Sunday 24 January 2016

Bab 6 : SCARLET CINTA - SHAZE ALMA



Bab 6

K
AFE sedang sibuk dengan pelajar sewaktu aku tiba. Kebanyakannya baru pulang dari kelas. Terpaksa kupilih meja yang terletak di sudut paling hujung kerana di situ saja yang kosong.
Seketika, aku hanya memerhati gelagat seorang demi seorang yang sempat hinggap di ruang mataku. Ada yang melambai-lambai memanggil rakan, ada yang meminta-minta laluan disebabkan keadaan kafe yang benar-benar sesak, ada juga yang bermain dengan telefon bimbit sementara menunggu pesanan makanan tiba.
Hampir sepuluh minit memerhati dan menanti begitu, aku mula bosan. Tersandar badan pada belakang kerusi, berpeluk tubuh.
Pada jangkaanku, Shah mungkin sedang dalam perjalanan ke sini. Ataupun waktu ini dia sedang bersesak dengan pengunjung lain sambil mencariku. Sebenarnya menyesal juga aku pilih tempat ini. Shah memanglah tinggi, senang untuk buat aku perasan kewujudan dia di tempat-tempat begini.
Tapi dalam keadaan yang terlampau sesak ini, aku fikir tak mustahil dia boleh tenggelam. Nak-nak lagi bila adanya mamat-mamat arab dan mat saleh yang turut memenuhi kawasan ini. Memang takkan terlawanlah jawabnya.
Cuba kuhubungi telefon bimbitnya, tapi tiada jawapan. Dia tak dengar agaknya.
Aku berdecit bosan. Sampai bila nak kena tunggu ni?
Lama aku menanti. Disebabkan Shah tidak juga tiba dan aku pula sudah semakin bosan menunggu, akhirnya kuambil keputusan membelek telefon bimbit. Mahu tahu kalau-kalau ada SMS sepanjang tempoh dua puluh empat jam yang lalu.
Disebabkan kehabisan bateri, kupindahkan SIM card milikku ke telefon Shah. Hidup saja telefon bimbit, terus masuk notification SMS. Bertalu-talu. Lebih dari sepuluh SMS. Semuanya dari mama dan angah. Seperti ada hal penting. Lantas kubuka satu persatu. Kubaca semuanya, sebelum terhenti pada SMS ketiga dari mama.

Kenapa mama call tak boleh dapat, Isya? Isya ke mana ni, mama SMS pun tak balas?

Aku terdiam, rasa sedikit serba salah dengan SMS itu. Memang ada hal penting kut ni. Lantas kudail nombor mama. Tak lama menanti, talian bersambung.
“Assalamualaikum, Isya!” Laju mama menerpa.
“Waalaikumussalam,” jawabku, sedikit teragak-agak. Kenapa sebenarnya?
“Tengah sibuk ke?”
“Tak adalah.”
“Habis kenapa phone tu off aje memanjang?” pintasnya laju, buat aku terdiam sesaat.
“Ada hal sikit semalam, tak boleh nak elak.” Selamba, cuba perdengarkan keyakinan pada mama. Padahal sebenarnya aku risau kalau-kalau Prof. Syikin ada menghubungi mama, beritahu apa-apa tentang aku di sini.
Bila mama membisu, aku berdebar. Dalam hati, aku mengharap jawapanku tadi mampu memuaskan hati mama. Janganlah dia tahu apa-apa tentang dunia belajarku di sini, lebih-lebih lagi yang berkaitan disiplin. Tak sanggup aku dileter.
“Tak apalah kalau macam tu,” ucap mama setelah agak lama talian sunyi.
Terus terlepas keluhan lega dari bibirku. Selamat!
“Mama ingatkan apahal pulak Isya tiba-tiba off phone macam tu. Ingatkan Isya dah tak boleh nak handle stress ke apa...”
Aku tersengih sumbing saja. Faham maksud yang mama cuba sampaikan walau kedengaran seperti aku ini anak kecil saja.
“Setakat ni Isya okey aje, kan? Tak ada stress sangat, kan?”
“Tak, ma. Isya sihat aje ni.”
Good. No more fainting okay? Kalau rasa tak boleh catch up study, bawak-bawak berehat. Jangan paksa diri! Okay?
Aku tersengih lagi, faham benar kebimbangan mama berkaitan ‘penyakitku’ yang satu itu. Biasalah, penyakit budak manja. Stres lebih sikit, mulalah. Nak pengsanlah. Nak itulah, nak inilah. Kadang-kadang rimas aku dibuatnya.
“Dengar tak ni, Isya?” Mama mendesak.
“Ya, dengar...”
Midterm break nanti Isya balik?” Mama menukar topik, makin melegakan. Aku lantas menggeleng.
“Tak. Cuti seminggu aje, kejap sangatlah. Lagipun kerja tengah banyak ni.”
“Kejap pun tak boleh balik?” pintasnya lagi, penuh harap saja bunyinya.
Berkerut dahiku, agak pelik dengan mama saat ini. Selalunya kalau cuti seminggu, mama yang larang aku ke mana-mana. Disuruhnya aku duduk saja di kampus, siapkan kerja. Tapi kali ni dah lain pulak.
“Ada apa, ma?” Perlahan suaraku, berdebar semula. Benak mula menjangka-jangka, apa yang sedang berlaku sebenarnya. Entah kenapa, tak sedap hati pula tiba-tiba. Bagai mampu kuagak maksud kesungguhan mama yang mendesakku pulang kali ini.
“Mama ingat, waktu Isya cuti nanti mama nak buat makan-makan sikit. Nak kenalkan Isya dengan anak kawan abah.”
Tepat tekaanku. Nampaknya mama masih belum berputus asa mencarikan calon buatku, sedangkan aku sudah berkali-kali menolak. Tak tahulah kenapa susah sangat mama mahu faham pendirian aku.
“Kalau kali ni Isya berkenan, bolehlah kita cepatkan aje semuanya.”
“Tapi Isya nak belajar lagilah, ma,” pintasku.
“Iya... kalau nak belajar, belajarlah. Mama tak halang.”
“Tunggu Isya habis belajar dulu tak boleh, ke?” pintasku lagi, masih mahu berusaha memahamkan.
Mama terdiam, mengeluh lemah kemudiannya.
“Mama tak nak hak kita terlepas pada orang, Isya. Itu aje.” Jelas kehampaan pada suaranya.
“Ye la, Isya faham tu tapi...”
“Isya sendiri pun tahu, kan? Kalau Abang Mi yang kahwin dulu, susah kita.”
Aku terdiam semula. Tak tahu apa patut jawab. Aku faham kerunsingan mama dan abah. Aku sendiri sebenarnya bimbangkan nasib keluarga. Tapi untuk terburu-buru dalam soal jodoh, aku fikir bukan itu caranya.
“Lagipun Isya dah lama kenal Fariz tu.”
“Hah?” Aku tersentak.
“Kenapa?”
“Fariz?”
“Haah. Dah lama Isya kenal dia, kan? Mama rasa kali ni takkan ada masalah lagi dah.”
“Isya tak...”
“Farisya.”
Terbantut kata-kataku sebaik mendengar panggilan itu lantas mendongak. Shah tercegat di hadapanku. Agak pucat wajahnya, sekaligus memahamkanku. Demamnya sudah lebih teruk berbanding pagi tadi. Bererti dia mahu pertemuan ini segera berakhir.
Tapi aku tengah bercakap dengan mama ni? Guna phone dia pulak tu! Nanti kalau aku tiba-tiba minta diri, pelik pulak mama. Habis disoalnya aku macam-macam nanti. Mana aku nak lari? Shah pulak, takkan dia nak tunggu kat tempat sesak macam ni? Dahlah susah nak jumpa dia luar dari waktu kelas. Aduh... macam mana ni?
Lantas kuangkat lima jari, beri isyarat supaya menunggu. Berkerut dahi Shah tika itu juga, tak setuju. Terus dia duduk di hadapanku, beri isyarat mahu bercakap. Aku menyoal dengan pandangan.
“Saya tengah tak larat ni, Isya.”
Segera kututup speaker telefon dengan tangan, enggan mama mendengar.
“Dahlah awak suruh saya datang kat tempat sibuk macam ni. Sekarang saya kena tunggu awak pulak?”
Aku mengeluh.
“Tunggulah kejap, Shah. Saya tengah bersembang dengan mak saya ni.”
“Kalau macam tu kenapa suruh saya datang?” Mula tegang nadanya, bikin hati hangat.
“Tadi saya dah tunggu awak, Shah. Lagi lama!”
“Dah awak yang nak jumpa saya, memang patut pun awak menunggu!”
“Kenapa tu, Isya?” Mama tiba-tiba bersuara, membantutkan hasratku menjawab. Kujeling Shah, tajam.
“Tak ada apa.” Aku bingkas lantas beredar. Rimas sebenarnya! Mama di hujung sana langsung tiada tanda mahu menamatkan perbualan. Yang Shah pula tak mahu langsung bertolak ansur. Minta tunggu kejap pun tak boleh.
“Saya tengah tak larat ni, Isya...” Terngiang-ngiang suara lemahnya yang merayu pengertian. Menjadikanku terkesan dan serba salah.
Aku tahu, memang aku yang paksa dia datang jumpa aku. Dalam keadaan dia yang tengah tak sihat tu, sepatutnya aku faham keadaan dia.
Terlepas decitan dari bibirku. Tiba di satu sudut yang agak tersorok, aku berhenti. Pandang Shah semula. Lelaki itu sedang merenungku tajam, jelas dengan riak tak suka.
Tersepit aku dibuatnya. Terpaksa kukerah akal agar dapat menyudahkan segera perbincangan ini. Pandangan Shah yang terus juga tajam itu sudah cukup meresahkanku. Kuangkat lima jari, penuh harap meminta lelaki itu menunggu lagi.
“Isya, kenapa dengan Fariz?”
Aku tersedar. Mahu menjawab tapi suara tak terkeluar. Dalam fikiran yang kalut memikirkan Shah, tiba-tiba saja aku rasa pertanyaan mama itu terlalu sukar. Walhal selama ini, jawapan pada soalan itu setiap masa berlegar-legar dalam benakku.
“Tt... tak ada apa, ma...”
“Maknanya Isya baliklah cuti nanti?” Ada kelegaan dalam suaranya, buatkan aku mati akal. Aduh, aku tak nak balik!
Tapi jawapan itu tertahan di tekak sebaik mataku terpandang Shah yang mula bangun dari kerusi. Serius wajahnya, nampak betul-betul mahu pergi. Kalut aku dibuatnya.
“Ma, nanti Isya call balik. Ada hal ni.” Pantas kata-kataku, tiada pilihan. Serentak aku mula menapak mendapatkan Shah. Bila kelibat lelaki itu mula terlindung di sebalik lelaki-lelaki arab, aku cemas. Kalau tak pulangkan telefon ini sekarang, masak aku nanti!
Memang ini saja waktunya. Kalau boleh aku tak nak berurusan dah dengan dia, lagi-lagi di kelas. Teruk aku digosip nanti.
“Jadi balik tak nanti, Isya?” Nampaknya mama benar-benar mendesak. Hampir saja terlepas keluhanku.
“Jadi, jadi.” Akur saja akhirnya sambil mata liar menjejak kelibat Shah.
Mama di hujung talian semakin lega.
“Mintak diri dulu, ma.”
“Okey, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Bye.” Lantas putuskan talian. Terpaksa aku menyelit di kawasan yang dipenuhi pelajar wanita, menjadikan jarakku dengan Shah semakin jauh. Terlepas saja dari kawasan kafe, aku segera mengejarnya.
“Shah!” panggilku bila semakin hampir dengannya. Tapi dia tidak langsung mengendahkan. Aku terpaksa meluaskan lagi langkah. Kupintas dirinya sebelum mematikan langkah, berdiri menghadapnya.
Baru dia berhenti, betul-betul di tengah kawasan taman. Terlepas nafas mengah dari bibirku.
Sorry lambat.” Tercungap-cungap.
“Lain kali biar betul-betullah, jangan buat orang tertunggu-tunggu.” Serius nadanya.
“Okey, okey. Sorry.” Mengalah saja. Tak mahu bertelingkah banyak dengannya. Aku hulur telefon padanya.
“Nah, terima kasih pinjamkan.”
Dia diam, sambut huluranku. Tapi tiba-tiba aku teringat sesuatu, lantas kutarik semula telefon bimbit itu.
“Eh, kejap.”
Dia terlepas pegangan, berdecit kebosanan. Aku tahu dia rasa dipermainkan, lantas aku menggeleng.
“Bukan... tadi saya masukkan SIM card saya dalam phone ni.” Lantas aku duduk di birai kolam ikan hiasan berhampiran. Kuselongkar beg kuliah. Dan sebaik berjaya menemui telefon bimbitku, segera kutukarkan semula SIM card ke telefon bimbit masing-masing.
Senyap antara kami. Hanya bunyi air pancut saja yang kedengaran. Sesekali angin lembut bertiup, menggugurkan daun-daun kering dari pokok berhampiran. Mendarat di kepalaku. Aku seakan dibelai suasana petang, membuatkan perasaanku perlahan-lahan reda. Tidak lagi segelabah tadi.
Ekor mata melihat Shah mendapatkan sebuah bangku yang terletak tidak jauh dariku. Duduk dia di situ, bersandar memeluk tubuh yang tersarung jaket. Penat agaknya dia berdiri lama. Daripada perlakuannya tu pun aku dah boleh agak, dia memang betul-betul tak sihat.
Aku pantaskan pergerakan, tak mahu buat dia menunggu lebih lama. Memang salah aku tadi, aku mengaku. Dia nak datang jumpa aku ni pun dah cukup baik sebenarnya. Dalam keadaan sakit macam tu, biasanya orang cukup pantang kalau rehat diganggu.
Kiranya Shah tu sabarlah jugak dengan kerenah aku ni.
Selesai saja, aku hulur telefon bimbit pada dia.
“Nah, dah siap.” Bersama senyuman.
Dia yang entah sejak bila merenungku itu kelihatan seperti tersedar. Dia bangkit dari sandaran, terlerai tangan yang memeluk tubuh.
“Tak ada nak tukar apa-apa lagi dah?” Ada nada lemah dan serak yang kedengaran. Aku menggeleng laju.
“Terima kasih pinjamkan.”
Dia senyap, seperti memikirkan sesuatu. Beberapa ketika kemudian, barulah telefon dari tanganku disambutnya.
“Kenapa tak call guna phone sendiri tadi?” soalnya.
“Bateri habis.”
Spontan dia temukan semula pandangan denganku. Berkerut dahi.
“Bateri habis?”
“Haah.”
“Baru dua hari lepas awak charge, kan?”
“Ye ke?” Giliranku pula mengerutkan dahi. Cuba mengingat.
“Saya call awak kelmarin tapi tak dapat. Tak lama lepas tu, awak call saya balik. Awak kata, phone tu baru aje awak hidupkan sebab sebelum tu tengah charge.”
Aku terdiam, kagum. Dia ingat lagi rupanya hal tu.
“Betul-betul dah habis bateri ke phone tu?” Dia menyoal semula. Segera aku menggeleng.
“Entah.”
“Cuba check.”
“Nak check macam mana? Bukannya ada charger pun kat sini.” Kebingungan.
Dia tak menjawab, sebaliknya aku perasan ada senyuman nipis terukir di bibirnya. Penuh dengan erti yang tak mampu kutafsir.
“Bagi sini phone awak tu.” Serentak dia hulurkan tangannya, meminta.
Aku yang tak mengerti cuma akur. Bateri kedua-dua telefon itu saling ditukarnya. Tika itulah aku baru menyedari, telefon kami dari jenis yang sama.
Tidak lama kemudian, terukir lagi senyuman di bibirnya. Dia tunjukkan skrin telefon bimbit miliknya yang menyala.
“Saya guna bateri phone awak.”
“Mmm?” Maknanya phone aku tu dah rosak? Bukan sebab bateri habis?
Dia angkat keningnya, tersenyum penuh erti di dalam wajah yang lesu.
“Semalam Prof. rampas phone awak ni tapi lepas tu dia terlepas ke lantai. Bila dia rampas kasar, maknanya terhempas ke lantai pun kasar jugaklah kan?”
“Tapi takkanlah boleh rosak?”
“Mungkin sebab phone ni dah uzur.”
“Eh, cakap baik-baik sikitlah, Shah.” Serius nadaku memberi amaran. Tak suka dengan caranya. Tapi dia tiba-tiba tergelak halus.
Phone ni keluaran lamalah, Isya. Orang lain semua dah guna touch screen phone sekarang ni.”
Aku terdiam, tak mampu menafikan kenyataan itu. Bila Shah mula menukarkan semula bateri telefon, aku hanya mampu memerhati bersama perasaan yang berbaur.
Entah mengapa, tiba-tiba saja aku jadi tidak berdaya menyambung perbualan. Telefon bimbit yang rosak itu membuatkan aku rasa kehilangan.
“Sedih ke?” soalnya setelah agak lama aku membisu.
Kupandang wajahnya, cuba ukir senyuman. Tapi yang terzahir hanyalah senyuman kelat.
Memang sedih sebenarnya. Telefon itu pemberian Abang Mi. Satu-satunya hadiah dari sepupuku itu yang masih ada padaku. Jika telefon itu rosak, maka sudah tiada apa lagi yang boleh menjadikanku rasa dekat dengan lelaki itu. Sedangkan dia amat bermakna bagiku.
“Macam budak kecik.”
Terdiam aku mendengarnya. Shah mengerlingku. Ada senyuman mengejek di bibirnya.
“Padahal phone lama aje pun.”
Bengkak hatiku mendengarnya, sekali gus menggantikan rasa sedih.
“Saya sayang phone tu la. Awak mana tahu, awak tu tak ada perasaan.”
Dia mencemik, mengejek.
“Nah, ambik ni.” Telefon miliknya dihulur padaku. Berkerut dahiku memandangnya.
“Nak buat apa?”
“Dua-dua phone ni sama jenis, kan?”
“Habis tu?”
“Habis tu apa lagi? Ambiklah phone ni. Guna, tak payah beli baru.”
“Habis tu awak?”
“Saya ada dualah,” keluhnya malas.
“Huh, tak mahu!” Pantas aku berpaling arah lain dan berpeluk tubuh.
“Nanti macam-macam arahan awak yang saya kena ikut.”
Shah mengeluh lagi, tapi kali ini bersama senyuman penuh erti.
“Awak balik yang untung, Isya. Bukan senang tau Prof. nak bagi markah free.
“Alah, kebetulan aje tu!” sangkalku pantas. Bila dia diam, aku menambah.
“Sebab awak takut dengan Prof. Cuba kalau dari awal awak tahu boleh dapat markah bonus? Entah-entah awaklah orang pertama yang akan pergi bilik dia.” Makin kuat kupasang pendinding diri. Kali ni aku tak boleh kalah dah dengan dia. Titik!
Tapi entah kenapa, Shah menggeleng-geleng saja dengan hujahku. Tersenyum lagi.
“Saya tak kisah pun dengan markah tu sebenarnya...”
Aku mencemik. Menyampah!
“Cepatlah ambil, Isya. Sampai bila saya nak kena tunggu ni?” Dah, mula merengek pulak dia. Aku menjelingnya.
“Siapa suruh awak tunggu? Saya tak nak phone tu.”
Dia berdecit. “Jangan nak berlagaklah, Isya. Saya tahu awak tak ada duit nak beli phone baru.” Berlagak ambil berat. Menyampah betul aku!
“Ambiklah cepat, Isya...” Makin mendesak, tapi kali ini aku enggan patuh lagi. Segera aku bingkas, melangkah pergi dari situ. Penderitaan aku sepanjang berurusan dengannya sudah terlalu menyakitkan. Cukup-cukuplah, aku dah penat!
“Isya!” panggilnya lagi. Aku tak peduli juga.
Biar, biar. Aku nak tengok sejauh mana dia boleh memaksa.
“Kalau awak tak ambik phone ni, saya call mak awak.”
Serta-merta mati langkahku lantas berpusing. Tajam kurenung wajahnya, tak puas hati. Dia sudah tersenyum nakal. Penuh dengan maksud sindiran, dia bangun dari bangku. Menapak ke arahku dan berhenti betul-betul di hadapanku.
“Nak cabar saya?”
Aku diam. Jauh di dalam hati, ada rasa geram yang makin mencengkam. Ada saja akal dia nak kenakan aku!
“Nak ambik tak? Kalau tak, saya call mak awak.” Lembut suaranya, tapi secara halus menekanku. Benar-benar merimaskan.
“Tapi janji jangan buat saya macam hamba lagi dah lepas ni!”
Pecah tawa kecil darinya. “Bila pulak saya buat awak macam tu!”
“Awak tak sedar, tapi saya yang rasa!”
Dia terdiam, bagai baru sedar. Ada sengihan sumbing di bibirnya, mengakui.
“Tapi saya belum dikira mendera awak, kan?”
“Dah dikira menderalah ni! Sampai sakit kepala saya hari ni, tak boleh pergi kelas.”
“Okey, kalau macam tu awak pun dah dera saya jugaklah maknanya.”
“Apa pulak?”
Dia tersenyum penuh erti. “Saya sakit hari ni sebab malam tadi terpaksa tunggu awak kat library.”
Aku tersentak. Berderau darah tiba-tiba, tak selesa dengan apa yang kudengar. Tak mampu kufaham fikiran sebenar lelaki di hadapanku ini. Tapi untuk mengawal hati yang hilang arah, aku segera menajamkan renunganku.
“Yang awak pergi tunggu saya tu buat apa? Kan diri sendiri jugak yang sakit?”
“Habis tu kalau saya ajak balik, awak nak ikut? Satu kereta dengan saya?”
Aku terdiam semula. Shah terus memandangku, menagih jawapan.
“Kalau apa-apa hal jadi pada awak malam tadi Isya, saya tahu awak akan salahkan saya. Phone awak kena rampas sebab saya. Jadi saya yang patut bertanggungjawab untuk tolong awak contact sesiapa bila jadi kes macam semalam.”
Aku terdiam lagi. Dia angkat keningnya, menyindir.
“Awak yang mendera saya sebenarnya, Isya. Saya terpaksa tunggu awak, semata-mata sebab awak tak nak terima phone saya sebelum malam tu.”
“Eleh, awak pun teruk jugak dera saya.”
“Maknanya sekarang kosong-kosonglah.” Selamba dia memintas. Pantas aku pusatkan pandangan ke wajahnya. Dia tersenyum nakal.
“Baik ambik phone ni, Isya.”
Aku diam, makin tajam menjeling. Tapi dia terus juga selamba bahkan diangkat sebelah keningnya. Menanti aku patuh pada kehendaknya.
Terlepas akhirnya keluhan malas dari bibirku.
“Shah...”
Dia terus juga tenang. Nampaknya dia akan terus memaksa selagi aku menolak. Padahal aku betul-betul tak mahu ada kaitan apa-apa lagi dengan dia. Bila telefonnya ada pada aku, tak mustahil dia akan terus mengikat aku.
“Kehendak awak, semua saya kena ikut, Shah. Penatlah macam ni.”
“Awak yang paksa saya paksa awak.” Dah, dia dah berbelit-belit kata pulak. Tak faham betul aku dengan dia ni. Telefon bimbit di tangannya itu kupandang kosong.
“Tak payah nak merajuk sangat dengan sayalah. Tak ada orang nak pujuk pun.”
Kata-katanya kali ini membuatkan aku memusatkan anak mata ke wajahnya.
“Awak ni... saya tak suruh pun awak pujuk!”
“Ya, saya tahu,” pintasnya, selamba juga.
“Nah, ambik cepat. Saya nak balik ni, nak rehat. Penat dengar awak membebel.”
Aku makin mencuka, meluat. Penuh malas kusambut telefon bimbit dari tangannya.
“Agaknya sebab tu awak tak ada girlfriend sampai sekarang, Shah.”
Dia diam.
“Awak tu tak gentleman, tak reti langsung jaga hati perempuan.” Serentak itu juga aku masukkan kedua-dua telefon bimbit itu ke dalam beg.
“Jadi isteri saya dululah, baru boleh rasa macam mana bila saya jadi gentleman,” jawabnya selamba.
Aku mencebik.
“Nak jadi isteri saya, Farisya?” bisiknya romantis bagai benar-benar bermaksudkannya.
Terhenti perlakuanku, berderau darah. Spontan kuangkat semula kepala, bertembung pandangan dengannya. Dia sudah tersenyum nakal. Meruap kehangatan ke wajahku lantas kutunjukkan penumbukku.
“Nampak ni!”
Meletus tawanya. Makin hangat wajahku.
“Jangan nak membebel bukan-bukanlah, Shah!”
“Awak yang nak sangat.” Bersulam tawa.
Kuketap gigi kegeraman.
“Kalau jadi isteri saya, jangan kata gentleman. Lebih dari tu pun boleh.” Ada riak menggoda pada cara pandangannya kali ini. Dia kenyit mata kirinya.
“Nak, sayang?”
“Dahlah tu, Shah!”
“Kenapa?”
“Pergi baliklah! Rehat!”
Dia tertawa semula.
“Makin teruk merepek awak tu kalau lagi lama duduk sini. Sakit kepala saya ni awak kerjakan.” Serius tanpa memandangnya. Tak kupedulikan tawanya yang semakin bernada menyakat.
“Memang saya dah nak balik pun.”
“Dah, pergi cepat.” Kupintas.
Dan dia kembali tertawa. Entah apa yang lawaknya, aku tak tahu. Ekor mataku melihat dia melangkah pergi. Tak kupedulikan dirinya. Terus berpura-pura sibuk mengemas kedudukan telefon bimbit di dalam beg kuliah. Sedangkan hati di dalam ini Tuhan saja yang tahu betapa bergoncangnya.
Kata-kata Shah itu tiba-tiba saja mengingatkanku pada mama dan rancangan keluargaku. Aku memang tak bersetuju langsung dengan hal itu, lagi-lagi jika Fariz yang jadi pilihan. Lantas bila Shah tiba-tiba ‘melamar’ seperti tadi, saat ini aku rasa cukup tak keruan.
Aku tahu Shah cuma bergurau. Ya, aku tahu itu. Tapi dalam keadaan sekarang, aku risau kalau tiba-tiba nanti rasa tersepit memaksa aku memilih saja Shah untuk dipertemukan dengan keluarga di kampung. Minta Shah berlakon, macam yang biasa aku baca dalam novel-novel.
Tapi...
Segera kugelengkan kepala dengan fikiranku sendiri. Tak mungkin... tak mungkin!
Aku takkan lakukan perkara berisiko seperti itu. Dalam novel, memang itulah hero yang akan menyelamatkan si heroin. Pusing ikut mana pun, mesti akan happy ending punya. Tapi kalau dalam dunia nyata ni aku buat macam tu?  Hisy, minta dijauhkanlah