Showing posts with label Pena Kayu. Show all posts
Showing posts with label Pena Kayu. Show all posts

Saturday, 11 June 2016

Bab 5 : LELAKI IDAMAN - PENA KAYU


BELUM pukul empat pagi Melina telah bangun. Melina telah membuat bising di dapur. Melina telah


mengucar-ngacirkan dapur milik Cikgu Suraya. Dapur yang pada awalnya nampak kemas dan teratur, mulai bersepah.
"Mel?" panggil Cikgu Suraya, wajahnya nampak sembab dan rambutnya seperti baru ditiup angin pantai. Lenanya diganggu bunyi bising yang Melina hasilkan.
"Mel buat apa ni?"
Periuk yang sedang bergolek di atas lantai segera Melina kutip. Kemudian Melina tersengih-sengih demi menutup malu yang datang.
"Mel nak masak nasi lemak, Sue.”
Berkerut terus dahi Cikgu Suraya. Bahan-bahan masakan yang bersepah di atas meja makan diperhatikan dengan nafas yang tersekat-sekat. Ipad Melina yang sedang memaparkan cara memasak nasi lemak lebih mengejutkan Cikgu Suraya.
"Mel, jawab dengan jujur. Sebelum ni Mel pernah masak nasi lemak?"
Sedikit tersipu, Melina geleng kepala.
"Tangan Mel ni tak ada magis nak memasak, Sue. Lagipun Mel jarang masuk dapur. Kalau masuk pun, sebab nak goreng telur, tempe, keropok ikan atau masak mi segera. Yang lain-lain Mel tak pandai."
Cikgu Suraya hela nafas yang sangat panjang. Selepas itu dia ke sinki. Ikatan rambutnya dikemaskan, wajahnya juga dibilas. Biar segar dan tidak mamai.
"Sue boleh ajar Mel cara masak nasi lemak yang betul."
"Thank you, Sue!" jerit Melina tanpa sedar. Tubuh Cikgu Suraya yang rendah sedikit saja daripadanya dipeluk dengan erat.
"Mestilah Sue wajib tolong. Kalau tidak, meletup dapur ni nanti Mel kerjakan. Tak fasal masuk berita. Tajuk muka depan, ‘Seorang cikgu kimia meletupkan dapurnya gara-gara cubaan memasak nasi lemak.’"
Bahu Cikgu Suraya, Melina tampar dengan kasar. Sampai hati Cikgu Suraya ni cakap begitu. Melina merajuk!
Dalam merajuk Melina, nasi lemaknya siap juga. Jangan tidak tahu, hari ini Melina bawa nasi lemak lauk ayam masak merah. Bukan sedikit, tapi kuantitinya sangat banyak. Cukup untuk semua cikgu sesi pagi.
Dan sekarang Melina telah berdiri di tepi meja Idham. Bekas berisi nasi lemak digenggam kemas.
"Cikgu Idham."
Suara Melina halus dan sopan, malangnya Idham tidak dengar pula.
 “Cikgu Idham,” panggil Melina, bersama suara yang lebih keras pastinya. Padahal Melina baru berkira- kira menjadi perempuan Melayu yang halus lenggok suara dan bahasanya.
"Ya?"
Raut wajah Idham sedikit kelat. Agaknya Idham tidak selesa sebab Melina menyapa ketika dia sedang sibuk.
"Nasi lemak ni untuk Cikgu Idham."
Idham tidak segera menyambut, sebaliknya memandang Melina dengan sorotan pelik.
"Untuk saya ke?"
Melina mengangguk. Melihat wajah teragak-agak Idham, susah benar hati Melina. Bimbang nasi lemaknya ditolak.
"Semua cikgu pun dapat nasi lemak ni," sambung Melina, masih lagi berharap Idham lekas-lekas mengambil bekas berisi nasi lemak tersebut.
Cerita jujurnya, memang nasi lemak hari ini dimasak khas untuk Idham saja. Tetapi nanti, nampak sangatlah kalau Melina gilakan Idham. Pasti Idham tidak sudi makan nasi lemak Melina.
"Saya dah sarapan."
Ya Tuhan, Idham sedang menolak secara terang- terangan nasi lemak yang Melina bawakan.
"Tak apalah kalau macam tu. Nasi lemak ni Mel makan sendiri."
Sayu suara Melina. Kalau pun Idham sudah sarapan, usahlah berterus-terang sangat.
"Boleh masuk lagi ke?"
Banyak tanya pula Idham ni. Kalau tak sudi terima, janganlah banyak tanya sangat.
"Boleh. Mel suka nasi lemak. Tiga pinggan pun Mel boleh habiskan."
Melina sedang bohong.
"Bonda saya ajar, buruk siku kalau ambil semula apa yang kita dah beri pada orang."
Tidak jadi Melina berpaling. Sebaliknya, kerutan di dahi Melina yang terlihat dengan jelas sekali.
“Maksudnya?”
"Maksudnya saya nak nasi lemak tu," sambung Idham sembari bekas nasi lemak di tangan Melina di ambil.
"Tapi Cikgu Idham dah sarapan."
"Sarapan dengan sekeping roti kosong tak cukup. Lagipun kalau Cikgu Mel makan nasi lemak ni lagi, silap gaya Cikgu Mel tertidur macam hari tu."
Melina hampir teresak. Meskipun di hujung ayat Idham berbaur nasihat pedas, Melina terima. Sekurang- kurangnya Idham mengambil nasi lemak yang Melina beri.
"Terima kasih sebab beri saya nasi lemak ni, Cikgu Mel."
"Mel. Panggil Mel."
Berkerut lagi dahi Idham. Pasti sebab permintaan Melina supaya dipanggil Mel saja.
"Tak apalah, panggil Cikgu Mel pun boleh."
Ada senyuman yang Idham lukis. Senyuman paling indah yang pernah Melina lihat.
"Harap-harap makin murah rezeki awak, Mel." Bulat sungguh sepasang mata Melina.
 “Dan Mel boleh panggil saya Idham saja. Rasanya tak perlulah letak ‘cikgu’ depan nama saya. Terdengar sangat formal, sedangkan kita kawan.”
Rasanya, Melina mahu melompat sepuas hati. Kemudian menari, petanda hatinya sedang bahagia dipanggil Mel saja. Panggilan Mel itu panggilan manja, panggilan yang mesra. Lebih membahagiakan bila Idham juga meminta supaya dipanggil Idham saja.
Rasa bahagia itu berlarutan sehingga hampir tamat waktu sekolah. Cuma rasa bahagia Melina terbantut gara-gara salah seorang pelajarnya menghantar kertas jawapan kosong. Tajam sorotannya membalas sorotan Sheikh yang tidak bersemangat itu.
"Kenapa hantar jawapan kosong? Soalan senang, tak mungkin Sheikh tak tahu jawapan. Cikgu baru ajar subjek ni minggu lepas."
"Sebab saya dah tak ingat. Apa saya makan semalam pun saya dah tak ingat."
Tekanan darah Melina sedang naik. Air muka tanpa emosi Sheikh tambah mengeruhkan keadaan.
"Sebelum ni Sheikh boleh buat dengan baik, kenapa sekarang prestasi Sheikh merudum teruk sangat? Sheikh ada masalah ke?"
"Cikgu Mel ni boring. Asyik cakap perkara sama. Suka hati sayalah kalau prestasi saya merudum pun. Lebih baik Cikgu Mel jaga tepi kain sendiri."
Jawapan Sheikh benar-benar membuat wajah Melina jadi merah.
"Cikgu jaga tepi kain Sheikh sebab Sheikh pelajar cikgu. Sheikh tanggungjawab cikgu. Amanah untuk cikgu didik sebaiknya."
"Tak lama lagi Cikgu Mel bukan cikgu saya lagi. Jadi Cikgu Mel tak payah susah-susah nak buang masa ambil berat fasal saya. Cikgu Mel pun tak payah risau lagi fasal amanah."
"Sheikh mengarut apa ni?"
Senyuman Sheikh tanpa perasaan. Tiba-tiba saja dia bangkit lantas mula menyandang beg sekolahnya.
"Cikgu dah habis tanya ke? Kalau dah habis, saya nak balik sekarang. Waktu sekolah dah tamat."
"Sheikh!"
"Bye, Cikgu Mel."
Sheikh yang degil itu terus melangkah pergi. Sedikit pun tidak menoleh pada Melina. Perkara begini memang benar-benar mengundang kemarahan.
"Kenapa, Mel?"
"Sheikh tu, Mel tak habis cakap lagi dia dah balik. Sebelum ni dia pelajar cemerlang, sekarang prestasi dia merosot."
"Mungkin dia ada masalah."
"Mel tahu dia ada masalah, sebab tu Mel panggil dia jumpa Mel. Mana tahu, dia pilih tak nak cerita apa- apa pada Mel. Mel ni cikgu kelas dia. Apa-apa pun, Mel mesti nak tolong dia dulu."
Begitu beremosi sekali Melina bercerita. Kedua belah tangannya ligat bergerak, menceritakan betapa risaunya dia dengan perangai Sheikh. Ketika berpaling dan melihat Idham yang berada di sisinya, ayat-ayat emosi Melihat hilang sekejap. Kedua belah tangannya jatuh mendadak.
"Bekas nasi lemak pagi tadi. Sedap nasi lemak tu.”
Bekas makanan lutsinar, Idham unjukkan pada Melina.
Sedap? Segala rasa geram, marah dan risau Melina sedang bertebaran lari.
“Mel masak sendiri?"
Sekarang rasa seperti tercekik pula yang datang. Soalan Idham soalan pancung. Kalau Melina jujur, jatuhlah saham Melina. Nanti bocorlah rahsia kalau Melina ni jenis perempuan yang tidak pandai menguruskan hal dapur.
“Mel masak sendiri.”
Perit tekak Melina sewaktu menuturkan ayat bohong tersebut. Subuh tadi, masanya banyak habis memerhatikan Cikgu Suraya memasak nasi lemak. Nasi lemak hari ini, hasil air tangan Cikgu Suraya, bukan air tangan Melina.
“Pandai Mel masak.”
Maaf, Sue. Mel minta maaf. Lain kali Mel takkan cakap bohong begini lagi. Selepas ni, Mel pasti belajar memasak nasi lemak yang sedap sampai pandai.
“Kalau ada masa, boleh ajar saya masak nasi lemak. Nasi lemak tadi, cukup rasa dan lemak.”
Batu-batu besar dan kecil seperti baru saja menghempap Melina. Gelap seketika pandangan Melina.

Sue, malam ni Mel nak belajar masak nasi lemak yang sedap. Mesti malam ni!



Perhatian : novel ini sudah pun berada dipasaran. 
untuk pembelian layari http://ideakreatif.net/book.details.php?id=61 
atau Mesej kami di Facebook atau facebook page (penerbitan Idea Kreatif)
atau WhatsApp ke 012-312 9793

Bab 4 : LELAKI IDAMAN - PENA KAYU


TAJAM sorotan mata Idham. Sejak tadi dia tidak berhenti dari melihat Melina. Sejak Melina memasuki pagar sekolah lagi.
Idham telah menjadi pemerhati pada keramahan Melina menegur hampir kesemua cikgu yang berpapasan dengannya. Idham menjadi pemerhati pada senyuman manis Melina buat cikgu-cikgu bertuah itu.
Apa yang aneh, ada rasa seperti ditusuk pedang setiap kali Melina menyapa mesra cikgu lelaki yang berstatus bujang trang tang tang. Ini memang penyakit yang aneh, sebab Idham tak sepatutnya ada penyakit seperti ini.
"Pandang siapa?"
Nyaris melompat Idham dibuatnya dek kerana terkejut. Pandangannya cepat saja berkalih pada seraut wajah Kak Ros. Kak Ros ni kerani sekolah.
"Pandang Cikgu Mel la tu."
Aduh, telahan Kak Ros berhasil membuat kepala Idham jadi ringan.
"Muka kalut macam ni, memang betullah tekaan Kak Ros tadi. Idham memang pandang Cikgu Mel."
Semakin ringan kepala Idham. Wajah kalutnya juga semakin ketara.
"Kalau suka, cepat-cepat pikat. Pandang dan jeling saja tak cukup."
Ke situ pula jalan fikiran Kak Ros ni.
"Nanti Idham juga yang melopong kalau Cikgu Mel suka lelaki lain," sambung Kak Ros, lengkap dengan keningnya yang sengaja diangkat berkali-kali.
"Bukanlah, Kak Ros. Saya bukan pandang Cikgu Mel."
Kak Ros menarikan jari telunjuknya di depan Idham. Sekejap ke kiri dan kemudian ke kanan. Selepas itu Kak Ros yang ala-ala polis itu ketawa mengekek sebelum berlalu pergi. Meninggalkan Idham di kawasan letak kereta tersebut.
Idham kembali melihat ke arah Melina. Melina masih berbual dengan seorang cikgu lelaki. Idham lupa nama cikgu lelaki tersebut. Apa yang Idham ingat, dia baru saja selesai menghempas pintu BMW 3 Seriesnya.
Mulutnya mengomel itu dan ini, sedangkan sorotan matanya masih melekat pada Melina. Sedar-sedar dahinya terasa perit. Sedar-sedar dia terundur dua langkah ke belakang. Haruslah Idham mengaku, dahinya telah tercium tiang.
"Tak guna tiang ni!" gerutu Idham. Marah benar nampaknya. Mulutnya kembali mengomel itu dan ini.
"Cikgu Idham okey tak? Sakit?"
Suara yang menegur membuat Idham segera berpaling. Seraut wajah prihatin Melina yang lebih dulu menyapa.
"Sakit apa? Saya tak sakit. Saya okey."
Melina sedang menelan liur sendiri mendengar jawapan seperti orang marah Idham.
"Dahi tu," jawab Melina kemudian sembari menyentuh dahi sendiri.
"Nampak merah," sambung Melina lagi.
"Jadi?" tekan Idham tidak mahu kalah.
Entah apalah masalah Idham. Melina cuma bertanya, tak perlulah sampai hendak jengilkan mata.
"Saya nampak Cikgu Idham langgar tiang ni," balas Melina sambil menunjuk-nunjuk tiang yang sempat dahi Idham cium.
"Saya tak langgar tiang ni. Saya tak pernah langgar tiang tu. Semua tiang dalam sekolah ni saya tak pernah langgar.”
Semakin dalam kerutan dahi Melina.
"Tu, dahi cikgu merah. Merah sebab cium tiang."
"Merah sebab nyamuk gigit. Bukan sebab langgar tiang. Ayat cikgu tu salah, tolong betulkan."
Mata Melina belum rabun. Lagipun nampak sangat bukan sebab gigitan nyamuk yang buat dahi Idham merah. Kalau nyamuk, pasti ada benjolan kecil.
"Saya dah lambat ni."
Idham telah pergi. Langkahnya cukup laju meninggalkan Melina. Kalau lebih lama dia berbahas dengan Melina, nanti tembelangnya yang memang sudah pecah itu terburai.
Nampak sangat dia cium tiang tadi. Malu nak mengaku la tu," bisik Melina sambil mengikuti langkah kaki Idham dengan ekor mata. Setelah figura Idham hilang, barulah Melina menghayun langkah. Itupun dengan air muka kesal.

MELINA menguap kecil menahan rasa mengantuk yang datang. Kali ini Melina menguap bukan sebab terlebih makan nasi lemak, tapi sebab kelelahan. Rasa lelahnya belum hilang gara-gara mengangkut semua barangnya ke rumah Cikgu Suraya semalam. Namun lelahnya berbaloi, dia tidak tinggal berseorangan lagi.
Loceng sekolah berbunyi, menandakan saatnya telah tiba untuk pelajar rehat. Melina juga telah selesai mengemas buku teks dan rujukan setelah memberi kerja rumah pada pelajarnya. Belum sempat ketua kelas bersuara, ada suara lain yang mendahului.
"Cikgu Mel! Cikgu Mel!"
Nampaknya, pelajar paling kecoh dan punya suara paling besar yang mendahului ketua kelas.
"Ya Intan, ada apa?"
Intan tersengih-sengih bagai kerang tidak laku di pasar pagi. Sorotannya nampak begitu nakal sekali.
"Ada apa-apa yang Intan tak faham fasal subjek tadi?"
"Bukan fasal tu, Cikgu Mel."
"Habis tu?"
"Kelmarin saya nampak Cikgu Mel dekat Giant.”
Alahai, nampak Melina di Giant saja. Perkara biasa. Rasanya tidak perlulah diberitahu satu kelas.
“Saya nampak Cikgu Mel dengan seorang lelaki. Kacak sangat-sangat."
Ini sudah lebih. Kehidupan peribadi Melina sedang dijaja pula. Lagipun lelaki itu bukan siapa-siapa, cuma bekas kawan sekolah yang lama terpisah. Nanti ya, sekejap lagi Melina cilikan mulut Intan tu.
"Cikgu Mel suka lelaki lain la, Intan. Mesti lelaki tu kawan biasa Cikgu Mel. Cikgu Mel kan suka Cikgu Idham," sampuk Fendi tiba-tiba sebelum melirik ke arah Melina.
Betul tu Fendi, Melina setuju. Cuma yang tak betul, bila dua orang pelajarnya ini sedang menjaja cerita hati Melina. Pagi tadi, tuan pengetua juga bercakap tentang cerita hati Melina. Sampai bila-bila pun, Melina takkan lupa ayat-ayat tuan pengetua.
"Cikgu Mel."
Melina sedang serius pada 'pekerjaannya', mohon jangan dikacau.
"Cikgu Mel."
Kali ini, meja telah diketuk, terpaksa juga Melina mengalihkan pandangan. Terpaksa juga 'kerjanya' ditangguhkan sebentar.
"Ya?"
"Cikgu Mel pandang siapa?"
"Cikgu Idham." Aduh, mulut Melina begitu polos memberi jawapan benar pada pertanyaan tuan pengetua.
"Eh, salah jawapan. Bukan pandang Cikgu Idham, tapi pandang pokok-pokok dekat luar tu. Banyak pula daun yang gugur hari ini."
"Pokok? Saya tak nampak ada pokok pun dari sini.” Jawapan putar belit Melina makan diri!
“Cikgu Mel nampak pokok yang mana? Pokok betul atau pokok manusia." Senyuman mengusik tuan pengetua jelas kelihatan.
"Cikgu Mel, saya ni dah makan banyak garam. Jadi kerja Cikgu Mel pandang Cikgu Idham tu, saya dah lama perasan."
Melina ingin segera hilang dari pandangan mata tuan pengetua. Kalau boleh, sekarang!
"Saya syorkan Cikgu Mel lamar sajalah Cikgu Idham tu. Selalu sangat saya nampak Cikgu Mel pandang dia. Cikgu Mel dengan dia, dua-dua pun bujang lagi. Rugi kalau Cikgu Mel pandang saja. Kalau dah halal, nanti Cikgu Mel boleh pegang-pegang tangan dia. Nak pegang lebih daripada tangan pun boleh."
"Cikgu Idham!"
Suara Intan begitu kuat. Lamunan Melina lenyap. Sekarang matanya sedang melihat Intan berada di muka pintu bilik darjah. Intan sedang menggamit seseorang. Seseorang yang bernama Idham, yang nama lengkapnya Idham Noah (Terima kasih pada Fendi yang memberi maklumat), yang kebetulan sedang melalui koridar.
"Cikgu Idham, Cikgu Mel curang dengan lelaki lain."
Ayat sambungan Intan telah berhasil membuat Melina hendak pengsan. Lebih-lebih lagi ketika melihat air muka terkejut Idham.
Sepuluh minit kemudian, Melina beriringan dengan Idham melalui koridor yang sedikit lenggang. Tadi puas juga dia mengusir rasa terkejut Idham. Mujurlah Idham ini jenis mudah percaya pada kelentong Melina.
"Cikgu Mel, saya nak tanya sikit."
Tanyalah. Tanya banyak-banyak ya, Idham. Jangan sedikit pula. Melina pasti jawab dengan jujur dan ikhlas.
"Cikgu Idham nak tanya fasal apa?"
Idham nampak sedikit teragak-agak, pun begitu air muka teragak-agak itu sangat melekat dengan jiwa Melina.
“Mel lahir dekat Tanjong Malim, Cikgu Idham. Cuma membesar dan tinggal dekat KL."
Berkerut pula dahi Idham. Idham belum tanya soalan, Melina telah beri jawapan.
"Saya bukan nak tanya fasal asal-usul Cikgu Mel."
“Mel tahu tapi Mel nak Cikgu Idham tahu lebih banyak tentang Mel.”
Idham hela nafas panjang. Air mukanya nampak serius, sorotannya jadi tajam. Tetapi buatlah air muka bagaimana pun, Melina tetap suka. Suka yang serius!
"Jangan macam ni, Cikgu Mel. Sekarang pun dah banyak sangat gosip yang sampai dekat telinga saya.”
“Gosip yang macam mana?”
“Gosip tentang Cikgu Mel dengan saya. Dan sekarang saya cuma nak tahu satu perkara. Saya harap Cikgu Mel boleh jawab dengan jujur.”
“Apa dia?”
Tidak berkelip mata Idham. Melina di depannya ini terlalu selamba dan seperti tidak kisah dengan gosip yang sedang hangat dibualkan.
“Tanyalah,” desak Melina. “Cikgu Mel suka saya?"
Merah muka Melina, seperti merahnya ketam nipah yang dibakar. Spontan jari telunjuk Melina naik. Kemudian digoyangkan ke kiri dan juga ke kanan.
"Taklah, Mel tak suka Cikgu Idham. Betul, Mel tak suka."
"Kalau tak suka, tak apalah. Senang sikit kerja saya."
Idham mula melangkah lagi. Semakin jauh meninggalkan Melina di belakang.
Mel, kata tadi hendak jawab jujur dan ikhlas. Kenapa jadi jawapan bohong pula ni? Lagipun, tadi itukan peluang keemasan untuk mulakan langkah pertama.
Melina menghantukkan kepalanya secara perlahan ke dinding bangunan sekolah. Mulutnya tidak berhenti berkicau marah pada diri sendiri.
"Cikgu Mel."
Melina mengangkat wajah. Besar matanya melihat Idham. Spontan lagi jarinya beraksi. Kali ini jari Melina ligat meraba dinding bangunan sekolah.
"Cantik cat dinding bangunan ni, Cikgu Idham. Nanti Mel pun nak cat dinding bilik tidur Mel dengan warna putih ni."
“Cat dinding ni cantik?”
Mahu menangis saja rasanya bila Idham meminta kepastian. Berkali-kali juga Idham melihat cat dinding yang telah mengelupas itu. Pasti Idham fikir citarasa Melina sangat teruk dalam pemilihan cat dinding. Pasti!
“Saya tak rasa cat dinding ni cantik, tapi kalau Cikgu Mel rasa cantik juga, terpulang.”
Hilang terus mood Melina.
“Cikgu Mel nak ke kantin?”
Melina angguk, lemah dan tidak bersemangat. “Kita pergi sekalilah.”
Semangat Melina datang semula. Senyuman Melina, paling manis setakat ini. Belum pernah sepanjang 27 tahun ini, Melina melukis senyuman semanis ini.
“Ajak Cikgu Sue sekali.”
“Tak payah ajak. Sue memang selalu tunggu Mel. Mesti Sue sedang simpankan tempat duduk sekarang ni.”
Jadi kurang sepuluh minit kemudian, Melina telah duduk di depan Idham. Hanya dibatasi nasi lemak dan teh tarik. Cikgu Suraya pula memilih untuk membisu. Cikgu Suraya memang begitu, Cikgu Suraya jenis yang tidak suka sangat bergaul dengan lelaki.
Sayang sekali Cikgu Suraya yang cantik itu belum berpunya. Melina yakin, pasti berderet lelaki suka pada Cikgu Suraya, tetapi patah hati. Cikgu Suraya bukan layan dengan godaan lelaki ni.
“Makanlah, Mel. Sekejap lagi waktu rehat tamat.”
Suara lembut Cikgu Suraya keluar juga. Sejak tadi Cikgu Suraya makan tanpa henti. Bukan seperti Melina, Melina makan dengan penuh tertib. Gaya ala-ala perempuan Melayu terakhir. Semuanya sebab mahu menjaga adab di depan Idham.
“Nasi lemak Cikgu Mel tak luak pun. Tak sedap ke?”
Bukan tidak sedap wahai Idham, cuma bila Idham berada di depan Melina, spontan Melina jadi gemalai dan penun santun.
“Kenyang lagi.”
Idham mengangkat wajah. Melirik sekilas pada Melina sebelum beralih pada Cikgu Suraya.
“Cikgu Mel ni kurus sangat, Sue. Sue patut ajar dia makan masakan Tawau. Pasti berat badan dia naik.”
Idham letakkan gelaran cikgu pada pangkal nama Melina, tapi kalau Cikgu Suraya, Idham hanya panggil Sue. Jujur, Melina juga mahu dipanggil Mel saja. Nampak mesra dan rapat.
“Sue masuk dulu, Mel. Banyak kerja.”
Cikgu Suraya bangun dan terus pergi. Tinggal Melina dan Idham di meja makan tersebut.
“Sue memang macam tu ya, Cikgu Mel?”
Tadi Sue, sekarang Sue lagi. Bila Idham hendak tanya fasal Melina pula?
“Sue memang macam tu. Tak banyak cakap dan tak rapat dengan lelaki.”
“Tak rapat dengan lelaki? Kenapa? Sue dah ada teman lelaki?”
Berkerut dahi Melina. Kalau tadi selera makannya hilang, sekarang datang. Berkali-kali dia menyuap. Sudah hilang semua gemalai dan santun seorang Melina.
“Cikgu Idham tanya panjang lebar ni sebab nak isi borang ke?”
Belum sempat Melina menerima jawapan, loceng sekolah berbunyi lagi. Padahal Melina sangat memerlukan jawapan lelaki itu. Tetapi tak mungkinlah Melina hendak mendesak.

“Tadi tu saya cuma tanya, bukan sebab ada maksud tertentu. Cikgu Mel jangan fikir yang bukan- bukan.” Jawapan yang bagus. Melina suka dengan jawapan Idham.