Sunday 5 January 2014

Titian Cinta : Bab 6-10

Bab 6 

“Apa semuanya tadi, Harris?” Serang ‘Aisy tatkala hanya mereka berdua saja yang berada di anjung rumah. Suasana malam yang dingin langsung tidak dapat menyejukkan hatinya yang panas dengan lakonan dan pembohongan Harris sewaktu di meja makan. Bertambah bengkak hatinya apabila Harris hanya membiarkan sepi pertanyaannya. Lelaki itu santai berpeluk tubuh sambil melemparkan senyuman segaris.

“Apa maksud sayang ni? Abang tak faham.” Akhirnya Harris membalas pertanyaan ‘Aisy dengan soalan.


“Tak perlu berlagak naif depan saya, Harris. Kenapa awak sanggup tipu mak dan ayah saya? Apa yang awak nak buktikan sebenarnya?” Dengus ‘Aisy. Keras intonasi suaranya bertubi-tubi melontarkan pertanyaan.

“Bila masa abang tipu mak dan ayah?” Harris mengangkatkan kedua belah keningnya. Makin sakit hati ‘Aisy melihat ketenangan yang ditunjukkan Harris.

“Habis tu masa makan malam tadi tu apa? Datang menjenguk saya ke London tiap-tiap bulan kononnya. Awak sengaja kan nak tunjuk baik depan mak dan ayah saya. Kononnya awaklah suami mithali yang begitu baik hati mengizinkan saya ke London. Itu tak termasuk lagi lakonan hebat awak masa kat airport tadi.” Bentak ‘Aisy menghitung satu persatu lakonan Harris yang menjengkelkannya. Segala ketidakpuasan hati yang disimpan dihambur keluar.

“Habis tu, sayang nak mak dan ayah tahu yang sayang tak pernah pun minta izin abang untuk ke London? Sayang nak mak dan ayah tahu yang sayang ke sana sebab membawa rajuk di hati? Begitu?”

Harris membalas kata-kata ‘Aisy. Senyuman nipis masih tersungging di bibirnya. Perlahan-lahan dia menghampiri tubuh ‘Aisy yang berdiri kaku di depannya.

“Itu kebenarannya bukan? Kenapa? Awak takut mak dan ayah tahu apa yang awak dah buat pada saya? Bimbang pekung di dada awak itu akan terbuka?” Sinis pertanyaan ‘Aisy menggambarkan api kemarahan yang sudah tidak mampu dibendung.

Senyuman di wajah Harris padam. Ketenangan yang cuba dipamerkan sedikit terusik. Dia menyabung pandang dengan anak mata ‘Aisy.

“Abang tak pernah takut dengan kebenaran. Abang bukan jenis manusia yang pandai lempar batu tapi sembunyi tangan.” Gumam Harris dalam kesabaran yang tersisa. Dia terdiam seketika sebelum senyumannya bertukar sinis.

“Tapi yang menghairankan abang, kenapa sayang sendiri yang tak berterus terang dengan mak dan ayah? Kenapa perlu mengelak setiap kali mak bertanya tentang kita? Sampai sekarang, banyak perkara tentang kita yang sayang sembunyikan dari pengetahuan mak dan ayah kan?”
‘Aisy terkedu dengan soalan Harris yang bertalu-talu menyerangnya. Sedar yang dirinya sudah mula kehilangan kata. Terperangkap dalam situasi yang dimulakannya sendiri. Dia mengalihkan pandangannya ke arah lain.

Sungguh dia tidak tergamak hendak mencalarkan maruah suaminya sendiri dengan menjaja kisah mereka kepada orang luar. Biarpun luka yang ditinggalkan Harris cukup dalam. Tiada guna dihebohkan masalah antara dia dan Harris hanya sekadar untuk berkongsi rasa. Simpati dan ratapan pilu tidak akan mengurangkan derita dan sengsara yang sarat ditanggung hatinya.
“Kenapa diam?” Gesa Harris masih menanti jawapan.

“Tak perlu nak putar belitkan keadaan. Persoalan yang kita bincang sekarang ni adalah tentang awak. Bukan saya!” Tekan ‘Aisy sedikit gelisah. Akalnya kematian idea untuk membalas.
Harris ketawa tipis. “Jangan mengelak, sayang. Kenapa tak nak jawab soalan abang? Atau sayang nak abang tolong jawabkan.”

Tubuh ‘Aisy makin didekati. Lembut pandangannya memanah ke dalam anak mata ‘Aisy. Melihat ‘Aisy yang sedang dihambat keresahan membuatkan Harris semakin yakin dengan perasaan isterinya.
 ‘Aisy makin tidak keruan. Ada getar yang bertunas di hatinya tatkala tubuh Harris hanya berada seinci saja daripadanya. Sehingga dia dapat merasakan kehangatan tubuh itu.
“Sia-sia saya bercakap dengan orang macam awak ni.” Tingkah ‘Aisy mahu menamatkan perbualan. Tidak betah untuk dia terus berlama. Bimbang dia yang akan kalah. Semakin tidak yakin dengan hatinya sendiri.

‘Aisy mula mengayun langkah apabila lengannya dipaut Harris tiba-tiba. Dia tersembam ke dada bidang lelaki itu. Bagaikan seperti ada aliran elektrik yang sedang mengalir saat lingkaran tangan Harris membawa tubuhnya erat ke dalam dakapan.

 “Sebenarnya sayang takut mak dan ayah membenci abang kalau mereka tahu perkara sebenar kan? Abang tahu sayang buat semua tu sebab sayang masih cintakan abang. Dalam hati sayang, masih ada rindu buat abang. Sayang cuma takut nak mengakui perasaan sayang pada abang. Sayang bimbang takut terluka lagi kan?” Bisik Harris romantis di cuping telinga ‘Aisy.

‘Aisy terkaku dalam pelukan Harris. Belaian lembut tangan Harris di belakang tubuhnya membuai perasaan. Matanya dipejamkan rapat menghayati keindahan sentuhan itu. Mindanya bagaikan dihipnosis. Lalu, tanpa sedar dia turut membalas pelukan itu. Benarkah segala tebakan Harris? Masih cintakah dia pada Harris? Masih berbaki kah rindunya buat lelaki itu?

“Sayang…berilah abang peluang untuk membetulkan kesilapan. Izinkanlah abang untuk rawat luka di hati sayang. Kita bina hidup baru, ya sayang?” Rayu Harris. Dia meleraikan pelukan. Redup renungannya menembusi sepasang anak mata ‘Aisy membuatkan wanita itu terpaku.

“Sungguh abang perlukan sayang. Hidup abang tak sempurna tanpa cinta sayang, kerana sayang adalah bidadari terindah dalam hidup abang.” Ungkap Harris sepenuh perasaan.

Elusan lembut tangan Harris di pipinya membuai perasaan. ‘Aisy turut mengusap tangan Harris yang sedang bermain di pipinya. Dia tenggelam dalam larutan mimpi yang indah. 

Namun bayangan mimpi indah berkecai tatkala matanya tertancap pada kesan parut lama di pergelangan tangan. Serta-merta rasa marah, benci dan dendam bertamu menguasai diri. Marah dengan dirinya sendiri kerana serapuh itu hatinya hampir tertewas dengan godaan Harris. Dia benci dengan kenangan silam yang teramat sukar untuk dipadamkan dari kotak ingatan. Dan kerana Harrislah dia menjadi pendendam. Dengan kasar tangan Harris ditepis kuat.

“Jangan terlalu mudah membuat kesimpulan, Harris. Perasaan saya pada awak dah lama mati. Diam saya bukan bererti cinta. Sepi saya bukan bermaksud rindu.” Keras suara ‘Aisy. Dadanya berombak deras, jelas menggambarkan rasa marah, benci dan dendam yang bercampur menjadi satu.
“Saya mungkin perempuan yang hina dan jijik di mata awak, tapi saya taklah begitu keji untuk mengadu domba kisah rumah tangga saya pada orang lain, walaupun orang itu adalah mak dan ayah saya sendiri. Saya bukan takut tapi saya perlu jaga aib rumah tangga saya. Penakut yang sebenarnya adalah awak, Harris. Awak pengecut. Takut nak mengakui kesilapan sendiri. Hipokrit!” Tuduh ‘Aisy pedas. Tanpa sedar dia telah melaharkan kata-kata yang cukup tajam. Cukup untuk mencabar kesabaran Harris.

“Baik.”  Riak wajah lelaki itu berubah tegang.

“Kalau macam tu, sekarang juga abang akan berterus terang pada mak dan ayah. Abang tak pernah berniat nak sembunyikan kesilapan abang. Abang tahu abang salah dan abang berhak dihukum. Andai kebencian mak dan ayah boleh buat sayang maafkan abang, abang rela.” Putus Harris sambil menarik tangan ‘Aisy membuatkan wanita itu terdorong ke depan.

“Awak nak buat apa ini? Nak bawak saya ke mana?” ‘Aisy cuba merentap pegangan Harris namun gagal. Sungguh dia terkejut dengan tindakan drastik Harris. Dalam terpaksa dia menuruti langkah Harris.

“Jumpa mak dan ayah. Kita berterus terang malam ini juga!” Ajak Harris serius.

‘Aisy terkedu. Dia mengetap bibir menyedari keterlanjurannya mencabar keegoan Harris. Semuanya didorong rasa marah dan dendam yang tidak pernah hilang. Namun dia langsung tidak menyangka Harris akan sebegitu nekad. Dalam hati dia mengutuk kebodohannya sendiri yang sering gagal mengawal emosi ketika bersama dengan Harris.

“Besok sajalah, Harris. Dah lewat malam ini. Mesti mak dan ayah dah tidur.” ‘Aisy memberi alasan. Suaranya mula mengendur.

No! Kita selesaikan malam ni juga.” Putus Harris masih bertegas. Biarlah malam itu menjadi penentu segala-galanya. Dia sudah tidak peduli apa yang akan terjadi.
Harris mengetuk pintu bilik tidur Haji Hilmi dan Hajah Maryam.

Sekali-sekala ‘Aisy mencuri pandang pada raut wajah Harris yang tegang. Tanpa sedar dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia resah dan gelisah.

“Ada apa Harris, ‘Aisy?” Hajah Maryam menyoal sebaik pintu bilik dibuka. Dipandangnya wajah menantu dan anak perempuannya silih berganti.

“Saya minta maaf ganggu mak tengah-tengah malam ini.” Sopan Harris memulakan bicara.
“Tak apa. Mak pun belum tidur lagi. Kenapa, Harris?” Hajah Maryam tersenyum kecil walaupun hatinya sedikit pelik melihatkan reaksi anak dan menantunya itu.

“Saya nak ..”
“Sebenarnya, mak. ’Aisy nak minta tolong mak masakkan gulai ayam kampung besok. Dah lama ‘Aisy tak makan. Rasa teringin sangat, mak.” Potong ‘Aisy cepat-cepat. Mujurlah otaknya pantas mencipta alasan. Pandangan tajam Harris tidak diendahkan. Hatinya tidak tega membiarkan Harris membuka rahsia rumah tangga mereka berdua. Andai satu rahsia yang terbongkar, pasti akan turut merungkaikan rantaian rahsia lain. Dia tidak mahu keadaan yang sudah keruh menjadi lebih rumit.
“Mak ingatkan apalah tadi. Sampaikan tak sempat nak tunggu besok. Kamu mengidam ke ‘Aisy?” Senyum simpul yang terukir di bibir Hajah Maryam membuatkan wajah ‘Aisy sedikit berubah merah.
“Tak..tak adalah, mak. ‘Aisy teringin sebab dah lama tak makan. Kat sana mana nak dapat ayam kampung ni. Kalau dapat cicah dengan sambal belacan pauh lagi sedap kan, mak.” ‘Aisy tertawa kecil di hujung katanya. Sememangnya dia bukanlah seorang pelakon yang baik. Namun, saat itu dia benar-benar berharap Hajah Maryam tidak perasan dengan helahnya.

“Yalah, nanti mak masakkan. Pagi besok mak suruh ayah kamu sembelih ayam. Kamu pula Harris, nak mak masakkan apa untuk besok?” Pertanyaan Hajah Maryam membuatkan Harris terpaksa melemparkan sengih.

“Saya tak kisah. Sebenarnya saya nak…”

“Sebenarnya mak, abang Harris ni malu nak beritahu mak. Dia nak minta mak buatkan jala emas. Selera besar betul abang Harris ini kan.” ‘Aisy menyampuk kata-kata Harris.
Hajah Maryam tergelak kecil. Macam-macam hal mereka berdua ini.

“Yalah, besok mak buatkan. Dah lewat ini, kenapa tak masuk tidur lagi?” Hajah Maryam mengerling jam di dinding. Jarum jam sudah menghampiri tengah malam. Pelik juga dia dengan telatah anak menantunya itu. Tengah-tengah malam sibuk buat permintaan fasal makanan.

“Kami masuk tidur dulu ye mak. Selamat malam. Assalamualaikum.” Ucap ‘Aisy tergesa-gesa. Dipimpinnya tangan Harris menuju ke bilik beradu mereka apabila menyedari lelaki itu masih teragak-agak.

“Dah, lepaskan tangan saya.” Tegur ‘Aisy sebaik mereka berdua berada di dalam bilik.
“Aik, siapa yang pegang siapa tadi?”

Riak pelik Harris membuatkan ‘Aisy tersipu saat menyedari jari-jemarinya yang sedang memaut kemas tangan Harris. Pantas tautan itu direnggangkan. Sengaja dia tidak mengendahkan pandangan tajam Harris. Sebaliknya, kakinya diatur ke bilik air. Belum sempat tombol pintu biliknya dipulas, Harris terlebih dulu menghalang.

“Kenapa tak benarkan abang berterus terang tadi?” Soal Harris tidak berpuas hati. Wajahnya tegang. Dia tidak mengerti apa sebenarnya yang diinginkan ‘Aisy. Kadang-kadang dia merasakan ‘Aisy seperti sengaja ingin menduga kesabarannya. Sengaja isterinya itu menuturkan kata-kata untuk membangkitkan kemarahannya. Sengaja hendak mencari pasal dengannya.

“Dahlah, Harris. Saya penat sangat. Saya nak tidur.” Ujar ‘Aisy ingin mengelak.
No. Sayang jawab dulu soalan abang. Kenapa sayang tak benarkan abang berterus terang dengan mak tadi? Sedangkan sayang juga yang beria-ia mencabar abang kan?” Desak Harris mengulangi pertanyaannya.

‘Aisy menghela nafas panjang. Dia mendengus kasar.

“Untuk apa, Harris? Semuanya dah berlaku. Buat masa sekarang, sama ada mak dan ayah tahu ataupun tak, keadaan tetap takkan berubah. Masalah antara kita, lebih baik kekal antara kita berdua sahaja. Kita selesaikan dengan cara baik. Bila semuanya dah selesai, saya pasti mak dan ayah akan mengerti.” Bela ‘Aisy mempertahankan tindakannya sebentar tadi.
 “Apa maksud sayang?”

“Awak tahu apa yang saya mahukan dari awak kan? Lebih baik kita berpisah dengan cara baik, Harris.” Balas ‘Aisy membuatkan Harris mengeluh berat.

“Kenapa setiap kali kita bercakap, akhirnya isu perpisahan juga yang sayang bangkitkan. Perkara yang paling abang tak suka dengar juga yang sayang suarakan. Sayang sengaja nak hukum abang kan? Sengaja nak buat abang marah dan benci pada sayang kan? Kenapa nak sukarkan lagi keadaan?” Keras nada suara Harris. Dadanya berombak menahan kesabaran yang dirasakan semakin menipis.
“Sebab saya tak boleh lupa apa yang awak dah buat pada saya. Setiap kali bersama awak, hati saya ni sakit. Sakit sangat. Awak mengingatkan saya pada saat saya kehilangan satu-satunya harta yang saya ada. Anugerah yang awak tak pernah hargai kehadirannya!”

Mata ‘Aisy mula digenangi mutiara jernih. Akhirnya dia tewas lagi dengan air matanya sendiri. Pantas langkahnya dihayun ke bilik air. Tidak mahu Harris menyaksikan ketewasannya.

‘Aisy terjelepok di atas lantai bilik air. Segala kesedihan dihamburkan. Pancuran air dibuka untuk mengelakkan tangisannya mengejutkan tidur ahli keluarga yang lain. Panggilan Harris yang sayup tenggelam timbul tidak meninggalkan kesan di hatinya. Hatinya sudah beku. Ingatannya menerawang ke malam itu. Malam yang telah meragut segala harapannya. Malam yang menyaksikan dia telah kehilangan harga diri sebagai seorang wanita, isteri dan ibu!


Bab 7


“Abang dah balik? Kenapa lewat? Banyak sangat kerja kat pejabat ya? ‘Aisy masak special untuk abang hari ini tau.” Nada suara ‘Aisy begitu ceria menyambut Harris. Lelah memasak dan penat menunggu kepulangan Harris bagaikan terubat tatkala melihat wajah tampan suaminya. Lagipun, dia sudah tidak sabar hendak berkongsi berita gembira dengan Harris.
Harris tidak membalas sapaan ‘Aisy. Dia hanya berdiri kaku sambil melemparkan pandangan yang cukup tajam pada ‘Aisy. Keceriaan yang terlakar di wajah isterinya langsung tidak dapat menenangkan rasa marah yang sedang membuak-buak di dalam jiwa.
“‘Emm.. abang mesti penat kan? Apa kata abang naik atas, mandi dan solat dulu. Sementara itu, boleh ‘Aisy panaskan lauk-lauk ni.” ‘Aisy menyambung kata. Lengan Harris dipaut mesra. Langsung tidak menyedari ketegangan di wajah Harris.
Harris meleraikan tangan ‘Aisy yang melingkar di lengannya. Tanpa suara dia meniti tangga menuju ke bilik tidurnya.
‘Aisy memerhatikan susuk tubuh Harris sehingga hilang dari pandangannya. Kemudian dia ke ruang dapur. Senyuman bahagia terukir di wajahnya. Perutnya yang kempis digosok perlahan sambil menunggu masakan dipanaskan di dalam microwave. Di dalam rahimnya kini, sedang tumbuh subur benih cinta dia dan Harris. Kehadiran zuriat yang hampir setahun dinanti. Mengharapkan berita itu akan mengembalikan sinar bahagia di dalam rumah tangga nya. Kehadiran zuriat yang diharap bakal mengikat kasih di antara dia dan Harris. Apatah lagi, sejak akhir-akhir ini dia perasan kedinginan dalam layanan Harris terhadapnya. Entah di mana silapnya dia sendiri tidak pasti.
‘Aisy memperkemaskan hiasan di atas meja makan sambil berlagu kecil. Kemudian, gambar imbasan ultrasound hasil pemeriksaan di klinik siang tadi diletakkan di atas pinggan kosong yang disediakan untuk Harris. Sengaja ingin mencipta kejutan. Tidak sabar untuk melihat reaksi suaminya. Gambar yang masih belum jelas bentuk janin itu dipandang dengan penuh rasa kasih.
Senyuman ‘Aisy semakin melebar tatkala kelibat Harris melangkah menuruni tangga. Pandangannya jatuh pada bagasi yang sedang dibimbit lelaki itu.
“Abang nak outstation ke?” Soal ‘Aisy. Senyumnya kendur. Sedikit terkilan kerana Harris langsung tidak memberitahunya. Nampaknya malam ini dia bakal sendirian lagi dalam rumah besar itu.
Harris tidak menjawab pertanyaan ‘Aisy. Dia kekal berdiri kaku di sisi meja makan sambil melemparkan sebuah renungan yang sarat dengan kebencian dan dendam. Lama dia membiarkan hanya kesepian yang mengisi ruang di antara mereka sehingga ‘Aisy mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Abang ada sesuatu nak tanya ‘Aisy.” Dingin intonasi suara Harris. Kedua-dua belah rahang milik lelaki itu bergerak-gerak. Tiada langsung kemesraan di wajah itu.
“Kalau ya pun, marilah kita makan dulu. Mesti abang dah lapar kan? Sambil makan nanti abang bolehlah tanya ‘Aisy. Lagipun ‘Aisy ada juga perkara nak beritahu abang.”
‘Aisy memujuk lembut. Senyuman tetap diukirkan buat Harris walaupun hatinya mula beriak tidak tenang. Dia cuba meneutralkan emosi Harris yang tidak berapa baik. Entah apa yang merasuk Harris, sejak akhir-akhir ini suaminya itu sering pulang ke rumah dengan wajah yang kelat.
“Jom lah, kita makan dulu ya.” ‘Aisy terus mengajak apabila Harris masih tidak berganjak. Dia melangkah menghampiri Harris. Lengan lelaki itu dipaut mesra namun ditepis kuat. Senyuman ‘Aisy mati.
“Aku tak ingin makan masakan perempuan sundal macam kau ni!” Kasar sekali bahasa yang keluar dari mulut Harris membuatkan ‘Aisy terpempan. Sudah hilang panggilan abang di bibir lelaki itu.
“Abang!...” ‘Aisy terkedu. Hatinya benar terpanah dengan gelaran yang diungkapkan Harris padanya. Sampai hati Harris. Air mata mula bergenang lebat di tubir mata.
“Tak usah kau nak berpura-pura depan aku, perempuan. Simpan saja air mata palsu kau tu. Dasar perempuan sial!”
Air mata ‘Aisy jatuh berguguran lebat membasahi pipi saat Harris menghamburkan sumpah seranah.
“Tergamak abang cakap macam tu pada ‘Aisy.” Sebak ‘Aisy dalam esakan. Cukup berkecil hati dengan kata cacian Harris. Apa salahnya sehingga selayaknya dia dihina dengan panggilan sebegitu.
“Memang itu sepatutnya panggilan untuk perempuan curang seperti kau ni.” Harris menengking kuat. Bagasi yang dipegangnya dihempaskan ke lantai. Meluahkan kemarahan yang tersimpan membeku sedari tadi.
“Curang? Apa..apa maksud abang?” Soal ‘Aisy tergagap-gagapl. Tersentak hatinya dengan tuduhan Harris. Dia mula menikus melihatkan wajah Harris yang sedang kemerahan menahan baran. Harris kerap kali bertindak di luar kawalan andai lelaki itu dirasuk marah.
“Kau tak perlu berlakon polos depan aku. Lakonan kau semuanya dah basi. Sekarang, aku nak kau jawab soalan aku. Siapa lelaki yang menyundal dengan kau ni?”
Beberapa keping gambar dilemparkan tepat ke muka ‘Aisy dan jatuh berselerakan di atas lantai.
‘Aisy jatuh terjelepok tatkala anak matanya menangkap dua tubuh manusia yang sedang beraksi panas dalam gambar pegun hitam putih yang diambil dari rakaman video CCTV. Jelas wajah wanita itu mirip sepertinya. Namun susuk tubuh lelaki yang sedang membelakangi kamera itu tidak dapat dikenal pasti. Yang jelas di belakang bahu kanan lelaki itu terdapat ukiran tatu berbentuk labah-labah.
“Ya Allah, ini fitnah abang. Ini bukan ‘Aisy..”
Terketar-ketar tangannya memegang beberapa keping gambar itu. Berat sekali tuduhan yang dilemparkan Harris. Demi Tuhan, memang bukan dirinya dalam gambar itu walaupun raut wajah perempuan itu mempunyai iras sepertinya. Tidak pernah terlintas biarpun sekali untuk dia mencurangi suami sendiri.
“Bukti dah ada depan mata pun kau masih nak menipu aku? Nak aku tunjukkan video dia baru kau nak mengaku? Cakap, siapa lelaki dalam gambar ini?” Jerkah Harris.
‘Aisy terperanjat sehingga kedua-dua belah bahunya terangkat. Terasa menggigil seluruh tubuh menahan gentar. Degup jantungnya usah dikata. Kencang memalu dada.
“Sumpah, abang. ‘Aisy tak buat semua ini. Percayalah cakap ‘Aisy. Mungkin kebetulan wajah kami berdua sama. Abang kan tahu dalam dunia ini ada tujuh orang yang mempunyai rupa yang seiras. Atau mungkin juga ini semua superimpose.”
Terketar-ketar ‘Aisy membela diri. Dia bangun lalu menghampiri Harris, cuba meraih kepercayaan lelaki itu meskipun peluangnya dirasakan tipis. Mengharapkan Harris dapat berfikir dengan lebih rasional.
“Kau ingat aku ini bodoh? Aku dah siasat video dan gambar ini. Semuanya memang original.”
Harris menunjal kuat kepala ‘Aisy sehingga mendorong tubuh itu sedikit ke belakang. Hampir seminggu Harris berurusan dengan temannya, Aidil yang kebetulan merupakan pakar pengimejan video. Remuk redam hatinya tatkala Aidil mengesahkan video yang diterimanya tidak mengandungi sebarang unsur pertindihan imej.
“Perempuan dalam gambar itu bukan ‘Aisy, abang. ‘Aisy tak pernah menduakan abang. Demi ALLAH, ‘Aisy setia pada abang. Ini semua fitnah. Fitnah, abang!”
Raungan ‘Aisy semakin hiba. Di kala hatinya berbunga dengan berita kehamilannya, dia terduga pula dengan fitnah kecurangannya. Dia bukanlah seorang perempuan yang sanggup menyerahkan kehormatan dirinya untuk lelaki lain yang langsung tidak berhak. Hidupnya masih bertunjangkan iman dan takwa.
“Pergi jahanam dengan kesetiaan kau. Lebih baik kau mengaku saja. Tak guna kau berdolak-dalih. Sekarang kau beritahu aku siapa lelaki dalam gambar tu?” Desak Harris sambil menggoncangkan tubuh ‘Aisy kasar. Penafian ‘Aisy langsung tidak terkesan di hatinya. Kesabarannya semakin menipis lalu lengan ‘Aisy dicengkam kuat. Hatinya cukup panas tatkala menyaksikan aksi mesra isteri sendiri dengan lelaki lain.
“’Aisy tak tahu abang. Tolonglah lepaskan ‘Aisy. Sakit abang..” Cengkaman kuat Harris di lengannya membuatkan ‘Aisy mengaduh.
“Dalam keadaan macam ini pun kau masih nak membela jantan keparat tu? Sayang benar kau pada dia, emmm?” Tuduh Harris, semakin hilang pertimbangan. Cemburunya membuak-buak pada lelaki yang tidak dikenali dalam gambar itu. Dia perlu tahu siapa lelaki itu. Ingin diajar secukupnya jantan keparat itu. Dendam nya menggunung tinggi.
“Betul, ‘Aisy tak tahu. Macam mana ‘Aisy nak tahu sedangkan bukan ‘Aisy yang bersama lelaki itu. Percayalah abang…” ‘Aisy berkeras menidakkan. Dia menggelengkan kepalanya laju.
Pang! Harris tidak dapat mengawal baran sehingga tanpa sedar penampar sulungnya singgah di pipi mulus ‘Aisy. Marahnya memuncak dengan setiap penafian yang tidak henti dilafazkan oleh bibir pucat ‘Aisy.
“ALLAH..” Tamparan yang kuat itu membuatkan ‘Aisy jatuh terjelepok di tepi meja. Cecair pekat mengalir di celah bibirnya.
Esakan ‘Aisy semakin kuat dan mendayu-dayu. Kesakitan akibat tamparan Harris tidaklah sehebat pedih yang merenggut tangkai hatinya. Selama ini Harris tidak pernah menyakiti nya, jauh sekali menghamburkan kata-kata penghinaan terhadapnya. Memang Harris seorang yang baran tetapi baran lelaki itu selama ini belum sampai mencederakan nya. Tetapi kini tergamak Harris menyakiti dirinya. Saat itu, hatinya luruh berkeping-keping.
“Sekarang kau masih tak nak mengaku lagi? Tak nak beritahu aku siapa lelaki keparat tu? Hah!” Jerit Harris seperti kerasukan. Dia melurut rambutnya kasar.
Gelengan dan kedegilan ‘Aisy untuk mengaku menambahkan bara di dadanya. Marah yang menguasai diri membuatkan dia hilang kawalan. Merasuk hati dan akal fikiran. Tanpa sedar kakinya menghadiahkan sepakan ke perut ‘Aisy. Benarlah kata orang, emosi yang dikuasai marah dan cemburu mampu membuatkan manusia hilang kewarasan akal dan pertimbangan.
“Abang, jangan buat ‘Aisy macam ini. Demi ALLAH, ‘Aisy tak kenal siapa lelaki itu.” Rintih ‘Aisy mengharapkan sedikit simpati daripada Harris.
“Hei, perempuan sundal. Kau jangan harap aku akan termakan dengan kata-kata penafian kau itu. Dasar perempuan tak tahu malu!”
Rayuan ‘Aisy langsung tidak berjaya menitipkan sedikit kepercayaan di hati Harris. Tubuh ‘Aisy terus disakiti tanpa sedikit pun rasa simpati. Dia benar-benar hanyut dengan bisikan halus di telinga yang menghasut untuk menjatuhkan hukuman ke tubuh ‘Aisy.
“Tolonglah jangan buat ‘Aisy macam ini. Kalau abang tak kasihankan ‘Aisy, tolonglah kasihankan anak kita dalam perut ‘Aisy ini. Jangan sakiti dia, abang.”
‘Aisy mengerang kesakitan. Tendangan padu kudrat seorang lelaki begitu menyenakkan perutnya. Dia meringkuk tubuhnya untuk menghalang tendangan Harris tepat mengenai perutnya. Bimbang dengan keselamatan kandungannya.
“Anak? Kau mengandung?”
Harris terpegun memandang ‘Aisy dengan riak tidak percaya.
“Ya, abang. ‘Aisy mengandung dua bulan. Kita bakal jadi papa dan mama.” Beritahu ‘Aisy mengangguk perlahan dalam linangan air mata. Dia tidak kisah andai hanya dirinya yang disakiti tetapi dia tidak sanggup jika kandungannya turut terancam.
“Dua bulan? Ini mesti hasil kerja kau menyundal dengan lelaki jahanam tu kan?” Tebak Harris penuh curiga.
“Demi Allah, ini anak abang. Anak hasil kasih sayang kita berdua.” Tutur ‘Aisy lirih. Tuduhan Harris benar-benar menikam hatinya. Sungguh pedih dan berbisa.
“Kau ingat aku akan percaya? Anak haram ini bukan anak aku!” Tengking Harris bagaikan menyentap jantung ‘Aisy.
“Abang! Jangan hina anak kita. Kehadiran dia adalah hasil hubungan yang suci, hubungan yang halal!” Lantang ‘Aisy bersuara mempertahankan zuriat yang sedang bercambah dalam rahimnya. Dia masih boleh bersabar saat dirinya difitnah dan dihina tetapi dia tidak sanggup menadah telinga dengan penghinaan terhadap zuriat yang dikandunginya.
“Ooo… sekarang kau nak aku jadi pak sanggup untuk anak haram kau ini? Walaupun dalam mimpi, kau jangan harap aku akan terima anak ini. Aku jijik dengan kau dan keturunan kau!” Herdik Harris kasar sambil memandang ‘Aisy dengan penuh kebencian.
“Abang…” Raungan ‘Aisy memenuhi segenap ruang rumah. Sakit hatinya seperti dihunus belati tajam.
 “Kau berhambus dari rumah aku. Pergilah cari jantan jahanam tu untuk jadi bapa anak haram kau ni!” Tiba-tiba Harris menarik tangan ‘Aisy menuju ke muka pintu rumah agam miliknya. Sempat dia mencapai bagasi yang terisi dengan pakaian milik ‘Aisy.
“Abang! Jangan layan ‘Aisy macam ni.” Rayu ‘Aisy dalam linangan air mata yang tidak berkesudahan.
Daun pintu dibuka. Tubuh ‘Aisy ditolak kasar bersama bagasi. Tolakan kuat itu membuatkan tubuh ‘Aisy jatuh tersungkur di atas lantai konkrit berjubin di koridor luar rumah.
 “Kau memang perempuan kotor. Kau buat nenek aku jatuh sayang pada kau sehingga nenek menjodohkan kita. Bila aku dah mula terima kau dalam hidup aku, ini yang kau hadiahkan pada aku?” Tempelak Harris langsung tidak mempedulikan rayuan ‘Aisy.
“’Aisy tak buat semua itu, abang. Percayalah cakap ‘Aisy..” ‘Aisy meratap pilu.
“Dah kira baik aku suruh kau keluar dari rumah aku. Kalau ikutkan hati, aku bunuh kau dan anak haram kau ini. Berhambus!”
“Abang.. ini anak abang…” Raung ‘Aisy hiba.
Penghinaan bertubi-tubi yang diterima ‘Aisy hanya mampu dibalas dengan tangisan. Tiada guna lagi dia menuturkan kata-kata penafian. Pasti tidak akan berbekas di hati suaminya.
“Esok aku akan selesaikan semuanya dengan peguam. Kau tunggu saja surat cerai daripada peguam aku.” Beritahu Harris dengan bengis seraya menghempaskan pintu kuat.
Pintu yang tertutup rapat itu dipandang dengan mata yang berkaca. Hanya kerana termakan dengan fitnah, Harris tega membuangnya. Malam itu dia telah kehilangan haknya sebagai seorang isteri. Dihalau keluar oleh suaminya sendiri dengan cara yang paling hina.
Perlahan-lahan ‘Aisy bangkit berdiri. Tubuhnya yang hanya berbalut kain kaftan nipis sedikit menggigil apabila disapa angin semilir yang dingin. Dibawa langkahnya keluar dari perkarangan banglo. Menyusur jalan dalam kegelapan malam ke suatu destinasi yang dia sendiri tidak pasti. Dia hanya sebatang kara di bumi Kuala Lumpur. Ke mana dia harus membawa diri?
Tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu laju mendekatinya yang sedang berdiri di bahu jalan. Suluhan lampu tinggi menyilaukan pandangan.  
“Ya Allah..” hanya kalimat suci itu yang meniti di bibirnya tatkala kereta itu meluru ke arahnya. Tubuhnya dirasakan melayang ke udara dan hempasan kuat di atas jalan raya memberikan kesan kesakitan yang sukar digambarkan. Pandangannya berbalam dan gelap.


bab 8


“Sayang…”
‘Aisy tersentak dengan sapaan Harris sebaik kakinya melangkah keluar dari bilik air. Tidak menyangka lelaki itu masih setia menunggunya di depan bilik air. Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia bertapa di situ. Malas dia hendak menghadap muka Harris. Namun, bimbang pula jika tindakannya itu bakal mengundang rasa pelik ahli keluarganya yang lain. Maklumlah, bilik air itu berada di luar bilik tidur dan dikongsi ramai.
Tanpa menghiraukan Harris, ‘Aisy berlalu ke bilik tidur. Badannya benar-benar penat. Hati dan perasaannya benar-benar jerih. Mata yang membengkak seakan tidak mampu dicelikkan lagi. Dia sudah tidak berminat untuk bertikam lidah dengan Harris.
“Kenapa ambil comforter tu?” Soal Harris apabila ‘Aisy mencapai sebiji bantal dan menghamparkan comforter di atas lantai. Sedari tadi dia hanya memerhatikan gerak-geri ‘Aisy. Hati lelakinya runtun melihat keadaan ‘Aisy yang tidak bermaya.
“Saya nak tidur.” Ringkas balasan ‘Aisy dengan suara yang sedikit serak.
“Kenapa nak tidur dekat bawah? Katil kan ada.” Bicara Harris lembut.
“Awak tidurlah atas katil. Saya dah biasa susah. Tidur atas lantai pun tak apa.” Ujar ‘Aisy sinis. Dia menepuk-nepuk bantal kekabu sebelum membaringkan kepalanya di situ. Badannya diiringkan membelakangi Harris, cuba mencari keselesaan dan menghilangkan lenguh di badan.
“Degil isteri abang ni.”
Serentak itu Harris mengambil bantal dan turut berbaring di sebelah ‘Aisy membuatkan wanita itu tidak jadi memejamkan mata.
“Awak buat apa baring kat sini?” Getus ‘Aisy. Serta-merta dia bingkas bangun dan duduk tercongok.
“Tidurlah.” Harris menjawab sepatah. Riak wajahnya selamba.
“Tempat awak kat sana, bukan kat atas lantai ini. Nanti habis lenguh tubuh awak, saya juga yang dipersalahkan.” Tukas ‘Aisy sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah katil.
“Abang akan tidur di mana isteri abang tidur. Kalau lenguh, kita lenguh sama-sama.”
‘Aisy mendengus geram dengan kedegilan Harris. Lantas, dia bangun dan menuju ke arah katil. Tubuhnya dihempaskan di atas tilam empuk. Selesa!
Harris turut bangkit dan baring di sebelahnya di atas katil. ‘Aisy memalingkan tubuhnya membelakangi Harris. Dia tahu dia tidak akan menang dengan kedegilan Harris. Lagipun badannya sudah tidak larat untuk berkalih tempat tidur lagi. Diletakkan bantal panjang sebagai benteng di antara dia dan Harris. Bimbang jika Harris cuba mengambil kesempatan seperti petang tadi.
“Jangan risau, abang akan berpegang pada janji abang.” Bisik Harris lembut memberikan jaminan. Begitu dekat di telinga ‘Aisy. Dia seakan mengerti gelodak perasaan yang sedang bermain di fikiran isterinya.
“Tidurlah, Harris. Saya penat sangat ni.” Lemah suara ‘Aisy sudah tidak mampu menahan rasa mengantuknya.
“Selamat malam, sayang.”
Cup! Ciuman Harris yang hinggap di pipi ‘Aisy membuatkan wanita itu membuka mata semula. Geram dengan kesempatan yang diambil Harris.
“Awak…”
‘Aisy tidak jadi menghamburkan amarah saat melihat Harris sudah memejamkan mata. Dengkuran halus menunjukkan yang Harris sudah terlena. Cepat betul dia ini tidur? ‘Aisy mengomel di dalam hatinya. Matanya yang kian memberat turut membawa dirinya ke alam separa sedar.

***

Azan subuh yang berkumandang mengejutkan ‘Aisy dari lena. Jika diikutkan rasa mengantuk, ingin terus disambung tidurnya yang dirasakan baru sekejap itu. Namun, tuntutannya sebagai hamba kepada sang Pencipta perlu ditunaikan. Tatkala ‘Aisy bangun dari perbaringannya, matanya bertembung dengan susuk tubuh Harris yang hanya bertuala. Rambut basah Harris menandakan lelaki itu baru selesai mandi.
“Sayang dah bangun? Pergilah mandi dulu. Abang tunggu sayang, kita solat jemaah sama-sama.”
Sapaan Harris mengejutkan ‘Aisy yang sedang terleka merenung suaminya. Pantas dia menghalakan pandangan ke arah lain.
“Tak salah kalau sayang nak tenung abang lama-lama. Abang kan hak sayang.” Usik Harris.
Rona wajah ‘Aisy berubah warna. Ditambah dengan gelagat Harris yang begitu selamba berpakaian di hadapannya membuatkan dia semakin tersipu.
“Saya mandi dulu.”
Tidak betah untuk terus berlama di situ, ‘Aisy pantas mencapai tuala dan baju bersih. Dia berlalu ke bilik air. Namun begitu, telinganya masih sempat menangkap tawa nipis Harris. Pasti lelaki itu sedang mentertawakannya.
Usai mandi dan berwuduk, Harris sedang menunggunya di tikar sejadah. Tanpa berlengah telekung sembahyang disarungkan ke tubuh. Pagi itu buat pertama kali ‘Aisy bersolat dengan berimamkan suaminya sendiri. Sebuah impian yang pernah disuarakannya di awal usia perkahwinan mereka. Sebuah angan-angan yang dulu hanya dipandang sepi oleh Harris. Tetapi di saat semuanya sudah terlambat, kenapa lelaki ini mula berubah?
Selesai menunaikan solat, Harris memimpin bacaan wirid. Saat Harris menadahkan kedua belah tangannya untuk memanjatkan doa, ada satu perasaan halus mula merantai hati ‘Aisy. Sebuah perasaan indah dan bahagia. Namun, cepat-cepat dia mengusir perasaan yang bertamu itu. Penghayatan dipusatkan pada doa yang dibaca Harris.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Indahkan lah rumah tangga kami dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci. Suburkan lah kami dengan keturunan yang membesarkan asma-Mu. Penuhi kami dengan amal soleh yang Engkau redai. Jadikan kami teladan yang baik bagi manusia.” Mendayu suara Harris melafazkan bait-bait ayat yang penuh pengharapan. Menjentik rasa sayu di hati ‘Aisy.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Damaikan lah pertengkaran di antara kami, tautkan hati kami dan tunjukkan kepada kami jalan-jalan yang benar. Engkau limpahkan lah kami dengan kesabaran yang tiada terbatas. Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya. Jauhkan kami dari kejelikan yang tampak dan tersembunyi.” Harris berjeda seketika menahan sebak. Satu persatu kesilapan yang pernah dilakukannya terlakar di ruang mata.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Berkatilah pendengaran kami, lindungi lah penglihatan kami, peliharalah lidah kami, kuatkan lah hati kami dan Engkau ampuni lah kami. Sesungguhnya, Engkau maha pengampun lagi maha penyayang. Amin..”
Tatkala mengaminkan bait-bait doa itu, ‘Aisy merasa damai yang cukup luar biasa menjengah di jiwanya. Huluran salam Harris disambut biarpun dia sedikit teragak-agak dan kekok. Perlahan-lahan tangan kanan Harris dicium. Dapat dirasakan tangan kiri Harris mengusap lembut kepalanya dan sebuah kucupan hangat singgah di ubun-ubun nya.
‘Aisy memanggung kepala. Pandangan matanya bersabung dengan anak mata hitam Harris. Saat bibir Harris jatuh di dahinya, dia memejamkan mata membiarkan. Mengundang getaran yang cukup indah di jiwa. Sudah lama dia tidak merasai perasaan indah begini. Rasa bahagia di kala hati sarat dengan cinta dan rindu yang menggebu. Dan kini rasa itu hadir lagi.
Tetapi sayang. Hadirnya sudah terlewat. Di kala dia sudah tidak mampu melakukan apa-apa. Hanya mampu memendamkan rasa itu diam-diam di dasar hatinya. Yang masih tersisa hanyalah kenangan manis saat bahagia yang pernah dikecapi bersama Harris biarpun hanya seketika cuma.
“Sayang, abang nak cakap sesuatu dengan sayang, boleh?” Serak suara Harris memulakan bicara.
 ‘Aisy membuka mata. Redup renungan Harris yang menjamah setiap inci wajahnya bagaikan memukau dirinya. Dia mengangguk perlahan.
Harris menghela nafas yang panjang. Dia berjeda seketika menyusun patah perkataan yang sesuai untuk dituturkan. “Semalam abang terlalu mendesak sayang. Abang minta maaf.”
Harris mencapai tangan ‘Aisy dan dibawa kemas ke dalam genggamannya. Bebola matanya yang berkaca menari-nari di atas wajah ‘Aisy. Kesal kerana terlalu terburu-buru mengikut perasaannya sendiri. Tindakan yang hampir membunuh peluangnya untuk meraih kembali kasih si isteri.
“Abang minta maaf dengan apa yang dah berlaku selama ini. Jujur dari lubuk hati abang yang paling dalam abang sangat menyesal. Sangat sesal dengan setiap kekhilafan abang. Empat tahun abang hidup dengan rasa bersalah. And everyday this guilt keeps hurting me more and more.” Ucap Harris lirih. Tangan ‘Aisy dibawa ke dadanya. Mengharapkan ‘Aisy dapat mendengar kesakitan yang sarat ditanggung selama ini dalam setiap degupan jantungnya.
‘Aisy terkesima. Pandangannya dijatuhkan ke bawah. Bibirnya langsung tidak mampu mengungkapkan sebarang kata. Sungguh hatinya tersentuh. Bersaksikan tikar sejadah ini, dia tidak mampu lagi menidakkan keikhlasan hati Harris. Saat ini, hati dan akalnya bertindak seiring dalam menilai kejujuran Harris.
Harris semakin dihimpit rasa bersalah dengan kebisuan ‘Aisy. Dagu ‘Aisy disentuh dan diangkatkan sedikit ke atas. Matanya tepat memanah ke dalam anak mata coklat ‘Aisy.
“Abang tahu penyesalan abang tak mungkin dapat mengembalikan anak kita. Seribu kata maaf yang terucap tak akan dapat membetulkan kesilapan yang telah abang lakukan. Abang sedar sikap abang selama ini buat sayang hidup menderita. Sehingga meninggalkan luka yang cukup dalam di hati isteri abang ini.” Bicara Harris terhenti. Dia menelan liurnya pahit sebelum kembali menyambung kata.
“Tapi abang mohon pada sayang. Tolong benarkan abang merawat luka itu. Beri abang peluang untuk tebus kesilapan abang. Abang akan bahagiakan sayang sehingga nafas abang terhenti.”
Janji Harris dengan penuh harapan. Dia bertekad untuk memadamkan kelukaan dan kedukaan yang pernah terlakar dalam coretan sejarah hidup ‘Aisy. Dia perlukan kesudian ‘Aisy untuk membuktikan tekadnya itu.
“Saya..saya..”
‘Aisy kematian kata. Dia mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tidak sanggup untuk terus menatap mata bening milik Harris. Separuh hatinya meronta untuk memberi peluang kepada Harris tetapi separuh hatinya lagi menolak. Ada sesuatu yang  menyekat. Sesuatu yang dia langsung tiada daya untuk menghalang.
“Saya tak mampu, Harris.” Gumam ‘Aisy. Kepalanya digelengkan perlahan. Maafkan saya, Harris. Bisik hatinya pedih.
Harris mengeluh berat. Ada rasa perit yang terpahat di hati saat menerima penolakan ‘Aisy.
“Sayang, tiada ruang langsung ke di hati sayang untuk maafkan abang? Abang tak kisah kalau sayang perlukan lebih masa. Ambillah selama mana pun masa yang sayang perlukan. Abang sanggup tunggu sampai saat itu tiba.” Kesungguhan Harris membuatkan hati ‘Aisy semakin terusik.
“Tak perlu, Harris. Tak ada gunanya awak buang masa menunggu saya. Semuanya dah terlambat.” Bantah ‘Aisy pilu.
Sengaja dia menarik kasar tangannya yang berada dalam genggaman Harris. Mengharapkan tindakannya itu mampu menguatkan hatinya yang semakin rapuh. Dia perlu bertahan dan harus kuat kerana kata-kata yang bakal dilafazkan bibirnya bakal mengundang luka di hatinya sendiri.
“Terimalah hakikat yang kita tak berjodoh untuk bersama. Perpi...” Bicara ‘Aisy terhenti tatkala jari telunjuk Harris melekap di bibirnya.
“Tak, sayang. Tak mungkin.” Harris menggeleng laju memangkas kata-kata ‘Aisy. Tidak rela perkataan keramat itu sekali lagi meniti di bibir ‘Aisy.
“Abang tahu…mungkin sekarang ni hati sayang masih sukar nak terima abang kembali. Abang takkan paksa sayang untuk itu. Cuma satu yang abang pinta. Tolong jangan sebut tentang perpisahan. Hati abang ini sakit setiap kali mendengar perkataan itu. Bagai disiat-siat dada ini. Janji dengan abang, ya sayang.” Rayu Harris. Dia kembali menggenggam tangan ‘Aisy lalu dibawa ke bibirnya. Setitik air mata lelakinya jatuh membasahi belakang tangan ‘Aisy.
‘Aisy terkedu. Sekali lagi dia hilang bicara. Titisan mutiara jernih yang mengalir di pipi Harris menjadikan hatinya berbelah bahagi. Di antara kehendak hati dan tuntutan keadaan membuatkan jiwanya semakin tidak keruan. Tanpa sedar, dia membiarkan pandangan matanya berbicara dalam linangan air mata.
“Janji dengan abang ya, sayang.” Ujar Harris penuh mengharap. Berkali-kali tangan ‘Aisy yang berada di dalam genggamannya dikucup lembut.
‘Aisy memejamkan matanya. Kesungguhan Harris benar-benar melemaskannya. Benar-benar meletaknya dalam keadaan serba salah. Hakikatnya, dia tidak sanggup memberi Harris harapan. Harapan untuk menggarap impian yang bakal kecundang kesudahannya.
Seteguh mana pun keikhlasan kasih sayang Harris padanya, tidak mampu menjadikan dia seorang isteri yang sempurna. Dia sudah lama hilang kesempurnaan itu. Pasti andai dia kembali bersama Harris, terlalu banyak liku yang akan ditempuh. Terlalu banyak hati yang bakal disakiti. ‘Aisy menghela nafasnya berat.
“Mungkin suatu hari nanti hati saya yang retak ini akan bercantum semula. Mungkin suatu masa nanti jiwa saya yang remuk ini akan sembuh kembali. Tapi, buat masa ini, permintaan awak tu terlalu tinggi untuk saya tunaikan, Harris.” Tukas ‘Aisy pasrah. Hakikatnya, dia tidak mungkin akan kembali untuk hidup bersama Harris. Buat apa diteruskan andai hanya kecewa dan sengsara yang tinggal kesudahannya.
“Tapi kalau dalam tempoh itu awak bertemu dengan seorang perempuan yang berjaya mengisi kekosongan hati awak, saya akan mengundur diri dengan rela hati.” Sambung ‘Aisy. Kepiluan yang terasa perlu ditelan biarpun payah.
“Takkan ada perempuan lain dalam hidup abang melainkan sayang. Hanya sayang isteri abang dunia dan akhirat.” Tingkah Harris serius dan yakin.
“Dengan izin Allah, Harris. Semuanya di bawah ketentuan-Nya.” Balas ‘Aisy.
“Ya, sayang. Dengan izin-Nya, tapi kita dituntut untuk berusaha kan? Kita sama-sama usaha ya, sayang..” Tulus pengharapan yang diungkapkan Harris
‘Aisy terkedu. Kesungguhan Harris sering kali membuatnya kehilangan kata. Dalam diam sebuah keluhan berat dilepaskan.


bab 9


‘Aisy membaringkan tubuhnya di atas sofa panjang yang terletak di sudut ruang tamu rumah sewanya. Melepaskan lelah setelah hampir separuh hari dia mengerah keringat mengemas barang-barang yang telah dibawa pulang dari London melalui kapal laut. Hari minggu beginilah satu-satunya peluang yang dia ada untuk menyelesaikan kerja rumah yang sering kali tertangguh dek kesibukan kerja.

Sudah hampir sebulan ‘Aisy kembali bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia. Sejak itu, dia kembali mula merasai kesibukan tugas sebagai seorang pensyarah. Beban tugas mengajar dan membimbing pelajar sering kali membuatkan dia tidak menang tangan.

“Assalamualaikum…” Suara perempuan lembut menyapa gegendang telinga ‘Aisy. Seketika kemudian, pintu gril dibuka dari luar. Terpacul seorang gadis manis bertudung labuh sedang melemparkan senyuman mesra ke arahnya.

“Waalaikumussalam. Baru habis kelas ke, Feeza?” Soal ‘Aisy berbasa-basi sambil turut mengukirkan senyuman nipis.

Hafeeza Maisara merupakan teman serumahnya yang baru. Sebelum dia masuk menyewa di situ, rumah itu didiami Hafeeza dan Sakeena. Kebetulan, rumah teres dua tingkat itu masih mempunyai dua bilik kosong, jadi Sakeena menawarkannya untuk tinggal bersama.   

“Ha’ah. Hari ini marathon tiga jam kuliah.” Hafeeza melabuhkan duduk di atas sofa.
“Awak tak keluar jalan-jalan ke hujung-hujung minggu ni?” Soal Hafeeza lembut menyambung bicara. Biarpun kelihatan sedikit penat, namun bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Tenang sekali. Sesuai dengan jawatannya sebagai pensyarah agama di Fakulti Pengajian Islam.
“Tak. Saya duk mengemas barang-barang yang baru sampai dari UK tu.” Beritahu ‘Aisy.
“Minta maaf ye, saya tak sempat nak tolong ‘Aisy kemas barang.” Ucap Hafeeza serba salah.
“Tak ada apalah. Saya faham awak ada kerja.” Balas ‘Aisy sambil menggelengkan kepalanya tanda tidak kisah. Pagi tadi, Hafeeza ada memberitahunya yang dia mengadakan kelas ganti untuk para pelajarnya. Begitulah tugas sebagai seorang pensyarah, kadang-kadang hari minggu terpaksa dikorbankan demi untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Tambahan pula, musim peperiksaan akhir sudah hampir tiba.

“Lagipun, tak adalah banyak sangat yang nak kena kemas. Saya cuma keluarkan barang yang nak digunakan dulu. Yang lain, saya biarkan saja dalam kotak, letak dalam stor.” Sambung ‘Aisy tidak mahu Hafeeza terus dihambat rasa bersalah.

Dalam diam ‘Aisy mengagumi keperibadian Hafeeza yang cukup tinggi dengan budi bahasa. Seandainya dia memiliki abang, ingin sekali dia menyunting gadis itu menjadi kakak iparnya. Emaknya di kampung pasti bangga dapat bermenantukan gadis yang tinggi ilmu agama ini.
“Sakeena mana?” Hafeeza bertanya sebaik menyedari kelibat temannya tiada di rumah. Jika tidak pasti riuh rumah itu dengan mulut murai Sakeena.

“Hari-hari minggu ni mana lagi kalau tak keluar dating dengan tunang dia.” Beritahu ‘Aisy. Dalam diam dia tumpang gembira melihat kebahagiaan yang sedang dikecapi Sakeena.
“Emm..mesti banyak persiapan yang nak dibuat tu. Tak lama lagi merasalah kita makan nasi minyak Sakeena tu ye.” Ujar Hafeeza dengan bibir yang tidak lekang dengan senyuman. Hai.. gadis ini murah betul dengan senyuman.

Turn Feeza bila pula?” Giat ‘Aisy lebih berniat untuk mengusik.
“Saya ini manalah ada calon, ‘Aisy” Tutur Hafeeza merendah diri.
“Gadis cantik macam Feeza ni takkan tak ada calon. Tak percayalah saya.”
“Betul.” Balas Hafeeza cuba meyakinkan.
“Atau Feeza ini memilih sangat kot. Entah-entah berderet ustaz-ustaz kat luar sana yang tengah makan hati berulam jantung tak?” Usikan ‘Aisy mengundang tawa kecil Hafeeza.
“Belum sampai jodoh lagi agaknya.” Getus gadis itu tersipu malu.
“’Aisy pula macam mana? Hari ini tak keluar dengan buah hati ke?” Serkap Hafeeza membalas usikan ‘Aisy.

“Buah hati?”

Entah kenapa wajah Harris terbayang di ruang matanya. Sudah hampir sebulan dia tidak berhubung dengan lelaki itu. Sebaik mereka kembali ke Kuala Lumpur, sengaja dia mengelak daripada menghubungi Harris. Pesanan Harris untuk mendapatkan nombor telefon bimbitnya sebaik dia mendaftarkan talian telefon tidak diendahkan. Biarpun kadang-kadang ada rasa rindu yang menggebu di hati. Ya…dia sedar sejak kejadian di Subuh hari itu, hatinya kembali menyulam rindu buat lelaki itu.

“Assalamualaikum..” Lamunan pendek ‘Aisy terpangkas sebaik satu suara garau memberi salam di luar rumah. Suara itu memang cukup dikenalinya.
Hafeeza menjawab salam dan menjengah untuk melihat tetamu yang datang.
“Ya, cari siapa?” Soal Hafeeza. Kelibat lelaki tampan yang berpakaian kemas di hadapannya dipandang sekilas.

“Maaf mengganggu. Saya Umayr Harris, suami ‘Aisy. Isteri saya ada?” Tanpa berlengah Harris memperkenalkan diri dan berterus-terang tentang tujuan kedatangannya.
Hafeeza sedikit tersentak. Tidak menyangka wanita yang telah hampir sebulan menjadi teman serumahnya itu sudah mendirikan rumah tangga. Pelik apabila ‘Aisy tidak pernah menceritakan status dirinya yang sebenar. Sakeena juga tidak pernah membuka mulut memaklumkan padanya. Tetapi silapnya juga kerana dia sendiri tidak pernah bertanya.

“Oh..aa..ada..ada.. Sekejap ye.” Tersekat-sekat Hafeeza menjawab pertanyaan Harris. Mujurlah dia cepat tersedar dari terus dihambat rasa terkejut. Sopan dia meminta Harris untuk menunggu. Lelaki itu hanya mengangguk sambil tersenyum nipis.

“Aisy, suami awak datang. Err..nak saya ajak dia masuk ke?” Tanya Hafeeza teragak-agak apabila dia melihat wajah ‘Aisy telah berubah riak.

“Err…tak payah. Sekejap lagi saya keluar jumpa dia.” Laju ‘Aisy menggelengkan kepalanya.
 “Thanks, Feeza.” Ucap ‘Aisy berbahasa sebelum mengorak langkah ke tingkat atas untuk mendapatkan kain tudung. Timbul tanda tanya di benaknya bagaimana Harris tahu tempat tinggalnya.
Hafeeza hanya menganggukkan perlahan sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik tidurnya. Sengaja memberikan privasi kepada ‘Aisy dan Harris.

***

“Macam mana awak tahu saya tinggal kat sini?” Serang ‘Aisy  sebaik dia menghampiri tubuh Harris yang sedang membelakangkannya. Baru sahaja fikirannya terlintas tentang lelaki itu. Terus Harris muncul di rumah sewanya.

Harris memalingkan tubuh menentangi ‘Aisy. Dia tidak terus menjawab. Sebaliknya hanya anak matanya sahaja yang merenung tajam ke arah ‘Aisy. Lama mereka dalam keadaan begitu sehingga membuatkan ‘Aisy merengus geram.

“Ada hal apa awak datang ke sini?” ‘Aisy bertanya lagi dengan mengeraskan sedikit suaranya setelah soalan pertamanya hanya berlalu sepi tanpa jawapan.

Harris mengeluh lemah.

“Abang ada hal nak bincang dengan sayang. Tapi bukan dekat sini. Kita keluar.” Cadang Harris perlahan.

“Kita bincang kat sini saja. Saya malas nak keluar petang-petang macam ni.” Tolak ‘Aisy dengan alasan mudah. Dia tidak mahu wujud sebarang ruang yang bisa mencambahkan kemesraan antaranya dan Harris.

No! Abang nak sayang ikut abang.” Tekan Harris sedikit keras namun masih mengawal volum suaranya.

“Awak tak boleh paksa saya, Harris.” Balas ‘Aisy turut bertegas. Bengang dengan sikap Harris yang agak mendesak. Entah mana pergi janji yang telah dilafazkan lelaki itu tempoh hari. Beria-ia nak berikan dia masa kononnya.

I’m your husband, sayang. Perintah seorang suami selagi tak melanggar hukum agama wajib ditaati isteri kan? Takkan sayang nak kutip dosa free..” Sela Harris sarkastik.
‘Aisy terkedu.  Sedar yang dia tidak akan menang dengan Harris.
“Errr..saya penatlah, Harris.” Bantah ‘Aisy lemah.

“Jangan sampai abang dukung sayang ke kereta. Sayang nak semua jiran-jiran dekat sini tengok free show, emm?” Ugut Harris apabila melihat ‘Aisy seolah-olah bermain tarik tali dengannya.
‘Aisy menelan liur. Melihat raut wajah Harris yang serius, dia pasti Harris bakal memaknakan kata-katanya andai dia terus berdegil. Bijak Harris memerangkapnya. Nampaknya dia tiada pilihan lain.
“Kejap saya bersiap.” Keluh ‘Aisy beralah dalam paksa. Wajah yang kelat dipamerkan tanda protes terang-terangan.

“Tak payah.” Tegah Harris pendek mematikan langkah ‘Aisy yang mahu bergerak ke dalam rumah.
“Habis tu takkan saya nak keluar dengan t-shirt lengan pendek dan seluar slack ni je? Awak nak tanggung dosa saya ke?” Gumam ‘Aisy sinis.

“Okay, you have three minutes.” Gesa Harris sambil mengangkat tegak tiga batang jarinya.
Sikap diktator Harris membuatkan ‘Aisy mengeluh. “Tapi…”
Three minutes atau ’Aisy nak abang dukung?” Pangkas Harris seraya bergerak ke arah ‘Aisy. Pinggang isterinya dipeluk.

“Yalah, yalah..” ‘Aisy mendengus geram. Sekali lagi dia terpaksa akur dengan arahan Harris. Dia menapak masuk ke dalam rumah.

“Tiga minit? Dia ingat aku ini skuad tentera ke apa? Bagi arahan dah serupa ketua batalion negara.” Mulutnya mengomel sambil mendaki anak tangga satu persatu menuju ke kamar tidur.
‘Aisy bersiap seringkas mungkin. Apa yang penting, auratnya ditutup selengkapnya seperti yang disyariatkan. Sebelum keluar, dia sempat menitipkan pesan pada Hafeeza. Bimbang jika kehilangannya mengundang kerisauan teman-teman serumah.
“Dah lima minit, sayang. You are late.” Ujar Harris seraya menunjuk ke arah jam di pergelangan tangannya.

‘Aisy mengerling tajam ke arah Harris. Geram dengan teguran lelaki itu. Sudahlah rasa geramnya terhadap arahan-paksa-rela Harris masih belum hilang. Sengaja dia lambat-lambat mengunci pintu dan gril rumah. Dengan langkah malas, dia menuju ke arah kereta Audi S8 milik Harris.
“Cepat masuk.” Gesa Harris separuh sabar. Pintu kereta pada bahagian penumpang dibuka luas.  
‘Aisy melangkah masuk ke dalam kereta dengan perasaan yang dongkol. Dengan kasar, dia melilitkan tali pinggang keselamatan ke tubuhnya. Kalaulah dapat diukur kesabarannya, mungkin sudah senipis kulit bawang.

Cup!

‘Aisy tergamam apabila tidak semena-mena Harris menghadiahkan ciuman di pipi kirinya. Bulat matanya memandang Harris. Tanpa sedar tangannya melekap pada bahagian pipi yang baru disentuh bibir sensual Harris.

“Itu sebagai denda sebab sayang lambat dua minit tadi.” Beritahu Harris selamba sebelum menutup pintu kereta.

‘Aisy merengus geram. Dia tahu Harris sengaja mengambil kesempatan ke atas dirinya. Inilah yang dikatakan mengambil kesempatan dalam kesempitan.
Suasana sepi menemani perjalanan mereka. Masing-masing memilih untuk tidak bersuara dan tenggelam dalam fikiran masing-masing. Radio yang tidak terpasang makin membuatkan keadaan sunyi.

‘Aisy melabuhkan pandangannya ke luar tingkap kereta sambil melayan perasaan yang sedang terbuku. Geram dengan kuasa veto yang digunakan Harris. Dia tidak suka dipaksa melakukan sesuatu di luar kehendaknya. Namun kerana masih tersisa rasa hormat terhadap ikatan yang masih mengikatnya dan Harris, dia terpaksa menurut. Apatah lagi dengan ugutan gila suaminya itu membuatkan dia langsung tidak mempunyai pilihan.

Harris hanya membatu sambil menekan pedal minyak kereta. Matanya tunak memerhati jalan raya. Rasa sebal sarat bersarang di hati. Dia terkilan dengan tindakan ‘Aisy yang tiada langsung inisiatif untuk menghubunginya. Sebulan dia tidak tentu arah menunggu panggilan telefon daripada ‘Aisy. Setiap kali nombor asing yang muncul di skrin telefon bimbitnya, hatinya berbunga mengharapkan panggilan itu adalah daripada isterinya. Namun setiap kali itulah, dia hampa. Dia ibarat seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Akhirnya, dia bertekad untuk menjejaki ‘Aisy di tempat kerja namun apa yang disajikan menjentik rasa cemburu di hati. Bertambah sakit hatinya apabila terpandangkan ‘Aisy yang sedang berbual mesra dengan seorang lelaki petang semalam.

“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Pertanyaan ‘Aisy memecah kesunyian tatkala Harris membelokkan keretanya masuk ke kawasan perumahan mewah di Lake Villas Bangi.
“Rumah kita.” Jawapan Harris membuatkan ‘Aisy memandangnya dengan mata yang membulat.
“Rru..rumah?” Suaranya bernada resah.
“Yup, rumah baru kita.”
“Nak buat apa pergi rumah awak?”

Saat pertanyaan itu keluar dari bibir merah ‘Aisy, kereta yang dipandu Harris memasuki perkarangan rumah banglo mewah dua setengah tingkat. Kereta diparkir di bawah garaj yang dibina secara berasingan pada bahagian kanan rumah. Enjin keretanya dimatikan.
“Kita dah sampai. Jom masuk.”

Harris mengajak selamba tanpa mempedulikan pertanyaan ‘Aisy. Dia mengerling sekilas ke arah isterinya yang masih kaku tanpa sebarang tanda untuk keluar dari kereta.
“Saya tak nak.” Tolak ‘Aisy. Sungguh dia tidak sanggup berdua-duaan di dalam rumah itu bersama Harris. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi apatah lagi dirinya sememangnya halal buat Harris. Biarpun Harris pernah melafazkan janji tidak mahu memaksanya tetapi bolehkah dia mempercayai janji seorang lelaki?

“Jangan degil. We need privacy and this is the best place to talk.” Pujuk Harris berdiplomasi.
No! Kita bincang dalam kereta saja.” ‘Aisy berkeras.
Harris mengeluh berat. Dia melurut rambutnya ke belakang. Kedegilan ‘Aisy mencabar kesabarannya. 

“Baik. Abang tak kisah kalau terpaksa dukung sayang.”
‘Aisy mencebikkan bibir. Kali ini dia tidak peduli dengan ugutan Harris. Dia tidak akan mengalah lagi. Paksaan demi paksaan oleh Harris membuat hatinya bertambah jengkel.
“Bincang di sini atau hantar saya balik.” Tegas ‘Aisy memberikan Harris dua pilihan.
“Sayang jangan menyesal.”

Sabar Harris semakin menipis. Dia keluar dari perut kereta dan bergerak ke bahagian tempat duduk penumpang. Pintu kereta dibuka dengan kasar. Tubuhnya dirapatkan mendekati ‘Aisy untuk membuka tali pinggang keledar yang dipakai ‘Aisy.
Pantas tangan ‘Aisy memegang kuat dan mengemaskan tali pinggang keledar yang melilit tubuhnya untuk menghalang tindakan Harris.

Tindakan melawan ‘Aisy membuatkan Harris semakin hilang sabar. Kedua-dua belah tangannya menyentuh pipi gebu ‘Aisy dan tidak semena-mena dia memagut kemas bibir isterinya.
‘Aisy membulatkan mata dan spontan tangannya menolak dada Harris. Serentak itu Harris berjaya meloloskan ‘Aisy daripada lilitan tali pinggang keledar. Tubuh ‘Aisy dicempung dengan mudah.  
“Harris! Lepaskan saya! Lepaskan!” Rontaan ‘Aisy langsung tidak berjaya menghalang tindakan Harris. Apalah sangat kudrat seorang wanita lemah sepertinya.

 Harris hanya membiarkan tumbukan yang bertubi-tubi singgah di dada bidangnya. Langkah diatur mendaki satu-persatu anak tangga untuk menuju ke kamar tidurnya. Dengan mudah dia menghempaskan tubuh ‘Aisy ke atas tilam empuk.

“Susah sangat ke sayang nak dengar cakap abang walaupun sekali?” Soal Harris keras. Tubuh ‘Aisy dihempas ke atas tilam. Matanya mencerlung tajam isterinya. Dadanya turun naik menahan marah.
‘Aisy membetulkan duduk. Dengan berani dia membalas pandangan Harris. “Apa yang awak nak sebenarnya?”

Harris tidak menjawab pertanyaan ‘Aisy. Sebaliknya dia membawa tubuhnya menghadap tingkap yang terbuka luas. Nafasnya ditarik dalam dan dihela perlahan. Dia perlu menenangkan diri. Bimbang dia akan hilang kawalan andai rasa amarah dibiarkan terus menguasai diri.

“Kenapa awak bawa saya ke sini? Apa tujuan awak sebenarnya?” ‘Aisy mengeraskan suara mengulangi pertanyaannya. Biarpun ada getar di hujung kata-katanya. Dalam berani masih terselit rasa takut.

Harris memusingkan tubuhnya. Dia bersandar pada tingkap sambil memeluk tubuh. Tiada kata yang terlafaz bagi menjawab pertanyaan ‘Aisy. Hanya dibalas dengan renungan tajam yang meratah setiap inci wajah ‘Aisy. Terselit senyuman sinis di wajahnya.

 ‘Aisy menelan liur kelat. Entah kenapa hatinya tidak senang dengan renungan itu. Renungan yang mengandungi seribu maksud yang sukar ditaksir.

“Kalau abang kata abang nak…” Tutur Harris sengaja membiarkan ayatnya tergantung. Tubuh ‘Aisy dihampiri. Dia melirik senyuman menggoda. Ingin melihat sejauh mana keberanian ‘Aisy.
“Awak jangan harap boleh apa-apakan saya!” Terketar-ketar ‘Aisy memberikan amaran. Dia mengengsotkan tubuhnya menjauhi Harris. Tangannya disilangkan ke dada sebagai perlindungan.
“Abang cuma nak hak abang…” Harris semakin merapati isterinya.

“Hak? Aw..awak dah janji, Harris.” Tergagap-gagap ‘Aisy mengingatkan janji yang telah dibuat lelaki itu. Tubuhnya digerakkan ke belakang sehingga punggungnya benar-benar berada di hujung katil. Selangkah dia bergerak, pasti dia akan terjatuh dari katil yang boleh tahan tingginya itu.
“Tapi sayang tak boleh nafikan hak abang..” Harris semakin galak menghampiri ‘Aisy yang sudah terperangkap.

“Tolong, Harris. Saya tak bersedia..” Rayu ‘Aisy. Keberaniannya hilang sama sekali. Ketakutan mengundang takungan air di matanya.

“Bersedia atau tak, abang nak hak abang. Hak abang sebagai suami untuk tahu siapa lelaki tua yang berbual mesra dengan ‘Aisy petang semalam?”

Pertanyaan Harris membuatkan ‘Aisy tergamam. Bulat matanya memandang Harris tidak berkelip. Terbit rasa malu kerana otaknya sudah tersasar jauh memikirkan perkara yang bukan-bukan. Tapi siapa lelaki tua yang dimaksudkan Harris? ‘Aisy cuba memproses ingatannya.

“Profesor Abang Daing?” Terpacul nama salah seorang profesor di jabatannya. Seingatnya usai habis waktu kerja petang semalam dia hanya berbual kosong dengan Profesor Abang Daing sementara menunggu Hafeeza datang menjemputnya. Dia selesa berbual dengan lelaki separuh abad yang penuh dengan wawasan itu, mengingatkan dia kepada ayahnya sendiri.

“Bukan main mesra. Siap berabang lagi. Dengan suami sendiri tak nak pula panggil abang.” Tingkah Harris semakin dihambat cemburu.

“Ya ALLAH, Harris. Apa yang awak merepek ni? Dah memang namanya Abang Daing Abang Solehuddin, saya nak panggil macam mana lagi?”

‘Aisy mengeluh kasar sambil mempamerkan wajah yang mencuka. Berkerut dahinya dengan tuduhan Harris yang tidak masuk akal itu.

“Profesor Abang Daing tu ketua jabatan saya. Takkanlah saya tak boleh berbual dengan rakan kerja saya. Awak nak saya jadi macam katak bawah tempurung ke?” Tempelak ‘Aisy. Pening dia dengan sikap cemburu buta Harris. Memang tidak pernah berubah.

No, you are too beautiful to be a frog.” Suara Harris sudah berubah intonasi. . Roma wajahnya berubah jernih. Dia tersengih kelat menyembunyikan rasa bersalah. Ternyata cemburunya langsung tidak berasas.

‘Aisy menjeling Harris tajam. Bagaimana Harris boleh nampak dia sedang berbual dengan Profesor Abang Daing? Adakah pergerakannya diintip suaminya sendiri? Hatinya tertanya-tanya penuh prasangka.

“Awak ekori saya, Harris?” ‘Aisy menebak.

Yes, I had to. I needed to know where you live.” Jujur Harris mengaku.

“Sebulan sayang menyepi tanpa khabar berita. Nak harapkan sayang yang call abang, jangan haraplah. Susah sangat ke nak register line telefon kat Malaysia ni? Atau sayang memang sengaja nak larikan diri daripada abang?” Kini giliran Harris pula menempelak ‘Aisy.

‘Aisy kematian kata. Telahan Harris memang ada kebenarannya. Dia memang sengaja tidak mahu memaklumkan nombor telefon bimbitnya kerana ingin menjarakkan hubungannya dengan Harris.
“Mana ada. Saya cuma sibuk.” Dalih ‘Aisy. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Tidak berani menentang mata Harris.

“Sibuk? Tapi berborak kosong dengan bos kesayangan tak sibuk pula.” Perli Harris.
‘Aisy mula merasa rimas dengan kata-kata Harris yang jelas bernada cemburu.

“Awak nak bincang apa dengan saya sebenarnya? Kalau tak ada apa-apa yang penting, saya nak balik.” Beritahu ‘Aisy bangkit dari duduk. Dia malas hendak melayan jika hanya hal remeh begini yang hendak ditanya oleh Harris. Timbul rasa sesal kerana mengikut Harris tadi.

“Perkara ini penting bagi abang. Tell me. Kenapa tak contact abang?” Desak Harris menagih jawapan.
“Tak penting.” ‘Aisy menjawab acuh tidak acuh.

Harris terkilan dengan jawapan mudah ‘Aisy. Semakin kuat dia berusaha untuk mendapatkan kembali ‘Aisy, semakin jauh dirasakan ‘Aisy cuba mengelakkan diri.

But it meant everything to me, sayang!

Tiba-tiba Harris meninggikan suara. Cukup untuk mengejutkan ‘Aisy. Emosi lelaki ini memang sukar diduga. 

“Abang perlukan bantuan sayang untuk sama-sama pulihkan hubungan kita.” Keluh Harris. Dia meraup kasar wajahnya yang keruh. Bagaimana dapat dia menjernihkan kepincangan andai hanya pihaknya sahaja yang berusaha. Sedangkan ‘Aisy semakin dingin dengannya.  

‘Aisy bungkam. Mustahil untuk dia kembali semula pada Harris. Biarpun dendam yang tersimpul di hatinya makin terlerai. Dia bukanlah manusia berhati batu sehingga begitu keras untuk tidak memafkan kekhilafan Harris. Hati seorang isteri bagaikan kerak nasi. Rayuan penyesalan seorang suami ibarat seperti air yang mampu melembutkan hati yang membeku.

Namun biarlah kemaafannya hanya terlafaz di dasar hati. Tiada kudrat untuknya menzahirkan rasa cinta dan rindu yang masih tersisa kerana tidak mungkin dia dan Harris kembali bersatu. Apalah makna bersama andai dirinya tidak mampu menghadirkan bahagia dalam hidup lelaki itu. Tiada guna rasa rindu dan cinta, seandainya rasa itu hanya membuatkan insan lain menderita.

“Saya nak balik.” Hanya ayat itu yang terpacul di mulut ‘Aisy.
Harris mendengus kecewa.

“Baiklah. Abang akan hantar sayang balik tapi bukan hari ini.” Putus Harris.

“Apa ni, Harris? Tadi awak ajak saya keluar kononnya nak berbincang. Sekarang dah lain pula jadinya.” Getus ‘Aisy dengan wajah yang kelat.

“Malam ini sayang tidur sini. Abang dah sediakan semua kelengkapan sayang dalam almari tu. Dan abang tak nak dengar apa-apa pun alasan. T.I.T.I.K!” Bicara Harris tegas.

‘Aisy mengeluh lemah. Dia seakan hilang kekuatan untuk menentang keputusan Harris. Hasilnya pasti sia-sia jika dia melawan. Nampaknya lelaki itu terlebih dahulu merancang sesuatu.


Bab 10


Sebuah keluhan lemah meniti di bibir ‘Aisy. Berada di dalam banglo besar itu cukup membuatnya merasa terasing. Tatarias mewah yang menghiasi segenap ruang langsung tidak berjaya mengundang ketenangan di jiwa. Rasa sebal masih kuat bersarang di hati kerana terpaksa akur dengan desakan Harris. Tekadnya untuk menghindarkan diri daripada Harris ternyata sia-sia. Semakin dia cuba lari, semakin laju lelaki itu mengejarnya.

‘Aisy melilau pandang ke segenap ruang tamu yang berkonsepkan moden kontemporari. Pandangannya kemudian jatuh pada seraut wajah cerah milik Harris yang berada di hadapannya. Lelaki itu sedang tekun mengadap skrin komputer riba. Mungkin sedang menyudahkan kerja pejabatnya kerana sejam tadi dia terdengar Harris menerima panggilan penting daripada kakitangan Indah Puncak. Komitmen tinggi Harris terhadap kerja memang tidak pernah berubah. Disebabkan itulah Indah Puncak semakin maju sejak Harris mengambil alih syarikat tersebut.

Keasyikan Harris memberi peluang kepada ‘Aisy untuk curi-curi merenung suaminya dalam diam. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk menghayati ketampanan wajah Harris. Lelaki itu memang punya karisma yang mampu membuatkan ramai gadis terpikat padanya. Ketampanannya dan kredibilitinya dalam dunia perniagaan membuatkan ramai orang mengaguminya. Kisah kejayaannya yang sering terpampang di dada majalah membuatkan namanya meniti di bibir ramai.

‘Aisy turut mengagumi Harris kerana usaha gigihnya dalam dunia perniagaan. Kekayaan yang dimiliki keluarganya bukan penghalang untuk Harris memajukan diri atas usahanya sendiri. Dia cukup menghormati pendirian lelaki itu. Malah sikap hormat Harris terhadap orang tua menempatkan Harris di suatu sudut yang cukup istimewa di hatinya. Sering kali dia menyaksikan layanan mesra Harris terhadap nenek kesayangan Harris, Hajah Mariah. Hatinya percaya Harris juga lelaki yang kaya dengan kasih sayang yang tulus.

Disebabkan itu tiada langsung rasa ragu tatkala dia menerima lamaran Hajah Mariah menyuntingnya sebagai isteri Harris. Kekecewaan yang pernah dirasainya menyebabkan dia memilih untuk mengharungi hidup bersama Harris. Biarpun dia tidak pernah mengimpikan lelaki itu sebagai suaminya. Malah dia juga tidak pernah menjadi pilihan Harris. Kehadirannya hanyalah sebagai pilihan kedua dan semata-mata demi untuk menyelamatkan maruah dua buah keluarga.
Demi menyelamatkan maruah keluarganya, dia memekakkan telinga dengan kata-kata teman sekeliling. Ada yang menuduhnya perempuan materialistik. Tidak kurang juga yang menggelarnya perampas. Malah tentangan daripada mertuanya, Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora juga sanggup ditempuhi dengan sabar. Semakin ditentang, semakin kuat tekadnya untuk mempertahankan bahtera rumah tangga walaupun nyata hanya dia seorang sahaja yang berjuang.

Sangkanya dia mampu mengecap bahagia bersama Harris. Duganya cinta yang tiada bisa bertunas usai terucap lafaz sakinah. Ternyata dia silap percaturan. Semakin lama kebahagiaan itu makin menjauh untuk digapai. Biarpun seteguh mana dia cuba bertahan. Biarpun Hajah Mariah tidak pernah jemu menitipkan sokongan dan menjadi nadi kekuatan buat dirinya. Namun andai tiada tersurat untuk dia memiliki bahagia bersama Harris, dia harus reda dan akur dengan takdir itu.

‘Aisy menghela nafasnya panjang. Terdetik rasa rindu di hati terhadap Hajah Mariah, wanita tua yang penuh dengan kelembutan dan tidak pernah lokek dengan kasih sayang.

Empat tahun dia terputus hubungan dengan Hajah Mariah. Bukannya dia tidak pernah merisik khabar wanita itu sewaktu berada di England. Pernah beberapa kali dia cuba menelefon ke kediaman keluarga Harris. Rindu di hati menggamit keinginan untuk mendengar suara Hajah Mariah yang sudah dianggap seperti neneknya sendiri. Namun entah di mana silapnya, setiap kali dia menelefon pasti yang menyambut panggilannya adalah Harris, insan yang ingin dihindarinya. Bukan sekali dua dia terpaksa berhadapan dengan keadaan seperti itu. Sudahnya, dia tidak lagi berani menghubungi Hajah Mariah. Dari kejauhan dia hanya mampu memendam rasa rindu itu sendiri.

Ting Tong! Gema bunyi loceng yang nyaring mengejutkan ‘Aisy dari lamunannya yang panjang. Hampir sahaja dia menjerit tatkala menyedari tangan Harris menjalar di atas bahunya. Entah bila Harris telah berkalih tempat duduk di sebelahnya.

“Harris! Jangan buat saya terperanjat boleh tak?” Marah ‘Aisy sambil merenggangkan pautan tangan Harris di bahunya. Harris tertawa kecil.

“Rupanya isteri abang ini suka mengelamun ya. Padanlah tak berkelip tenung abang dari tadi. Apa yang sayang angankan tentang abang?” Bisik Harris nakal sambil tersenyum simpul.
“Perasan!” Gumam ‘Aisy. Dia mengetap bibir sambil menahan rasa bahang yang menerpa ke wajahnya. Malu kerana dia begitu ralit tenggelam dalam kenangan.

“Sayang berangan bercinta dengan abang ya?” Usik Harris semakin galak menggiat ‘Aisy.
“Tak kuasa saya nak berangan fasal awak.” Balas ‘Aisy menepis usikan Harris. Senyum simpul Harris membuatkan dia makin tidak keruan.

“Awak tak nak tengok ke siapa yang datang tu?” Soal ‘Aisy sebaik loceng berbunyi buat kali kedua.
“Pandai sayang mengelat ya. Tak apa, this time you are saved by the bell.” Tutur Harris sambil mencuit mesra hidung mancung ‘Aisy. Dia bangkit mengatur langkah ke arah pintu utama.
‘Aisy menyandarkan tubuhnya ke belakang sofa. Dia mengeluh lega. Entah macam mana dia boleh terleka tadi. Tekaknya terasa haus. Tidak berminat untuk mengetahui siapa tetamu yang datang, ‘Aisy bingkas bangun menuju ke ruang dapur.

“Sayang, tengok siapa yang datang ni!”

Laungan ceria Harris menghentikan langkah ‘Aisy. Dia memalingkan wajahnya tercari-cari kelibat yang dimaksudkan Harris. Saat terpandangkan seraut wajah tua yang sudah berkedut seribu, matanya berkaca bening.

“Nenek!”

‘Aisy segera menerpa dan memeluk tubuh tua Hajah Mariah. Kedua belah pipi Hajah Mariah dikucup bertalu-talu. Terlerai segala rindu yang bersarang di jiwa.

“’Aisy. Sayang cucu nenek. Nenek rindu sangat pada kamu.” Ucap Hajah Mariah terketar-ketar sambil membalas pelukan ‘Aisy. Air mata Hajah Mariah gugur menangisi kerinduan yang sarat ditanggung.

“’Aisy pun rindukan nenek. Rindu sangat-sangat.”
Mutiara jernih turut membasahi pipi ‘Aisy. Wajah Hajah Mariah ditatap dengan penuh rasa kasih. Empat tahun batas waktu yang memisahkan banyak merubah fizikal Hajah Mariah. Wanita itu kelihatan sudah tidak sekuat dahulu. Garis kedutan juga makin bertambah. Tetapi cahaya ketenangan di wajah itu tetap sama. Tetap memberikan rasa damai setiap kali dia memandangnya.
“Papa apa khabar?” Tanya ‘Aisy sambil menyalami Tan Sri Hakim.

“Alhamdulillah..sihat.” Balas Tan Sri Hakim sambil tersenyum mesra. Kepala ‘Aisy yang bertudung diusap lembut.

“Mama sihat?” Sapa ‘Aisy seraya tunduk mencium tangan Puan Sri Nora pula. Rasa hormat pada kedua mertuanya masih ada biarpun mereka tidak pernah mempedulikan kehadirannya sebagai menantu dalam keluarga mereka.

“Hmm..sihat.” Jawab Puan Sri Nora pendek sambil melemparkan segaris senyuman nipis.
Tidak pasti senyuman itu tanda kemesraan atau sinis semata. Ikhlas kah atau hanya sekadar berpura-pura di hadapan Hajah Mariah? Kenangan lalu membuatkan ‘Aisy menanam prasangka. Namun cepat-cepat dia beristighfar menyedari kedangkalan hatinya.

“Sampai hati kamu tak datang jenguk nenek. Dahlah ke London senyap-senyap. Bila dah balik ke sini pun kamu menyepikan diri. Kamu dah lupa pada nenek ya?” Luah Hajah Mariah sayu. Meskipun hati tuanya sedikit terkilan dengan tindakan ‘Aisy, namun dia tidak pernah meletakkan kesalahan di pundak cucu menantunya itu.

“’Aisy minta maaf, nek. Bukan niat ‘Aisy tak nak datang melawat nenek cuma keadaan waktu ini tak mengizinkan. ‘Aisy tak pernah lupakan nenek, tapi…”

‘Aisy kematian kata. Buntu untuk mencipta alasan. Biarpun hatinya begitu kepingin untuk menjenguk Hajah Mariah sebaik dia menjejakkan kaki di Malaysia, namun kerana hendak mengelakkan diri daripada Harris dia hanya mampu memendamkan saja hasratnya itu.  
“Nenek tahu, kamu marah dengan Harris kan? Sampai bawak rajuk jauh ke London. Nenek minta maaf sebab Harris gagal membahagiakan kamu.” Pohon Hajah Mariah sebak membuatkan ‘Aisy semakin kehilangan bicara.

Memang benar dia merajuk dan berdendam. Rajuk yang membawanya jauh daripada kasih sayang Hajah Mariah yang tidak pernah jemu melayannya seperti cucu kandung sendiri. Dendam yang memaksanya hanya mampu merindui belaian wanita tua itu dari jauh. Rajuk dan dendam yang menuntut pengorbanan setiap insan yang dia sayang. Kejam kah dia kerana terlalu menurut rasa hati?
“Tak adalah, nenek. Tak ada kaitan dengan abang Harris pun. ‘Aisy ke sana kan sebab nak sambung belajar.”

‘Aisy menyangkal kata-kata Hajah Mariah sambil menggelengkan kepalanya perlahan. Dia menggenggam tangan Hajah Mariah cuba meyakinkan wanita itu. Walaupun nyata alasan itu kedengaran begitu ampuh. Biarlah dia saja yang menelan segala lara seandainya penafiannya itu mampu membuatkan Hajah Mariah tersenyum. Tidak sanggup menambahkan kegusaran di hati Hajah Mariah yang semakin dimamah keuzuran itu.

“Jangan tipu nenek, ‘Aisy. Harris dah ceritakan semuanya pada nenek. Cucu nenek itu memang tak sedar diuntung. Nenek malu dengan kamu, ‘Aisy. Nenek malu dengan apa yang Harris dah buat pada kamu.” Tingkah Hajah Mariah penuh kesal dalam tangisan. Matanya yang berkaca sempat menangkap kesan parut sepanjang lima inci di pergelangan tangan ‘Aisy. Hatinya semakin hiba.
“Parut ini disebabkan kemalangan tu kan?” Hajah Mariah menyoal dalam sebak. Dia mengusap parut itu perlahan. Itu baru sahaja parut yang terlihat di tangan. Bagaimana dengan parut luka yang tersembunyi di hati ‘Aisy? Pasti tidak tergambar kepedihan yang terpaksa dilalui ‘Aisy saat dikhabarkan tentang kehilangan zuriat yang sedang dikandunginya. Tidak terbayang kesakitan yang terpaksa ditanggung wanita muda itu.

‘Aisy menelan liur pahit. Dia mengangguk. Serba salah.

“Nenek tak faham dengan kamu, Harris. Bukankah nenek selalu pesan pada kamu. Kawal rasa marah tu. Jangan bertindak ikut perasaan. Berpuluh anak syarikat kamu mampu urus dengan baik. Tapi isteri kamu hanya seorang, Harris. Itu pun kamu tak mampu nak jaga dengan baik. Tengoklah apa yang kamu dah buat pada ‘Aisy ni.” Marah Hajah Mariah.

Harris hanya mampu menundukkan wajah. Dia tahu semua yang terjadi berpunca dari kesilapannya sendiri. Kesal. Hanya itu perkataan yang mampu menggambarkan apa yang dia rasa selama ini.
“Bukan salah abang Harris, nek. ‘Aisy pasti abang Harris pun tak nak kemalangan tu berlaku. Dah ditakdirkan ‘Aisy berada di situ pada tempat dan waktu yang salah.”

‘Aisy mengukirkan senyuman kelat. Dia sendiri tidak menyangka mampu melafazkan kata-kata itu. Kesakitan yang dirasai setiap kali mengingati kemalangan yang telah meragut seluruh 
kebahagiaannya bagaikan tiada. Reda kah dia kini? Dia masih tercari-cari jawapan yang pasti.
Harris mengangkat mukanya memandang tepat ke arah ‘Aisy. Matanya berkaca. Terharu dengan kata-kata yang dituturkan ‘Aisy. Separuh beban kekesalan yang sarat tergalas di bahunya bagaikan hilang.
“Dahlah tu mak. Mak dah buat ‘Aisy dan Harris serba salah tu. Lagipun ‘Aisy dah balik kan. Mak pun tahu betapa Harris menyesal dengan tindakannya dulu. Tak elok kita terus kenang perkara yang dah jadi.” Sela Tan Sri Hakim yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati.

“Betul cakap papa tu, nek. Kita lupakan cerita sedih ni ya. Lagipun buruk tau orang tua menangis.” Pujuk ‘Aisy sambil mengesat air mata yang tumpah di pipi tua itu. Sempat dia mengusik Hajah Mariah membuatkan wanita tua itu tersenyum pahit.

“Pandai kamu pujuk nenek, ya.” Tutur Hajah Mariah kembali tenang.

‘Aisy melemparkan senyum. Biarlah semuanya kemas disimpan sebagai sejarah. Dia sendiri sudah penat menangis. Jauh di lubuk hatinya yang paling dalam, dia juga sedang berusaha mengikis segala kenangan pahit yang pernah menjengah hidupnya.

“Kenapa kita semua tercegat kat sini ya? Jom, kita duduk dulu. Mari, papa, mama.” Pelawa ‘Aisy sopan dengan nada suara yang diceriakan. Ingin membuang jauh kesedihan yang dirasakan menyelubungi segenap suasana.

‘Aisy memimpin tangan Hajah Mariah ke ruang tamu. Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora hanya menurut dari belakang. Cuma Harris yang masih berdiri kaku dengan pandangan matanya yang masih tidak berkelip merenung wajah ‘Aisy.

“Mari, Harris.” Tan Sri Hakim menepuk-nepuk bahu anak lelaki tunggalnya. Dia mengerti keresahan yang sedang dirasakan Harris. Lambat-lambat Harris mengatur langkah.

“’Aisy nak pergi mana?” Hajah Mariah menyoal sebaik dia melabuhkan duduk di atas sofa.
“Err, ‘Aisy nak ke dapur sekejap. Buat air.” Beritahu ‘Aisy tidak jadi meneruskan langkahnya.
“Nantilah buat air tu. Nenek tak puas lagi nak tengok kamu ni. Berbual-bual dengan kamu.” Halang Hajah Mariah.

“Mari duduk sebelah nenek ni.” Pinta Hajah Mariah sambil menepuk lembut sofa kosong di sebelahnya.

‘Aisy tersenyum lalu melabuhkan duduk di sisi Hajah Mariah. Tidak sampai hati untuknya menghampakan permintaan wanita tua itu.

“Nenek sayang sangat-sangat pada ‘Aisy. Rindu sangat-sangat.” Ungkap Hajah Mariah memaknakan perasaannya. Dahi ‘Aisy dikucup lembut.

“Syukur Allah masih berikan nenek kesempatan untuk bertemu dengan kamu, ‘Aisy. Kalau ditakdirkan nenek tutup mata lepas ini, nenek dah tak ralat.” Nada suara Hajah Mariah berubah lirih. Dia menggenggam erat tangan ‘Aisy. Genggaman yang terkandung bersama rasa simpati dan sesal. Simpati dengan keperitan yang terpaksa ditempuhi oleh wanita muda ini dan sesal kerana keperitan itu berpunca daripada perbuatan darah dagingnya sendiri.

“Kenapa nenek cakap macam tu? Ajal dan maut ini tak mengenal usia. Entah-entah ‘Aisy yang dijemput dulu mengadap Dia.” Sangkal ‘Aisy membalas genggaman Hajah Mariah.

“Insya-Allah, nenek sentiasa doakan ‘Aisy dipanjangkan umur dan semoga cucu nenek ini sentiasa berada dalam rahmat-Nya.” Ucap Hajah Mariah penuh harapan. Itulah doa yang tidak jemu dipanjatkan setiap kali usai solat. Untuk melihat kebahagiaan ‘Aisy bersama Harris.

“’Kenapa cakap fasal mati ni? Abang tak suka sayang cakap macam tu.” Tiba-tiba Harris bersuara dengan wajah yang sedikit tegang. Jelas dia tidak selesa dengan perbualan antara isteri dan neneknya itu.

“Mati itu kan pasti. Kita semua datang daripada Pencipta kita. Dan apabila sampai masanya, kita akan kembali kepada Dia juga. Apa yang kita ada, nikmat yang kita rasa semuanya adalah pinjaman dari-Nya. Hidup kita ini adalah sebuah perjalanan yang pasti akan ada tarikh perhentiannya.” Luah ‘Aisy.

Bicara soal kematian pasti mengundang keinsafan di jiwanya. Dia pernah melalui saat getir bertarung nyawa akibat dilanggar lari. Waktu itu bukan sahaja satu nyawa di rahimnya yang diambil, malah nyawanya sendiri hampir melayang akibat pendarahan dalaman yang serius. Mujurlah dia masih diberikan kesempatan untuk menyedut nafas di bumi Tuhan ini.

“Betul cakap ‘Aisy tu, Harris. Mengingati mati itu kan dituntut dalam Islam. Mudah-mudahan kita tak terus leka dengan keindahan dunia saja. Sesetengah manusia ni sanggup membelakangi hukum agama untuk memuaskan kehendak nafsu. Halal dan haram langsung dah tak dipedulikan.” Sahut Hajah Mariah kedengaran sedikit sinis. Entah kenapa butir kata itu bagaikan tersirat seribu makna di sebaliknya.

‘Aisy perasan perubahan pada wajah Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora. Sempat dia menangkap jelingan tajam Puan Sri Nora dan wajah suram Tan Sri Hakim. Seolah-olah seperti ada sesuatu yang disembunyikan.

“Err, ‘Aisy ke dapur sekejap ye. Nak buat air.” ‘Aisy meminta diri. Dia melangkah ke dapur.
‘Aisy menjerang air di dalam cerek. Biarpun agak kekok dengan setiap susun atur barang di dapur itu, terpaksalah dia menyesuaikan diri kerana status seorang isteri yang dipegangnya. Sekurang-kurangnya untuk menjaga maruah rumah tangga dia dan Harris di hadapan tetamu yang datang. Biarpun ikatan yang ada bagaikan retak menanti belah.

“Lain kali jangan cakap macam tu lagi. Abang tak suka dengar.”

Suara Harris yang datang dari arah belakang benar-benar menyentak ‘Aisy. Dadanya diurut perlahan untuk meredakan rentak jantung yang berdegup kencang.

“Awak ni suka sangat buat saya terperanjat. Boleh mati terkejut saya kalau macam ni.” Tingkah ‘Aisy sambil memusingkan badannya untuk berhadapan dengan Harris. Dia langsung tidak perasan kelibat Harris yang mengekorinya ke dapur.

“Sekali lagi sayang ungkit fasal mati, tahulah macam mana abang nak diamkan mulut sayang tu.” Harris mengugut. Suaranya bernada tegas.

“Kenapa pula nak lari dari kenyataan? Mati adalah suatu hakikat, Harris.” Tingkah ‘Aisy tidak menghiraukan tegahan Harris. Sengaja mencabar Harris yang semakin mampir padanya.
“Hidup dan mati semuanya sudah tersurat di Loh Mahfuz. Kenapa perlu takut nak cakap soal mati…” Kelancaran tutur kata yang keluar dari mulut ‘Aisy segera dipangkas Harris. Dia tergamam apabila bibir Harris menyentuh bibirnya.

Don’t say I didn’t warn you.” Sela Harris sebaik dia mengangkat wajahnya sedikit menjauh.  Tangan lelaki itu mengelus lembut pipi ‘Aisy.

‘Aisy terkaku. Entah kenapa dia bagaikan tidak mampu untuk menolak tindakan berani Harris. Sentuhan sensual itu menjalarkan rasa hangat di segenap wajahnya. Sentuhan yang mengundang debar yang cukup hebat di dada.

 “Abang belum bersedia, sayang. Belum bersedia untuk kehilangan sayang dalam hidup abang. Terlalu banyak kesilapan abang pada sayang yang belum abang tebus. Tak terhitung dosa abang terhadap sayang yang belum terampun.” Nada suara Harris berlagu sayu. Terkesan riak gundah pada seraut wajah yang selama ini sentiasa mempamerkan riak tenang.

“Abang sedar tentang hakikat kematian. Abang tahu abang tak punya kuasa nak mengubah takdir. Biarpun sekuat mana abang halang atau tepis. Tapi abang takkan jemu berdoa dan berusaha. Berdoa semoga sebelum tiba saat itu abang masih memiliki ruang dan waktu untuk terus bersama sayang. Diberi kesempatan untuk membahagiakan isteri abang ini. Diberi peluang untuk bersama-sama dengan sayang mencari Jannah ALLAH.” Harris menyambung kata-katanya. Tunak bebola matanya merenung tajam ke dalam mata ‘Aisy.

Kata-kata romantis dan renungan lembut Harris membuat ‘Aisy semakin tidak keruan. Dia memalingkan tubuhnya kembali membelakangi Harris. Tidak sanggup untuk terus beradu pandang dengan lelaki itu. Tipulah andai hatinya tidak terusik dengan bait-bait ayat yang meniti di bibir Harris. Bohonglah kalau dia tidak ingin sama mengecap bahagia dalam rumah tangga. Impian yang pasti dipunyai oleh setiap isteri. Tetapi memilih untuk mencari bahagia bersama Harris bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.  

Cerek air yang berbunyi nyaring segera dimatikan apinya. ‘Aisy berdeham beberapa kali mengharapkan sedikit ketenteraman buat hatinya yang sedang kacau-bilau menahan gelodak rasa.
“Err..Saya nak bancuh air. Ada milo tak kat dapur ni?” Soal ‘Aisy kalut mengalih topik. Dia tidak boleh membenarkan Harris berterusan mencurahkan isi hati. Bimbang hatinya tidak kuat untuk terus menepis. Perisai yang dibina untuk melindungi hatinya bukanlah sekuat mana.
Kekalutan ‘Aisy membuatkan Harris menyimpul senyum. Tubuh isterinya didekati. Langsung tidak dihiraukan pertanyaan ‘Aisy.

“Sayang tahu tak sayang comel bila kalut macam ni? You really make me crazy, sayang. ” Bisik Harris perlahan.

Oh Tuhan! Dapat dirasakan tubuh Harris begitu rapat dengannya sehingga desah nafas lelaki itu jelas menyapa cuping telinganya. Debaran di dada ‘Aisy semakin kencang. Telapak tangannya ditekapkan ke dada. Bimbang Harris dapat mendengar degupan itu. Sungguh hatinya semakin tidak keruan.
 “Err..awak letak kat mana container milo?” ‘Aisy mengulangi pertanyaan dalam suara yang bergetar. Dia melilau pandangan ke arah deretan container yang tersusun kemas di depannya. Matanya tercari-cari bekas berisi serbuk milo. Namun dia gagal memusatkan perhatiannya. Segala tindakannya bagaikan tidak kena. Seram sejuk jari-jemarinya apabila tangan kasar Harris mula memaut pinggangnya dari belakang.

“Hmm..ubah topik lagi.” Getus Harris sambil melepaskan tawa nipis. Namun pelukannya semakin dieratkan apabila dirasakan tiada penolakan daripada ‘Aisy.

“Harris, saya nak buat air ni.” Beritahu ‘Aisy lemah. Saat itu dia bagaikan sedang kalah dengan godaan Harris.

“Buatlah. Abang tak halang pun kan?” Usik Harris membuatkan perasaan ‘Aisy semakin galau.
“Tapi, mana milo nya? Awak kan tahu nenek tak minum air lain kecuali milo.” Tekan ‘Aisy.
“Abang tak sangka pula yang isteri abang ini rabun dekat rupanya. Container yang kat depan sayang ni bukan milo ke?” Harris mendorong tubuhnya sedikit ke depan untuk mencapai container yang betul-betul terletak di hadapan ‘Aisy. Keadaan itu membuatkan kedudukan mereka semakin rapat. Langsung mengunci pergerakan ‘Aisy.

‘Aisy mengetap bibir menahan malu. Wajahnya semakin pijar. Macam mana dia boleh tidak nampak container yang berada di hadapannya?

“Boleh tak awak lepaskan tangan awak. Saya nak buat air ni.” ‘Aisy mengeraskan suaranya sambil cuba meleraikan rangkulan kemas Harris. Namun semakin kejap pula pelukan Harris. Dia cuba berlagak biasa biarpun rasa malu di wajahnya sudah tebal berinci-inci.
“Awak!” ‘Aisy merengus geram. Namun Harris tetap begitu.

One minute, sayang. Give me just one minute to feel this moment. To feel your warm body next to mine. I really miss you, sayang.” Desis Harris romantis.

‘Aisy terkesima. Tanpa sedar dia turut tenggelam dalam kehangatan sentuhan Harris. Sentuhan yang seakan mengalirkan arus elektrik terus ke jantung. Ada rasa indah yang menjalar di seluruh urat nadinya.

Thanks.” Suara lembut Harris membuatkan ‘Aisy kembali tersedar. Perlahan-lahan Harris melepaskan rangkulan tangannya yang erat melingkar di pinggang ‘Aisy.

Beberapa saat ‘Aisy masih berada dalam keadaan kaku sebelum tangannya mula bergerak mencapai container yang berisi serbuk milo. Dengan tangan yang terketar-ketar, dia membancuh air. Tidak sedikit pun dia mampu mengangkat wajahnya. Debaran di dada masih berdetak kuat membuatkan segala pergerakannya canggung. Tenanglah wahai hati.  Dia menarik nafas dalam.
Buat seketika hanya kesepian yang mengisi ruang kekosongan di antara mereka. Masing-masing melayan perasaan. Mungkin masih terkesan dengan sentuhan hangat tadi.

Harris menuju ke arah kabinet dapur di sebelah kanan dan mengeluarkan satu set cawan Vantage. Tangkas dia mengambil dan menyusun cawan tersebut di atas dulang.

Dalam diam, gerak-geri Harris menarik perhatian ‘Aisy. Terdetik rasa kagum di hatinya. Jika dulu, jangan harap Harris akan menjengah ke dapur untuk sama-sama membantunya. Harris hanya akan duduk menunggu di hadapan meja makan sambil menyiapkan kerja pejabat. Mengharapkan semuanya disiapkan dan dihidangkan untuknya.

‘Aisy menggelengkan kepalanya perlahan. Dia cuba mengusir rasa indah yang mula mengusik tangkai hatinya. Tidak mahu hatinya tertawan dengan kebaikan yang dipamerkan Harris.
“Biar abang bawa air ni ke depan. Sayang tolong potongkan kek buah dalam peti ais ya.” Pinta Harris sekali lagi membuatkan ‘Aisy terpaku. Kelembutan pada suara itu cukup membuatkan hatinya terkesan. Mana perginya Harris yang dulu lebih suka mengarahnya dengan suara yang kasar.
Teko yang berisi penuh dengan air milo diletakkan di atas dulang oleh Harris.
“Boleh ya, sayang?” Sekali lagi soalan diajukan apabila ‘Aisy hanya bungkam tanpa memberikan sebarang tindak balas. Harris menguntum senyum.
“Err..oo..okay.” Tergagap-gagap ‘Aisy membalas.

“Terima kasih, sayang.” Ucap Harris sambil mencuit hidung ‘Aisy. Harris mula bergerak ke ruang tamu namun hanya beberapa langkah apabila dia tiba-tiba memusingkan badannya kembali.
By the way, abang cemburu sangat tengok ‘Aisy cium nenek tadi. I hope one day I could have those sweet kisses too. Dengan kerelaan sayang. Tak perlu lagi abang curi-curi cium sayang macam tadi.” Tutur Harris nakal sambil mengenyitkan matanya. Dia kemudiannya berlalu ke ruang tamu bersama dengan minuman sambil meledakkan tawa.
Sekali lagi wajah ‘Aisy menjadi panas.

“‘Aisy, kenapa dengan kau ni? Wake up..” Marah ‘Aisy pada dirinya sendiri apabila kelibat Harris hilang dari pandangan. Jika dia berterusan begini, hatinya pasti akan lebih teruk terluka kelak.
Setelah menenangkan dirinya, ‘Aisy kembali ke ruang tamu bersama sepinggan kek buah. Diperhatikan minuman yang dibawa oleh Harris masih berada di dalam dulang. Dengan sopan ‘Aisy menghulurkan cawan kepada setiap tetamu dan juga Harris.

Thanks, sayang.” Sebuah senyuman menawan dihadiahkan Harris kepadanya. Sengaja ‘Aisy tidak menghiraukan ucapan itu. Segan juga dia apabila Harris terang-terangan memanggilnya sayang di depan keluarga mertuanya.

Harris menarik tangan ‘Aisy untuk duduk di sisinya. ‘Aisy tiada pilihan dan akhirnya dia melabuhkan punggung di atas set sofa dua tempat duduk itu, di sebelah suaminya.

“Jemputlah makan kek ni, nenek. Kek kegemaran nenek ni kan? Tapi nenek tak boleh makan banyak sangat tau. Nanti tak fasal-fasal gula dalam darah nenek naik. Kesihatan kena jaga juga.” Pelawa ‘Aisy sambil menitipkan pesanan. Hajah Mariah hanya ketawa senang. Sudah lama dia tidak mendengar bebelan daripada bibir mungil itu.

“Ingat lagi ‘Aisy pada kek kesukaan nenek ni ya.” Ujar Hajah Mariah berbesar hati. ‘Aisy memang pandai mengambil hatinya sejak dari dulu. Kesabaran dan kelembutan yang ada pada ‘Aisy memikat hati tuanya untuk menyunting gadis itu sebagai isteri kepada Harris, satu-satunya cucu lelaki tunggal yang dia ada.

“Papa, mama. Jemput minum ya.” Pelawa ‘Aisy lagi sekali kepada kedua-dua ibu bapa mertuanya yang lebih banyak mendiamkan diri. Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora hanya mengangguk. ‘Aisy perasan riak kegelisahan pada wajah kedua mertuanya seperti ada menyimpan sesuatu.
“’Aisy ke yang buat kek ini?” Hajah Mariah bertanya sambil mengambil dan merasa sepotong kek yang dihidangkan.

“Tak adalah, nenek. Abang Harris belikan.” Sangkalnya tanpa berselindung.
“Harris beli dekat Tesco, nenek. ‘Aisy ni mana ada masa nak masak. Sibuk memanjang dengan kerja. Sampaikan Harris pun dia tak peduli.” Adu Harris membuatkan ‘Aisy menjelingnya tajam. Faham benar dengan ayat perli yang dituturkan Harris itu.

“Betul ke ni, Harris? Setahu nenek, selama ini kamu tu yang sibuk. Entah-entah kamu tu yang selalu tinggalkan ‘Aisy tak? Bukannya nenek tak tahu perangai gila kerja kamu tu. Kerja tu isteri kamu nombor satu kan.” Sindir Hajah Mariah membuatkan wajah Harris sedikit berubah. ‘Aisy menyembunyikan senyum dengan kata-kata Hajah Mariah yang terangan mempertahankannya.  
“Itu Harris yang dulu. Sekarang tak mungkin Harris akan tinggalkan ‘Aisy lagi, nek. Apa yang telah berlaku cukup menyedarkan Harris. Betapa berharga nya kehadiran ‘Aisy dalam hidup Harris. I really need her, nenek. For the rest of my life.” Bicara Harris sepenuh perasaan sambil matanya tunak memandang ke arah ‘Aisy. Tindakan berani Harris berterus terang di hadapan keluarganya membuatkan senyuman ‘Aisy mati. Dia menundukkan wajah.

“Baguslah kalau Harris fikir macam tu. Jangan persiakan hidup ‘Aisy lagi. Apa yang berlaku jadikan pengajaran. Usaha sungguh-sungguh untuk perbaiki balik apa yang silap selama ini. Nenek tahu Harris seorang ketua yang berkaliber di pejabat. Dan Harris juga adalah pemimpin dalam rumah tangga Harris sendiri. Tetapi tugas memimpin isteri tidak sama dengan cara kita memimpin pekerja. Tempat seorang isteri adalah di sisi suami. Yang perlu dihargai dan disayangi kerana dia adalah pemilik tulang rusuk suami.”

Harris menganggukkan kepalanya mendengar setiap kata nasihat yang diberikan Hajah Mariah. Dia telah banyak melakukan kesilapan dan dia sendirilah yang perlu memperbetulkan segala-galanya.
“Insya-Allah, nenek. Harris tak akan berputus asa.” Azam Harris sambil menggenggam erat jari-jemari ‘Aisy.

“Seorang suami kena banyak bersabar. Kena bijak mengawal baran tu. Lelaki diberi sembilan akal. Gunakan sembilan akal itu untuk menepis rasa marah. Jangan kalah dengan satu nafsu.” Tambah Hajah Mariah.

Sikap baran Harris yang sukar dikawal itulah yang merunsingkannya. Disebabkan itu jugalah hatinya yakin untuk menjodohkan Harris dan ‘Aisy. Sangkanya kelembutan dan kesabaran yang dimiliki ‘Aisy mampu meneutralkan baran Harris. Tetapi sebaliknya yang berlaku. ‘Aisy akhirnya menjadi mangsa baran Harris.

“Harris sedang berusaha, nek.” Beritahu Harris. Biarpun bukan mudah untuk dia terus mengikis sepenuhnya sikap baran yang sudah sebati dalam dirinya, namun dia tidak pernah jemu untuk berubah menjadi lebih baik.

Hajah Mariah mengangguk perlahan. Dalam hati dia mengucapkan syukur melihat Harris yang sudah banyak berubah. Siapa sangka kuasa cinta bisa mencairkan hati cucunya yang kering selama ini.
“Kalau macam tu, untuk langkah pertama ni, apa kata kalau kamu berdua pergi bercuti bersama.” Cadangan Hajah Mariah membuatkan ‘Aisy mengangkat wajahnya.

“Taa..tapi..” ‘Aisy ingin membantah cadangan itu tetapi entah kenapa kata-katanya bagaikan tersekat di kerongkong. Melihat wajah Hajah Mariah yang teruja menjadikannya tidak sampai hati.
“Bagus juga cadangan nenek tu. Sayang, kita pergi bercuti ya. Lagipun, kita belum pernah lagi berbulan madu kan? Sayang beritahu saja nak pergi mana. Abang akan usahakan.” Harris menyambut baik cadangan yang diusulkan Hajah Mariah.

“Err.. mana-mana saja, saya tak kisah. Saya ikut saja.” ‘Aisy hanya mampu menghadiahkan senyuman kelat.

“Okay, kalau macam tu abang rasa abang tahu ke mana nak bawa ‘Aisy.” Beritahu Harris dalam nada yang cukup ceria. Tidak sabar dia hendak menghabiskan masa berdua bersama dengan ‘Aisy.
Thanks, sayang.” Bisik Harris tidak segan silu menunjukkan kemesraannya.
“Seronok nenek tengok kamu berdua. Kalau macam ni, tak lama lagi dapatlah nenek menimang cicit pula ya. Jangan tunggu lama-lama. Kamu berdua pun bukannya muda lagi.” Bicara Hajah Mariah gembira. Sinar mata Hajah Mariah jelas memancarkan pengharapan.
Berubah riak wajah ‘Aisy. Spontan tangan kirinya mengusap perut kempisnya yang dulu pernah dihuni oleh satu nyawa. Masih kah ada kesempatan buatnya untuk merasai pengalaman indah itu? Hatinya mengeluh berat.

“Insya-Allah, nenek.” Balas Harris sambil menggenggam erat tangan ‘Aisy. Seakan faham dengan kegelisahan yang dirasai oleh isterinya. Jauh di sudut hatinya, dia benar-benar mengharapkan ‘Aisy menerimanya sebagai suami seperti dulu. Suami yang sentiasa dibelai dengan kehangatan cinta seorang isteri setia bernama Rahadatul ‘Aisy.



Untuk baca sambungan boleh dapatkan Novel ini di kedai buku berdekatan atau, beli secara online di website kami Idea Kreatif Publication.

1 comment:

  1. https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/tak-hanya-lucu-6-jenis-anjing-ini.html
    https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/adam-fabumi-meninggal-dunia-selebritas.html
    https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/badan-membesar-karena-hamil-kylie.html
    https://kokonatsutrrrrrrrrrrrrr.blogspot.com/2017/11/remaja-15-tahun-melahirkan-di-toilet_23.html

    Tunggu Apa Lagi Guyss..
    Let's Join With Us At Dominovip.com ^^
    Untuk info lebih jelas silahkan hubungi CS kami :
    - BBM : D8809B07 / 2B8EC0D2
    - Skype : Vip_Domino
    - WHATSAPP : +62813-2938-6562
    - LINE : DOMINO1945.COM
    - No Hp : +855-8173-4523

    ReplyDelete