Showing posts with label Yang Dia Pilih - Hani Fazuha. Show all posts
Showing posts with label Yang Dia Pilih - Hani Fazuha. Show all posts

Wednesday, 16 April 2014

Bab 2 YANG DIA PILIH - Hani Fazuha


Bab 2
MELANGKAH perlahan ke lif untuk ke lobi utama Hotel Shangri-La tengah hari itu, pintu lif hampir tertutup tetapi jemari Hareez masih sempat menekan butang dan pintu terbuka kembali. Di dalamnya hanya ada seorang gadis.
            Masuk ke dalam, matanya menjeling gadis tersebut. Sebenarnya, dia mahu melihat butang lif tetapi disebabkan gadis itu berdiri betul-betul di depan butang tersebut, pandangannya jadi terhalang.
            “Excuse me…” Hareez bersuara.
            Sepantas kilat gadis itu berpaling dan keningnya diangkat tanda menyoal. Sesaat mata Hareez bagai dipaku. Bukan cantik yang dia nampak tetapi kelembutan di wajah itu menarik perhatiannya.
            Hareez hulurkan senyuman sambil memberi isyarat mahu menekan butang lif tetapi gadis tersebut hanya memandang tanpa perasaan.
Oh! dia sentap tiba-tiba. Belum pernah lagi dia senyum orang tak balas. Mungkinkah dia tak cukup handsome di mata si gadis?
            Gadis tersebut cuba berundur, namun langkahnya sedikit pincang, mungkin sebab high heels yang dipakai atau terpijak skirt labuh meleret ke lantai yang dipakainya, dia gagal mengimbangi badan dan…
            “Arrgggghh.” Si gadis terus terjerit sambil tangan menggagau untuk berpaut.
            Tidak bersedia, Hareez pula yang hilang imbangan badan apabila tubuh si gadis terdorong ke arahnya.
            Gedebukkk!!!
            “Aduhhhh” Hareez mengaduh sambil menggosok belakang kepala yang terasa sakit. Dia sudah separuh terbaring kerana tersekat dengan dinding lif dan si gadis elok landing di atasnya.
Saat yang sama pintu lif terbuka di lobi hotel dan beberapa pasang mata manusia yang sedang menunggu lif membulat memandang ke arah mereka.
            Hareez senyum dalam usaha untuk menenangkan diri sendiri. Sebenarnya, cuba untuk menenangkan jantung sendiri yang seakan lari tempo rentaknya. Lelaki yang kuat iman pun rasanya boleh menipis imannya jika ditindih begini oleh gadis secantik ini.
Si gadis yang sedang menindihnya itu pula macam tak tahu nak bangun sendiri. Agaknya dah jadi blur. Wajahnya yang putih gebu dah berubah warna merah.
            “Errkk… Apa yang sedang berlaku?” Tiba-tiba petugas hotel datang dan menahan pintu lif yang hampir tertutup kembali.
            Bagai tersedar dari lamunan, gadis tersebut cepat-cepat bangkit. Saat itu, barulah Hareez boleh bangun dan meluruskan badan yang terasa sedikit sengal.
            “Tak ada apa-apa. Cik adik ni cuba nak cabul I tapi tak sempat.” Hareez buat-buat terbatuk kecil sambil menjeling ke arah si gadis.
            Dan, cik adik manis yang sudah sedia merah wajahnya jadi bertambah merah tatkala mendengar kenyataan dari bibir Hareez. Apatah lagi, orang-orang yang melihat tadi sedang menekup mulut menahan tawa.
            “You!” hanya itu yang sempat keluar dari bibir si gadis sebelum Hareez meloloskan diri keluar dari pintu lif sambil menyimpan tawa. Siapa suruh tak balas senyum dia, kan dah kena.
            Langkahnya terus diatur menuju ke Lemon Garden kafe. Pagi ini dia ada pertemuan jejak kasih dengan teman lama di hotel tersebut.
            Baru kaki memasuki pintu kafe, Hareez tercari-cari telefon bimbitnya. Habis diselongkar poket baju dan seluar tetapi tak nampak pun bayang telefonnya. Cuba mengingati di mana dia tercicir. Kebiasaannya, keluar dari rumah atau dari kereta, telefon akan diselitkan di dalam poket seluar. Kali ni, tak ada pula.
Mungkinkah tercicir sewaktu dia terjatuh di dalam lif tadi? Mindanya berfikir sendiri. Pantas dia berpusing, melencong langkah menuju ke arah lif kembali.
            Namun, langkahnya terhenti tatkala matanya terpandang adegan tarik menarik di tengah lorong menuju ke lif parkir. Seorang lelaki berbadan tegap kemas berkemeja kelabu siap bertali leher sedang menarik tangan seorang wanita manakala wanita itu pula enggan mengikut.
            Sekejap!
Itukan cik adik manis yang dalam lif tadi. Segera langkahnya melencong ke arah pasangan tersebut.
Excuse me….?” Hareez menegur. Terus adegan tarik-menarik terhenti.
“Abang!” tiba-tiba saja si gadis meluru ke arahnya. Tiba-tiba saja, lengannya dipaut erat.
Eh? Diakah yang diseru oleh si gadis ini sebentar tadi? Kalau betul, sejak bila pula dia ada adik perempuan?
Hareez berpaling dan senyuman si gadis menyapa pandangannya. Buat seketika matanya bagai terlupa untuk berkelip sebab senyuman itu manis bergula.
“Sayang… siapa ni?” soalan lelaki berkemeja kelabu memanggil Hareez mengalihkan pandangan.
Lama-lama pandang anak gadis orang, takut juga jantungnya buat perangai. Dalam lif tadi pun dia dah rasa lain macam. Sekarang ni pula tubuhnya dah rasa seram sejuk sebab kedudukan dia dengan si gadis teramatlah rapat sehingga badannya terasa membahang.
“Sayang??” suara lelaki itu bergema lagi.
Hareez sekali lagi menoleh memandang si gadis di sebelahnya. Wajah cik sayang nampak mengharap bantuannya.
“Sini!!” lelaki tersebut tiba-tiba saja menarik tangan cik sayang.
“Tak nak!” Cik sayang pula terjerit membantah. Pautan tangan cik sayang di lengannya terasa semakin kejap.
“Abang cakap ikut abang!” Lelaki itu cuba menarik lengan cik sayang.
“Eh, wait! Wait! Saudara, tak elok berkasar dengan perempuan.” Hareez cuba meleraikan.
Tarikan kuat lelaki tersebut membuatkan dia tertarik sama. Apa taknya, pautan di lengannya oleh cik sayang kejap sekali.
“Kau ni siapa? Jangan campur urusan aku boleh tak?” Lelaki tersebut mula naik angin. Dada Hareez ditolak kasar.
“Dia tunang aku, kau jangan nak sibuk!” sergah lelaki itu lagi.
“Tak! Kita dah putus. Tolong jangan kacau Tia lagi,” balas cik sayang.
Oh! Namanya Tia. Hareez sematkan ke dalam kepala.
“Fatia Alesya! Mengikut adat kita masih belum putus dan abang akan pastikan ianya takkan putus,” tegas lelaki tersebut. Mukanya dah merah padam. Mungkin tengah marah.
“Abang… Apa sekalipun, Tia anggap kita dah tak ada apa-apa lagi.” Cik sayang tarik nafas panjang-panjang.
“Ni! Tia akan kahwin dengan dia… soon, very, very soon.”
Hah? Hareez blur sekejap apabila jemari cik sayang yang bernama Fatia Alesya itu menunjuk ke arahnya.
Kahwin? Adakah itu yang disebut cik sayang tadi? 
Bila masa dia pinang anak dara orang ni? Takkan mama buat kerja gila pergi meminang tanpa pengetahuan dia? Hati Hareez terlompat berkali-kali.
“Tapi kita masih belum putus.” Si jejaka seperti tak berpuas hati.
“Saudara.. baru tunang aje kan? Belum kahwin lagi. Bab putus memutus tu kemudian ceritalah. Kami dah lambat ni.” Hareez cuba mencantas, mahu memendekkan apa jua kisah yang secara tidak langsung sudah melibatkan dirinya. Dia dahlah lambat, telefon pula entah di mana cicirnya.
“Kau jangan nak berkurang ajar dengan aku boleh tak?” lelaki tersebut sekali lagi menolak dada Hareez. Kali ini lebih kuat sehingga menyebabkan dia dan cik sayang terundur ke belakang.
“Abanggg!!!!” cik sayang menjerit. Saat itu sudah ada beberapa pengunjung yang datang menyaksikan drama tersebut. Dah rupa macam sesi penggambaran drama sinetron pula.
“Kalau orang dah tak nak tu, jangan dipaksa-paksa,” sinis Hareez bersama senyuman. Saat ini sabarnya masih menebal dan dia tak mahu jatuhkan martabat lelaki bergaduh di tempat umum.
“Hey! Watch your mouth!” lelaki tersebut memberi amaran dengan jari telunjuk hampir ke muka Hareez.
“Saudara jari tu jaga sikit. Kalau kena muka, I tak jamin jari you akan selamat.” Hareez tenang-tenang saja tapi ayatnya buatkan lelaki tersebut membuntang mata.
Waktu itu, orang sudah ramai datang ke arah mereka termasuklah security guard. Mungkin ada yang memanggil pengawal tersebut apabila melihat keadaan semakin kecoh.
Tanpa lengah, Hareez tarik cik sayang mengikut langkahnya. Dah alang-alang menolong tu, biar terus sampai selamat.
Masuk ke dalam lif, mereka berdiri bertentangan. Saat itulah mata Hareez ternampak iPhonenya di tangan kiri cik sayang.
Dia terus atur langkah mendekati cik sayang. Waktu itu, mata cik sayang sudah lurus memandang ke arahnya, nampak takut-takut tapi berlagak berani.
Turun naik dada cik sayang ditenung penuh minat. Selendang kuning berbunga halus yang dipakainya agak pendek dan blouse kain satin yang dipakainya melekat ke badan menampakkan segala bentuk.
Hareez rasa macam nak cucuk mata sendiri sebab dah tak tahu nak pandang tempat lain. Rasa macam nak hantuk kepala sendiri sebab tiba-tiba saja berfikir yang bukan-bukan.
Kenapa tiba-tiba dia jadi nakal begini? Walhal selama ni, pandang perempuan pun macam nampak tak nampak. 
“Kenapa pandang I macam tu?” Spontan si gadis angkat kedua tangan bersilang menutup dada sendiri. Ngeri tatkala jejaka kacak di depannya ini memandang di tempat yang tidak sepatutnya. Nampak smart bergaya, takkanlah gila kot?
Hareez ketawa perlahan melihat reaksi spontan cik sayang. Sengaja dia mahu mengusik, matanya dikenyitkan, gaya kasanova.
“Gatal!” Cik sayang terus terjerit perlahan.

Hareez senyum jahat. Entah kenapa dia tiba-tiba tumbuh tanduk tatkala berdepan dengan si gadis yang tidak dikenali ini. Apa sebenarnya yang ada pada si gadis sehingga dia boleh bertukar seperti transformer?

Copyright : Hani Fazuha/Idea Kreatif

Nota Kaki : dapatkan di Booth M30, Bilik Mawar, PWTC- Pesta Buku Antarabangsa atau                          menghubungi ejen-ejen kami. 

Tuesday, 15 April 2014

Bab 1 YANG DIA PILIH - Hani Fazuha



Bab 1

KEMBALI duduk di kerusi empuk itu setelah tiga tahun meninggalkannya, Hareez seperti hilang punca dan tidak tahu dari mana harus dimulakan.
Walaupun semua yang ada di bilik pejabat itu masih sama dan tidak berubah seperti kali terakhir dia mengambil keputusan untuk ke luar negara dulu, ianya seperti sudah menjadi asing baginya. Mungkin juga hatinya masih belum bersedia untuk kembali duduk di situ.
 ‘Bang, aku akan dihantar bertugas ke Dubai untuk tiga bulan dan aku akan bawa family aku sekali.

Email yang dihantar Zhafran sebulan yang lalu buatkan dia berfikir berkali-kali. Membawa family sekali bermaksud Lya juga akan dibawa pergi dan bermaksud juga tiada lagi orang yang akan membantu papanya di Danau Crystal.
Pada mulanya dia masih teragak-agak untuk pulang tetapi panggilan telefon dari mama yang menangis di talian buatkan dadanya bagai ditindih batu besar. Papa diserang minor stroke dan harus bercuti panjang, memaksa dia untuk pulang memikul tanggungjawab sebagai anak.
            “Papa dah tak kuat Reez. Papa perlukan anak-anak papa untuk membantu. Papa tak mahu Danau Crystal yang papa usahakan dengan titik peluh sendiri berkubur begitu saja.”
Suara lemah papa bernada rayuan itu telah mengikat kakinya untuk terus berpijak di bumi Malaysia ini dan sekaligus melupakan hasratnya untuk terus menimba ilmu di negara orang. Kerana itu juga, dia kembali menjejakkan kaki ke Danau Crystal.
            Ikutkan hati, dia masih belum bersedia. Ya! hatinya belum cukup kuat untuk berdepan dengan kenangan lama. Tiga tahun dia tidak pernah pulang ke Malaysia dan tiga tahun itu masih belum cukup untuk dia melupakan seraut wajah bernama Lyana Amira.
            “Melarikan diri bukan cara terbaik untuk melupakan seseorang.” Kata nasihat teman serumahnya sewaktu di luar negara itu diakui kebenarannya saat ini.
Nafasnya ditarik panjang. Dari duduk, Hareez berdiri berpeluk tubuh memandang ke luar. Dinding kaca yang mengelilingi biliknya itu membolehkan dia melihat pemandangan indah di luar sana.
            Seketika berdiri di situ, dia melangkah perlahan ke arah dinding kaca yang bertentangan. Langsir yang menutupi keseluruhan dinding tersebut diselak sedikit untuk melihat suasana di dalam ruang pejabat pula.
            Saat itulah matanya menangkap bayangan Lya yang melintasi pejabatnya. Lenggok Lya yang nampak indah di mata lelakinya itu menjadikan dadanya sesak dengan pelbagai rasa. Hatinya seperti dicuit dan jiwanya mula terusik.
Walau sudah mempunyai seorang anak, badan Lya tetap langsing. Tubuh tinggi lepas itu nampak padan dengan apa saja yang dipakainya. Cantik! Kecantikan yang asli itulah yang membuatkan hatinya terpaut.
            Astaghafirullahalazimmmm....
            Panjang dia beristighfar setelah sedar akan khilaf sendiri. Sedar akan dosa yang dicipta kerana mendambakan wanita yang berstatus isteri orang apatah lagi isteri adik sendiri. Pantas langsir yang terselak itu ditutup kembali. Pantas juga kakinya melangkah menuju ke kerusi dan duduk di situ.
            Baru saja nafas yang tersekat tadi kembali berjalan lancar, pintu biliknya diketuk dari luar.
            “Masuk.” Lemah saja suaranya memberi arahan dan serentak itu wajah yang cuba ingin dielaknya muncul di muka pintu.
            Senyuman Lya buatkan Hareez terpaku di kerusinya. Dia hanya mampu memandang langkah Lya yang tersusun masuk menghampiri mejanya.
            “Boleh I duduk?”
            “Hah!” Hareez bagaikan baru tersedar dari lena saat mendengar permintaan Lya itu. Rupanya Lya sudah berdiri di depan mejanya. Pantas dia menghulurkan senyuman bersama isyarat tangan agar Lya duduk.
            “Papa minta I brief you tentang akaun syarikat.” Lya bersuara sambil meletakkan fail yang dibawa ke atas meja. Terasa janggal tetapi dia cuba untuk berlagak biasa.
Bermula minggu depan, dia akan bercuti selama tiga bulan kerana mengikut Zhafran yang terpaksa menghabiskan sisa kontraknya di Dubai.
Kembali berurusan dengan Hareez setelah tiga tahun tidak bersua muka, banyak yang sudah berubah. Hareez yang dia kenal dulu jauh bezanya dengan Hareez yang duduk di depannya saat ini. Kalau ditanya kata hati, dia lebih sukakan Hareez yang dulu, yang selalu agresif dalam semua perkara termasuklah tentang soal hati dan perasaan.
Melihat Hareez hari ini, hatinya jadi tidak tenteram. Salah diakah yang menjadikan Hareez seorang pendiam?
            Hareez mengangguk perlahan petanda memberi kebenaran untuk Lya memulakan briefingnya. Dia tahu, sepanjang ketiadaannya selama ini, Lyalah yang banyak membantu dalam semua urusan Danau Crystal.          
Seharusnya Lya sudah layak duduk di kerusinya tetapi sikap rendah diri seorang Lya memang tidak pernah hilang dari dirinya. Lantas, ada rasa bersalah terbit di hatinya.
Sebagai anak, seharusnya dia dan Zhafran yang memikul tanggungjawab tersebut tetapi kerana mengikut kata hati, dia begitu tega meninggalkan papanya menguruskan syarikat sendirian. Zhafran pula masih terikat kontraknya dengan syarikat lain.
            Melihat anggukan Hareez, Lya terus membuka fail akaun syarikat yang sudah terletak di atas meja. Mulutnya terus berkata-kata menjelaskan satu persatu apa yang seharusnya Hareez tahu.
            Cuba untuk fokus, itulah yang Hareez lakukan walau sebenarnya getaran di hatinya lebih kuat dari gelombang di mindanya. Melihat jemari runcing Lya yang berlari-lari di atas helaian kertas menunjukkan angka-angka yang bertaip kemas itu sudah cukup untuk membuatkan nafasnya kembali menjadi sesak.
Dulu... suatu ketika dulu, dia pernah mengimpikan untuk membelai jemari itu tetapi malangnya impiannya itu tidak kesampaian dan dia tahu sampai bila-bila pun impiannya itu tidak mungkin akan kesampaian.
            Sedang minda dan hatinya berperang sesama sendiri, dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbit milik Lya. Serentak itu, bicara Lya terus terhenti dan jemarinya bergerak mencapai telefon yang diletak di atas meja.
            “Sekejap ya.” Sopan Lya memohon untuk menjawab panggilan tersebut setelah melihat nama Zhafran yang tertera di skrin.
            “Assalamualaikum abang... Lya tengah ada discussion, nanti Lya call abang balik yer.” Lembut alunan suara Lya menjawab panggilan tersebut bersama senyuman mekar di bibir.
            Pantas Hareez kalihkan pandangannya ke sisi. Rasa cemburu yang cuba dibungkus kemas sudah mula mengintai keluar. Ah! alangkah bahagianya kalau dia berada di tempat Zhafran.     
“Okey, bye!” suara penamat perbualan itu memanggil Hareez kembali berpaling ke arah Lya.
            “I love you too.” Ucapan terakhir Lya sebelum menekan butang merah di telefonnya terus membuatkan mata Hareez terpejam rapat menahan sakit.
Ya! sakit yang tidak mungkin mampu dilihat oleh sesiapa pun.
            “Reez...sorry, boleh kita sambung?” Suara Lya memanggil Hareez membuka matanya. Tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng, hanya matanya melekat ke wajah Lya.
            Melihat tingkah pelik Hareez, Lya diserang gelisah. Dia bimbang jika sejarah lama berulang kembali. Sejak kepulangan Hareez beberapa hari lalu, rasa bimbangnya tidak pernah surut apatah lagi bila dia harus berdepan lagi dengan lelaki ini setiap hari di pejabat.
            “You bahagia?” Soalan Hareez yang tiba-tiba melencong topik itu makin menguatkan rasa bimbang di hati Lya. Dia cuba menafikan yang Hareez masih menyimpan perasaan terhadapnya tetapi sinar mata lelaki ini bagai menceritakan segalanya.
            “Lya?”
            “Ya, I sangat bahagia.” Spontan jawapan itu keluar dari bibir Lya. 
Benar.. dia cukup bahagia. Jika ada perkataan lain selain dari bahagia, dia ingin meminjam perkataan itu untuk menggambarkan rasa hatinya. Betapa dia cukup bahagia hidup bersama Zhafran.
            Hareez tarik nafas panjang. Entah kenapa dia masih ingin bertanyakan soalan itu sedang hakikat sebenarnya dia telah tahu. Melihat kemesraan dan keceriaan di wajah keduanya sudah cukup untuk memberitahu tentang bahagia yang berada di sekeliling mereka.
            Ah! Rasa hati ini perlu dibalut lagi dengan lapisan yang tebal-tebal supaya getarannya tidak mampu dikesan. Biarlah hanya dia yang merasai betapa dahsyatnya getaran yang melanda hatinya.
            Entah kenapa bila berdepan dengan Lya, jiwanya jadi melankolik begini. Dia memang tak suka dengan rasa yang sebegini.

Copyright : Hani Fazuha/Idea kreatif

Monday, 14 April 2014

YANG DIA PILIH - HANI FAZUHA






Prolog

LARI dari kenyataan bukan jalan penyelesaian tetapi itu yang Hareez lakukan sekarang. Duduk sendirian di pantai Cherating dengan harapan segala kesakitan yang bermukim di hati mampu dihalau pergi.
Harapannya, ketenangan akan ditemui di situ tetapi perkiraannya nyata silap. Usahkan sebuah ketenangan, hatinya sendiri yang telah hilang itu pun tidak mampu dia cari.
            “I minta maaf Reez. Keputusan ini I ambil bukan kerana marah tapi kerana cinta. Ya! I memang cintakan Zhafran.” Itulah pengakuan Lya yang telah berjaya merobek kejam sekeping hatinya.
            “Sejak dulu hinggalah ke saat ini dan InsyaAllah, kalau you tanya soalan yang sama selepas seribu tahun akan datang, jawapannya tetap sama, I tetap cintakan Zhafran.”          
Apa lagi yang boleh dia katakan selain dari cuba memujuk hati sendiri. Sudah puas dia berharap dan sudah puas juga dia berdoa tetapi Lya tetap jua memilih Zhafran. Dia terfikir sendiri, mungkinkah hatinya tidak cukup ikhlas sewaktu memanjat doa atau mungkin juga dia tidak cukup baik untuk TUHAN memakbulkan doanya?
Tetapi, dia ingin sentiasa bersangka baik terhadap YANG ESA. Siapa tahu kalau doa-doanya sedang dikumpul dan akan dimakbulkan di akhirat nanti? Mana tahu, pasangannya nanti adalah bidadari yang lebih hebat dari Lya?
            Ah! dia mengeluh lagi buat kesekian kalinya dan rasa sakit itu datang lagi mendera hatinya. Hari ini adalah hari di mana Lya akan sah menjadi milik Zhafran, adiknya sendiri dan sekaligus menutup terus peluang dia untuk memiliki Lya.
Lantaran itu, dia menjadikan kerja sebagai alasan untuk lari ke bumi Pahang ini dan saat ini, dia hanya duduk termenung di pantai Cherating menyaksikan ombak biru mencipta buih di tepi pantainya.
            “Bang, aku tak nak bermusuh dengan kau hanya kerana seorang perempuan.” Bicara Zhafran beberapa hari yang lepas berlegar di kepalanya.
            “Bercerita tentang Lya, semua perkara sudah tidak penting buat aku.” Hanya itu yang keluar dari bibirnya sebelum dia meninggalkan Zhafran yang terlopong memandang langkahnya.
            Bagaimana dia ingin memujuk hati sendiri agar melepaskan Lya tanpa sebarang bantahan? Bagaimana dia ingin menanam rasa tidak sukanya pada Lya sedang dari sudut mana sekalipun, hatinya tetap menyukai Lya?
            Sungguh.... dia sendiri tidak mengerti bagaimana Lya itu begitu mudah masuk ke hatinya dan mencipta satu rasa indah yang tidak pernah dia rasai selama ini.
Kalau nak dikira teman wanitanya, sepuluh jari kaki dan jari tangan pun belum tentu cukup malah dia juga pernah berkahwin. Tetapi, rasa indah  itu tak pernah muncul di hatinya.
            Pada dasarnya, Lya itu bukanlah perempuan yang boleh dikategorikan sebagai cantik bergaya seperti bekas isterinya tetapi cantiknya Lya itu adalah pada hati dan tingkahnya. Lya memang nampak kasar tapi dalam kasarnya ada kelembutan yang tersendiri. Sentiasa spontan dalam berbicara tapi ada kejujuran dari hatinya.

Copyright: Hani Fazuha/Idea kreatif