Senyuman dibibirnya semakin melebar. Rokok ditangan lelaki itu dicapai dan dimasukkan ke dalam bekas abu. Tidak suka lelaki itu membahayakan kesihatan diri hanya kerana risaukan masa depannya.
            “Sebab percayalah Abah tak nak kamu korbankan diri. Banyak lagi cara yang uncle kamu boleh guna nak sedarkan anak dia tu.” Kepala Adra diusap lembut. Bagaikan semalam sahaja dia melihat anak itu belajar berjalan. Terbayang-bayang dimatanya saat Adra boleh menyebut perkataan pertama. Abah… saat itu dirasakan hatinya berbunga indah.
            Dan sekarang? Dia tidak mahu senyuman yang selama ini menghiasi bibir itu, tidak dapat dia tatap lagi. Umar Zafry! Pemuda itu boleh mencari gadis lain sebagai isteri, apa yang pasti bukan Adra Afeefa, anak kesayangannya.
            “Abah nak tahu tak?” Lengan abahnya dipicit-picit. Cuba meredakan keresahan dihati itu.
            “Apa?” Razali berdebar. Takut jika Adra memberitahu sesuatu yang tidak ingin dia dengar.
            “Umar Zafry akan jadi suami yang terbaik untuk Adra Afeefa. Adra nak abah dengan umi yakin. Kami akan bahagia. Dia takkan jadi lelaki yang sempurna, tapi Adra harap dia akan jadi lelaki yang hebat sama seperti abah nanti. Cuma abah kena beri dia peluang.” Perlahan Adra berkata. Jelas riak wajah abah dan uminya berubah setelah mendengar kata-katanya.
            Razali melepaskan keluhan berat. Wajah isterinya ditatap sebelum dia kembali memandang wajah Adra.
            “Kalau itu keputusan kamu, abah nak kamu tahu, restu abah dengan umi sentiasa ada. Sampai bila-bila abah harap anak kesayangan abah akan bahagia.” Adra yang tiba-tiba memeluknya membuatkan Razali sebak. Dia berharap keputusan Adra adalah keputusan yang tepat. Tetapi, andai kata sesuatu terjadi dalam hubungan itu nanti, dia sentiasa berbesar hati menerima Adra kembali kepangkuannya.

            “ZAFRY, betul ke apa yang I dengar?” Jeslina memainkan jari-jemari runcingnya didada Zafry. Berita yang sampai ke telinganya beberapa hari sudah benar-benar membuatkan dia mengelisah.
            “You dengar berita apa sayang?” Tangan Jeslina dicapai dan dikucup lembut. Gebar yang sudah melurut ke bawah ditarik kembali bagi menutupi tubuh mereka. Aircond yang dipasang kuat membuatkan bulu roma sedikit meremang, walaupun di sebelahnya ada yang sudi untuk memanaskan kembali tubuhnya yang kedinginan.
            “Betul ke you nak kahwin? Kecoh I dengar orang bercerita pasal benda merepek tu.” Berdebar dadanya menanti jawapan dari bibir Zafry. Pada perkiraannya lelaki itu sudah jatuh ke dalam genggamannya. Bukan sehari, bahkan sudah sebulan dia menjadi peneman lelaki itu. Satu kejayaan besar dirasakan.
            Bukannya dia tidak tahu prinsip lelaki itu. Pakai dan buang konon. Huh…boleh jalanlah. Penangan Jeslina takkan ada yang mampu menolak. Jeslina tersenyum. Berbangga dengan pencapaian sendiri.
            “Yup.” Pipi Jeslina dikucup lembut. Senyuman nakal tersadai dibibirnya. Pinggang ramping itu kembali dipeluk erat. Langsung tiada rasa bersalah terdetik dihatinya apabila membuat pengakuan itu.
            “You what?” Terus terbangun dia dari pembaringan. Terbeliak mata memandang ke arah Zafry yang sedang memandangnya tanpa riak.
            “Betullah tu. Yang you nak terperanjat sangat kenapa?” Sedikit sinis dia bertanya. Bukannya dia tak tahu, Jeslina sibuk menjadi Astro bergerak. Sana sini dicanang yang mereka sedang bercinta. What the…Dalam mimpi sekalipun tak akanlah!
            “Habis tu, you anggap I ni apa? Gundik you?” Jeslina panas hati. Suaranya melengking kuat. Pantas dia bangun. Tidak dipedulikan langsung tubuhnya yang tidak berpakaian. Menyilau pandangan matanya memandang ke arah Zafry.
            “You rasa?” Zafry tersengih. Bantal yang tadi digunakan oleh Jeslina dicapai. Diletak dikepala katil. Terus dia duduk menyandar sambil memeluk tubuh. Liur ditelan menikmati permandangan ‘syurga’ dihadapannya. Langsung tak agak-agak. Memang dasar perempuan murah! Sempat dia menyumpah seranah Jeslina di dalam hati.
            “You jangan nak biadap dengan I Zafry.” Jeslina menerpa ke arah katil. Tegak dia berdiri di sebelah lelaki itu. Kalau diikutkan rasa marah mahu sahaja dia mencarik-carikkan wajah kacak itu. Biar jadi hodoh. Itupun belum tentu hatinya puas.
            “Apa yang you nak marah sangat ni Jes? Hari itu lagi I dah cakap, you jangan nak expect perkara yang bukan-bukan. I cuma nak berseronok. You pun seronok kan? So, apa lagi masalahnya?” Panas hati pula dia melihat sikap Jeslina. Ada hati nak bergandingan dengan dia. Boleh blahla..
            “Apa masalahnya? Hey, you dah bagi harapan dekat I, You ingat senang-senang saja I nak lepaskan You? Jangan mimpilah!” Kali ini dia naik ke atas katil. Dada Zafry ditumbuk dan ditampar berkali-kali. Segala maki-hamun yang tersimpan dikeluarkan. Puas rasa hatinya.
            “Hey... You dengar sini, you jangan sampai I buat you tak nak hidup dekat dunia ni lagi tau.” Zafry menangkap kedua tangan Jeslina yang masih ‘ramah’ menumbuk dadanya. Wanita itu sudah melampau. Rambut Jeslina yang sudah mengerbang direntap kasar.
            “Sakitlah bodoh!” Jeslina menjerit kuat. Terasa perit kulit kepalanya dek kerana tarikan itu. Berusaha dia merungkaikan pegangan lelaki itu ke atas rambutnya.
            “Ini baru sedikit Jes. You jangan berani nak cabar I.” Ditolak kuat kepala itu. Terus dia turun dari katil. Kain tuala dicapai. Dibalut tubuhnya.
            “Kejap lagi I keluar dari toilet, I tak nak tengok muka you ada dalam bilik ni lagi. Kalau tak you jangan menyesal nanti.” Amaran dihantar. Dia tidak suka bergurau. Apa yang pasti Jeslina tak akan terlepas kalau masih mahu membuat onar. Tahulah dia bagaimana mahu mengajar wanita itu nanti.Dia pasti akan berikan pengajaran. Biar tiada siapa berani bermain api dengannya lagi.
            “You nak buat apa? Nak bunuh I?” Jeslina masih belum berpuas hati. Entah macam mana dia mahu berhadapan dengan rakan-rakannya nanti. Pasti malu besar kalau semua orang tahu yang dia sudah ditinggalkan. Umar Zafry, lelaki itu betul-betul tak berguna!
            “Kalau you berani buat macam-macam, jangan menyesal kalau I kata I sanggup hapuskan you. So, lebih baik you keluar dengan cara elok.” Zafry mula menapak ke arah bilik air. Tubuhnya mahu dibersihkan segera kerana dia sudah mula merasa sedikit tidak selesa.
            “You…” Jeslina mati kata. Sakit hatinya sukar digambarkan.
            “Sebelum I terlupa, you boleh ambil duit dalam wallet I. Suka hati you nak ambil banyak mana pun. Itu upah atas layanan tip top you tadi.” Flying kiss diberikan. Kenyitan mata berserta senyuman sinis turut dihadiahkan kepada Jeslina sebelum dia menutup pintu bilik air. Zafry ketawa kecil kemudiannya bila jeritan Jeslina kuat memetir.

            “I akan buat you menyesal zafry. You tunggulah.” Bergetar seluruh tubuhnya menahan rasa amarah. Apa yang pasti dia tidak akan mengalah. Zafry pasti menyesal kerana mempermainkannya. Dia pasti akan membuat perhitungan dengan lelaki itu nanti. 

Copyright: Cempaka Rembulan/Idea Kreatif

Bab 4 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan


“AWAK, warna ini cantik tak?” Adra menarik sehelai baju pengantin bewarna biru dengan hiasan manik bewarna merah hati. Warna kegemarannya. Warna yang juga selama ini diharap bakal melatari majlis perkahwinannya.
            “Kau nak pakai warna terang macam ini semasa akad nikah nanti?” Zafry bertanya sinis. Entah mengapa, setiap gerak-geri dan perbuatan gadis itu, satu pun tidak diberkenankan oleh pandangan matanya. Kebudak-budakkan! Inikah ciri wanita yang ayah dia harap dapat membimbing dia?
            “Tak, maksud saya semasa kenduri nanti. Akad nikah saya nak warna putih gading.” Adra menghantar sebuah senyuman kepada bakal suaminya. Malangnya, senyuman itu bukan sahaja tidak berbalas, malahan dia menerima pulak cebikkan beserta jelingan tajam dari lelaki bernama Umar Zafry itu. Sayang dirasakan, bila nama yang bermaksud sangat baik tetapi tidak diserikan dengan peribadi seanggun nama oleh tuanya.
            Umar bermaksud yang memakmurkan, juga nama seorang khalifah yang terbilang. Dia tidak berharap lelaki itu menjadi sehebat Umar Al-Khattab, cukuplah menjadi seorang suami yang hebat dimatanya dan dapat dibanggakan akhlaknya.
            Zafry, kemenanganku. Dia tidak akan menang selagi lelaki itu masih hidup dalam kehidupan penuh maksiat seperti sekarang ini. Mendengar cerita dari Tan Sri Hamzah, dia sedar kehidupannya nanti tidak akan menjadi seindah drama Cinderella yang dapat berkahwin dengan putera raja hanya kerana sepasang kasut kaca. Dia sendiri bukanlah seorang yang sempurna, tetapi dia akan cuba menyempurnakan diri demi lelaki yang bakal bergelar suami.
            “Boleh cepat sikit tak? Aku ada hal kejap lagi.” Zafry mengelisah. Dia tidak betah berlama-lamaan bersama gadis itu. Bila mereka bertemu, semakin kerap dia memikirkan kemungkinan yang bakal terjadi pada masa akan datang. Bayangan alam rumah tangga yang tidak diingini sentiasa menjelma membuatkan harinya tidak lagi seindah dulu.
            “Hal apa? Uncle cakap dia dah bagi pelepasan untuk awak sepanjang hari ini.” Senyumannya masih tersadai dibibir. Dia tidak akan sesekali membiarkan mood lelaki itu yang kacau-bilau ‘memusnahkan’ harinya. Dia bukannya manusia bodoh yang tidak boleh membaca reaksi dari seorang lelaki. Tidak suka tak mengapa. Dia pasti akan buatkan lelaki itu menyukainya suatu hari nanti. Sedikit demi sedikit, hati itu pasti akan dapat ditawan.
            “Hal aku dengan kawan aku lah.” Suaranya sedikit meninggi. Tidak senang bila kehidupan peribadinya mahu dicerobohi.
            “You know what?” Kening diangkat. Serangan psikologi akan mula dilancarkan. Dia tahu apa yang patut dilakukan bagi mendiamkan terus lelaki itu.
            “What?” Berkerut dahinya cuba mencari apa yang bakal dituturkan oleh Adra.
            “I’m glad to be your future wife.” Adra tersenyum. Pantas dia berlalu menuju ke satu sudut yang lain. Jelas dimatanya wajah lelaki itu berubah riak.
           
            “AWAK tak nak pergi makan ke.” Adra bertanya lembut. Wajah lelaki itu dipandang sekilas sebelum pandangannya dibawa menjelajah segenap ruang kereta. Nampak mewah dan exclusive. Dia sendiri tidak tahu apa jenis nama kenderaan yang sedang dinaikinya. Setiap tahun entah berapa puluh jenis kereta baru dilancarkan di seluruh dunia, sampaikan dia sudah tiada rasa ingin mengetahui jenama setiap jenis kenderaan tersebut.
            “Kan aku dah cakap yang aku ada hal. Kau ni faham bahasa ke tidak?”
            “Tak. Yang saya tahu awak memang tak ada hal hari ini. Kan saya dah cakap tadi, uncle dah bagi pelepasan untuk awak.” Adra senyum segaris.
            Mendengar kata-kata Adra membuatkan dia semakin panas hati. Ayahnya bagaikan sudah tiada kerja. Semua benda hendak dilaporkan kepada gadis itu. Wajah Adra dipandang menghantar isyarat yang dia tidak suka kehidupannya dicerobohi.
            “If you don’t believe me, ask him by yourself.” Adra salah faham. Pada perkiraannya pandangan lelaki itu menghantar maksud yang kata-katanya diragui. Dia tidak menipu. Memang Tan Sri Hamzah yang memberitahunya. Hari ini mereka harus menyelesaikan dahulu beberapa perkara. Bahkan pendaftaran kursus perkahwinan pun belum mereka lakukan.
            “Aku percaya memang orang tua tu yang bagi tahu engkau. Tapi kau bukan sesiapa nak masuk campur dalam hidup aku.” Kereta meluncur semakin laju. Geram apabila Adra dan ayahnya, bagaikan mahu menjadi parasit dalam kehidupannya. Mengatur itu ini tanpa persetujuannya terlebih dahulu. Dia bukannya boneka yang boleh ‘dipeluk’ sesuka hati.
            Terdiam Adra mendengar kata-kata Zafry. Belang lelaki itu semakin kelihatan. Walaupun dia tidak suka, tetapi itu lebih baik dari dia melihat gaya ‘angel’ sedangkan dibelakangnya lebih dasyat dari ‘devil.’ Biarlah lelaki itu menjadi diri sendiri. Sekurangnya itu akan lebih mudah untuk dia mula membentuk jalinan perhubungan bersama lelaki itu. Dia tidak mahu setelah berkahwin barulah dia tahu bagaimana rupanya seorang Umar Zafry.
            “Can you please slow down the car? Sekarang kita bukan atas litar. Banyak nyawa awak nak kena jaga. Kalau awak seorang saya tidak kisah.” Adra menegur bila dirasakan pemanduan lelaki itu semakin merbahaya. Menyelit disana sini. Lagak umpama dialah pemilik jalan.
            “Why? Are you scared of death?” Zafry ketawa sinis. Semakin laju dia memandu. Hatinya terasa puas melihat riak ketakutan pada wajah Adra.
            “Memang saya takut. Amalan saya belum cukup banyak, tetapi saya lebih takut untuk awak. Macam mana nak menghadap mungkar dengan nakir di dalam kubur nanti kalau awak belum bertaubat?” Puas hatinya dapat menuturkan kata seperti itu. Dia bukanlah manusia yang diturunkan tanpa nafsu amarah. Sedikit sebanyak kesabarannya teruji. Tidak suka nyawa dijadikan sebagai bahan mainan.
            “Kau rasa kau sudah cukup baik ke berbanding aku?” Terasa wajahnya bagai ditampar mendengar bicara Adra yang lantang mengkritik. Dia tidak perlukan seorang lagi penasihat tidak bertauliah. Cukuplah ayahnya seorang sahaja yang bertindak bagaikan ‘lelaki gila’ yang menyeru itu ini.
            “Saya tak pasti, tapi saya rasa…mungkin.” Semakin seronok Adra mempermainkan Zafry.
            “Apa maksud kau dengan ‘mungkin’ tu?” Perempuan ini memang nak kena. Kalau tidak disebabkan rasa hormatnya yang masih bersisa, tahulah bagaimana dia mahu mengajar Adra menjadi gadis yang lebih baik berbicara. Dia pasti akan diamkan gadis itu walau dengan apa cara sekalipun. Hari ini dia akan lepaskan. Tetapi, tak akan ada lain kali!
            “Terpulang pada tafsiran awak.” Selendang yang membelit kepalanya diperbetulkan sedikit kedudukan apabila dirasakan kurang selesa.
            “Ha lagi satu, boleh tak lepas ni kalau keluar kau jangan pakai kain kelambu macam ini. Semak mata aku.” Tangan kirinya dibawa atas dan bawah menunjuk ke arah Adra. Dalam gambar tak adalah pula gadis itu bertudung. Ini bila berjumpa tutup litup semua benda. Hanya muka dan tangan itu sahaja yang kelihatan.
            “Biar semak dimata awak, jangan semak dimata Allah.”
            “Kau…Arghhh.” Diketuk-ketuk stereng kereta bagi meluahkan rasa amarah dihati. Adra benar-benar mencabar kesabarannya. Sekarang dia tidak sabar mahu dijodohkan dengan gadis itu. Setelah mereka berkahwin dia akan pastikan Adra menelan balik semua kata-katanya.

            “MACAM mana?” Tan Sri Hamzah bertanya. Surat khabar diletakkan di atas meja.
            “Apa ayah buat dekat sini?” Terperanjat Zafry. Tidak menyangka ayahnya berada di dalam rumahnya. Bagaimana lelaki itu boleh masuk? Kunci kereta disangkut pada satu tempat yang dikhaskan. Kasut ditanggalkan. Laju kakinya menapak menghampiri ayahnya.
            “Kenapa, tak boleh ke?” Tan Sri Hamzah ketawa sinis. Tahu anaknya terperanjat melihat dia boleh ‘memecah’ masuk ke dalam condo mewah milik anaknya. Semua itu hanyalah hal kecil yang tidak sukar untuknya selesaikan.
            “Macam mana ayah boleh masuk?” Zafry melabuhkan tubuh di atas sofa berhadapan dengan ayahnya. Wajah lelaki itu dipandang meminta jawapan. Semakin hari semakin sukar untuknya menembak akal seorang lelaki bernama Hamzah. Lelaki itu akan hadir dengan pelbagai kejutan. Ada kalanya langsung tidak dapat dijangkau oleh akal fikirannya.
            “Hal senang Zafry. Kau jangan nak kusutkan sangat fikiran fikir benda remeh macam itu.” Air kopi yang dibancuh ketika dia mula melangkah masuk, dicapai. Dihidu aroma harum yang menarik deria rasanya. Diteguk puas sebelum dia meletakkan kembali ke atas meja kaca disisinya.
            “Ada apa ayah datang sini?” Jam dinding dijengah. Sudah pukul dua belas lebih. Tidak tahu mengantukkah lelaki itu? Mujurlah hari ini tiada ‘mangsa’ baru yang dibawa balik. Kalau tidak pasti riuh jadinya.
            “Saja. Rindu anak lelaki kesayangan ayah.” Tan Sri Hamzah ketawa kecil bagi menutup rasa kecewa dihati bila Zafry jelas menayang riak wajah meloya mendengar kata-katanya. Dia ingin rapat dengan anak lelakinya. Mahu menjadi ayah yang disayangi oleh seorang anak. Cumanya, dia tidak tahu cara yang bagaimankah sesuai digunakan untuk menempatkan diri di dalam kehidupan Zafry. Apa yang dilakukan serba tidak kena. Bahkan Zafry semakin menjauhkan diri darinya.
            “Kalau ayah nak main teka-teki ayah teruskan. Saya nak masuk tidur.” Zafry sudah berura-ura mahu bangun.
            “Macam mana pertemuan kau dengan Adra tadi?” Berdebar hati Tan Sri Hamzah menanti jawapan anak terunanya. Berharap ada yang positif disebalik pertemuan itu.
            “Perempuan itu? Saya rasa lebih elok kalau ayah pilih pelacur saja untuk saya. Sekurang-kurangnya diorang tahu nak beradap sopan.” Puas hati Zafry dapat meluahkan kata-kata itu kepada ayahnya. Sakit dihati akibat keletah Adra dirasakan sedikit terubat.
            “Kenal-kenal lah dulu. Dah hati kata tak suka, baik mana pun budak Adra itu, tak adanya kau nak nampak. Kenal dulu hati budi dia.” Walaupun dia panas hati mendengar kata-kata Zafry tetapi sedaya upaya dia cuba mengawal perasaan. Tidak mahu adanya lagi pergaduhan yang tercetus antara mereka.
            “Kita batalkanlah rancangan itu.” Zafry cuba memujuk. Mana tahu kali ini ayahnya bersetuju. Dapatlah dia melepaskan diri dari bibir berbisa gadis itu.

            “Yang itu memang tak akan. Ayah dah jemput semua orang. Ingat perjanjian kita.” 

copyright : Cempaka Rembulan / Idea Kreatif

Monday, 14 April 2014

BAB 3 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan



ADRA memusingkan badan ke kiri dan ke kanan. Puas bergolek dia mengerakkan kaki ke atas. Tilam yang digunakan hampir dua tahun itu bagaikan ada pepijat. Dia langsung tidak selesa. Kepalanya diangkat dan dijatuhkan berkali-kali ke atas bantal.
            Fikirannya benar-benar runsing. Perkhabaran yang dibawa oleh abahnya memeningkan kepalanya. Abahnya tidak memaksa, tetapi nada lelaki itu bagaikan menaruh harapan agar dia menerima. Dia tahu abahnya pasti tersepit dengan keadaan. Hutang budi yang ditaburkan oleh Tan Sri Hamzah terlalu banyak untuk keluarga mereka. Abangnya dapat sambung belajar di luar negara juga kerana lelaki itu. Malahan pelajaran adik-adiknya sekarang turut dibantu.
            Mampu ke dia menjadi isteri yang baik untuk suami jika usianya sendiri masih terlalu muda? Baru minggu lepas dia menyambut hari jadinya yang ke sembilan belas tahun. Dia ingin menolak tetapi takut menguris perasaan Tan Sri Hamzah.
Lelaki itu terlalu baik melayaninya. Ingin diterima dia sendiri gerun memikirkan alam rumahtangga yang bagaimana akan di laluinya selepas berkahwin nanti. Akan bahagiakah dia dengan lelaki yang langsung tidak dia kenali? Seperti apakah sikap lelaki itu? Baik seperti Tan Sri Hamzah ataupun jahat seperti mak tiri si Bawang Merah? Arghh…runsing.
            “Budak tu setuju jugak ke nak kawin dengan aku? Berapa umur dia? Ada tak handsome macam Godfrey Gao?” seketika kemudia dia tersengih sendiri. Ceh! Gatal benar nak berlaki. Dia mengutuk diri sendiri. Kalau di dengar dek abah, mahu dijelingnya setahun.
            “Weh..tak reti nak tidur ke?”
            Adra hampir melompat. Jantungnya kuat berdegup kerana terperanjat. Wajah sahabatnya direnung tajam. Bagaimana dia boleh terlupa kewujudan makhluk ‘seekor’ itu? Zuhana, teman serumah merangkap teman sekerjanya.
            “Kau ni tak reti bagi salam langsung. Kalau aku ada heart attack terus aku jalan. Dah la aku ni tak kawin lagi.” Terus disembur Zuhana yang tersengeh seperti kerang expired yang tunggu masa untuk dilupus. Kacau daun betul!
            “Amboi, gatalnya. Aku ingat kau yang macam stonecold ni tak ada perasaan nak kahwin.” Selamba Zuhana mengenakan Adra. Mulut pantas ditutup bila dia menguap. Rasa kantuk yang masih bersisa membuatkan matanya kembali kuyu.
            “Amboi mulut kau... Tak sayang langsung. Suka hati je nak kata aku stonecold.” Adra menjegilkan mata kepada Zuhana yang nampak comel memuncungkan bibir. Mula-mula dia bertemu Zuhana, disangkakan gadis itu berbangsa cina, kerana berkulit agak cerah dengan mata yang sedikit sepet. Setelah dia menjadi ‘ejen risikan’ barulah dia tahu yang gadis itu sebenarnya anak kacukan Melayu dan Thailand.
            “Ala, setakat mata kecil semut, nak beliak dekat aku, baik tak usah.” Zuhana memejamkan mata kembali. Takut panjang pula bebelan Adra.
            “Mata kau tu yang kecil. Isy..buat lupa daratan pulak.” Adra ketawa perlahan bila melihat Zuhana menarik kain selimut menutupi wajah.
            “Aku nak sambung tidur. Kau jangan nak kacau pulak.” Sempat Zuhana memberi pesan kepada Adra yang sibuk menarik kain selimutnya.
            Adra kembali menelentang. Jari-jemarinya digenggam dan diketuk-ketuk ke atas dahi apabila dia kembali memikirkan masalah yang bakal timbul. Kenapalah dalam banyak-banyak perempuan di dalam dunia, dia yang terpilih untuk menjadi menantu kepada Tan Sri Hamzah? Kusut betul!
            “Nak tolak ke nak terima? Tolak… terima… tolak… terima… tolak… terima.” Berkali-kali dia mengulangi ayat yang sama. Dia gelisah bila memikirkan ‘coretan’ perjalanan kehidupannya yang mungkin akan berubah seratus peratus jika dia menerima lamaran Tan Sri Hamzah.
            Jika ditolak hidupnya tidak akan berubah, tetapi dia tahu walaupun hidupnya tidak berubah, mungkin kemesraannya dengan lelaki yang sudah dianggap seperti ayah sendiri itu akan menjadi ‘pelik.’ Tidak mungkin lelaki itu dapat melayaninya dengan penuh mesra jika permintaannya tidak dipersetujui.
            “Weh..Kau merepek apa lagi? Tidur la. Esok kita nak pergi kerja pulak.” Dalam pejam Zuhana masih sempat menegur. Gila bising. Macam mana dia nak tidur?
            “Beb aku ada benda nak cerita ni.” Adra berkata lembut. Rasanya dia memerlukan seseorang untuk dia meluahkan perasaan yang semakin berserabut. Badannya mengiring mengadap Zuhana. Tangan pula dibawa menongkat kepala.
            “Esok-esok la cerita. Aku mengantuk dah ni. Tadi mata aku sihat kau tak nak cerita.” Zuhana memusingkan badan membelakangi Adra. Tidak mahu melayan kerenah sahabat baiknya itu.
            “Aku nak kawin.” Perlahan kata-kata itu meluncur dari bibirnya.
            Zuhana yang mendengar terus terbangun. Matanya terbeliak tanda tidak percaya. Tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja Adra memberitahunya mahu berkahwin. Tanganya dibawa ke dahi Adra. Mulutnya terkumit-kumit seperti membaca sesuatu.
            “Sihat. Tak ada tanda macam orang nak demam. Nak kata kena sampuk, aku tengok elok aje. Ke, kau memang hantu?” Terus badan Adra dipegang dan digoncang kuat.
            Adra yang mendengar bicara Zuhana ketawa mengekek. Sahabatnya seorang itu ada sahaja modal untuk berkata-kata. Tangan Zuhana yang masih rajin mengoncang tubuhnya ditepis perlahan.
            “Aku tak tipu. Betul aku nak kahwin.” Dalam tidak sedar Adra bagaikan sudah memberi persetujuan.

            NAFIZ menarik nafas panjang. Kemudian dihembus perlahan-lahan. Terasa lega peparu setelah tadi nafasnya hampir semput akibat berlari. Rasanya sudah hampir sebulan dia tidak berlari sejauh hari ini.
Setelah berasa lega, dia menapak perlahan mendekati susuk tubuh yang keras kaku disebuah bangku yang disediakan. Entah apa mimpi Zafry mengajaknya berjoging pada tengah malam buta. Tapi sudahnya, hanya dia sahaja yang yang berpeluh. Lelaki itu pulak beriaksi bagai tugu peringatan. Duduk di atas kerusi tak bergerak-gerak!
            “Kau ni apasal? Muka masam dari tadi lagi. Macam orang mati bini dah aku tengok.” Nafiz hampir tergelak bila wajah itu bertambah teruk masamnya. Memang besar punya masalah ini. Mahu bertanya berlebihan, takut dia pula yang disembur nanti.
            “Aku tengah geram ni. Kau jangan nak buat lawak bodoh dekat sini pulak.” Suaranya sedikit meninggi. Sensetif telinganya menangkap perkataan ‘bini.’ Semak dikepala terasa semakin menimbun. Wajah ‘bakal bini’ terus terbayang dimatanya. Benci betul!
            “Isk.. Gurau sikit pun nak marah. Datang bulan ke apa?” Nafiz berkata perlahan bagaikan berbisik pada diri sendiri. Sedikit panas bila Zafry naik angin. Ingat dia punya angin saja ada!
            “Mahunya aku tak marah. Kau tu sebut bini segala. Ingat best ke?” Suaranya merendah sedikit. Bukannya Nafiz tidak tahu ‘ceritera cinta’ yang bakal terjadi beberapa minggu lagi. Ayahnya dalam mencari jodoh memang patut diberi tepukkan gemuruh. Gila buruk punya citarasa!
Nak suruh dia kahwin pun carilah gadis cun-melecun sikit. Seleralah jugak dia nak seret naik ke katil. Sedikit sengihan nakal tersunging dibibirnya. Tapi sekejap sahaja bila wajah si ‘bini’ itu kembali terlayar pada ruangan matanya. Dengan fesyen rambut yang ntah apa-apa, memang out nak jadi isteri pilihan.
            “Apa susahnya, kahwin sajalah. Nanti kalau kau dah rasa bosan, kau ceraikan dia. Lagipun bagus jugak kau kahwin awal, terselamat kau dari dosa. Lepas ni tak payahlah kau nak angkut perempuan sana-sini. Kau pakai jelah isteri kau tu. Dosa hilang pahala pun dapat.” Nafiz tersengih nakal.
            “Kau jangan buat lawak boleh tak? Sejak bila kau fikir dosa pahala ni? Kau pun dua kali lima macam aku jer.” Tawanya hampir meletus. Rasa kelakar pulak bila Nafiz bercakap tentang hal dosa dan  pahala. Kawannya itu pun rosak macam dia jugak. Ada hati nak nasihat konon. Boleh blah la…
            “Aku cakap jelah. Kau ingat aku tak nak bertaubat ke? Seru je belum panggil aku.” Sedikit sengihan dihadiahkan buat Zafry. Sungguh, bila difikirkan tentang dosa, pahala, syurga, dan neraka, dia memang takut. Malangnya dia tidak cukup kuat untuk meninggalkan segala keseronokkan yang dinikmatinya sekarang.
            Hendak harapkan mama dan papanya bagi nasihat? Kirim salam sajalah. Bapak borek anak rintik. Diorang pun sama sahaja seperti dia. Mana pernah kira hukum hakam. Main belasah semua benda.
            Kawan nak bagi tazkirah? Selamat segala. Bagi tazkirah untuk ‘menjahanamkan’ lagi dia bolehlah. Ada kawan pun semuanya sama spesis. Nak harapkan Zafry? Dia rasa dia lagi baik sekali ganda daripada lelaki itu.
            “Cakap macam kau dah nak bertaubat. Gila geli. Bertambah sakit hati aku.”
            “Alah kau kenal-kenal la dengan dia dulu. Mana tahu nanti kau tersangkut.” Tuala kecil dicapai. Dikesat peluh yang merinik di atas dahinya.

            “Tak payah nak harap sangatlah lah. Nak tengok pun aku tak ada selera.” Sedikit angkuh suara itu kedengaran. 

Copyright : Cempaka Rembulan / Idea Kreatif

BAB 2 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan




GELAS berisi beer yang berada dalam peganggannya digenggam erat. Sesekali dia meneguk rakus. Kepalanya turut terangguk-angguk mengikut irama bingit yang berkumandang. Dia sudah separuh mabuk. Jeslina, wanita yang baru dikenali lebih kurang sejam tadi dijeling dengan pandangan nakal. Lidahnya menjilat sedikit bibir. Liur ditelan berkali-kali. Gadis itu nampak begitu mengancam dengan skirt separas paha dan juga tube yang menampakkan sebahagian pusat.
            Gelas yang mengandungi air kencing syaitan itu diletakkan kembali di atas meja yang berada di hadapannya. Tangannya pantas mencari sasaran. Dielus setiap lekuk tubuh itu dengan penuh bernafsu. Jeslina pula langsung tidak menolak. Malahan begitu seronok ketawa.
            “You nak spend time dengan I tak malam ni?” Dibisikkan kata-kata itu ke telinga Jeslina. Kondo yang baru di dudukinya, memberikan peluang untuknya bermaharajalela. Sebulan hidup dengan ayahnya menyebabkan dunianya terasa suram tanpa keseronokkan.
            Dia tahu ayahnya tidak setuju dia tinggal di rumah lain, tetapi dia langsung tidak ambil kisah. Mujurlah arwah ibu dan bapa saudaranya telah mewasiatkan sejumlah harta yang lumayan banyak kepada dirinya. Dengan wang itu dia mampu hidup mewah.
            Terkenangkan Mummy Maria dan Daddy Johan membuatkan dia sebak. Rindu mengamit pada ke dua insan yang telah membesarkan dia selama ini.
            “Ayah you tak kisah ke? I tak nak nanti jadi macam dengan kawan I tu. Tak fasal-fasal kena penampar.” Jeslina pura-pura menolak. Padahal di dalam hatinya menjerit suka. Siapa yang tidak sudi bergandingan dengan anak lelaki seorang hartawan? Hanya orang bodoh sahaja yang sanggup menolak peluang keemasan seperti itu.
Lubuk emas yang baru ingin di gapai tidak harus dilepaskan, tetapi dia sedikit gerun membayangkan apa yang telah terjadi kepada Fariza, temannya yang baru beberapa minit berlalu selepas memperkenalkan dia kepada Zafry.
             “Orang tua tu? Alah you jangan risau, I dah tak duduk dengan orang tua kolot tu.” Zafry berkata selamba. Ahh… Onar ayahnya memukul dia dan Fariza dua tiga hari lepas nampaknya sudah tersebar. Dalam hatinya sibuk memaki-hamun Fariza kerana bodoh menceritakan aib sendiri kepada orang.
            “Oh.. I see. So… bila kita nak pergi rumah you?” Jeslina berkata manja. Badannya di geselkan ke arah tubuh Zafry. Senyuman mengoda dilemparkan. Nampaknya selepas ini dia akan hidup senang. Sudah terbayang di mata, Zafry akan menjadi miliknya.
            “Kalau you nak sekarang pun kita boleh pergi.” Zafry tersengih. Digelengkan kepala beberapa kali bagi menghilangkan mabuk. Jeratnya sudah mengena. Tubuh gadis yang bukan lagi gadis itu akan digunakan dengan sepuas hati.
            Nampaknya Jeslina juga seperti kebanyakan wanita yang dia kenal. Baru beberapa jam dikenali sudah berani ke ranjang. Tetapi dia suka. Rasanya perempuan itu masih belum tahu, rekodnya dengan gadis-gadis tidak pernah elok. Prinsipnya mudah. Pakai dan buang. Tak pernah dia menggunakan barang yang sama berulang kali.
            Terhuyung-hayang dia bangun. Tangan Jeslina ditarik kasar untuk mengikut langkahnya. Sesekali kedengaran sendawa dari mulutnya. Ketika tangannya mahu mencapai pintu kereta handsetnya nyaring berbunyi. Nama ‘Hitler’ yang terpapar membuatkan dia menjadi mual, tetapi panggilan itu tetap dijawab.
            “Hemm” Hanya itu yang dia katakan. Risau jika dia bersuara lelaki itu akan sedar yang dia sedang mabuk.
            “Kau dah ada jawapan Zafry? Hari ini dah cukup seminggu. Lagi beberapa minit nak masuk pukul dua belas. Ayah harap jawapan kau tak mengecewakan ayah.” Sayup suara Tan Sri Hamzah pada pendengaran Zafry.
            “Ayah boleh tak bagi masa lebih sikit? Kusut la kepala nak fikir.” Zafry merengus kasar. Ayahnya bersungguh benar mahu menjodohkan dia. Lupakah lelaki itu berapa usianya sekarang? Umurnya belum pun mencecah dua puluh tiga tahun. Yang kalut sangat tu kenapa?
            “Nampaknya ayah dah ada jawapan. Kau tak nak nikah kan? Tak apa. Ayah tak kisah. Tapi tepat pukul dua belas, kau bukan lagi pewaris perniagaan ayah.” Sengaja Tan Sri Hamzah menekan pada ayat ‘pewaris perniagaan.’ Ingin merangsang otak ‘nafsu harta’ anak lelakinya itu.
            Zafry yang mendengar menjadi gelabah. Sia-sia sajalah apa yang dia lakukan selama ini jika lelaki itu menggotakan apa yang dikata. Jeslina yang berada di sisi, dipandang dengan nafsu yang telah mati. Argh… Ayahnya patut diberikan award kerana menjadi orang pertama menyebabkan dia menolak seorang wanita untuk menjadi peneman malamnya.
            “Okey Zafry setuju. Tapi bagi masa sebulan sebelum ayah nak buat majlis apa pun. Saya nak kenal dengan budak tu dulu.” Zafry mengalah. Telinganya bagaikan mahu bernanah apabila terdengar ketawa riang ayahnya. Tak guna!
            “Well done my son. Akhirnya ada juga keputusan kau mampu buat ayah bangga. Esok kita jumpa dekat office.” Tan Sri Hamzah benar-benar gembira.
            Zafry menekan butang handset dengan kasar. Hatinya panas membara. Tangan Jeslina yang sibuk merayap ditepis kuat. Dia tiada selera hendak bermanja-manja pada waktu ini.
            “Malam lain kita jumpa. I tak ada mood malam ni.” Pantas pintu kereta dibuka. Tubuhnya dihenyak ke seat kereta dengan kasar. Dia sudah kusut. Berkeriut bunyi tayar kereta kerana dipandu dengan laju.
Dia benar-benar bengang. Nampaknya ayahnya juga suka bermain dengan taktik kotor seperti itu. Jadi strategi yang mantap harus diatur. Dia akan buatkan lelaki itu menyesal menjodohkannya dengan perempuan tak guna tersebut. Itu janjinya!

TAN SRI HAMZAH tersenyum senang. Hatinya gembira bagai sudah dihadiahkan dengan selongok intan dan permata. Taktiknya benar-benar menjadi. Pagi esok dia akan ke rumah Razali.
            Nampaknya persediaan untuk majlis pertunangan dan perkahwinan perlu dimulakan. Hasratnya sudah disampaikan kepada Razali. Dia tahu lelaki itu keberatan untuk menyerahkan anak gadis kesayangannya untuk dinikahkan dengan anak ‘jantannya.’ Apatah lagi rekod Zafry banyak yang merah dari biru. Memang benar-benar anak hantu!
            Setelah dipujuk barulah lelaki itu memberi persetujuan, itu pun persetujuan yang sebenar hanya akan dimuktamatkan setelah berbincang dengan Adra. Harapannya sekarang biarlah Adra turut bersetuju dengan rancangannya. Gadis itu satu-satunya harapan yang dia ada bagi menyedarkan Zafry dari berterusan memilih jalan hidup sia-sia yang menjadi pilihan anaknya selama ini.
            Dia tidak mahu dalam usia dua puluh tiga tahun anaknya memilih jalan yang boleh menghancurkan masa depan sendiri. Jika tidak ditegur dari awal dia takut anaknya itu semakin tersesat. Sekarang ini pun dia sudah merasakan agak terlewat dalam membentuk pribadi Zafry. Anak itu degilnya mengalahkan konkrit. Baru sebulan Zafry menetap bersamanya, dia sudah dapat membaca sifat bagaimanakah anaknya itu.
            Mengenali Adra Afeefa, dia tahu dia tidak silap menilai orang. Adra baginya gadis yang sangat sederhana tetapi kaya dengan keindahan baik dari segi fizikal mahupun rohani. Anak itu sangat menyenangkan hati tuanya. Sentiasa berlemah lembut dalam berbicara dan yang paling disukai, gadis itu walaupun masih muda tetapi pengetahuannya sangat luas.
            Dia boleh bersembang dan berdebat apa sahaja dengan Adra. Walaupun Adra tidak berpelajaran tinggi tetapi dia tahu gadis itu sangat cemerlang dalam akademik. Sayangnya Adra tidak berminat untuk terus belajar.
            Tidak sabar untuk dia menanti hari esok. Kalau Adra tidak bersetuju dia sendiri akan pergi merayu kepada gadis itu. Biarlah orang mengatakan dia pentingkan diri sendiri kerana hakikatnya dia hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya kerana dia tahu hanya Adra yang mampu membuatkan Zafry kembali ke pangkal jalan.


 copyright: Cempaka Rembulan / Idea kreatif

Sunday, 13 April 2014

NOVEL TERBARU - APRIL 2014

Salah satu novel April keluaran Idea Kreatif yang akan mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa PWTC (Apr 2014)

DIA KEKASIH HATI - Sarnia yahya

Harga : RM 24(semenanjung)/RM27 (Sabah Sarawak)
Muka Surat : 585

Sinopsis :

Memilih Haikal walau tanpa restu ibunya, Khalisha tetap bahagia kerana Haikal suami yang sangat penyayang.

“Lisa minta maaf sebab susahkan abang.” - Khalisha

“Laa... nak rasa bersalah kenapa pulak. Lisa kan isteri abang. Tentu abang kena jaga Lisa. Dah tanggungjawab abang sebagai suami.”- Haikal

Bagi Khalisha, tak ada yang kurang dalam rumah tangga mereka kecuali anak. Hampir tiga tahun usia perkahwinan, mereka masih belum dikurniakan cahayamata.

“Kalau tak ada anak pun, abang dah ada Lisa, itu sudah lebih dari cukup daripada segala isi dunia ni.”- Haikal

Itu kata Haikal, Tapi kata Khalisha, dia rasa kekurangan. Anak adalah pengikat kasih. Tanpa anak, dia tiada apa-apa untuk mengikat Haikal kekal bersamanya. Kerana itu, rasa curiga sering menghantui diri. Sekecil-kecil perkara boleh menjadi sangat besar buat Khalisha.

“Dengar dulu, sayang!” Haikal mula mengejar Khalisha.
“Nak dengar apa? Dah buat depan mata pun! Itu baru depan mata Lisa. Belakang?!”

“Lisa... abang tak macam tu.” Haikal cuba memujuk.
“Habis macam mana?! Dah pegang-pegang, cium-cium rambut bagai...” Khalisha sudah hampir menangis.

“Apa abang rasa, kalau Lisa buat perkara yang sama?” Pantas Khalisha melangkah keluar.
“Abang tahu Lisa tak akan buat begitu pada abang.” Haikal terus mengekori Khalisha ke pintu kondo mereka.

Apa sudahnya nanti perkahwinan mereka bila ada orang ketiga yang cuba mengambil kesempatan atas kebaikan Haikal?




KALAU SUDAH BERKENAN : Cempaka Rembulan 

Harga : RM 24(semenanjung)/RM27(sabah Sarawak) 
Muka surat : 556
Sinopsis :

Pulangnya Zafry Tan Sri Hamzah ke Malaysia kerana satu alasan, dia layak mendapatkan semua harta sebagai bayaran sebuah kasih sayang yang tak pernah dia dapat dari ayahnya.

Pun begitu, ianya tidak semudah yang dibayangkan. Syarat untuk mendapat harta tersebut mesti diambil bersama pakej seorang isteri. Calon isteri pula bukan siapa-siapa, hanya anak seorang pemandu. Dia rasa tercabar tapi diikutkan juga kehendak ayahnya. Sudahnya, Adra Afeefa yang tak bersalah menjadi mangsa satu percaturan.

“Adra kena tidur bilik yang sama dengan abang ke, atau Adra kena guna bilik lain?” - Adra

“Kau jangan nak mengada boleh? Kalau kau tidur bilik lain pun, tak adanya kau jadi anak dara balik.” - Zafry.

Tapi Zafry tak tahu, Adra tu bukan jenis yang mudah mengalah. Apa yang Zafry tak suka, itulah yang dia buat.

“Abang nak join Adra tak?” Kepala dijengul disebalik pintu bilik air. Niat hati mahu mengusik si suami. Tapi kalau Zafry bersetuju, mati lah dia!
“Tak hingin aku…” Zafry menjeling tajam. Ingat dengan buat wajah macam kangaroo comel tersepit celah pintu dia nak tergoda ke? Boleh blah la!
“Jangan lupa ambil air sembahyang tau. Kita kumpul pahala sama-sama.” Adra kenyit mata sebelum pintu bilik air ditutup rapat.
“Arghhhhh..” Mukanya ditekap pada bantal dan kuat dia menjerit. Sakit hati melihat gelagat Adra. Malam ini apa jadi sekalipun dia mahu meneruskan agenda berpeleseran dengan Nafiz. Tidak boleh tidak!

Lama-lama, Zafry tergoda juga. Namun, konflik bermula apabila Adra disahkan hamil sedangkan anak adalah perkara terakhir yang Zafry mahukan dalam hidup. Kenapa Zafry mahukan begitu dan apa akan jadi pada perkahwinan mereka selepas itu? Semuanya akan terjawab di dalam naskah ini. 




Thursday, 3 April 2014

Bab 1 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan

“SAYA tak setuju ayah. Mati hidup balik sekali pun saya tak kan menikah dengan perempuan tu.” Zafry sudah memekik. Mendadak hatinya terasa panas. Benci apabila ada orang yang ingin mengatur hala tuju hidupnya. Dia bukannya boneka yang boleh dibuat apa saja. Dia ada pendapat sendiri! Susah sangat ke ayahnya mahu faham?
            “Aku tak minta pendapat kau Zafry. Ni bukan satu permintaan tapi arahan aku sebagai ayah kau.” Tan Sri Hamzah turut meninggikan suara. Tidak perlu dia menghormati anaknya jika anaknya itu langsung tidak tahu menghormatinya sebagai seorang ayah.
            “This is my life. I have rights to decide for my future. Entah apa perempuan tak guna tu dah sogok kepala otak ayah. Saya tetap tak setuju walau apa pun yang jadi.” Zafry masih berkeras. Kepulangannya dari luar negara tidak berharap berakhir begini. Baru sebulan dia tiba ke Malaysia ayahnya sudah pandai-pandai mengaturkan perkahwinannya. Sudahlah itu, calon jodohnya pula adalah seorang gadis yang langsung tidak menepati citarasanya.
            “Walau apa pun yang terjadi, kau setuju atau tidak, kau tetap kena kawin dengan Adra. Dia boleh bimbing  kau yang hidup bertuhankan nafsu. Kau nak tahu perangai kau sekarang macam apa? Macam syaitan!” Naik turun nafasnya menahan amarah.
“Orang sibuk mencanang sana sini. Baru sebulan kau balik dah banyak kau palit arang dekat muka aku. Mana aku nak letak muka aku ni Zafry?” Suara Tan Sri Hamzah kedengaran begitu lirih bagaikan menyesali nasibnya. Sungguh dia terperanjat bila mendapati Zafry langsung tidak berperangai seperti yang selalu dipamerkan saat dia melawat anak lelakinya itu di luar negara. Tiada sopan, juga tiada kesantunan. Semuanya hanya lakonan bagi mengaburi mata tuanya.
            Hati tuanya terasa sebak. Ternyata keputusannya untuk melepaskan Zafry dibesarkan oleh adik iparnya mengundang padah. Mata tuanya sendiri menjadi saksi kemungkaran yang dilakukan oleh anaknya. Mengucap panjang dia bila kebenaran mula terpampang dihadapan mata.
Sebelum ini semua berita tentang keburukkan Zafry yang sampai ke telinganya hanya dianggap sebagai omongan kosong. Setelah dia melihat sendiri barulah dia sedar yang ‘anak jantannya’ itu sudah lama tersasar. Terpesong jauh dari landasan agama.
            “Saya tak minta pun nak balik Malaysia. Ayah juga yang paksa saya. Kalau ikut saya, jangan kata nak pijak kaki ke negara ni, nak dengar nama pun saya tak inginlah ayah.” Zafry masih berkeras. Sungguh dia menyesal kerana ‘terpesona’ dengan angan mahu menjadi peganti empayar perniagaan ayahnya. Kalaulah dia tahu yang kaki dan tangannya bakal terikat, mati hidup balik pun dia tak dia takkan sudi.
            “Kau jangan jadi tak sedar diri Zafry. Kau tu pun lahir kat Malaysia ni jugak. Aku tak kira minggu depan kau bertunang. Bulan depan kau kawin.” Tan Sri Hamzah menahan sabar. Sejujurnya selama ini dia jarang marah. Tetapi sikap Zafry benar-benar menguji kesabaran hati tuanya. Wajah kacak anak lelakinya yang seiras arwah isterinya direnung tajam.
Sayang sekali wajah seiras tetapi sikap dan sifat anaknya langsung tidak sama dengan arwah isterinya yang sangat sempurna pada matanya. Satu-satunya wanita yang berjaya menempatkan diri dalam sudut hatinya yang paling dalam.
            “Kalau ayah dah berkenan sangat dekat perempuan tu ayah saja yang kawin. Tak ingin saya nak hidup dengan anak driver ayah tu.” Sudahlah dia di paksa berkahwin, jodohnya pula dengan anak pemandu ayahnya sendiri. Kalau dengan orang yang setaraf mungkin dia dapat menimbang cadangan ayahnya itu, Mana dia mahu letakkan muka kalau berita itu sampai ke pengetahuan rakan-rakannya?
            “Kau jangan nak kurang ajar dengan aku Zafry. Baik…. kau tak nak kawin kan? Kau jangan menyesal nanti. Sesen pun harta, aku takkan tinggalkan untuk kau.” Tan Sri Hamzah mengungut. Dia tahu itulah satu-satunya kelemahan Zafry. Anak lelakinya itu begitu tamakkan harta dunia.
            “Ayah ugut saya ke?” Zafry panas hati. Mencerlung tajam matanya memandang wajah itu. Hatinya dilanda kegeraman yang amat sangat. Kalau benda lain yang diugut mungkin dia tidak kisah, tetapi harta dan kekayaan itulah yang selama ini dia idamkan. Tetapi pada masa yang sama dia gusar jika ayahnya itu mengotakan apa yang dikata.
            Tan Sri Hamzah! Siapa yang tidak kenal dengan sikap ayahnya yang sentiasa yakin dan pasti dalam setiap tindakkan yang diambil. Ayahnya itu begitu terkenal dengan sikap tegas. Dalam perniagaan tiada sesiapa yang berani bermain api dengan lelaki itu.
            “Itu terpulang pada tafsiran kau. Ayah cuma bagitahu, dan kau sendiri pun tahukan yang ayah tak pernah bermain dengan kata-kata.” Tan Sri Hamzah cuba berlembut. Suaranya tidak selantang tadi. Perkataan ‘ayah’ mula digunakan. Wajah kusut Zafry dipandang. Nampaknya jeratnya sudah mengena. Ikan sudah berjumpa dengan cacing yang dilekatkan pada joran. Bila-bila masa sahaja tangkapan dapat dinaikkan. Tetapi pada masa yang sama dia sedih. Anaknya sudah berajakan harta!
            “Ayah bagi masa sebulan. Biar saya fikir dahulu.” Zafry mengalah. Selepas ini otaknya perlu bekerja keras untuk mencari alasan bagi menolak permintaan ayahnya, dalam masa yang sama dia tidak kehilangan harta berbillion ringgit hanya kerana permintaan bodoh lelaki itu.
            “Nope! seminggu sahaja masa kau nak fikir. Lepas seminggu kalau kau tak bagi jawapan, ayah anggap kau tolak cadangan ayah, dan secara automatic nama kau terkeluar dari menerima sesen pun harta ayah.” Hati Tan Sri Hamzah berbunga ceria. Tahu benar yang keputusan sudah berpihak kepadanya. Menang tanpa bertanding. Tidak mencabar, namun sesekali dia sukakannya.
            Wajah lembut Adra mula terbayang. Harapannya cuma satu. Adra dapat menyuluh jalan kepada anaknya agar kembali ke landasan yang diredhai-Nya. Kalaupun terpaksa kehilangan hartanya untuk menyedarkan Zafry, dia pasrah. Mungkin itu balasannya kerana mementingkan syarikat lebih daripada tanggungjawabnya sebagai seorang ayah.
            “Seminggu? Mana cukup!” Zafry sedikit membentak. Matanya terbeliak tanda membantah. Dalam masa seminggu manalah sempat untuk dia befikir. Ayahnya benar-benar sudah gila!
            “Apa yang tak cukupnya Zafry?” Tan Sri Hamzah bertanya dalam nada yang mengejek. Seliar-liar Zafry dia tahu anaknya itu dikurniakan otak yang bergeliga, jadi dia tidak boleh mengambil sebarang risiko. Tersilap langkah, pasti rancangannya bakal musnah.
            Zafry mendiamkan diri. Lambat-lambat dia bangun dan berjalan menuju ke arah tangga. Otaknya sudah tepu. Langsung tidak boleh berfikir. Pada masa yang sama telinganya masih dapat menangkap kata-kata ayahnya.
            “Seminggu Zafry masa untuk kau berfikir. Lepas tu kalau negetif jawapan kau rasanya kau dah tahukan apa akibatnya?” Tan Sri Hamzah ketawa sinis. Seketika kemudian dia menepuk dahi. Macam mana di boleh terlupa tentang Razali pemandunya itu? Hajat hatinya untuk menjodohkan anak lelaki itu dengan Zafry belum lagi disampaikan.
            Razali bukan sekadar pemandu malahan sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Lelaki itu sentiasa berada disisi, di saat jatuh bangunnya dalam membina empayar perniagaan. Juga disaat dia sedang kedukaan menghadapi kehilangan isteri tersayang. Budi lelaki itu terhadapnya sudah tidak terbalas. Jadi bagaimana untuk dia menjadi kacang lupakan kulit?
             Peristiwa berbelas tahun dahulu sentiasa terakam kemas dalam lipatan sejarah hidupnya. Membuka lembaran lama, bagaikan merobek kembali sekeping hatinya. Wajah cantik Lin Ai Lin atau nama Islamnya Nur Azlina mula menari diruang mata. Tanpa disedari, air jernih mula menodai pipinya.
            Hanya Allah sahaja yang tahu bertapa kerinduan terhadap arwah isterinya itu begitu membara. Tak pernah walau sesaat dia melupakan wanita itu. Satu-satunya wanita yang pernah wujud dalam kehidupannya selain arwah ibunya. Kerana itulah dia rela menduda kerana tiada ruang dalam hatinya untuk diisi oleh wanita lain.
            Isterinya seorang wanita mualaf yang rela meninggalkan kesenangan yang dinikmati demi kerana mahu hidup disamping lelaki susah sepertinya. Disebabkan itulah juga dia bertekat untuk melakukan apa sahaja demi wanita kecintaannya itu. Malangnya, dalam mereka meniti alam rumah tangga yang membahagiakan, ada barah yang mengintai setiap tulang belulang isterinya.
            Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya bila melihat kesengsaraan si isteri yang sanggup bertahan tanpa kerut didahi semata-mata mahu membuang kerisauan di hatinya. Saat isterinya itu menghembuskan nafas terakhir, separuh nyawanya terasa diangkat pergi. Masa itu dia bertekat, apa sahaja akan dilakukan demi untuk memberikan kebahagian kepada anak kesayangannya. Cuma dia tidak menyangka, niat baiknya selama ini disalah tafsir sehingga membuatkan anaknya itu semakin menjauh. Bukan sahaja menjauh darinya…Juga menjauh dari Allah. Sungguh hatinya kecewa


copyright : Cempaka Rembulan / IdeaKreatif