Showing posts with label Lelaki Untuk Zinn - Ezza Maysara. Show all posts
Showing posts with label Lelaki Untuk Zinn - Ezza Maysara. Show all posts

Saturday, 4 February 2017

Bab 5 : LELAKI UNTUK ZINN - EZZA MYSARA


SEDANG dia ralit menonton TV, pintu grill ditarik dari luar. Tersembul wajah Uthman yang serabai. Hari ini, genap lima hari lelaki itu tidak pulang ke rumah. Ikut suka hati saja buat rumah ni macam hotel?

Terus dia mengekori si abang yang baru masuk ke dalam bilik.

“We need to talk.”

“Jangan serabut boleh tak? Aku nak balik rehat sesekali pun payah!” Dengus Uthman geram. Ada adik beradik perempuan ni memang menyusahkan betullah!

“Oh! Balik rehat? Kenapa? Penat berjimba dekat luar?”

Langsung tak dihiraukan bebelan Zinn, Uthman hempaskan badan di atas katil bujangnya. Sempat anak mata memerhatikan sekeliling. Bersih. Pasti ada yang terlebih rajin mengemaskan biliknya. Dan dia berani, bertaruh, orang itu adalah Zinn. Sebab yang lain-lain tak rajin buat kerja-kerja mengemas ni.

“Apa ni Man?” Beberapa buah DVD yang dijumpai ketika mengemas dilempar di atas katil abangnya.

Uthman jeling DVD itu. Aiseh! Asal boleh jumpa pulak ni?

“DVD. Tak kenal ke?”

Lengan disilang ke badan. 

Kau ingat aku tak tahu ke tu DVD apa?”

“So what? Lantaklah aku nak tengok apa pun. Kau sibuk kenapa? Boleh tak sesekali aku balik kau jangan nak menyemak? Kau tu adik! Adik buatlah cara adik. Tak perlu nak cara hidup aku sangat. Aku lelaki. Aku tahulah apa yang aku buat!” Suara Uthman dah naik. Badannya ikut turut terangkat. Jangan sampai tangannya pula yang terangkat.

“Kau ni tak kesian ke dekat ibu abah dalam kubur tu? Tak kesian ke kalau dia orang terpaksa tanggung dosa- dosa kau tuh? Kau tu satu-satunya anak lelaki yang dia orang ada. Kau sepatutnya jadi tunjang dalam keluarga kita. Jadi pemimpin. Ini tidak, kau...” Rasa sebak sudah memonopoli hati.

Beza umur mereka yang empat tahun tidak membataskan panggilan mereka. Memang dari kecik, mereka senang membahasakan diri ‘aku’ ‘kau’ sahaja. Lagipun, masa kecik, dia baik dengan abangnya itu. Sebab itu bila abangnya berubah, dia paling rasa kehilangan.

“Damn! Berhenti cakap pasal satu-satunya anak lelaki, pemimpin semua tu boleh tak? Aku ada hidup aku! Korang ada hidup korang! Cara hidup masing-masing boleh tak?”

“Kalau kau rasa, kau dah cukup ada hidup kau sendiri, bolehlah pelan-pelan berhambus dari rumah ni! Jangan buat rumah ni macam hotel ya.” bidas Zinn lagi.

Uthman tarik senyum. Sinis.

“Kalau kau lupa, aku nak ingatkan semula. Lepas ibu ayah meninggal, rumah ni atas nama aku! Nama-aku! Kalau ikutkan, aku ada hak untuk halau korang semua dari rumah ni. Jangan sampai aku buat macam tu Zinn. Jangan cabar kesabaran aku yang tak banyak ni!” Tuala yang berada di penyidai ditarik kasar.

Serius ke dia dengar semua tu keluar dari mulut Uthman? Serius ke Uthman bagi hint untuk halau mereka empat beradik?

“Man, aku bukan nak belagak jadi ustazah. Tapi tak baik man tengok benda-benda haram macam tu. Empat puluh hari amalan kita tak diterima tau bila tengok video lucah.” Berhati-hati Zinn memberi peringatan. Dia tak mahu Uthman terus hanyut.

Sungguh, didikan ibu dan ayah tak sepatutnya menjadikan Uthman sebegini rupa. Mana perginya si abang yang pernah mengimamkan solat jemaah mereka? Mana perginya Uthman yang bertanggungjawab dahulu?

Uthman pandang si adik yang berada di hujung pintu biliknya.

“Lebih senang macam gitu. Tak payah susah-susah nak solat. Tak gitu?!” tempelak Uthman sinis.

“Tak baik bercakap macam orang tak ada iman.”

“Aku memang dah tak ada iman? So, kau nak buat apa Zinn? Jadi soleh pun apa yang kita dapat? Hidup kita senang ke? Tak kan? Hutang piutang bersepah jugak. Hidup kita haru biru jugak. Dah, keluar bilik aku. Dan lepas ni tak payah gatal-gatal kemas bilik aku lagi. Nanti macam-macam kau jumpa, macam-macam kau bebel dekat aku.” Ditolak si adik keluar dari biliknya.

Di luar pintu bilik, air mata Zinn menitis. At least, hati kita tenang Man. Tenang.
Baru sahaja Zinn berpaling, dia menangkap kelibat si kembar. Eh, bila pulak si kembar ni balik? Bukan ke dia orang keluar bandar ke tadi? Janganlah. Janganlah mereka tahu aib si abang yang satu itu.

“Lepas ni kalau abang balik, Kak Zinn buat bodoh je boleh tak? Ain penatlah dengar orang bergaduh.” Bukan serabut dengar orang bergaduh sebenarnya. Tapi lebih kesian kepada Zinn. Lagipun, buat apa nak pedulikan orang yang tak pedulikan kita? Dia kalau terserempak dengan si abang kat luar, harus buat-buat tak kenal.

Cepat-cepat diseka air matanya.

“Korang bergaduh sesakkan kepala Kak Zinn, tak apa pulak?”

“Kita orang ni penyeri suasana kak. Cuba bayangkan kalau kita orang tak ada, hidup Kak Zinn sunyi tau. So, bersyukur sikit,” ujar Sue, si kembar Ainul sambil membuat high five bersama kembarnya.

Ya. Memang tak diakui. Si kembar ini memang penyeri. Walaupun dalam masa sehari, dua puluh kali mereka bergaduh tapi gaduh mereka tak pernah lama.

KEMUNCULAN rakan baik ketika dia di UMP dahulu mengejutkan Zinn.

“What’s the great surprise? Kau apahal terpacak dekat sini?” Soalan random Zinn setiap kali menerima kejutan dari Rudi.

“Aku tengah bakar sate."

“Hampeh!” Buku yang berada di tangan terus dihala ke bahu Rudi. Suka nak kenakan dia dengan jawapan bodoh itu.

“Aku tunggu kau lah.” Sejak Zinn ambik keputusan untuk tangguhkan pengajian, Rudi akui hari- harinya di kampus sudah tidak semeriah dulu. Jujur, dia rindu Zinn!

“Tunggu aku? Wow! Kau dah berhenti belajar dan nak jadi driver aku ya?” Seloroh Zinn. Melihat kedatangan Rudi, luruh semua rindunya.

“Kalau aku betul-betul jadi driver kau, aku nak jadi yang versi seumur hidup tau! Versi permanent forever.” Sesekali perlu jugak dia bagi hint pada Zinn. Biar gadis itu tahu, dirinya pun salah satu keutamaan dalam hidup Rudi Amsyar. Cuma masa masih tak mengizinkan ayat warta itu keluar dari mulutnya.

“Lorh... itu je cita-cita kau? Tak mencabar langsung! So, apa yang membawa kau ke sini?”

Kalau jawab rindu, dia pasti akan pengsan dengan serta merta. Aiseh, gedik sangat bunyinya. Jangan duk layan perasaan sangatlah Zinn.

“Aku dah dapatkan kerja part time yang kau tanya hari tu.”

“Oh, really?” Tak sangka Rudi betul-betul tolong dia cari. Dalu dia memang ada suarakan isi hati untuk mencari kerja part time yang tidak melibatkan malam hari dah hujung minggu kerana itu waktu dia mengajar di pusat tuisyen.

“Kerja apa?”

“Jadi isteri akulah...”

Zinn ketawa sepatah-sepatah.

“Ceit! Diri sendiri pun tak tertanggung. Ada hati...” cebik Zinn sambil menghalau pergi semua rasa yang berkelubung di hati. Rudi pun bukan orang senang untuk senang-senang nak kahwin dengan anak dara orang. Ini bukan cerita novel yang semua akan disudahi dengan indah.

“Kerja taska. Kau okey?”

“Taska. Hmm. Interesting. Since I love kids very much!”

“Oh, nak kata ciri-ciri keibuan melimpah ruah lah ni? Saje nak naikkan saham diri sendiri depan aku ke macam mana?” usik Rudi sengaja.

“Saham aku dah sedia naik, tak perlu nak bagi lauk tambah. Ya dak?”
Perbualan mereka itu secara tidak langsung ditangkap oleh Azan yang sedang menunggu Pak Tam datang menjemput. Headphone yang di selit ke telinga sejak awal tadi sudah lama ditarik keluar.

Mula-mula dia nak buat tak tahu. Tapi duduknya berubah apabila melihat kemesraan mereka. Siap boleh bertepuk tampar menggunakan buku di tangan.
Dan tak semena, dia rasa cemburu melihat kemesraan tersebut.

“Ahmad Azan, kenapa kau nak rasa cemburu bagai pulak? What is wrong with you?!"

Kejap. Keningnya bersambung.

Cikgu nak cari kerja part time? Cikgu dah tak nak mengajar di sini lagi ke atau ini ada kaitan dengan masalah kewangan pusat tuisyen ni?

Dan apa yang menarik minat Azan ialah apa hubungan cikgu dengan mamat tu? Selama ini dia sedar cikgu memang peramah dengan semua pelajar. Tapi cikgu tetap memberikan perhatian padanya walau tak pernah sekalipun dia endahkan cikgu.

Kenapa dia macam tak suka bila cikgu bagi perhatian pada lelaki lain? Macam dahulu, dia akan cemburu kalau nenek lebihkan cucu yang lain. Dan sekarang, dia rasa benda yang sama.

Oh shit!

Apa hal dengan dia ni?


DARI luar Azan nampak pintu bilik kerja papanya masih menyala. Tanpa berfikir panjang, pintu bilik itu diketuk.

“Siapa?” Encik Tarmizi yang berada di dalam bilik sudah kehairanan. Jam di dinding sudah menunjukkan angka dua pagi. Tak kan Kak Hawa pulak? Dan paling tak logik, tak kan Azan pulak? Sejak kes pergaduhan di gazebo dahulu, mereka dah lama tak bertegur sapa.

“Azan.”

Azan? Bunyi macam menarik. “Masuk!”

Cermin mata yang tergantung di batang hidung ditanggalkan. Biar anak matanya sendiri menyambut kehadiran si anak. Adakah Azan sudah memaafkannya dan melupakan segalanya?

“Azan tak nak tuisyen di situ lagi.”

Pulak. Lain yang diharap, lain pula yang jadi. Azan memang nak balas dendam dengan menyusahkan hidup dia kan? Jika tidak, pasti hidup si anak tidak akan puas.

“So, Azan nak tuisyen dekat mana?” 

“Azan nak tutor personal.”

“Okey, nanti papa aturkan.” Ikut saje lah kepala si anak. Mengalah mungkin jalan terbaik.

“Nope! Azan dah jumpa orangnya.”

“Dah jumpa? Siapa?” Kali ini Encik Tarmizi angkat punggung. Azan dah start buat perangai pelik-pelik dah.

“Cikgu Zinn.”

“Cikgu Zinn? Siapa tu? Cikgu dekat sekolah? Dia ajar subjek apa? Tak kan dia sorang nak cover semua subjek?”

“Dia cikgu dekat tempat pusat tuisyen.”

“Papa kena pastikan yang dia betul-betul ada qualification untuk mengajar Azan. Papa tak nak ada sembarangan cikgu...”

“Azan tak akan belajar selain dengan dia,” pintas Azan cepat.

“Azan cuba untuk peras ugut papa?” Dunia memang dah nak terbalik. Anak zaman sekarang dah berani peras ugut orang tua sendiri.

“Terpulang pada papa nak fikir macam mana. Kalau betul papa nak serius dalam pelajaran Azan, Azan nak papa hire dia jadi cikgu Azan. Fulltime!”

“Okey. Andai kata kalau papa setuju sekalipun, belum tentu lagi cikgu yang kamu nak tu akan setuju kan?” duga Encik Tarmizi geram. Si anak ni kadang-kadang berfikir macam tak ada otak.

“Lah.. apa guna duit papa yang berkepuk tu? Gunalah duit-duit tu untuk buat dia setuju.” Seperti sudah tahu soalan itu akan keluar dari mulut papa, terus dia lempar idea bernas.

Encik Tarmizi ketap bibir. Percubaan si anak untuk menipiskan sabar dia memang hampir berjaya. Tapi kali ini, dia tidak mahu kalah semudah itu.

“Jadi dia hanya mudah terbeli dengan duit? Macam mana papa nak yakin yang dia boleh mengajar kamu dengan baik?”

“Apa nak pelik? Hidup pun terbeli dengan duit jugak kan? Kalau papa rasa family lebih penting, dah lama papa sedar semua ni sebelum nenek meninggal lagi.” Jangan bagi dia ungkit semua sejarah silam keluarga mereka malam ini. Dan dia sebegitu pasti yang papanya tak akan suka apa yang akan keluar dari mulutnya nanti.

“Jangan nak mulakan Azan!”

Azan hanya senyum.

“Terima kasih sebab pinjamkan masa papa untuk Azan. Erk, kalau perjumpaan kita ni buat papa rugi, papa boleh tolak elaun Azan bulan depan. Selamat malam. By the way pa, jangan tidur lewat sangat. Nanti kesihatan terjejas. Tak kan papa nak bazirkan duit papa yang berkepuk tu untuk bayar doktor kut? Tak berbaloi kan?”

Usai Azan keluar dari biliknya, terus semua dokumen di atas meja ditepis kasar. 

Azan memang melampau!



Bab 4 : LELAKI UNTUK ZINN - EZZA MYSARA


DARI mula sampai habis cerita, Masyitah hanya ketawa. Seronok mendengar si adik kena ‘game’ dengan mamat tak cukup umur tu?

“Muda-muda lagi dah ada gaya bad boy yang cukup memikat.”

“Itu puji ke keji tu?” Tak tercapai dek akal Zinn menyambut ayat Masyitah itu.

“Dia saje lah tu nak menyakat kau. Dah kau duk gasak dia dengan soalan kenapa-kenapa. Lepas ni mesti dia berani bet, kau tak akan ganggu dia lagi. Bijak-bijak...”

Zinn mendengus. Serupa tak payah ceritalah dengan kakak dia ni. Rasa nak cekik pun ada.

“Hmm, lagipun betul apa? Yang kau nak tahu sangat tu kenapa? Less is more kan? Lagipun, lantak dialah nak belajar ke tak. Yang penting dia bayar duit tuisyen.” Fail di hadapan Masyitah belek.

Zinn mengeleng. Walaupun dah berjanji untuk bersusah senang bersama, tapi si kakak masih gagal membuang tabiat yang suka menampung beban sendiri. Fail yang sedang dibelek oleh Masyitah dirampas.

“Woii... akak tengah buat kerja kan?”

“Akak ingat aku ni bodoh sangat ke? Sah-sahlah aku tahu ayah AA ada datang jumpa akak dan siap bagi ayat sound! Akak jugak cakap ayah dia bayar triple kan? So, tak kan kita nak biar student kita lari kut!”

“Biarlah Zinn kalau sungguh dia nak lari pun. Kita tak boleh tahan orang dari pergi dan datang dalam hidup kita.” Stok ayat matang keluar dari mulut Masyitah. Dia pun ada maruah yang perlu dipertahankan. Dia berniaga. Bukan pengemis.

“Cakap serupa orang menyerah.”

“Nope! I’m not! Akak tengah settle kan cara pinjaman dengan pihak bank untuk settle kan masalah kewangan ni. Don’t worry Zinn. Sentiasa ada jalan untuk semua masalah. Take it easy.”

“Kalau tak lulus?”

Diam.

“Hmm... sebab tak ada harta nak jual, so terpaksalah jual diri.”

“Kepala hotak kau!” Terus dapat pangkat dari Zinn.

Masyitah ketawa. “It’s a joke. Relaks laa...”

“Mungkin kita boleh guna simpanan....”

“No! No!” tolak Masyitah tanpa sempat Zinn menyudahkan ayatnya. Dia tahu apa yang memenuhi benak Zinn. Tapi walau apa pun yang berlaku, duit simpanan itu tetap tidak akan dikeluarkan. Itu milik si kembar. Duit yang ditinggalkan oleh orang tua mereka untuk kegunaan masa depan.

“Alah, mana tahu kita sempat nak cover balik.” Dia tahu idea ni memang kurang cerdik jugak. Tapi, kadang-kadang kena guna jugak idea tak cerdik ni.

“Siapa tahu kalau kita tak mampu nak cover balik?” Selalu ada persoalan di balik persoalan. Dan apa yang dia tahu, dia tak akan sesekali memperjudikan nasib si kembar. Itu amanah. Dan amanah perlu dipegang sampai bila-bila.

“Hmm.. akak ada bincang masalah ni dengan Man?”

“Bincang dengan dia? Serupa tak payah. Sejak ibu ayah meninggal pun, dia pernah ke kisah dengan pusat tuisyen ni?”

Diam. Argh, putus nyawa fikir jalan penyelesaian.

“Don’t worry Zinn. This is my problem and I will take care about it. Jangan pening-peningkan kepala tu. Tugas kau ialah mengajar dan akak akan pastikan kau tak akan tangguh study lama-lama.” Masyitah bagi senyuman paling manis.

Satu, Zinn memang bersyukur dapat kakak macam Masyitah walaupun perangai dia yang suka pikul masalah sorang-sorang tu memang mintak kena hempuk.

Dua, kadang-kadang Zinn takut kalau Masyitah ni terlalu fikirkan pusat tuisyen sampai lupa nak fikir hidup sendiri. Kakak dia ni dah berumur dua puluh enam kut! Wajar dah ada hidup sendiri.

“Erk, tanya sikit boleh?” Tiba-tiba dia teringatkan kat sorang mamat yang ‘pernah’ rapat dengan Masyitah dahulu.

“Iya, cik banyak tanya? Cepat tanya, akak ada banyak kerja ni.” Sejak pekerja di bahagian akaun berhenti, dia yang terpaksa take over semuanya. Skill akaun yang hampir tumpul perlu diasah semula.

“Dulu akak ada berkawan dengan Abang Khairil kan? Kenapa...”

“The end.” Pintas Masyitah cepat-cepat. Dia dah lama buang nama itu dalam kamus hidupnya.

“Asal?”

Masyitah senyum. “Ada sesetengah soalan, tak perlukan jawapan Zinn.”
Diam. Banyak cerita yang menemui penamat yang tergantung. Umpama tiada kesudahan.

“You still love him?” Sedang dia masih menimbang-nimbang soalan itu di kotak fikiran, laju sahaja organ mulutnya melancarkan serangan.

“I got to go. See you at home! Jangan nak merayap pulak.”

Karbon dioksida dilepaskan. Kronik betul hari ini. Masyitah dengan degilnya. Azan dengan kehilangan kewarasannya.


BADAN Azan sandarkan ke tiang gazebo. Tak tahu kenapa, kata-kata yang diucapkan kepada cikgu pagi tadi tak mampu dihalau dari benaknya. Ah, bunyi dia macam mengacau sungguh.

“Masuk meminang?” Macam mana dia boleh secara tak malu bergurau sebegitu rupa?

Tanpa sedar, dia tersenyum sendiri. Ini kalau arwah nenek tahu ni, tak pasal kena piat telinga.

“Lama dah Pak Tam tak nampak Azan senyum macam tu.” Teguran Pak Tam, pemandu keluarganya buatkan cepat-cepat betulkan duduk. Tak sangka telatahnya diperhatikan.

“Duduklah Pak Tam.”

“Teringatkan siapa? Makwe?”

Kali ini Azan ketawa. Sesuatu yang dah lama dia tak buat. Hilang tegang di wajahnya.

“Pak Tam lega dengar Azan ketawa. Tapi Pak Tam tak tahulah sama ada soalan Pak Tam memang betul- betul kelakar atau Azan memang betul-betul ada makwe sampai Azan boleh ketawa macam ni?”

“Ke situ pulak Pak Tam ni.. Azan baru tujuh belas tahunlah. Makwe pebendanya,” sanggah Azan perlahan. Menyambung senyum.

Antara benda yang dia selesa dalam rumah ini adalah dengan adanya Pak Tam dan Acik Hawa. Mereka suami isteri dah lama bekerja bersama papanya. Selain itu, rumah ini langsung tak menarik baginya.

“Manalah Pak Tam tahu. Budak-budak sekarang bukan tengok umur pun bila nak bercinta. Azan kan handsome, mestilah ramai anak dara terpikat kan?” pancing Pak Tam lagi. Seronok tengok Azan versi begini.

“Pak Tam, apa pendapat Pak Tam pasal cikgu?”

Terdiam Pak Tam menyambut soalan Azan itu. Pelik sebab Pak Tam rasa hobi lama Azan yang suka berbual tu muncul balik.

“Cikgu? Cikgu yang kita hantar ke rumah kelmarin?”

Kepala Azan angguk. Mengiakan. “Kenapa tiba-tiba Azan tanya?”

“Saje.”

“Cikgu tu comel tapi kalau untuk Azan, macam terlalu tua pulak. Azan nak mengurat cikgu ke?” Jangan nak. Jangan. Masalah yang sedia ada dah cukup banyak. Janganlah Azan nak pikul masalah baru pulak. Budak sorang ni bukan boleh kira.

“Ke situ pulak Pak Tam ni. Tak adalah, cikgu tu banyak sangat cakap! Dan mulut dia tu buat Azan hilang sabar dan selalu buat Azan rasa nak balas balik.” Ya, dia macam dah hilang diri sendiri bila berhadapan dengan cikgu.

“Memang dari dulu pun Azan banyak cakap kan.” Itu memang hakikat yang tak dinafikan.

Cuma sejak nenek pergi je, dan sejak Azan dipaksa duduk di rumah ini, suara anak muda itu sudah mahal untuk didengar. Nak diajak berbual seperti dahulu pun sudah payah.

Kata-kata Pak Tam buat Azan terdiam. Ya, Dia bukan hilang diri sendiri. Tapi, dia sudah jumpa diri sendiri yang telah hilang dahulu.

Bunyi kereta yang masuk buat keduanya berpaling. Papa dah balik. Jam dikerling. Awal hari ni?

“Awal pulak dia balik. Tak busy cetak duit ke?”

“Azan.. tak baik cakap macam tu,” tegur Pak Tam lembut.

“Pak Tam, ada sesetengah benda dah tak mampu untuk diperbetulkan.”

“Silap tu Azan. Semua benda boleh diperbetulkan bila kita betulkan emosi kita dulu.” Baginya, dua beranak ni sama-sama degil. Semua benda nak menang. Kemenangan apa kalau pialanya adalah sebuah kebencian?

Pak Tam terus angkat kaki bila Encik Tarmizi menghampiri mereka. Sesekali bersua muka, mesti ada perkara yang hendak dibualkan.

“How’s your study?”

Diam. Mata Azan kembali menjamah buku puisi yang dipegang olehnya tadi.

“Papa tanya ni kan? Susah sangat ke nak jawab?” Encik Tarmizi sudah bosan bersabar dengan si anak. Sampai bila nak angkat banner mogok bercakap dengan ayah sendiri? Benda dah lama berlalu.

Menyambut diam si anak yang berterusan, kesabaran dia sudah hampir hilang.

“Dah enam bulan berlalu Azan! Move on! Sampai bila nak buat perangai tak matang ni? Kamu seronok ya buat papa macam ni? Seronok dapat tengok papa jadi macam tunggul dalam rumah ni? Seronok?” Bergema suara Encik Tarmizi melampiaskan marah.

Kuat tak kuat suara Encik Tarmizi itu sampai Acik Hawa yang sedang menggoreng cekodok di dapur pun ikut turut keluar. Sudip masih setia di tangannya. Sempat bertukar pandang dengan si suami. Melurut dada yang dimamah terkejut. Hidup dua beranak ni tak pernah nak aman! Dan mereka buat hidup orang dalam rumah ni pun tak aman sekali.

“Relaks lah paaa. Papa baru enam bulan jadi tunggul. Azan ni dah tujuh belas tahun jadi tunggul. Hidup je lagi.”

“Kurang ajar!” Tangan dah diangkat separa kepalanya. Menunggu masa untuk melabuhkan daratan.

“Kenapa berhenti?” Tak kan tak sampai hati pulak?" provok Azan dengan senyuman sinis.

“Kamu sengaja nak mencabar papa kan?” Kalau ikut amarah, memang sudah lama ditelan dek perangai Azan. Tapi dia masih punya iman. Dan dia ada polisi untuk tidak membesarkan anak dengan pukulan.

“Azan tak pernah cabar papa..”

“Habis tu, kalau sengaja tak nak perform dalam kelas, sampai papa ni berulang kali kena panggil dengan cikgu, itu bukan cabar kesabaran ke?”
Azan senyum senget.

“Itu bukan cabar kesabaran paa. Itu peluang yang Azan beri dari seorang anak untuk ayah dia. Tujuh belas tahun berlalu tapi papa tak rasa semua tu kan? Tak pernah rasa cikgu panggil ibu bapa dari zaman tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah dulu. Tak pernah tengok record sekolah anak. So, itu peluang yang Azan bagi pada papa. Itulah moment yang biasa dilalui oleh seorang ayah. Sebagai kenang-kenangan di hari tua nanti. Nanti kalau papa dah ada cucu, ada jugak papa nak cerita pada mereka. Yalah, tak kan nak cerita pada cucu balance duit bank ada berapa pulak kan?”

“Sekarang kau nak mengajar aku ke?” Gigi dikatip. Gerahamnya bergerak menahan amarah.

Azan angkat bahu.

“Terpulang pada papa nak fikir macam mana..” Perlahan menapak meninggalkan papanya sendiri.

“Ahmad Azan! Papa tak habis cakap lagi.”

Azan langsung tidak mengendahkan kemarahan ayahnya.

“Kenapa kau ni kurang ajar sangat hah?” Terlepas ayat itu dari mulut Encik Tarmizi. Sungguh, petang ini sabarnya benar-benar habis! Balik kerja penat-penat, bergaduh dengan Azan tak ada dalam skop kehendaknya.

Azan ketawa. Pak Tam dan Acik Hawa sudah berpandangan sesama sendiri. Keadaan makin lama, makin buruk dan teruk!

“Soalan yang menarik paaa. Erk, papa pernah ajar Azan ke? Seingat Azan macam tak ada. Ke Azan yang lupa? Oh, by the way Azan nak pergi minum petang dulu. Kesian Acik Hawa merajuk pulak nanti. Tapi nanti kalau papa jumpa jawapan dia, boleh bagi tahu dekat Azan ya!”

Terduduk Encik Tarmizi dengan soalan dari Azan. Ya. Dia tahu semua ini silapnya. Tapi, tak kan tak ada ruang untuk dia perbetulkan kesalahannya?

“Sabarlah tuan. Azan masih muda.”

Ya, budak umur tujuh belas tahun. Apalah yang Azan tahu sangat selain dari mempertahankan emosinya? Lagipun, mereka tidak berada di tempat Azan. Mereka tidak tahu kesakitan apa yang ditanggung oleh Azan. Azan dah banyak kali menempuh erti kehilangan.

“Macam mana lagi cara saya nak perbetulkan hubungan kami anak beranak?” tanya dia pada pekerjanya itu.

Pak Tam ikut terdiam. Tiada jawapan untuk soalan itu.

“Masa mungkin akan pulihkan semuanya nanti tuan.”

“Saya takut masa akan buat luka ini lagi parah.” Diraup wajah yang dibanjiri kekesalan itu.